Khamis, 22 Januari 2015

Pisang Goreng Keju Leleh

Razilanudin Mat Rodzi menunjukkan pisang goreng keju yang dijual di gerainya, di Taman Danau Kota, KL. Foto: myMetro

Hirisan keju yang diletakkan di atas pisang goreng menjadikan makanan ini menarik untuk dicuba. Foto: myMetro


Hirisan keju ditabur bersama gula merah di atas pisang goreng panas. Lelehan ramuan dengan rasa rangup bercampur manis dan lemak menjadi formula seorang pengusaha yang tidak menang tangan melayan pelanggan.
Itu rahsia ramuan disaji pengusaha gerai Din Pisang Goreng Cheese Razilanudin Mat Rodzi, 26, atau lebih mesra dipanggil Din di Taman Danau Kota, di sini.
Menurut Razilanudin, suka mengekalkan rasa tradisional pisang keju buatannya kerana ia sudah cukup memberikan rasa enak dan manis dalam pisang keju yang dihasilkan. 
Mengimbas kembali permulaan perniagaannya, dia langsung tidak mempunyai kemahiran memasak mempelajari resepi pisang keju daripada rakan karibnya akibat desakan hidup dan juga semangat ingin mencuba selok-belok perniagaan. 
“Saya berhenti kerja dan jual motosikal untuk membuka gerai pisang goreng. Waktu itu memang susah dengan tiada pengalaman dan kemahiran tetapi saya nekad mencuba nasib. 
“Hari pertama berniaga hanya tiga kotak saja yang terjual, mula-mula goreng pisang pun hangus. Alhamdulillah bermula dengan 5 kilogram (kg) pisang sehari kini mampu menjual 135kg sehari kerana mendapat sambutan yang menggalakkan,” katanya. 
Menurutnya, gerainya dibuka pada jam 2.30 petang hingga 7 malam dengan dibantu tiga pekerja bagi melayan pelanggan yang beratur panjang menunggu giliran. 
Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya. - Muhd Faris Mustaqim Abdullah/ myMetro


Rabu, 21 Januari 2015

Laporan Awal Nahas QZ8501 Dikeluarkan 28 Januari Ini

Menteri Pengangkutan Indonesia berkata Pesawat QZ8501 didapati menambah kelajuannya lebih tinggi sebelum terhenti

Menteri itu berkata 'hal ini jarang berlaku walaupun untuk jet pejuang'

Sebahagian daripada serpihan pesawat

Pesawat ini terhempas ke dalam Laut Jawa dekat Pulau Belitung, Indonesia selepas menempuh cuaca buruk

Pesawat yang membawa 162 penumpang dan anak kapal ini terhempas ketika dalam perjalanan dari Surabaya ke Singapura

Berdasarkan perakam suara pesawat, penyiasat menolak kemungkinan pengganas menjadi punca kemalangan ini

Minggu lalu, sebuah kapal tentera laut Singapura berjaya mengesan badan utama Pesawat QZ8501

Bagaimanapun para penyelam menghadapi kesukaran untuk menghampiri fiuslaj kerana cuaca buruk


JAKARTA – Para ­penyiasat Indonesia sedang memfokuskan faktor kesilapan manusia atau masalah teknikal pada pesawat yang mungkin menjadi punca nahas pesawat AirAsia QZ8501 yang terhempas di Laut Jawa pada 28 Disember lalu.
Jawatankuasa Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan Indonesia (NTSC) yang sebelum ini menolak ada unsur pengganas dalam nahas itu membe­ritahu bahawa satu laporan awal tragedi tersebut akan dikeluarkan pada 28 Januari ini.
Seorang pegawai penyiasat di NTSC, Nurcahyo Utomo berkata, siasatan kini tertumpu kepada kemungkinan berlakunya kerosakan pada pesawat dan faktor manusia.
Sebelum ini para pegawai agensi meteorologi Indonesia memberitahu, kemungkinan cuaca buruk menjadi punca pesawat berkenaan terhempas.
“Kami akan memfokuskan kepada bagaimana sistem pada pesawat dan ­juruterbang bertindak balas terhadap cuaca berbanding cuaca ketika kejadian,” kata Nurcahyo.
Ujarnya, pasukan ­penyiasat juga sedang ­menganalisa maklumat daripada rakaman data penerbangan pesawat yang memantau semua bahagian utama pesawat dan merakamkan ketinggian serta arah ia bergerak.
Seorang lagi penyiasat, Ertata Lananggalih berkata, pihak berkuasa tidak akan mendedahkan sebarang butir lanjut mengenai kan­dungan rakaman data ­penerbangan dan rakaman suara kokpit QZ8501 sebelum laporan awal dikeluarkan.
Pesawat milik AirAsia Indonesia yang membawa seramai 162 penumpang dan anak kapal itu terhempas ketika dalam perjalanan dari Surabaya menuju ke Singapura.
Sehingga kini, sebanyak 53 mayat penumpang berjaya ditemui dan ramai mangsa dipercayai masih terperangkap di dalam badan pesawat berkenaan.
Usaha pasukan penyelam Indonesia untuk meng­hampiri badan pesawat berkenaan yang ditemui di dasar Laut Jawa sejak beberapa hari lalu masih gagal akibat cuaca buruk.
Pesawat itu terhempas ke dalam Laut Jawa dekat Pulau Belitung, Indonesia selepas menempuh cuaca buruk. – AFP/ Kosmo!

