Allah berfirman dalam al-Quran:

"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran." Mafhum Surah al-Asr: ayat 1 - 3.
Memaparkan catatan dengan label Sejarah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Sejarah. Papar semua catatan

Selasa, 25 November 2014

Cabaran Pelayaran Mengelilingi Pulau Borneo

Hasrat tiga pelayar mengelilingi Kepulauan Borneo terbantut. Foto: NSPT

Enjin kapal layar mereka, Australis II, mengalami kerosakan. Foto: NSTP

Australis II di Jeti Jabatan Laut Sarawak, di Muara Tebas. Foto: NSTP


KUCHING - Hasrat tiga pelayar antarabangsa mengelilingi Kepulauan Borneo berdepan detik mencemaskan selepas enjin utama kapal layar mewah mereka, Australis II, mengalami kerosakan teknikal kira-kira 10 batu nautika dari Perairan Tanjung Po, di sini petang tadi.
Walaupun dilengkapi layar, namun ketiadaan angin mengakibatkan kapal berkenaan hanyut mengikut arus, lebih-lebih lagi dalam keadaan laut bergelora sejak beberapa hari lalu sehingga pemilik kapal, Kapten Shaun Sims, 53, terpaksa membuat panggilan kecemasan.
Selain Shaun, dua anak kapal masing-masing dari Australia dan Amerika Syarikat iaitu Cristine Turner, 59, dan Beth Sadler, 30, berjaya diselamatkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), dengan kapal layar itu ditunda ke Jeti Jabatan Laut Sarawak, Muara Tebas, di sini kira-kira jam 5 petang tadi.
Shaun ketika ditemui pemberita, berkata ketiadaan angin menyebabkan beliau terpaksa menurunkan sauh di Perairan Tanjung Po bagi membolehkan kedudukan mereka dikesan pasukan penyelamat.
"Kuching adalah destinasi persinggahan kami di Sarawak selepas mula berlayar sejak lima hari lalu dari Sutera Harbour, Kota Kinabalu. Kami berterima kasih kepada APMM kerana menyelamatkan kami kerana keadaan laut ketika musim monsun cukup menakutkan, termasuk ombak besar dan angin kencang.
"Buat sementara ini, kami akan berehat di Kuching untuk menunggu kerosakan enjin Australis II dibaiki sebelum meneruskan pelayaran ke Pontianak, Indonesia," katanya.
Sementara itu, Pengarah Operasi Wilayah APMM Sarawak, Komander Shahref Steve Mac Queen Abdullah, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 12.30 tengah hari dan menggerakkan sebuah bot peronda ke lokasi kejadian pada jam 2 petang.
"Dalam keadaan cuaca tidak menentu sejak kebelakangan ini, agak berisiko untuk ke laut, Namun, sekiranya masih ingin ke laut, sila pastikan anda memiliki peralatan keselamatan yang mencukupi, khususnya peralatan komunikasi dapat berfungsi dengan baik," katanya. - Berita Harian

Selasa, 19 Ogos 2014

Telefon Pintar Pertama

IBM Simon Personal Communicator dikatakan sebagai smartphone pertama di dunia

IBM Simon nampak terlalu besar bila diletakkan di sebelah Apple iPhone 4S

Simon sangat popular di kalangan ahli perniagaan yang mahukan telefon bimbit sekaligus komputer mini


