Allah berfirman dalam al-Quran:

"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran." Mafhum Surah al-Asr: ayat 1 - 3.
Memaparkan catatan dengan label Sains. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Sains. Papar semua catatan

Jumaat, 7 Mac 2014

Pelajar Sekolah Di London Cipta Reaktor

Seorang pelajar sekolah di Penwortham kini menjadi orang termuda di dunia membina reaktor peleburan nuklear

Pengetua sekolah, Jim Hourigan mengucapkan tahniah kepada Jamie Edwards

Jamie membina reaktor itu bermula dengan bahan paling asas

Jamie mula membina reaktor itu pada Oktober lalu di sebuah makmal sains yang tidak digunakan di Akademi Priory

Jamie terpaksa membuat pembentangan sebelum berjaya meyakinkan pegetua sekolahnya agar menyokong projek ini

Jamie berdiri di hadapan hasil ciptaannya



LONDON - Seorang pelajar sekolah di Penwortham kini orang termuda di dunia membina reaktor peleburan nuklear. 
Saintis remaja Jamie Edwards, 13, membina reaktor itu bermula dengan bahan paling asas dengan bantuan sekolahnya dalam usaha mengejar masa bagi merampas gelaran ‘fusioneer’ termuda dunia dicipta remaja Amerika, Taylor Wilson pada 2008 ketika berusia 14 tahun. 
Jamie yang menyambut ulang tahun ke-14 Ahad ini mula membina reaktor berkenaan Oktober lalu di sebuah makmal sains yang tidak digunakan di Akademi Priory dan melengkapkan tugasnya pagi tadi apabila membuatkan dua atom hidrogen bergabung bagi membentuk helium iaitu peleburan nuklear. 
Pakar muda itu berkata: “Memang pencapaian ini menakjubkan, saya sendiri tidak percaya mampu melakukannya. 
“Ramai kawan menganggap saya gila,” katanya berseloroh. 
Edwards meminati bidang sains sejak kecil lagi malah dulu amat gemar membuat kerja rumah sains abangnya, Danny. 
“Pada satu hari saya membaca mengenai radiasi di Internet dan ternampak artikel mengenai Taylor Wilson dan reaktor dibinanya. 
“Saya menganggapnya menakjubkan dan terus berminat mencubanya,” katanya. 
Edwards dan rakannya George Barker yang membantu dari sudut pentadbiran mula mencipta reaktor peleburan neuklear itu dengan menghubungi pakar fizik lain. 
Edwards mengakui menghadapi kesukaran mengumpul dana untuk projek itu. 
“Saya pergi ke pelbagai makmal dan universiti nuklear namun mereka tidak memandang serius terhadap saya,” katanya. 
Dia kemudian menemui pengetua sekolahnya Jim Hourigan Oktober lalu. 
“Saya terpaksa membuat pembentangan dan meyakinkannya mengenai keselamatan, manfaat reaktor itu dan segala pro serta kontra yang mungkin berlaku akibatnya. 
“Saya memerlukan £2,000 (RM10,900) dan dia bersetuju menyediakan wang itu selain memasukkan £1,000 (RM5,454) dalam dana berasingan bagi membolehkan saya dan orang lain meneruskan usaha dimulakan saya kerana saya ingin melihatnya menjadi lebih cekap tenaga,” katanya. - Agensi/myMetro

Isnin, 17 Februari 2014

NASA Selesaikan Isu Batu Misteri

Seketul batu misteri berbentuk kuih donat tiba-tiba muncul di depan kamera kenderaan penjelajah di planet Marikh

Batu misteri tidak terdapat di foto sebelah kiri, namun terdapat di foto sebelah kanan

Para saintis merungkaikan misteri itu dengan menyatakan ia adalah serpihan batu yang dilanggar oleh kenderaan Opportunity

Imej panorama kawasan Marikh yang dinamakan "Lion King" dan "Eagle Crater" yang diambil oleh kenderaan Opportunity

Kenderaan Opportunity mendarat di Planet Marikh pada tahun 2004. 10 tahun kemudian, ia masih aktif


