Allah berfirman dalam al-Quran:

"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran." Mafhum Surah al-Asr: ayat 1 - 3.

Ahad, 24 Februari 2013

Tiga Maut Kenderaan Terbabas Langgar Pokok

Mitsubishi Triton yang terlibat dalam kemalangan jalan raya di KM 24, Lebuh Raya Pasir Gudang, Johor semalam. Foto: Kosmo!

Keadaan kenderaan Mitsubishi Triton selepas kemalangan. Foto: myMetro

Mangsa kemalangan Veronica (atas), K Thanasegaran (tengah), dan K Dinesh Kumar (bawah). Foto: Berita Harian


PASIR GUDANG - Tiga maut apabila kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki mereka melanggar sebatang pokok di pembahagi jalan, awal pagi semalam. 
Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi di Kilometer 24, Lebuhraya Pasir Gudang, mangsa Veronica Fernendez, 22, K Thanasegaran, 34, dan K Dinesh Kumar, 26, meninggal dunia di tempat kejadian. 
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Roslan Zainuddin, berkata mayat Veronica yang dipercayai penumpang belakang terpaksa dikeluarkan bomba apabila tersepit dan kenderaan melekat pada pokok. 
Katanya, kenderaan dinaiki mangsa yang beralamat di Puchong, Selangor dan Kuala Lumpur, dipercayai hilang kawalan dan terbabas sebelum melanggar sebatang pokok di pembahagi jalan berkenaan. 
“Kemalangan itu menyebabkan pemandu dan penumpang di tempat duduk depan tercampak keluar ke bahu jalan sebelah kiri sehingga mereka parah. 
“Penumpang tempat duduk belakang pula tersepit di tempat duduk dan dalam keadaan melekat di pokok. Semua mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam. 
Roslan berkata, siasatan mendapati lokasi kemalangan itu berlaku mempunyai lampu jalan yang berfungsi dengan sempurna, manakala jalan berada dalam keadaan baik, selain tidak hujan. 
“Kemalangan itu tidak membabitkan kenderaan lain. Punca kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu disyaki gagal mengawal kenderaan hingga terbabas dan melanggar pokok. 
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Polis turut meminta saksi yang melihat kejadian supaya menghubungi balai polis berdekatan bagi membantu siasatan,” katanya. 
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI) sebelum di tuntut ahli keluarga masing-masing. - Berita Harian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.