Rabu, 31 Oktober 2012

Dahsyatnya Taufan Sandy

Imej satelit  menunjukkan bagaimana besarnya Taufan Sandy yang membadai Amerika Syarikat.

CAPE CANAVERAL, Florida - Taufan Sandy yang membawa kemusnahan besar di pantai timur Amerika Syarikat (AS) dapat dilihat dari angkasa lepas. 
Komander Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS), Sunita Williams semalam menyatakan dia dan seorang kru lain dapat melihat lingkaran besar Sandy semasa ia mendekati pantai timur itu. 
Keluarga Sunita tinggal di New England dan dia membuat pemerhatian dengan teliti di wilayah tersebut. 
Taufan Sandy itu melanda New York kelmarin sehingga mengakibatkan hampir keseluruhan bandar raya tersebut tenggelam. 
Taufan itu juga menyebabkan sistem tren bawah tanah di bandar raya New York mengalami kerosakan teruk dalam tempoh 108 tahun. 

Lebih enam juta penduduk terputus bekalan elektrik dari Carolina ke Ohio. 
"Ia akan menjadi salah satu rekod," kata Naib Presiden Kanan Consolidated Edison, John Miksad. 
Beliau menyatakan, lebih 670,000 pelanggan syarikat itu yang tidak mendapat bekalan elektrik akibat taufan tersebut di bandar raya New York. - Agensi  
Kosmo! Online 31.10.2012
_______________________________________________________________________

Demikianlah besarnya kuasa alam ciptaan Tuhan. Maka tidak mustahil kawasan-kawasan yang dilalui oleh taufan berkenaan mengalami kerosakan yang teruk.
Sementara insan-insan yang berada di Stesen Angkasalepas Antarabangsa (ISS) hanya mampu melihat dan membuat pemerhatian, tetapi tidak mampu melakukan apa-apa untuk menghalang, atau memperlahankan, atau sekurang-kurang mengalihkan hala taufan berkenaan ke laut lepas.
Jika demikian kehendak Tuhan, tiada siapa yang dapat menghalangnya. Kita hanya mampu berdoa dan berbuat amal kebaikan agar Tuhan tidak menimpakan kita dengan malapetaka yang dahsyat seperti ini.


3.1 Juta Jemaah Haji Selesai Laksana Ibadah

Sebahagian jemaah haji mengerjakan tawaf perpisahan kelmarin.
MEKAH - Seramai 3.1 juta jemaah selesai menyempurnakan ibadah haji pada hari terakhir di sini semalam tanpa berlaku sebarang insiden besar. 
Pihak berkuasa Arab Saudi menganggap musim haji tahun ini sebagai antara yang paling berjaya. 
Mereka turut mengucapkan tahniah kepada para jemaah walaupun terdapat sejumlah daripada mereka memasuki kota suci ini tanpa permit yang sah. 
"Semuanya berjalan begitu baik," kata Gabenor Mekah, Putera Khaled Al-Faisal kepada pemberita. 
Menurut beberapa pegawai, sekitar 120,000 anggota polis bersama pegawai kesihatan telah dikerahkan mengawasi perjalanan haji selama lima hari. 
Kumpulan terakhir jemaah haji melontar jamrah semalam di Mina. 
Mereka kemudian menuju ke kota suci ini untuk melakukan tawaf widak sebelum meninggalkan Arab Saudi untuk pulang ke negara masing-masing. AFP 
Kosmo! Online 30.10.2012
_______________________________________________________________________

Syukur kepada Allah kerana suasana haji pada tahun ini berjalan dengan lancar. Kita tidak mendengar insiden yang tidak diingini berlaku pada musim haji kali ini. Jemaah haji juga dapat melaksanakan ibadah haji dengan sempurna, terutama semasa melontar di jamrah.
Masalah di jamrah ini pada masa lalu biasanya berpunca daripada sikap kasar dan agresif jemaah haji dari Pakistan, India dan Afrika. Dalam keadaan mereka terlalu obses hendak melontar 'syaitan', mereka tidak menghiraukan keselamatan jemaah haji dari negara lain.
Akibatnya, batu yang sepatutnya digunakan melontar 'syaitan' akhirnya terkena di kepala jemaah haji yang lain. Demikian juga, jika ada jemaah yang rebah, mereka akan dipijak oleh jemaah yang berebut-rebut dan himpit menghimpit itu.
Bagaimanapun syukurlah, masalah di jamrah telah diselesaikan dengan penambahbaikan dan pengubahansuaian tempat berkenaan. Tahniah kepada pihak berkuasa Arab Saudi kerana telah berjaya menguruskan musim haji pada tahun ini dengan jayanya. Semoga sistem pengurusan haji akan semakin bertambah baik dari tahun ke tahun.


