Allah berfirman dalam al-Quran:

"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran." Mafhum Surah al-Asr: ayat 1 - 3.
Memaparkan catatan dengan label Mistik. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Mistik. Papar semua catatan

Isnin, 21 April 2014

Benarkah Ada Harta Karun Di Pulau Nangka?

Benarkah ada harta karun bernilai berbilion ringgit tersimpan sejak lebih lima abad lalu di Pulau Nangka? Foto: KL Post

Pulau berbatu ini mempunyai pantai berpasir begitu luas dengan air jernih yang mengelilinginya. Foto: mStar

Pulau Nangka merupakan pulau larangan. Foto: Malaysian Coin

Pulau Nangka terletak tidak jauh dari Pulau Besar.

Batu batu yang terdapat di pantai Pulau Nangka


PULAU NANGKA - Harta karun bernilai berbilion ringgit yang dipercayai tersimpan sejak lebih lima abad lalu di Pulau Nangka, hanya boleh digunakan untuk kebajikan. 
Itulah yang diberitahu kepada media oleh syarikat yang dipertanggungjawab melakukan kajian serta mencari bukti bergambar mengenai kewujudan harta karun tersebut. 
Pengarah Urusan syarikat terbabit, Mohammad Foad Khushairy Mohd Said mendakwa, harta tersebut hanya boleh dikeluarkan dengan berbai’ah dan tidak boleh digunakan sesuka hati. 
“Saya hendak tekankan perkara ini tidak boleh dibuat main-main dan menerusi pengkajian kami secara teknologi dan spiritual, harta Kesultanan Islam Melayu Melaka memang tidak keluar dari bumi dan perairan Melaka termasuk isi kapal Flor De La Mar,” katanya. 
Semalam, wartawan Sinar Harian, antara yang diberi peluang untuk sekali lagi menjejakkan kaki di pulau yang dikatakan pernah berperanan sebagai markas para Wali Allah. 
Rombongan tersebut turut disertai Timbalan Exco Kewangan, Tanah, Perancangan Ekonomi Pelaburan dan Perindustrian, Hal Ehwal Agama, Warisan, Pembangunan Belia dan Pelancongan, Datuk Norpipah Abdol; Pengurus Besar Perbadanan Muzium Melaka (Perzim), Datuk Khamis Abas serta Ketua Jabatan Warisan Negara, Zon Selatan, Johar Kadis. 
Tidak seperti kunjungan pertama, kali ini kami diberi peluang menyaksikan sendiri kerja-kerja menebuk lubang pintu di samping menyaksikan kesan peninggalan sejarah yang terdapat di Pulau Nangka. 
Menurut Mohammad Foad Khushairy, kehadiran syarikatnya di Pulau Nangka bermula pada Julai 2012 dan kerja-kerja tersebut akan berakhir pada 30 April ini. 
Setakat ini, pihaknya begitu yakin akan menemui bukti sebagaimana yang diharapkan mengenai kewujudan harta karun tersebut. 
Katanya, kerja-kerja penebukan pintu dinding batu sedang giat dijalankan dan dijangka selesai selewat-lewatnya pada 27 April ini. 
"Berdasarkan laporan geoteknikal dengan alat pengimbas bumi, kami yakin memang terdapat harta karun dan barangan artifak di sini. Lantaran itu, kami terpaksa membuat pintu baharu untuk tembus ke bawah. 
“Bila kita dapat masuk ke ruang bawah, maka kita akan dapat masuk kesemua bilik yang terdapat di sini,” katanya. 
Beliau berkata, menerusi imbasan yang dijalankan terdapat 20 bilik di dalam pulau seluas 20 hektar itu yang pernah dibina di zaman kemuncak Islam Kesultanan Melayu Melaka. 
“Kami terpaksa menambah tenaga kerja. Kalau sebelum ini hanya 23 orang tetapi menjelang Isnin ini meningkat kepada 40. Kebanyakan mereka memang pakar dalam melakukan kerja menebuk bongkah batu. 
“Kesemua dinding batu terbabit mempunyai ketebalan antara 3.5 hingga lima meter serta mempunyai kedalaman lapan meter dari puncak bukit. Tempat yang kita tebuk semua kita sudah imbas bagi mengenal pasti lorong-lorong yang boleh dimasuki. 
“Ada pintu, sudah hampir 50 peratus siap manakala pintu kedua hanya 30 peratus sahaja untuk kita masuk ke dalam. Proses dan kaedah yang dilakukan terpaksa mengambil masa sehingga hampir dua tahun kerana perlu dijalankan pelbagai peringkat dan prosedur,” katanya. 
Beliau berkata, sebelum ini pun sudah banyak pihak yang berjaya masuk dan menembusi pintu berkenaan tetapi tidak boleh membawa harta itu keluar. 
“Apa yang ada di pulau ini memang penjajah terdahulu sudah tahu baik Belanda, Inggeris dan Jepun, mereka cuba ambil tetapi tidak dapat. 
“Struktur tembok batu yang dibina ini memang benar-benar kukuh dan kalau di kira sekarang hendak membinanya memang tidak mampu. 
“Jadi sebagaimana orang dahulu bersusah payah dan sebagaimana mereka mempertahankan bumi Melaka daripada penjajah, kita hari pun kena macam itu,” katanya. 
Selain itu, beberapa simbol unik turut ditemui sepanjang penjelajahan kami di sebahagian pulau berkenaan. 
Selain ukiran bulan sabit serta peta Pulau Nangka yang pernah dipaparkan sebelum ini, semalam kami telah menemui beberapa lagi tanda dan simbol antaranya batu berbentuk piramid dan batu berkenaan sama seperti yang terdapat di Pulau Serimbun terletak bersebelahan Pulau Besar. 
“Di antara simbol lain yang ditemui adalah ukiran batu seperti orang Islam sedang solat iaitu melakukan duduk antara dua sujud, batu berbentuk ulas nangka. 
“Simbol bulan sabit yang ditemui juga tertera kalimah “Muhammad Bin Abdullah” serta “Al-Mahdi”,” dakwanya. 
Secara kesimpulannya, selain isu harta karun yang semakin memuncak heboh diperkatakan, Pulau Nangka sebenarnya adalah satu lagi lambang perkembangan syiar Islam di rantau ini dan ia pernah menjadi markas para wali termasuk beberapa Wali Songo. 
Para pengkaji benar-benar yakin, harta berkenaan hanya boleh dikeluarkan oleh mereka yang berhak dan tidak boleh digunakan untuk tujuan sembarangan. 
Sekiranya ada niat lain, pasti akan menerima musibah. - Sinar Harian

