Selasa, 30 Disember 2014

Misteri Pesawat QZ8501

Pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 yang hilang sejak awal pagi kelmarin disahkan terpaksa menempuh cuaca buruk

Permintaan juruterbang untuk terbang lebih tinggi bagi mengelak awan tebal tidak dibenarkan pusat kawalan trafik udara (ATC)


Grafik menunjukkan penerbangan lain di kawasan yang sama semasa pesawat QZ8501 dikatakan hilang 

Seorang pegawai menunjukkan kawasan carian pesawat QZ8501 yang hilang

Pesawat QZ8501 hilang dari radar pada jam 6:18 waktu tempatan, enam minit selepas komunikasi dengan kawalan trafik udara

Seorang anggota Tentera Udara Singapura meninjau kawasan laut dari pesawat C-130 semasa operasi mencari

Tentera udara Indonesia yang terlibat dengan operasi mencari

Anggota polis marin Indonesia bertafakur sebelum memulakan tugas mencari

Suasana sedih di Lapangan Terbang Juanda, Surabaya

Ahli keluarga penumpang pesawat QZ8501 yang hilang tidak dapat menahan kesedihan


JAKARTA – Pesawat syarikat penerbangan milik Indonesia, AirAsia Indonesia QZ8501 yang hilang sejak awal pagi kelmarin disahkan terpaksa menempuh cuaca buruk selepas permintaan juruterbang untuk terbang lebih tinggi bagi mengelak awan tebal tidak dibenarkan pusat kawalan trafik udara (ATC).
Dalam komunikasi terakhir dengan ATC iaitu enam minit sebelum pesawat itu hilang, salah seorang juruterbangnya meminta kebenaran untuk membelok ke kiri dan mendaki dari ketinggian 32,000 kaki ke 38,000 kaki bagi mengelak cuaca buruk.
Pengarah AirAsia Indonesia, Bambang Tjahjono berkata, permintaan juruterbang berkenaan terpaksa ditangguhkan sementara oleh ATC kerana terdapat sebuah lagi pesawat yang terbang pada ketinggian 34,000 kaki.
“Apabila ATC mahu memberi kebenaran, pesawat QZ8501 telah hilang,” katanya.
Pesawat QZ8501 disahkan hilang pukul 7.24 pagi kelmarin selepas ia terputus hubungan dengan ATC setelah meminta kebenaran untuk naik ke paras ketinggian 38,000 kaki bagi mengelak awan hujan.
Kapal terbang jenis Airbus A320-200 itu dalam penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Surabaya di Jawa Timur Indonesia menuju ke Singapura.
Pesawat tersebut membawa seramai 162 penumpang dan kru terdiri daripada 155 warga Indonesia, tiga Korea Selatan dan masing-masing seorang dari Malaysia, Singapura, Perancis serta Britain.
Sementara itu, beberapa pakar penerbangan percaya kemungkinan pesawat berkenaan berdepan situasi yang dikenali sebagai ‘sel ribut hitam’ yang menyebabkan pembentukan ais di tolok kelajuan yang dikenali sebagai tiub pitot.
Pembentukan ais itu disahkan sebagai punca nahas sebuah pesawat penerbangan AF447 milik Air France yang terhempas di Lautan Atlantik ketika dalam penerbangan dari Rio De Janeiro, Brazil menuju ke Paris pada tahun 2009.
Geoffrey Thomas
Seorang pakar penerbangan, Geoffrey Thomas berkata, beliau telah berjumpa dengan beberapa juruterbang berpengalaman yang percaya pesawat QZ8501 berhadapan cuaca buruk tetapi terbang terlalu perlahan untuk mengelak keadaan berkenaan.
“Pesawat QZ8501 terbang terlalu perlahan iaitu 100 knots (185 kilometer sejam) lebih perlahan daripada kelajuan yang sepatutnya. Terbang perlahan pada ketinggian tersebut sangat bahaya.
“Beberapa juruterbang percaya kru pesawat QZ8501 cuba mendaki bagi mengelak cuaca buruk tetapi entah bagaimana, mereka terbang terlalu perlahan .
“Ini boleh menyebabkan pesawat menjadi pegun sama seperti yang menimpa pesawat Air France AF447,” katanya.
Menurutnya, dia memperoleh plot radar yang menunjukkan pesawat itu berada pada ketinggian 36,000 kaki dan mendaki pada kelajuan 353 knot (653 kilometer sejam) iaitu 100 knot lebih perlahan.
“Pesawat ini sepatutnya mendaki pada kelajuan kira-kira 453 knot (839 kilometer sejam) dan jika bacaan radar ini benar ia menunjukkan pesawat berkenaan terbang terlalu perlahan,” jelasnya.
Tambah Thomas lagi, keadaan seperti itu tidak sepatutnya berlaku kepada pesawat jenis Airbus A320-200 tersebut yang dilengkapi dengan pelbagai peralatan canggih.
“Kemungkinan kejadian ini mempunyai kaitan dengan keadaan cuaca yang ekstrem.
“Mungkin ada sesuatu yang berlaku sehingga menyebabkan pesawat ini terbang terlalu perlahan.
“Jika sebuah pesawat terbang terlalu perlahan pada ketinggian tersebut yang mempunyai udara yang nipis, sayap kapal terbang akan kehilangan daya angkat menyebabkan ia pegun dan terhempas,” jelasnya. – Agensi/ Kosmo!

