Khamis, 1 November 2012

Berita Sedih Dari Madinah

Masjid an Nabawi atau Masjid Nabi dikenali dengan kubah hijau. Makam Nabi Muhammad terletak di bawah kubah ini

Beginilah pemandangan Kota Madinah dan keadaan Masjid Nabi tanpa kubah hijau selepas kerja-kerja perluasan siap dilaksanakan.

Masjid ketiga tertua di dunia akan dirobohkan oleh Arab Saudi bagi memulakan peluasan tapak suci Islam kedua yang menelan belanja berbilion-bilion paun. Kerja-kerja di Masjid an Nabawi di Madinah, tempat Nabi Mohamed dikebumikan, akan bermula sebaik musim haji berakhir bulan depan. Apabila siap, masjid ini akan menjadi bangunan yang terbesar di dunia, dengan kapasiti 1.6 sejuta orang. 
Tetapi timbul kebimbangan bahawa peluasan akan menjadikan tempat-tempat bersejarah utama ranap. Perasaan tidak puas hati meningkat kerana kerajaan sepatutnya memelihara warisan sejarah dan arkeologi kota suci Mekah. Kerja-kerja peluasan Masjid an-Nabawi akan tertumpu di bahagian barat, di tempat terletaknya makam pengasas Islam dan dua sahabat terdekatnya, Abu Bakr dan Umar. 
"Tiada siapa menafikan bahawa Madinah  memerlukan peluasan, tetapi cara pihak berkuasa melakukannya menimbulkan kebimbangan," kata Dr Irfan al-Alawi dari Yayasan Warisan Penyelidikan Islam. "Terdapat banyak cara mereka boleh melaksanakan peluasan sama ada dengan mengelak atau memelihara tapak-tapak purba Islam tetapi sebaliknya mereka mahu merobohkan kesemuanya." Dr Alawi telah menjalankan usaha sejak lebih 10 tahun yang lalu untuk  mendedahkan pemusnahan tapak awal Islam. 
Para penyokong kempen Warisan dan ramai penduduk tempatan terkejut apabila mendapati tempat-tempat bersejarah di Mekah dan Madinah telah diranapkan untuk membuat jalan raya, pusat membeli-belah, hotel-hotel mewah dan bangunan pencakar langit yang besar. Institut Teluk yang berpangkalan di Washington itu menganggarkan sekitar 95 peratus daripada bangunan berusia 1,000 tahun di dua bandar tersebut telah dimusnahkan dalam tempoh 20 tahun yang lalu. 
Risalah yang diterbitkan pada tahun 2007 oleh Kementerian Hal Ehwal Islam - dan disahkan oleh Mufti Besar Arab Saudi, Sheikh Abdulaziz al - menyatakan akan merobohkan kubah dan meratakan kubur Mohamed, Abu Bakr dan Umar. Sheikh Ibn al-Uthaymeen, salah seorang ulama Wahabi yang paling prolifik pada abad ke-20, juga mengemukakan seruan yang serupa. 
"Umat Islam membisu dan hipokrit terhadap kedua-dua bencana kemusnahan Mekah dan Madinah," kata Dr Alawi. "Filem mengenai Nabi Mohamed baru-baru ini  telah menyebabkan protes di seluruh dunia ... namun kemusnahan tempat kelahiran Nabi, tempat di mana dia berdoa dan mengasaskan Islam telah dibiarkan diteruskan tanpa sebarang kritikan. "
Petikan berita daripada The Independent 30.10.2012
_______________________________________________________________________

Kita tidak menentang pembangunan dan kemajuan. Namun, meruntuhkan tapak arkeologi Islam yang terdapat di kota Mekah dan Madinah, kemudian melaksanakan pembangunan di atas tapak tersebut adalah melampau dan tidak boleh diterima oleh fikiran yang waras.
Jika alasan meruntuhkan tapak arkeologi itu kerana hendak memelihara akidah umat Islam dan untuk menghindarkan mereka daripada melakukan perbuatan syirik, maka alasan itu sangatlah dangkal. Demikian juga, alasan untuk membina tempat tinggal dan penginapan untuk jemaah yang semakin bertambah tidak dapat diterima.
Sebenarnya, masalah akidah hanya dapat diselesaikan melalui kaedah pendidikan. Lihatlah betapa berkesannya pendidikan, walaupun Islam telah berkembang lebih daripada seribu tahun, namun tidak ada umat Islam yang menyembah Ka'bah, walaupun mereka menghadap ke arahnya setiap kali solat!
Begitu juga, jika umat Islam dididik bahawa meratap dan memohon kepada Nabi Muhammad di makamnya adalah syirik, mereka harus disedarkan bahawa tindakan itu merugikan kerana menghilangkan kelayakan memasuki syurga; insya-Allah tidak akan ada umat Islam yang sanggup melakukan perbuatan sia-sia itu.
Begitu juga dengan soal tempat kediaman dan penginapan jemaah haji. Kemudahan tersebut boleh dibina berjauhan dari Masjidil Haram. Tetapi, perjalanan ke Masjidil Haram boleh dipercepatkan dengan membina sistem pengangkutan yang moden dan pantas, tanpa perlu memusnahkan tapak-tapak bersejarah di sekitar Masjidil Haram.
Lagipun, tindakan pihak berkuasa Arab Saudi itu meragukan. Apakah rasionalnya merobohkan tapak tempat kelahiran nabi dan menggantikannya dengan bangunan perpustakaan? Lebih menghairankan, mengapakah tapak rumah Khadijah, isteri pertama nabi dirobohkan dan digantikan dengan tandas awam? Apakah peninggalan purba seperti itu akan mencacatkan pemandangan kota Mekah?
Kita tidak mengimpikan kota Mekah dan Madinah yang moden, penuh dengan bangunan pencakar langit, hotel-hotel mewah, apartmen yang indah-indah dan kompleks membeli-belah yang hebat-hebat. Sebab, tujuan utama kita ke Mekah dan Madinah ialah untuk beribadat; bukan hendak melancong atau membeli-belah.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.