Allah berfirman dalam al-Quran:

"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran." Mafhum Surah al-Asr: ayat 1 - 3.

Isnin, 16 Jun 2014

Minat Berlakon Jadi Mayat

Chuck Lamb, 56, memperoleh sehingga AS$1,500 (RM4,828) sehari kerana melakonkan watak mayat

Di antara watak mayat yang dilakonkan oleh Lamb

Berlakon sebagai mayat tidak memerlukan sebarang bakat kata Lamb

Lamb di luar set penggambaran


LONDON - Kerjaya sebagai pekerja teknologi maklumat ternyata tidak cukup untuk membawa kepuasan kepada seorang lelaki sehinggalah dia menukar kerjaya menjadi ‘mayat'. 
Chuck Lamb, 56, memperoleh sehingga AS$1,500 (RM4,828) sehari kerana melakonkan watak mayat dalam beberapa rancangan televisyen dan filem. 
Sebelum ini Lamb pernah muncul dalam siri televisyen seperti Jury dan filem Horrorween dan Kentucky Fried Horror. 
Lamb mendapat idea kerjaya unik itu selepas menonton satu episod siri Law & Order: Special Victims Unit bersama isterinya Tonya. 
Lamb berkata, dia mengimpikan watak yang membolehkan dia muncul di televisyen seperti siri penyiasatan itu. 
“Ia semua bermula sebagai gurauan.
“Saya kemudian menyedari anda tidak perlukan sebarang bakat untuk menjadi mayat!” katanya. 
Sejak itu Lamb mula menerima tawaran muncul dalam televisyen membawa watak mayat. 
Lamb juga bercadang mewujudkan laman sesawang untuk memuat naik gambar dirinya sebagai ‘mayat.’ - Agensi/myMetro

Rabu, 11 Jun 2014

Jemaah Umrah Makan Benang Kelambu Kaabah

Jemaah umrah sedang melakukan tawaf di keliling Kaabah

Kerja-kerja menggantikan kelambu Kaabah (Kiswah)

Seorang pekerja di kilang membuat kelambu Kaabah sedang bekerja


MAKKAH - Pihak berkuasa Arab Saudi semalam berkata, kerana kecetekan ilmu agama dan salah tanggapan, beberapa jemaah umrah menggunting dan memakan benang kelambu Kaabah (kiswah). 
Pengarah kilang membuat kelambu itu, Muhammad Bajoudah berkata, perbuatan sia-sia itu dilakukan jemaah dari negara tertentu hingga mencacatkan kelambu berkenaan. 
“Mereka mencabut benang menggunakan cincin dan gunting dengan harapan ia mendatangkan nasib yang baik dan berkat. Perbuatan mereka mencacatkan kiswah,” katanya. 
Menurut Bajoudah, sebahagian besar jemaah yang melakukan perbuatan mencabut benang kelambu berkenaan dan menelannya kerana mempercayai amalan karut. 
“Mereka cetek ilmu. Mereka tidak menunaikan ibadah itu dengan betul sebaliknya melakukan amalan khurafat. 
“Jemaah berkenaan melakukan perkara yang bertentangan dengan ajaran Islam. Mereka mencabut benang kiswah menyebabkan kelambu itu rosak. 
“Saya berdoa kepada Allah SWT supaya menyedarkan kebodohan mereka,” katanya. 
Bajoudah bagaimanapun berkata, ada jabatan di kilangnya yang ditugaskan untuk membaiki bahagian kelambu yang sudah digunting atau dirosakkan. 
“Kami mempunyai pakar dan pekerja untuk menangani masalah itu. Kejadian seumpama itu berlaku setiap hari hingga memaksa kami menempatkan pegawai dan pekerja di Masjidil Haram untuk sentiasa memeriksa kelambu itu,” katanya. - Agensi

Bengkel Membaiki Kereta Untuk Wanita

Seorang mekanik sedang bertugas di bengkel yang dibuka eksklusif untuk pelanggan wanita

