Isnin, 10 November 2014

Honda Jazz Generasi Terbaru

Beginilah rupa Honda Jazz generasi terbaru.

Lampu belakang yang dinamik.

Enjin 1.5 liter.

Sistem audio berteknologi terkini.

Tempat duduk belakang boleh diubah posisinya.


Sejak dulu lagi, Honda Jazz menjadi kereta idaman penulis bermulanya daripada generasi pertama hinggalah ketiga yang diperkenalkan pertengahan tahun ini.
Jika dihitung kuantitinya bagi generasi pertama hingga ketiga, ia terjual 5.2 juta unit pada peringkat global serta menjadi model terlaris jenama itu.
Di negara luar, kereta kategori sub kompak ini dikenali sebagai Honda Fit dan ia sebenarnya disasarkan untuk golongan Hawa kerana bentuknya yang kecil, sekali gus mudah dipandu dan bersesuaian dengan cara pemandu di kawasan urban.
Namun situasi itu berbeza sedikit di Malaysia apabila dikatakan Honda Jazz lebih diminati golongan lelaki yang mahu pengendalian mantap dengan dijanakan enjin jenis i-Vtec.
Sebelum diperkenalkan model pemasangan tempatan (CKD), ia diimport sepenuh dari Jepun dengan harga lebih RM100,000 dan ramai menganggap terlalu mahal bagi sebuah kereta kompak.
Bagaimanapun, tanggapan itu boleh dikikis apabila Honda Malaysia Sdn Bhd mula membuka ruang kepada masyarakat tempatan untuk memilikinya bagi model CKD selepas dijual tidak melebihi RM90,000 bagi ketiga-tiga variannya menerusi S, E dan V.
Harga diperkenalkan itu membuatkan ramai terkejut kerana ditawarkan sangat kompetitif bagi kereta kompak popular keluaran negara matahari terbit berkenaan.
Bagi generasi ketiga ini, ia menampilkan identiti rekaan terbaru Honda menerusi 'Exciting H Design!!!' yang membuatkan ia tampak garang dan sporty.
Konsep rekaan luaran dikenali sebagai 'Crossfade Monoform Exterior' itu ternyata dinamik dan pada masa sama terus mewarisi karakteristik unik bagi sebuah Honda Jazz.
Ia menggabungkan kabin sporty dan dinamik dengan bahagian bawah badan yang lebih rendah, sekali gus memberi penekanan terhadap kestabilan.
Jika mahu dibandingkan dengan generasi terdahulu, perbezaan boleh dilihat pada rekaan depan tampak menarik bersama bahagian sisinya yang lebih maskulin dengan adanya garisan pada bahagian pintu.
Ketika menguji jentera ini, penulis diberi peluang memandu varian paling tinggi iaitu V dan ternyata ia dilengkapi pelbagai ciri menarik dengan berteknologi canggih.
Menjengah ke ruang kabinnya, papan pemukanya didatangkan skrin sentuh tujuh inci bagi sistem audio dengan fungsi kawalan pengecaman suara dan telefon bebas tangan pada stering yang memberi kelebihan buat model hatchback ini.
Ia turut ditawarkan paparan meter pelbagai maklumat, sistem pendingin hawa automatik dengan satu panel kawalan sentuh dan sistem Kemasukan Pintar serta Butang Penghidup Enjin.
Faktor lain yang membezakan dengan model sebelum ini adalah ruang dalaman versatil dan penuh pelbagai fungsi apabila tempat duduknya hadir dengan empat mod konfigurasi.
Hasilnya, Honda Jazz serba baru ini memiliki kabin lebih besar dengan peningkatan ketara pada bahagian bahu dan kaki penumpang belakang serta ruang kargo.
Berkongsi sedikit berhubung enjinnya, ia sebenarnya menggunakan 1.5 L SOHC I-Vtec yang mampu menyalurkan 120 PS dengan 145 Nm tork maksimum.
Selain Honda Jazz, enjin ini digunakan pada Honda City terbaru yang diperkenalkan sebelum ini dan kemampuannya tidak perlu sangsi lagi.
Secara jujurnya, penulis tidak terlalu gemar dengan padanan kotak gear Continuos Variable Transmission (CVT), tetapi transmisi kategori sama yang digunakan pada jentera ini memberi satu perasaan sedikit berbeza.
Mungkin kedapan bunyi yang dipertingkatkan pada jentera ini membuatkan penulis tidak begitu merasai kerahan enjin memasuki ke ruang kabin.
Biarpun ia bukan jentera berprestasi, kereta kompak ini tidak 'kedekut' menyalurkan kuasa me­ngagumkan apabila kelajuannya boleh mencecah melebihi 170 kilometer sejam (km/j).
Penulis turut terkejut kerana jentera ini boleh dikatakan masih stabil dan tidak rasa takut untuk memecut pada tempoh lama.
Ketika berada di tempat duduk belakang melalui jalan berliku, tahap kestabilannya tidak perlu dipertikai.
Malah, penulis masih dapat merasakan keselesaan yang menjadi antara kelebihan model hatchback keluaran Honda ini.
Sama seperti semua model Honda yang lain, aspek keselamatan menjadi keutamaan apabila dilengkapi lebih banyak ciri keselamatan seperti enam beg udara dengan tempoh jaminan lima tahun.
SPESIFIKASI
HONDA JAZZ 1.5 L (Grade V)
-Enjin: 1,497 cc, empat silinder, 16 injap, SOHC i-Vtec
-Kuasa maksimum: 120 PS pada 6,600 rpm
-Tork maksimum: 145 Nm pada 4,600 rpm
-Transmisi: CVT
-Ciri keselamatan: Enam beg udara, Isofix, ABS, EBD, BA, ESS dan VSA
-Harga: RM87,800 atas jalan termasuk insurans
Sumber: myMetro

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.