Isnin, 29 Disember 2014

Pesawat Air Asia Hilang

AirAsia Indonesia mengesahkan pesawat Airbusnya yang dalam perjalanan dari Surabaya ke Singapura hilang dari pantauan radar

Penerbangan itu bertolak dari lapangan terbang di Surabaya (gambar) di Indonesia pada pagi Ahad

Pesawat itu sepatutnya mendarat di Lapangan Terbang Changi (di atas)

Kapten Iriyanto, ketua juruterbang pesawat mempunyai pengalaman dengan jumlah 20,537 jam penerbangan

Senarai nama penumpang yang menaiki pesawat terbabit

Suasana sedih di Lapangan Terbang Juanda di Surabaya


KUALA LUMPUR - Pihak AirAsia Indonesia mengesahkan pesawat Airbusnya dengan pendaftaran QZ8501 dalam perjalanan dari Surabaya ke Singapura hilang dari pantauan radar pada 7.24 pagi (waktu Malaysia).
Menerusi laman Twitter AirAsia yang turut dikongsi dalam laman Facebook syarikat itu, pihaknya sedang meneliti maklumat berkenaan status penumpang dan juga anak kapal pesawat itu. 
Pesawat Airbus A320-200 itu dipercayai membawa 155 orang penumpang dan anak kapal dan kini operasi mencari dan menyelamat sedang dipergiatkan.
AirAsia sudah menubuhkan Pusat Talian Kecemasan kepada keluarga dan waris penumpang dan mereka boleh menghubungi talian itu di +622129850801.
Difahamkan, seorang rakyat Malaysia berada di dalam pesawat tersebut.
AirAsia juga akan memberikan perkembangan dari masa ke semasa dan segala maklumat boleh didapati dalam laman web AirAsia di www.airasia.com. - myMetro


Majoriti penumpang dan anak kapal pesawat AirAsia Indonesia yang hilang berasal dari negara Indonesia

Pramugari Khairunisa Haidar Fauzi

Rohana, ibu kepada Pramugari Khairunisa menunjukkan gambar keluarganya

Pramugara Oscar Desano (kanan)

KUALA LUMPUR - Majoriti penumpang dan anak kapal pesawat AirAsia Indonesia yang hilang dalam pantauan radar di sekitar Laut Jawa awal pagi ini kebanyakkannya berasal dari negara Indonesia.
Pesawat bernombor pendaftaran QZ8501 itu membawa 149 penumpang warga Indonesia manakala selebihnya adalah penumpang warga asing termasuk seorang dari Malaysia dan pembantu juruterbang dari negara Perancis yang bernama Remi Emmanuel Plesel.
Pesawat itu dipercayai hilang di kawasan Teluk Pandan iaitu lokasi antara Belitung dan Kalimantan.
Berdasarkan senarai nama penumpang dan anak kapal yang diperoleh dari pihak Lapangan Terbang Juanda, Surabaya, warga asing yang dipercayai menaiki pesawai itu adalah sebanyak tiga orang iaitu masing-masing seorang dari Singapura, Malaysia dan Jerman.
Data senarai anak kapal pesawat itu adalah  
Kapten pesawat/Juruterbang: Iriyanto (Indonesia)
Pembantu juruterbang: Remi Emmanuel Plesel (Perancis)
Atendan kanan pesawat: Wanti Setiawati
Pramugari dan pramugara: Khairunisa Haidar Fauzi, Oscar Desano, Wismoyo Ari Prambudi
Jurutera pesawat: Saiful Rakhmad. - myMetro