Misi mencari dan menyelamat (SAR) pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 yang hilang terus menemui jalan buntu

Setakat ini operasi mencari tidak mengesan sebarang petunjuk positif selepas lebih 36 jam gerakan SAR digerakkan

Anggota polis marin Indonesia mendengar taklimat sebelum memulakan operasi mencari

Operasi mencari pesawat QZ8501 disambung semula pada hari Isnin dan tertumpu di sekitar kawasan Laut Jawa berhampiran Belitung

Ahli keluarga penumpang QZ8501 di Lapangan Terbang Juanda, Surabaya menangis hiba kerana belum menerima sebarang khabar berita

JAKARTA – Misi mencari dan menyelamat (SAR) pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 yang hilang terus menemui jalan buntu apabila tidak mengesan sebarang petunjuk positif selepas lebih 36 jam gerakan SAR digerakkan.
Ketua Agensi Mencari dan Menyelamat Nasional (BASARNAS), Bambang Soelistyo membuat pendedahan semalam bahawa kesukaran menemui pesawat QZ8501 dari Surabaya ke Singapura mungkin disebabkan ia sudah berada di dasar Laut Jawa.
“Berdasarkan koordinat yang telah didedahkan dan analisis yang menganggarkan kedudukan pesawat yang berada di sekitar lautan, kesimpulannya pesawat terbabit berada di dasar laut,” kata Bambang dalam satu sidang akhbar semalam.
Laut Jawa mempunyai kedalaman antara 2,000 hingga 7,000 meter./ Kosmo!

Selain pasukan beruniform, pengamal ilmu ghaib atau dukun juga turut sibuk dengan kes kehilang pesawat QZ8501

Ini ialah alat pengesan bawah air yang saintifik. Namun pengamal ilmu ghaib hanya membuat pemantauan secara ghaib

Mereka mendakwa bangkai pesawat QZ8501 kini berada di perairan timur Pulau Nangka, Kabupaten Belitung Timur.

BELITUNG - Pengamal ilmu ghaib atau bomoh di sana bersedia untuk membabitkan diri didalam pencarian pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 yang hilang hubungan dalam penerbangan dari Surabaya ke Singapura pada pagi Ahad.
Selain itu, mereka juga mendakwa sudah membuat pemantauan secara ghaib dan mendapati bangkai pesawat berada di perairan timur Pulau Nangka, Kabupaten Belitung Timur.
Menurut laporan yang dipetik daripada Tempo.co, Ketua dukun dan Adat Belitung Mukhti Maarif masih menunggu permintaan rasmi daripada Kerajaan Indonesia.
"Perlu ada permintaan rasmi untuk menghindari persepsi negetif ke atas kami," katanya ketika dihubungi Tempo.co.
Menurut Mukhti sehingga kini mereka belum dihubungi oleh mana-mana pihak untuk turut serta membantu proses pencarian dan menyelamat Airasia QZ8501.
"Sampai saat ini, kami belum dibabitkan, sedangkan kami bersedia membantu,”katanya.
Mukhti mengatakan pencarian secara ghaib mungkin belum dianggap sebagai penyelesaian yang tepat untuk membantu menemukan pesawat itu.
"Hasil pemantauan kami adalah pesawat berada di perairan timur Pulau Nangka, Kabupaten Belitung Timur.
"Pesawat itu terhempas kerana adanya kerosakan enjin,"dakwa Mukhti.
Tambah Mukhti, upacara ritual khusus perlu diadakan.
"Kita siap membantu bersama-sama dengan pihak yang menggunakan teknologi canggih.
"Insya Allah posisi pesawat diketahui. Memang wilayah Belitung, baik darat, laut maupun udara, dipenuhi hal ghaib,"katanya. - myMetro