Isnin, 10 Februari 2014

Ditangkap Ketika Sedang Gali Kubur

Polis menahan enam lelaki kerana dipercayai hendak mencuri tulang bagi tujuan perubatan, kelmarin (gambar hiasan)

Beginilah keadaan sebuah kubur Orang Asli yang digali di Kampung Deraman, Batu 3, Kuala Rompin. Foto: BERNAMA


ROMPIN - Polis menahan enam lelaki kerana menceroboh Tanah Perkuburan Orang Asli Kampung Deraman, Batu 3 di sini, dipercayai untuk mencuri tulang bagi tujuan perubatan, kelmarin. 
Suspek yang berusia 14 hingga 43 tahun, ditahan orang kampung dan polis di tanah perkuburan itu, kira-kira jam 9 malam. 
Kejadian itu disedari seorang penduduk kampung selepas melihat kelibat sekumpulan lelaki dalam keadaan mencurigakan di tanah perkuburan ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya. 
Tan Din, 39, berkata dia curiga apabila melihat cahaya lampu suluh dalam kawasan perkuburan, selain sebuah kereta yang diletakkan di tepi jalan berhampiran. 
“Saya bertanya seorang lelaki yang sedang berada di tepi kereta berkenaan dan dia memberitahu kenderaannya kekeringan air. 
“Saya kemudian menghubungi Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Rosman Sulong dan menceritakan kepada beliau perkara ini,” katanya. 
Selepas itu, Tan bersama Rosman dan beberapa penduduk memasuki tanah perkuburan berkenaan dan mendapati tiga lelaki sedang menggali kubur, manakala tiga berada berhampiran kereta. 
“Penduduk berjaya menahan tiga lelaki yang berdiri berhampiran kereta. Bagaimanapun, tiga lagi lelaki yang menggali kubur meloloskan diri,” katanya. 
Selepas itu, katanya penduduk kampung menghubungi polis dan memaklumkan kejadian berkenaan. 
Sepasukan anggota polis yang tiba tidak lama kemudian berjaya mengesan tiga lagi lelaki yang meloloskan diri dan menahan mereka. 
Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Ahmad Johari Jahaya, mengesahkan pihaknya menahan enam lelaki terbabit. 
“Siasatan awal mendapati suspek berniat untuk mencuri tulang di tanah perkuburan itu untuk perubatan. Dua daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya. Kes disiasat mengikut Seksyen 279 Kanun Keseksaan. - Berita Harian


Gambar hiasan

ROMPIN – “Masyarakat Orang Asli sendiri tidak pernah mengamalkan kaedah perubatan dengan menggunakan tulang orang mati,” begitulah reaksi Tok Batin Kampung Deraman, Atan Abdul Rahman, 54, tentang kejadian enam lelaki termasuk seorang remaja berusia 14 hingga 43 tahun yang ditahan polis kerana disyaki cuba mencuri tulang mayat di kawasan Tanah Perkuburan Orang Asli Kampung Deraman, Batu 3, di sini, malam Sabtu lalu. 
Akibat kejadian tersebut, ia menimbulkan banyak persoalan dalam masyarakat berkenaan memandangkan peristiwa itu tidak pernah berlaku sebelum ini. 
Menurut Atan, semasa ditahan semua suspek memberitahu mereka tiada pilihan dan terpaksa mencuri tulang mayat untuk tujuan perubatan namun enggan menjelaskan kaedah sebenar perubatan yang dimaksudkan itu. 
“Bagi masyarakat Orang Asli memang tidak pernah mengamalkan kaedah perubatan dengan menggunakan tulang orang mati seperti itu, namun menurut rakan-rakan dalam kalangan masyarakat Melayu mereka mengesyaki suspek kemungkinan berniat mengadakan upacara pemujaan dengan mendapatkan tulang si mati mengikut kepercayaan dan amalan tertentu yang diarahkan bomoh. 
“Kubur berkenaan milik seorang penduduk yang dikenali sebagai Jirat yang meninggal dunia kira-kira 20 tahun lalu malah selama ini penduduk tidak pernah digemparkan dengan insiden pelik seperti ini,” katanya. 
Dalam pada itu, Atan berkata, tahap pengawasan di kawasan perkuburan yang terletak di tepi jalan utama Rompin-Kuantan itu akan ditingkatkan supaya kejadian sama tidak berulang lagi. - Sinar Harian 11.02.2014

Khamis, 16 Januari 2014

Pelajar Sekolah Menengah Kerasukan

SMK Tanjung Puteri Resort yang didakwa diganggu makhluk halus. Foto: myMetro

Salah seorang pelajar yang diserang histeria sedang menerima rawatan. Foto: myMetro


JOHOR BAHRU - “Sebaik tiba di rumah, anak saya enggan masuk. Dia berbaring dekat pintu pagar lebih setengah jam,” kata Mohd Noor Siron Abdul Kadir, 46, bapa seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Puteri Resort di sini, yang diserang histeria, semalam. 
Anak Mohd Noor, Noryana, 17, antara 50 pelajar perempuan sekolah itu yang diserang histeria kira-kira jam 7 pagi, menyebabkan pengurusan sekolah terpaksa menamatkan sesi persekolahan dan mengarahkan kira-kira 1,000 pelajar pulang bagi mengelak keadaan lebih teruk. 
Difahamkan, sebelum kejadian seorang guru wanita melihat satu ‘lembaga hitam’ berhampiran satu blok sekolah. 
Selepas guru itu beredar dari situ, dia terkejut apabila ternampak lebih banyak lembaga hitam di kawasan kantin sekolah, namun dia berjaya mengawal diri dan tidak mengalami sebarang masalah. 
Bagaimanapun, beberapa pelajar perempuan mula menjerit dan meronta-ronta tidak lama kemudian, bermula dengan 10 orang dipercayai akibat dirasuk makhluk halus. - myMetro