Syria: Tentera Gempur Orang Awam

Pemandangan di sebuah kawasan awam di Damsyik yang dibedil oleh pihak tentera
DAMSYIK - Beberapa letupan menggegarkan bandar raya ini semalam selepas jet-jet pejuang rejim Presiden Bashar Al-Assad melancarkan serangan udara paling besar sejak Mac tahun lalu.
Seorang wartawan agensi berita AFP berbata, serangan kali ini menyebabkan tingkap-tingkap bangunan di pusat bandar di sini bergegar. 
Kumpulan Pemerhati Syria Untuk Hak Asasi Manusia memberitahu, tentera Bashar melancarkan sekurang-kurangnya 48 serangan udara di seluruh negara semalam. 
Menurut kumpulan pemerhati tersebut, lebih 400 orang terbunuh sejak Hari Raya Aidiladha termasuk 35 orang semalam. 
Rakyat Syria bangkit menentang rejim Bashar kerana menuntut kebebasan dan pemerintahan demokrasi dengan penentangan tersebut mengorbankan lebih 35,000 nyawa setakat ini. 
Agensi - Kosmo! Online 30.10.2012
_______________________________________________________________________

Tentera dan polis adalah pihak yang bertanggungjawab menjaga keselamatan negara. Kedua-duanya dibiayai oleh dana kerajaan. Maknanya, sumber pembiayaan tentera datang dari cukai dan hasil negara. Dalam perkataan lain, wang rakyat.
Tugas tentera sepatutnya mempertahankan negara daripada ancaman musuh dari luar. Manakala tugas polis pula ialah menjaga keamanan dalam negeri dan menjadi penguatkuasa undang-undang negara. Maknanya, kedua-dua instrumen kerajaan itu sepatutnya melindung rakyat.
Malangnya, di negara dunia ketiga, tentera dan polis selalu digunakan untuk mengekang kebebasan rakyat. Lebih menyedihkan, mereka sanggup membunuh rakyat sendiri. Manakala yang dipertahankan ialah pemimpin, bukan negara. Lebih menyedihkan, pemimpin yang dipertahankan itu ialah pemimpin yang tidak popular kerana terlibat dengan rasuah, salahguna kuasa dan penyelewengan.
Tidak menghairankanlah selepas ini nanti, jika pemimpin berkenaan jatuh dari tampuk kekuasaan, dia akan diseret di jalan raya sebagaimana yang berlaku kepada Muamar Ghadafi di Libya dahulu. Semoga perkara seperti ini tidak akan berlaku di Malaysia pada masa yang akan datang. 


Manusia Terdesak Biasanya Kreatif Dan Inovatif

Tambah kapsyen
BANDAR GAZA, Palestin - Penduduk di sini menanam pelbagai jenis sayur dan tanaman herba di atas bumbung apartmen mereka. 
Banyak bumbung rumah dan bangunan apartmen di bandar ini dilengkapi sistem penanaman yang menggunakan air serta bahan kumuhan dari tangki-tangki ternakan ikan tilapia sebagai baja. 
Projek tersebut dibiayai sebuah agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. 
"Ia adalah untuk membantu penduduk paling miskin di bandar ini menghasilkan makanan sendiri tanpa menggunakan racun seranggan," kata timbalan pengurus projek berkenaan, Mohammed El Shatali. 
AFP Kosmo! Online 30.10.2012
_______________________________________________________________________

Ini berita baik buat rakyat Malaysia. Kita boleh jadikan berita ini sebagai iktibar dan motivasi untuk membolehkan kita menghasilkan sendiri makanan yang halal dan sihat.
Dikatakan halal kerana kita sendiri yang menanamnya. Dikatakan sihat pula, kerana kita tidak perlu menggunakan baja kimia dan racun serangga untuk tanaman kita.
Apakah tanaman yang boleh kita tanam? Buat permulaan, kita boleh menanam pokok terung, tomato, daun sup, bawang untuk menghasilkan daun bawang dan lain-lain pokok yang sesuai.
Caranya: kita gunakan pasu bunga yang biasa digunakan untuk menanam bunga. Selain menanam bunga yang hanya boleh dipandang, tapi tak boleh dimakan, elok juga kita menanam sayuran yang boleh di makan. Tempatnya: di beranda rumah atau di mana-mana tempat yang sesuai dalam kawasan rumah kita.
Manfaatnya: kita dapat menjimatkan belanja ke pasar, kita dapat menyediakan sayuran segar yang baru dipetik dan yang paling penting, sayuran yang kita makan bebas daripada baja kimia dan racun serangga. Mudah-mudahan usaha kita diberkati Tuhan.
Kesimpulannya, halal+berkat: Insya-Allah sihat.


Selasa, 30 Oktober 2012

New York Umpama Bandaraya Berhantu

Kenderaan tenggelam semasa lonjakan ribut berhampiran Terowong Brooklyn, Isnin, Oktober 29, 2012, di New York. 

Pemandangan di sebatang jalan raya di tepi pantai Southampton, New York.

Kawasan kediaman yang terkena bencana.

Pohon kayu yang tumbang.

NEW YORK - Pihak berkuasa New York kelmarin mengarahkan 375,000 orang berpindah dari kawasan pantai sebelum ketibaan taufan Sandy. 
Lebih 7,400 penerbangan turut dibatalkan manakala kakitangan pentadbiran yang tidak penting diarah supaya tidak datang ke pejabat. 
Semua perkhidmatan bas dan tren di kawasan tepi pantai digantung. Perkhidmatan pengangkutan awam juga tidak beroperasi di Philadelphia dan Washington DC. 
Bangunan pejabat Bursa Saham New York dan Nasdaq juga ditutup. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu membatalkan mesyuarat di ibu pejabatnya di sini. Pertunjukan teater Broadway juga ditutup kepada orang ramai. 
Semua sekolah di Baltimore, Boston dan Washington DC turut ditutup bagi menghadapi kedatangan taufan Sandy. 
Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama mengisytiharkan perintah darurat di negeri Massachusetts, Connecticut, Rhode Island, New York, New Jersey dan Pennsylvania. 
Taufan dari Lautan Atlantik itu bergerak ke pantai timur Amerika Syarikat. Lebih 60 juta penduduk di kawasan itu terjejas. Agensi
Kosmo! Online 30.10.2012 
_______________________________________________

Memang bandaraya New York pernah digambarkan mengalami keadaan huru hara dalam beberapa filem fiksyen disebabkan peperangan. Tapi, itu hanya filem yang berdasarkan imaginasi pengarahnya. Namun, kita tidak pula menyangka bandaraya New York yang sibuk itu boleh bertukar menjadi lengang hanya kerana faktor alam.
Demikianlah kuasa alam. Bukankah kuasa alam itu hanya sedikit kekuatannya jika dibandingkan dengan kekuasaan Tuhan Semesta Alam?

