Allah berfirman dalam al-Quran:

"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran." Mafhum Surah al-Asr: ayat 1 - 3.
Memaparkan catatan dengan label Bisnes. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Bisnes. Papar semua catatan

Khamis, 22 Januari 2015

Pisang Goreng Keju Leleh

Razilanudin Mat Rodzi menunjukkan pisang goreng keju yang dijual di gerainya, di Taman Danau Kota, KL. Foto: myMetro

Hirisan keju yang diletakkan di atas pisang goreng menjadikan makanan ini menarik untuk dicuba. Foto: myMetro


Hirisan keju ditabur bersama gula merah di atas pisang goreng panas. Lelehan ramuan dengan rasa rangup bercampur manis dan lemak menjadi formula seorang pengusaha yang tidak menang tangan melayan pelanggan.
Itu rahsia ramuan disaji pengusaha gerai Din Pisang Goreng Cheese Razilanudin Mat Rodzi, 26, atau lebih mesra dipanggil Din di Taman Danau Kota, di sini.
Menurut Razilanudin, suka mengekalkan rasa tradisional pisang keju buatannya kerana ia sudah cukup memberikan rasa enak dan manis dalam pisang keju yang dihasilkan. 
Mengimbas kembali permulaan perniagaannya, dia langsung tidak mempunyai kemahiran memasak mempelajari resepi pisang keju daripada rakan karibnya akibat desakan hidup dan juga semangat ingin mencuba selok-belok perniagaan. 
“Saya berhenti kerja dan jual motosikal untuk membuka gerai pisang goreng. Waktu itu memang susah dengan tiada pengalaman dan kemahiran tetapi saya nekad mencuba nasib. 
“Hari pertama berniaga hanya tiga kotak saja yang terjual, mula-mula goreng pisang pun hangus. Alhamdulillah bermula dengan 5 kilogram (kg) pisang sehari kini mampu menjual 135kg sehari kerana mendapat sambutan yang menggalakkan,” katanya. 
Menurutnya, gerainya dibuka pada jam 2.30 petang hingga 7 malam dengan dibantu tiga pekerja bagi melayan pelanggan yang beratur panjang menunggu giliran. 
Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya. - Muhd Faris Mustaqim Abdullah/ myMetro


Rabu, 21 Januari 2015

Bukan Senang Dapat Lesen Perniagaan

Restoran Line Clear di Jalan Penang terus beroperasi seperti biasa walaupun baru disita MPPP kelmarin.

Rakaman CCTV menunjukkan anggota penguat kuasa MPPP sedang mengangkat meja Restoran Line Clear awal pagi semalam.

Abdul Hamid Seeni Pakir, pengusaha Nasi Kandar Line Clear

Abdul Hamid mendakwa sudah beberapa kali memohon lesen daripada MPPP namun tidak diluluskan

Walaupun tanpa lesen, restoran nasi kandar Line Clear tetap meneruskan operasinya


GEORGE TOWN – Pengusaha restoran nasi kandar Line Clear terus melawan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) apabila ia bertindak meneruskan operasi tanpa lesen semalam walaupun sebahagian peralatan kerusi, meja dan rak membancuh minuman restoran itu telah disita anggota penguat kuasa majlis itu awal pagi kelmarin.
Abdul Hamid Seeni Pakir turut berikrar tidak akan membayar kompaun bagi menuntut semula peralatan perniagaan yang dirampas itu.
Beliau mendakwa tidak me­lakukan sebarang kesalahan dalam menjalankan perniagaan itu di Jalan Penang di sini walaupun tanpa lesen yang tidak diluluskan oleh MPPP.
“Masalah tiada lesen ini bukan berpunca da­ripada saya kerana saya sudah beberapa kali memohon lesen daripada MPPP namun tidak diluluskan sehingga ke hari ini.
“Saya telah cuba pelbagai cara untuk mendapatkan lesen perniagaan yang sah malah telah mengemukakan permohonan sejak tahun 2006 dan kali terakhir pada 2012 namun tetap tidak lulus.
“Jadi, kenapa saya harus membayar kompaun kepada MPPP, sedangkan saya sudah cuba berniaga ikut saluran yang betul?” tegas Abdul Hamid ketika ditemui pemberita di sini semalam.
Abdul Hamid berkata, sejak premis perniagaannya disita kelmarin, perniagaan di restoran miliknya didakwa semakin mendapat sambutan luar biasa daripada pengunjung tempatan dan pengunjung luar negara.
“Kehadiran pelanggan di restoran saya hari ini (semalam) semakin rancak berbanding hari biasa dan kebanyakan mereka turut mempersoalkan kejadian yang berlaku selepas berita tersebut disiarkan dalam media cetak dan elektronik.
“Mungkin ramai orang ke sini (restoran) untuk melihat sendiri sama ada premis ini masih dibuka atau sebaliknya selepas operasi MPPP pagi semalam (kelmarin). - Kosmo!

Daging Salai Sabak Istimewa Dari Rembau

Daging yang disalai dalam sabak nampak kemerah-merahan

Daging puyuh salai yang dipekkan dengan jenama Sabak Salai.

Itik ini sedia untuk disalai di dalam sabak.

Mohammad Taqdir (kiri) dan Roasli menunjukkan produk Sabak Salai.