Ahad, 15 Disember 2013

Gali Kubur Anak Dara

Perbuatan mencuri mayat di tanah perkuburan Sabuk Janur berlaku dua kali dalam masa seminggu. Foto: Merdeka.com

Sebelum itu kubur bayi yang meninggal dunia pada bulan lalu juga telah digali. Foto: Merdeka.com

Polis memeriksa kubur Endah Setyowati. Foto: Merdeka.com


CILACAP - Polis di daerah di Jawa Tengah ini semalam melancarkan siasatan terhadap perbuatan mencuri mayat yang berlaku dua kali dalam masa seminggu. 
Bercakap di tanah perkuburan Sabuk Janur, tempat mayat berkenaan dicuri, Ketua polis tempatan Andri Triaspoetra berkata, pihaknya hingga kini belum dapat memastikan motif perbuatan berkenaan. 
Menurut penduduk tempatan, antara mayat yang dicuri dari tanah perkuburan itu ialah milik Endah Setyowati, 24, yang meninggal dunia baru-baru ini. 
Pemeriksaan yang dilakukan mendapati pencuri hanya mengambil kepala dan meninggalkan bahagian tubuh lain di dalam liang lahad. 
Turut ditemui berhampiran kubur Endah ialah cangkul kecil, kandang ayam, sarang burung, lilin berbentuk angka 2 dan 4 sesuai usia mayat, dan beberapa potongan tubuh mayat. - myMetro


Resi Rookiswana @ Pamungkas curi kain kafan kerana ingin terbang. Foto: Merdeka.com

Res dan kain kafan yang dicurinya. Foto: Merdeka.com

Res hendak menggunakan kain kafan ini untuk belajar terbang dan menjadi halimunan. Foto: Merdeka.com


CILACAP - Misteri pembongkaran beberapa kubur di daerah di Jawa Timur ini akhirnya terjawab apabila polis Cilacap menahan seorang pemuda yang mengaku ingin belajar terbang seperti Superman dan menjadi halimunan. 
Resi Rookiswana @ Pamungkas mengaku memerlukan kain kafan dari sejumlah kubur atas arahan seseorang bernama ‘ratu’ untuk menguasai ilmu itu. 
“Ini untuk dibuat ilmu terbang. Saya sendirian mengambil kain kafan di kubur atas arahan ratu di Srandil,” katanya. 
Antara mangsa Resi ialah Endah Setyowati, 24, yang meninggal dunia baru-baru ini. Resi didakwa memenggal kepala mayat Endah selepas membongkar kubur anak dara itu. Lelaki itu semalam berdegar-degar mengakui mampu menghilangkan diri, namun apabila diminta polis menunjukkan bakatnya itu dia sekadar ketawa dan memberi alasan cuma boleh melakukannya di tempat sunyi. 
“Saya mampu menghilangkan diri, tahu-tahu sudah berada di tempat lain. 
“Bukan sebarang orang boleh buat begitu,” dakwanya. 
Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Cilacap AKP Agus Turyadi berkata, pihaknya menahan suspek selepas mengekorinya beberapa jam. 
“Kami mengekorinya sepanjang malam sebelum menahannya di tepi landasan kereta api. 
“Bahan bukti termasuk peralatan digunakannya juga dirampas di situ berikutan tempat itu dijadikan rumahnya,” katanya. 
Menurutnya, polis merampas tulang tangan, rusuk, baju dan tali kain kafan milik seorang bayi yang juga diselongkar kuburnya. 
Batu dan senjata tajam turut ditemui di rumah suspek. 
Sementara itu, ketika dibawa ke balai polis, keluarga wanita yang kuburnya dibongkar suspek menyerang Resi. 
Bagaimanapun mereka berjaya dihalang anggota polis bertugas. 
Menurut Agus, Resi pernah dipenjara pada 2010 dan 2012 kerana mencuri motosikal. - Agensi/myMetro 16.12.2013

Resi Rokhis Suhana. Foto: Merdeka.com


BANYUMAS - Suspek kes curi mayat di beberapa tanah perkuburan di Cilacap, dekat sini, Resi Rokhis Suhana, 27, dihantar menjalani pemeriksaan psikiatrik di Hospital Daerah Banyumas. 
Jurucakap Pusat Psikiatri hospital berkenaan, Hilma Paramita berkata, Resi yang juga dikenali sebagai Satria Pamungkas akan menjalani pemerhatian untuk memastikan sama ada menghidap sebarang masalah sakit jiwa. 
Katanya, pemeriksaan dijalankan selama 14 hari. 
“Langkah awalnya adalah melakukan pemerhatian terhadap tingkah laku dan konsistensi jawapannya,” katanya. 
Menurutnya, Resi diasingkan daripada pesakit lain di kawasan khas dilengkapi jeriji. 
Sementara itu, Resi berkata dia tidak menyesali perbuatannya. 
“Saya tidak menyesal membongkar kubur dan mencuri mayat bersama kain kafan kerana ilmu saya belum sempurna,” katanya. 
Dia mengaku mempelajari ilmu terbang dan halimunan yang memerlukan kain kafan dari dalam kubur. 
Menurutnya, syarat itu diperintahkan kepadanya oleh seorang ratu dari Gunung Srandil, di Cilacap. 
Resi menerima perintah itu sejak tahun 2004 tetapi ketika itu masih was-was. 
“Pada mulanya saya agak was-was namun akhirnya mula melakukannya Oktober lalu. “Selepas kali pertama, saya insaf, namun kemudian melakukannya lagi,” katanya. 
Katanya, upacara membongkar kubur dilakukan pada hari tertentu, iaitu Khamis, Jumaat dan Sabtu.\ 
Dia mengaku mengambil kain kafan berserta tali dari makam bayi serta tulang perempuan bersama tengkoraknya di Cilacap. 
Dia menafikan terbabit dalam beberapa kes lain di daerah sama. - Agensi/myMetro 17.12.2013