Simon juga dilengkapi dengan skrin sentuh


Telefon pintar mula dijual di Amerika Syarikat kepada orang ramai pada 16 Ogos 1994. Telefon tersebut dinamakan 'Simon'. Bilangannya ketika itu hanya 15 ribu unit. Ia sangat popular di kalangan ahli perniagaan yang mahukan telefon bimbit sekaligus komputer mini. 
Pada masa itu Simon tidak disebut telefon pintar. Bagaimanapun bentuknya mempunyai banyak persamaan dengan telefon pintar sekarang. Telefon ini mempunyai buku alamat, kalkulator, kalendar, fax, mel, nota pad, pad lakaran, jam dan kalendar. Ia juga dilengkapi dengan pen stylus dan skrin LCD hijau.  
Dengan panjangnya 21sentimeter, lebar 7 sentimeter dan tebal 4 sentimeter, saiz telefon tersebut memang cukup besar pada hari ini. Apatah lagi beratnya mencapai 500 gram! 
Walau bagaimana pun telefon tersebut dianggap canggih pada ketika itu kerana boleh digunakan untuk menghantar e-mel dan perkhidmatan mesej pendek, selain digunakan sebagai telefon. Semuanya digabungkan dalam satu telefon bimbit.  
Namun kelemahan Simon terdapat pada baterinya yang hanya mampu bertahan selama satu jam sahaja. Selain itu, tidak terdapat internet untuk telefon bimbit ketika itu. Maka peralatan itu tidak dapat dianggap terlalu berjaya.  
Atas sebab-sebab berkenaan, Simon akhirnya lenyap dari pasaran selepas dua tahun dilancarkan. Kini handset tersebut dipamerkan di pameran Muzium Sains London bertajuk 'Era Maklumat' yang bertujuan untuk memperingati 200 tahun sejarah komunikasi dan teknologi maklumat.

Selasa, 4 Mac 2014

Berkahwin Dengan Kekasih Yang Sudah Mati

Seorang wanita Perancis berazam mahu mengahwini kekasihnya yang telah meninggal dunia

Wanita yang dikenali sebagai Pascale ini bakal mengahwini Michael (dalam foto) yang mati dua tahun lalu 

Pascale mendapat izin untuk mengahwini Michael melalui undang-ungang khas daripada Presiden Francois Hallande


PARIS - Kerana terlalu cintakan kekasih yang sudah meninggal dunia, seorang wanita Perancis tetap berazam mahu mengahwini lelaki itu. 
Wanita dikenali sebagai Pascale itu bakal mengahwini kekasihnya Michael dalam satu majlis di St Omer selepas mendapat izin daripada Presiden Francois Hollande. 
Tindakannya dibuat berdasarkan perundangan Perancis yang jarang diketahui bagi membolehkannya dan Michael ‘bersatu’ berikutan lelaki itu meninggal dunia pada 2012, beberapa minggu sebelum mereka dijadualkan berkahwin. 
“Walaupun dia sudah tiada, dia tetap di hati saya,” katanya. 
Menurutnya, mereka bercinta selama enam tahun dan sepatutnya berkahwin pada Jun 2012 namun Michael mati akibat serangan jantung. 
Pascale yang tidak dapat menerima kehilangan itu tetap berazam mahu mengahwini Michael dan menulis surat kepada pejabat Presiden memohon dibenarkan menggunakan undang-undang khas membolehkan perkahwinan dengan orang mati dalam keadaan tertentu. 
The Local melaporkan, undang-undang itu diperkenalkan pada 1959 selepas kejadian empangan pecah di selatan Perancis mengakibatkan 420 maut. 
Presiden ketika itu, Charles de Gaulle mencadangkan perundangan itu selepas dihubungi seorang wanita mengandung yang tunangnya maut dalam tragedi berkenaan. 
Menurut Pascale, dia menulis surat sebanyak empat kali kepada pejabat Presiden dan akhirnya menerima jawapan 20 bulan kemudian yang meluluskan permohonannya itu. - Agensi/myMetro

Ahad, 2 Mac 2014

Keju Sudah Wujud Lebih Seribu Tahun Yang Lalu

Keju ditemui berada dalam keadaan baik pada mumia yang berusia 3,500 tahun ini

Lokasi di mana mumia berusia 3,500 tahun itu ditemui

Ahli sains Max Planck mendapati keju bebas laktosa itu berasal dari tahun 1,615 sebelum Masihi


PENYELIDIK mendakwa mereka telah menemui keju tertua di dunia pada sekitar dada mumia yang berusia 3,500 tahun di barat laut China. 
Pakar kimia di Institut Biologi Molekul, Sel dan Genetik Max Planck mendapati keju bebas laktosa tersebut berasal dari tahun 1,615 sebelum Masihi. 
Sementara itu, penganalisis kimia, Andrej Shevchenko memaklumkan penemuan pelik itu menjadi bukti kepada teknologi pembuatan makanan pada Zaman Gangsa di Asia. 
"Kaedah membuat keju mungkin murah ketika itu dan ia mampu dihasilkan semua golongan penduduk," katanya dipetik DailyMail. 
Difahamkan, ketika saintis menemui mumia di Gurun Taklamakan itu pada 1930-an, mereka hanya menganalisis protein dan lemak dari sisa makanan itu tanpa menyedari ia sebenarnya adalah keju. - Sinar Harian

