Allah berfirman dalam al-Quran:

"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran." Mafhum Surah al-Asr: ayat 1 - 3.
Memaparkan catatan dengan label Konflik. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Konflik. Papar semua catatan

Khamis, 11 Disember 2014

Anggota Kabinet Palestin Mati Dipukul Tentera Israel

Seorang anggota Kabinet Palestin Ziad Abu Ain mati dipukul tentera Israel

Abu Ain berarak mendahului peserta lain semasa perarakan bantahan di perkampungan Turmus Ayya berhampiran Ramallah

Abu Ain berang anggota tentera Israel menghalang perarakan penduduk Palestin

Abu Ain dihalang oleh seorang anggota tentera Israel

Askar Israel dikatakan memukul kepala dan dada Abu Ain

Tindakan askar Israel menyebabkan Abu Ain rebah

Abu Ain kemudian dibawa ke hospital dengan ambulans tetapi meninggal dunia dalam perjalanan

Tentera Israel menyembur gas pemedih mata ke arah penduduk Palestin


RAMALLAH - Seorang anggota Kabinet Palestin mati dipukul tentera Israel dalam satu bantahan di Tebing Barat, menurut pegawai perubatan dan keselamatan.
Pengarah Hospital Ramallah, Ahmed Bitawi, berkata Ziad Abu Ain yang bertanggungjawab dalam isu penempatan Israel dalam kawasan pentadbiran Pihak Berkuasa Palestin, "syahid selepas dipukul di dada".
Satu sumber keselamatan Palestin menyatakan askar Israel memukul Abu Ein dengan belakang senapang dan topi tentera semasa perarakan bantahan di perkampungan Turmus Ayya berhampiran Ramallah.
Tentera Israel menyatakan mereka sedang menyiasat laporan itu.
Seorang peserta, Mahmoud Aloul yang juga anggota kanan pergerakan Fatah, berkata insiden bermula dengan satu perhimpunan oleh berpuluh penduduk Palestin yang menuju ke kawasan pertanian berhampiran perkampungan Turmus Aya untuk menanam pokok zaitun.
Katanya, sebaik saja penunjuk perasaan terbabit bergerak ke arah ladang berkenaan, tentera Israel menyembur gas pemedih mata ke arah penduduk Palestin.
Seorang penunjuk perasaan lain, Salah Hawajeh, berkata Abu Ain berarak ke arah tentera mendahului peserta lain sehingga beliau dihalang oleh seorang anggota tentera Israel.
Katanya, askar itu memukul kepala dan dada Abu Ain sehingga beliau rebah. Beliau kemudian dibawa dengan ambulans tetapi meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital. - Agensi/ Berita Harian

Selasa, 25 November 2014

China Nafi Bina Pulau Tiruan Di Kepulauan Spratly

Jurucakap Kementerian Luar, Hua Chunying. Foto: scmp.com

Imej satelit menunjukkan keadaan di sekitar Kepulauan Spratly pada Ogos lalu

China didakwa membina sebuah pulau di suatu kawasan terumbu

China juga didakwa telah membina tembok laut yang di sekitar sebuah pulau di Kepulauan Spratly

Imej satelit yang dikeluarkan pada April 2014 menunjukkan pembangunan di Pulau Woody sejak Oktober 2013

Bot nelayan China berlabuh di kawasan perairan Kepulauan Spratly

Foto sebuah struktur bangunan di Kepulauan Spratly yang diambil dari udara pada tahun 1999

Kepulauan Spratly dituntut sebahagian atau sepenuhnya oleh Filipina, Malaysia, Vietnam, Taiwan dan Brunei


