Allah berfirman dalam al-Quran:

"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran." Mafhum Surah al-Asr: ayat 1 - 3.

Isnin, 2 Jun 2014

Berita Tentang Tentera AS Yang Ditawan di Afghanistan

Anggota tentera Amerika Syarikat (AS) yang dibebaskan, Bowe Bergdahl gemar minum teh Afghanistan

Foto Bergdahl sebelum ditawan oleh kumpulan militan Islam di Afghanistan

Foto Bergdahl semasa berada dalam tawanan di Afghanistan

Bergdahl yang berasal dari negeri Idaho tidak lupa meraikan Hari Krismas seperti yang dilakukan di tanah airnya

Presiden Obama semasa mengulas pembebasan Bergdahl di White House bersama ibu dan bapa perajurit berkenaan


MIRANSHAH, Pakistan - Anggota tentera Amerika Syarikat (AS) yang dibebaskan, Bowe Bergdahl gemar minum teh Afghanistan, mengajar kumpulan militan yang menculiknya bermain badminton dan meraikan Hari Krismas serta Easter bersama mereka, kata seorang komander militan Islam Pakistan semalam. 
Askar berpangkat Sarjan itu merupakan satu-satunya anggota tentera AS yang ditahan di Afghanistan sejak perang Afghanistan bermula pada 2001 dibebaskan kelmarin. 
Dia dibebaskan sebagai pertukaran dengan lima pemimpin kanan Taliban yang ditahan di Teluk Guantanamo selepas siri rundingan tajaan Qatar. 
Menurut sumber tentera, Bergdahl ditahan selama lima tahun dan diserahkan kepada pelbagai cabang kumpulan Taliban di sempadan Afghanistan-Pakistan sebelum ditawan di daerah Waziristan Utara di Pakistan. 
Seorang komander rangkaian Haqqani yang mempunyai hubungan dengan Taliban semalam menyatakan askar AS itu dapat menyesuaikan diri dengan kehidupan barunya sebagai orang tawanan. 
"Dia gemar minum kawa (teh hijau Afghanistan). Dia minum banyak kawa seharian yang disediakan sendiri olehnya," kata komander berkenaan dalam satu wawancara telefon dari sebuah lokasi rahsia di Pakistan. 
Lama-kelamaan Bergdahl yang kini berusia 28 tahun petah bercakap dalam bahasa Pashtun dan Dari yang digunakan oleh penduduk Afghanistan. 
Tidak seperti militan-militan tersebut yang berasal dari etnik Pashtun dan gemar memakan daging, Bergdahl lebih suka makan sayuran dan meminta daging cuma sekali atau dua kali seminggu, kata komander itu. 
"Walaupun militan-militan tersebut cuba mengajar askar AS itu mengenai Islam dia memilih untuk melakukan aktiviti duniawi," ujarnya. 
"Bergdahl akan meluangkan masa untuk bermain badminton atau membantu untuk memasak," tambah ketua militan tersebut. 
Bergdahl yang berasal dari negeri Idaho turut tidak akan lupa untuk meraikan Hari Krismas seperti yang dilakukan di tanah airnya. 
"Dia tidak pernah terlupa meraikan festival keagamaannya. Bergdahl akan memaklumkan kepada kami beberapa minggu sebelum Hari Krismas dan Easter dan meraikannya bersama pejuang-pejuang saya," ujar komander itu. - AFP/Kosmo!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.