Allah berfirman dalam al-Quran:

"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran." Mafhum Surah al-Asr: ayat 1 - 3.

Rabu, 27 Ogos 2014

Lebih 1.3 Juta Tunai Haji Tahun Ini







RIYADH Arab Saudi - Lebih 1.3 juta jemaah haji luar negara dijangka menunaikan ibadah tersebut tahun ini, dengan negara Asia Selatan akan menghantar kontinjen terbesar sebanyak 410,000 orang diikuti negara Arab sebanyak 250,000 jemaah. 
Ahli Jawatankuasa Haji dan Umrah Arab Saudi, Saad Al-Qurashi berkata, kira-kira 150,000 jemaah tempatan termasuk ekspatriat akan sama menunaikan haji. 
"Daripada jumlah itu, seramai 41,000 akan mendapat manfaat daripada perkhidmatan haji kos rendah," katanya dipetik oleh Arab News. - Sinar Harian

Lelaki Tertinggi Meninggal Dunia

Leonid Stadnyk, lelaki yang dipercayai paling tinggi di dunia meninggal dunia pada usia 44 tahun. Foto: Reuters

Ibu Stadnyk mengukur ketinggiannya. Foto: Reuters


LONDON - Lelaki yang dipercayai paling tinggi di dunia meninggal dunia semalam pada usia 44 tahun. 
Leonid Stadnyk, yang dikatakan terlalu ‘pemalu’ sehingga enggan diukur untuk membolehkannya direkodkan dalam buku rekod dunia Guinness dipercayai 21 inci lebih tinggi daripada bekas pemain bola sepak England Peter Crouch. 
Petani yang berasal dari perkampungan Podoliansty, Ukraine, dilaporkan meninggal dunia disebabkan pendarahan otak akibat masalah kesihatan berlanjutan. 
Stadnyk pernah dilaporkan berkata: “Pada saya, ketinggian luar biasa ini satu sumpahan, hukuman daripada Tuhan. Ia bukannya sesuatu yang patut dibanggakan. 
“Saya tidak tahu apa dosa dilakukan sehingga dihukum sebegini. Sepanjang hidup ini saya hanya mahu menjalani kehidupan normal seperti orang lain. 
“Saya tidak mahu terkenal disebabkan ketinggian luar biasa ini dan tidak ingin direkodkan dalam buku rekod Guinness,” katanya. 
Malah, dia juga tidak pernah berkahwin kerana bimbang membawa kesusahan kepada pasangannya. 
Stadnyk mula menunjukkan ketinggian luar biasa pada usia 12 tahun apabila ketumbuhan tidak berbahaya dalam otaknya mengakibatkan badannya mengeluarkan hormon pembesaran berlebihan. 
Pada satu masa, keadaan dihidapinya itu yang dikenali sebagai ‘giganticism’ menyebabkan dia membesar hampir satu kaki setiap tiga tahun. 
Dia juga memakai kasut bersaiz 27 (mengikut ukuran United Kingdom) disebabkan kakinya berukuran hampir 18 inci manakala tapak tangannya mempunyai ukur lilit lebih sekaki.  
Jurucakap Guinness berkata, pihaknya memutuskan untuk menyenaraikan warga China Xi Shin sebagai lelaki tertinggi dunia pada ketinggian hampir 7 kaki 9 inci disebabkan keengganan Stadnyk memberikan kerjasama.- Agensi/ myMetro

Penumpang Bergaduh Pesawat Mendarat Cemas

Sebuah pesawat milik syarikat United Airlines terpaksa membuat pendaratan luar biasa selepas dua penumpangnya bergaduh

Kejadian berlaku selepas seorang penumpang lelaki menghalang wanita di hadapannya daripada menurun penyandar tempat duduk

Lelaki itu menggunakan alat ini untuk menghalang wanita itu merebahkan tempat duduknya

Peralatan ini boleh dibeli di pasaran namun diharamkan oleh kebanyakan syarikat penerbangan utama di AS


NEW YORK - Sebuah pesawat milik syarikat United Airlines terpaksa membuat pendaratan luar biasa selepas dua penumpang penerbangan berkenaan bergaduh kerana berebut ruangan tempat duduk. 
Kejadian tersebut berlaku pada Ahad lalu selepas seorang penumpang lelaki menghalang seorang wanita di hadapannya daripada menurun penyandar tempat duduk kerana dia sedang menggunakan komputer riba. 
Ketika kejadian pesawat itu dalam penerbangan domestik dari Newark, New Jersey ke Denver, Amerika Syarikat. 
Seorang pramugari kemudiannya meminta lelaki itu membenarkan wanita tersebut menurunkan penyandar tempat duduknya tetapi lelaki berkenaan tetap enggan. 
Wanita tersebut yang tidak berpuas hati terus bangun dan membaling lelaki itu dengan cawan berisi air. 
Pergaduhan yang tercetus antara kedua-dua penumpang yang berusia 40-an itu menyebabkan pesawat berkenaan terpaksa mendarat di Chicago. 
Kedua-dua penumpang itu tidak ditahan pihak berkuasa tetapi mereka tidak dibenarkan meneruskan perjalanan semula. - AP/ Kosmo!