Mekanik bernama Aurore Dabireau sedang menggantikan penyenyap ekzos

Bengkel ini mula beroperasi pada Mei lalu

Seorang mekanik sedang memberi penerangan kepada seorang pelanggan wanita


PARIS - Sebuah bengkel kenderaan khusus untuk kaum wanita yang turut menawarkan perkhidmatan rias kuku dan urutan badan dibuka di ibu kota Perancis di sini. 
Bengkel itu, Only Girls mula beroperasi pada Mei lalu dan memberi perkhidmatan kepada wanita yang merasakan mereka kerap ditipu dan dikenakan caj mahal oleh mekanik lelaki di bengkel lain. 
Sejak sebulan beroperasi, Only Girls menerima 40 pelanggan setakat ini dengan dua pertiga daripada mereka terdiri daripada golongan wanita. 
"Apabila anda seorang wanita, ia seperti ada cop 'ini mangsa' di dahi anda," kata seorang pemilik kereta berusia 42 tahun, Sandrine Hautenne. 
"Saya pernah mengunjungi tiga bengkel berlainan dan diberikan tiga anggaran harga berbeza tetapi apabila saya menghantar bapa saudara saya, harga yang ditawarkan menjadi lebih rendah," tambahnya. 
Only Girls menyediakan beberapa mekanik wanita berpengalaman yang bukan sahaja bekerja membaiki kereta tetapi turut mengajar pelanggan tentang aspek kenderaan. - AFP/Kosmo!


Bihun Cap Masjid Tidak Halal?

Isu berkaitan bihun cap masjid tersiar di internet dalam tempoh beberapa hari ini

Pemandangan yang dikaitkan dengan kilang bihun tanpa sijil halal

Seorang pekerja kilang bihun tanpa sijil halal sedang tekun menjalankan tugasnya


KUALA LUMPUR - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengesahkan produk ‘Bihun Istimewa’ yang menggunakan lambang masjid tidak mempunyai sijil halal. 
Pengarah Bahagian Hab Halal JAKIM, Hakimah Mohd Yusoff, berkata pemeriksaan dibuat selepas pihaknya menerima aduan orang awam mengenai isu kilang bihun kotor dan jijik guna logo halal yang tersebar di laman sosial.  
“Produk ini didapati menggunakan logo halal sendiri pada pembungkusan yang bertentangan dengan Akta Perihal Dagangan 2011, Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011.  
“Syarikat terbabit bukanlah pemegang sijil pengesahan halal Malaysia dan tidak pernah mempunyai sijil halal,” katanya dalam kenyataan disiarkan di laman sosial Facebook milik JAKIM, semalam.  
Sementara itu, Ketua Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Mohd Roslan Mahayuddin, berkata syarikat yang menggunakan logo halal palsu boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Perihal Dagangan kerana mengelirukan pengguna Islam.  
Ini termasuk denda maksimum RM5 juta ke atas syarikat terbabit, atau denda maksimum RM1 juta atau hukuman penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi individu jika terbukti menggunakan logo halal tanpa kelulusan JAKIM.  
Katanya, siasatan dilakukan sebaik pihaknya menerima maklumat mengenai penyebaran beberapa keping gambar pemprosesan bihun itu kotor di laman sosial semalam.  
Katanya, siasatan KPDNKK tertumpu kepada aspek memberi kenyataan palsu mengenai status halal dan penggunaan logo halal yang tidak dikeluarkan oleh JAKIM. 
“Undang-undang tidak membenarkan mana-mana pihak mengeluarkan kelulusan halal kecuali JAKIM. Kita juga lihat dari aspek syarikat terbabit beri gambaran palsu bahawa produknya adalah halal.  
“Saya masih tunggu laporan penuh pegawai penyiasat yang dihantar ke kilang itu petang tadi (semalam), jika ada kesalahan tindakan tegas akan diambil,” katanya. - Berita Harian

Khamis, 5 Jun 2014

Rakyat Turki Gesa Hagia Sophia Jadi Masjid Semula

Perdana Menteri Recep Tayyip Erdogan digesa supaya menjadikan semula Hagia Sophia sebagai masjid. Foto: Wikipedia

Puluhan ribu umat Islam Turki mengerjakan solat berjemaah di luar Hagia Sophia empat hari yang lalu. Foto: EPA

