Allah berfirman dalam al-Quran:

"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran." Mafhum Surah al-Asr: ayat 1 - 3.
Memaparkan catatan dengan label Makluman. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Makluman. Papar semua catatan

Selasa, 16 Disember 2014

Perginya Seniman Mustapha Maarof

Jenazah Mustapha Maarof selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang

Berita Harian pada 25 November 2014 memaklumkan Mustapha dimasukkan ke hospital kerana sakit paru-paru

Jenazah Mustapha disembahyangkan di Masjid Amru Ibni Al'As Bandar Baru Sentul selepas solat Zuhur semalam

Sanak saudara, sahabat handai dan para peminat yang menghadiri pengkebumian jenazah Mustapha


KUALA LUMPUR - Lebih seribu peminat, ahli keluarga dan rakan artis hadir membanjiri Tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang bagi memberi penghormatan dan menyaksikan pengebumian seniman veteran, Allahyarham Datuk Mustapha Maarof, di sini hari ini.
Jenazah tiba kira-kira 2.15 petang dan terus dibawa ke liang lahad yang disediakan dan terletak bersebelahan pusara arwah isterinya Roseyatimah yang meninggal pada Disember 1987.
Terdahulu, jenazah disembahyangkan di Masjid Amru Ibni Al'As Bandar Baru Sentul selepas solat Zuhur.
Antara yang hadir memberi penghormatan, Datuk Yusof Haslam, Datuk DJ Dave, Datuk Jefrydin, Datuk Kamil Othman, Datuk Rosyam Nor dan Datuk Mayuiddin Mustakim.
Selain artis muda seperti Zed Zaidi, Hafiz Nafiah, Sharifah shahora, Elveena Iris, Rozita Rohaizad, Abas Bakar dan ramai lagi. - Berita Harian


Orang ramai dan rakan artis memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham Mustapha Maarof. Foto: myMetro


KUALA LUMPUR - “Emak meninggal dunia pada 14 Disember 1987. Semalam (kelmarin) genap 27 tahun Allahyarham meninggalkan kami.
“Hari ini (semalam) ayah pula meninggalkan kami buat selama-lamanya. Beliau berpesan minta dikebumikan sebelah kubur emak (Rose Yatimah) dan arwah bapanya yang dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang,” kata Azlynna, 45, anak kedua Datuk Mustapha Maarof.
Seniman veteran itu menghembuskan nafas terakhir di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, Wangsa Maju pada jam 8.35 pagi selepas dua minggu bertarung melawan penyakit paru-paru. 
Mustapha atau nama sebenarnya Mustapha Azhari Maarof, 79, menerima rawatan terakhir di wad Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital itu selepas dipindahkan dari Institut Perubatan Respiratori Jalan Pahang.
Selain Azlynna beliau meninggalkan dua lagi anak iaitu Suzlynna, 50, dan Mohd Rezainudden, 38, serta tujuh cucu.
Jenazahnya disembahyangkan di Masjid Amru Ibni Al-As, Bandar Baru Sentul sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Jalan Ampang pada jam 2.15 petang.
Mohd Rezainudden berkata, Jumaat lalu doktor memanggil ahli keluarga mereka dan memberitahu kesihatan terkini bapanya yang semakin merosot.
“Kami reda dengan pemergian ayah kerana dia dua minggu koma, manakala, ubat yang diberikan pula tidak berkesan dan beliau hanya bergantung pada alat bantuan pernafasan.
“Sebelum ini, beliau pernah sebut teringatkan arwah emak. Saya berusia 11 tahun ketika emak meninggal dan selepas itu kami dibesarkan ayah sepenuhnya. Kami adik beradik bersyukur kerana dapat menjaga ayah dan membahagiakan dia semasa hayatnya,” katanya.
Pengebumian Allahyarham dihadiri ramai penggiat seni lama dan baru antaranya Datuk Maria Menado, Salmah Ahmad, Datuk DJ Dave, Pansha, Datuk Yusof Haslam, Datuk A Rahman Hassan, Raja Azmi dan Nabil Ahmad.
Turut hadir Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN) Datuk Freddie Fernandez, Presiden Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) Zed Zaidi dan Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) Datuk Kamil Othman.
Yusof berkata, beliau kerap berbual dengan arwah dan sebelum sakit dia meluahkan harapan agar persatuan artis bersatu.
“Walaupun tiada jawatan dalam SENIMAN beliau prihatin dengan persatuan artis dan nak sangat lihat semua mereka bersatu.
“Ketika bergelar Presiden SENIMAN dulu, jasanya yang paling besar membawa masuk dana melebihi RM1 juta dalam tabung persatuan dan ini sesuatu yang membanggakan.
“Beliau menggunakan hubungan baiknya dengan Menteri Penerangan bagi mendapatkan slot drama TV untuk ahli,” katanya.
DJ Dave menyifatkan Allahyarham seorang jujur dan ikhlas dalam perjuangannya sebagai anak seni.
“Beliau adalah wira tidak didendang yang terakhir dalam industri kerana jasanya dalam industri perfileman tanah air,” katanya. - myMetro

Rabu, 11 Jun 2014

Bihun Cap Masjid Tidak Halal?

