Jumaat, 7 Mac 2014

Nasi Goreng, Ayam Gerong Tak Laku

Jualan nasi goreng di pasar malam Kuala Terengganu terjejas teruk (Foto hiasan). Foto: Wikimedia

Selain nasi goreng, jualan ayam goreng juga terjejas teruk (Foto hiasan). Foto: ayamgorengain

Pehimi (dua dari kiri) memeriksa gerai di sekitar pasar malam Kuala Ibai, Kuala Terengganu, kelmarin.


KUALA TERENGGANU - Kejadian keracunan makanan di negeri ini yang menyebabkan seorang kanak-kanak meninggal dunia dan lebih 150 mendapatkan rawatan di hospital, menyebabkan perniagaan peniaga makanan di pasar malam, terutama nasi goreng dan ayam goreng kini terjejas teruk menyebabkan pendapatan mereka merosot sehingga 60 peratus. 
Peniaga ayam goreng, Mohd Asmadi Mohd Ghani, 35, berkata, biasanya dia mampu menjual 100 kilogram sehari dengan purata pendapatan antara RM1,500 hingga RM2,000 tetapi selepas kejadian itu, tidak sampai 50 kilogram terjual. 
Peniaga dari Kampung Tok Dir, di sini, yang berniaga bersama ibunya, Minah Abdullah, 60, berharap isu keracunan makanan itu dapat diselesaikan segera agar orang ramai kembali yakin untuk membeli juadah makanan di pasar malam. 
“Perniagaan pasar malam ini adalah sumber pendapatan keluarga kami sejak tiga tahun lalu dan tidak pernah berlaku kejadian seperti ini,” katanya. 
Menurut Mohd Asmadi, dia terkejut apabila mendapati kejadian itu berpunca daripada makanan ayam goreng yang dijual di dua pasar malam di sini. 
“Sebaik membaca laporan media, saya terkejut apatah lagi kejadian itu menyebabkan seorang kanak-kanak berusia lima tahun meninggal dunia,” katanya yang ditemui ketika tinjauan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri Muhammad Pehimi Yusof di pasar malam Kuala Ibai, di sini, kelmarin. 
Sementara itu, Muhammad Pehimi berkata, pihaknya menerusi Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu dan pihak berkuasa tempatan akan sentiasa membuat pemeriksaan mengejut di semua 22 pasar malam yang beroperasi di daerah ini. 
“Peniaga yang gagal mematuhi peraturan termasuk memakai penutup kepala, apron dan sarung tangan atau menghidangkan makanan terdedah serta diragui kebersihannya akan dikenakan tindakan,” katanya. - myMetro

Berita sebelumnya di sini

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.