Sabtu, 15 Februari 2014

Keranda Berusia 3600 Tahun Di Temui

Ahli arkeologi Sepanyol menemui mumia berusia 3,600 tahun dalam keranda kayu dengan lukisan bulu pelepah di bandar Luxor, Mesir

Kerja-kerja mengeluarkan keranda kayu sedang dilakukan

Berdasarkan pemeriksaan awal ke atas keranda berkenaan, pemiliknya mungkin pembesar di zamannya

Lokasi di mana keranda purba ditemui oleh ahli arkeologi


KAHERAH - Ahli arkeologi Sepanyol menemui mumia berusia 3,600 tahun dalam keranda kayu dengan lukisan bulu pelepah di bandar Luxor, Mesir, kelmarin. 
Keranda dengan ketinggian dua meter dan 50 sentimeter lebar itu berada dalam keadaan baik dan warnanya masih belum pudar. 
Menteri Sejarah Purba Mesir, Mohamed Ibrahim berkata lukisan seperti itu jarang ditemui pada keranda lama. 
“Keranda berkenaan dari zaman dinasti ke-17 iaitu 1,600 tahun Sebelum Masihi,” kata pengarah Jabatan Tinggalan Sejarah Firaun kementerian berkenaan, Ali El-Asfar. 
“Berdasarkan pemeriksaan awal ke atas keranda berkenaan, pemiliknya mungkin pembesar di zamannya,” katanya. 
Mengikut kepercayaan zaman Firaun ukiran hieroglif yang terdapat pada keranda bertujuan memudahkan perjalanan hidup pemiliknya selepas mati. 
Ukiran bulu pelepah melambangkan dewi undang-undang Mesir silam, Maat yang dipercayai menimbang hati si mati dengan bulu pelepah bagi menentukan kedudukan mereka selepas mati. 
Ia ditemui di tebing barat Luxor berhampiran makam pentadbir gudang Ratu Hatshepsut dari pentadbiran dinasti ke-18 yang memerintah Mesir dari tahun 1502 hingga 1482 Sebelum Masihi. 
Pasukan arkeologi Sepanyol yang sudah membuat kajian di Luxor selama 13 tahun, turut menemui keranda kayu yang menempatkan mumia kanak-kanak berusia lima tahun dari dinasti ke-17 tahun lalu. - AFP/myMetro

Rabu, 5 Februari 2014

Lee Kuan Yew Yang Semakin Lanjut Usia

Pengasas Singapura, Lee Kuan Yew dimasukkan ke Hospital Besar Singapura pada Ahad lalu selepas diserang demam dan batuk

Kuan Yew yang secara tradisi hadir di majlis makan malam di kawasan pilihan rayanya di Tanjong Pagar gagal hadir pada tahun ini

Kuan Yew semakin lemah sejak isteri yang dikahwininya selama 63 tahun, Kwa Geok Choo meninggal dunia pada 2010

Kuan Yew semasa majlis pengkebumian isterinya pada tahun 2010

Saat bahagia Kuan Yew di samping isteri dan anak-anak

Kuan Yew dipuji kerana mengubah pulau ini daripada sebuah pulau yang mundur menjadi antara ekonomi terkaya di Asia

Kuan Yew berkhidmat sebagai Perdana Menteri dari tahun 1959 hingga 1990

Kuan Yew berkata, beliau berasa semakin lemah dan mahu meninggal dunia tanpa menderita sakit yang panjang