Isu berkaitan bihun cap masjid tersiar di internet dalam tempoh beberapa hari ini

Pemandangan yang dikaitkan dengan kilang bihun tanpa sijil halal

Seorang pekerja kilang bihun tanpa sijil halal sedang tekun menjalankan tugasnya


KUALA LUMPUR - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengesahkan produk ‘Bihun Istimewa’ yang menggunakan lambang masjid tidak mempunyai sijil halal. 
Pengarah Bahagian Hab Halal JAKIM, Hakimah Mohd Yusoff, berkata pemeriksaan dibuat selepas pihaknya menerima aduan orang awam mengenai isu kilang bihun kotor dan jijik guna logo halal yang tersebar di laman sosial.  
“Produk ini didapati menggunakan logo halal sendiri pada pembungkusan yang bertentangan dengan Akta Perihal Dagangan 2011, Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011.  
“Syarikat terbabit bukanlah pemegang sijil pengesahan halal Malaysia dan tidak pernah mempunyai sijil halal,” katanya dalam kenyataan disiarkan di laman sosial Facebook milik JAKIM, semalam.  
Sementara itu, Ketua Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Mohd Roslan Mahayuddin, berkata syarikat yang menggunakan logo halal palsu boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Perihal Dagangan kerana mengelirukan pengguna Islam.  
Ini termasuk denda maksimum RM5 juta ke atas syarikat terbabit, atau denda maksimum RM1 juta atau hukuman penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi individu jika terbukti menggunakan logo halal tanpa kelulusan JAKIM.  
Katanya, siasatan dilakukan sebaik pihaknya menerima maklumat mengenai penyebaran beberapa keping gambar pemprosesan bihun itu kotor di laman sosial semalam.  
Katanya, siasatan KPDNKK tertumpu kepada aspek memberi kenyataan palsu mengenai status halal dan penggunaan logo halal yang tidak dikeluarkan oleh JAKIM. 
“Undang-undang tidak membenarkan mana-mana pihak mengeluarkan kelulusan halal kecuali JAKIM. Kita juga lihat dari aspek syarikat terbabit beri gambaran palsu bahawa produknya adalah halal.  
“Saya masih tunggu laporan penuh pegawai penyiasat yang dihantar ke kilang itu petang tadi (semalam), jika ada kesalahan tindakan tegas akan diambil,” katanya. - Berita Harian

Khamis, 24 April 2014

Cerita Tentang Kopi





AROMANYA saat dihidangkan panas menusuk kalbu. Tatkala dihirup, rasanya yang lemak berkrim itu bagaikan memberi satu tenaga untuk memulakan hari baru. 
Itulah keistimewaan secawan kopi OLDTOWN White Coffee 3 dalam 1, yang nyata berbeza berbanding kopi lain kerana ia memiliki pakej lengkap. 
Resipi asli dengan memanggang biji kopi terpilih ini menghasilkan aroma semula jadi dan enak malah menjadi sebutan di kalangan masyarakat ketika itu. 
Kehadiran OLDTOWN White Coffee 3 dalam 1, di pasaran negara ini secara komersil bermula pada 1999 dan ia mencetus revolusi baru dalam minuman kopi kepada rakyat Malaysia. 
Dengan menggunakan resipi asli white coffee atau kopi putih 3 dalam 1, ia ternyata memberi pilihan kepada pengguna untuk menikmati kesegaran kopi sebenar. 
Kini, OLDTOWN White Coffee 3 dalam 1, menjadi jenama kopi putih nombor satu di Semenanjung Malaysia mengikut sumber The Nielsen Company (Malaysia) Sdn Bhd. 
Produk ini juga dieksport ke lebih 13 negara iaitu Kanada, Amerika Syarikat, Shanghai, Shenzen, Taiwan, Hong Kong, Thailand, Filipina, Brunei, Singapura, New Zealand, UK, Jawa dan Sumatera, Indonesia dan Australia. 
OLDTOWN White Coffee 3 dalam 1, mendapat pengiktirafan sijil HALAL dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). 
Penerimaan sijil HALAL itu menepis segala dakwaan bahawa OLDTOWN White Coffee 3 dalam 1, adalah tidak halal. 
Ini bermakna umat Islam di negara ini boleh menikmati keenakan kopi putih 3 dalam 1 ini tanpa sebarang perasaan was-was. 
Pengiktirafan itu menyerlah usaha bersungguh-sungguh pengurusan OLDTOWN White Coffee 3 dalam 1, bagi menyakinkan masyarakat terutama umat Islam bahawa produk itu halal. 
Selepas menyakinkan rakyat negara ini dengan memperolehi sijil HALAL, jenama OLDTOWN White Coffee 3 dalam 1, tidak menoleh ke belakang lagi. 
Bercerita mengenai keistimewaan kopi putih ini, selain keaslian rasa dan menggunakan resipi asli sejak dulu, OLDTOWN White Coffee 3 dalam 1, juga menggunakan bahan-bahan yang cukup berkualiti. 
Bahan-bahan OLDTOWN White Coffee 3 dalam 1, terdiri daripada campuran istimewa kopi panggang Arabica, Robusta dan Liberica. 
Selain itu, disediakan dengan menggunakan resipi tradisional yang diturunkan melalui generasi. Setiap titisan OLDTOWN White Coffee 3 dalam 1, adalah asli. 
Setiap cawan kopi putih 3 dalam 1 itu memberikan anda aroma berpanjangan biji Arabica, rasa lazat biji Robusta dan biji Liberica yang sempurna. 
Bagi penggemar OLDTOWN White Coffee 3 dalam 1, terdapat enam jenis semuanya yang boleh didapati di pasaran antaranya OLDTOWN White Coffee 3 in 1 Classic, Hazelnut, Natural Cane Sugar, Ice Cold, White Milk Tea dan OLDTOWN White Coffee 2 in 1 Coffee & Creamer. 
Kini, OLDTOWN White Coffee 3 dalam 1, semakin digemari terutama penggemar kopi.  
Kejayaan ini adalah hasil dari usaha, fokus dan kajian yang dijalankan ke atas pengguna.  
OLDTOWN White Coffee 3 dalam 1, juga sentiasa memastikan setiap langkah yang diambil bertepatan dengan komitmentnya kepada kualiti kopi terbaik dan resipi rahsia tradisional kepada pelanggan. 
INFO 
BANYAK cerita-cerita kononnya kopi tidak bagus untuk kesihatan. Tetapi, hakikatnya, kopi adalah antara minuman yang mempunyai banyak kebaikan selain madu dan susu.
Bangsa Yahudi gemar meminum kopi malah amalan itu dilatih kepada anak-anak setiap hari.
 