Sabtu, 14 Disember 2013

Bahana Sihir Rumah Tangga

Imah 52, berkata, dia mula mengalami gangguan sihir sejak April lalu

Seorang wanita mangsa sihir sedang menjalani rawatan di sebuah pusat rawatan Islam di Nilai, Negeri Sembilan. Sumber


SABAK BERNAM - “Aku mahukan suami kau...aku akan hancurkan rumah tangga kau, aku sayang suami kau, aku tidak mahu lihat kau bahagia,” itulah kata-kata yang sering dilaungkan seorang wanita apabila dia meracau dipercayai angkara sihir individu yang mahu merampas suaminya. 
Ketika ditemui di rumahnya di sebuah taman perumahan di Sungai Besar, dekat sini, wanita terbabit yang hanya mahu dikenali sebagai Imah 52, berkata, dia mula mengalami gangguan berkenaan sejak April lalu sekali gus menyebabkan hubungan dengan suami yang berusia 55 tahun juga semakin renggang. 
“Hingga kini, dalam seminggu, sekurang-kurangnya dua kali saya akan diganggu dan apabila diganggu, saya tidak sedarkan diri serta meracau sambil menjerit seperti orang tidak siuman dan sebaik tersedar hanya lihat anak serta jiran berada di sekeliling saya dan menenangkan saya,” katanya. 
Katanya, suaminya yang berkhidmat sebagai penasihat di sebuah pusat pemulihan dadah di Kuala Lumpur juga mula menunjukkan perubahan sejak September tahun lalu apabila jarang pulang ke rumah dan sering gagal untuk dihubungi. 
“Sudah 10 tahun kami berkahwin. 
Selama ini setiap minggu dia akan pulang ke Sungai Besar bagi menjenguk saya dan keluarga, tetapi sejak kebelakangan ini dia tidak berbuat demikian,” katanya. 
Imah berkata, dia tidak dikurniakan cahaya mata dengan suami namun mempunyai seorang anak hasil perkahwinan terdahulu. 
“Saya menetap di rumah anak, sebelum ini setiap minggu suami pulang menjenguk kami malah dia terlalu rapat dengan tiga cucu berusia antara tiga dan lapan tahun,” katanya. 
Menurutnya, dia juga pernah cuba menghubungi suaminya bagi berbincang berkaitan masalah yang dihadapi, tetapi suaminya seolah-olah tidak mahu menghiraukannya dan dia yakin suaminya turut terkena amalan ilmu sihir pihak tertentu. 
“Apabila mahu berbincang dia cuba berdalih dan pernah satu hari dia mengatakan saya sudah tua dan tidak lagi mahu mempunyai sebarang hubungan dengan saya sedangkan dia juga berusia 55 tahun,” katanya. 
Dia yang berniaga kecil-kecilan dengan menjual barangan kosmetik dan kesihatan berkata, perubahan suaminya semakin ketara apabila suaminyamula menukar penampilan dengan berpakaian seperti orang muda. 
Menurut Imah, dia pernah mendapatkan rawatan daripada pengamal perubatan Islam dan diberitahu dia memang terkena ilmu hitam. 
“Setiap kali diganggu saya menjerit dan kadang kala berasa seolah-olah dicekik seumpama mahu dibunuh dan mengalami lebam pada anngota badan tanpa diketahui punca bagaimana kesan lebam itu terjadi,” katanya. 
Muhammad Suhaili Sajiman
Sementara itu, Ketua Penguat Kuasa Agama Islam Daerah Sabak Bernam Muhammad Suhaili Sajiman berkata, amalan ilmu hitam adalah perbuatan individu yang tidak mempedulikan antara dosa dan pahala sehingga sanggup melakukan perkara dilaknat Allah demi kepentingan hidup di dunia. 
“Bomoh yang mengamalkan sihir melakukan perbuatan syirik dan hendaklah bertaubat kerana perbuatan itu jelas melanggar akidah,” katanya. 
Menurutnya, kejadian yang berlaku kepada Imah dipercayai akibat terkena amalan ilmu hitam orang yang menginginkan suaminya memang kerap berlaku dalam kalangan orang Islam. 
“Individu yang mengamalkan ilmu hitam adalah orang yang terlalu cetek ilmu agama dan tiada pegangan kukuh sehingga sanggup berbuat demikian untuk mencapai apa yang dihajati,” katanya. 
Muhammad Suhaili berkata, jika mangsa yang terkena amalan ilmu hitam hendak menjalani rawatan bagi membuang sihir pada dirinya, dia perlu menilai dan mendapat penjelasan berkaitan kaedah rawatan yang diambil. 
“Mangsa harus memastikan rawatan bagi mengubati sihir terkena pada dirinya adalah rawatan Islam dengan memastikan tiada unsur yang dicurigai ketika proses perubatan seperti penggunaan asap, keris dan limau. - myMetro

Jumaat, 13 Disember 2013

Jenglot Gemparkan Penduduk Bali

Pasangan jenglot yang ditemui di Pantai Muaya. Foto: Berita Dewata

Ramai penduduk tempatan berminat hendak melihat makhluk yang dinamakan jenglot ini. Foto: Okezone