Lagi Berita Penumpang Pesawat Buka Pintu Kecemasan

Seramai 130 penumpang dari Rio de Janeiro ke Sao Paulo terperangkap dalam kapal terbang

Penumpang yang terdesak terpaksa bertindak membuka pintu kecemasan pesawat kerana alat pendingin hawanya rosak

Rio kini mengalami cuaca panas terik mencecah 40 darjah Celsius

Penumpang kemudiannya dipindahkan ke pesawat lain


SAO PAULO - Penumpang yang terperangkap dalam sebuah kapal terbang ketika mengalami gangguan pendingin hawa akibat cuaca terlalu panas bertindak membuka pintu kecemasan, kelmarin.
Stesen televisyen Globo menyiarkan rakaman dalam pesawat itu menunjukkan penumpang yang kepanasan dengan mengipas diri mereka sebelum bertindak membuka pintu kecemasan terbabit.
Pesawat yang membawa 130 penumpang dari Rio de Janeiro ke Sao Paulo terperangkap ketika kapal terbang itu berada di atas landasan selama sejam.
Syarikat penerbangan Brazil, Gol berkata, bahagian pendingin hawa ketika pesawat berada di darat mengalami kerosakan. 
Penumpang kemudiannya dipindahkan ke pesawat lain.
"Kita mengambil segala langkah yang perlu untuk mengurangkan rasa tidak puas hati penumpang," katanya.
Rio sedang mengalami cuaca panas terik dengan suhu mencecah 40 darjah Celsius. - AP/ Berita Harian

Bukan Senang Dapat Lesen Perniagaan

Restoran Line Clear di Jalan Penang terus beroperasi seperti biasa walaupun baru disita MPPP kelmarin.

Rakaman CCTV menunjukkan anggota penguat kuasa MPPP sedang mengangkat meja Restoran Line Clear awal pagi semalam.

Abdul Hamid Seeni Pakir, pengusaha Nasi Kandar Line Clear

Abdul Hamid mendakwa sudah beberapa kali memohon lesen daripada MPPP namun tidak diluluskan

Walaupun tanpa lesen, restoran nasi kandar Line Clear tetap meneruskan operasinya


GEORGE TOWN – Pengusaha restoran nasi kandar Line Clear terus melawan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) apabila ia bertindak meneruskan operasi tanpa lesen semalam walaupun sebahagian peralatan kerusi, meja dan rak membancuh minuman restoran itu telah disita anggota penguat kuasa majlis itu awal pagi kelmarin.
Abdul Hamid Seeni Pakir turut berikrar tidak akan membayar kompaun bagi menuntut semula peralatan perniagaan yang dirampas itu.
Beliau mendakwa tidak me­lakukan sebarang kesalahan dalam menjalankan perniagaan itu di Jalan Penang di sini walaupun tanpa lesen yang tidak diluluskan oleh MPPP.
“Masalah tiada lesen ini bukan berpunca da­ripada saya kerana saya sudah beberapa kali memohon lesen daripada MPPP namun tidak diluluskan sehingga ke hari ini.
“Saya telah cuba pelbagai cara untuk mendapatkan lesen perniagaan yang sah malah telah mengemukakan permohonan sejak tahun 2006 dan kali terakhir pada 2012 namun tetap tidak lulus.
“Jadi, kenapa saya harus membayar kompaun kepada MPPP, sedangkan saya sudah cuba berniaga ikut saluran yang betul?” tegas Abdul Hamid ketika ditemui pemberita di sini semalam.
Abdul Hamid berkata, sejak premis perniagaannya disita kelmarin, perniagaan di restoran miliknya didakwa semakin mendapat sambutan luar biasa daripada pengunjung tempatan dan pengunjung luar negara.
“Kehadiran pelanggan di restoran saya hari ini (semalam) semakin rancak berbanding hari biasa dan kebanyakan mereka turut mempersoalkan kejadian yang berlaku selepas berita tersebut disiarkan dalam media cetak dan elektronik.
“Mungkin ramai orang ke sini (restoran) untuk melihat sendiri sama ada premis ini masih dibuka atau sebaliknya selepas operasi MPPP pagi semalam (kelmarin). - Kosmo!