CHICAGO - Sekumpulan saintis Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (NASA) menyelesaikan kehadiran seketul batu misteri berbentuk kuih donat yang tiba-tiba muncul di depan kamera kenderaan penjelajah di planet Marikh. 
Pada 26 Disember tahun lalu, batu tersebut tidak berada di depan kamera kenderaan Opportunity itu. 
Namun, pada 8 Januari lalu, sekeping gambar yang dihantar kenderaan tersebut menunjukkan terdapat batu berkenaan. 
Batu itu selebar empat sentimeter dan berwarna putih. 
Para saintis itu kemudian merungkaikan misteri itu dengan menyatakan bahawa ia merupakan serpihan batu yang telah dilanggar kenderaan Opportunity. 
Pendedahan itu dibuat oleh Timbalan Penyiasat Prinsipal Opportunity, Ray Arvidson di Universiti Washington di sini pada Jumaat lalu. - AFP/Kosmo!

Khamis, 12 Disember 2013

Stesen Angkasa Lepas Sedang Rosak

Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa mengalami kegagalan selepas sistem penyejuk gagal berfungsi petang Rabu

Enam ahli ekspedisi dari Jepun, Rusia (tiga orang),  dan Amerika Syarikat (dua orang) sedang berada di stesen tersebut ketika ini


WASHINGTON - NASA hari ini berkata pihaknya sedang berusaha menangani masalah yang menyebabkan sistem pam penyejuk di Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) gagal berfungsi. 
Bagimanapun, NASA menegaskan kerosakan itu tidak menyebabkan bahaya kepada enam angkasawan yang berada di ISS. Jurucakap NASA, Kelly Humphries, berkata masalah itu dikategorikan sebagai serius, namun ia masih terkawal ketika ini. 
Humphries berkata, pam penyejuk dalaman berkenaan adalah satu daripada dua sistem penyejuk di stesen orbit berkenaan. 
Sehubungan itu, sebagai langkah pencegahan, tiga angkasawan Russia, dua angkasawan Amerika Syarikat dan seorang angkasawan Jepun kini menutup beberapa sistem operasi yang kecil untuk mengurangkan penggunaan tenaga. 
"Jurutera sedang mengenal pasti sama ada ia membabitkan masalah pada sistem perisian atau alat ganti," katanya. - AP/Berita Harian

Ahad, 17 November 2013

Mekanik Cipta Alat Bantu Wanita Bersalin

Seorang mekanik kereta mencipta peralatan berpotensi untuk menyelamat nyawa bayi apabila berlaku kerumitan ketika bersalin

Alat ini menggunakan sarung diperbuat daripada polyethylene yang boleh mencengkam kepala bayi untuk menariknya keluar

Idea mencipta alat ini timbul selepas menonton video YouTube mengenai seorang lelaki menarik gabus penutup botol

Peralatan ini murah dan boleh digunakan oleh bidan dengan latihan yang minimum


BUENOS AIRES - Seorang mekanik kereta mencipta peralatan berpotensi untuk menyelamat nyawa bayi apabila berlaku kerumitan ketika bersalin. 
Jorge Odón, 59, menghasilkan peralatan itu yang lebih selamat daripada forsep. 
Ciptaan itu yang dikenali sebagai Alat Odón menggunakan sarung diperbuat daripada polyethylene yang boleh mencengkam kepala bayi untuk menariknya keluar dari saluran peranakan. 
Odón yang tidak mempunyai latar belakang perubatan berkata, idea mencipta alat berkenaan timbul selepas menonton video YouTube mengenai seorang lelaki menarik gabus penutup botol dengan hanya mengguna plastik. 
Katanya, selepas menontonnya, dia mendapat ilham prinsip itu boleh diguna pakai untuk membantu wanita yang berdepan dengan masalah ketika hendak bersalin. 
Menurutnya, idea itu datang ketika hendak tidur. 
“Saya kejut isteri saya dan memberitahunya mengenai ilham itu.
“Tetapi isteri saya suruh saya sambung tidur,” katanya. 
Meskipun tidak mendapat sokongan daripada isterinya, Odón memulakan usaha menterjemahkan ilhamnya kepada realiti dan ia kini menjadi kajian Pertubuhan Kesihatan Sedunia. 
Alat itu diuji oleh pihak berkuasa Argentina dan kawasan pedalaman Afrika Selatan untuk memastikan sama ada ia boleh digunakan secara selamat oleh bidan tidak terlatih dan kurang mahir. 
Jika ia diterima dan diguna secara meluas, Odón berkata, ia mungkin inovasi pertama selepas penciptaan forsep beberapa abad lalu untuk membantu wanita bersalin. 
Alat itu membolehkan bidan atau doktor menempatkan ‘loceng’ plastik pada kepala bayi sebelum melurutkan ‘lengan’ polyethylene di sepanjang saluran peranakan dan sekitar kepala bayi. 
Kemudian, sejumlah angin dipam ke dalam lengan itu untuk membolehkannya mencengkam kepala bayi. 
Plastik berkenaan kemudian ditarik keluar dan bidan boleh menggunakan lengan itu untuk menarik bayi berkenaan. - Agensi/myMetro