Negeri Sembilan terkenal dengan menu masak lemak cili api dan ia diperkemaskan dengan ciptaan tradisional bagi menambah aromanya yang diberi nama 'sabak salai.'
Ia hasil kreativiti anak muda berasal dari Kampung Kundur, Pedas, Rembau.
Pengusaha terbabit, Mohammad Taqdir Sajin, 25, membuat tindakan drastik apabila meletak jawatan di sebuah bank terkemuka di Subang Jaya, Selangor pada Ogos tahun lalu selepas dua tahun bekerja untuk menumpukan bidang perniagaan produk salai diusahakan bersama keluarganya.
"Terdetik juga kebimbangan di hati kerana belum lagi ada ahli keluarga saya berkecimpung dalam bidang perniagaan.
"Namun idea itu dicetuskan ayah, Sajin Moosthapha, 60, seorang pesara tentera untuk membina sabak iaitu tempat salai produk daging, ikan keli, ayam kampung, itik dan burung puyuh," katanya ketika ditemui di tapak Pasar Tani Lukut, Port Dickson.
Menerusi kaedah membina rumah api atau sabak ini, masakan salai menjadi lebih sedap.
Taqdir amat berterima kasih kepada Pegawai Lembaga Pemasaran Persekutuan (FAMA) Port Dickson, Roasli Abd Hamid yang memberi peluang dan galakan kepadanya untuk mengembangkan perniagaan itu.
Katanya, bermula di Pasar Tani di Bandar Springhill, Port Dickson, dia melebarkan sayap di empat lokasi lain iaitu di Putrajaya, Masjid Tanah, Melaka; Bangi dan Lukut, Port Dickson.
"Dengan bantuan FAMA, produk salai diusahakan mula mendapat sambutan memberansangkan.
"Saya akhirnya membuat keputusan untuk meneruskan perniagaan ini ke tahap maksimum me­ngikut kemampuan yang ada," katanya.
Produk salainya menjadi pilihan kerana ia mampu bertahan antara tiga hingga lima hari tanpa disimpan dalam peti sejuk.
Menurut graduan Diploma Pengurusan Perniagaan di Kolej Islam Antarabangsa Kuala Lumpur ini, dia memulakan perniagaan dengan modal RM20,000 termasuk membina sendiri sabak menggunakan batu-bata dan simen.
Malah besi untuk menyangkutkan produk yang hendak disalai lengkap dengan bacaan suhu juga memakan kos RM10,000.
"Fungsi sabak adalah untuk melembut dan melembabkan daging seperti itik yang terkenal dengan liatnya ketika dimasak.
"Rasanya kekal walaupun proses menyalai mengambil masa tiga jam dalam suhu 70 hingga 80 darjah Celsius," katanya.
Setiap produk berbeza mengikut tempoh menyalai seperti daging mengambil masa selama empat jam, ikan sembilang (dua jam 30 minit), burung puyuh (sejam 30 minit) dan ayam kampung (dua jam).
Daging yang hendak disalai tidak diperap bagi memelihara keaslian rasanya.
Katanya, soal memilih kayu api juga penting kerana tidak semua jenis sesuai digunakan untuk menyalai.
"Contohnya, kayu getah mengeluarkan habuk manakala kayu pokok durian mengeluarkan asap yang banyak," katanya.
Dia menjadikan Pasar Tani sebagai satu kaedah pemasaran dan pada masa sama menjual produk makanan siap dimasak ibunya, Kasinam Salimin, 67.
"Hujung minggu pula, kami menumpukan jualan di kedai kerana biasanya ramai pelanggan pada waktu itu memandangkan kedai kami terletak di laluan alternatif ke Melaka dan lebuh raya ke Kuala Lumpur," kata anak muda yang masih bujang ini.
Menurut Mohammad Taqdir, bermula Januari lalu, ahli keluarganya banyak membantu terutama ibu dan dua abangnya yang sanggup berhenti kerja untuk memberi fokus kepada perniagaan berkenaan.
Perniagaan didaftarkan atas nama Taqdir Enterprise itu mendapat galakan penuh daripada FAMA yang turut membantu dalam mendapatkan tapak perniagaan. Mohd Khidir Zakaria / myMetro

Selasa, 20 Januari 2015

Sate 2 Minit

Sate K-MAYAN: Sate siap dalam tempoh dua minit

Sate hanya perlu dimasukkan ke dalam ketuhar untuk dipanaskan

Rasanya sama seperti sate segar

Marsam bersama produk sate dua minit jenama K-MAYAN.


Memulakan perniagaan pada usia 24 tahun, penghijrahan usahawan kelahiran Parit Raja, Batu Pahat, Johor ini ke Negeri Pahang Darul Makmur membawa rahmat cukup besar dalam produk sate warisan keluarga.
Kesungguhan Marsam Ngadino, 49, berbayar apabila satenya mendapat sambutan pelanggan.
Berbekalkan ramuan tradisi serta rempah ratus seimbang dan penggunaan lidi kelapa sebagai bahan pencucuk menjadikan sate K-MAYAN mudah dimakan serta lembut.
Produk inovasi yang dibangunkan lima tahun lalu menembusi pasaran tempatan dengan sate ayam, lembu dan kambing.
Dalam memastikan produk sejuk beku berkualiti, Marsam bekerjasama dengan MARDI supaya tahan lama. 
Marsam yang juga Pengurus Rumah Sate Kemayan berkata, sate K-MAYAN diadaptasi daripada resipi ayahnya.
"Dulu, ayah kami berniaga sate di Singapura pada tahun 1950-an sebelum berhijrah ke Parit Raja, Johor.
"Saya membawa resipi warisan keluarganya ke Kemayan, Pahang.
"Berkat kesabaran, saya membuka cawangan pertama di Seremban," katanya.
Sepanjang 23 tahun dalam bidang ini, Marsam mencari idea untuk memvariasikan produknya.
"Maka tercetuslah sate dua minit kerana zaman sekarang sate adalah makanan warisan yang susah disediakan.
"Proses pembakaran sangat sukar memerlukan tenaga mahir bagi mengekalkan kualiti," katanya.
Penciptaan sate dua minit juga atas cadangan rakan-rakannya yang belajar di luar negara.
"Penerimaaan sate di luar negara bagus, tetapi untuk mendapatkan kualiti terbaik kepada pelanggan sangat sukar.
"Jadi saya bangunkan sate dua minit dan percubaan selama lima tahun akhirnya dipasarkan pada 2012," katanya.
Dia terus mengekalkan lidi kelapa dan rempah ratus kerana rasanya lebih enak.
"K-MAYAN adalah jenama yang didaftarkan di Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO).
"Di sebalik nama berkenaan tersirat makna iaitu 'K' adalah kaya dan Mayan pula lumayan iaitu lumayan dengan rempah ratus serta tradisi," katanya.
Jabatan Pertanian Pahang banyak membantu memberi ilmu dan kemudahan prasarana (bengkel) dengan peruntukan RM40,000.
"Setakat ini, kami mengeluarkan 4,000 hingga 5,000 cucuk sate sehari.
"Proses atau cara penyediaan mudah iaitu pengguna hanya perlu keluarkannya daripada peti sejuk dan masukkan ke dalam ketuhar selama dua minit dan rasanya sama seperti sate segar," katanya.
Sate keluarannya mendapat sijil halal JAKIM dan Sijil Makanan Selamat, Tanggungjawab Industri (MeSTI) daripada Kementerian Kesihatan.
"Dalam perancangan masa depan, saya mahu memasarkan sate ini ke pasaran antarabangsa," katanya. - Mohd Sabran Md Sani / myMetro

Isnin, 8 Disember 2014

Jual Kuih Akok 1,000 Biji Sehari

Nik Faizah Nik Abdul Rahman, 60, menjadikan rumahnya sebagai pusat pengeluaran beraneka kuih.