Kajian mendapati lebih dari 400 million cawan kopi diambil setiap tahun, menjadikannya sebagai minuman yang paling popular di dunia. 
Di Amerika Syarikat, 107 juta atau 52 peratus daripada penduduknya meminum kopi secara rutin harian manakala 57 juta yang lain meminum kopi beberapa kali setiap minggu.  
Kebaikan kopi: 
1. Kandungan kafein dalam kopi 
Kopi selama ini dianggap sebagai minuman untuk menambah tenaga dan menyegarkan orang mengantuk. Benarkah kopi sehebat itu? 
Kandungan utama kopi ialah kafein, ia berfungsi sebagai perangsang susunan saraf otak, sistem pernafasan serta sistem pembuluh darah dan jantung. 
Justeru, tidak hairan setiap pengambilan kopi dalam jumlah wajar, tubuh kita menjadi segar, daya pemikiran lebih cepat dan tidak mudah mengantuk. 
Kandungan kafein dalam 200 gram kopi mencecah 135 mg, berbanding teh yang hanya sekitar 35 mg. 
Kafein sering kali dijadikan salah satu bahan pelengkap ubat sakit kepala. Ini kerana, kafein mempunyai kemampuan menyempitkan pembuluh darah ke otak (vasokonstriksi) sehingga pelebaran pembuluh darah di daerah otak yang merupakan penyebab kepada sakit kepala. 
Kafein juga membantu mengurangkan lemak. Secara fisiologi, tubuh orang yang mengalami kegemukan kurang mampu membakar lemak ketika bersenam berbanding bertubuh normal. 
Akibatnya, tubuh akan membakar karbohidrat sebagai sumber tenaga, sehingga kadar gula darah menurun. Ini adalah penyebab mengapa orang gemuk merasa lapar kembali selepas bersenam. Kafein membantu memecah lemak menjadi sumber tenaga segera. 
2. Kopi bergula meningkatkan prestasi otak 
Kajian di Barcelona, Sepanyol mendapati secawan kopi yang bergula boleh meningkatkan prestasi otak. 
Saintis di Universiti Barcelona mendapati pengambilan kafein dan gula serentak meningkatkan prestasi otak seperti daya ingatan. 
Hasil kajian itu diperoleh dari 40 sukarelawan yang diuji dengan pengambilan kopi bergula, kopi tanpa gula dan air masak. 
Kopi manis merupakan cara terbaik untuk otak bagi menghadapi cabaran pekerjaan. 
3. Kandungan Antioksida dalam kopi 
Antioksida yang dimiliki kopi berfungsi seperti ‘tentera’ yang menjadi perisai tubuh daripada radikal bebas. Kita tahu antioksida sangat baik untuk kesihatan. 
Salah satu hasil kajian mendapati pengambilan kopi menawarkan manfaat kepada pesakit parkinson dan diabetes jenis II. 
Malah, kajian penyelidik di Sekolah Kesihatan Awam Harvard turut menyenaraikan fakta kopi melindungi seseorang daripada masalah penuaan. 
Ini dibantu oleh kandungan kafein di dalam kopi selain fungsi antioksida yang tinggi dalam bijian itu. 
Selain itu, kajian dari beberapa pusat penyelidikan seperti Universiti Scranton, Universiti Athens dan Universiti Keio, Tokyo merumuskan kopi membantu mengurangkan tekanan darah tinggi dan risiko kanser, sakit jantung dan strok. - Suliati Asrimy/myMetro

Rabu, 9 April 2014

Sindiket Jual Walkie-talkie Haram

SKMM cawangan Perak merampas peralatan walkie-talkie haram di sebuah pejabat penjualan kereta terpakai di Bercham

Walkie-talkie haram ialah walkie-talkie yang tidak mendapat kelulusan dan pengesahan SIRIM (gambar hiasan)

Penjualan walkie-talkie haram adalah satu kesalahan mengikut Seksyen 239 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998


IPOH - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) cawangan Perak hari ini menumpaskan satu sindiket penjualan walkie-talkie haram yang mensasarkan kumpulan Rukun Tetangga (RT) di sekitar Ipoh hari ini. 
Jurucakap SKMM cawangan Perak berkata dalam serbuan bersama-sama anggota polis dan Jabatan Kastam di sebuah pejabat penjualan kereta terpakai di Bercham pada 4.15 petang itu, mereka menahan dua suspek, ibu serta anak lelakinya, masing-masing berusia 40-an dan belasan tahun.  
"Kita merampas 12 set lengkap walkie-talkie haram yang dipercayai dijual RM300 setiap satu set serta barang-barang lain," katanya kepada pemberita di sini hari ini.  
Beliau berkata sindiket ini juga dipercayai menjalankan perkhidmatan membaiki dan menyelenggara alat komunikasi berkenaan kerana pihaknya menemukan banyak bahagian walkie-talkie lain.  
Katanya sindiket itu dipercayai menjual walkie-talkie yang tidak mendapat kelulusan dan pengesahan SIRIM kepada hampir 1,500 pembeli di sekitar Ipoh.  
Beliau berkata kedua-dua suspek itu dibawa ke Balai Polis Bercham untuk diambil keterangan sebelum pihaknya mengambil tindakan lanjut.  
"SKMM Perak sebenarnya menerima banyak aduan daripada RT mengenai penjualan walkie-talkie haram itu pada Mac lepas, kita kemudian buat pemantauan dan penyiasatan serta semakan dengan SIRIM sehingga membawa ke lokasi ini," katanya.  
Beliau berkata penjualan walkie-talkie haram adalah satu kesalahan mengikut Seksyen 239 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu melibatkan peralatan atau peranti bukan standard.  
Suspek boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan, katanya. - BERNAMA