Ahad, 10 November 2013

Terdapat 11 Bilion Planet Serupa Bumi

Saintis berkata, kira-kira 11 bilion planet yang sama saiz dengan Bumi dan mengelilingi matahari, wujud di galaksi Bima Sakti

Planet yang paling hampir dengan bumi mungkin sejauh 12 tahun cahaya

Penemuan itu didedahkan oleh ahli astronomi UC Berkeley, Geoffrey Marcy

Kebanyakan planet berkenaan unik dan aneh, termasuk mini Neptune dan Super Jupiter, kata William Borucki

NEW YORK - Saintis berkata, kira-kira 11 bilion planet yang sama saiz dengan Bumi dan mengelilingi matahari, wujud di galaksi Bima Sakti dan ada di antaranya mungkin boleh didiami. 
Dengan menggunakan satu kaedah pintar untuk mengesan exoplanet bersaiz Bumi yang mungkin mereka terlepas pandang, ahli astronomi menganggarkan bahawa satu daripada setiap lima bintang pada pusat sistem suria memiliki sebuah planet yang mampu menyimpan air di permukaannya dan mempunyai bahan kimia yang menyokong kehidupan. 
Penemuan itu disiarkan dalam Prosiding Akademi Sains Kebangsaan, mewakili satu lonjakan besar ke arah kemungkinan kehidupan termasuk kehidupan pintar di alam semesta,” kata ahli astronomi UC Berkeley, Geoffrey Marcy yang terbabit dalam kajian terbaru itu. 
Keputusan menunjukkan bahawa Bima Sakti menempatkan 11 bilion planet seperti Bumi. Jika planet yang mengorbit bintang kerdil merah dimasukkan jumlahnya meningkat kepada 40 bilion, kata Marcy. 
Paling hampir mungkin sejauh 12 tahun cahaya. 
Bancian planet terbaru itu berdasarkan data dikumpulkan teleskop angkasa lepas Kepler, pemburu planet utama NASA. Analisis itu juga mengenal pasti mengenal pasti 603 exoplanet termasuk 10 planet bersaiz Bumi yang mengelilingi zon dan boleh didiami. 
“Sejak dilancarkan pada 2009, Kepler membantu mendedahkan pelbagai dunia asing di Bima Sakti,” kata William Borucki yang mengetuai misi Kepler di Pusat Penyelidikan Ames, NASA di Mountain View, California. 
“Kebanyakannya unik dan aneh termasuk mini Neptune dan super Jupiter yang tidak seperti planet lain dalam sistem suria kita.” 
Beberapa planet yang jauh mengandungi air keseluruhannya manakala yang lain mempunyai ketumpatan yang lebih besar dari besi atau lebih rendah berbanding Styrofoam. 
Daripada beribu-ribu planet yang dikaji Kepler, ahli astronomi UC Berkeley, Erik Petigura mempunyai satu soalan: Berapa banyak planet yang serupa seperti Bumi? - AGENSI/Berita Harian