Tumpahan minyak ditemui di perairan Belitung dan pasukan pencari sedang menyiasat perkara ini

Ahli keluarga penumpang pesawat QZ8501 semakin tertekan mendengar pelbagai maklumat yang membingungkan

BELITUNG - Tumpahan minyak ditemui di perairan Belitung dan sepasukan anggota dari Badan SAR Nasional (BASARNAS) dalam perjalanan ke lokasi berkenaan untuk memastikan sama ada tumpahan minyak itu datang dari pesawat QZ8501 AirAsia Indonesia yang hilang semalam ketika dalam perjalanan dari Surabaya ke Singapura.
Metronews melaporkan, Pengarah Komunikasi BASARNAS, Sutono berkata, wujud kemungkinan tumpahan minyak itu adalah milik kapal laut yang sering menggunakan laluan laut di wilayah Selatan Kalimatan itu.
Katanya, tumpahan minyak itu ditemui di radius 90 darjah dari Belitung dengan jarak 168 meter.
"Kita dalam perjalanan ke lokasi berkenaan dengan helikopter dan pesawat," katanya.
Bagaimanapun, katanya, sehingga kini tidak ada pengesahan yang tumpahan minyak itu adalah milik pesawat berkenaan berikutan tumpahan minyak itu berada di selatan Kalimatan yang biasanya padat dengan laluan kapal laut.
"Kita belum dapat memastikan kebenarannya berikutan ia adalah laluan pelayaran," katanya.
Katanya, wujud juga berita mengenai penemuan dua signal ELT yang lemah beberapa jam yang lalu namun pemeriksaan oleh pasukan SAR dengan peralatan berteknologi tinggi gagal menemui sebarang signal di lokasi yang dinyatakan ataupun petanda ia dari pesawat QZ8501.
"Kalau memang ada signal, sudah pasti Basarnas tahu," katanya. - myMetro


Operasi pencarian pesawat QZ8501 di Laut Jawa diteruskan

Pencarian hari kedua kes pesawat berkenaan masih belum menemui sebarang tanda pesawat terhempas

ADA nelayan mendakwa menemui mayat di Pulau Nangka, malah ada yang memaklumkan mendengar bunyi letupan di Pulau Long, kedua-duanya di Belitung, tetapi setakat ini semua itu andaian semata-mata.
Bupati Pemerintah Kabupaten Belitung Timur Dr Basuri Tjahaja berkata, pasukan mencari dan menyelamat (SAR) menerima banyak maklumat daripada nelayan berhubung pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 yang hilang, semalam.
"Bagaimanapun, sehingga hari ini kita tak menemui apa-apa yang ada kaitan dengan kehilangan pesawat itu. Jika ada yang mendengar bunyi pesawat pada waktu berkenaan, saya andaikan pesawat hendak mendarat di Lapangan Terbang HAS Hanandjoeddin, Tanjung Pandan.
“Masih tiada maklumat tepat, namun bagi pihak kami, semua maklumat akan diterima untuk diambil tindakan. Kita harus buka mata dan telinga,” katanya ketika ditemui di Pusat Operasi Pangkalan Tentera Nasional Indonesia (TNI) Indonesia Angkatan Laut Bangka Belitung, Pos TNI AL Manggar, Pulau Belitung, hari ini.
Menurutnya, kira-kira 100 nelayan tempatan menggunakan bot masing-masing untuk membantu mencari pesawat berkenaan.
“Pasukan SAR seramai 155 orang turut dibantu nelayan yang menyusuri pesisir Pulau Nangka, Pulau Long, Pulau Tepi, Pulau Serutu serta timur Pulau Belitung untuk mengesan pesawat yang hilang itu,” katanya.
Pencarian hari kedua kes pesawat berkenaan masih belum menemui sebarang tanda pesawat terhempas. - myMetro

Naib Presiden Indonesia, Jusuf Kalla mengesahkan objek yang ditemui setakat ini bukan daripada pesawat QZ8501

Bapa Kapten Iriyanto, Suwarto (atas) berkata, kali terakhir dia bertemu anaknya adalah pada minggu lalu