Murtabak diraja sejuk beku adalah di antara makanan yang dihasilkan oleh Nik Faizah.

Pelanggan tidak putus-putus datang membeli walaupun ketika hujan.

Seorang pekerja Nik Faizah mengisi adunan kuih akok ke dalam acuan sebelum dibakar.

Kuih piana bukan saja popular dalam kalangan orang tempatan, tetapi turut diminati pelancong Timur Tengah.

Inilah rupa kuih akok yang dihasilkan Nik Faizah, lembut dan enak.

Ini pula ialah bubur asyura yang mendapat tempahan tinggi ketika musim mengacau.


Kerap kali orang mengidam kuih tradisional Kelantan termenung panjang. Kuih yang diidam ibarat bergentayang di tubir mata.
Namun, kalau hendak merasa, entah bila dapat dicuba. Usik orang dulu-dulu, kalau tak dapat melepaskan kepingin, elok dicuit kuih diidam ke mulut bayi. Kalau tidak, meleleh air liur si kecil tak berkesudahan.
Sekarang umpamanya, jika dirisik-risik rakan terdekat, pasti jawapannya kena tunggu bulan puasa.
Memang Ramadan punya kuasa menukar segala menu kepada yang enak dan aneh belaka. Masa itulah muncul pelbagai juadah dari negeri Cik Siti Wan Kembang.
Begitupun, orang Kelantan tidaklah mudah kempunan macam yang di bandar. Banyak manisan dan kuih tradisional boleh dibeli di Pasar Khadijah, Kota Bharu.
Cuma orang di Kuala Lumpur dan negeri lain yang berjauhan saja yang mudah termimpi-mimpikan tahi itik, pauh dilayang, jala mas, nekbak, piana, buah tanjung dan akok.
Justeru, kesempatan Nuansa ke Kota Bharu minggu lalu digunakan sebaiknya untuk meneroka keistimewaan kuih tradisional Kelantan yang turut digelar manisan diraja.
Musim tengkujuh di Kelantan bermula sejak awal November lalu. Hujan tidak henti berselang-seli lebat dan gerimis.
Biarpun demikian, premis niaga Serimas D'Royal Murtabak tidak putus-putus dikunjungi pelanggan sejak pagi.
Menurut pengusahanya, Nik Faizah Nik Abdul Rahman, 60, bengkel kuihnya dibuka seawal 8 pagi setiap hari dan mula dibanjiri pelanggan sejam kemudian.
Antara juadah yang menjadi rebutan pelanggan adalah murtabak diraja, kuih akok, jala mas, buah tanjung dan cik mek molek.
"Orang tempatan adalah pelanggan tetap setiap hari. Ada yang membeli untuk sajian di rumah, ada juga yang berborong untuk majlis tertentu atau dijadikan buah tangan kepada saudara jauh.
"Ada ketikanya kita juga menerima tempahan dari istana untuk majlis tertentu, tempahan syarikat korporat untuk pek cenderahati dan pencuci mulut, sajian untuk majlis kahwin serta permintaan menggubah manisan untuk dijadikan hantaran pernikahan.
"Pendek kata, rumah ini (yang sebahagiannya dijadikan bengkel memasak) tidak pernah lekang dengan pengunjung dan pelanggan dari serata pelosok negara," katanya.
Dari jauh, kedengaran pula suara pekerja Nik Faizah menyampuk. Meriah laman rumah tatkala dipenuhi bas dan kenderaan dari luar katanya. Mereka datang dari jauh semata-mata untuk mencuba kuih tradisi Kelantan.
Bercerita mengenai asal usul perniagaannya, Nik Faizah berkata, perusahaan kuih tradisi itu diwarisi daripada arwah ibunya, Nik Sarimah Nik Omar.
"Dulu mak buat (kuih) ikut tempahan. Tapi sekarang saya dan anak-anak komersialkan dengan bantuan lapan pekerja.
"Kami berniaga setiap hari dan menyiapkan tempahan yang diterima. Selain permintaan dari istana dan orang tempatan, tempahan juga banyak diterima dari seluruh negara dan Singapura.
"Resepi tiap-tiap juadah masih lagi sama sebagaimana saya pelajari daripada arwah mak. Semua sukatan dan bancuhan saya kendalikan sendiri. Pekerja hanya perlu masak," katanya.
Ketika membandingkan kualiti kuihnya dengan juadah sama di pasaran luar, Nik Faizah berkata, ramai yang memuji resepinya lebih asli dan enak.
Buktinya, pihak istana masih menempah pelbagai menu istimewa dari dapur Serimas D'Royal Murtabak.
"Selain manisan dan murtabak, kita juga ada itik solo, cik banding, kuzi ayam, kabat daging, dalca, nasi tumpang dan asyura.
"Majoriti juadah ini adalah hidangan istana dan sukar ditemui di kedai," katanya.
Dalam pada duduk bersembang, penulis tergamam apabila diberitahu kuih akok dibuat mencecah 4,000 biji sehari.
Kata Nik Faizah, jualan akok, jala mas dan tahi itik laris berbanding manisan lain di premisnya.
"Sekurang-kurangnya 1,000 biji akok dijual setiap hari. Tapi selalunya ia berganda kerana permintaan tinggi.
"Bulan puasa, akok dihasilkan mencecah 10,000 biji sehari untuk memenuhi permintaan pembeli, peniaga, pihak hotel dan restoran besar.
"Ketika itu, kita terpaksa ambil lebih ramai pekerja dan membahagikan mereka kepada dua syif. Begitupun, saya berbesar hati kerana resepi keluarga menjadi kesukaan ramai," katanya. - Intan Mas Ayu Shahimi/ myMetro