Daging Salai Sabak Istimewa Dari Rembau

Daging yang disalai dalam sabak nampak kemerah-merahan

Daging puyuh salai yang dipekkan dengan jenama Sabak Salai.

Itik ini sedia untuk disalai di dalam sabak.

Mohammad Taqdir (kiri) dan Roasli menunjukkan produk Sabak Salai.


Negeri Sembilan terkenal dengan menu masak lemak cili api dan ia diperkemaskan dengan ciptaan tradisional bagi menambah aromanya yang diberi nama 'sabak salai.'
Ia hasil kreativiti anak muda berasal dari Kampung Kundur, Pedas, Rembau.
Pengusaha terbabit, Mohammad Taqdir Sajin, 25, membuat tindakan drastik apabila meletak jawatan di sebuah bank terkemuka di Subang Jaya, Selangor pada Ogos tahun lalu selepas dua tahun bekerja untuk menumpukan bidang perniagaan produk salai diusahakan bersama keluarganya.
"Terdetik juga kebimbangan di hati kerana belum lagi ada ahli keluarga saya berkecimpung dalam bidang perniagaan.
"Namun idea itu dicetuskan ayah, Sajin Moosthapha, 60, seorang pesara tentera untuk membina sabak iaitu tempat salai produk daging, ikan keli, ayam kampung, itik dan burung puyuh," katanya ketika ditemui di tapak Pasar Tani Lukut, Port Dickson.
Menerusi kaedah membina rumah api atau sabak ini, masakan salai menjadi lebih sedap.
Taqdir amat berterima kasih kepada Pegawai Lembaga Pemasaran Persekutuan (FAMA) Port Dickson, Roasli Abd Hamid yang memberi peluang dan galakan kepadanya untuk mengembangkan perniagaan itu.
Katanya, bermula di Pasar Tani di Bandar Springhill, Port Dickson, dia melebarkan sayap di empat lokasi lain iaitu di Putrajaya, Masjid Tanah, Melaka; Bangi dan Lukut, Port Dickson.
"Dengan bantuan FAMA, produk salai diusahakan mula mendapat sambutan memberansangkan.
"Saya akhirnya membuat keputusan untuk meneruskan perniagaan ini ke tahap maksimum me­ngikut kemampuan yang ada," katanya.
Produk salainya menjadi pilihan kerana ia mampu bertahan antara tiga hingga lima hari tanpa disimpan dalam peti sejuk.
Menurut graduan Diploma Pengurusan Perniagaan di Kolej Islam Antarabangsa Kuala Lumpur ini, dia memulakan perniagaan dengan modal RM20,000 termasuk membina sendiri sabak menggunakan batu-bata dan simen.
Malah besi untuk menyangkutkan produk yang hendak disalai lengkap dengan bacaan suhu juga memakan kos RM10,000.
"Fungsi sabak adalah untuk melembut dan melembabkan daging seperti itik yang terkenal dengan liatnya ketika dimasak.
"Rasanya kekal walaupun proses menyalai mengambil masa tiga jam dalam suhu 70 hingga 80 darjah Celsius," katanya.
Setiap produk berbeza mengikut tempoh menyalai seperti daging mengambil masa selama empat jam, ikan sembilang (dua jam 30 minit), burung puyuh (sejam 30 minit) dan ayam kampung (dua jam).
Daging yang hendak disalai tidak diperap bagi memelihara keaslian rasanya.
Katanya, soal memilih kayu api juga penting kerana tidak semua jenis sesuai digunakan untuk menyalai.
"Contohnya, kayu getah mengeluarkan habuk manakala kayu pokok durian mengeluarkan asap yang banyak," katanya.
Dia menjadikan Pasar Tani sebagai satu kaedah pemasaran dan pada masa sama menjual produk makanan siap dimasak ibunya, Kasinam Salimin, 67.
"Hujung minggu pula, kami menumpukan jualan di kedai kerana biasanya ramai pelanggan pada waktu itu memandangkan kedai kami terletak di laluan alternatif ke Melaka dan lebuh raya ke Kuala Lumpur," kata anak muda yang masih bujang ini.
Menurut Mohammad Taqdir, bermula Januari lalu, ahli keluarganya banyak membantu terutama ibu dan dua abangnya yang sanggup berhenti kerja untuk memberi fokus kepada perniagaan berkenaan.
Perniagaan didaftarkan atas nama Taqdir Enterprise itu mendapat galakan penuh daripada FAMA yang turut membantu dalam mendapatkan tapak perniagaan. Mohd Khidir Zakaria / myMetro