Pemandangan sebelah dalam Hagia Sophia yang sentiasa dikunjungi orang ramai. Foto: Wikimedia

Hagia Sophia menjadi masjid pada 1453 selepas ia diubahsuai daripada gereja besar Kristian Ortodoks. Foto: Wikimedia


PULUHAN ribu umat Islam di Turki mengerjakan solat berjemaah di luar masjid teragung dan tercantik di dunia, Hagia Sophia (Aya Sofia). 
Media tempatan melaporkan ia adalah sebagai usaha menggesa Perdana Menteri Recep Tayyip Erdogan menjadikan ia semula sebagai masjid teragung di negara itu. 
Ketua Persatuan Pemuda Anatolia, Salih Turan memaklumkan 15 juta orang menandatangani petisyen untuk merealisasikan impian jutaan orang Islam di Turki. 
"Hagia Sofia adalah simbol dunia Islam dan penaklukan empayar Turki Uthmaniyyah dan Sultan Muhammad al-Fateh di Istanbul," katanya. 
Difahamkan, selama hampir 500 tahun Hagia Sophia menjadi masjid utama di Istanbul pada 1453 selepas ia diubahsuai daripada gereja besar Kristian Ortodoks. 
Bagaimanapun, undang-undang sekular Turki pada 1934 menghalang sebarang kegiatan agama diadakan di masjid yang menjadi tinggalan sejarah abad ke-6 itu dan ia dipercayai berkuatkuasa hingga kini. 
November lalu, Timbalan Perdana Menteri, Bulent Arinc pernah memberi harapan kepada orang Islam di Turki bahawa Hagia Sophia akan dibuka semula sebagai masjid.  
Tetapi, pada 2012, Erdogan pernah menolak cadangan menukar status Hagia Sophia dan masjid Sultan Ahmed yang dibina pada abad ke-17. 
Sementara itu, penasihat kanan perdana menteri, Ibrahim Kalin menegaskan, Erdogan tidak bercadang untuk menukar status semasa masjid yang dijadikan muzium sejak 80 tahun lalu. 
"Ia hanya spekulasi, kerajaan belum membuat keputusan. Hagia Sophia akan kekal menjadi tempat bersejarah untuk kunjungan pelancong," katanya.  
Sementara itu, Hellenic American Leadership Council (HALC) membuat petisyen dalam talian untuk mendapat sokongan bagi membantah tindakan mana-mana pihak yang mahu menjadikan semula Hagia Sophia sebagai masjid. 
Tujuan utama mereka adalah untuk menghantar mesej kepada Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) yang menyenaraikan Hagia Sophia sebagai Tapak Warisan Dunia. 
Mereka berpendapat, tinggalan sejarah berharga di Turki itu sepatutnya kekal sebagai muzium dan dibuka kepada orang ramai. 
Sehingga kini, hampir 30,000 orang menandatangani petisyen tersebut walaupun sasaran awal mereka adalah untuk memperoleh 20,000 tandatangan. - Sinar Harian

Rabu, 4 Jun 2014

Jurutera Tak Mandi 12 Tahun

David Whitlock, seorang jurutera kimia tidak mandi sejak 12 tahun lalu

Whitlock mendakwa, kebanyakan manusia tidak lagi mempunyai bakteria yang baik pada tubuh mereka ketika ini


LONDON - Seorang jurutera kimia tidak mandi sejak 12 tahun lalu. 
David Whitlock sebaliknya menggunakan bakteria bakteria pengkosidaan ammonia (AOB) untuk membersihkan badannya setiap hari. 
Whitlock, warga Amerika, mula tertarik dengan kuasa mikro-organisme itu yang hidup di tanah, sungai dan lautan apabila teman wanitanya bertanya mengapa kudanya sering berguling di kawasan berlopak. 
Whitlock yang menjalankan kajian mendapati haiwan berkenaan bertindak demikian bagi memastikan mereka memperoleh bakteria secukupnya bagi mengelak peluh mereka berbau pada musim panas. 
Peluh manusia bertindak serupa pecah menjadi ammonia dan berbau, tetapi boleh dineutralkan dengan kehadiran AOB. 
Masalahnya, kata Whitlock, kebanyakan manusia tidak lagi mempunyai bakteria yang baik pada tubuh mereka ketika ini. 
Sejak 12 tahun lalu dia menyembur tubuhnya dengan AOB yang dikumpulkan dari tanah di ladang ternakan haiwan. 
Dia juga menghasilkan produk itu untuk mereka yang tidak berminat mandi. - Agensi/myMetro