Khamis, 24 Oktober 2013

Astronomi Amatur Dakwa Berjaya Rakam Imej Matahari

Ahli astronomi amatur, Ralph Smith mendakwa telah berjaya merakamkan imej matahari yang jauhnya 93 juta batu dari bumi

Smith berjaya merakam imej matahari dengan menggunakan kamera monokrom USB kecil yang dilekatkan pada teleskop

Imej yang diambil oleh Smith menunjukkan terdapat tompok-tompok hitam pada permukaan matahari

Imej menakjubkan menunjukkan api besar pecah melompat dari permukaan matahari

Imej matahari yang dirakam menggunakan Kalsium filter K-Line

Ralph Smith dengan teleskop amaturnya


BRISBANE - Seorang ahli astronomi amatur dari Deeral, Queensland, Austarlia, bernama Ralph Smith mendakwa telah berjaya merakamkan imej permukaan matahari yang jauhnya 93 juta batu dari bumi dengan menggunakan peralatan biasa. 
Smith merakamkan imej matahari menggunakan kamera monokrom USB kecil yang dilekatkan pada teleskop dengan filter H-Alpha. 
Smith mengambil masa selama kira-kira 14 bulan untuk merakamkan imej-imej berkenaan. 
"Tiada buku teks mengenai perkara ini dan saya telah membangunkan kaedah saya sendiri dari semasa ke semasa untuk mendapatkan hasil yang baik," jelas Smith. 
Menurut Smith, satu-satunya cabaran yang dihadapinya ialah masalah cuaca. 
"Ia tidak selalunya mudah untuk merakam imej-imej ini kerana anda perlu berhadapan dengan tahap penglihatan yang buruk di siang hari kerana awan, angin dan hujan." ujar Smith. - Mail Online


Jumaat, 4 Oktober 2013

Gunung Berapi Ditemui Di Planet Marikh

 Imej menunjukkan kawasan yang dikenali sebagai Eden Patera yang merupakan kawah 70 kilometer lebar.

Satu lagi imej yang dipercayai merupakan gunung berapi purba

Para saintis AS menemui beberapa kawasan baru rangkaian gunung berapi gergasi purba di planet Marikh semalam


LOS ANGELES - Para saintis di Amerika Syrikat (AS) di sini telah menemui beberapa kawasan baharu rangkaian gunung berapi gergasi purba di planet Marikh semalam. 
Gunung berapi purba itu didakwa menyamai kawah gunung berapi Caldera di Taman Negara Yellowstone di sini. 
Kawah gunung berapi sebelum ini pernah ditemui di satu kawasan lain di Marikh yang dipercayai telah aktif pada berbilion tahun dahulu. 
Apa yang membezakan rangkaian gunung berapi gergasi itu adalah ia ditemui di kawasan tanah tinggi di utara planet terbabit. Ia merupakan satu kawasan yang sebelum ini tidak pernah diketahui sebagai aktif. 
Hasil kajian ke atas beberapa imej yang dirakamkan kapal angkasa di Marikh, para penyelidik di Muzium Sejarah Semula Jadi London dan Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas (NASA) mendapati, sekurang-kurangnya satu gunung berapi yang besar di situ. 
Bukti-bukti lain yang ditemui ialah kepulan asap tebal daripada muntahan lahar dan debu. 
Penemuan itu dilaporkan dalam majalah Jurnal Nature isu Khamis yang mencadangkan bahawa Marikh pada awalnya lebih aktif daripada penemuan sebelum ini. 
Letusan sebelum ini mungkin telah mempengaruhi iklim dan atmosfera planet Merah berkenaan. - AP/Kosmo! Online

Rabu, 2 Oktober 2013

Wanita Menopaus Boleh Mengandung

Seorang bayi berjaya dilahirkan di Jepun menggunakan teknik menyuburkan kembali rahim wanita menopaus

Kerjasama kajian teknik itu melibatkan saintis Universiti Stanford, AS dan Sekolah Perubatan Universiti St Marianna di Jepun

Profesor Aaron Hsueh antara individu yang terlibat membangunkan teknik itu

Prof Aaron: Teknik ini perlu diperbaiki tetapi kami menjangkakan ia dapat membantu 25 hingga 30 peratus wanita mandul