BADUNG - Orang ramai di kawasan Badung, Bali gempar semalam selepas sepasang makhluk halus dikenali sebagai jenglot ditemui dan ditangkap seorang penduduk Pantai Muaya, Jimbaran. 
Menurut media ketika ini jenglot berkenaan disimpan di rumah Jero Mangku Karang. 
Sejak berita itu tersebar, rumah Jero dikunjungi ramai orang - termasuk dari kawasan luar - untuk melihat sendiri makhluk berkenaan. 
Saksi berkata, jenglot itu berupa seperti kelawar, bertaring dan berambut seperti manusia. 
“Dimaklumkan jenglot itu ditemui dua penduduk tempatan, Ketut Tarin dan Akob, di kawasan pantai dan selepas ditangkap ia diserahkan kepada Jero,” katanya. 
Penduduk setempat mengenali Jero sebagai seorang tokoh spiritual yang dihormati. 
Sementara itu Ketut Tarin berkata, dia hairan apabila menemui objek ganjil ketika berjalan di kawasan pantai. 
Melihat keadaan itu, katanya, dia mencampak objek itu ke laut tetapi ia kembali ke pantai dalam keadaan berpelukan. 
“Seolah-olah mereka enggan dipisahkan,” katanya. 
Disebabkan bimbang berdepan masalah, Ketut Tarin dan Akob berbincang dan bersetuju menyerahkan jenglot berkenaan kepada tokoh spiritual yang mereka kenali, Mangku Kayun. 
Sementara itu Jero berkata, jenglot itu ditemui terbaring dalam jarak kira-kira satu meter antara satu sama lain di pantai ketika Ketut Tarin dan Akob berjoging. 
Mereka kemudian membawa makhluk itu ke rumahnya. 
“Pada awalnya ada kuasa memancar dari jenglot berkenaan tetapi saya neutralkan supaya ia tidak memudaratkan sesiapa,” katanya. 
Kenyataan itu disokong Mangku Kayun. 
“Kuasanya sangat kuat tetapi untuk mengelak sebarang kejadian tidak diingini ia berjaya kami kunci,” katanya. 
Menurut Mangku Kayun jenglot juga boleh digelar sebagai toyol kerana makhluk berkenaan boleh menyerupai apa saja. 
Katanya, rambut jenglot yang terurai itu mungkin berasal daripada rambut manusia atau bulu kemaluan lelaki atau wanita. 
“Makanannya ialah darah manusia. 
“Walaupun ia kelihatan kaku, auranya hidup dan sangat kuat dan boleh disuruh melakukan apa saja, termasuk membunuh,” katanya, semalam. 
Jero berkata jenglot itu dimiliki pihak tertentu sebagai alat pelaris yang ditempatkan di kotak simpanan wang. - Agensi/myMetro

Ahad, 17 November 2013

Risiko Ambil Jalan Pintas Untuk Pandai Bersilat

Fikri (membelakang) hampir lumpuh akibat mengamalkan ilmu salah. Foto: myMetro

Tok guru silat WhattsApp juga minta wang pengeras. Sumber: myMetro


Kehebatan yang diidamkan, bala pula yang bertandang. Itulah nasib dialami tiga pemuda yang cuba menggunakan jalan pintas untuk menguasai ilmu persilatan. 
Fikri yang belajar silat melalui WhattsApp berbangga apabila berjaya menguasai lebih empat jenis seni mempertahankan diri Melayu itu dalam tempoh cuma dua minggu. 
Begitu juga dengan Irfan yang menjadi gagah perkasa dan mahir bersilat selepas belajar membaca mantera selama tiga minggu di dalam hutan. 
Fariz pula digeruni orang kampung apabila tangannya kuat bagaikan besi dan pandai bersilat selepas sebulan memakai tangkal dan menghafal jampi diajar seorang tua. 
Bagaimanapun, akhirnya ketiga-tiga mereka menerima nasib sama — diserang sakit misteri hingga hampir lumpuh, muntah darah dan baran bagai orang gila — apabila ‘pendamping’ yang memberi kuasa luar biasa itu mengamuk kerana permintaannya tidak ditunaikan. - myMetro

Jumaat, 15 November 2013

Sabotaj Perniagaan Pesaing Guna Sihir

Masih terdapat peniaga Melayu guna ilmu hitam untuk sabotaj perniagaan pesaing. Foto: myMetro

Beras kunyit, garam yang ditemui di gerai mangsa. Foto: myMetro


JOHOR BAHRU - Doa seorang peniaga agar Allah memberi petunjuk selepas mengesyaki ada pihak sabotaj perniagaannya termakbul apabila dia mencekup pesaingnya sedang mengenakan ilmu hitam di kedainya di pusat penjaja Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) berhampiran Pekan Rabu, di sini. 
Abd Rahman Yusuf, 39, yang menjual makanan pada sebelah malam berkata, kejadian berlaku jam 1.30 tengah hari Isnin lalu ketika dia bersama isteri, Sopiah Mat Hussain, 40, lalu di depan gerai mereka dengan kereta. 
“Ketika lalu di depan gerai kami, saya dan isteri terkejut apabila melihat seorang lelaki yang turut menjual makanan tidak jauh dari gerai kami memegang gayung berwarna biru dan menaburkan sesuatu di kawasan tapak gerai kami. 
“Selepas memberhentikan kereta, saya melihat dengan jelas jiran niaga kami itu menaburkan garam dan beras kunyit di sekitar kawasan gerai kami,” katanya kepada Harian Metro, semalam. 
Abd Rahman berkata, dia dan isteri terus menghampiri lelaki itu dan bertanya apa tujuan dia berbuat demikian. - myMetro


Isnin, 11 November 2013

Anggota JPAM Kerasukan Di Port Dickson

Beberapa pengamal perubatan Islam merawat anggota JPAM yang dirasuk. Foto: Berita Harian

Peserta dikumpulkan di satu tempat sebaik sahaja peserta yang histeria berjaya dipulihkan. Foto: Sinar Harian


