Selasa, 9 September 2014

Penduduk Palestin Di Baitulmaqdis Merusuh

Sejumlah penduduk Palestin merusuh di Baitulmuqaddis Timur

Seorang polis pencegah rusuhan Israel sedang mengawal rusuhan

Di atas tembok, kanak-kanak Palestin melihat pertempuran antara perusuh dengan polis

Perusuh membakar tayar

Terdapat juga perusuh membaling batu

Rusuhan berpunca daripada kematian Mohammed Sinokrot yang menyertai tunjuk perasaan minggu lalu

Pemuda ini menggunakan lastik

Rusuhan berlarutan selama beberapa jam


BAITULMUQADDIS - Sejumlah penduduk Palestin merusuh di Baitulmuqaddis Timur di sini kelmarin selepas mendapat tahu seorang remaja dari kejiranan mereka mati akibat kecederaan kerana ditembak polis Israel semasa menyertai tunjuk perasaan pada minggu lalu. 
Penunjuk perasaan di kejiranan Wadi al-Joz, dekat Bandar Lama bertindak membaling batu, bom petrol dan sua ke arah kenderaan lalu-lalang manakala polis Israel bertindak balas dengan menembak peluru getah. 
Pertempuran itu berlarutan selama beberapa jam. 
Tiada laporan mengenai kecederaan parah dalam rusuhan itu. 
Sebelum ini, seorang remaja berusia 16 tahun, Mohammed Sinokrot meninggal dunia akibat kecederaan di kepala ketika dia menyertai tunjuk perasaan di sini minggu lalu. 
Bapa mangsa, Abdel-Majid berkata, anak lelakinya telah ditembak di kepala menggunakan peluru getah tetapi polis Rejim Zionis mendakwa bahawa Mohammed terjatuh dan kepalanya terhantuk selepas kakinya terkena satu objek yang dibaling ketika dia melarikan diri daripada polis. 
Mayat mangsa dibawa ke Tel Aviv untuk bedah siasat. 
Dalam satu lagi insiden, sejumlah penduduk Palestin menyerang sebuah stesen minyak di kejiranan Yahudi di sini. 
Mereka merosakkan beberapa pam petrol dan cuba membakar kedai serbaneka di premis berkenaan. 
Protes di sini tercetus pada Julai lalu selepas seorang remaja Palestin dibunuh dalam serangan balas dendam oleh tiga penduduk Yahudi yang kini dibicarakan. 
Pembunuhan itu menyusul selepas kematian tiga belia Yahudi di wilayah Tebing Barat yang diduduki oleh Israel akibat dibunuh oleh militan Hamas. - Reuters/ Kosmo!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.