Terbaru: Kesan Taufan Sandy

Stesen Subway New York yang selalunya sibuk kini lengang

Keadaan di Atlantic City, New Jersey

Kren patah

Jalan raya lenggang

Keadaan di New York

Di kawasan rendah Manhattan

Ombak tinggi

Banjir di New Jersey

Lagi pohon kayu tumbang

Kawasan rendah Manhattan, New York mula bergelap


Sama Tapi Tak Serupa

New York

NEW YORK: Lebih 15,000 penerbangan terkandas apabila Taufan Sandy melanda pantai timur AS dengan menghasilkan hujan ribut dan angin kuat, dan ia dijangka berlarutan selama beberapa hari.
Jumlah penerbangan itu dijangka akan bertambah apabila taufan itu bergerak perlahan di beberapa kawasan pedalaman AS selepas mendarat berhampiran Atlantic City, New Jersey, petang semalam.
 AFP - Berita Harian 30.10.2012 
Kota Kinabalu
KUALA LUMPUR: Landasan kapal terbang, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, (KKIA) akan terus ditutup untuk operasi sehingga 10 malam ini, sementara Malaysia Airport Berhad (MAB) memulihkan isu pencahayaan di landasan itu. 
KKIA ditutup malam tadi, selepas lampu landasan tidak berfungsi menyebabkan beberapa penerbangan masuk dan keluar terpaksa dibatal atau dijadualkan semula dan ramai penumpang terkandas. 
BERNAMA 26.10.2012
_______________________________________________________________________
Apa yang sama ialah, lapangan terbang ditutup dan penerbangan masuk atau keluar terpaksa dibatalkan. Yang berbeza, lapangan terbang di New York ditutup atas sebab-sebab yang tak dapat dielakkan iaitu faktor bencana alam. Tapi, di Kota Kinabalu pula, cuaca baik. Cuma khabarnya, 'kabel' bekalan elektrik untuk lampu-lampu landasan terbang sahaja yang kurang baik.


Setelah Tidak Lagi Menjadi Pemimpin



MANILA: Bekas Presiden Filipina, Gloria Macapagal Arroyo mengaku tidak bersalah di mahkamah negara itu atas dakwaan menyalahguna AS$8.8 juta dalam dana loteri awam iaitu kes rasuah ketiga terhadap beliau. 
AP - Berita Harian 29.10.2012.
_______________________________________________________________________


Beginilah liputan berita bagi kebanyakan bekas pemimpin di negara sedang membangun. Ketika berada dipuncak kekuasaan, mereka nampak suci dan dianggap pembela rakyat. Tapi bila sudah meletakkan jawatan atau bersara, satu-satu keburukan mereka didedahkan. 
Selepas berkuasa sekian lama, negara masih belum maju dan rakyat masih ramai yang miskin. Tapi bekas pemimpin, ahli keluarga dan kroninya menjadi kaya-raya. Sedangkan ada rakyatnya terpaksa bergadai nyawa menjadi pelarian di negara jiran demi untuk menyara diri dan keluarga. Sungguh menjengkelkan.



Isnin, 29 Oktober 2012

Koleksi Gambar Musim Haji Tahun 2012

Jemaah haji di Jabal Rahmah. Tarikh foto: 25.10.2012

Seorang jemaah haji khusyuk berdoa di Jabal Rahmah. Tarikh foto: 25.10.2012

Jemaah haji bersantai di Puncak Jabal Rahmah. Tarikh foto: 25.10.2012

Dua orang jemaah haji sedang berdoa di Jabal Rahmah. Tarikh foto: 25.10.2012

Lagi jemaah haji kyusyuk berdoa di Jabal Rahmah. Tarikh foto: 25.10.2012

Jemaah haji berpusu-pusu di Jabal Rahmah. Tarikh foto: 25.10.2012

Suasana di luar Masjid Namera, Padang Arafah. Tarikh foto: 25.10.2012

Jemaah haji solat Asar di luar Masjid Namerah, Arafah. Tarikh foto: 25.10.2015

Para jemaah mendaki dan berdoa di Jabal Rahmah. Tarikh foto: 25.10.2012

Jemaah mengendong anak kecil ke Padang Arafah. Tarikh foto: 24.10.2012

Suasana di Masjidil Haram pada 22.10.2012

Suasana di Masjidil Haram pada 29.10.2012


Suasana jemaah haji di Masjidil Haram pada 22.10.2012

Suasana Maghrib di luar Masjidil Haram pada 23.10.2012

Jemaah haji sedang mengerjakan tawaf mengelilingi Ka'bah di Masjidil Haram pada 22.10.2012

Solat Maghrib di Masjidil Haram pada 22.10.2012

Pemandangan di pucak Gua Hira pada 21.10.2012

Masjidil Haram dilihat dari puncak Gua Hira pada 21.10.2012

Sumber: ABC News

Budak Lelaki Ditanduk Lembu Korban

Keadaan menjadi kecoh apabila lembu yang hendak dikorbankan hendak mencari 'korban'.