JAKARTA - Objek yang dicari berdasarkan laporan saksi bukan daripada QZ8501 AirAsia Indonesia, kata Naib Presiden Indonesia.
“Laporan itu sudah disiasat dan tidak ada bukti objek itu daripada pesawat berkenaan,” kata Jusuf Kalla memberitahu sidang media di lapangan terbang Surabaya.
Kalla berkata, kini terdapat 15 kapal dan 30 pesawat terbabit dalam usaha mencari pesawat berkenaan.
“Ini bukan tugas mudah. Bukan satu operasi yang mudah, terutama berdepan dengan cuaca yang kurang baik ketika ini,” katanya.
Jurucakap Tentera Udara Indonesia, Hadi Tjahjanto memberitahu AFP bahawa pencarian kini menjuruskan kepada tompokan minyak berhampiran Belitung, di Laut Jawa.
“Kami akan pastikan sama ada tompokan minyak itu daripada pesawat AirAsia atau daripada kapal berikutan dekat dengan laluan kapal,” katanya. - myMetro

Alat yang boleh digunakan untuk mengesan isyarat daripada Personal Locater Beacon ini milik Kerajaan Singapura

Tentera Laut AS turut menghantar kapal USS Sampson (DDG 102) hari ini untuk turut membantu operasi SAR

KUALA LUMPUR - Belum ada perkembangan positif dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) pesawat AirAsia Indonesia Q78501 yang masuk hari ketiga hari ini.
Walaupun beberapa objek dan tumpahan minyak dikesan di kawasan pencarian, semalam, ia tiada kaitan dengan pesawat berkenaan.
Portal media Indonesia pada mulanya melaporkan, pesawat peronda maritim AP-3C Orion milik Tentera Udara Diraja Australia mengesan 'sesuatu' sebelum dinafikan Naib Presiden Indonesia Jusuf Kalla yang berkata, laporan itu sudah disiasat dan tiada bukti objek dikesan adalah daripada pesawat berkenaan.
Selepas itu, muncul laporan kesan tumpahan minyak ditemui di perairan Tanjung Pandan, Bangka Belitung, tetapi Ketua Agensi Mencari dan Menyelamat Nasional (BASARNAS) Marsekal Madya FHB Soelistyo mengesahkan ia adalah terumbu karang.
Menurutnya, beliau sudah mengarahkan kapal KRI Pattimura ke tempat penemuan tompokan minyak itu dan mendapati ia bukan tompokan minyak.
“Terumbu karang itu terlihat seperti minyak kerana terendam dalam air laut. Jika dilihat dari atas, ia seperti tumpahan minyak,” katanya.
Pada masa sama, pasukan SARada menerima dua isyarat kecemasan lemah semalan di perairan Bangka Belitung yang mungkin daripada Personal Locater Beacon iaitu isyarat yg hanya dimiliki juruterbang dan pembantunya. 
Bagaimanapun, pasukan SAR yang ke lokasi isyarat berkenaan setakat ini gagal menemui sebarang objek berkaitan pesawat berkenaan.
Operasi SAR hari ketiga diteruskan jam 7 pagi ini di kawasan yang lebih luas bermula dari Tanjung Pandan, Bangka Belitung hingga ke daratan di Kalimantan Barat.
Komandon Tentera Nasional Indonesia (TNI) Angkatan Laut Sigit Setiantia berkata, pihaknya mengerahkan dua helikopter dan dua pesawat CN235 untuk menjalankan operasi pencarian nelalui udara.
Tiga lagi pesawat dari Lapangan Terbang Udara Halim di Jakarta turut dikerah mencari di lima wilayah selatan Pengkalan Bun dan Kalbar. Semua pesawat itu mampu terbang selama 10 jam.
Tentera Laut AS turut menghantar kapal USS Sampson (DDG 102) hari ini untuk turut membantu operasi SAR. - myMetro

Pasukan mencari menghadapi masalah cuaca semasa operasi pencarian pesawat QZ8501


Usaha pencarian dijalankan dari darat, udara dan laut


MANGGAR, Belitung Timur - Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) di Markas Tentera Nasional Indonesia (TNI) AL Manggar, di sini, hanya mampu menunggu untuk meneruskan operasi pencarian pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 di sekitar perairan Bangka-Balitung kerana cuaca buruk.