Penerbangan Malindo Air Tergendala Akibat 'Bom'

Unit Bom menjalankan pemeriksaaan dalam pesawat Malindo Air, namun tidak menemui apa-apa. Foto: myMetro

Sebelum itu para penumpang pesawat dikuarantin sebagai sebahagian daripada prosedur keselamatan


KUALA LUMPUR - Penerbangan sebuah pesawat Malindo Air ke Pulau Pinang dengan membawa 37 penumpang dan anak kapal tergendala selama beberapa jam berikutan ancaman bom sebelum berlepas dari lapangan terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang. 
Syarikat itu, dalam satu kenyataan, berkata kapten penerbangan dimaklumkan mengenai kemungkinan ancaman bom semasa menaiki pesawat dan sebagai prosedur operasi standard, syarikat penerbangan itu memaklumkan menara kawalan dan pihak berkuasa. 
Pengarah Perhubungan Awam dan Komunikasi Malindo, Raja Sa’adi Raja Amrin berkata, pesawat itu yang dijadual berlepas ke Pulau Pinang pada 3.40 petang, telah dibawa ke satu kawasan terpencil untuk menurunkan penumpang dengan selamat dan mereka dikuarantin sebagai sebahagian daripada prosedur keselamatan. 
"Unit Pemusnah Bom menjalankan usaha mencari secara menyeluruh dalam pesawat dan bagasi penumpang dan memberi pelepasan bahawa pesawat itu selamat," kata Raja Sa'adi dalam satu kenyataan di sini malam Selasa. 
Beliau berkata, penumpang termasuk seorang bayi dihidangkan makanan dan mereka dipindahkan untuk menaiki pesawat lain yang berlepas ke Pulau Pinang pada 9.30 malam. 
Sambil memberi jaminan bahawa keadaan itu ditangani secara profesional, Malindo Air menegaskan bahawa syarikat itu memandang serius ancaman ke atas keselamatan penumpang. 
Di SUBANG, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Azmi Abu Kassim berkata, penerbangan pesawat itu terpaksa ditangguhkan selepas seorang penumpang lelaki mengeluarkan perkataan 'bom' kepada petugas Malindo Air semasa proses pemeriksaan pas pelepasan. 
"Semasa pemeriksaan, lelaki itu menunjukkan pas pelepasan sambil mengatakan "kenapa nak periksa sekali lagi, bukan ada bom pun". 
"Ketika itu, petugas penerbangan itu tidak berbuat apa-apa malah hanya memaklumkan insiden itu kepada pegawai atasan beberapa minit sebelum penerbangan," katanya kepada pemberita di Balai Pelepasan di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang. 
Beliau berkata, juruterbang pesawat berkenaan kemudian memaklumkan maklumat itu kepada pusat kawalan sebelum menangguhkan penerbangan itu. 
Azmi berkata, kemungkinan lelaki itu tidak sedar perkataan 'bom' adalah satu perkataan yang sangat sensitif dalam industri penerbangan yang melibatkan keselamatan penumpang serta anak kapal. 
"Sejurus menerima maklumat itu, Unit Anjing (K9) dan Unit Bom telah tiba dan menjalankan pemeriksaaan dalam pesawat berkenaan, namun tidak menemui apa-apa. 
"Pegawai Malindo berkenaan juga diminta untuk mengecam penumpang yang berkata bom, namun beliau gagal mengecam. Dia tak ingat," katanya. 
Walaupun begitu, pihak polis masih menjalankan siasatan terperinci bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini, katanya. - mStar


Sokongan Penduduk Israel Kepada Netanyahu Merosot

Roket J80 yang dilancarkan dari Gaza ke bandar Tel Aviv menyebabkan penduduknya merasa bimbang

Iron Dome gagal memintas kesemua roket Hamas yang menyerang Israel

Kanak-kanak Israel bermain di tempat perlindungan bom di selatan bandar Ashkelon, berhampiran Gaza

Penduduk Israel yang cedera akibat serang roket Hamas

Populariti Netanyahu merosot dengan tinggal hanya 38 peratus penduduk Israel menyokongnya

"On August 25, Israel’s Channel 2 reported support for Netanyahu was down to 38 percent, and had dropped “by 17 percent in the past four days alone,” according to The Times of Israel."


Satu tinjauan yang dijalankan Stesen Chanel 2 televisyen Israel, pada hari Isnin (25/8/2014) menunjukkan sokongan penduduk Israel kepada Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu telah merosot.  
Tinjauan mendapati hanya tinggal 38 peratus sahaja penduduk Israel yang masih menyokong Netanyahu. Sedangkan, semasa permulaan serangan ke atas Gaza pada 18 Julai lalu, 82 peratus menyokong Netanyahu.  
Berdasarkan tinjauan tersebut, kemerosotan sokongan berpunca daripada serangan roket Hamas yang berterusan dan serangan oleh gerakan penentangan lain di Gaza terhadap kawasan Israel.
Hal yang sama berlaku di kawasan Israel yang bersempadan dengan Semenanjung Gaza yang menjadi sasaran terbuka serangan mortar dari Gaza. Hanya 24 peratus sahaja yang menyokong dasar Netanyahu terhadap penduduk tempatan di kawasan tersebut. Manakala 63 peratus lagi menyatakan bahawa dasar Netanyahu sangat tidak bijaksana berhubung hal tersebut. - dakwatuna