KARACI, Pakistan - Seorang budak lelaki cedera selepas ditanduk seekor lembu jantan yang akan disembelih sempena Hari Raya Aidiladha di sini kelmarin. 
Budak tersebut ditanduk semasa haiwan itu mengejar kanak-kanak itu. 
Bagaimanapun, budak itu hanya mengalami cedera ringan ketika haiwan tersebut terlepas daripada ikatan ketika ia hendak disembelih. 
Agensi - Kosmo 29.10.2012
_______________________________________________

Walaupun kejadian ini bukan berlaku di Malaysia, tetapi umat Islam di negara ini patut mengambil iktibar, iaitu aspek keselamatan jangan diambil ringan.
Jika tidak, dibimbangi, lain yang hendak dikorbankan, lain pula yang terkorban!



50,000 Orang Muda Muflis Di Malaysia


Kuala Lumpur: Lebih 50,000 orang muda berusia bawah 34 tahun diisytiharkan muflis di negara ini dalam tempoh lima tahun lalu. 
Kebanyakan mereka bankrap disebabkan kegagalan membayar balik pinjaman sewa beli kenderaan, pinjaman perumahan, pinjaman peribadi dan pinjaman perumahan. Malah ada juga yang menjadi mangsa penipuan disebabkan penggunaan butiran peribadi mereka oleh peminjam tidak dikenali. 
Berita Harian 28.10.2012
_______________________________________________________________________

Inilah masalah 'orang muda' di Malaysia sekarang ini. Sebenarnya, 'orang muda' di negara ini mula terlibat dengan hutang sejak mereka belajar di universiti lagi, kerana terpaksa berhutang dengan PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional). Maknanya, sebelum ada pekerjaan, mereka sudah ada hutang!
Setelah bekerja, 'orang muda' perlu (perlu atau mahu?) pula memiliki kenderaan sendiri dan berkahwin dengan pasangan yang dicintai. Sebagai orang yang baru bekerja, tentulah 'orang muda' belum mempunyai simpanan. Akhirnya, hutang lama belum langsai dibayar, buat pula hutang baru, iaitu pinjaman sewa beli kenderaan dan pinjaman peribadi untuk membiayai perkahwinan.
Maka, 'orang muda' terpaksa memperuntukkan kira-kira 20% daripada pendapatan mereka semata-mata untuk membayar hutang! Namun, apabila kos sara hidup meningkat lagi, 'orang muda' akhirnya hilang keupayaan untuk membayar hutang-hutang mereka mengikut jadual.
Kesudahannya, 'orang muda' yang masih 'mentah' dalam pengurusan kewangan peribadi itu terpaksa mempelajari risiko kesilapan mengurus hutang melalui prosiding mahkamah oleh pihak finance dan tindakan Jabatan Insolvensi. Itupun jika mereka mahu belajar daripada pengalaman.


