Allah berfirman dalam al-Quran:

"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran." Mafhum Surah al-Asr: ayat 1 - 3.
Memaparkan catatan dengan label Politik. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Politik. Papar semua catatan

Selasa, 11 November 2014

Catalonia Mahu Merdeka Daripada Sepanyol

Penyokong pro-kemerdekaan memegang bendera Catalonia ketika pengumuman keputusan pungutan suara

Dua juta pengundi memilih untuk merdeka dalam satu pungutan suara simbolik yang dijalankan di wilayah itu

Presiden wilayah Catalonia, Artur Mas menganggap pungutan suara berkenaan suatu kejayaan yang besar

Kertas undian yang digunakan dalam pungutan suara

Para pengundi beratur panjang dalam pungutan suara tersebut


BARCELONA – Pemimpin Catalonia berikrar meneruskan usaha menuntut kemerdekaan daripada Sepanyol selepas seramai dua juta pengundi memilih untuk merdeka dalam satu pungutan suara simbolik yang dijalankan di wilayah berkenaan kelmarin.
Presiden wilayah Catalonia, Artur Mas menganggap pungutan suara berkenaan yang dijalankan secara tidak rasmi adalah satu kejayaan yang besar.
“Keputusan undian ini jelas menunjukkan bahawa penduduk Catalonia mahu pemerintahan sendiri,” katanya.
Dalam pungutan suara berkenaan, pengundi yang berusia 16 tahun ke atas perlu menjawab dua soalan.
Soalan pertama: Adakah anda mahu Catalonia menjadi sebuah negara? dan soalan kedua: Adakah anda mahu negara itu merdeka?.
Timbalan Presiden wilayah Catalonia, Joana Ortega berkata, keputusan referendum menunjukkan seramai dua juta pengundi atau 80.7 peratus menjawab ‘Ya’ untuk kedua-dua soalan.
Madrid bagaimanapun menganggap pungutan suara berkenaan sebagai sia-sia kerana bercanggah dengan perlembagaan negara dan tidak diiktiraf oleh mahkamah negara itu.
Begitupun, Mas berharap keputusan pungutan suara berkenaan bakal menguatkan lagi tuntutan kemerdekaan Catalonia daripada Sepanyol dan didengar oleh kerajaan Eropah yang lain.
Ujarnya, Catalonia akan meneruskan usaha menuntut satu pungutan suara kemerdekaan dijalankan secara rasmi dan meminta sokongan antarabangsa bagi mendesak kerajaan Sepanyol membenarkan proses itu. – AFP/ Kosmo!

Khamis, 6 November 2014

Pilihan Raya: Parti Republikan Kuasai Kongres AS

Parti Republikan menang kerusi majoriti Dewan Senat dalam pilihan raya separuh penggal Amerika Syarikat

Mantan Senator Kay Hagan (Demokrat) tewas kepada Thom Tillis (Republikan) di North Carolina

Mitch McConnell (Republikan) memenangi semula kerusi Senat Kentucky. Di sebelah beliau ialah isterinya, Elaine Chao

Alison Lundergan Grimes (Demokrat) kalah kepada McConnel di Kentucky

Tom Cotton (kiri) calon Republikan menewaskan penyandang Mark Pryor (Demokrat) di Arkansas

Wartawan berkumpul di White House untuk mendengar reaksi Presiden Barack Obama terhadap kekalahan partinya

Dengan Parti Rupublikan kini menguasai kedua-dua Dewan Kongres AS, baki dua tahun pentadbiran Obama penuh cabaran