Selasa, 4 Mac 2014

Bath Salt Dadah Paling Bahaya Di Dunia

Dadah sintetik bath salt mampu mengubah manusia menjadi kanibal (pemakan orang) atau zombie

 Ronald Poppo, gelandangan di Miami yang kehilangan hampir suku wajahnya kerana 'dimakan' penagih dadah bath salt

Wajah Ronald Poppo sebelum dan selepas dimakan penagih dadah bath salt

Di Scotland, seorang remaja maut dipercayai selepas mengambil dadah bath salt yang dibelinya dengan harga RM50

Pihak berkuasa Amerika Syarikat menamakan dadah ini sebagai bath salt

Senior Asisten Komisioner Jamaludin Kudin berkata, bath salt menjadi topik seminar di Vienna, Austria, Mac tahun lalu


HAMPIR setiap minggu kita dikejutkan dengan pelbagai bentuk kekejaman jenis baharu. Cerita anak ugut emak, pukul emak, cederakan ayah malah ada yang sampai ke peringkat membunuh ibu yang melahirkan dan membesarkannya kerana pengaruh dadah. 
Namun pernahkah kita terfikir, kini sudah ada jenis dadah yang mampu mengubah manusia menjadi kanibal (pemakan orang) atau zombie. 
Itulah kesan dadah sintetik yang menggerunkan iaitu bath salt yang mencetuskan celaka kepada masyarakat di Amerika Syarikat (AS) dan Eropah. 
Dalam satu kejadian di Miami, Florida pada 29 Mei 2012, seorang lelaki gelandangan kehilangan hampir suku wajahnya kerana 'dimakan' penyerang berbogel yang berada bawah pengaruh bath salt. 
Polis akhirnya menembak mati penyerang itu yang tidak mengendahkan arahan supaya berhenti menggigit wajah mangsa sambil mendengus seperti haiwan liar. 
Di Scotland, seorang remaja maut dipercayai selepas mengambil bath salt yang dibelinya dengan harga RM50, manakala di Britain, seorang remaja perempuan melucutkan pakaian dan bertelanjang bulat di sebuah pasar raya akibat pengaruh dadah itu. 
Di negara kita, walaupun setakat ini tiada rekod menunjukkan kehadiran bath salt, namun pihak berkuasa sentiasa memantau memastikan dadah jenis paling berbahaya itu tidak terlepas. 
Timbalan Pengarah (Penguatkuasaan/Pencegahan/ Kepolisian Am) Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Jamaludin Kudin berkata, bath salt menjadi topik seminar di Vienna, Austria, Mac tahun lalu. 
“Masa itu, dadah ini belum ada nama lagi. Hujung tahun lalu, ketika saya menghadiri persidangan, barulah pihak berkuasa AS memanggilnya dengan nama bath salt. 
“Saya kurang pasti kenapa ia diberi nama bath salt. Mungkin rupanya seakan bahan itu,” katanya. 
Dadah masa depan 
Walaupun dadah jenis ini masih belum dikesan di Malaysia, Jamaludin berkata, polis sentiasa menjalankan pemantauan rapi membendung kemasukan bahan bahaya itu. 
Beliau melabelkan bath salts sebagai dadah masa depan. 
Lebih merisaukan, katanya, bukan hanya negara, malah dunia juga bakal berdepan risiko dadah berbahaya itu memandangkan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dadah berkenaan tidak ditemui setakat ini kerana formula mencipta bahan itu sentiasa bertukar. 
“Ketika saya menyertai persidangan berkaitan dadah di Bangkok, Thailand hujung tahun lalu, saya ada minta penjelasan seorang pakar dari AS mengenai bentuk dadah dan jenis bahan kimia digunakan. Namun, mereka sendiri tidak dapat kenal pasti,” katanya.
Menurutnya, ia akan menjadi masalah paling besar kerana bahan yang tidak dapat dikesan itu boleh masuk dalam pelbagai bentuk. 
“Kita boleh andaikan dadah ini sudah masuk ke negara ini jika ada laporan polis dibuat bahawa ada orang hilang pipi atau daging,” katanya. 
Berdasarkan pencarian maklumat di internet, difahamkan, dadah tersebut dinamakan sedemikian sempena garam yang digunakan dalam mandian yang merangsang otak ke tahap tertinggi dan meningkatkan suhu badan kepada 41.6 darjah Celsius. 
Keadaan itu menyebabkan halusisasi dan perlakuan ganas ekstrem sehingga penagih hilang pertimbangan dan sanggup membunuh. 
Seorang doktor berpengalaman lebih 30 tahun di unit kecemasan, Dr James Wright berkata, bath salts merupakan antara 10 jenis dadah paling berbahaya di dunia kerana pengambilan yang berlarutan beberapa jam menyebabkan seseorang itu menjadi gila, dengan 85 peratus dijangka pulih dalam tempoh 30 hari, manakala 15 peratus lagi kekal gila sampai mati. 
Kekangan undang-undang 
Trend sindiket pengedaran dadah yang mengubah struktur bahan menghasilkan dadah antara cabaran terpaksa dihadapi pihak penguat kuasa. 
Jamaludin berkata, pihaknya hanya boleh mengambil tindakan terhadap mereka yang menyalahgunakan dadah sebagaimana terkandung dalam Jadual Pertama Akta Dadah Berbahaya (ADB). 
“Sindiket ini sentiasa mengubah struktur bahan kimia menghasilkan bath salt. Mereka akan cuba ubah struktur supaya bahan digunakan tiada dalam jadual pertama. 
“Ia menimbulkan masalah pendakwaan kerana ia sebab tiada dalam jadual tersebut. Namun jika bahan kimia terlarang itu terkandung dalam Jadual 3, tindakan boleh diambil di bawah Akta Racun, tapi hukumannya denda berbanding ADB memperuntukkan hukuman berat,” katanya. 
Katanya, perkara itu boleh diatasi jika bahan-bahan tersebut didaftarkan di bawah jadual pertama, namun ia mengambil masa agak panjang. 
“Berdasarkan undang-undang, memasukkan dadah ini dalam jadual pertama, ia di bawah bidang kuasa Menteri Kesihatan, bukan polis atau Menteri Dalam Negeri. 
“Melainkan jika ia melibatkan pindaan undang-undang, barulah perkara ini dibawa ke Parlimen,” katanya. 
Jamaludin berkata, polis juga berdepan dengan masalah kemasukan bahan kimia ke negara ini kerana ia mempunyai kaitan dengan kepentingan ekonomi bagi industri lain. 
“Kebanyakan bahan kimia yang digunakan untuk membuat dadah sintetik itu ada keperluannya dalam industri lain seperti kosmetik contohnya asid hidroklorik. Sebab itu Bahagian Farmaseutikal ada kuasa undang-undang berkaitan aktiviti pemesongan. 
“Ketika bahan kimia diimport untuk kilang kosmetik contohnya, ada pemesongan sebahagian bahan tersebut dan sindiket ambil peluang ini. 
Kongsi maklumat dadah 
Sebagai persediaan menghadapi ancaman dadah baharu, Jamaludin berkata, pihaknya menghadiri semua persidangan dunia, seminar dan kursus berkaitan dadah dianjurkan oleh badan dunia, selain memenuhi jemputan mereka. 
“Kita merancang menghantar pegawai narkotik ke negara-negara tertentu bagi mengumpul maklumat perkembangan dadah. 
“Inilah program yang menjadi sumber kepada perkongsian maklumat kerana negara-negara tersebut akan membentangkan perkembangan dadah di negara masing-masing. Kita boleh tahu dadah baharu di negara mereka,” katanya. 
Jamaludin menegaskan, pengusaha spa dan pusat kecantikan tidak perlu bimbang walaupun dadah itu mempunyai nama sama dengan garam mandi yang digunakan di premis mereka. 
“Takkanlah bila mereka pakai garam mandi, kita nak terus serbu kedai itu. Kita tak akan ambil tindakan tanpa jalankan siasatan,” katanya. 
Tidak boleh tukar nama 
Walaupun nama bath salt hampir menyerupai istilah garam mandi yang digunakan di spa dan pusat kecantikan di negara ini, beliau berkata, nama itu bagaimanapun tidak boleh ditukar kerana, istilah itu sudah digunakan di seluruh dunia. 
“Nama ini bukan kita bagi, tapi AS. Kita ikut saja sebab kajian itu daripada negara maju. Jadi, bila dia bagi satu istilah, kita kena ikut sebab kalau kita buat nama lain, nanti orang tak tahu," katanya. 
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya mengelakkan diri daripada terlibat dengan parti dadah. - Nurulfatiha Muah/Sinar Harian