PORT DICKSON - Pertandingan Kesenian Himpunan Pertahanan Awam Malaysia ke-19 yang diadakan di kawasan lapang tepi pantai Batu 1,di sini, malam kelmarin gempar apabila 15 peserta program berkenaan dirasuk. 
Kejadian berlaku kira-kira 10 malam, selepas hampir dua jam pertandingan kesenian itu berlangsung dalam perhimpunan yang disertai hampir 1,500 peserta membabitkan 14 kontinjen di kalangan anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) seluruh negara. 
Perhimpunan bermula pada Khamis lalu dan berakhir semalam, meliputi pelbagai aktiviti seperti ujian kemahiran, kecekapan, kepimpinan dan disiplin. 
Difahamkan, mangsa seolah-olah diserang histeria semasa persembahan salah satu kontinjen yang membawa persembahan Ulek Mayang, manakala sebelum ini satu lagi kontinjen mempersembahkan tarian Kuda Kepang. 
Sebahagian mangsa yang dirasuk berlari menuju ke kawasan pantai yang jaraknya kira-kira 20 meter dari lokasi pentas pertandingan kesenian dan ada yang berlari ke kawasan khemah logistik himpunan tersebut. 
Beberapa pengamal ilmu perubatan Islam dipanggil bagi memulihkan mangsa, selain peserta lain bersama-sama mengalunkan zikir. Sebahagian peserta yang diserang histeria turut dibawa ke Masjid Jamek Port Dickson kira-kira 50 meter dari lokasi kejadian untuk dipulihkan. 
Difahamkan, kesemua peserta himpunan menginap di beberapa hotel berhampiran kawasan himpunan dan mereka tidak melakukan aktiviti perkhemahan. 
Salah seorang peserta persembahan Ulek Mayang, Nazar Mohd Amin, 22, berkata, beberapa minit selepas dia bersama rakannya membuat persembahan atas pentas, dia yang memakai pakaian tradisional Ulek Mayang menyedari di sekelilingnya ada beberapa penari latar, selain rakannya yang turut mengiringi persembahan itu. 
“Saya perasan seperti ada penari latar kanak-kanak yang memakai baju berwarna warni serta ada seorang gadis seakan-akan tuan puteri turut berada di dalam kumpulan kami membuat persembahan. 
“Saya mula menyedari ada sesuatu yang ganjil berlaku dan segera beristighfar dan berzikir kemudiannya pengsan. Sebaik tersedar saya rasa badan sangat lemah,” katanya. 
Sementara salah seorang peserta yang menonton pertandingan kebudayaan itu, Nurul Ain Kasar, 25, berkata, dia duduk di hadapan pentas bersama rakan-rakannya. 
“Semasa persembahan kuda kepang ada beberapa di kalangan kami turut menari seperti rentak kuda kepang seiring dengan peserta yang membuat persembahan di atas pentas. 
“Tidak lama kemudian, penonton yang menari itu jatuh dan keadaan menjadi kelam-kabut. Saya pun bangun untuk pergi kekelompok rakan yang lebih tenang, namun rasa seperti ada sesuatu yang menarik saya dari belakang sehingga saya terjatuh. 
“Kemudian saya bangun semula dan rakan-rakan yang saya hampiri semuanya melarikan diri dalam keadaan ketakutan tidak mahu menghampiri saya. Selepas itu saya tidak ingat apa yang berlaku,” katanya. 
"Sebaik sedar, badan saya sangat lemah dan rakan-rakan memaklumkan semasa kejadian, muka saya berubah seperti seorang perempuan yang sangat tua dan menakutkan," katanya yang masih trauma dengan kejadian itu. 
Sementara itu, Ketua Pengarah Pertahanan Awam, Datuk Sulaiman Keling berkata, insiden berkenaan berlaku tanpa diduga namun ia berjaya dikawal dan diatasi dengan baik oleh petugas himpunan berkenaan. 
“Kita yakin faktor keletihan menjadi punca utama kejadian ini berlaku. Pada siang hari sebelum insiden ini berlaku, semua perserta menjalani aktiviti pertandingan kemahiran selain dengan cuaca di tepi pantai yang panas. 
“Saya juga yakin insiden yang berlaku ini tidak akan mematahkan semangat anggota JPAM yang terlibat kerana apa yang berlaku ini adalah salah satu antara cabaran yang mereka hadapi ketika melaksanakan tugas di lapangan, malah dalam sesetengah kes ia lebih mencabar daripada apa yang berlaku semalam (kelmarin)," katanya selepas menyempurnakan Himpunan Pertahanan Awam Malaysia ke-19 di Batu 1 Jalan Pantai,di sini semalam. 
Beliau berkata, semua anggota JPAM dilengkapi dengan kemahiran yang tinggi dan dalam insiden itu, sama ada peserta yang terlibat ataupun di kalangan rakan-rakan yang menyaksikan, boleh mengatasinya dengan baik. - Sinar Harian

Mangsa yang pengsan sedang dipapah rakannya sejurus indisen itu.

Salah seorang mangsa sedang dipulihkan oleh pengamal perubatan Islam

PORT DICKSON - Persembahan kuda kepang dan ulik mayang, dipercayai antara punca hampir 50 anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) mengalami histeria di kawasan perkhemahan dekat Jalan Pantai di sini, malam kelmarin. 
Kejadian bermula jam 10 malam ketika dua anggota wanita daripada satu kontinjen sedang mengadakan persembahan sempena Malam Kebudayaan di Himpunan Pertahanan Awam Malaysia Ke-19, tiba-tiba menjerit sebelum pengsan, diikuti beberapa lagi anggota lain menyebabkan keadaan menjadi kelam kabut. 
Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Latihan yang juga sekretariat program, Mejar Lokman Hakim Abdul Rahman, berkata sebaik kejadian itu, pihaknya segera mendapatkan bantuan pengamal perubatan Islam bagi memulihkan mereka yang diserang histeria. 
“Kehadiran lima pengamal perubatan Islam berhasil memulihkan keadaan yang terkawal jam 12.30 tengah malam. 
Sebahagian mangsa dipulihkan dalam khemah, selebihnya dibawa ke Masjid Jamek Port Dickson di sini,” katanya ketika ditemui di lokasi itu, malam kelmarin. 
Seramai 1,300 pegawai dan anggota membabitkan 14 kontinjen seluruh negara menyertai himpunan itu yang berlangsung selama tiga hari sejak Jumaat lalu. 
Pengamal perubatan dari Pusat Rawatan Islam al-Hadj, Muhamad Nur Hafiz Azmi, berkata kejadian dipercayai berpunca daripada tarian kuda kepang dan ulik mayang yang dipersembahkan kerana mempunyai unsur menyeru makhluk halus. 
Ketua Pengarah JPAM, Datuk Sulaiman Keling, berkata mereka yang diserang histeria dipercayai terlalu teruja membuat persembahan, selain penat akibat cuaca panas kerana lokasi yang terlalu hampir dengan laut. 
Mangsa histeria yang juga anggota JPAM dari Perlis, Nazar Mohd Amin, 22, mendakwa ketika sedang menari ulik mayang, dia menyedari bayang-bayang di belakangnya dan sebaik menoleh, dia ternampak beberapa kanak-kanak lelaki berpakaian berwarna-warni sedang menari bersama mereka. 
“Saya tetap teruskan persembahan, walaupun dalam keadaan takut, namun sempat juga berzikir sebelum pengsan. 
Apabila tersedar satu jam kemudian, saya sudah pun berada di dalam khemah dan dikelilingi rakan lain,” katanya. - Berita Harian