BEIJING - Beijing hari ini menyangkal dakwaan Amerika Syarikat (AS) bahawa negara itu sedang membina sebuah pulau tiruan sebesar landasan penerbangan di Kepulauan Spratly dan menyifatkannya sebagai kenyataan tidak bertanggungjawab.
Kenyataan Kementerian Luar China itu dikeluarkan selepas jurucakap tentera AS menggesa Beijing supaya menghentikan projek tambakan besar di kawasan kepulauan berkenaan.
Rangkaian kepulauan itu yang digelar oleh China sebagai 'Nansha', juga dituntut sebahagian atau sepenuhnya oleh Filipina, Malaysia, Vietnam, Taiwan dan Brunei.
"Pihak luar tidak ada hak untuk membuat kenyataan yang tidak bertanggungjawab," kata jurucakap Kementerian Luar, Hua Chunying.
Katanya, aktiviti pembinaan yang dilakukan oleh China adalah untuk menambah baik keadaan bagi kakitangannya yang bekerja dan tinggal di pulau berkenaan.
Satu laporan minggu lalu oleh 'IHS Jane's Defence' mendedahkan maklumat baharu mengenai projek penambakan China di 'Fiery Cross Reef', yang dikenali sebagai 'Yongshu' dalam bahasa Cina. - AFP/ Berita Harian

Khamis, 13 November 2014

Pendatang Israel Bakar Masjid

Penduduk Palestin menunjukkan kesan kebakaran yang dilakukan pendatang Israel

Mereka juga menunjukkan al-Quran yang terbakar selepas pendatang haram Yahudi menyerang masjid berkenaan


RAMALLAH Palestin - Sebuah masjid berhampiran Ramallah di Tebing Barat dibakar penduduk Israel, semalam, menurut pegawai keselamatan Palestin.
"Mereka membakar keseluruhan tingkat satu masjid berkenaan yang terletak di perkampungan al-Mughayir tidak jauh dari penempatan Israel di Shilo," katanya dipetik Press TV.
Dalam perkembangan lain, Israel merancang untuk menambah bajet projek perluasan penempatan haram Yahudi sebanyak dua kali ganda pada 2015 walaupun berdepan kecaman masyarakat antarabangsa.
Kerajaan Tel Aviv didakwa telah memperuntukkan hampir AS$35 juta (RM117 juta) untuk organisasi yang mengendalikan projek haram tersebut di wilayah Palestin.
Difahamkan, bajet yang diperuntukkan pada tahun ini didakwa meningkat sebanyak 600 peratus dengan jumlah kira-kira AS$15 juta (RM50 juta).
Ketika ini, lebih setengah juta pendatang Yahudi tinggal di 120 penempatan haram yang dibina sejak pendudukan Israel di Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur pada 1967. - Sinar Harian



Isnin, 10 November 2014

'Khalifah' IS Dikatakan Terbunuh

Terdapat dakwaan ketua IS, Abu Bakar terbunuh dalam operasi pada Jumaat lalu

Pakatan yang diketuai Amerika Syarikat (AS) melancar­kan beberapa serangan udara dekat bandar Mosul

Foto Abu Bakar sebelum memimpin ISIL

Pesawat tempur AS menjatuhkan bom di kota al-Qaim di Iraq.

Pemandangan di kota Syria Kobani (Ayn al-Arab) selepas pertempuran antara militan ISIL dan kumpulan bersenjata Kurdish