Isnin, 17 Februari 2014

Awas! Satelit Russia Jatuh Ke Bumi

Satelit Kosmos-1220 yang dilancarkan oleh Russia pada tahun 1980 diramal akan jatuh ke bumi di lokasi yang tidak diketahui

Sebelum ini, satelit GOCE milik Agensi Angkasa Lepas Eropah terhempas ke laut pada November 2013


MOSCOW - Pakar angkasa lepas memberi amaran mengenai ancaman ‘amat berbahaya’ dikaitkan dengan sebuah satelit Russia yang dikatakan akan jatuh terhempas di bumi semalam.
Sebahagian daripada satelit Kosmos-1220 yang kini tidak lagi berfungsi akan memasuki planet ini dengan kelajuan tinggi dan mengeluarkan api serta tidak dapat dikawal memasuki atmosfera Bumi, kata pegawai Russia yang mengesahkan perkara itu. 
Apa yang dibimbangkan ialah masa dan lokasi sebenar serpihan itu akan mendarat masih tidak diketahui. 
“Sehingga 7 Februari 2014, serpihan itu dijangka jatuh pada 16 Februari,” kata Kolonel Alexei Zolotukhin kepada agensi berita Russia, Ria Novosti. 
Masa dan lokasi sebenar serpihan dari satelit Kosmos-1220 itu mungkin akan berubah berikutan faktor luaran. 
Satelit itu dijangka mendarat di Lautan Pasifik di mana ia tidak akan mencetuskan sebarang ancaman.
Berdasarkan Fox News, ia mungkin boleh jatuh di mana-mana di Bumi ini. 
Pada 1978, satelit Kosmos yang tidak lagi berfungsi jatuh terhempas di pelabuhan yang tidak lagi digunakan di Kanada, menyebabkan serpihan radioaktif bertebaran dan terpaksa dibersihkan. 
Pada 2009 satelit ketiga Kosmos terhempas bersama sebuah satelit telekomunikasi Iridium Amerika Syarikat, menyebarkan serpihan di orbit. 
Terbaru adalah satelit GOCE milik Agensi Angkasa Lepas Eropah terhempas ke laut pada November 2013. 
Saiz dan berat sebenar satelit Kosmos-1220 itu juga tidak diketahui, lapor Ria Novosti, menambahkan lagi kepada ketidaktentuan peristiwa terbabit.
AGENSI/Berita Harian

