Sabtu, 19 Januari 2013

George Bush Tak Dapat Hadiri Perlantikan Obama

Obama bersama empat bekas Presiden AS yang masih hidup. Foto: ABC OTUS


WASHINGTON - Bekas Presiden Amerika Syarikat (AS) George Bush dan ayahnya, George H.W. Bush tidak akan menghadiri upacara pelantikan Presiden Barack Obama pada Isnin ini.

Setakat ini hanya dua bekas Presiden AS iaitu Bill Clinton dan Jimmy Carter yang mengesahkan akan menghadiri upacara yang dijadualkan pada 21 Januari ini.

Bush memberi alasan tidak dapat hadir ke upacara itu kerana ayahnya yang berusia 88 tahun masih belum sihat dan baru sahaja keluar dari hospital akibat mengidap bronkitis.

Berdasarkan tradisi AS, semua bekas Presiden AS akan dijemput ke upacara pelantikan presiden. 
Semasa upacara perlantikan George W. Bush pada 2005, tiga bekas presiden dijemput hadir iaitu George HW Bush, Bill Clinton dan Jimmy Carter. 
Bekas Presiden Gerald Ford tidak hadir pada upacara pelantikan Bush. Ford yang pada ketika itu berusia 91 tahun dan meninggal dunia pada 2006. 
Jimmy Carter juga tidak dapat hadir semasa upacara perlantikan Bill Clinton pada 1997 kerana sedang melawat negara-negara Amerika Latin. Namun Carter dan Bush senior hadir semasa upacara perlantikan Clinton pada tahun 1993. Bagaimanapun, Ford, Ronald Reagan dan Richard Nixon yang masih hidup ketika itu tidak hadir. 
Bekas-bekas Naib Presiden AS juga akan dijemput untuk upacara pelantikan tersebut. Namun dijangkakan, tidak ada bekas naib presiden yang akan hadir ke upacara pada hari Isnin ini. - ABC

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.