MOSUL – Pakatan yang diketuai Amerika Syarikat (AS) melancar­kan beberapa serangan udara dekat bandar ini, utara Iraq de­ngan menjadikan barisan pemimpin kanan kumpulan militan Negara Islam (IS) sebagai sasaran, kata beberapa pegawai kelmarin.
Setakat ini, nasib ketua IS, Abu Bakar al-Baghdadi masih tidak dapat dipastikan.
Susulan serangan itu, terdapat dakwaan Abu Bakar terbunuh dalam operasi pada Jumaat lalu tetapi pegawai-pegawai AS tidak dapat mengesahkan kesahihan berita tersebut.
Berita kematian ketua IS ter­sebar selepas Presiden Barack Obama mengumumkan rancang­an untuk menghantar sehingga 1,500 lagi askar ke Iraq bagi membantu memerangi militan IS yang telah menawan sebahagian besar wilayah di negara itu.
Pusat Kawal dan Perintah (CENTCOM) AS mengesahkan ba­hawa tentera pakatan melancarkan beberapa serangan udara terhadap perhimpunan pemimpin IS dekat sini.
“Sebuah konvoi me­ngandungi 10 kenderaan perisai IS musnah dalam serangan itu,” kata jurucakap CENTCOM, Patrick Ryder.
“Kami bagaimanapun tidak dapat mengesahkan sama ada Abu Bakar merupakan antara pe­mimpin IS yang hadir dalam perhimpunan tersebut,” tambahnya.
Menurutnya, dakwaan kematian Abu Bakar kini disiasat oleh pihak berkuasa Iraq.
Washington sebelum ini menawarkan ganjaran AS$10 juta (RM33.4 juta) untuk menangkap Abu Bakar manakala beberapa penganalisis memberitahu, dia dilihat lebih berkuasa daripada ketua al-Qaeda, Ayman al-Zawahiri.
Dalam perkembangan ber­kaitan, stesen televisyen Al-Arabiya melaporkan Abu Bakar telah terce­dera manakala sebuah stesen tele­visyen Iraq menyatakan seorang pembantunya terbunuh dalam serangan tersebut. – AFP/ Kosmo!

Khamis, 6 November 2014

Penunjuk Perasaan Bertempur Dengan Polis Di London

Pasukan polis berkawal di luar Istana Buckingham

Beribu-ribu orang penunjuk perasaan antikapitalis menyertai tunjuk perasaan ini

Di antara slogan yang dibawa oleh para penunjuk perasaan

Penunjuk perasaan sedang berdebat dengan anggota polis rusuhan

Para penunjuk perasaan mulai membuka sekatan polis

Di antara penunjuk perasaan yang ditangkap polis


LONDON - Beribu-ribu penunjuk perasaan antikapitalis telah bertempur dengan anggota polis di pusat bandar London dan di luar Istana Buckhingham setelah berhimpun di bangunan parlimen dalam satu demonstrasi malam tadi.
Penunjuk perasaan tersebut turut bertindak di luar kawalan dengan bertindak membaling kon trafik, botol dan penanda jalan ketika demonstrasi yang dianjurkan kumpulan aktivis yang dikenali sebagai Anonymous itu.
“Satu penyelesaian, revolusi,” laung penunjuk perasaan berkenaan sambil cuba merempuh halangan polis. Kebanyakan kedai terpaksa ditutup apabila penunjuk perasaan memutuskan untuk berarak ke kawasan pusat membeli-belah.
Setakat ini, seramai 10 penunjuk perasaan telah ditahan kerana kesalahan cuba menyerang anggota polis, merempuh halangan dan membakar bunga api. - AFP/ Kosmo!

Selasa, 9 September 2014

Penduduk Palestin Di Baitulmaqdis Merusuh

Sejumlah penduduk Palestin merusuh di Baitulmuqaddis Timur

Seorang polis pencegah rusuhan Israel sedang mengawal rusuhan

Di atas tembok, kanak-kanak Palestin melihat pertempuran antara perusuh dengan polis

Perusuh membakar tayar

Terdapat juga perusuh membaling batu

Rusuhan berpunca daripada kematian Mohammed Sinokrot yang menyertai tunjuk perasaan minggu lalu