SINGAPURA - Pengasas Singapura yang juga bekas Perdana Menteri, Lee Kuan Yew (gambar) kini beransur sembuh di hospital selepas dirawat kerana mengalami jangkitan kuman, menurut kenyataan kerajaan negara ini semalam. 
Setiausaha Akhbarnya, Yeong Yoon Ying berkata, Kuan Yew, 90, dimasukkan ke Hospital Besar Singapura pada Ahad lalu selepas beliau diserang demam dan batuk yang teruk disebabkan oleh jangkitan bakteria. 
"Beliau kini diberikan ubat antibiotik dan beransur sembuh. Kuan Yew dinasihatkan oleh doktor-doktornya supaya tidak muncul di khalayak," kata Yoon Ying. 
Tambah setiausaha akhbar tersebut, Kuan Yew yang kekal sebagai anggota Parlimen selepas melepaskan jawatan penasihat Kabinet, tidak akan menghadiri majlis makan malam Tahun Baru Cina petang semalam di Tanjong Pagar di sini. 
"Beliau mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina kepada penduduk Tanjong Pagar dan seluruh warga negara ini," tambah Yoon Ying. 
Kuan Yew mengekalkan tradisi menghadiri majlis makan malam di kawasan pilihan rayanya di Tanjong Pagar sejak beberapa dekad lalu tetapi gagal hadir buat kali pertama tahun ini ekoran masalah kesihatan. 
Beliau yang merupakan bapa Perdana Menteri sekarang, Lee Hsien Loong dipuji kerana mengubah pulau ini daripada sebuah pulau yang mundur menjadi antara ekonomi terkaya di Asia. 
Beliau berkhidmat sebagai Perdana Menteri dari tahun 1959 hingga 1990. Kuan Yew diganti oleh timbalannya, Goh Chok Tong yang kemudian menyerahkan kuasa kepada Hsien Loong pada 2004. 
Parti pemerintah, Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang diasaskan bersama oleh Kuan Yew berkuasa dalam setiap pilihan raya negara ini sejak tahun 1959. 
PAP kini menguasai 80 daripada 87 kerusi di Parlimen. 
Dalam sebuah buku yang diterbitkan tahun lalu, negarawan Asia itu berkata, beliau berasa semakin lemah dan mahu meninggal dunia tanpa menderita sakit yang panjang. 
Kuan Yew semakin lemah sejak isteri yang dikahwininya selama 63 tahun, Kwa Geok Choo meninggal dunia pada 2010. - AFP/Kosmo!

Rabu, 15 Januari 2014

Pencipta Bimbang Senjata AK47 Bunuh Ramai Orang

Mikhail Kalashnikov bimbang senjata ciptaannya Senapang AK47 telah membunuh ramai manusia. Foto: NYTimes

Kebimbangan Kalashnikov disampaikan kepada ketua gereja Rusia, Patriarch Kirill

Kalashnikov meninggal dunia pada 23 Disember lalu ketika berusia 94 tahun


MOSCOW - Pencipta senapang AK-47, Mikhail Kalashnikov pernah menulis surat kepada ketua gereja di Rusia sebelum dia meninggal dunia dengan melahirkan kebimbangan bahawa senjata berkenaan telah membunuh ramai manusia, lapor akhbar Izvestia. 
"Penderitaan jiwa yang saya alami tidak dapat ditanggung lagi," katanya dalam sepucuk surat kepada ketua gereja Rusia, Patriarch Kirill. 
"Satu persoalan yang sering bermain dalam fikiran saya adakah senapang saya yang telah membunuh ramai manusia akan menjadikan saya seorang penganut agama Kristian yang bertanggungjawab terhadap kematian mereka walaupun mereka merupakan musuh?'' ujarnya. 
Seorang jurucakap gereja itu mengesahkan menerima surat berkenaan yang ditulis kira-kira enam bulan sebelum kematian Kalashnikov. 
Dia meninggal dunia pada 23 Disember lalu ketika berusia 94 tahun. 
Kalashnikov semasa hayatnya sering berkata, beliau bangga dengan ciptaannya itu tetapi kesal senjata tersebut sering digunakan oleh penjenayah dan tentera kanak-kanak. 
Senapang AK-47 murah untuk dihasilkan dan mudah pula diselenggara merupakan senjata paling banyak membunuh manusia berbanding senjata api yang lain. 
Pada tahun 2009, Kalashnikov berkata, senapang yang direka pada tahun 1947 itu dihasilkan bagi tujuan mempertahankan sempadan negara ini. - Reuters/Kosmo!

