Ahad, 16 Februari 2014

Usahawan Itik Salai

Mohd Zahari Zainal, 48, usahawan penjual makanan salai. Foto: myMetro

Itik Salai: Kena cekap mengawal bara api. Foto: myMetro

Itiksalai dimasak lemak bersama terung pipit (kiri) dan ikan keli masak lemak cili api. Foto: myMetro

Dua pelancong dari Hong Kong mencuba menu Ombong Salai. Foto: myMetro


Berdepan asap akan membuatkan seseorang itu ‘lemas’ atau tidak selesa, lebih-lebih lagi untuk tempoh lama. 
Jika silap percaturan, menu yang disalai itu akan kering atau hangus, sekali gus kesedapan masakan hilang. 
Bagi Mohd Zahari Zainal, 48, tugasnya sebagai penjual makanan salai membuatkan dirinya sebati. 
Kehebatannya mengawal bara api membolehkan dirinya layak digelar ‘pakar salai’ bagi menu salai berjenama Ombong Salai. 
Terletak di Taman Sri Nanding Batu 12, Hulu Langat, Selangor, Mohd Zahari menjadikan laluan berkenaan lubuk rezeki menjual pelbagai menu salai. 
Beroperasi dari jam 10 pagi hingga 7 petang setiap hari, Mohd Zahari menjadikan gerai kecil untuk menjual daging, ikan keli, ayam kampung dan itik salai. 
Kepakarannya me-ngawal api memang diakui, malah untuk mendapatkan hasil salai terbaik, bapa kepada empat anak itu hanya menggunakan kayu getah dan rambutan. 
Dia juga menggunakan tempurung kelapa untuk menyalai ikan keli. 
Sedap atau tidak hidangan yang disalai bergantung kepada kawalan bara, jika baik tekniknya, hasil juga memuaskan. 
Gerai bersaiz kecil yang dibinanya sejak dua tahun lalu mungkin nampak biasa, tetapi kelebihannya dalam mengawal asap mencuri tumpuan penulis. 
Teknik kawalan bara menjadikan hidangan salai berkenaan nampak menyelerakan, malah barisan itik yang digantung masih segar. 
Sepanjang dua jam di gerai itu, tidak sedikitpun bau asap melekat di baju penulis hingga tidak seorang pun rakan sepejabat sedar tugasan luar yang baru dilakukan. 
Mohd Zahari berkata, perniagaan Ombong Enterprise yang didaftarkan atas nama anak sulungnya, Fakri Mohd Zahari bermula dua tahun lalu. 
Katanya, ombong adalah simbolik gelaran anak sulung yang digunakan masyarakat di Negeri Sembilan. 
“Sebenarnya ombong adalah gelaran nama anak sulung yang digunakan masyarakat dulu hingga kini. 
“Gelaran itu digunakan di beberapa daerah di Negeri Sembilan untuk anak lelaki atau perempuan pertama,” katanya. 
Menu salai katanya sangat popular di daerah kelahirannya iaitu di Kuala Pilah. 
“Menu salai memang popular di Negeri Sembilan, malah boleh dilihat sepanjang jalan antara Kuala Pilah hingga Bahau atau Ulu Bendul ke Kuala Pilah. 
“Hidangan salai paling popular adalah masak lemak cili padi dan rendang, selain sedap di makan begitu saja,” katanya. 
Katanya, teknik mengawal bara api dipelajari sejak kecil. 
“Sejam pertama diperlukan untuk menyalai ikan keli, daging batang pinang, ayam kampung dan itik. 
“Tempoh berkenaan diperlukan untuk mengeluarkan minyak pada haiwan terbabit. 
“Ia perlu dibaringkan di atas bara api terlebih dulu sebelum diangkat dan digantung di atas bara untuk mengeluarkan lebihan minyak,” katanya. 
Menurutnya, daging yang disalai mempunyai struktur lebih padat, sekali gus memudahkan kerja memasak. 
“Jika tidak disalai, daging akan menjadi lembik dan tidak enak untuk dibuat rendang atau masak lemak cili api,” katanya. 
Katanya, sepanjang mengusahakan produk ombong salai dua tahun lalu, perniagaannya semakin laris dan mendapat sambutan baik. 
“Saya mempunyai pelanggan tetap yang kerap datang ke gerai ini untuk mendapatkan itik salai. Mereka berpuas hati dengan khidmat diberikan, selain harga munasabah dan cita rasa memuaskan. 
“Berbanding dengan daging salai lain, itik salai mendapat sambutan baik sehingga permintaannya berlipat kali ganda terutama cuti umum dan musim perayaan,” katanya. 
Dia mendapat bekalan segar daripada pembekal tempatan dan ladang di sekitar Semenyih serta Tanjung di Ipoh, Perak. 
“Bekalan daging salai yang ditawarkan kepada pengguna juga segar, selain boleh dipilih mengikut cita rasa dan saiz,” katanya yang menggunakan itik peking. 
Dibandingkan ayam dan itik salai katanya, minyak yang dikeluarkan itik salai menjadikan hidangan itu lebih sedap, sedangkan ayam mengeluarkan rasa salai saja. 
“Itik salai dikeluarkan Ombong Enterprise juga lebih enak kerana diperap bersama ramuan rahsia. Dua perasa diperap sebelum salai dan tiga perasa tambahan ketika dipanggang. 
“Bila diperap bersama, pelanggan akan dapat lima rasa iaitu manis, pedas, aroma dan asap,” katanya. 
Bekas kakitangan kerajaan itu juga menyediakan perkhidmatan tempahan memasak lauk pauk bersalai cita rasa Negeri Sembilan. 
“Terpulang kepada pelanggan untuk memesan jenis masakan disukai mereka. Antaranya masak lemak cili api dan rendang Negeri Sembilan selain rendang tok Perak. 
“Sebagai contoh, rendang itik salai yang mempunyai berat tiga kilogram dijual pada harga RM100 (siap dimasak) dan untuk dinikmati 15 tetamu (bagi majlis kenduri kesyukuran),” katanya. 
Perancangan masa depan, dia berhasrat untuk membuka gerai masakan salai berikutan permintaannya yang memberangsangkan pada Ramadan lalu. 
Layari Facebook Ombong Salai untuk maklumat lanjut. - myMetro

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.