Pemuda ini menggunakan lastik

Rusuhan berlarutan selama beberapa jam


BAITULMUQADDIS - Sejumlah penduduk Palestin merusuh di Baitulmuqaddis Timur di sini kelmarin selepas mendapat tahu seorang remaja dari kejiranan mereka mati akibat kecederaan kerana ditembak polis Israel semasa menyertai tunjuk perasaan pada minggu lalu. 
Penunjuk perasaan di kejiranan Wadi al-Joz, dekat Bandar Lama bertindak membaling batu, bom petrol dan sua ke arah kenderaan lalu-lalang manakala polis Israel bertindak balas dengan menembak peluru getah. 
Pertempuran itu berlarutan selama beberapa jam. 
Tiada laporan mengenai kecederaan parah dalam rusuhan itu. 
Sebelum ini, seorang remaja berusia 16 tahun, Mohammed Sinokrot meninggal dunia akibat kecederaan di kepala ketika dia menyertai tunjuk perasaan di sini minggu lalu. 
Bapa mangsa, Abdel-Majid berkata, anak lelakinya telah ditembak di kepala menggunakan peluru getah tetapi polis Rejim Zionis mendakwa bahawa Mohammed terjatuh dan kepalanya terhantuk selepas kakinya terkena satu objek yang dibaling ketika dia melarikan diri daripada polis. 
Mayat mangsa dibawa ke Tel Aviv untuk bedah siasat. 
Dalam satu lagi insiden, sejumlah penduduk Palestin menyerang sebuah stesen minyak di kejiranan Yahudi di sini. 
Mereka merosakkan beberapa pam petrol dan cuba membakar kedai serbaneka di premis berkenaan. 
Protes di sini tercetus pada Julai lalu selepas seorang remaja Palestin dibunuh dalam serangan balas dendam oleh tiga penduduk Yahudi yang kini dibicarakan. 
Pembunuhan itu menyusul selepas kematian tiga belia Yahudi di wilayah Tebing Barat yang diduduki oleh Israel akibat dibunuh oleh militan Hamas. - Reuters/ Kosmo!

Rabu, 27 Ogos 2014

Sokongan Penduduk Israel Kepada Netanyahu Merosot

Roket J80 yang dilancarkan dari Gaza ke bandar Tel Aviv menyebabkan penduduknya merasa bimbang

Iron Dome gagal memintas kesemua roket Hamas yang menyerang Israel

Kanak-kanak Israel bermain di tempat perlindungan bom di selatan bandar Ashkelon, berhampiran Gaza

Penduduk Israel yang cedera akibat serang roket Hamas

Populariti Netanyahu merosot dengan tinggal hanya 38 peratus penduduk Israel menyokongnya

"On August 25, Israel’s Channel 2 reported support for Netanyahu was down to 38 percent, and had dropped “by 17 percent in the past four days alone,” according to The Times of Israel."


Satu tinjauan yang dijalankan Stesen Chanel 2 televisyen Israel, pada hari Isnin (25/8/2014) menunjukkan sokongan penduduk Israel kepada Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu telah merosot.  
Tinjauan mendapati hanya tinggal 38 peratus sahaja penduduk Israel yang masih menyokong Netanyahu. Sedangkan, semasa permulaan serangan ke atas Gaza pada 18 Julai lalu, 82 peratus menyokong Netanyahu.  
Berdasarkan tinjauan tersebut, kemerosotan sokongan berpunca daripada serangan roket Hamas yang berterusan dan serangan oleh gerakan penentangan lain di Gaza terhadap kawasan Israel.
Hal yang sama berlaku di kawasan Israel yang bersempadan dengan Semenanjung Gaza yang menjadi sasaran terbuka serangan mortar dari Gaza. Hanya 24 peratus sahaja yang menyokong dasar Netanyahu terhadap penduduk tempatan di kawasan tersebut. Manakala 63 peratus lagi menyatakan bahawa dasar Netanyahu sangat tidak bijaksana berhubung hal tersebut. - dakwatuna 


Ahad, 24 Ogos 2014

Hamas Hukum Mati Pemberi Maklumat Israel

Pejuang Hamas menangkap penduduk Palestin yang disyaki bekerjasama dengan Israel berikutan kematian tiga pemimpin mereka 

Kepala para suspek ditutup sebelum mereka ditembak mati di luar masjid selepas solat oleh lelaki bertopeng

Para suspek disyaki memberi maklumat berkaitan komander pejuang Hamas kepada pihak Israel