Ahad, 22 September 2013

Pengalaman Pemandu Van Jenazah

Ismail (kiri) bersama rakan sekerjanya memeriksa kenderaan sebelum memulakan tugas di Hospital Sultanah Bahiyah. Foto: Sinar Harian

Ismail samping isterinya, Norma yang turut memberi semangat kepadanya. Foto: Sinar Harian

Membawa jenazah pada malam hari memang mencabar (gambar hiasan). Foto: Sinar Harian

Suasana dalam van jenazah (gambar hiasan). Foto: KualaLumpurPost


POKOK SENA - Kerjaya sebagai pemandu van jenazah tidaklah sehebat seperti bidang pekerjaan lain kerana tugasnya hanya membawa dan menghantar jenazah sahaja. 
Bagaimanapun, pekerjaan ini sebenarnya tersirat pelbagai dugaan yang perlu ditempuh hingga kadang kalanya sukar diterima akal. 
Sebagai pemandu van jenazah, seseorang itu memerlukan kesabaran dan keberanian kerana ia adalah antara kriteria yang perlu ada bagi menjawat pekerjaan itu. 
Ini diakui sendiri Ismail Hashim, 49, dari Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar yang mengalami pelbagai suka duka sebagai pemandu van jenazah sepanjang 25 tahun berkhidmat di bahagian itu sejak 1991 di Hospital Besar Pulau Pinang. 
Pada mulanya semasa mula bekerja, dia menganggap pekerjaan itu adalah mudah, iaitu hanya menurut arahan majikan sahaja bagi menghantar jenazah, tetapi selepas mula berkhidmat barulah tahu pelbagai dugaan dan tragedi yang dialaminya. 
Peristiwa pertama yang tidak dapat dilupakan sehingga sekarang ialah pada 1997, iaitu ketika menerima arahan menghantar jenazah lelaki berumur 90 tahun ke Padang Sanai, Padang Terap pada jam 3 pagi sambil diiringi dua waris jenazah. 
Dalam perjalanan, kedua waris itu duduk di bahagian belakang bagi menemani jenazah itu sambil membaca al-Quran dan sehinggalah sampai di pertengahan jalan di Kampung Rambutan, Kuala Nerang, tiba-tiba van itu berhenti secara tiba-tiba. 
Ismail berkata, dia cuba menghidupkan enjin beberapa kali sambil menghubungi ibu pejabat untuk mendapat bantuan, tetapi gagal sehinggalah dia turun dan pergi ke belakang serta mendapati pintu van belakang terbuka dan waris kedua itu juga turut menghilangkan diri. 
“Pada masa itu, suasana begitu sunyi dan tidak ada kenderaan yang melalui jalan itu. Saya masuk semula ke dalam van dan beberapa minit kemudian hadapan cermin van dipenuhi dengan belalang serta beberapa kala jengking. 
“Oleh kerana bimbang dengan keselamatan, saya menutup pintu dan hanya membaca ayat Kursi sahaja sehinggalah kedengaran azan barulah haiwan itu hilang secara tiba-tiba. Kemudian barulah waris jenazah itu turut datang melihat jenazah itu,” katanya. 
Selepas dimaklumkan kejadian itu, barulah waris itu menceritakan arwah bapa mereka mempunyai saka hingga mereka juga tidak sanggup menunggu di belakang kerana diganggu dan terpaksa meninggal van itu dan beredar ke sebuah rumah berhampiran jalan itu. 
Peristiwa kedua yang dialaminya ialah ketika mendapat arahan menghantar jenazah seorang perempuan tua ke sebuah feldapada jam 2 pagi. 
Selepas menghantar jenazah itu, dia singgah di tepi jalan untuk membuang air kecil dan selepas masuk ke dalam van, dia mendapati seorang perempuan berambut panjang duduk di sebelahnya sambil muka menghala ke arah luar. 
"Saya cuba tegur dan bertanya wanita itu hendak ke mana, tetapi dia hanya mendiamkan diri sehingga saya mula merasa seram dan membaca pelbagai ayat al-Quran, tetapi wanita itu masih tidak hilang. 
"Kenderaan juga tidak dapat bergerak laju sehinggalah sampai di pekan Pendang dekat tanah perkuburan Cina, barulah wanita misteri itu hilang. Selepas hilang, barulah saya lega," katanya yang kini bertugas sebagai pemandu ambulan di Bahagian Kecemasan HSB. 
Selain pengalaman menakutkan, dia juga turut mengalami peristiwa manis ketika membawa seorang jenazah lelaki tua ke Baling, Kedah. 
Selepas diarahkan mengangkat jenazah yang beratnya kira-kira 60kg pada jam 4 pagi, jenazah itu sangat ringan dan senang dibawa masuk ke dalam van. 
Kira-kira 10 minit perjalanan, terbau sesuatu yang sangat wangi dan begitu menyenangkan hinggalah sampai di rumahnya.
Di sana sudah ramai yang menunggu jenazah itu dan dimaklumkan dia adalah seorang kuat melakukan ibadat dan disenangi masyarakat sekitarnya. 
Ismail berkata, segala peristiwa yang berlaku kepadanya banyak memberi iktibar dan dia percaya semuanya itu adalah kehendak Allah yang Maha Berkuasa. 
Menurut Ismail, isterinya, Norma Awang Kechik, 53, juga turut memberi semangat sepanjang menjalani tugas sebagai pemandu van jenazah. - Sinar Harian

Jumaat, 6 September 2013

Padah Bermain 'Spirit of the Coin'

Permainan 'Spirit of the Coin' boleh menyebabkan histeria dan menjejaskan akidah (gambar hiasan). Foto: Youtube

Sebahagian guru sekolah yang mendengar taklimat kaedah kawalan dan pemulihan gangguan histeria oleh PPD dan KIK semalam.