WASHINGTON – Parti Republikan menang besar dalam pilihan raya umum Amerika Syarikat (AS) semalam apabila parti berkenaan menguasai kedua-dua Dewan Perwakilan dan Dewan Senat di Kongres sekali gus memberikan tamparan hebat kepada Presiden AS, Barack Obama dan Parti Demokrat yang dianggotainya.
Parti Republikan menguasai Dewan Perwakilan manakala ia turut menawan kembali Dewan Senat daripada Parti Demokrat pada pilihan raya umum AS yang berlangsung kelmarin.
Susulan kemenangan tersebut, Parti Republikan berkuasa menentukan agenda di Kongres terutamanya melibatkan isu ekonomi.
Kemenangan besar parti berkenaan antara lain disebabkan oleh beberapa dasar pentadbiran Obama seperti dasar kesihatan yang dikenali sebagai Obamacare tidak mendapat tempat di hati rakyat.
Kemenangan tersebut juga membolehkan Parti Republikan menguasai Kongres untuk kali pertama sejak 2006.
Kongres baharu tersebut akan mula berkuat kuasa pada Januari depan.
Berikutan kemenangan tersebut, Parti Republikan kini memiliki sekurang-kurangnya 52 daripada 100 kerusi Dewan Senat.
“Kini adalah masa untuk kita memulakan hala tuju baharu,” kata anggota Senat Parti Republikan, Mitch McConnell kepada penyokongnya selepas menewaskan calon Parti Demokrat di negeri Kentucky.
Namun, McConell turut mengutamakan perdamaian apabila menambah: “Walaupun saya dan Obama tidak sependapat, kami mempunyai tanggungjawab untuk bekerjasama dalam isu yang kami boleh sepakat.”
Parti Republikan memenangi semua 435 kerusi Dewan Perwakilan sejak 2010 dan terus mengekalkan penguasaan tersebut pada pilihan raya kali ini.
Selain itu, Parti Republikan juga memenangi banyak kerusi gabenor termasuk di Maryland dan Massachusetts. – AFP/ Kosmo!

Selasa, 9 September 2014

Ratu Elizabeth Bimbang Scotland Merdeka Dari UK

Ratu Elizabeth II semasa menghadiri satu acara di Scotland pada minggu lalu

Ratu Elizabeth II bersama Alex Salmond, Menteri Pertama Scotland

Canselor George Osborne menawarkan kuasa lebih besar berkaitan cukai jika Scotland kekal dalam UK 

Alex Salmon semasa debat kemerdekaan Scotland



LONDON - Ketua Negara United Kingdom (UK), Ratu Elizabeth II menemui Perdana Menteri, David Cameron kelmarin bagi membincangkan kebimbangan bahawa Scotland akan keluar daripada UK selepas 300 tahun. 
Kerisauan Elizabeth II, 88, itu berdasarkan beberapa kaji selidik terbaharu yang mendapati 51 peratus penduduk Scotland menyokong kemerdekaan, manakala 49 peratus lagi memilih untuk kekal bersama UK. 
"Referendum ini adalah isu dalaman Scotland. Ratu Elizabeth II bersikap neutral dalam hal ehwal politik seperti sebelumnya," kata seorang jurucakap Istana Buckingham ketika mengulas berhubung senario di Scotland. 
Monarki berkenaan bagaimanapun dipercayai menyokong penuh penyatuan Scotland. 
"Anda tidak perlu menjadi seorang genius untuk sedar bahawa Ratu Elizabeth II menyokong penyatuan Scotland bersama UK. Ia seperti bertanya adakah Pope menyokong mazhab Katholik," kata satu sumber dalam kalangan pegawai tinggi negara. 
Elizabeth II akan berada di Scotland pada 18 September ini apabila penduduknya keluar mengundi dalam satu referendum bagi menentukan masa depan Scotland sama ada kekal bersama UK atau keluar dan merdeka sebagai sebuah negara lain. 
Terdahulu, Ahli Parlimen UK, George Osborne memberi jaminan akan memberi lebih kuasa berkaitan cukai, perbelanjaan dan kebajikan jika penduduk Scotland menolak kemerdekaan pada referendum tersebut.  
Pada masa yang sama, beliau turut menegaskan Scotland tidak boleh lagi menggunakan pound sebagai mata wang jika ia keluar daripada UK. 
Dalam pada itu, bekas Setiausaha Pertahanan Liam Fox berkata, beliau bimbang Scotland akan menjadi sebuah negara yang tidak lagi bernaung di bawah Ratu Elizabeth II jika ia merdeka. 
"Terdapat elemen antiraja yang kuat dalam Parti Kebangsaan Scotland (SNP)," kata SNP yang merupakan parti pemerintah Scotland yang menyokong kemerdekaan negeri itu. 
"Sudah pasti sejurus selepas Scotland merdeka, negara itu akan menjadi sebuah republik," tambahnya. - Agensi/ Kosmo!