Ahad, 15 Disember 2013

Saintis Temui Gua 'Tsunami'

Saintis menemui gua di Sumatera di Indonesia yang menunjukkan rekod tsunami Lautan Hindi sejak beribu-ribu tahun lalu

Saintis mendapati ombak pemusnah terbesar ini tidak berlaku pada jangka masa ditetapkan

Komuniti di kawasan Acheh perlu bersedia setiap masa


MEDAN - Saintis menemui gua di kepulauan Sumatera di Indonesia yang menunjukkan rekod mengagumkan tsunami Lautan Hindi sejak beribu-ribu tahun lalu. 
Mereka berkata, lapisan mendapan akibat tsunami yang ditemui dalam gua di barat laut Sumatera itu menunjukkan ombak pemusnah terbesar itu tidak berlaku pada jangka masa ditetapkan, bermakna komuniti di kawasan itu perlu bersedia setiap masa. 
“Ia sesuatu yang masyarakat perlu tahu,” kata ketua pasukan penyelidik, Charles Rubin, sambil menambah pasukan itu mahu mempromosikan keselamatan kepada komuniti di persisiran pantai. 
Profesor Rubin dan beberapa penyelidik lain dari institut di Singapura bekerjasama dengan saintis dari universiti Indonesia ketika menemui gua itu, di selatan Banda Aceh, ibu negeri wilayah Aceh. 
Tsunami yang berpunca daripada gempa bumi memusnahkan wilayah itu dan kawasan di seluruh Lautan Hindi pada 2004, membunuh kira-kira 170,000 di wilayah itu saja. 
Di dalam gua berkenaan, penyelidik menemui lapisan mendapan berpasir, yang dibawa oleh tsunami beribu-ribu tahun lalu, kata Rubin. - Berita Harian

Jumaat, 29 November 2013

Kennedy Jadi Presiden AS Selama 1,000 Hari

Kennedy menjadi Presiden AS ke-35 selama 1000 hari (Januari 1961-November 1963)

Kennedy dianggap sebagai Presiden AS yang muda, kacak, terhormat dan bijak.