Komandan Markas TNI AL Manggar Leftenan Jeneral Purwanto berkata, keadaan cuaca semasa di perairan Bangka-Belitung tidak membenarkan pasukan SAR untuk keluar lebih awal bagi mengesan kedudukan terakhir pesawat itu.
"Dalam keadaan cuaca begini, jarak penglihatan anggota pasukan amat kurang untuk menjalankan operasi.
"Kami juga tidak mahu merisikokan pasukan SAR untuk terus berlayar menjalankan operasi dalam keadaan angin kuat dan berombak," katanya pada sidang media di Markas TNI AL Manggar, di sini.
Bagaimanapun, menurut Purwanto, hanya pasukan TNI AL dan pasukan bantuan daripada negara lain seperti Malaysia, Singapura, Korea Selatan serta China yang tiba pagi semalam dibenarkan untuk meneruskan operasi.
"Hal ini kerana kelengkapan dan peralatan dimiliki jauh lebih besar selain kemampuan mengharungi cuaca sebegini," katanya.
Menurutnya, pasukan SAR di bawah seliaannya tidak dibenarkan untuk ke laut adalah disebabkan kebanyakan pengangkutan digunakan adalah bot nelayan bersaiz sederhana. - myMetro


Ahli keluarga penumpang QZ8501 semakin tertekan

MANGGA, Belitung Timur - Satu serpihan objek berukuran dua meter ditemui nelayan tempatan malam tadi di perairan berhampiran Pulau Bangka dengan jarak kira-kira 20 Kilometer dari pesisir pantai pulau itu.
Gabenor Bangka-Belitung Rustam Effendi yang hadir di Pusat Operasi Pangkalan Tentera Nasional (TNI) Indonesia Angkatan Laut (AL) Bangka Belitung, Markas TNI AL Manggar, di sini, hari ini berkata, kapal akan digerakkan ke arah lokasi itu seandainya keadaan laut yang bergelora kembali tenang. 
Katanya, pesawat sudah melakukan tinjauan dari udara bagi memastikan lokasi penemuan serpihan objek terapung yang dimaklumkan nelayan itu.
"Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) sudah melakukan tinjauan dari udara. Kita tidak mahu kehilangan petanda berkenaan kerana mungkin mempunyai kaitan dengan pesawat pesawat AirAsia QZ8501 yang hilang tempoh hari.
"Buat masa ini, kapal laut yang terbabit dalam operasi SAR belum dapat mendekati serpihan berkenaan berikutan keadaan cuaca buruk," katanya. - myMetro

Pasukan pencarian Indonesia melaporkan mereka telah menemui 10 keping  serpihan pintu pesawat AirAsia QZ8501

Objek yang dipercayai serpihan pesawat QZ8501

Lagi objek yang dipercayai berasal dari pesawat QZ8501

Objek ini dikatakan dilihat di kawasan objek serpihan lain ditemui

Objek ini ialah jaket pesawat QZ8501

PANGKALAN BUN - Beberapa bahagian pesawat termasuk pintu pesawat dikesan ketika pencarian melalui udara, lapor AFP.
"Kami mengesan kira - kira 10 objek besar dan beberapa objek kecil berwarna putih," kata Marsekal Muda Tentera Udara Indonesia Agus Dwi Putranto.
Menurutnya, lokasinya adalah 10 kilometer daripada lokasi terakhir pesawat berkenaan dikesan radar di sekitar kawasan Pontianak dan Bangka Belitung," katanya.
Beliau turut menunjukkan 10 keping gambar yang menunjukkan sebuah pintu pesawat, peluncur keselamatan pesawat dan objek berbentuk segi empat tepat.
Seorang jurukamera AFP yang berada dalam pesawat yang sama memaklumkan dia melihat beberapa objek berbentuk rakit keselamatan, jaket keselamatan dan beberapa tiub panjang berwarna oren. - myMetro

Ketua Pengarah Penerbangan Awam Indonesia, Djoko Murjatmodjo

JAKARTA - Jabatan Penerbangan Awam Indonesia mengesahkan sejumlah objek yang ditemui oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) merupakan serpihan pesawat milik pesawat QZ8501.
Pengesahan itu dibuat oleh Ketua Pengarah Penerbangan Awam Indonesia, Djoko Murjatmodjo sebentar tadi.
Pasukan SAR menemui 10 objek besar termasuk gelongsor kecemasan dan pintu pesawat selain banyak objek kecil kira-kira 10 kilometer dari lokasi terakhir ia dikesan radar. - AFP/ Kosmo!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.