Seludup Burung Dalam Seluar

 Percubaan menyeludup burung dalam seluar digagalkan oleh pihak kastam di Cuba

Spesis burung yang cuba diseludup

Kejadian berlaku di Lapangan Terbang Antarabangsa Ignacio Agramonte di Camahuay di Cuba


HAVANA - Seorang lelaki ditahan kerana cuba menaiki sebuah pesawat ke Amerika Syarikat bersama-sama dengan 66 burung di dalam seluarnya. 
Lelaki itu ditangkap di Lapangan Terbang Antarabangsa Ignacio Agramonte di Camahuay di Cuba selepas ditahan untuk pemeriksaan kerana bonjol besar yang mencurigakan pada seluarnya. 
Apabila ditahan oleh kakitangan kastam, lelaki itu berkata, dia hanya membawa seekor merpati sebagai hadiah untuk cucunya. 
Tetapi, apabila dipaksa menanggalkan seluarnya, pegawai menemui puluhan anak burung cakar dan burung madu sebahagiannya dengan muncung mereka diikat rapat supaya kicauan mereka tidak didengari. 
Polis berkata, semua burung itu dari spesies yang jarang ditemui dan mungkin dicuri. Ia dianggar bernilai ribuan ringgit. 
Penyeludup itu hampir berjaya menaiki pesawat selepas pengesan logam gagal mengesan burung berkenaan. 
Bagaimanapun, kerana bonjol besar dan cara dia berjalan, kakitangan kastam di lapangan terbang berkenaan menahannya untuk diperiksa. 
“Dia cuba menipu dengan berkata, dia hanya membawa seekor merpati di dalam seluarnya,” kata jurucakap kastam, Hermogenes Yonsiver. - Agensi/myMetro

Isnin, 2 Jun 2014

Berita Tentang Tentera AS Yang Ditawan di Afghanistan

Anggota tentera Amerika Syarikat (AS) yang dibebaskan, Bowe Bergdahl gemar minum teh Afghanistan

Foto Bergdahl sebelum ditawan oleh kumpulan militan Islam di Afghanistan

Foto Bergdahl semasa berada dalam tawanan di Afghanistan

Bergdahl yang berasal dari negeri Idaho tidak lupa meraikan Hari Krismas seperti yang dilakukan di tanah airnya

Presiden Obama semasa mengulas pembebasan Bergdahl di White House bersama ibu dan bapa perajurit berkenaan


