Selasa, 9 September 2014

Ratu Elizabeth Bimbang Scotland Merdeka Dari UK

Ratu Elizabeth II semasa menghadiri satu acara di Scotland pada minggu lalu

Ratu Elizabeth II bersama Alex Salmond, Menteri Pertama Scotland

Canselor George Osborne menawarkan kuasa lebih besar berkaitan cukai jika Scotland kekal dalam UK 

Alex Salmon semasa debat kemerdekaan Scotland



LONDON - Ketua Negara United Kingdom (UK), Ratu Elizabeth II menemui Perdana Menteri, David Cameron kelmarin bagi membincangkan kebimbangan bahawa Scotland akan keluar daripada UK selepas 300 tahun. 
Kerisauan Elizabeth II, 88, itu berdasarkan beberapa kaji selidik terbaharu yang mendapati 51 peratus penduduk Scotland menyokong kemerdekaan, manakala 49 peratus lagi memilih untuk kekal bersama UK. 
"Referendum ini adalah isu dalaman Scotland. Ratu Elizabeth II bersikap neutral dalam hal ehwal politik seperti sebelumnya," kata seorang jurucakap Istana Buckingham ketika mengulas berhubung senario di Scotland. 
Monarki berkenaan bagaimanapun dipercayai menyokong penuh penyatuan Scotland. 
"Anda tidak perlu menjadi seorang genius untuk sedar bahawa Ratu Elizabeth II menyokong penyatuan Scotland bersama UK. Ia seperti bertanya adakah Pope menyokong mazhab Katholik," kata satu sumber dalam kalangan pegawai tinggi negara. 
Elizabeth II akan berada di Scotland pada 18 September ini apabila penduduknya keluar mengundi dalam satu referendum bagi menentukan masa depan Scotland sama ada kekal bersama UK atau keluar dan merdeka sebagai sebuah negara lain. 
Terdahulu, Ahli Parlimen UK, George Osborne memberi jaminan akan memberi lebih kuasa berkaitan cukai, perbelanjaan dan kebajikan jika penduduk Scotland menolak kemerdekaan pada referendum tersebut.  
Pada masa yang sama, beliau turut menegaskan Scotland tidak boleh lagi menggunakan pound sebagai mata wang jika ia keluar daripada UK. 
Dalam pada itu, bekas Setiausaha Pertahanan Liam Fox berkata, beliau bimbang Scotland akan menjadi sebuah negara yang tidak lagi bernaung di bawah Ratu Elizabeth II jika ia merdeka. 
"Terdapat elemen antiraja yang kuat dalam Parti Kebangsaan Scotland (SNP)," kata SNP yang merupakan parti pemerintah Scotland yang menyokong kemerdekaan negeri itu. 
"Sudah pasti sejurus selepas Scotland merdeka, negara itu akan menjadi sebuah republik," tambahnya. - Agensi/ Kosmo!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.