Jumaat, 22 Ogos 2014

Mahkamah Kekalkan Kemenangan Jokowi

Suasana dalam Mahkamah Perlembagaan ketika memutuskan perbicaraan pilihan raya presiden Indonesia. Foto: aa.com

Penyokong Prabowo Subianto mengadakan demontrasi berdekatan mahkamah

Polis terpaksa menembak gas pemedih mata dan meriam air dalam usaha menyuraikan penyokong Prabowo. Foto: AFP

Peserta demonstrasi yang berlindung daripada gas pemedih mata. Foto: AFP

Jokowi berharap Prabowo dan penyokong dapat menerima keputusan mahkamah yang mengesahkan kemenangannya. Foto: Reuters

Prabowo tidak dapat dihubungi untuk mengulas keputusan berkenaan. Foto: merdeka.com


JAKARTA - Mahkamah tertinggi Indonesia semalam mengekalkan keputusan pilihan raya presiden negara itu, sekali gus membuka jalan kepada Joko ‘Jokowi’ Widodo untuk menggantikan Presiden Susilo Bambang Yudhoyonio sebagai pemimpin negara demokrasi ketiga terbesar dunia. 
Mahkamah Perlembagaan menolak usaha terakhir oleh calon yang kalah dalam pilihan raya berkenaan, Prabowo Subianto untuk membatalkan keputusan berkenaan yang dia dakwa dicemari dengan penyelewengan dan penipuan secara besar-besaran. 
Keputusan mahkamah itu tidak boleh dirayu. 
“Mahkamah menolak semua permohonan daripada pemohon (Prabowo)” kata Ketua Mahkamah Perlembagaan, Hamdan Zoelva. 
Suruhanjaya Pilihan Raya bulan lalu mengisyitiharkan Jokowi menang dengan kelebihan 8.5 juta undi atau lebih 53 peratus dalam pilihan raya presiden paling sengit dalam sejarah Indonesia. 
Terdahulu, polis terpaksa menembak gas pemedih mata dan meriam air dalam usaha menyuraikan penyokong Prabowo yang mengancam menyerbu mahkamah itu. 
Lapan orang dikatakan cedera. 
Sembilan hakim mula membaca keputusan mereka seorang demi seorang yang dianggarkan beratusan muka sejak jam 2 petang (waktu tempatan) dan mengambil masa berjam-jam sebelum mengumumkan keputusan menyeluruh. 
Dengan halangan dari segi perundangan sudah berakhir, presiden terpilih itu kini boleh menyegerakan persiapannya sebelum mengambil alih jawatan pada 20 Oktober depan. 
Beliau dijangka meletak jawatan selaku Gabenor Jakarta dalam masa terdekat ini untuk memberi tumpuan kepada proses peralihan kuasa. 
Pentadbiran Susilo sehingga ini menangguhkan perbincangan dengan pasukan peralihan Jokowi mengenai isu ekonomi, kenaikan kos subsidi minyak dan jurang defisit akaun semasa yang semakin besar. 
Seorang anggota pasukan peralihan Jokowi memberitahu wartawan: “Kami akan bersikap terbuka dalam perbincangan dengan pentadbiran kerajaan sekarang.” Kira-kira 50,000 polis dan tentera dikerah berjaga-jaga di sekitar Jakarta bagi menghadapi kemungkinan keganasan meletus. 
Beberapa premis perniagaan dan sekolah ditutup sebagai langkah berwaspada. 
Seorang jurucakap Prabowo menggesa penyokongnya mengelak daripada melakukan keganasan dan berkata, keputusan mahkamah itu akan dihormati. 
“Kami akan menghormati keputusan mahkamah kerana ia muktamad dan berperlembagaan,” kata Tantowi Yahya sebelum keputusan akhir itu diumumkan. 
Prabowo bagaimanapun tidak dapat dihubungi untuk mengulas keputusan berkenaan. 
Bagaimanapun, menurut beberapa laporan, beliau akan bermesyuarat dengan pengerusi beberapa parti politik yang menyokongnya dalam pilihan raya 9 Julai lalu yang dipuji oleh pemerhati antarabangsa kerana telus. 
Sementara itu, Jokowi semalam berharap Prabowo dan penyokongnya dapat menerima keputusan pilihan raya selepas Mahkamah Perlembagaan mengesahkan kemenangannya.- Agensi/ myMetro