Juga ayah penyayang. Anak Kennedy menyorok di bawah meja

Pelantikan Kennedy sebagai presiden mencatatkan pelbagai sejarah tersendiri

Kennedy sedang menyampaikan ucapan ke seluruh negara

Detik-detik akhir sebelum Kennedy ditembak mati di Dallas, Texas

Lee Harvey Oswald (tengah) suspek yang dikatakan menembak mati Kennedy


“MEREKA tidak tahu banyak mengenai presiden atau kenapa ada pihak yang ingin membunuhnya. 
“Boleh dikatakan kebanyakan pelajar cuma mengetahui John Fitzgerald Kennedy (JFK) ialah presiden yang ditembak mati. Lebih daripada itu hanyalah kotak kosong,” kata Tom Stone, Profesor di Southern Methodist University di Dallas, Texas yang mengajar mengenai Kennedy. 
Bagaimanapun bagi pemuja dan peminatnya, sejarah dunia hari ini mungkin berbeza sekiranya Kennedy tidak dibunuh. 
Mereka beranggapan dunia akan menjadi lebih stabil dan aman sekiranya beliau menjadi presiden lebih lama, disebabkan kecenderungannya kepada hubungan dan dasar luar yang lebih baik dan sederhana. 
Kennedy hanya sempat menjadi presiden dalam tempoh kira-kira 1,000 hari sebelum mati ditembak oleh seorang pekerja gudang yang juga merupakan bekas anggota marin, Lee Harvey Oswald ketika dalam perarakan di Dallas. 
JFK dilahirkan di Brookline, Massachusetts, Amerika Syarikat (AS) pada 29 Mei 1917 merupakan anak kedua daripada sembilan orang adik-beradik kepada pasangan bangsawan berketurunan Irish. 
Datuk pada sebelah bapa, P.J. Kennedy merupakan seorang pemilik bank dan pedagang arak yang kaya manakala datuknya sebelah ibu, John E. Fitzgerald merupakan seorang ahli politik yang cekap dan berkhidmat sebagai anggota Kongres AS dan Datuk Bandar Boston. 
Bapa dan ibu Kennedy, Joseph Patrick Joe Kennedy dan Rose Kennedy secara umumnya menolak corak kehidupan golongan sosialit dan memberi tumpuan yang lebih kepada pendidikan anak-anak. 
Joe, terutamanya sangat obses kepada setiap inci kehidupan anak-anaknya, sesuatu yang sangat jarang bagi ibu bapa pada zaman tersebut. 
“Kebanyakan bapa pada waktu itu tidak begitu berminat tentang apa yang dilakukan anak-anak mereka, tetapi Joe tahu apa yang dilakukan anaknya setiap masa,” kata seorang rakan keluarga tersebut. 
Joe mempunyai jangkaan tinggi daripada anak-anaknya dan menanam sifat persaingan dan kepercayaan bahawa kemenangan adalah segala-galanya dalam diri mereka. 
Mengulas perkara itu, adik perempuan JFK, Eunice Kennedy pernah menceritakan, ‘apabila saya menyedari saya tidak perlu memenangi sesuatu setiap hari, saya sudah berusia 24 tahun.’ 
Meskipun seorang yang pintar, Kennedy bukanlah seorang pelajar yang baik sewaktu remaja. Seperti anak muda lain, beliau lebih meminati sukan, wanita dan hiburan berbanding pencapaian akademik. 
Beliau hanya menonjolkan kebolehannya setelah menjadi pelajar senior di Universiti Harvard dan menamatkan pengajiannya pada tahun 1940. 
Seorang rakannya, Lem Billings berkata, ‘Jack (nama panggilan Kennedy) adalah seorang yang lebih menyeronokkan berbanding individu-individu lain yang saya kenal dan saya rasa kebanyakan kenalannya memiliki pendapat yang sama.’ 
Pelantikan Kennedy sebagai presiden mencatatkan pelbagai sejarah tersendiri. Beliau merupakan Presiden AS pertama yang dilahirkan pada abad ke-20. Kennedy merupakan presiden AS pertama yang berfahaman Katholik dan kekal sebagai satu-satunya presiden negara itu yang pernah memenangi anugerah Putlizer (anugerah tertinggi di AS dalam bidang kewartawanan dan kesusasteraan). 
Kennedy dianggap sebagai presiden yang muda, kacak, terhormat dan bijak selain mampu menyampaikan ucapan yang memberi semangat dan menyentuh hati pendengar. 
Isterinya, Jacqueline Kennedy dianggap antara wanita paling cantik dan bergaya di dunia, menambah sisi glamor dalam diri pemimpin itu. 
Pasangan muda itu dianggap membawakan gaya dan glamor ke Rumah Putih, sesuatu yang belum pernah berlaku sebelum itu. 