WASHINGTON - Seorang bayi berjaya dilahirkan di Jepun menggunakan teknik menyuburkan kembali rahim wanita menopaus bagi menghasilkan sel telur, kata beberapa saintis antarabangsa kelmarin. 
Kajian itu diterbitkan dalam sebuah jurnal Amerika Syarikat (AS), Proceedings of the National Academy of Sciences. 
Menurut jurnal tersebut, seorang lagi wanita dilaporkan turut hamil menerusi kaedah sama. 
Pasukan penyelidik berkenaan memberitahu, teknik itu dapat menawarkan harapan kepada wanita mandul untuk hamil. 
Kerjasama kajian teknik itu melibatkan saintis Universiti Stanford, AS dan Sekolah Perubatan Universiti St Marianna di Jepun. 
Ia melibatkan rahim dikeluarkan dengan sel-selnya disuburkan di makmal sebelum dimasukkan semula ke dalam tubuh pesakit. 
"Teknik ini perlu diperbaiki tetapi kami menjangkakan ia dapat membantu 25 hingga 30 peratus wanita yang menghadapi masalah kemandulan," kata Profesor Aaron Hsueh dari Universiti Stanford. - Agensi/Kosmo! Online

Khamis, 19 September 2013

Bila Dunia Akan Kiamat

Saintis percaya matahari akan menjadi semakin panas dan tiada hidupan di dunia yang dapat bertahan

Bumi kini berada pada jarak yang sempurna dari matahari, untuk menyokong kehidupan

Jika ramalan penyelidik dari University of East Anglia menjadi kenyataan, semua air di bumi akhirnya akan kering


Dunia tidak akan berakhir dalam tempoh terdekat. Kehidupan akan kekal di bumi sekurang-kurangnya 1.75 billion tahun atau mungkin 3.5 billion tahun lagi. 
Selain itu, saintis percaya matahari akan menjadi sangat panas sehingga tiada apa yang akan dapat bertahan. 
Sejak kewujudannya, planet kita telah berada pada jarak sesuai dari matahari untuk didiami. 
Bumi berada dalam zon yang membolehkan lautan untuk berada dalam suhu yang tidak terlalu panas sehingga mendidih, atau terlalu sejuk sehingga membeku menjadi ais. 
Masalahnya ialah, matahari menjadi lebih panas dari masa ke masa, menyebabkan tempoh bumi boleh didiami berlalu. 
Sebagai bintang yang memancarkan lebih haba, mana-mana permukaan air di planet berdekatan matahari akan kering dan tanpa air tiada yang boleh meneruskan hidup. 
Pada ketika ini, bumi akan 'berpindah' keluar dari zon yang boleh didiami walaupun kedudukannya masih sama. 
Ramalan ini dinyatakan oleh pakar-pakar di University of East Anglia, yang percaya dunia boleh bertahan dalam zon yang boleh didiami antara 6.3 billion hingga 7.8 billion tahun sejak kelahirannya sekitar 4.55 billion tahun lalu. 
Ini bermakna hanya ada 1.75 billion hingga 3.5billion tahun tempoh kehidupan di bumi ini. 
Andrew Rushby, seorang penyelidik di universiti tersebut berkata, "Selepas tahap ini, bumi akan berada dalam zon panas matahari, dengan suhu yang begitu tinggi dan laut akan kering. 
"Kita akan melihat bencana dan kepupusan semua hidupan." 
Manusia akan menjadi antara spesies pertama yang akan pupus. 
"Manusia akan menghadapi masalah walaupun dengan peningkatan kecil suhu dan hanya mikrob yang mampu bertahan dalam persekitaran dunia yang semakin panas," kata Encik Rushby. 
Projek penyelidikan juga mengkaji prospek untuk mencari kehidupan di planet lain dengan jangka hayat yang panjang untuk didiami.