Setakat ini tiada pengesahan pesawat Air Asia berkenaan terhempas

Lokasi terakhir pesawat berdasarkan maklumat daripada FlightRadar24 

Pengarah penerbangan Kementerian Pengangkutan Indonesia, Djoko Murjatmojo

PESAWAT dilaporkan terhempas di perairan Belitung Timur, di pantai timur Sumatra, selepas pihak berkuasa mengesahkan pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 hilang pagi ini.
Portal berita Bangka Pos melaporkan tiada pengesahan dapat dibuat berhubung lokasi ia terhempas.
"Pak Danlanud menghubungi Bapak Basuri mengatakan pesawat Airbus terhempas di perairan Beltim," portal itu memetik Yuhinu, pegawai tentera kepada ketua pihak berkuasa tempatan Basuri T Purnama.
Beltim ialah singkatan untuk Belitung Timur.
Penerbangan dengan 155 penumpang itu meninggalkan Surabaya pada 5.20 pagi waktu Indonesia dan dijadualkan mendarat di Singapura jam 8.30 pagi waktu Singapura.
Kedudukan Indonesia Barat ialah satu jam di belakang Malaysia dan Singapura.
Bangka Post berkata, pihak berkuasa menerima maklumat yang lokasinya di pantai Babel, tetapi tempat yang tepat masih tidak diketahui.
"Kami masih menyelaras dan mengumpul maklumat daripada nelayan dan kapal yang melalui pantai BelTim," kata AKP Yanto ketika dihubungi Bangka Pos.
Maklumat tersebut diterima selepas pengumuman yang penerbangan AirAsia dari Surabaya ke Singapura terputus hubungan dengan Kawalan Trafik Udara Jakarta pada jam 7.34 pagi.
Pengarah penerbangan Kementerian Pengangkutan Djoko Murjatmojo memberitahu Kompas.com, satu lagi portal berita Indonesia, yang pesawat itu hilang dari radar dan beliau sedang memantau keadaan dan laporan mengenai kejadian itu.
Pengesan masa penerbangan nyata Flightradar berkata penerbangan yang hilang ialah Airbus A320 dengan nombor pendaftaran PK-AXC.
Sementara itu, Reuters melaporkan Singapura mengaktifkan tentera udara dan tentera lautnya bagi membantu operasi mencari dan menyelamat pesawat AirAsia itu.
"Dua C130 sudah bersiap sedia bagi tujuan ini. Kami tetap bersedia memberikan sebarang bantuan menyokong usaha mencari dan menyelamat," kata Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Singapura dalam satu kenyataan.
Sebuah ruang menunggu beserta dan kemudahan dan sokongan diperlukan sudah pun ditubuhkan untuk saudara-mara di Terminal 2 Lapangan Terbang Changi, katanya.
- myMetro


Pesawat Air Asia yang hilang itu mempunyai minyak untuk penerbangan selama empat jam

KUALA LUMPUR - Pesawat Air Asia Indonesia yang terputus hubungan dengan kawalan radar dari Bandara Juanda, Surabaya awal pagi ini dipercayai sudah mengalami kehabisan minyak seandainya ia masih meneruskan penerbangannya.
Memetik laporan Detiknews, Ketua Pengarah Perhubungan Udara Kementerian Perhubungan Republik Indonesia, Djoko Murdjiatmo berkata sekiranya itu masih lagi terbang di udara, minyaknya kini sudah habis.
“Pesawat itu berada dalam keadaan yang baik dan disaat ianya terbang bahan minyak pesawat itu cukup untuk perjalanan sejauh 4 jam 30 minit. Walhal, ianya sudah terputus hubungan ketika ia baru sahaja terbang selama kurang daripada 1 jam,” katanya kepada pemberita di Bandara Soekarno-Hatta, Tangerang, Banten tengah hari tadi.
Pesawat itu yang bertolak dari Bandara Juanda, Surabaya sekitar jam 5.36 WIB (6.36 pagi waktu Malaysia) bagaimanapun mulai hilang hubungan komunikasi dengan menara kawalan pada jam 6.17 WIB (7.17 waktu Malaysia).
"Tidak sampai satu jam berlepas, pesawat itu sudah hilang komunikasi," katanya.
"Untuk saat ini kami tidak mahu membuat sebarang spekulasi apa pun selain daripada pesawat itu hilang komunikasi," tegas Djoko.
Lokasi terakhir pesawat itu dikesan adalah ketika berada di ruang udara sekitar kawasan Pontianak dan Bangka Belitung.
Namun Djoko belum dapat memastikan lokasi tepat pesawat itu. - myMetro


Waris satu-satunya penumpang dari Malaysia ketika ditemuramah wartawan di Kuching