Selasa, 25 November 2014

Doktor Buka Kilang Tilam

Dr Rahmatullah menunjukkan gentian kenaf sebelum diproses menjadi ‘mat’ atau pelapik tilam. Foto: Azlan Hafeedz

Para pekerja sedang menguraikan gentian kenaf sebelum dimasukkan ke mesin pemecah bal serat. Foto: Azlan Hafeedz

Kenaf yang sudah siap digulung diletakkan dalam rak. Foto: Azlan Hafeedz

Dr Rahmatullah (dua dari kanan) sedang menunjukkan contoh tilam 'single size'. Foto: Azlan Hafeedz


Kajian positif Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) dan Universiti Sains Malaysia (USM) terhadap beberapa produk berasaskan 'fiber' atau gentian kenaf memberi ilham kepada seorang doktor haiwan menceburi bidang pembuatan tilam.
Hasil kajian membuktikan gentian kenaf mesra alam, tahan lasak dan jangka hayatnya lama, menambah keyakinan Pengarah Urusan Finaf Mattress Sdn Bhd (FMSB) Dr Rahmatullah Hussain, 49, untuk membuka sebuah kilang di Permatang Pauh, Pulau Pinang pada 2007.
Pembukaan kilang seluas setengah hektar dengan modal permulaan RM500,000 menjadikan syarikat milik Dr Rahmatullah ini sebagai kilang pertama yang mengambil kenaf sebagai material utama pembuatan tilam di negara ini dan Asia Tenggara.
Usaha gigih beliau selama tujuh tahun membuahkan hasil lumayan apabila produk tilamnya semakin mendapat perhatian peniaga perabot sekitar Pulau Pinang dan Kedah sejak tiga tahun lalu.
Keyakinan pengguna terhadap kualiti dan kebaikan tilam kenaf bertambah apabila ia terbukti tahan serangan haiwan perosak, mampu menurunkan suhu bilik selain murah berbanding tilam gentian lain.
Dr Rahmatullah ketika ditemui dalam lawatan ke kilangnya di Pulau Pinang baru-baru ini berkata, beliau yakin tilam berasaskan gentian kenaf berpotensi menjadi antara produk keluaran tempatan tersohor selepas menerima maklum balas positif daripada ramai pelanggan.
Katanya, gentian kenaf mampu tahan lama kerana langsung tidak dicampur bahan kimia, berbanding gentian serat lain seperti sawit dan juga bahan terbuang.
"Tilam kenaf juga istimewa kerana bebas 'spring', mengoptimumkan pengaliran udara, tahan lasak, kurangkan tekanan, selesa tidur dan menyokong struktur serta bentuk badan.
"Malah, tilam bayi daripada kenaf turut menerima pengiktirafan apabila menerima pingat emas dalam Pameran Pertandingan Konferansi Kebangsaan (CCE) 2014 anjuran Jabatan Pengajian Politeknik Malaysia, Julai lalu," katanya.
Untuk menghasilkan sebuah tilam kenaf, empat proses perlu dilakukan membabitkan penggunaan enam mesin iaitu pemecah bal serat, pengasingan dan penguraian, penikaran, lipat silang, penjaruman dan juga penggulungan.
Beliau berkata, sebaik selesai melalui proses itu, gentian kenaf kemudian dimampatkan dengan 'Fiber Press' sebelum dijahit menjadi tilam menggunakan mesin jahit khas.
Katanya, selain khidmat sokongan bahan mentah, pihak LKTN turut memberi bantuan peralatan berjumlah RM300,000, sementara USM membantu dalam melakukan kajian terhadap bahan gentian itu.
"Sebanyak 500 tilam membabitkan tiga model dikeluarkan secara berperingkat dalam tempoh fasa pertama bermula Ogos hingga Februari depan, ditambah 1,000 lagi untuk fasa kedua sebaik penambahan tenaga kerja baru.
"Antara satu hingga tiga tan kenaf diperlukan setiap bulan bagi menghasilkan 500 tilam dan jenis tilam keluaran kami ialah 'king size' yang dijual antara RM1,000 hingga RM1,200 sebiji; 'queen size' (RM600-RM800) dan 'single size' (RM300-RM500)," katanya yang giat mencari pengedar di luar Pulau Pinang.
Gentian dan empulur kenaf boleh digunakan untuk menghasilkan produk mesra alam seperti papan gentian, papan serpai, geo-tekstil, tekstil, komponan automotif dan bahan binaan, selain turut boleh dijadikan makanan ternakan.
Sementara itu, Ketua Pengarah LKTN, Samsudin Noor berkata, penanaman kenaf di Malaysia bermula secara komersial pada 2010 di tanah seluas 1,600 hektar sebelum meningkat kepada 2,000 hektar pada 2014 dengan penghasilan 16,000 batang kenaf atau lapan tan per hektar.
Katanya, daripada 16,000 batang kenaf itu, sebanyak 25 peratus gentian dengan kadar 4,000 tan atau RM6 juta dapat dihasilkan manakala 75 peratus pula empulur dengan penghasilan 12,000 tan (RM7.2 juta).
"Hasil usaha berterusan LKTN mempromosikan tanaman itu, ramai pihak kini sedar manfaat serta kebaikan kenaf yang menjurus mesra alam dan jika dibandingkan gentian lain seperti sawit, ia lebih tahan lasak serta mampu bertahan lama.
"Penanamannya juga tidak cerewet kerana ia boleh ditanam di kawasan terbiar seperti sawah dan bekas tapak penanaman tembakau," katanya.
Menurutnya, pihak LKTN sedang giat membantu beberapa usahawan di Terengganu, Kelantan dan Selangor yang kini terbabit dalam industri pembuatan berasaskan kenaf seperti perabot, panel dinding dan lantai.
"Hasil kajian turut mendapati kenaf juga sesuai digunakan dalam industri perumahan sebagai komponan bahan binaan seperti panel, lantai, siling dan juga papan serpai kerana tahan panas, sejuk serta tidak dimakan serangga perosak, selain mampu menjimatkan kos.
"Malah, Institut Automotif Malaysia sudah menunjukkan minat terhadap gentian kenaf berikutan kesesuaiannya dijadikan alternatif kompenan automotif seperti panel pemuka, 'insulator' dan 'bumper'," katanya. - Azlan Hafeedz/ myMetro

Ahad, 23 November 2014

Keenakan Mi Kicap Ipoh

Walaupun telah empat dekad di pasaran namun rasa mi kicap Mat Jasak tidak pernah berubah. Foto: Kosmo!