Isnin, 11 Ogos 2014

Erdogan Menang Pilihan Raya Presiden Turki

Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan berikrar mewujudkan ‘era baru’ selepas menang pilihan raya Presiden Turki. Foto: AP

Erdogan (kiri) ditentang oleh Ekmeleddin Ihsanoglu (tengah) dan ahli politik Kursdish, Selahattin Demirtas (kanan). Foto: World Bulletin

Gambar calon presiden tertera di kertas undi. Foto: World Bulletin

Seorang pemilih sedang membuang undi dalam pilihan raya presiden secara langsung yang pertama di Turki. Foto: News

Erdogan membuang undi di sebuah pusat pengundian. Foto: AFP

Seorang penyokong meraikan kemenangan calon pilihannya. Foto: AFP

Erdogan bersama isterinya, Emine. Foto: AFP


ANKARA - Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan berikrar akan mewujudkan ‘era baru’ dalam perhubungan rakyat di negara berkenaan selepas menang dalam pilihan raya presiden semalam. 
“Hari ini kita menutup era lama dan mengambil langkah ke era baru,” katanya dalam ucapan kemenangannya dari anjung ibu pejabat partinya di sini. 
Erdogan berjanji akan menyatupadukan negara berkenaan tanpa mengambil kira asal usul atau pegangan agama rakyatnya. 
“Saya berterima kasih kepada setiap warga negara, sama ada mereka mengundi saya ataupun tidak kerana sumbangan mereka kepada nukilan sejarah pada hari bersejarah ini,” tambahnya. 
Erdogan juga menegaskan bahawa apa juga perbezaan pendapat yang dibangkitkan ketika kempen pilihan raya presiden itu dianggap sebagai sesuatu yang sudah berlalu. 
“Hari ini adalah hari baru. Ia menandakan satu kejayaan, Hari ini adalah hari di mana Turki baru dibangkitkan semula daripada abu,” katanya. 
Anjung atau balkoni ibu pejabat Parti Pembangunan dan keadilan (AKP) di Ankara ini adalah tempat di mana Erdogan secara tradisinya menyampaikan ucapan kejayaannya. 
Dalam majlis sambutan yang diadakan itu, beliau disertai pegawai tertinggi parti dan isterinya, Emine serta Presiden Kyrgyzstan, Almazbek Atambayev. 
Erdogan menegaskan: “Pada hari ini bukan Recep Tayyip Erdogan sahaja yang menang. Kemenangan ini adalah kemenangan seluruh rakyat. Ia adalah kemenangan demokrasi. 
“Kita mungkin mempunyai pendapat politik berbeza, gaya hidup berbeza, puak berbeza , nilai dan latar belakang etnik berlainan...namun kita semua tetap rakyat negara ini...dan setiap seorang adalah pemilik negara ini.” - AFP/Berita Harian

Jumaat, 23 Mei 2014

Tentera Thailand Rampas Kuasa

Panglima tentera Thailand, Jeneral Prayuth Chan-ocah (tengah) mengumumkan rampasan kuasa melalui siaran media

Jeneral Prayuth Chan-ocah kini memerintah Thailand melalui pemerintahan tentera

Anggota tentera berkawal di Kelab Tentera Darat ketika kumpulan yang menyokong dan menentang kerajaan bermesyuarat

Pihak tentera segera membuat rondaan selepas Jen Prayut bermesyuarat dengan pemimpin-pemimpin anti dan pro-kerajaan