Ahad, 28 Oktober 2012

Misteri Kerbau Liar Berdiri Tegak Kena Sembelih



"Angah, jangan ikut Tok!" pujuk Tok Aji tatkala dia selesai berbuka puasa. Tapi saya mendengus kerana hendak mengikutnya, sekalipun tidak mengetahui Tok Aji hendak ke mana.
"Tok nak Terawih?" soal saya.
Tok Aji geleng kepala. Kemudian dia mencapai baju teluk belanganya yang tersangkut di dinding.
"Parang aku mana?" Tok Aji berpaling ke arah nenek dengan tidak menghiraukan saya.
Nenek bergegas ke dapur mengambil parang Tok Aji. Setelah menyambut parang dari tangan nenek, Tok Aji segera mengambil tongkatnya dan berjalan terkial-kial ke pintu. Sebelah kaki Tok Aji lumpuh. Sebab itu dia menggunakan tongkat untuk berjalan. Tok Aji berhenti di pintu apabila menyedari saya mengikutinya dari belakang.
"Angah jangan ikut..." katanya memujuk dengan lembut. Tetapi saya tetap berkeras mahu mengikut Tok Aji. 
"Ah, biarlah dia nak ikut, apa salahnya," sahut nenek.
"Malam ini berbantai, aku nak ke sana," ujar Tok Aji perlahan-lahan menuruni tangga. "Bukan berbantai kerbau biasa, dia orang berbantai kerbau liar," sambungnya lagi.
Biasanya pada malam puasa terakhir di kampung, dijalankan upacara berbantai, iaitu menyembelih lembu atau kerbau untuk dimasak rendang bagi menyambut hari raya. Orang-orang di kampung Tok Aji berjaya menangkap seekor kerbau liar untuk digunakan berbantai.
Kerbau liar ini pun sebenarnya kepunyaan orang-orang kampung juga. Namun mereka tidak dapat membawa kesemua ternakan mereka semasa kerajaan memindahkan para penduduk yang tinggal di kawasan pedalaman kampung, sewaktu zaman darurat dulu. Kerbau yang mereka tinggalkan itulah yang terlepas ke hutan dan menjadi kerbau liar.
Apabila darurat tamat, mereka dibenarkan balik semula ke kampung. Sejak itu tuan-tuan punya kerbau berusaha menangkap semula kerbau-kerbau mereka yang terlepas ke hutan.
Usuh, kawan Tok Aji dapat menangkap semula seekor kerbaunya yang terlepas ke hutan. Sebab itu Usuh menyampaikan hajatnya, berbantai kerbaunya yang sudah menjadi liar.
"Jangan ikut, nanti terlepas kerbau liar tu," Tok Aji melarang.
Bagaimanapun Tok Aji terpaksa juga mengalah setelah saya berkeras mahu mengikutinya ke tempat Usuh berbantai. Malam itu, dia berjalan di hadapan saya sambil memegang pelita minyak tanah. Api pelita itu meliuk-liuk ditiup angin walaupun Tok Aji sudah menggunakan daun jarak menutup bahagian belakang pelita, untuk melindungi apinya daripada ditiup angin.
"Agaknya dah ramai orang menunggu tu..." ujar Tok Aji terhinggut-hinggut berjalan menggunakan tongkat.
Tetapi sebaik sampai di kawasan lapang berdekatan pokok rambai, tidak kelihatan sesiapapun di situ. Usuh juga tidak kelihatan di mana-mana. Lampu gaslin memang ada tersangkut di dahan pokok, tetapi hampir malap kerana tidak dipam.
Saya terhangak-hangak mencari siapa yang ada menunggu di situ. Mereka semua sepatutnya sedang menanti Tok Aji untuk menyembelih kerbau kerana Tok Aji sudah berjanji dengan Usuh akan segera datang selepas berbuka puasa dan solat Maghrib.
"Ke mana pula Usuh ni...?" keluh Tok Aji berhenti berhampiran busut, tidak jauh dari pohon rambai.
"Hoi...!" terdengar suara orang melaung dalam kegelapan senja tidak jauh dari situ. "Abang Aji ke tu?" suara Usuh seolah-olah sayup di udara.
"Iya, aku!" sahut Tok Aji mendongak ke atas.
Dari silauan lampu pelita itu, memang Usuh yang melaung dari pertengahan pokok kelapa, tidak jauh dari tempat kami berdiri. Usuh berpaut di situ bersambung-sambung punggung dengan Latih, Akop, Semik, Lias dan Kahar.
Geli juga hati saya melihat mereka berenam memanjat sebatang pokok kelapa di dalam kegelapan malam.
"Apa kena kau orang semua ni...?" soal Tok Aji kehairanan.
"Kerbau terlepas Bang Aji..." sahut Usuh cemas. "Lebih baik Bang Aji balik dulu. Kerbau ada di bawah pokok kelapa ni menebong-nebong!" ujarnya sambil menguak-nguak tangan menyuruh kami pergi.
Ketika itu, kerbau yang terlepas sedang menunggu di bawah pokok kelapa sambil menyondol-nyondolkan tanduknya yang runcing ke perdu pokok. Mereka berenam tidak sempat memberitahu Tok Aji mengenai kerbau sudah terlepas dari ikatan sebab mereka semua berlumba-lumba memanjat pokok kelapa itu bagi menyelamatkan diri daripada diserbu kerbau berkenaan.
"Balik dulu Bang Aji, kerbau ni turun minyak," laung Usuh lagi menguak-nguak tangan menyuruh kami  beredar dengan segera.
Tok Aji menolak bahu saya untuk meninggalkan tempat itu. Namun, belum pun sempat saya melangkah, saya terdengar bunyi tapak kaki kerbau itu menerkam dari balik busut yang terlindung oleh belukar senduduk. Mungkin juga kerbau itu nampak kilauan api di tangan Tok Aji, menyebabkannya segera menerkam.
Usuh dan kawan-kawannya yang berpaut pada pokok kelapa bersorak-sorak kuat untuk menakut-nakutkan kerbau yang semakin mendekati kami.
Saya nampak lembaga hitam menyerbu keras dari dalam gelap terlalu pantas. Cepat-cepat Tok Aji menolak saya sehingga tubuh saya terpelanting ke dalam belukar senduduk. Akibatnya, dia tidak sempat membuang pelita di tangan semasa kerbau itu menyerbu ke dadanya.
Saya menjerit cemas semasa melihat Tok Aji terlambung di hujung tanduk kerbau yang meruncing tajam. Pelitanya tercampak ke tanah sehingga terpadam apinya. Keadaan yang gelap menyebabkan saya tidak dapat melihat apa yang berlaku kepada Tok Aji.
Melihat keadaan itu, Usuh dan rakan-rakannya terjun ke tanah untuk menyelamatkan Tok Aji yang diserbu kerbau yang tengah turun minyak.
Bagaimanapun saya hanya mendengar sekali sahaja kerbau itu menerkam. Selepas itu, saya tidak pula mendengar bunyi tanah dihentak-hentak kaki kerbau. Saya hanya mendengar bunyi nafas kerbau itu melenguh-lenguh kuat.
"Cepat Usuh... sembelih kerbau ni!" saya mendengar Tok Aji termengah-mengah di dalam gelap.
Tidak lama kemudian, Usuh datang bersama lima rakannya membawa lampu gaslin. Dari sinaran lampu gaslin inilah saya nampak Tok Aji terlentang di bawah perut kerbau yang berdiri tegak tidak bergerak. Saya lihat, tangan Tok Aji berpaut pada perut kerbau itu, sedangkan kerbau itu menundukkan kepalanya dengan air liur melejeh-lejeh dari lubang hidungnya.
Cepat-cepat Simek mendapatkan saya yang tergolek di perdu belukar senduduk. "Angah luka ke?" tanya Simek mengibas-ngibas bahu dan belakang saya yang dilekati pasir.
Saya gelengkan kepala, tetapi cemas melihat Tok Aji terlentang dengan tangannya seolah-olah menupang perut kerbau yang tegak tidak bergerak. Bagaimanapun Usuh tidak membenarkan saya mendekati Tok Aji kerana bimbang kerbau itu akan meronta semula.
"Cepat sembelih kerbau ni Usuh!" Tok Aji mengeraskan suaranya.
"Rebahkan dulu ke Bang Aji?" soal Usuh bingung.
"Tak payah..., sembelih cepat," perintah Tok Aji.
Usuh meminta Latih, Akop dan Lias menolak sedikit punggung kerbau supaya lehernya mengadap ke arah Kiblat. Serba-salah salah juga mereka hendak memegang punggung kerbau tersebut. Tetapi Tok Aji menyergah mereka supaya bertindak cepat. Tok Aji memberi jaminan kerbau itu tidak akan menyerbu lagi. Tetapi jika terlambat disembelih, kerbau itu akan mati sia-sia.
Cepat-cepat Simek membantu memegang leher kerbau itu untuk memudahkan Usuh menyorong mata parang. Memanglah susah menyembelih kerbau yang berdiri tegak kerana mata parang terpaksa dihalakan ke atas. Kalau dapat direbahkan, tentulah tidak menjadi masalah.
Setelah Usuh selesai menyembelih, barulah Tok Aji terkial-kial berdiri. Kemudian Tok Aji menolak punggung kerbau itu sehingga haiwan itu jatuh tergolek. Mudah sahaja Tok Aji menjatuhkan kerbau itu dengan sekali tolak.
"Bang Aji tak luka?" Soal Simek mendekati Tok Aji.
Tok Aji tidak menjawab. Sebaliknya dia memarahi saya. "Tok dah cakap jangan ikut, Angah degil juga!" ujarnya bagaikan kesal kerana saya degil mahu mengikutnya ke situ.
Saya tunduk mendiamkan diri. Tetapi saya merasa tidak ada apa-apa yang hendak dikesalkan kerana semuanya selamat. Saya sendiri tidak cedera. Begitu juga dengan Tok Aji
Kemudian mereka menguliti kerbau yang sudah mati disembelih itu. Tok Aji tidak membantu mereka. Dia hanya duduk di perdu pokok kelapa sambil menghisap cerutnya. Ketika Akop melapah bahagian dada untuk mengeluarkan hati, dia terkejut kerana hati kerbau itu cair laksana tauhu yang sudah diramas.
"Hatinya tak ada Bang Aji..." ujar Akob kehairanan.
"Ah, syukurlah Kob, tak dapat hati pun tak apa," sahut Tok Aji.
Mereka semua terdiam mendengar jawapan Tok Aji. Mereka menduga, mungkin sebab itulah kerbau itu tegak tidak bergerak semasa Tok Aji memegang perutnya tadi. Mungkin sebab itulah Tok Aji menggesa supaya kerbau itu segera disembelih sebelum ianya mati tidak berguna.
Tok Aji tidaklah menunggu sampai kerbau itu habis dilapah. Usuh yang akan membawanya ke tengah kampung untuk dijual. Sudah tentu orang kampung yang memesan hati kerbau akan kehairanan mengapa hati  kerbau itu hancur.
Akob merasa serba-salah kerana dia yang menerima pesanan hati selain daging.
"Katakan aje kerbau ni tak ada hati," ujar Tok Aji bergurau sebelum mengajak saya balik.
Malam itu Tok Aji tidak ke surau menunaikan solat Terawih. Dia melakukan sendirian sahaja di rumah. Dia memberitahu nenek badannya sakit-sakit selepas ditanduk oleh kerbau liar yang mengamuk.
Dua hari Tok Aji demam tidak sihat badan. Semasa ayah dan emak saya datang berkunjung pada hari raya ke rumahnya, Tok Aji masih demam. Dia juga tidak ke masjid menunaikan solat sunat hari raya. Selama dua hari itu juga Tok Aji tidak mengajar kanak-kanak mengaji Quran. Dia hanya menugaskan nenek menggantikannya mengajar budak-budak yang datang belajar mengaji.
Saya melihat ayah mendoakan Tok Aji. Ayah menghembus tapak tangannya tiga kali dan mengusap-usapkan tangannya ke seluruh tubuh Tok Aji. Dia melakukan tiga kali ulang. Walaupun Tok Aji memberitahu tubuhnya sengal-sengal, tetapi wajahnya tidak menunjukkan yang dia sedang menanggung kesakitan.

