Allah berfirman dalam al-Quran:

"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran." Mafhum Surah al-Asr: ayat 1 - 3.

Rabu, 5 Mac 2014

Keracunan Makanan Pasar Malam

Maut makan ayam goreng

Ahli keluarga tidak dapat menahan sebak selepas melihat jenazah Mohammad Iqbal di HSNZ, semalam. Foto: myMetro

KUALA TERENGGANU - “Saya bergegas pulang selepas pengasuh beritahu anak muntah serta tidak bermaya dan terkejut apabila diberitahu anak meninggal dunia tidak sampai sejam selepas dimasukkan ke hospital,” kata Mohd Ilme Adam, 31, bapa Mohammad Iqbal Rafie, 5, yang meninggal dunia jam 1 tengah hari di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, semalam akibat keracunan makanan. 
Menurut anggota tentera itu, petang Sabtu lalu, dia membawa anak tunggalnya itu serta isteri, Zuriana Mohd Yusof, 28, ke pasar malam Jalan Hiliran, di sini, untuk membeli ayam goreng. 
Katanya, sebelum keluar rumah, anaknya tidak makan apa-apa kerana teringin makan ayam goreng. 
“Saya dan anak begitu berselera makan ayam goreng berkenaan, tetapi isteri hanya melihat kami berdua makan jam 9 malam. 
“Kira-kira jam 12.30 tengah malam semalam (kelmarin), anak mengadu sakit perut selain muntah serta cirit-birit, Saya terus membawa anak ke Klinik Kesihatan Bukit Payong, Marang untuk mendapatkan rawatan,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik HSNZ, di sini, semalam. 
Mohd Ilme yang tinggal di Bukit Payong, Marang, berkata dia turut cirit-birit dan beberapa simptom sama seperti anaknya, namun tetap pergi bekerja, meninggalkan anaknya kepada pengasuh. 
Menurutnya, dia dan isteri terkejut apabila dihubungi jiran jam 11 pagi semalam, memberitahu anaknya menjerit kerana sakit perut dan tidak bermaya. 
Katanya, dia bergegas pulang dan terus membawa anaknya ke Klinik Kesihatan Bukit Payong sebelum dirujuk ke HSNZ. 
“Luluh hati apabila doktor beritahu anak sudah tidak bernyawa selepas tidak sampai sejam dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi HSNZ,” katanya yang kini menunggu laporan bedah siasat dari Unit Forensik HSNZ sebelum bercadang mengambil tindakan lanjut terhadap pihak terbabit. - myMetro


Bakteria dalam darah

Dr Anwa (dua dari kiri) melawat pesakit yang mengalami keracunan makanan di HSNZ, semalam. Foto: myMetro

KUALA TERENGGANU - Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) mengenal pasti tiga peniaga yang menyebabkan keracunan makanan lebih 100 pesakit sehingga menyebabkan seorang kanak-kanak lima tahun mati. 
Pengarahnya Datuk Dr Anwa Sulaiman berkata, tiga peniaga berkenaan disiasat dan pihaknya kini menunggu laporan penuh sebelum mendakwa tiga peniaga berkenaan mengikut Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988. 
Menurutnya, hasil bedah siasat Muhammad Iqbal Rafie Mohd Ilmie, 5, menemui bakteria Salmonella dalam badannya. 
“Bakteria itu dikesan menerusi air tulang belakang serta darah dari saluran jantung kanak-kanak itu dan kami yakin punca kematiannya disebabkan bakteria berkenaan. 
“Kami percaya bakteria berkenaan datang dari pasar malam di Dataran Shahbandar dan Jalan Hiliran. 
“Buat masa ini, kita masih menunggu bukti dan ketiga-tiga peniaga pasar malam terbabit pasti berdepan hukuman sekiranya bakteria berkenaan dikesan di gerai mereka,” katanya yang ditemui ketika melawat pesakit yang mengalami keracunan makanan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini, semalam. 
Beliau berkata, operasi perniagaan ketiga-tiga peniaga terbabit diarah dihentikan sehingga siasatan JKNT selesai. 
Sementara itu, seorang pesakit yang mengalami keracunan makanan, Kamarina Muhammad, 36, berkata, dia terkejut melihat keadaan wad di HSNZ sesak dengan pesakit yang keracunan makanan. 
Menurut guru Sekolah Menengah Kebangsaan Pengkalan Berangan, Marang, itu, dua anaknya Khairiah Aleeya Azhar, 9, dan Khairim Asyraf Azhar, 11, turut mengalami gejala sama dengan pesakit lain apabila mengalami cirit-birit serta muntah dan kini terlantar di wad. 
“Saya terpaksa mengambil cuti untuk menjaga dua anak yang terlantar di hospital dan ia dipercayai berpunca daripada bakteria yang terdapat dalam nasi goreng. 
“Justeru, saya berharap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan segera dan meminta orang ramai supaya berhati-hati ketika membeli makanan di pasar malam kerana bimbang dijangkiti bakteria,” katanya. - myMetro


Kes keracunan makanan makin serius 

Khairy menemani Muhammad Shah yang dimasukkan ke wad akibat keracunan makanan. Foto: myMetro

KUALA TERENGGANU - Kes keracunan makanan di bandar raya ini semakin serius apabila 101 orang dilaporkan mendapatkan rawatan sejak Sabtu lalu. 
Kejadian itu dipercayai berlaku selepas pesakit terbabit dijangkiti bakteria Salmonella yang kebanyakannya terdapat pada ayam serta telur haiwan itu. 
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu Datuk Dr Anwa Sulaiman berkata, sehingga semalam seramai 101 orang mendapat rawatan di hospital dan seorang pesakit berusia lima tahun meninggal dunia kelmarin. 
Menurutnya, sehingga semalam, 68 pesakit dimasukkan ke dalam wad termasuk 18 kanak-kanak dan daripada jumlah terbabit, lapan pesakit dibenarkan keluar wad manakala selebihnya dirawat sebagai pesakit luar. 
“Kebanyakan kes ini kita dapati hampir keseluruhannya dijangkiti bakteria Salmonella yang terdapat pada ayam serta telurnya yang dimasak dalam nasi goreng putih dan merah, kuetiau serta mi goreng yang dijual di pasar malam Dataran Shahbandar serta Jalan Hiliran. 
“Semua sampel najis diambil menunjukkan pesakit terkena jangkitan bakteria Salmonella dan kebanyakan pesakit berasal dari Kuala Terengganu serta Marang,” katanya ketika ditemui sewaktu melawat pesakit di Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini, semalam. 
Beliau berkata, semua pesakit dalam wad terbabit kini dilaporkan stabil. - myMetro

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.