Selasa, 6 Ogos 2013

Daging Hamburger Daripada Sel Lembu

Mark Post berharap penghasilan daging dari makmal dapat mengatasi krisis makanan dan masalah cuaca

Daging hamburger pertama yang dihasilkan dari dalam makmal menggunakan sel lembu

Cara daging burger dihasilkan

Walaupun daging burger ini dihasilkan di dalam makmal, ia tetap mempunyai rupa, bentuk dan rasa seperti daging biasa

Sekumpulan saintis dari Universiti Maastricht di Belanda menghabiskan masa lima tahun untuk penyelidikan ini

Saintis Belanda, Profesor Mark Post sedang meneliti sampel daging in-vitro di makmal beliau.


LONDON - Untuk sebuah hamburger bernilai AS$332,000 (RM1 juta) anda juga mungkin mengharapkan hidangan sampingan lain. Tetapi ini bukan burger biasa. 
Dalam satu majlis promosi awal di London semalam, beberapa saintis menyediakan hamburger pertama yang dihasilkan dari dalam makmal menggunakan sel lembu. 
Hidangan itu dihasilkan selepas sekumpulan saintis dari Universiti Maastricht di Belanda menghabiskan masa lima tahun untuk penyelidikan. 
Seorang daripada anggota penyelidik itu, Mark Post berkata, mereka berharap pada satu hari nanti penghasilan daging dari makmal dapat mengatasi krisis makanan serta mengatasi masalah perubahan cuaca. 
“Walaupun daging burger ini dihasilkan di dalam makmal, ia tetap mempunyai rupa, bentuk dan rasa seperti daging biasa,” katanya. 
Daging burger itu dicipta menggunakan sel otot dua jenis lembu organik dan dimasukkan cecair nutrien untuk membantu pembentukan tisu otot. 
Sel itu kemudian berkembang membentuk cebisan daging. 
Untuk mendapatkan sekeping daging burger seberat 140 gram, hampir 20,000 cebisan diperlukan. - AP/myMetro

Isnin, 24 Jun 2013

Fenomena Supermoon

Supermoon dilihat di belakang Memorial Jefferson di Washington DC

Supermoon dilihat di atas Patung Liberty, New York

Supermoon di atas kuil Poseidon, kuil dewa laut purba Yunani

Bagaimanapun Supermoon sukar dilihat di Malaysia kerana negara sedang dilanda jerebu


KUALA LUMPUR – Rakyat Malaysia malam tadi menyaksikan fenomena kedudukan bulan paling hampir dengan bumi yang dikenali sebagai Lunar Perigee atau Supermoon. 
Fenomena itu hanya berlaku sekali setahun. Bulan yang disaksikan oleh orang ramai malam tadi merupakan bulan paling besar boleh dilihat oleh rakyat negara ini. 
Bagaimanapun, jerebu buruk yang melanda beberapa kawasan telah mengganggu orang ramai melihat fenomena tersebut. 
Satu kenyataan Agensi Angkasa Negara (Angkasa) semalam memberitahu, orang ramai dapat melihat bulan berada pada fasa penuh dan uniknya bulan penuh kali ini merupakan bulan penuh yang terletak paling hampir dengan bumi iaitu pada jarak 356,989 kilometer. 
“Keadaan ini berlaku kerana bulan mempunyai orbit yang sedikit bujur, bukan berbentuk bulat sempurna dan ini menyebabkan jarak bulan dengan bumi sentiasa berubah-ubah. 
“Kesan fenomena jarak bulan yang dekat dengan bumi menyebabkan berlaku air laut pasang surut yang besar berbanding pada hari-hari kebiasaan,” kata kenyataan itu lagi. - Kosmo

Jumaat, 21 Jun 2013

Dahulu Planet Marikh Ada Oksigen

Kenderaan robotik Spirit milik NASA yang digunakan untuk mengkaji meteorit dan batu-batu di atas permukaan Marikh

Ini ialah meteorit Marikh yang jatuh ke Bumi

Ahli-ahli sains membandingkan data meteorit yang jatuh ke Bumi dengan data batu di Marikh

Ahli sains percaya oksigen wujud di Marikh lebih awal daripada di bumi.