Tentera mengarahkan penyokong pro-kerajaan yang dikenali sebagai Baju Merah beredar

Lapangan yang sepatutnya menjadi tempat perhimpunan penyokong pro-kerajaan dikawal oleh tentera

Pihak tentera memeriksa kawasan tempat penyokong anti-kerajaan melancarkan protes berdekatan Rumah Kerajaan

Anggota tentera berkawal di luar bangunan Kementerian Pertahanan sebaik Jen Prayut mengumumkan rampasan kuasa


BANGKOK- THAILAND. Tentera Thailand melakukan rampasan kuasa hari ini setelah pihak yang bertelagah gagal mencapai kata sepakat tentang cara untuk menamatkan pergolakan politik yang berlarutan di negara ini selama lebih setengah tahun. 
Panglima tentera Thailand Jen Prayuth Chan-ocha mengumumkan perkara itu melalui televisyen tengah hari ini. 
Menurut laporan media tempatan, Jen Prayuth mengemukakan cadangan tentang cara untuk menyelesaikan konflik politik di negara ini, termasuk pengunduran kerajaan sementara, tetapi ditolak.  
Pemimpin tunjuk perasaan daripada kumpulan yang menyokong dan menentang kerajaan juga ditangkap.  
Pihak bertelagah yang bermesyuarat di Kelab Tentera Darat sejak dua hari lepas gagal mencapai persetujuan berhubung penyelesaian terhadap konflik politik yang melanda Thailand. 
Kerajaan sementara dan kumpulan penyokong kerajaan dikenali sebagai Baju Merah, yang yakin mencapai kemenangan melalui peti undi, mahu pilihan raya umum diadakan secepat mungkin.  
Kerajaan sementara, yang enggan berundur untuk memberi laluan kepada pembentukan Kabinet berkecuali, mencadangkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya agar pilihan raya umum diadakan pada 3 Ogos.  
Bagaimanapun, pembangkang dan Jawatankuasa Pembaharuan Demokrasi Rakyat mendesak kerajaan sementara berundur dan perdana menteri baharu yang berkecuali, dilantik. 
Mereka juga mahu pembaharuan dilakukan sebelum pilihan raya umum diadakan.  
Bagaimanapun, keadaan di ibu negara Thailand ini, tenang. - Bernama

 Rampasan Kuasa Kali Ke-19


Rampasan kuasa tentera bermakna kehadiran tentera yang lebih besar di ibu negara

Penyokong anti-kerajaan bersorak selepas tentera mengambil alih kuasa pemerintahan


BANGKOK - Ketua Tentera Thailand Jen Prayuth Chan-ocha berkata, langkah merampas kuasa semalam diambil sebagai memastikan keamanan kekal di negara itu. 
Sejurus sebelum itu, semua tokoh utama yang terbabit dalam konflik politik di Thailand dibawa dari Kelab Tentera tempat berlangsung pertemuan membincangkan langkah mencari penyelesaian kemelut semasa ke bangunan berek di kawasan lain. 
Kecuali wakil Senat dan agensi pengendali pilihan raya Thailand, semua peserta perbincangan itu dibawa menaiki van tentera dengan kawalan ketat. 
Mereka ialah wakil kerajaan sementara diketuai Chaikasem Nitisiri, pemimpin Jawatankuasa Reformasi Demokratik Rakyat, Suthep Thaugsuban, wakil Barisan Bersatu Menentang Kediktatoran, Jatuporn Prompan, pemimpin Parti Pheu Thai Left Jen Viroj Pao-in dan pemimpin Parti Demokrat, Abhisit Vejjajiva. 
Dalam pengumuman awalnya, Prayuth berkata, tentera dan polis memutuskan untuk menguasai kerajaan bagi mengelak keganasan tercetus. “Thailand kini ditadbir Majlis Keamanan Dan Kawalan Ketenteraman Awam Kebangsaan,” katanya. 
Sementara itu, malam tadi, agensi berita melaporkan tentera kini menggantung perlembagaan Thailand, melarang perhimpunan membabitkan lebih daripada lima orang di sebarang tempat dan semua siaran televisyen serta radio digantung. 
Sebaliknya, semua siaran mesti datang daripada pihak tentera ‘bagi memastikan rakyat mendapat maklumat tepat.’ Tidak cukup dengan itu, tentera mengarahkan pemangku perdana menteri Niwatthamrong Boonsongphaisan dan Kabinetnya melapor diri di kawasan yang ditetapkan di Bangkok. - Agensi/myMetro