Sebaris ayat yang dituturkan Kennedy dalam ucapan sulungnya sebagai Presiden AS pada 20 Januari 1961 masih diguna pakai sehingga ke hari ini. Ia berbunyi: “Jangan bertanya apa yang negara boleh lakukan untuk anda, tanyalah apa yang anda boleh lakukan untuk negara.” 
Pencapaian terbaik beliau dalam tempoh yang singkat sebagai presiden bagaimanapun adalah dari segi hubungan antarabangsa AS dengan dunia luar. 
Kennedy dianggap sebagai seorang yang agak reformis dan memiliki pendekatan berlainan dengan presiden-presiden AS sebelumnya. Beliau cuba membawa AS untuk bergerak ke arah kedamaian dan berusaha mengurangkan ketegangan dalam Perang Dingin dengan Kesatuan Soviet, yang dianggap salah satu punca pengorbanannya. 
Krisis terbesar di bawah pentadbiran Kennedy ialah Krisis Misil Cuba pada Oktober 1962. Menyedari Kesatuan Soviet telah menghantar peluru berpandu nuklear ke Cuba, Kennedy mengarahkan armada tentera laut AS untuk mengepung pulau tersebut dan berikrar untuk mempertahankan AS dengan apa cara sekali pun. 
Selepas mengharungi beberapa hari yang paling tegang dalam sejarah kemanusiaan, ketika dunia seolah-olah berada di ambang kemusnahan akibat perang nuklear, Kesatuan Soviet bersetuju untuk mengalihkan peluru berpandu tersebut dengan syarat AS tidak akan menyerang Cuba dan mengalihkan senjata berkenaan dari Turki. 
Lapan bulan kemudian, pada Jun 1963, Kennedy berjaya dalam rundingan Perjanjian Had Ujian Nuklear bersama Great Britain dan Kesatuan Soviet. 
Selain itu, pemimpin ini juga menolak campur tangan AS dalam Perang Vietnam, salah satu peristiwa yang paling memalukan AS apabila negara tersebut kalah dalam perang itu. 
Douglas Ducharme, warga Kanada yang menghadiri ulang tahun ke-50 pembunuhan beliau berkata, “Sekiranya ia (pembunuhan Kennedy) tidak berlaku, sejarah mungkin berubah. Dia merupakan presiden yang lain daripada yang lain.” 
Pada 22 November 1963 ketika menyertai perarakan menaiki kenderaan Lincoln Continental Convertible di Dallas, Texas bersama isterinya dan Gabenor Texas ketika itu, John Connally, Kennedy mati akibat ditembak. Beliau disahkan mati di Parkland Memorial Hospital pada usia 46 tahun. 
Peristiwa pembunuhan beliau menimbulkan pelbagai kontroversi kerana pembunuhnya, Oswald dikatakan bertindak secara bersendirian tanpa melibatkan pihak ketiga. 
Teori konspirasi semakin bercambah apabila Oswald sendiri turut mati ditembak dari jarak dekat dua hari kemudian oleh seorang pemilik kelab malam, Jack Ruby. 
Insiden tersebut disiarkan secara langsung di seluruh AS kerana ia berlaku ketika pihak berkuasa sedang dalam proses untuk memindahkan Oswald dari ibu pejabat polis Dallas ke penjara berdekatan yang dihadiri ramai penonton dan media. 
Ruby memberitahu beberapa saksi di tempat kejadian bahawa kematian Oswald akan ‘melegakan Puan Kennedy daripada menghadiri perbicaraan ke mahkamah.’ 
Meskipun rata-rata warga AS masih percaya bahawa pembunuhan Kennedy melibatkan konspirasi yang lebih besar, siasatan oleh pihak berkuasa dan Suruhanjaya Warren yang ditubuhkan bagi menyiasat perkara itu menyatakan perkara sebaliknya. 
“Kebanyakan orang tidak percaya dengan cerita rasmi. Bagaimanapun bukti tidak mencukupi untuk menyokong perkara lain,” kata Gary Mack, kurator di The Sixth Floor Museum di Dallas, Texas. 
Seorang sarjana dan pengkaji pembunuhan, Josiah Thompson yang juga merupakan pengarang buku, Six Seconds in Dallas yang mengisahkan pembunuhan Kennedy menyimpulkan penyiasatan pembunuhan tersebut sebagai yang terburuk dalam sejarah AS moden. 
“Presiden AS ditembak, pada waktu tengah hari, di dataran awam, dengan saksi antara 400 hingga 500 orang, mungkin sekurang-kurangnya 38 orang daripada mereka mengambil foto dan video. Kini, selepas 40 tahun, kita masih tidak tahu apa yang berlaku,” katanya dalam satu dokumentari pada tahun 2007 berjudul Oswald Ghost. - Kosmo! Online