Media Hamas menggambarkan tindakan ini sebagai permulaan kepada tindakan tegas kepada para pembelot Palestin

Hamas percaya, kejayaan Israel menjejaki dan membunuh tiga komander mereka berdasarkan maklumat daripada para suspek

Penduduk Palestin menyaksikan para suspek dihukum mati oleh pejuang Hamas

Petugas medik membawa jenazah para suspek yang telah dihukum mati


GAZA - Media tempatan melaporkan, Hamas membunuh 18 penduduk Palestin disyaki bersubahat dengan Israel dalam serangan tentera rejim Zionis sepanjang enam minggu lalu itu. 
Menurut AFP, saksi mengatakan, 11 daripada mereka ditembak mati di sebuah bangunan bekas balai polis manakala tujuh lagi ditembak di tengah khalayak ramai dalam keadaan kepala ditutup dengan kain dan tangan terikat selepas solat Jumaat. 
Sehari sebelum itu, hukuman sama dijatuhkan terhadap tiga warga Palestin yang juga disyaki bersubahat dengan Israel untuk membunuh komander Briged Al-Qassam, Mohammad Deif. 
Tindakan nekad itu menyusul selepas Hamas melakukan siasatan terhadap pembunuhan komander Hamas di Rafah. - Sinar Harian

Peluru Berpandu Israel Ranapkan Pangsapuri Di Gaza

Dua peluru berpandu Israel mengenai tepat pangsapuri Zafer Tower di Gaza City

Mereka yang berada di kawasan berhampiran hampir tidak sempat menyelamatkan diri

Mereka yang terselamat berusaha lari dari tempat kejadian

Di ladang Kibbutz, Israel, seorang terbunuh akibat serangan roket yang dilancarkan dari Gaza

Pamandangan di kawasan yang terkena roket Hamas di kawasan Israel


GAZA CITY - Israel mengebom sebuah menara pangsapuri di pinggir Gaza hari ini menyebabkan bangunan 12 tingkat itu ranap dalam satu serangan udara bertalu-talu manakala Hamas terus menggandakan tembakan roket ke sempadan Gaza. 
Keganasan dilaporkan terus meningkat sejak gencatan senjata berakhir meskipun ada laporan terbaharu bahawa Mesir mahu membuka semula meja rundingan antara Palestin-Israel. 
Di Gaza City serangan bertali-arus apabila bebola api jelas kelihatan di ruang udara, disusuli satu asap hitam yang tebal menjulang apabila dua peluru berpandu Israel mengenai tepat pangsapuri Zafer Tower. 
Pangsapuri itu adalah salah satu daripada beberapa bangunan tertinggi di kawasan kejiranan di Tel al-Hawa dan letupan itu turut menggegarkan beberapa bangunan di sebelahnya. 
Tentera Israel berkata, peluru berpandu itu sebenarnya mensasarkan bilik operasi Hamas di bangunan pangsapuri berkenaan namun tidak menyatakan mengapa seluruh menara yang menempatkan 44 apartment itu dimusnahkan sama sekali. 
Polis Gaza berkata, amaran mengenai serangan peluru berpandu diberikan lima minit sebelum serangan dan ia membolehkan sebahagian penghuni keluar menyelamatkan diri. 
Namun serangan itu menyebabkan 22 orang cedera termasuk 11 kanak-kanak dan lima wanita. 
Setakat ini lebih 100,000 penduduk Gaza hilang tempat tinggal dengan lebih 17,000 rumah hancur atau rosak akibat serangan bom Israel, demikian menurut angka dikeluarkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). 
Sementara itu, di tempat lain di Gaza, satu serangan udara terhadap sebuah kereta menyebabkan seorang lelaki dan 11 lagi cedera. 
Satu pergerakan Barisan Hadapan Liberal Palestin kemudian mengesahkan lelaki yang maut itu ialah komander perang sayap berkenaan. - AP/ Berita Harian