Isnin, 14 April 2014

Calon Yang Kalah Pemilu Jalani Rawatan Stres

Ruang di Hospital Mahoni Medan, Sumatera Utara ini bakal digunakan merawat calon Pemilu yang mengalami stres. Foto: Antara

Gambaran seorang calon Pemilu yang gagal dan bercakap sendirian kerana stres. Foto: Tempo


JAKARTA - Empat puluh calon dari seluruh pelusuk Indonesia yang gagal memperoleh undi terbanyak pada Pemilihan Umum (Pemilu) Rabu lepas, menjalani terapi kejiwaan di Pondok Pesantren Dzikrusyifa Asma Berojomusti, Desa Sendangagung di daerah Lamongan, Jawa Timur. 
Penjaga Pondok Pesantren Dzikrusyifa Asma Berojomusti, Kyai Muzakkin berkata puluhan calon yang datang ke pondok itu berasal dari Sumatera, Kalimantan, Sulawesi, Madura, Bali serta daerah sekitarnya. 
"Mereka datang ke tempat ini sejak Khamis malam secara silih ganti," katanya seperti dipetik agensi berita Antara, Ahad. 
Beliau berkata jumlah mereka yang datang ke pondok itu tahun ini lebih ramai berbanding 23 orang pada Pemilu 2009. 
"Daripada 40 orang yang datang menjalani terapi di Pusat Rehabilitasi dan Dadah Pondok Pesantren Dzikrusyifa Asma Berojomusti itu, seramai 13 adalah perempuan dan 27 lelaki. 
"Jumlah ini dijangka bertambah kerana perolehan undi adalah berdasarkan kiraan awal dan belum ada keputusan rasmi," katanya. 
Beliau berkata pondok pesantrennya yang terletak di Jalan Raya Sekanor atau lebih dikenal dengan "Ponpes Jin", mempunyai pusat rehabilitasi dan dadah sejak dulu, dan menangani beberapa pesakit yang mengalami masalah psikologi seperti stres. 
"Beberapa pesakit yang datang, kondisinya mengalami tekanan serius kerana gagal memperoleh sokongan dari rakyat. Beberapa anggota keluarga yang menghantar calon itu juga bercerita saudara mereka itu bersikap aneh dan bercakap sendiri," katanya. 
Pihaknya menyediakan ruangan khusus kepada sejumlah pesakit itu kerana mereka sering memberontak dan marah kepada setiap orang yang ditemui. - Bernama

Selasa, 1 April 2014

Erdogan Menang Lagi

Erdogan dan isteri melambaikan tangan kepada para penyokong selepas partinya menang dalam pilihan raya Turki. Foto: CNN

Erdogan berucap kepada penyokongnya di Ankara, kelmarin. Foto: AFP

Anak-anak Erdogan, Bilal Erdogan (tengah) dan Sumeyye Erdogan (kanan) turut meraikan kemenangan. Foto: AP

Erdogan, 60, dijangka akan bertanding dalam pilihan raya Presiden Ogos ini. Foto: Reuters