Khamis, 21 November 2013

Kubu Presiden Kennedy Dijadikan Muzium

Pintu masuk ke kubu perlindungan bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), John F. Kennedy. Foto: Reuters

Kubu perlindungan ini dibina pada tahun 1960-an semasa Perang Dingin. Foto: Reuters

Kubu perlindungan ini kini dijadikan muzium dan dibuka kepada pengunjung. Foto: Reuters

Kubu ini terletak beberapa minit dari Palm Beach, lokasi kediaman keluarga Kennedy. Foto: Reuters

Fasiliti ini merupakan tempat persembunyian yang dikawal ketat. Foto: Reuters

Kubu boleh didiami oleh 30 anggota keluarga Kennedy dan kakitangan utama selama sebulan. Foto: Reuters

Terdapat 15 buah set katil dua tingkat, sebuah meja untuk Kennedy dan meja persidangan. Foto: Reuters

Kubu ini dilengkapi dengan bekalan makanan tentera, tong air dan pengesan radiasi. Foto: Reuters


PULAU PEANUT, Florida - Sebuah kubu perlindungan yang dibina semasa Perang Dingin untuk bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), John F. Kennedy berdekatan Palm Beach kini dijadikan sebagai sebuah muzium. 
Kubu itu terletak hanya beberapa minit dari Palm Beach yang menempatkan lokasi kediaman keluarga bekas Presiden AS itu. 
Ia dilengkapi dengan ruang dewan utama yang ditempatkan 15 buah set katil dua tingkat, sebuah meja untuk Kennedy dan meja persidangan. 
Fasiliti itu merupakan tempat persembunyian yang dikawal ketat selain dilengkapi dengan bekalan makanan tentera, tong air dan kelengkapan alat pengesan radiasi. 
Selain itu, tempat perlindungan tersebut juga boleh dijadikan rumah kediaman untuk 30 anggota keluarga Kennedy dan kakitangan utama selama sebulan sekiranya serangan nuklear berlaku. 
"Mereka telah menguji kubu itu dengan membawanya ke sini. 
"Ia terletak sejauh 10 minit perjalanan dari pintu hadapan Palm Beach ke kawasan berkenaan," kata Pengurus Besar Muzium Maritim Palm Beach, Anthony Miller yang bertanggungjawab mengawal selia kawasan berkenaan. 
Kennedy menjadi Presiden AS dari 20 Januari 1961 hingga 22 November 22 1963. 
Beliau mati ditembak di Dallas oleh Lee Harvey Oswald. - Reuters/Kosmo! Online

Sabtu, 19 Oktober 2013

Penemuan Tengkorak Manusia Berusia 1.8 Juta Tahun

Penemuan tengkorak di atas membuatkan sejarah perlu ditulis semula, menurut saintis Switzerland. Tengkorak

Bentuk tengkorak ini menunjukkan ia mempunyai otak kecil iaitu bersaiz kira-kira satu pertiga daripada otak manusia kini

Tengkorak ini mempunyai rahang seperti beruk

Tengkorak lain yang ditemui

Tapak penggalian Dmanisi, yang terletak di bawah sebuah perkampungan Georgia

Evolusi manusia menurut teori ahli sains sejarah Barat


DMANISI - Penemuan satu tengkorak manusia berusia 1.8 juta tahun yang tertanam di sebuah perkampungan di Georgia, Eropah Timur memberi gambaran bahawa manusia hanya berasal daripada satu spesies sahaja, kata sekumpulan penyelidik kelmarin. 
Menurut para penyelidik itu, tengkorak tersebut menjadi bukti baharu bahawa manusia awal yang hidup, hanya daripada satu spesies tetapi mempunyai wajah yang berbeza. 
Bentuk tengkorak itu menunjukkan ia mempunyai otak kecil iaitu bersaiz kira-kira satu pertiga daripada otak manusia kini. 
Ia mempunyai rahang seperti beruk. 
Turut ditemui ialah beberapa peralatan batu dan tulang-tulang harimau. 
Penemuan penyelidik itu disiarkan dalam jurnal Science. 
Ia merupakan satu daripada lima tengkorak manusia awal yang telah ditemui di Dmanisi yang terletak kira-kira 100 kilometer dari ibu kota Georgie, Tblisi. 
Tengkorak itu ditemui pada tahun 2005. 
Empat daripada tengkorak yang ditemui itu mempunyai rahang. 
Menurut penulis bersama kajian itu, Christoph Zollikofer dari Universiti Zurich, Switzerland, semua tengkorak itu menunjukkan ia datang dari kalangan sekumpulan penduduk dari spesies yang tunggal. 
Bagaimanapun, Pengarah Program Kedoktoran Hominid dan Paleobiologi di Universiti George Washington, Amerika Syarikat, Bernard Wood menyatakan, tengkorak itu mungkin berasal dari satu makhluk yang tidak pernah diketahui para penyelidik sebelum ini. - Agensi/Kosmo! Online