KUCHING - "Kami masih menunggu perkembangan lanjut dari AirAsia dan beri kami masa untuk bertenang kerana masih terkejut dengan apa yang berlaku," kata waris kepada penumpang AirAsia Indonesia warga Malaysia Sui Chung Huei.
Dia yang enggan dikenali berkata, keluarga ada menerima kunjungan daripada wakil Air Asia pagi tadi dan diarahkan menunggu perkembangan lanjut.
Katanya, mangsa yang mempunyai tiga anak sering berulang alik dari Indonesia ke Kuching kerana bertugas di Jakarta.
"Itu saja yang boleh saya cakap kerana kami pun menunggu berita dari AirAsia.
"Kita doakan yang terbaik dan harap ada berita baik dari mereka" katanya ketika ditemui di BDC di sini, sebentar tadi. - myMetro

Pakar penerbangan, William Waldock (gambar kecil) minta jangan bandingkan dengan kehilangan MH370

JAKARTA (Indonesia) - Seorang pakar nahas udara, William Waldock daripada Universiti Aeronautikal Embry-Riddle di Prescott, Arizona memberi peringatan agar kehilangan pesawat QZ8501 tidak dibandingkan dengan kehilangan MH370.
"Kita perlu melihat apa yang berlaku seterusnya. Mudah-mudahan pesawat itu ditemui dalam tempoh beberapa jam lagi.
"Sehingga itu, kita tidak boleh membuat sebarang spekulasi," katanya.
Airbus dalam satu kenyataan berkata pesawat yang hilang berkenaan berusia enam tahun dan dihantar kepada AirAsia pada Oktober 2008.
Ia sudah merekodkan sebanyak 23,000 jam penerbangan membabitkan 13,600 penerbangan dan menurut AirAsia, kali terakhir pesawat itu diselenggara adalah pada 16 November lalu.
Ketika ini terdapat 3,606 pesawat A320 beroperasi di seluruh dunia menurut Airbus.
Kelas A320 termasuk pesawat A319 dan A321 mempunyai rekod keselamatan yang amat baik, dengan hanya 0.14 kemalangan maut setiap sejuta penerbangan direkodkan menurut laporan keselamatan Boeing pada Ogos.
QZ8501 hilang ketika berada pada altitud 'cruising' yang kebiasaanya tempoh paling selamat dalam sesebuah penerbangan. Hanya 10 peratus nahas udara dicatatkan pada altitud berkenaan sejak 2004 hingga 2013 menurut laporan sama.
Pada 2007, sebuah pesawat Indonesia milik Adam Air membawa 102 penumpang dilaporkan hilang sewaktu penerbangan domestik. Serpihan ditemui beberapa hari kemudian namun bangkai utama pesawat masih berada di dasar laut.
Meredah cuaca buruk seperti ribut petir mungkin faktor kehilangan QZ8501, namun pesawat Airbus adalah sangat canggih dan boleh menyesuaikan diri dengan gangguan cuaca atau angin.
Bagaimanapun, cuaca merupakan faktor dalam beberapa nahas udara yang berlaku pada altitud 'cruising', termasuk nahas Air France 447 di Lautan Atlantik.
Satu lagi kemungkinan adalah disebabkan struktur besi menjadi lemah (catastrophic metal fatigue) akibat tekanan ketika berlepas dan mendarat - sesuatu yang pasti sering dilakukan pesawat itu. Bagaimanapun perkara itu agak mustahil kerana pesawat berkenaan baru berusia enam tahun. - AP/ myMetro

Imej satelit ketika pesawat Asia Asia itu terputus hubungan

Papan elektronik di lapangan terbang Singapura

Keadaan di sebuah kaunter di Lapangan Terbang Changi di Singapura

KUALA LUMPUR - Adalah menjadi satu amalan biasa buat kapten pesawat untuk mengubah haluan jika cuaca buruk berlaku ketika penerbangan.
Malah, kawasan Laut Jawa di mana pesawat Airbus A320-200 penerbangan AirAsia Indonesia QZ8501 itu hilang daripada radar hanya berkedalaman kurang 150 meter dan adalah kawasan laluan kapal yang sibuk.
Bekas Ketua Juruterbang Serantau Penerbangan Malaysia Datuk Kapten Nik Ahmad Huzlan Nik Hussain berkata, kapten pesawat akan mencari haluan baru atau ‘unusual route’ untuk lari daripada kelompok awan tebal.
“Banyak pilihan ketika mengubah haluan kerana kapten akan membuat pengukuran melalui radar cuaca dalam pesawat dan kemudian akan meminta kebenaran menara kawalan trafik udara.
“Selepas itu barulah pesawat digerakkan mengikut haluan terpilih,” katanya ketika dihubungi.
Tambahnya yang biasa melalui laluan itu ketika berkhidmat berkata, kebiasaannya laluan akan berubah sekurang-kurangnya tiga kali jika keadaan cuaca tidak mengizinkan.
“Melihat kepada gambaran Flight Radar 24, pesawat itu memang sudah beralih arah ke sebelah kanan lebih awal sebelum pesawat itu hilang dari radar,” katanya. - myMetro


Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tony Fernandes berkata, syarikat itu masih tiada jawapan terhadap apa yang berlaku

Tony Fernandes semasa sidang media di Surabaya, Indonesia

Tony Fernandes bersama ahli keluarga penumpang pesawat QZ8501 di Lapangan Terbang Juanda, Surabaya

KUALA LUMPUR - Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes berkata, syarikat itu masih tiada jawapan terhadap apa yang berlaku kepada pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 yang hilang pagi Ahad.
Bercakap pada sidang media di Surabaya, Indonesia, beliau berkata sebelum pesawat Airbus A320-200 untuk perjalanan ke Singapura itu berlepas, pesawat itu dalam keadaan baik dan telah menjalani penyenggaraan seperti dijadualkan pada November. 
"Ini satu kejutan besar kepada kami...sukar dipercayai," kata Fernandes yang kelihatan suram pada sidang media itu yang disiarkan secara langsung oleh stesen televisyen Indonesia yang ditonton di sini, semalam.
Fernandes berkata, beliau tidak mahu membuat spekulasi mengenai kehilangan pesawat itu yang membawa 162 penumpang, sambil menekankan bahawa "kita tidak tahu apa yang silap'.
Hartawan penerbangan Malaysia itu berkata beliau menyerahkan kepada pasukan operasi mencari dan menyelamat untuk mengesan pesawat berusia enam tahun itu yang berlepas dari Surabaya pada 5.35 pagi tetapi terputus hubungan dengan kawalan trafik udara Indonesia pada 7.24 pagi.
Pesawat itu dijadual tiba di Singapura pada 8.20 pagi waktu tempatan.
Penumpang pesawat itu terdiri dari 155 rakyat Indonesia, Korea Selatan (3), Singapura (1), Malaysia (1), Perancis (1) dan Britain (1).
Fernandes berkata, keutamaan syarikat itu sekarang ialah menjaga kebajikan waris terdekat penumpang dan anak kapal pesawat berkenaan.
Dalam satu siri tweet sebelum ini, beliau berkata: "Saya, sebagai CEO kumpulan anda, akan bersama menempuh detik sukar ini. Kita akan menempuh pengalaman pahit yang dahsyat ini bersama-sama".
Fernandes berkata, beliau terharu kerana mendapat sokongan yang terlalu banyak terutama daripada syarikat penerbangan lain di atas insiden tersebut.
"Ini igauan paling buruk bagi saya," kata usahawan itu sebelum berlepas keSurabaya "tempat asal kebanyakan penumpang dan pegawai pengurusan AirAsia Indonesia". - Bernama

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) pesawat AirAsia yang hilang disambung semula

Operasi pencarian sebelum ini ditangguhkan kerana cuaca buruk

JAKARTA - Operasi mencari dan menyelamat (SAR) pesawat AirAsia yang hilang disambung semula pada pukul 6 pagi tadi.
Timbalan Ketua Operasi Agensi Mencari dan Menyelamat Kebangsaan, Tatang Zainuddin berkata, buat masa ini pasukan SAR menuju ke bahagian timur Pulau Belitung.
“Kami telah menghantar empat pesawat bagi membantu mengesan kedudukan pesawat berkenaan. Kami berharap agar dapat menemuinya secepat mungkin,” katanya.
Ujarnya, pihaknya menjangkakan mendapat bantuan daripada pelbagai agensi dari kawasan berhampiran dalam usaha mencari pesawat itu.
“Pesawat dan kapal dari Singapura dan Malaysia dijangka turut menyertai operasi ini. Kami sedang menyediakan dokumen yang diperlukan dan berharap bantuan dari kedua-dua negara ini dapat disegerakan,” katanya. - AFP/ Kosmo!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.