Legasi perniagaan mi kicap Mat jasak diteruskan oleh anaknya, Norhayati. Foto: Kosmo!

Para pelanggan sanggup datang dari jauh semata-mata ingin menikmati mi kicap Ipoh. Foto: Kosmo!


SEBUT sahaja mi kicap Ipoh, pasti terbayang sepinggan mi kuning berkuah kicap dengan tauge, hirisan daun bawang, sos lada dan taburan bawang goreng. Menjadi pelengkapnya ialah semangkuk sup berisi bebola dan filet ikan serta fucuk.
Mi berkuah kicap seperti ini sebenarnya ada di tempat lain cuma bezanya mi kicap di bandar raya Ipoh, Perak memiliki keistimewaan tersendiri. Makanan masyarakat Cina ini telah diubah suai mengikut cita rasa penggemar Melayu.
Keenakan mi kicap terletak pada campuran kuah kicap dan sup yang disediakan. Ada penggemarnya suka mi kicap cair tetapi ada juga gemarkan kuah kicap yang pekat. Semuanya bergantung kepada selera masing-masing.
Mereka yang bukan penggemar sup pula boleh memilih kuah mi kari untuk dimakan bersama mi kicap. Sebab itulah, mana-mana gerai yang menjual mi kicap di Perak turut menyediakan mi kari kepada pelanggan.
Terdapat banyak gerai makan yang menjual mi kicap di sekitar Ipoh, malah ada antaranya dibuka awal pagi hingga tengah malam. Lokasi terbaik hidangan ini bergantung kepada selera penggemarnya.
Bagaimanapun, salah sebuah gerai yang pastinya menjadi tumpuan di bandar raya Ipoh ialah Mee Kari Haji Daud Mat Jasak (atau disebut mi kicap Mat Jasak) yang terletak di Jalan Datuk Onn Jaafar. Lokasinya pula tidak sukar dicari.
Populariti gerai mi kicap ini menyebabkan ia menjadi tumpuan pengunjung setiap hari termasuklah yang datang dari Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.
Kisah perniagaan Mee Kari Haji Daud Mat Jasak bermula kira-kira 42 tahun lalu. Allahyarham Daud Mat Jasak yang merupakan anak jati Lambor Kanan, Parit ketika itu membuat keputusan berhijrah ke Ipoh bagi memulakan kehidupan baharu. 
Beliau bersama isterinya, Allahyarhamah Masitah Abd. Kohor kemudian menetap di Kampung Manjoi, Ipoh dan berniaga mi kari di tepi kaki lima Jalan Datuk Onn Jaafar iaitu lokasi gerai yang sama wujud pada hari ini.
Setiap hari beliau yang ditemani isteri mengayuh basikal sejauh kira-kira lima kilometer dengan jualan hanya cukup-cukup makan. Hasil pergaulan dengan rakan-rakan berketurunan Cina memberi ilham kepada Daud untuk menjual mi kicap apabila mendapati makanan itu digemari orang-orang Melayu.
Hanya pada tahun 1985 perniagaan mi kicap dan mi kari Daud semakin maju berkat kesungguhan beliau.
Kini, terdapat empat cawangan Mee Kari Haji Daud Mat Jasak di Ipoh dan Tapah selain gerai asal di Jalan Datuk Onn yang dikendalikan sebahagian daripada sembilan orang anak-anaknya. Daud meninggal dunia tiga tahun lalu pada usia 85 tahun.
Anak ketujuh beliau, Norhayati menguruskan gerai asal bersama seorang lagi adiknya. Gerai ini dibuka seawal pukul 8 pagi sehingga 2 petang dan dibuka semula pukul 4.30 petang hingga 10 malam.
Menurut Norhayati, penyediaan kuah kicap, kari dan sup dilakukan mengikut sukatan tertentu termasuk rempah-ratus. Beliau hanya mengingati sukatan dan cara menyediakannya tanpa merujuk resipi.
Katanya, kaedah yang sama dipraktikkan Allahyarham bapanya dahulu. Operasi hariannya dibantu empat orang pekerja serta anak sulungnya, Mohamad Ashraf Mohamad Raffek, 23.
“Setiap hari kami menggunakan kira-kira 15 kilogram (kg) mi kuning, 12kg kuetiau, 6kg tauge dan kira-kira 1,000 biji campuran bebola dan filet ikan.
“Rasa mi kicap dan mi kari di gerai ini tidak pernah berubah sejak 42 tahun lalu. Ini juga merupakan cabaran kepada kami untuk mengekalkan perniagaan Mee Kari Haji Daud Mat Jasak,” ujar Norhayati.
Sementara itu, Mohamad Ashraf yang merupakan graduan dalam bidang kulinari daripada sebuah institusi pengajian tinggi swasta di ibu kota mengakui cabaran besar untuk meneruskan perniagaan warisan keluarganya itu.
Bagi mempelbagaikan lagi pilihan pelanggan, beliau memperkenalkan pan mi, yi mi dan mi segera bagi menggantikan mi kuning jika diminta pelanggan.
“Sebagai generasi baharu, saya ingin pastikan perniagaan Daud Mat Jasak dapat mengekalkan apa yang telah diberikan kepada pelanggan selama ini,” ujarnya.
Satu lagi lokasi mi kicap yang mendapat tempat di hati penggemarnya ialah gerai mi kicap stadium atau dikenali juga dengan nama mi kicap Cina. Gerai ini antara yang kerap mendapat ulasan positif daripada penggemarnya di laman blog percutian dan makanan.
Gerai bernombor 98 ini terletak di Medan Selera Stadium Ipoh berdekatan Kompleks Sukan Majlis Bandaraya Ipoh.
Mi kicap di sini disediakan hampir sama seperti mi kicap masyarakat Cina kerana pengusahanya, Harman Rashidi, 34, mewarisi resipi ibunya yang berketurunan Tionghua.
Hidangan asasnya ialah mi kuning berkuah kicap pekat, sambal lada dan kuah sup berisi dua keping filet ikan. Ada juga pelanggan yang memesan kedua-duanya iaitu sup dan semangkuk kuah mi kari.
Sepinggan mi kicap berharga RM5, manakala tambahan bahan-bahan di dalam sup seperti bebola ikan, bebola sotong, bebola udang dan isi ketam pula dikenakan harga tertentu.
Menurut Harman, keluarganya mula berniaga mi kicap dan mi kari kira-kira sedekad lalu bermula di Silibin dan kemudian ke Manjoi sebelum berpindah ke gerai sedia ada pada tahun 1998.
Katanya, perniagaan keluarga itu diusahakan secara kecil-kecilan dan tidak berhasrat untuk membuka cawangan lain.
“Gerai ini dibuka setiap hari bermula dari pukul 8 pagi hingga 12 tengah hari dengan waktu paling sibuk antara pukul 8 hingga 10 pagi iaitu pelanggan datang untuk bersarapan.
“Pernah juga pelanggan datang ramai secara berkumpulan menyebabkan kami tidak menang tangan melayan mereka,” ujarnya yang memberitahu, perniagaan itu hanya dibantu oleh ahli keluarga.
Akuinya lagi, mi kicap menjadi antara makanan yang cukup digemari di bandar raya itu dan sebagai anak jati Ipoh, beliau amat berbesar hati apabila dapat menyumbangkan sesuatu yang boleh melonjakkan nama tempat kelahiran sendiri.
Sementara itu, penggemar mi kicap, Nur Athiqah Ahmad Bahalal, 26, memberitahu, dia kerap berkunjung ke beberapa gerai di bandar itu kerana setiap satunya memiliki keistimewaan tersendiri.
“Saya tidak mempunyai gerai pilihan dan ada ketikanya mengikut pilihan rakan-rakan. Misalnya, ke gerai mi kicap stadium kerana terletak tidak jauh dari pejabat.
“Di gerai ini, saya menggemari supnya bersama filet dan bebola ikan terutama semasa disajikan panas-panas,” ujar eksekutif di sebuah syarikat swasta itu.
Seorang lagi penggemar, Siti Nor Amira Othman, 26, memberitahu keunikan makanan itu telah meletakkan bandar raya Ipoh dalam peta pelancongan tempatan sekali gus menjadi kebanggaan warganya.
Jelasnya, beliau berbangga kerana keenakan mi kicap Ipoh dikenali sehingga ada rakan-rakannya dari negeri lain sanggup datang bercuti di Ipoh semata-mata untuk mencubanya. - Zaki Salleh/ Kosmo!