Sedutan dari buku Berkelahi Dengan Syaitan Siri Ke-4 karya Tok Awang Ngah

Sabtu, 27 Oktober 2012

Ramalan Keputusan Pilihan Raya Presiden AS


Kebanyakan pemerhati pada masa ini meramalkan calon GOP Mitt Romney akan mendapat undi popular dalam pemilihan di peringkat nasional, tetapi tinjauan di sembilan negeri menunjukkan  Presiden Obama menang dengan kelebihan yang tipis. 
Persoalannya: Bagaimana jika Romney menang undi popular, tetapi Obama memenangi 270 undi kolej pemilih dan kembali memegang semula jawatan presiden? 
"Saya fikir ia adalah satu kemungkinan 50/50 - atau lebih," kata Mark McKinnon, yang merupakan penasihat strategi politik untuk bekas Presiden George W. Bush. 
"Jika pilihan raya diadakan esok, ia tidak akan hanya menjadi satu kemungkinan, ia akan menjadi kenyataan," tambah William A. Galston, felo kanan di Brookings Institution, yang juga berkhidmat sebagai penasihat dasar kepada bekas Presiden Bill Clinton. 
Ia merupakan keputusan yang bercanggah antara pengundi dan kolej pemilih yang sekiranya berlaku merupakan kali kelima dalam sejarah Amerika - dan kali kedua dalam dua belas tahun - bahawa orang yang menduduki Rumah Putih tidak mendapat undi popular pada Hari Pemilihan . 
Apa yang tidak pernah berlaku sebelum ini ialah seorang Presiden yang sedia ada kembali memegang jawatan selepas majoriti pengundi mengundi untuk mencampakkannya keluar. 
Setiap presiden moden akan dilantik semula - Dwight D. Eisenhower, Richard M. Nixon, Ronald Reagan, Clinton, George W. Bush - telah mendapat undi popular yang lebih besar berbanding pemilihan pada penggal pertama, dan dengan itu, berhak untuk menuntut mandat. - Washington Post
_______________________________________________________________________ 

