Isnin, 19 November 2012

Hamas Menang Perang Psikologi Dengan Israel

Foto: AFP

TEL AVIV - Pemerhati tentera Israel menyatakan, pergerakan Hamas telah berjaya memenangi perang psikologi dengan Israel. Hal ini terjadi setelah roket jarak jauh Hamas berjaya mengenai dua bandar terbesar di Israel iaitu Baitul Muqaddis dan Tel Aviv. 
Shlomo Brom, seorang pemerhati yang pernah bertugas dengan tentera Israel mengatakan, serangan roket ke atas bandar Baitul Muqaddis dan Tel Aviv memberi isyarat kepada warga Israel bahawa Hamas dapat mengancam mereka pada bila-bila masa, walau di mana sahaja mereka berada. 
"Sebenarnya dari segi strategi, serangan roket jarak jauh itu tidak menimbulkan sebarang ancaman keselamatan. Tetapi secara psikologi, serangan tersebut menimbulkan impak besar, khususnya di kalangan media," ujar Brom, sebagaimana dipetik oleh Foreign Policy, pada Sabtu (17/11/2012). 
Menurut Brom, apa yang sepatutnya menjadi tumpuan tentera Israel ialah roket-roket jarak dekat yang dimiliki oleh Hamas. 
"Jumlah roket jarak dekat yang dimiliki Hamas jauh lebih banyak daripada roket jarak jauh dan ukurannya lebih kecil, sehingga sukar dikesan oleh sistem anti peluru berpandu yang dimiliki oleh Israel," tambah Brom. 
Selama tiga hari pertempuran yang bermula pada Rabu 14 November, Hamas telah melancarkan 550 roket ke kawasan Israel. Hal itu menandakan berlakunya peningkatan kemampuan persenjataan Hamas sejak serangan Israel ke atas Semenanjung Gaza pada tahun 2008. Pada ketika itu Hamas hanya mampu melancarkan 600 roket dalam tempoh tiga minggu pertempuran dengan Israel. 
Brom mendakwa, Israel tidak akan berupaya menghentikan peningkatan persenjataan yang dimiliki Hamas. Menurutnya, satu-satunya cara yang boleh dilakukan Israel ialah dengan melakukan serangan seperti yang mereka lakukan sekarang ini. 
"Israel patut memberi amaran kepada Hamas, bahawa Hamas akan menerima balasan yang lebih dahsyat jika melakukan serangan roket ke kawasan Israel. Israel mesti menekan Hamas supaya berfikir bahawa serangan roket ke atas Israel tidak akan membawa sebarang keuntungan kepada Hamas," jelas Brom.
_______________________________________________________________________ 


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.