ANKARA - Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan mendakwa parti Islamnya menang dalam pilihan raya tempatan Ahad lalu dan memberi amaran kepada musuhnya mereka akan ‘membayar harga’ kerana merancang kejatuhan beliau. 
“Mereka yang menyerang Turki mendapat kekecewaan,” kata Erdogan bercakap dari balkoni di ibu pejabat partinya di Ankara selepas beberapa bulan krisis yang membawa bantahan jalanan, tuntutan pekerja dan internet dilumpuhkan. 
“Anda menyokong perdana menteri anda. Saya ucapkan terima kasih tak terhingga,” kata Erdogan kepada orang ramai, dengan suara serak berikutan kempen maraton untuk pilihan raya perbandaran yang dilihat sebagai satu referendum pemerintahannya selama 11 tahun. 
Erdogan, 60, juga akan bertanding dalam pilihan raya Presiden Ogos ini, di mana buat kali pertama pengundi akan terus memilih ketua negara, dan ucapan kemenangannya dilihat sebagai satu permulaan kepada kempen beliau seterusnya. 
“Anda melindungi perjuangan kemerdekaan Turki baru,” lelaki yang sering dipanggil ‘sultan’ itu memberitahu pengikutnya yang mengibarkan bendera sambil disambut dengan laungan ‘Turki bangga dengan anda’, ‘Terus berdiri, jangan tunduk’ dan ‘Allah Maha Besar.’ 
Dengan hampir 95 peratus undian dikira, Parti Pembangunan dan Keadilan (AKP), Erdogan mendahului pesaingnya dalam 45 peratus undian, dengan pembangkang Parti Rakyat Republikan (CHP) mendapat 28.5 peratus. 
AKP mendahului kiraan undi di seluruh negara termasuk bandaraya besar seperti Istanbul dan Ankara, mengatasi pembangkang sekular. - AFP/Berita Harian

Isnin, 31 Mac 2014

‘Darth Vader’ Jadi Calon Presiden Ukraine

“Darth Vader” bersama pengiring “Stormtroopers” dari Parti Internet Ukraine (UIP). Foto: AFP

Vader sering dilihat berada di Dataran Kemerdekaan Kiev ketika tunjuk perasaan lalu diiringi Stormtroopers. Foto AFP

Vader mengumumkan pencalonannya merebut jawatan presiden Ukraine dengan janji mengembalikan kegemilangannya. Foto: Reuters

Aktivis Parti Internet Ukraine (UIP) berpakaian kostum Stormtroopers sedang mengedar risalah. Foto: AFP

Darth Vader asalnya adalah watak jahat dalam filem Star Wars ciptaan George Lucas. Foto: AAP


KIEV - Ketika Ukraine cuba menstabilkan keadaan negara itu selepas dilanda pelbagai krisis, “Darth Vader” mengumumkan akan bertanding merebut jawatan presiden negara itu dengan janji mengembalikan kegemilangannya. 
Seorang penunjuk perasaan yang berpakaian seperti watak jahat dalam filem Star Wars itu sering dilihat berada di Dataran Kemerdekaan Kiev ketika tunjuk perasaan musim sejuk lalu sambil diiring “Stormtroopers” - tentera elit dalam filem berkenaan, semalam diumumkan sebagai calon presiden dari Parti Internet Ukraine (UIP). 
Dia menjadi terkenal kerana penampilannya itu. 
“Selepas mengadakan perbincangan di peringkat parti, kami memutuskan untuk mencalonkan Vader bertanding jawatan berkenaan,” kata pemimpin parti, Dmitry Golubov. 
Dengan memakai kostum serba hitam menyerupai watak berkenaan, dia terbabit dalam beberapa tindakan politik di negara itu sebelum ini. 
Pada November 2013, dia dengan diiringi Stormtroopers memasuki dewan bandar raya Odessa dan mengumumkan dirinya datuk bandar. 
Menurut laporan media tempatan, dia juga menuntut sebidang tanah di bandar itu bagi meletakkan “kapal angkasanya”. 
“Walaupun berseorangan, saya mampu menukar sebuah republik menjadi empayar bagi mengembalikan kegemilangan Ukraine, mengembalikan wilayah yang sudah hilang dan mengembalikan kebanggan negara ini,” katanya. 
Parti itu turut membayar wang pendaftaran calon “luar biasa” mereka. 
Pilihan Raya Presiden Ukraine dijadualkan pada 25 Mei selepas Viktor Yanukovych yang pro-Moscow digulingkan bulan lalu. - AFP/myMetro