Rabu, 20 Ogos 2014

Pelanggan Laksa dan Cendol Beratur Panjang

Iklan gerai laksa tempurung dan cendol tempurung. Foto: mStar

Ada pelanggan terpaksa menunggu giliran. Foto: mStar

Unik! laksa dihidangkan dalam tempurung. Foto: mStar

Ini pula ialah cendol - juga dihidangkan dalam tempurung. Foto: mStar

Para pelanggan sedang menjamu selera. Foto: mStar

Antara pelanggan tetap, Mohd Ridzwan, 34, dan isterinya Azura Ismail, 29. Foto: mStar

Yaakob sedang menyediakan laksa untuk pelanggannya. Foto: mStar


BETUL ke? 
Takkan kot. 
Persoalan itu yang bermain di fikiran Abang Fen sambil memandu kereta ke Teluk Kumbar dari Bayan Lepas, Pulau Pinang. 
Mana tidaknya, Abang Fen dalam perjalanan ke sebuah gerai yang menghidangkan laksa dan cendol pulut dalam tempurung. 
Bagaimana pengusahanya meletak tempurung itu di atas meja dan macam mana pula laksa dihidang...tak tumpah ke? 
Setibanya di gerai itu, Abang Fen tengok dah ramai pelanggan menunggu giliran. 
Memang tak sabar lagi Abang Fen nak beratur sama, tak sabar nak makan laksa bersulamkan cendol...fuh..sedap you all. 
Semasa Abang Fen berdiri menunggu lebih kurang 10 minit, sepasang sepasang suami isteri yang baik hati mempelawa Abang Fen duduk di sebelah mereka yang kebetulan pula ada seorang pelanggan lain baru bangun. 
Kemudian Abang Fen pesan laksa tempurung dan cendol pulut tempurung untuk merasai sendiri, adakah rasanya selazat dan seunik namanya. 
Di hadapan Abang Fen ada lebih kurang sepuluh biji keratan batang buluh yang siap dipotong lebih kurang satu inci setengah setiap satu sebagai acuan pelapik tempurung. 
"Boleh tahan juga kreatifnya tuan gerai ini," kata hati kecil Abang Fen. 
Potongan buluh itu juga menjawab teka-teki yang bermain difikiran Abang Fen tadi. 
Sekejap saja Laksa dan cendol pulut yang diisi didalam tempurung dihidangkan seorang gadis untuk Abang Fen. 
Wow!!! aroma kuah laksanya menyucuk hidung hingga ke urat perut Abang Fen. 
Pertama sekali Abang Fen menghirup cendol pulut dan rasanya benar-benar sedap malah lembut pulutnya tidak mengecewakan. 
Setelah menghirup cendol hampir setengah tempurung baru teringat di depan Abang Fen terhidang laksa. 
Terasa malu pulak ketika itu dengan pelanggan di sebelah, manalah tahu kalau-kalau ada yang nampak macam Abang Fen kebulur sangat. 
Apabila kuah laksa tempurung singgah ke lidah Abang Fen, memang sedapnya sukar hendak digambarkan dan tak dapat untuk Abang Fen ceritakan atau untuk samakan rasanya dengan laksa dari tempat lain. 
Kuah laksa tempurung ini memang mempunyai rasa yang unik sepertimana unik hidangannya maka tidak hairanlah ramai pengunjung dan pelanggan sanggup berdiri dan menunggu giliran untuk mendapatkan tempat kosong. 
Ada juga pelanggan yang meminta laksa dan cendol untuk dimakan di dalam kereta dan ada juga yang makan sambil berdiri di tepi motosikal gara-gara tidak sanggup menunggu lama. 
Abang Fen seperti yang you all tahu, apabila makanan atau minum yang dijamah itu menarik, unik, murah dan sedap...tangan mula keluarkan pen dan buku nota kecil untuk dikongsikan dengan pembaca mStar yang disayangi. 
Pertama sekali Abang Fen dapatkan maklumat daripada pelanggan yang berikan tempat duduk untuk Abang Fen iaitu Mohd Ridzwan, 34, dan isterinya Azura Ismail, 29. 
"Saya selalu mai sini pada hujung minggu untuk makan laksa dan cendol pulut tempurung sebab rasanya memang sedap selain keunikan yang belum pernah saya jumpa” kata Ridzwan dari Sungai Burung, Balik Pulau. 
Sebaik sahaja dapatkan pandangan pelanggan, kini tiba giliran tuan punya gerai untuk diajukan pelbagai soalan bagi mendapatkan maklumat secara lebih terperinci untuk dikongsikan bersama you all. 
Pengusahanya ialah Yaakob Abdul Hamid, 44, (gambar) dan dibantu oleh isterinya, Normala Kassim, 40. Pasangan terbabit menjalankan perniagaan unik itu sejak Jun 2013. 
"Saya cuba membuat kelainan dalam penyediaan makanan dan minuman agar ianya menjadi satu daya tarikan kepada pelanggan. 
"Sebelum ini ada kawan-kawan kata idea saya ini gila. Tetapi saya yakin jika ia sedap dan unik, pasti akan dapat menarik ramai pelanggan," kata Yaakob. 
Menerusi keunikkan itu, Yaakob dan isteri mampu menjual lebih 20 kilogram laksa sehari apabila mereka memulakan operasi dari pukul 11 pagi hingga 7 petang. 
Gerai tersebut ditutup pada setiap Isnin. 
Abang Fen juga dimaklumkan bahawa kuah laksa tempurung merupakan resepi khas dengan gabungan resepi dari tiga buah negeri iaitu Pulau Pinang, Kedah dan Perlis. 
"Saya gabungkan resepi dan bahan-bahan yang digunakan dari tiga buah negeri ini agar rasanya juga ada kelainan selain lebih sedap," ujar Yaakob. 
Jadi, Abang Fen cadangkan pada you all semua agar mencuba sendiri kelazatan laksa dan cendol tempurung ini. 
Kepada you all yang ingin ke Pulau Pinang serta mencuba sendiri suasana makan dan minum menggunakan tempurung bolehlah menghubungi Yaakob ditalian 017-4555441. - Afandi Yusof/ mStar