Blok C (kanan) di tingkat satu di mana kejadian awal dipercayai bermula. Surau pula berada di sebelah kiri. Foto: Sinar Harian

20 pelajar SMK Simunjan, Sarawak juga histeria pada bulan Jun tahun lalu selepas bermain Spirit of the Coin. Foto: Harian Metro

HULU SELANGOR - Tindakan 'suka-suka' sekumpulan pelajar perempuan tingkatan 4 di sebuah sekolah menengah di Bukit Beruntung bermain 'Spirit of the Coin' pagi Jumaat minggu lalu berakhir dengan musibah apabila 108 pelajar termasuk tiga guru diserang histeria secara berperingkat. 
Kejadian tersebut pada mulanya hanya melibatkan lapan pelajar perempuan sesi pagi (tingkatan 3 dan 5) pada Jumaat lepas, namun semakin melarat apabila ia berjangkit kepada 26 pelajar sesi pagi hari Isnin, diikuti 23 pelajar sesi petang (peralihan, tingkatan 1, 2, 4) pada Selasa dan 12 pelajar sesi petang hari Rabu. 
Keadaan bertambah serius semalam apabila 35 lagi seperti dirasuk, kali ini turut membabitkan tiga guru wanita yang cuba merawat mangsa dan seorang pelajar lelaki. 
Wartawan Sinar Harian cuba memasuki kawasan sekolah berkenaan bagi mendapatkan gambaran sebenar, namun dilarang pihak pengurusan. Bagaimanapun beberapa pelajar sempat ditemui bagi menceritakan punca kejadian. 
Salah seorang pelajar, Nurul, 16, berkata, segala-galanya bermula apabila kumpulan pelajar perempuan berkenaan bermain permainan pemujaan roh yang dikenali sebagai Spirit of the Coin dalam sebuah kelas tingkatan 4 di tingkat satu bangunan sekolah berkenaan dipercayai pada awal pagi. 
"Tapi saya tak pasti di mana mulanya sebab sedar-sedar ramai budak perempuan mula menjerit," katanya. 
Bagaimanapun menurut Nurul, apa yang dia tahu, pelajar pertama diserang histeria baru pertama kali mencuba permainan yang turut dikenali sebagai Ouija Board itu. 
Seorang lagi pelajar dikenali sebagai Ira, 17, berkata, dia juga mendapat tahu daripada salah seorang rakannya bahawa beberapa pelajar yang mengikuti kelas tambahan di situ memang bercadang mencuba permainan tersebut pada Khamis malam 29 Ogos lalu. 
"Saya tak tau cerita asal, tapi itu yang diberitahu seorang kawan. Mereka main sampai satu tahap bergerak dari kelas itu menuju ke tandas perempuan. Lepas tu lukakan jari sendiri dengan pisau dan calit darah pada dinding tandas. 
"Mungkin itulah agaknya punca gangguan histeria ini," katanya. 
Dalam pada itu, sekumpulan pelajar yang ditemui berkata, kejadian pagi semalam cuba dikawal dengan bacaan surah Yasin oleh pelajar perempuan dan laungan azan daripada pelajar lelaki. 
“Pelajar perempuan duduk dalam satu bulatan membaca surah Yasin, manakala pelajar lelaki buat satu lagi bulatan sambil melaungkan azan. 
“Lepas tu, satu demi satu pelajar terkena histeria dimasukkan dalam dua bulatan itu, tapi macam tak berkesan kerana semakin ramai yang kena. 
“Paling mengejutkan apabila tiga guru wanita pun terkena histeria. Kami tak pernah dengar lagi cerita cikgu turut terkena," kata mereka yang mengakui kejadian berkenaan bukan pertama kali berlaku. 
Sinar Harian difahamkan, pada tahun 2010 pernah berlaku kejadian yang sama melibatkan dua hingga lima pelajar diserang histeria dan ia berlarutan selama sebulan. 
"Lepas tu senyap saja sampailah berlaku kejadian ini," kata mereka lagi. 
Sementara itu, sebagai langkah pencegahan, Jabatan Pelajaran Selangor (JPS) dan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Hulu Selangor memutuskan untuk merehatkan pelajar sesi petang (Tingkatan 1, 2 dan Peralihan) dan tingkatan 4 bermula semalam dan hari ini. 
Bagaimanapun, pelajar tingkatan 3 dan 5 bersekolah seperti biasa kerana mereka perlu menjalani ujian percubaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). 
Dalam pada itu, Kumpulan Inovatif Kreatif (KIK) di bawah Majlis Daerah Hulu Selangor yang sedang menjalankan Program Tangani Histeria di Sabak Bernam turut berkunjung ke sekolah tersebut semalam bagi menangani masalah berkenaan. 
Difahamkan, keputusan merehatkan pelajar hanya sebagai langkah pencegahan awal, namun jika berterusan pada sesi sekolah Isnin depan, kaedah lain pula akan digunakan. - Sinar Harian

Isnin, 15 Julai 2013

Ahli Arkeologi Dakwa Temui Kubur 'Vampire'

Rangka manusia ini disyaki sebagai mayat 'vampire' kerana dikebumikan dengan cara aneh

Cara pengkebumian zaman pertengahan untuk mengelak mayat menjadi 'vampire'

Ahli arkeologi sedang menjalankan kerja penyelidikan

Mayat 'vampire' yang ditemui di lokasi berhampiran sebuah biara di bandar Laut Hitam Sozopol

Dalam beberapa kes, orang yang mati dikebumikan dengan bata dalam mulut mereka untuk mereka hidup semula

WARSAW - POLAND. Sekumpulan pakar arkeologi Poland, mendakwa menjumpai kubur besar dipercayai dimiliki kumpulan pontianak. 
Lapor The Telegraph, kubur berkenaan ditemui sewaktu operasi membina jalan berhampiran bandar Gliwice beberapa hari lalu. 
"Pada mulanya, kumpulan saintis menyangka ia adalah kubur askar yang terkorban ketika Perang Dunia II, namun mereka menjumpai rangka dan kepala terputus di bahagian kaki si mati," kata ahli forensik antropologi, Matteo Borrini dipetik dari Reuters. 
Saintis menyimpulkan, rangka-rangka itu adalah hasil upacara pembunuhan yang direka bagi memastikan individu itu tidak hidup semula. 
"Mengikut kepercayaan purba, mayat tidak akan kembali hidup jika dipisahkan kepala dari badannya," kata Matteo. - Sinar Harian