Selasa, 20 Januari 2015

Sate 2 Minit

Sate K-MAYAN: Sate siap dalam tempoh dua minit

Sate hanya perlu dimasukkan ke dalam ketuhar untuk dipanaskan

Rasanya sama seperti sate segar

Marsam bersama produk sate dua minit jenama K-MAYAN.


Memulakan perniagaan pada usia 24 tahun, penghijrahan usahawan kelahiran Parit Raja, Batu Pahat, Johor ini ke Negeri Pahang Darul Makmur membawa rahmat cukup besar dalam produk sate warisan keluarga.
Kesungguhan Marsam Ngadino, 49, berbayar apabila satenya mendapat sambutan pelanggan.
Berbekalkan ramuan tradisi serta rempah ratus seimbang dan penggunaan lidi kelapa sebagai bahan pencucuk menjadikan sate K-MAYAN mudah dimakan serta lembut.
Produk inovasi yang dibangunkan lima tahun lalu menembusi pasaran tempatan dengan sate ayam, lembu dan kambing.
Dalam memastikan produk sejuk beku berkualiti, Marsam bekerjasama dengan MARDI supaya tahan lama. 
Marsam yang juga Pengurus Rumah Sate Kemayan berkata, sate K-MAYAN diadaptasi daripada resipi ayahnya.
"Dulu, ayah kami berniaga sate di Singapura pada tahun 1950-an sebelum berhijrah ke Parit Raja, Johor.
"Saya membawa resipi warisan keluarganya ke Kemayan, Pahang.
"Berkat kesabaran, saya membuka cawangan pertama di Seremban," katanya.
Sepanjang 23 tahun dalam bidang ini, Marsam mencari idea untuk memvariasikan produknya.
"Maka tercetuslah sate dua minit kerana zaman sekarang sate adalah makanan warisan yang susah disediakan.
"Proses pembakaran sangat sukar memerlukan tenaga mahir bagi mengekalkan kualiti," katanya.
Penciptaan sate dua minit juga atas cadangan rakan-rakannya yang belajar di luar negara.
"Penerimaaan sate di luar negara bagus, tetapi untuk mendapatkan kualiti terbaik kepada pelanggan sangat sukar.
"Jadi saya bangunkan sate dua minit dan percubaan selama lima tahun akhirnya dipasarkan pada 2012," katanya.
Dia terus mengekalkan lidi kelapa dan rempah ratus kerana rasanya lebih enak.
"K-MAYAN adalah jenama yang didaftarkan di Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO).
"Di sebalik nama berkenaan tersirat makna iaitu 'K' adalah kaya dan Mayan pula lumayan iaitu lumayan dengan rempah ratus serta tradisi," katanya.
Jabatan Pertanian Pahang banyak membantu memberi ilmu dan kemudahan prasarana (bengkel) dengan peruntukan RM40,000.
"Setakat ini, kami mengeluarkan 4,000 hingga 5,000 cucuk sate sehari.
"Proses atau cara penyediaan mudah iaitu pengguna hanya perlu keluarkannya daripada peti sejuk dan masukkan ke dalam ketuhar selama dua minit dan rasanya sama seperti sate segar," katanya.
Sate keluarannya mendapat sijil halal JAKIM dan Sijil Makanan Selamat, Tanggungjawab Industri (MeSTI) daripada Kementerian Kesihatan.
"Dalam perancangan masa depan, saya mahu memasarkan sate ini ke pasaran antarabangsa," katanya. - Mohd Sabran Md Sani / myMetro