Isnin, 10 November 2014

'Khalifah' IS Dikatakan Terbunuh

Terdapat dakwaan ketua IS, Abu Bakar terbunuh dalam operasi pada Jumaat lalu

Pakatan yang diketuai Amerika Syarikat (AS) melancar­kan beberapa serangan udara dekat bandar Mosul

Foto Abu Bakar sebelum memimpin ISIL

Pesawat tempur AS menjatuhkan bom di kota al-Qaim di Iraq.

Pemandangan di kota Syria Kobani (Ayn al-Arab) selepas pertempuran antara militan ISIL dan kumpulan bersenjata Kurdish


MOSUL – Pakatan yang diketuai Amerika Syarikat (AS) melancar­kan beberapa serangan udara dekat bandar ini, utara Iraq de­ngan menjadikan barisan pemimpin kanan kumpulan militan Negara Islam (IS) sebagai sasaran, kata beberapa pegawai kelmarin.
Setakat ini, nasib ketua IS, Abu Bakar al-Baghdadi masih tidak dapat dipastikan.
Susulan serangan itu, terdapat dakwaan Abu Bakar terbunuh dalam operasi pada Jumaat lalu tetapi pegawai-pegawai AS tidak dapat mengesahkan kesahihan berita tersebut.
Berita kematian ketua IS ter­sebar selepas Presiden Barack Obama mengumumkan rancang­an untuk menghantar sehingga 1,500 lagi askar ke Iraq bagi membantu memerangi militan IS yang telah menawan sebahagian besar wilayah di negara itu.
Pusat Kawal dan Perintah (CENTCOM) AS mengesahkan ba­hawa tentera pakatan melancarkan beberapa serangan udara terhadap perhimpunan pemimpin IS dekat sini.
“Sebuah konvoi me­ngandungi 10 kenderaan perisai IS musnah dalam serangan itu,” kata jurucakap CENTCOM, Patrick Ryder.
“Kami bagaimanapun tidak dapat mengesahkan sama ada Abu Bakar merupakan antara pe­mimpin IS yang hadir dalam perhimpunan tersebut,” tambahnya.
Menurutnya, dakwaan kematian Abu Bakar kini disiasat oleh pihak berkuasa Iraq.
Washington sebelum ini menawarkan ganjaran AS$10 juta (RM33.4 juta) untuk menangkap Abu Bakar manakala beberapa penganalisis memberitahu, dia dilihat lebih berkuasa daripada ketua al-Qaeda, Ayman al-Zawahiri.
Dalam perkembangan ber­kaitan, stesen televisyen Al-Arabiya melaporkan Abu Bakar telah terce­dera manakala sebuah stesen tele­visyen Iraq menyatakan seorang pembantunya terbunuh dalam serangan tersebut. – AFP/ Kosmo!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.