Begitulah rumitnya perihal pilihan raya. Kontroversi tidak sahaja melibatkan keputusan pilihan raya di negara ketiga, bahkan berlaku juga di negara maju seperti Amerika Syarikat (AS).
Kira-kira 12 tahun yang lalu, calon Demokrat,  Naib Presiden Al Gore memenangi undi popular tetapi George W Bush memenangi undi majoriti kolej pemilih (electroral college). Apabila kes dibawa ke Mahkamah Agung, kemenangan telah berpihak kepada Bush. 
Maka Bush telah mengangkat sumpah sebagai Presiden AS ke-43. Bagaimanapun Bush berjaya memenangi undi majoriti pada pemilihan penggal keduanya 4 tahun berikutnya dengan mengalahkan John Kerry, calon Demokrat.
Apakah ramalan terhadap Obama itu akan benar-benar berlaku? Hanya Tuhan saja yang mengetahui buat masa ini.

Meteor: Dari Mana Hendak Ke Mana


Dari mana ia datang? Penduduk di kawasan San Francisco Bay masih kebingungan selepas melihat bola api di ruang angkasa di pinggir bandaraya berkenaan pada Rabu minggu lalu. Bunyi ledakan boleh didengar dan mungkin serpihan bola api berkenaan jatuh di pinggir bandaraya dan ladang anggur berdekatan.
Saintis berkata objek itu mungkin meteor yang berasal dari lingkaran asteroid antara Marikh dan Musytari yang memasuki atmosfera bumi dan menuju ke California, manakala seorang pemburu menyatakan kemungkinan serpihan meteor telah telah terhempas berdekatan bandar Novato atau Martinez, di California.
Sumber: ABC News.
_______________________________________________________________________

California adalah negeri yang paling maju di Amerika Syarikat. Namun, penduduknya yang sudah maju itu masih tidak tahu, objek apa yang terbang di ruang angkasa mereka.
Bayangkan kalau objek seperti ini di lihat di Malaysia. Dilihat pula oleh penduduk yang tinggal di kampung-kampung pedalaman. Apa tanggapan mereka?



Lagi Kisah Orang Mati Hidup Semula

Araujo bergurau dengan orang kampungnya selepas dilaporkan mati. Foto: Berita Harian
BRASILIA - Seorang lelaki yang bekerja sebagai pencuci kereta di timur laut Brazil menggemparkan keluarga dan orang ramai apabila muncul ketika pengkebumiannya. 
Ia berpunca daripada kesilapan anggota keluarganya yang tersilap mengesahkan identiti Gilberto Araujo, 41, di sebuah rumah mayat, lapor media di sini kelmarin. 
Keluarga dan sahabat handai Araujo berhimpun dekat mayat seorang lelaki yang dikatakan Araujo di bandar Alagoinhas, negeri Bahia, apabila Araujo muncul. 
Araujo sudah empat bulan tidak pulang ke kampungnya sehinggalah diberitahu mengenai perkara itu. Dia menghadiri majlis 'pengkebumiannya' itu selepas seorang rakan melihatnya dan memberitahu mengenai kematiannya. 
"Saya cakap, hai semua, saya masih hidup," kata Araujo kepada laman web berita akhbar O Globo. 
Ibunya, seorang pekedai, Maria Menezes berkata, ada beberapa orang yang hadir di pengebumian itu pengsan dan ada yang lari lintang pukang. Agensi - Berita Harian 25.10.2012
_______________________________________________________________________

Begitulah adatnya manusia, rasa sedih ketika kematian ahli keluarga yang tersayang. Tapi bila orang yang disangkakan mati itu hidup semula, ada pula yang pengsan dan ada yang lari lintang pukang.
Kisah seperti ini terjadi di mana-mana. Mungkin itulah hikmahnya orang yang sudah mati di dunia ini tidak akan hidup semula. Kalau orang mati hidup semula, nanti orang yang hidup akan merasa takut dan mati terkejut.


Jumaat, 26 Oktober 2012

Peristiwa Yang Berlaku Lebih 2,000 Tahun Lalu

Mekah pada tahun 1910

Kira-kira lebih 2,000 tahun yang lalu, Ibrahim telah meninggalkan Hajar, isterinya dan Ismail, anaknya di suatu lembah yang tidak bernama dan tidak berpenghuni. Bagaimanapun, Ibrahim tidak pernah lupa akan isteri dan anak yang ditinggalkannya itu. 
Beberapa tahun selepas perpisahan itu, perasaan rindu Ibrahim terhadap isteri dan anaknya semakin mendalam. Maka berangkatlah Ibrahim untuk menziarahi anak dan isterinya yang telah lama ditinggalkan. 
Setelah tiba di tempat dia meninggalkan anak dan isterinya dahulu, Ibrahim mendapati keadaan di tempat itu sudah berubah kerana sudah ramai orang tinggal di situ. Tempat itu juga sudah diberi nama Bakkah atau Mekah sekarang ini. 
Tapi Ibrahim tidak melihat isteri dan anaknya. Namun dia  mendengar khabar daripada penduduk di situ bahawa isteri dan anaknya adalah pemilik kepada telaga Zamzam yang menjadi sumber bekalan air di tempat itu.