Kereta Berkarat Jadi Berkilat

Volkswagen Split Bus (TYPE-2) yang sudah dibaik pulih Rabvolks Classics. Foto: myMetro

Rasidi bersama koleksi replika model kereta Volkswagen dan Split Bus yang tersimpan di pejabatnya. Foto: myMetro


BUTTERWORTH - Walaupun tidak memiliki kepakaran dalam bidang automotif, minat mendalam terhadap kereta antik khasnya Volkswagen Beetle menjadikan Rasidi Abu Bakar, 45, umpama jurutera apabila berjaya menukar kenderaan berkarat dan buruk menjadi kenderaan seumpama baru keluar dari kilang. 
Ada antara kereta antik itu yang sudah tersadai lebih 30 tahun di kawasan kebun atau ladang kelapa sawit, tidak kurang hanya dijadikan pondok menunggu durian gugur. 
Namun, Rasidi berusaha dan bekerja keras melakukan proses membaik pulih di bengkel miliknya di Jalan Padang Benggali, Telok Air Tawar di sini, sekali gus menjadikan kenderaan itu bukan saja seperti baru, malah boleh bergerak semula di atas jalan raya. 
Malah, nama bengkelnya Rabvolks Classic adalah gabungan singkatan namanya sendiri Rasidi Abu Bakar Volkswagen yang dibuka pada 2010 sebagai pusat membaikpulih kereta antik yang mempunyai 12 pekerja. 
Rasidi berkata, minatnya bermula selepas dia membeli kereta Volkswagen Beetle keluaran 1969 yang pernah digunakan Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas. 
“Kereta itu dibeli pada harga RM4,500 pada 2002 dan ia membawa perubahan besar kepada saya apabila mula tertarik untuk aktif dalam kerja mengembalikan atau memulihkan kereta antik menjadi baru. 
“Kerja ini bukan sesuatu yang mudah, sebaliknya cukup mencabar dan menguji kesabaran serta kemahiran kerana ada antara kereta antik terbabit yang tersadai dalam tempoh lama hingga mencecah 30 tahun. - Muhammad Shalaby Shahbuddin/ myMetro

Rabu, 13 Ogos 2014

Mesin Pembakar Lemang

Zolkafli bersama mesin pembakar lemang ciptaan penyelidik MARDI. Foto: myMetro

Walaupun tidak menggunakan buluh, daun pisang masih digunakan dalam pembakaran lemang. Foto: myMetro

Cara memasukkan daun pisang. Foto: myMetro

Tiub pembakar lemang terdiri daripada kelongsong dalam dan luar. Foto: myMetro

Zolkafli (kanan) menunjukkan cara penggunaan mesin pembakar lemang kepada kakitangan MARDI. Foto: myMetro