Khamis, 13 Februari 2014

Toyota Tarik Balik 1.9 Juta Model Prius

Toyota Prius II keluaran tahun 1997. Foto: Wikipedia

Toyota Prius III keluaran tahun 2009. Foto: Wikipedia

Seorang lelaki sedang melihat model Toyota Prius di bilik pameran syarikat itu di Tokyo. Foto: AFP


TOKYO - Syarikat pembuat kereta terkemuka Jepun, Toyota semalam menarik balik 1.9 juta kereta model Prius di seluruh dunia kerana masalah sistem komputer yang boleh menyebabkan kereta hibrid tersebut berhenti secara tiba-tiba. 
Seorang jurucakap syarikat berkata, terdapat satu masalah dengan sistem komputer yang mengawal alat penukaran kuasa sekali gus boleh mendatangkan bahaya kepada pemandu. 
"Masalah pada sistem komputer ini boleh menyebabkan kereta ini berhenti secara tiba-tiba ketika sedang memandu.
"Kami menganggap masalah ini adalah satu isu keselamatan dan sebab itu kami membuat keputusan untuk menarik semula kereta ini,'' katanya. 
Bagaimanapun, kata jurucakap itu, sehingga kini tiada kemalangan dilaporkan berpunca daripada kerosakan tersebut. 
"Dalam kebanyakan kes, kerosakan ini akan mencetuskan lampu amaran pada kenderaan dan kemungkinan kereta masih boleh di pandu tetapi dengan kuasa yang dikurangkan sebelum berhenti,'' jelasnya. 
Menurutnya, lebih 400 kes telah dilaporkan di seluruh dunia termasuk 300 kes di Jepun dan 90 kes di Amerika Utara. 
Arahan menarik balik model itu melibatkan sejumlah 997,000 kereta di Jepun dan lebih 713,000 lagi di Amerika Utara, manakala selebihnya melibatkan negara di Eropah, Timur Tengah serta China. 
Toyota yang merupakan peneraju kenderaan mesra alam menarik balik beberapa model Prius pada tahun lalu dan 2010 atas pelbagai kerosakan. 
pengumuman terbaru ini merupakan yang paling besar untuk model berkenaan. - AFP/Kosmo!

Rabu, 12 Februari 2014

Awas Bahaya Pil Dadah 'Yaba'

Pil 'Yaba' dikenali sebagai pil kuda di Kelantan

Pil Yaba kini diberitakan turut menyerang negara jiran. Polis Indonesia sedang menunjukkan rampasan pil Yaba


SERI ISKANDAR - Dadah gula-gula buatan Thailand dipanggil pil `Yaba’ yang mampu membuat penagih menjadi agresif selain mampu menahan mata daripada tidur selama dua hari, dikesan mula diseludup dan dijual di negeri ini. 
Pil berkenaan yang dikatakan banyak dijual di Laos dan Myanmar, dikesan diseludup oleh warga Thailand yang bekerja di negeri ini sebagai pasaran baru selepas mendapat permintaan tinggi di Kelantan yang dipanggil dengan nama pil kuda. 
Sumber polis berkata, dalam kes terbaru, seorang remaja lelaki warga Thailand ditahan polis selepas dikesan memiliki pil Yaba dalam kuantiti besar di rumah sewanya di Bandar Seri Iskandar di sini. 
Menurutnya, suspek yang berusia 18 tahun dan bekerja sebagai tukang masak di sebuah restoran, diberkas sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah dan Balai Polis Seri Iskandar yang melakukan intipan sejak beberapa hari lalu. 
Sumber itu berkata, suspek ditahan jam 6 pagi semalam selepas polis menyerbu sebuah rumah kedai di Bandar Seri Iskandar, di sini. - myMetro

Jumaat, 6 Disember 2013

Pengguna Terminal LCCT Kena Datang Awal

AirAsia meminta penumpangnya yang berlepas dari Terminal Penerbangan Tambang Rendah (LCCT) di Sepang datang awal

Lebih 60,000 penumpang tiba dan berlepas melalui LCCT setiap hari semasa cuti persekolahan pada masa ini

Penumpang dinasihat supaya berada di lapangan terbang sekurang-kurangnya tiga jam sebelum penerbangan masing-masing

Proses perjalanan awal bertujuan bagi mengelak terlepas penerbangan disebabkan kesesakan di LCCT. Foto: mStar


KUALA LUMPUR - AirAsia meminta penumpangnya yang berlepas dari Terminal Penerbangan Tambang Rendah (LCCT) di Sepang semasa cuti sekolah ini, bermula pertengahan November hingga awal Januari 2014, supaya berada di sana lebih awal bagi penerbangan mereka. 
Dalam satu kenyataan hari ini, AirAsia berkata jumlah penumpang didapati meningkat semasa tempoh berkenaan. 
"Lebih 60,000 penumpang tiba dan berlepas melalui LCCT setiap hari semasa tempoh ini. Penumpang dinasihat supaya berada di lapangan terbang sekurang-kurangnya tiga jam sebelum penerbangan masing-masing dan melalui proses perjalanan seawal mungkin bagi mengelak terlepas penerbangan disebabkan kesesakan," katanya. 
Menurut AirAsia, penumpangnya boleh mendaftar masuk melalui lamanweb dan perkhidmatan daftar masuk mudah alih. 
Perkhidmatan di laman web dan mudah alih itu boleh didapati 14 hari sebelum penerbangan mereka sehingga 60 minit sebelumnya," katanya. - Bernama


Rabu, 27 November 2013

Rakyat Malaysia Digesa Guna MyKad Baru

Wong Kye Sang, 76, menunjukkan MyKad baru (kanan) dan MyKad lamanya di Putrajaya semalam.