Saintis percaya, Marikh mempunyai suasana yang kaya dengan oksigen lebih daripada satu bilion tahun sebelum bumi. 
Pemeriksaan ke atas meteorit dan batu-batu di planet itu menunjukkan oksigen telah menjejaskan permukaan Marikh kira-kira empat bilion tahun yang lalu. 
Di bumi, oksigen tidak terbina dalam kuantiti yang ketara dalam atmosfera sekurang-kurangnya selama 1,500 juta tahun. 
Ahli-ahli sains membandingkan meteorit Marikh yang jatuh ke bumi dengan data daripada pemeriksaan batu oleh kenderaan robotik Spirit agensi angkasa Amerika NASA. 
Perbezaan dalam komposisi antara kedua-duanya dapat menjelaskan banyaknya oksigen pada masa lalu dalam sejarah Marikh. 
Spirit telah meneroka bahagian yang sangat purba di Marikh yang mengandungi batu-batu lebih daripada 3,700 juta tahun. 
Batu-batu itu menyimpan mercu tanda pendedahan awal kepada oksigen sebelum 'dikitar semula', ditarik ke kawasan cetek di pedalaman planet dan kemudian dimuntahkan melalui letusan gunung berapi. 
Meteorit gunung berapi Marikh, pada sisi lain, berasal dari bahagian yang lebih dalam di planet itu yang kurang terjejas oleh oksigen. 
Meteorit Marikh sampai ke bumi selepas diletuskan ke ruang angkasa lepas oleh letusan besar-besaran. 
Penyelidikan baru yang diterbitkan dalam jurnal Nature, mempunyai implikasi bagi kemungkinan wujudnya kehidupan lampau di Marikh. 
Di bumi pada awalnya, suasana itu secara beransur-ansur dipenuhi dengan oksigen percuma oleh mikrob fotosintesis. Saintis memanggilnya sebagai Pengoksigenan Acara Besar (Great Oxygenation Event - GOE). 
Hubungan antara oksigen dengan kehidupan di Marikh adalah kurang jelas. 
Oksigen mungkin dapat dihasilkan oleh biologi, atau oleh satu tindak balas kimia di dalam atmosfera. 
Saintis utama Profesor Bernard Wood, dari Universiti Oxford, berkata, "Implikasinya adalah bahawa Marikh mempunyai suasana yang kaya dengan oksigen pada satu masa, kira-kira 4,000 juta tahun yang lalu, sebelum kebangkitan atmosfera oksigen di bumi kira-kira 2,500 juta tahun yang lalu. 
"Pengoksidaan memberikan Marikh warna yang tersendiri, ia adalah berkemungkinan bahawa 'planet merah' ini basah, panas dan berkarat berbilion-bilion tahun sebelum atmosfera Bumi menjadi kaya dengan oksigen." 
Pada bulan Mei, saintis mendedahkan bahawa mereka menemui batu-batu kecil di Marikh yang menunjukkan sungai pernah mengalir di planet ini dan memberikan lebih kebarangkalian kepada teori bahawa ia pernah menyokong kehidupan. 
Batu-batu kecil bulat ditemui oleh pasukan misi kenderaan robotik Curiosity NASA dan diterbitkan dalam jurnal Science. Batu-batu kecil itu hanya terbentuk apabila ia dibawa oleh air pada jarak yang jauh, kata penyelidik. 
Ia adalah kali pertama bukti aliran air yang berterusan di Marikh telah didedahkan. 
Penemuan batu sebelum pengumuman lapan hari lalu menjadi bukti kuat bahawa air yang cukup baik untuk diminum telah ditemui oleh Opportunity, kenderaan robotik NASA yang lebih awal. 
Bukti wujud air di Marikh telah ditunjukkan oleh penemuan berturutan di Marikh tetapi sehingga kini mereka semua telah mencadangkan ia adalah aliran asid sulfurik. Ini adalah kali pertama air telah didapati dalam bentuk yang mungkin boleh diminum. 
Penemuan itu meningkatkan kemungkinan bahawa salah satu blok bangunan yang paling penting untuk hidup pernah wujud di planet ini, dan mungkin masih berada di sana. - Mail Online