Jumaat, 9 November 2012

Menghadapi Isteri Yang Selalu Berleter


Diriwayatkan bahawa seorang lelaki pergi ke rumah Khalifah Umar Al-Khattab untuk mengadu perihal isterinya. Sampai di rumah Umar, dia berhenti di hadapan pintu dan menunggu Umar keluar.
Namun, lelaki itu terdengar Umar sedang dileterinya oleh isterinya dan beliau hanya berdiam diri. Mendengar hal itu, lelaki itu bergegas hendak pulang ke rumahnya sambil berkata sendirian, "Jika begitu Umar terhadap isterinya sedangkan Umar itu bersikap garang dan tegas, maka siapalah aku ini."
Namun Umar terlihat lelaki itu. Lalu dia memanggil lelaki itu dan bertanya tujuan lelaki itu datang ke rumahnya.
Lelaki itu menjawab, "Wahai Amirul Mukminin, aku datang ke rumahmu untuk mengadu perihal isteriku yang suka meleteriku. Akan tetapi aku terdengar isterimu juga meleterimu, sedangkan engkau seorang Amirul Mukminin."
Maka Umar berkata, "Wahai saudaraku, aku berdiam ketika isteriku meleteriku kerana dia sudah menunaikan segala haknya ke atasku, dia yang memasak makanan untukku, dia yang membuat roti untukku, dia yang membasuh bajuku dan menyusukan anak-anakku. Sedangkan semua itu bukanlah perkara wajib baginya. Apabila aku ingat kembali semua itu, aku tidak memarahinya kerana berleter."
Mendengar kata-kata Umar itu, lelaki itu menjawab, "Demikian juga isteriku." Umar berkata lagi, "Ingatlah segala jasanya padamu, sesungguhnya keadaan itu hanya sementara."
_______________________________________________________________________ 

Apa tindakan suami jika isteri berleter? Patutkah suami ambil kunci kereta dan cabut lari dari rumah? Kemudian pergi lepak di restoran Mamak sambil bersembang-sembang dan bersenang-senang dengan kawan-kawan.
Soalnya, mengapa isteri berleter? Apakah suami tidak pandai berleter? Sukar nak jawab soalan ini. Tapi, suami boleh fikir-fikirkan hal berikut.
Kita fikir yang ringan-ringan dulu. Pergi ke sinki dapur dan lihat. Bagaimana kalau anak lima orang, tapi cawan dalam sinki ada sepuluh. Anak siapa punya kerja ni?
Lepas itu, pergi ke ruang tamu dan lihat. Bagaimana kalau majalah bersepah dan lantai berdebu tidak bersapu. Sofa pula tidak dikemaskan. Mana anak-anak? Apa dia buat?
Pergi pula ke bilik tidur anak-anak dan lihat. Bagaimana kalau pakaian kotor bersepah dan belum dibasuh. Yang sudah dibasuh masih berlonggok. Belum dilipat dan belum dikemas ke dalam almari.
Kalau begini keadaannya, jangankan isteri, suami pun boleh berleter? Tapi kalau suami tak ambil kisah semua ini, anggap semua itu tugas isteri dan cabut lari kalau isteri berleter, sudah pasti suami akhirnya akan dileteri oleh isteri! Wallahualam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.