MIRANSHAH, Pakistan - Anggota tentera Amerika Syarikat (AS) yang dibebaskan, Bowe Bergdahl gemar minum teh Afghanistan, mengajar kumpulan militan yang menculiknya bermain badminton dan meraikan Hari Krismas serta Easter bersama mereka, kata seorang komander militan Islam Pakistan semalam. 
Askar berpangkat Sarjan itu merupakan satu-satunya anggota tentera AS yang ditahan di Afghanistan sejak perang Afghanistan bermula pada 2001 dibebaskan kelmarin. 
Dia dibebaskan sebagai pertukaran dengan lima pemimpin kanan Taliban yang ditahan di Teluk Guantanamo selepas siri rundingan tajaan Qatar. 
Menurut sumber tentera, Bergdahl ditahan selama lima tahun dan diserahkan kepada pelbagai cabang kumpulan Taliban di sempadan Afghanistan-Pakistan sebelum ditawan di daerah Waziristan Utara di Pakistan. 
Seorang komander rangkaian Haqqani yang mempunyai hubungan dengan Taliban semalam menyatakan askar AS itu dapat menyesuaikan diri dengan kehidupan barunya sebagai orang tawanan. 
"Dia gemar minum kawa (teh hijau Afghanistan). Dia minum banyak kawa seharian yang disediakan sendiri olehnya," kata komander berkenaan dalam satu wawancara telefon dari sebuah lokasi rahsia di Pakistan. 
Lama-kelamaan Bergdahl yang kini berusia 28 tahun petah bercakap dalam bahasa Pashtun dan Dari yang digunakan oleh penduduk Afghanistan. 
Tidak seperti militan-militan tersebut yang berasal dari etnik Pashtun dan gemar memakan daging, Bergdahl lebih suka makan sayuran dan meminta daging cuma sekali atau dua kali seminggu, kata komander itu. 
"Walaupun militan-militan tersebut cuba mengajar askar AS itu mengenai Islam dia memilih untuk melakukan aktiviti duniawi," ujarnya. 
"Bergdahl akan meluangkan masa untuk bermain badminton atau membantu untuk memasak," tambah ketua militan tersebut. 
Bergdahl yang berasal dari negeri Idaho turut tidak akan lupa untuk meraikan Hari Krismas seperti yang dilakukan di tanah airnya. 
"Dia tidak pernah terlupa meraikan festival keagamaannya. Bergdahl akan memaklumkan kepada kami beberapa minggu sebelum Hari Krismas dan Easter dan meraikannya bersama pejuang-pejuang saya," ujar komander itu. - AFP/Kosmo!

Khasiat Buah Prun

Buah prun kering. Foto: Wikipedia

Buah prun segar. Foto: Wikipedia


TAHUKAH anda, mengambil prun sebenarnya dapat membantu diet anda menjadi lebih mudah. 
Menurut penyelidik di Universiti Liverpool, Jo Harrold, individu memakan prun akan berasa cepat kenyang kerana kandungan serat yang tinggi dalam buah plum yang dikeringkan. 
Kajian dilakukan ke atas 100 lelaki dan wanita yang mengalami obesiti menunjukkan penurunan berat badan kira-kira 2 kilogram selain ukuran pinggang mereka berkurangan kepada 2 sentimeter selepas mengambil prun dalam tempoh tiga bulan. 
"Saya menasihatkan mereka yang mahu mencuba diet ini supaya mengambil prun dalam kuantiti kecil bagi mengelakkan masalah penghadaman," katanya dipetik Daily Mail. 
Selain itu, Harrold berpendapat buah-buahan kering lain seperti kismis turut memberi faedah sama seperti prun. - Sinar Harian

Padah Menggunakan Telefon Bimbit Berlebihan

Aplikasi WeChat disediakan firma China Tencent. Penggunaan telefon bimbit berlebihan boleh merosakkan retina. Foto: Bloomberg

Seorang doktor memeriksa mata seorang gadis dari Tibet pada 27 Mac lalu. Foto: CNS)


QINGDAO (China) - Seorang lelaki mengalami masalah penglihatan selepas menghabiskan masa terlalu lama menghantar pesanan ringkas telefon bimbit dalam gelap. 
Lelaki tidak dikenali berusia 26 tahun itu mendakwa, dia mula melihat ‘cahaya’ depan matanya selepas beberapa jam menggunakan WeChat. 
Sumber berkata, lelaki terbabit tidak henti-henti menggunakan telefon pintarnya di mana saja dia berada, sama ada di pejabat, di atas katil dan dalam gelap. 
Bimbang dengan apa yang berlaku, dia mendapatkan rawatan doktor. 
Malangnya, ia terlambat kerana doktor mengesahkan retina kirinya terpisah sepenuhnya. 
Lelaki itu menjalani pembedahan kecemasan dan mungkin bernasib baik jika penglihatannya kembali pulih. 
Pakar mata Yu Bin berkata, walaupun kes itu dianggap ekstrem. Dia juga berkata, pemisahan retina kerap berlaku dalam dalam kalangan orang lebih tua. 
“Bagaimanapun umur purata pesakit berubah kerana aktiviti melampau telefon berkenaan dipelopori orang lebih muda,” katanya. - Agensi/myMetro