Ciri-Ciri myKad baru

Ciri keselamatan pada MyKad baru telah dipertingkat

Sejarah kad pengenalan: Kad pengenalan tahun 1950-an hingga 1970-an

Kad pengenalan tahun 1990-an

MyKad yang menggantikan kad pengenalan sebelumnya

Terkini, MyKad baru. Apakah akan dapat mengelakkan pemalsuan MyKad oleh pihak tidak bertanggungjawab?


KUALA LUMPUR - Seramai 27 juta rakyat Malaysia digesa menggunakan MyKad baru, yang memiliki dan dilengkapi ciri keselamatan terkini, untuk mengelakkan pemalsuan MyKad oleh pihak tidak bertanggungjawab. 
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ciri keselamatan yang ada pada MyKad baru itu sudah dipertingkat untuk menyemak maklumat data seseorang individu itu. 
Justeru itu, beliau berkata, sindiket kad pengenalan palsu boleh dibanteras dengan lebih berkesan. 
“Dalam perkara ini, Kementerian Dalam Negeri (KDN) melihat ciri keselamatan kad pengenalan yang ada (yang baru, ada dua gambar) sekarang ini boleh dikesan dengan pengimbas dengan segera tanpa perlu ke pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk menyemak maklumat data berkenaan. 
“Ianya boleh disemak melalui pembacaan dari segi ‘bar code’. Dalam tempoh sepanjang Rancangan Malaysia Ke-10, saya syorkan seluruh penduduk Malaysia memegang MyKad yang baru ini,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan majlis sambutan Hari Inovasi KDN 2013 di Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini, semalam. - BERNAMA

Isnin, 11 November 2013

Risiko Andainya Kad Pengenalan Tercicir

Datuk Jariah Mohd Said: 1.5 juta MyKad dilaporkan hilang dalam tempoh empat tahun kebelakangan ini. Foto: The Star

Sayangi dan jaga keselamatan kad pengenalan anda kerana ia bagaikan nyawa kedua. Foto: The Borneo Post

Mungkin inilah risikonya jika kad pengenalan anda tercicir atau hilang - dipalsukan

Pihak JPN berusaha meningkatkan ciri keselamatan pada kad pengenalan. Foto: NST

ADA pendapat mengatakan, MyKad adalah nyawa kedua bagi setiap orang. 
Hal ini disebabkan pertama jikalau tiada MyKad anda boleh dikategorikan sebagai pendatang asing atau pendatang haram. Kedua, sila-silap MyKad anda sudah terlepas ke tangan orang lain. 
Ketiga, jika MyKad anda berada di tangan orang lain contoh penyamun, pembunuh malah penjenayah sekalipun anda akan diburu hingga ke lubang cacing. 
Itulah akibat dan kesannya jika MyKad hilang atau tercicir. Tetapi yang banyak berlaku adalah Mykad tercicir atau tertinggal di kaunter fotokopi, kaunter bank, atau semasa mengeluarkan wang dari dompet atau anda pernah diragut yang menyebabkan Mykad hilang. 
Kecuaian ini boleh berlaku kepada sesiapa sahaja tidak kira dia itu remaja, orang dewasa, pemimpin politik dan juga orang berpangkat besar. Pendatang asing terutama pendatang asing jika terjumpa MyKad seperti terjumpa emas sebongkah atau wang seguni. 
Ini kerana dengan MyKad anda mereka boleh merompak, menyamun kedai emas dan sebagainya. 
Oleh itu berhati-hatilah bagi mengelakkan kehilangan MyKad. Ingat semasa membuat salinan MyKad untuk sesuatu urusan di kedai fotokopi, MyKad anda boleh sahaja terselit dan tertinggal, bayangkan akhirnya MyKad anda terjatuh kepada penjenayah dan menyebabkan muka anda keluar di akhbar kerana melakukan kesalahan jenayah. 
Jika anda hilang MyKad antaranya pernah diragut segeralah melaporkan kepada pihak polis dan membuat MyKad baharu. 
Atau sebelum itu ingatkan di mana anda pernah membuat salinan fotokopi atau berurusan dengan bank. Ini kerana di sinilah selalunya MyKad seseorang mudah tercicir atau terlupa. 
Banyak kes sekarang ini melibatkan kehilangan MyKad yang kemudiannya dipalsukan digunakan untuk merompak wang di bank dan kedai emas yang digunakan oleh pendatang asing tidak bertanggungjawab. MyKad palsu adalah berpunca daripada MyKad rakyat tempatan yang hilang. 
Memetik Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Datuk Jariah Mohd Said sebagai berkata, menafikan dakwaan bahawa MyKad palsu sangat mudah diperoleh warga asing. 
Menurut Jariah, isu MyKad palsu tidak sewajarnya ditimbulkan kerana apa yang terjadi kebanyakan berpunca daripada kehilangan oleh pemiliknya iaitu rakyat tempatan sendiri sehingga disalahgunakan oleh warga asing. 
“Warga asing ini memperoleh MyKad bukan daripada sindiket pemalsuan, sebaliknya kad pengenalan diri rakyat tempatan yang hilang sama ada dicuri, diragut atau kecuaian diri sendiri. 
“Gambar dalam MyKad itu akan ditukar kepada gambar baharu tanpa mengubah nama, alamat, agama dan jantina pemilik asalnya. Inilah yang berlaku seperti dalam kes pengawal keselamatan menggunakan MyKad palsu telah menembak mati pegawai bank di Subang Jaya baru-baru ini.” 
Beliau mengulas dakwaan bahawa MyKad palsu begitu senang diperoleh sehingga ramai pengawal keselamatan asing menggunakannya ketika memohon pekerjaan. 
Berdasarkan statistik kehilangan MyKad oleh JPN, hampir 1.5 juta MyKad dilaporkan hilang hanya dalam tempoh empat tahun kebelakangan ini. 
Lebih membimbangkan apabila statistik terbaharu sehingga Ogos tahun ini sahaja menunjukkan sudah 461,295 MyKad dilaporkan hilang, sekali gus memberi gambaran betapa rakyat negara ini dilihat seolah-olah tidak peka terhadap keselamatan dokumen penting tersebut. 
Menurut Jariah, bagi membendung permasalahan ini, pihaknya meminta supaya orang ramai segera menukar MyKad lama kepada baharu yang ternyata mempunyai ciri-ciri keselamatan jauh lebih tinggi serta sukar disalahgunakan. 
“Berbeza dengan MyKad lama, ciri-ciri keselamatan yang baharu lebih tinggi sehingga sukar untuk disalahgunakan. Antaranya, sebarang percubaan untuk menukar gambar yang tertera pada salinan plastik MyKad tersebut akan menyebabkan gambar baharu itu kelihatan tidak asli, tindakan susulan akan dilakukan bagi membendung kehilangan MyKad oleh rakyat tempatan supaya mereka lebih menghargainya selepas ini,” katanya. 
Justeru, beliau turut meminta pihak syarikat keselamatan yang ingin menggaji pengawal keselamatan supaya terlebih dahulu mendapatkan pengesahan MyKad di JPN sebelum mereka diambil bekerja. 
Sebagai peringatan kepada semua, ingatlah bahawa MyKad anda umpama nyawa kedua anda. - Dr Aminudin Mansor/Sinar Harian