Lemang yang siap dibakar tidak berubah rasanya dan masak sekata. Foto: myMetro


Ramuannya nampak ringkas kerana menggunakan bahan utama seperti beras pulut dan santan. 
Namun, proses pembuatan lemang tradisional agak rumit bagi kebanyakan orang terutama mendapatkan buluh mengikut saiz dan tempoh membakar yang lama. 
Pemilihan kayu juga penting untuk menghasilkan bara yang baik, sekali gus memastikan lemang benar-benar masak. 
Sebenarnya, proses pembakaran lemang sudah melalui fasa evolusi yang boleh dibanggakan. 
Ia hasil ciptaan inovasi Pegawai Penyelidik Prinsipal Kanan Bahagian Mekanisasi dan Automasi MARDI, Shamsuddin Ahmad. 
Timbalan Pengarah Pusat Penyelidikan Mekanisasi dan Automasi MARDI, Zolkafli Aris berkata, teknologi pembakaran lemang mula dibangunkan kumpulan penyelidik MARDI sejak 1988. 
“Dulu, kaedah pembakaran hanya menggunakan dapur gas, tetapi melalui tiga fasa perubahan hingga kini, ia turut menggunakan dapur elektrik,” katanya. 
Berbanding menggunakan kaedah tradisional, tempoh memasak lemang menggunakan mesin mengambil masa singkat. 
“Kaedah membakar lemang secara tradisional mengambil masa sehingga lima jam dan bara perlu dijaga bagi mengelak lemang hangus. 
“Tujuannya untuk memastikan lemang masak sekata. 
“Bagaimanapun, menerusi inovasi ini, tempohnya dipendekkan kepada dua jam,” katanya. 
Paling mustahak katanya, teknologi dibangunkan mesra alam kerana tidak menggunakan buluh, sebaliknya besi tahan karat yang boleh diguna semula. 
Katanya, mesin pembakar lemang sesuai untuk kegunaan komersial dan domestik. 
“Mesin yang mempunyai empat kelongsong untuk kegunaan domestik, manakala 13 dan 25 kelongsong khusus untuk komersial. 
“Saiz lemang yang dihasilkan lebih konsisten berdasarkan tinggi dan ukur lilit kelongsong lemang,” katanya. 
Menurutnya, lemang yang menggunakan besi tahan karat juga tidak berubah rasanya dan masak sekata. 
“Biasanya lemang buluh berkerak, tetapi mesin ini boleh dimasak ikut keperluan pengguna. 
“Jika disimpan dalam peti sejuk, lemang dapat bertahan lebih lama dan boleh dihidangkan semula selepas selesai proses nyahbeku,” katanya. 
Sehingga kini katanya, 100 unit mesin pembakar lemang dijual kepada orang ramai melalui syarikat pemegang lesen. 
“Malah, ada usahawan yang memasarkan produk lemang yang menggunakan mesin ini secara komersial termasuk di pasar raya, kios makanan, pasar tani dan tempahan,” katanya terdapat 10 usahawan aktif memasarkan lemang terbabit. 
MARDI juga dalam proses penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk mencipta mesin lemang yang lebih mudah dan praktikal semudah memasak nasi. - myMetro/ Mohd Sabran Md Sani

Selasa, 12 Ogos 2014

Hikmah Berkerja Sendiri

Rowena (kiri) bersama adiknya Rizwana bersama produk sejuk beku makanan barat keluaran syarikat mereka. Foto: myMetro

Set lengkap empat jenis stik bersama sos. Foto: myMetro

Pekerja sedang melakukan pembungkusan di kilang. Foto: myMetro

Raziff (kiri) dan Roslin bersama produk sejuk beku untuk edaran syarikat dinaungi dua anak mereka. Foto: myMetro


Jujurnya berat hati dua beradik ini meninggalkan kerjaya yang baru dibina. Sedang rakan seperjuangan berebut-rebut mencari pekerjaan, mereka menolak peluang di depan mata. 
Bukan tidak mahu meneruskan kerjaya yang baru diteroka, tetapi terpaksa ditolak demi memenuhi tuntutan keluarga. 
Pengorbanan itu berbaloi apabila menerajui empayar perniagaan yang dibangunkan ibu bapa mereka. 
Bernaung di bawah Syarikat Steaq Hub Ventures yang juga pengeluar produk makanan sejuk beku, mereka kini berstatus pengurus. 
Rowena Raziff, 28, yang memiliki diploma pengajian perniagaan dari Open University Malaysia (OUM) memegang jawatan pengurus operasi. 
Adiknya, Rizwana Raziff, 24, yang juga pemegang diploma kewartawanan SeGi University College dilantik pengurus pemasaran. 
Malah, Rizwana pernah berkhidmat sebagai wartawan BERNAMA selama enam bulan sebelum bertukar bidang baru. 
Ditanya mengenai pembabitan mereka dalam bidang terbabit, ada cerita menarik yang ingin dikongsikan. 
Di sebalik kejayaan dicipta, terselit kisah sedih pernah dilalui ibu bapa mereka yang juga pengasas syarikat. 
Rowena berkata, perniagaan itu bermula pada 2010. 
Selepas kontrak perkhidmatan ayahnya, Raziff Raoff, 55, dan ibu Roslin Hussain, 49, dengan sebuah syarikat teknologi maklumat ditamatkan pada 2010, mereka memulakan perniagaan berasaskan sos termasuk lada hitam dan mayo herba. 
“Dari situlah tercetus perniagaan sejuk beku,” katanya. 
Mereka menjadikan tapak perniagaan di Taman Seri Rampai untuk mendapatkan maklum balas pengguna. 
“Tempohnya tidak lama dan hanya tiga bulan, namun maklum balas diterima sangat positif. 
“Dari situ kami dapat ilham untuk menghasilkan kit lengkap makanan barat yang boleh dinikmati orang ramai,” katanya. 
Akhirnya, produk mereka dikenali sebelum meniti di bibir pelanggan. 
“Dulu kami memasarkan kira-kira 40 peket makanan barat ini kepada pengusaha restoran di Gombak, Petaling Jaya dan Shah Alam. 
“Kini, selepas empat tahun beroperasi jumlahnya ditingkatkan kepada 4,000 kotak sebulan,” katanya. 
Syarikat itu mengeluarkan empat kit lengkap makanan barat seperti filet ikan, ayam, kambing dan lembu yang turut dilengkapi jejari kentang, koktel ayam dan pilihan sos seperti lada hitam dan mayo berherba. 
Dengan slogan ‘Menepati Citarasa’, produk itu mudah dikendalikan iaitu masak cara sendiri, panggang, goreng atau bakar di dalam ketuhar. 
Rowena yang juga anak sulung dari tiga beradik mengakui mereka tiada masalah mendapatkan bahan mentah kerana ada pembekal tetap. 
“Kami mementingkan kualiti serta tahap kebersihan bahan mentah dan paling penting perlu halal. 
“Syarikat kini mengeluarkan 4,000 kotak sebulan dengan menggunakan 4,000 kilogram (kg) ayam, 4,800kg kambing dan masing-masing 3,200kg lembu dan ikan sebulan. 
“Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) dan SME Bank menerusi geran padanan banyak membantu syarikat mendapatkan dana pinjaman,” katanya. 
Mereka yang berminat untuk menjadi pengedar atau mendapatkan produk boleh mengunjungi laman sosial Facebook www.facebook.com/steaqhub atau www.steaqhub.com./

myMetro/Mohd Sabran Md Sani