Mata air di dalam Telaga Zamzam.

Lalu Ibrahim bertanya, di manakah gerangan anak dan isterinya pada ketika itu. Maka seorang penduduk telah menunjukkan kepada Ibrahim di mana kedua beranak itu berada, iaitu di suatu kawasan lapang,  dan  mereka sedang mengembala ternakan kambing. 
Akhirnya, bertemulah Ibrahim dengan isteri dan anak yang sekian lama sangat dirinduinya, dalam keadaan sihat dan gembira. Lalu mereka sama-sama mengucapkan "Allahu Akhbar, Allahu Akhbar, wa Lillahil Hamdu." 
Tempat pertemuan mereka itu kini dikenali sebagai Padang Arafah.


Pemandangan di Padang Arafah pada musim haji.

Setelah matahari terbenam, Ibrahim bersama Isteri dan anaknya Ismail berangkat pulang ke Mekah. Dalam perjalanan pulang itu, mereka berhenti rehat di suatu tempat. Bagaimanapun, kerana keletihan, mereka semuanya tertidur. 
Dalam tidurnya, Ibrahim bermimpi bahawa Allah memerintahkannya menyembelih anaknya, Ismail sebagai korban. 
Apabila Ibrahim terbangun, dia membisikkan mimpinya itu kepada anaknya, "Hai anakku, aku bermimpi diperintahkan oleh Allah untuk menyembelihmu, bagaimanakah pendapatmu?" 
Ismail segera menjawab, "Wahai ayahku, laksanakanlah apa yang diperintahkan oleh Allah itu dan aku tetap tabah, insya-Allah." 
Tempat mereka tertidur keletihan dan tempat Ibrahim bermimpi menerima perintah supaya menyembelih anaknya itu kini dikenali sebagai Muzdalifah.

Bermalam di Muzdalifah.

Kedua beranak hendak melaksanakan perintah Allah itu dengan segera. Lalu mereka pergi ke tempat lain supaya Hajar tidak tahu dan tidak merasa sedih. 
Namun di tengah perjalanan, kedua beranak itu terjumpa dengan seorang manusia. Orang itu bertanya, ke mana mereka hendak pergi dan apa tujuannya. 
Bagaimanapun, selepas Ibrahim menerangkan tujuan mereka, orang itu melarang Ibrahim menyembelih Ismail dengan berbagai-bagai alasan. Ibrahim dan Ismail perasan orang itu adalah jelmaan Iblis. 
Lalu Ibrahim dan Ismail melontar Iblis itu dengan batu sampai mati. Tempat berlakunya peristiwa itu sekarang dikenali sebagai Jamratul-Ula. 
Selepas itu, kedua beranak meneruskan semula perjalanan mereka. Namun, setelah berjalan kira-kira 400 meter, mereka bertemu lagi dengan seorang manusia yang lain. Sama seperti sebelumnya, orang berkenaan juga melarang Ibrahim menyembelih Ismail dengan berbagai-bagai alasan. 
Ibrahim dan Ismail melontar manusia jelmaan Iblis itu dengan batu. Tempat mereka melontar Iblis itu sekarang dikenali sebagai Jamratul-'Aqaba.

Jamratul-Aqabah, Mina pada tahun 1920.

Selepas itu, kedua beranak meneruskan lagi perjalanan mereka. Sekali lagi selepas berjalan kira-kira 400 meter dari tempat sebelumnya, mereka berjumpa dengan seorang lagi manusia. Namun, orang ini juga melarang Ibrahim menyembelih Ismail. 
Lalu, manusia jelmaan Iblis ini dilontar dengan batu oleh Ibrahim dan Ismail. Tempat peristiwa ini berlaku sekarang dikenali sebagai Jamratul-Wusta. 
Akhirnya, kedua beranak sampai di kaki sebuah bukit. Ibrahim lalu mengeluarkan pedangnya. Ismail memohon supaya ayahnya mengasah tajam pedang itu, selain meminta kedua tangan dan kakinya diikat, dan bajunya dibuka untuk menutupi mukanya. Ismail berpesan supaya bajunya itu diserahkan kepada ibunya, sebagai tanda mata. 
Namun, ketika pedang Ibrahim hampir mencecah ke leher Ismail, Ibrahim mendengar suara memanggil namanya dari puncak bukit, "Hai Ibrahim, sungguh engkau hendak melaksanakan perintah Tuhan dalam mimpimu, maka kami membalasi kamu setimpal dengan ketaatanmu." 
Apabila Ibrahim memandang ke arah suara itu, dia melihat malaikat turun ke bawah dengan membawa seekor kibas yang gemuk dan sihat. 
Malaikat itu berkata, "Hai Ibrahim, sembelihlah kibas ini sebagai ganti anakmu Ismail dan makanlah dagingnya, serta jadikanlah hari ini sebagai hari raya bagi kamu berdua, dan sedekahkanlah sebahagian dagingnya kepada fakir miskin sebagai korban." 
Tempat peristiwa itu berlaku kini dikenali sebagai Bukit Malaikat yang terletak di kawasan Mina. Ibrahim dan Ismail yang dimaksudkan dalam cerita di atas ialah Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail.

Sumber: buku Rangkaian Cerita Dalam al-Quran tulisan Bey Arifin.