Rabu, 6 November 2013

Tukar Hak Milik Kenderaan Kini Guna Cap Jari

Pemilik dan pembeli kenderaan terpakai perlu hadir ke pejabat JPJ untuk proses tukar hak milik kenderaan. Foto: The Star

Orang tengah tidak boleh lagi terlibat dalam urusan menukar hak milik kenderaan (foto hiasan). Sumber: mynewshub

Datuk Seri Ismail Ahmad menyaksikan penggunaan kaedah biometrik di pejabat JPJ Bangi pada bulan lalu. Foto: CBT Online


KUALA TERENGGANU – Pemilik dan pembeli kenderaan terpakai kini perlu hadir ke pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk melakukan proses tukar hak milik kenderaan melalui sistem mySikap bermula 1 November lalu. 
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Seri Ismail Ahmad berkata, melalui mySikap, orang tengah sudah tidak boleh lagi terlibat dalam urusan menukar hak milik kenderaan sebaliknya pemilik asal dan pemilik baharu kenderaan dikehendaki hadir di mana-mana cawangan JPJ untuk mendaftarkan cap jari mereka. 
“Melalui sistem ini, proses tukar hak milik kenderaan akan menggunakan kaedah biometrik yang mengkehendaki pemilik dan pembeli hadir ke JPJ untuk pengesahan cap jari. 
“Penggunaan biometrik mengatasi pelbagai kelemahan sistem borang dalam proses tukar hak milik kenderaan sebelum ini,” katanya selepas majlis penutup Karnival Skuad Muda 1JPJ peringkat negeri Terengganu di Dataran Batu Buruk di sini kelmarin. - Kosmo! Online

Selasa, 6 Ogos 2013

Awas Susu Bayi Tercemar Dari New Zealand

Produk tenusu Fonterra dari New Zealand didapati mengandungi bakteria penyebab botulisme. Foto: The Australian

China merupakan pasaran terbesar susu bayi keluaran Fonterra. Foto: The Guardian

Kilang Lichfield Fonterra di Waikato, New Zealand menghasilkan tiga juta liter susu sehari. Foto: Forterra

Di antara produk susu yang berkaitan dengan Forterra yang ada dijual di Malaysia. Foto: NST


WELLINGTON - Kebimbangan berhubung keracunan mendorong China dan Rusia menyekat import sebahagian produk tenusu New Zealand, kata beberapa pegawai semalam. 
Gergasi tenusu New Zealand, Fonterra mengumumkan pada Sabtu lepas bahawa beratus-ratus tan susu formula bayi, minuman tenaga dan beberapa produk lain yang dijual di tujuh negara berkemungkinan tercemar. 
Ia berikutan beberapa ujian yang mendapati produk itu mengandungi bakteria penyebab botulisme. 
Botulisme merujuk kepada keracunan dalam darah yang disebabkan oleh kuman. 
China merupakan pasaran terbesar Fonterra. 
Firma New Zealand itu merupakan syarikat tenusu keempat terbesar di dunia dengan pendapatan tahunan sekitar AS$16 bilion (RM51.5 bilion). 
Pengguna di China dan beberapa tempat lain di dunia sanggup membayar harga lebih mahal untuk susu formula bayi dari New Zealand. 
Ia ekoran standard keselamatan makanan yang tinggi dan imej negara itu sebagai mempunyai alam sekitar bersih tanpa pencemaran. 
"Sebagai seorang ibu, saya benar- benar marah apabila mendengar berita ini," kata Wang Qun, 24, yang memberi bayi lelakinya minum susu keluaran Dumex. 
"Saya terkejut mendengar masalah ini berlaku pada pengeluar susu New Zealand. Ia sepatutnya tempat terbaik untuk pengeluaran susu," tambah wanita itu. 
Larangan import di Rusia dan China itu melangkaui semua produk yang telah ditarik balik. 
Dalam pada itu, syarikat Malaysia, Danone Dumex mengumumkan penarikan semula beberapa jenama susu formula bayi keluaran Fonterra. 
Pihak berkuasa Vietnam pula memanggil semula susu formula Similac Gainplus Eyw-Q manakala Dumex di Thailand mengumumkan penarikan balik lima jenis susu formula. - Agensi/Kosmo Online