Allah berfirman dalam al-Quran:

"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran." Mafhum Surah al-Asr: ayat 1 - 3.
Memaparkan catatan dengan label Komentar. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Komentar. Papar semua catatan

Jumaat, 12 Disember 2014

Cari Makan Cara Singa

Bagaimana singa boleh menangkap seladang? Sedangkan taring singa pendek dan tanduk seladang panjang!

Walaupun singa gagah namun singa tak buat kerja secara bersendirian!

Singa juga mempunyai target!

Mangsa singa biasanya seladang yang lemah dan tercicir daripada kawanannya

Sepatutnya seladang yang ada tanduk panjang boleh belasah singa - biar padan muka singa

Namun semangat kerjasama singa memang mengkagumkan

Inilah hasilnya! Seladang yang lain tidak datang membantu!


Macam tak masuk akal! Seladang boleh menjadi mangsa kepada singa. Sedangkan tanduk seladang panjang manakala taring singa pendek. Selain itu, tubuh seladang besar dan mereka bergerak secara berkumpulan. 
Logiknya, seladang boleh menggunakan tanduknya yang panjang untuk menanduk perut singa hingga terburai! Dengan tubuh yang lebih besar, kawanan seladang boleh saja memijak singa sehingga lunyai! 
Namun semua itu tidak terjadi! Sebaliknya seladang tetap menjadi habuan singa! 
Bagaimana perkara ini terjadi? 
Apa yang jelas, singa punya strategi tertentu untuk mencari makan. 
Singa tidak cari makan secara solo! 
Mereka berkerja secara berkumpulan dengan ko-ordinasi yang berkesan! 
Target singa ialah seekor seladang yang lemah dan tercicir daripada kawanannya. 
Bila target mengena, singa akan 'mengerjakan' mangsa secara bekerjasama sehingga sukar bagi mangsa mereka melepaskan diri! 
Manakala kawanan seladang pula masing-masing cabut lari menyelamatkan diri - meninggalkan rakan mereka digigit dan dirobek oleh singa.

Jumaat, 7 November 2014

Betulkah Roh Orang Mati Menjadi Hantu?

Berdasarkan hadis nabi, roh ditiupkan ke dalam janin manusia pada hari ke-40

Namun selepas seseorang meninggal dunia ke manakah hala tuju rohnya?

Benarkah roh orang mati akan menjelma menjadi hantu?

Gambaran seorang pelukis tentang syaitan


Sejak zaman dahulu lagi manusia mempercayai bahawa mereka hidup kerana terdapat roh dalam tubuh badan mereka. Namun persoalan tentang roh amat sulit bagi mereka. Maka terdapatlah kepercayaan di kalangan manusia, sama ada di Barat atau di Timur misalnya yang percaya bahawa roh orang mati akan menjadi hantu.
Rasulullah sendiri di masa hidupnya pernah ditanya tentang roh. Pada mulanya baginda menghadapi kesulitan untuk menjawab pertanyaan yang kritis ini. Maka Allah menjawab pertanyaan tersebut melalui firman-Nya sebagaimana berikut:
“Dan mereka bertanya kepadamu tentang roh. Katakanlah: Roh itu perkara urusan Tuhanku dan kamu tidak diberikan ilmu pengetahuan melainkan sedikit sahaja” ayat 85, Surah al-‘Isra'
Maknanya, pengetahuan manusia tentang roh begitu terbatas! Bagaimanapun, suatu hal yang menarik ialah kebanyakan manusia di dunia ini percaya mereka berasal daripada keturunan Adam.
Berdasarkan kepercayaan dalam Islam, roh manusia berasal daripada Allah sebagaimana yang disebutkan dalam ayat al-Quran berikut:

“Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: Sesungguhnya Aku hendak menciptakan manusia daripada tanah liat yang kering, yang berasal dari tanah kental yang berubah warna dan baunya. Kemudian apabila Aku sempurnakan kejadiannya, serta Aku tiupkan padanya roh (ciptaan) Ku maka hendaklah kamu sujud kepadanya” ayat 28 - 29, Surah al-Hijr
Demikianlah Allah telah memasukkan roh ciptaan-Nya ke dalam jasad Adam menyebabkan manusia pertama itu hidup. Lalu bagaimana pula dengan manusia yang lainnya? Rasulullah ada menceritakan tentang hal ini sebagaimana berikut:

Diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari dan lainnya dari ‘Abdullah bin Mas’ud r.a katanya: “Rasulullah saw telah menceritakan kepada kami – sedang Baginda adalah orang benar yang telah dibenarkan kata-katanya - sabdanya: “Bahawa seseorang kamu dihimpunkan kejadiannya dalam perut ibunya selama 40 hari, kemudian dijadikan segumpal darah seumpamanya, kemudian dijadikan seketul daging seumpamanya, kemudian Allah mengutuskan seorang Malaikat untuk menulis empat kalimah dan diarahkan agar menulis; amalannya, ajalnya, rezekinya dan untung jahat atau untung baik, kemudian ditiupkan rohnya…”. [Sahih Al-Bukhari No. 3208].
Bagaimanakah keadaan roh manusia semasa hidup dan selepas mati? Secara ringkas menurut al-Quran adalah sebagaimana berikut:

"Allah SWT memegang jiwa (roh) ketika matinya (seseorang) dan memegang jiwa (roh) orang yang belum mati di waktu tidurnya, maka Dia menahan jiwa (roh) yang ditetapkan matinya dan melepaskan jiwa (roh) yang lain ke badannya sehingga sampai ajalnya yang ditentukan ..." ayat 42, Surah az-Zumar
Maknanya, Allah memegang roh orang yang tidur dan orang yang mati. Bezanya, roh orang tidur dikembalikan menyebabkan dia terjaga manakala roh orang mati tetap berada dalam pegangan Allah.
Lalu setelah meninggal dunia, di manakah pula roh manusia berada? Persoalan ini terdapat jawapannya dalam al-Quran sebagaimana berikut: 

"Hingga apabila datang kematian kepada seseorang dari mereka (orang kafir) dia berkata: " Ya Tuhanku kembalikanlah aku ke dunia, agar aku berbuat amal yang soleh terhadap apa yang telah aku tinggalkan. Sekali-kali tidak (jawapan Allah), sesungguhnya itu adalah perkataan yang diucapkannya sahaja (janji kosong . Dan di hadapan mereka ada DINDING (barzakh) sampai hari mereka dibangkitkan." ayat 99 - 100, Surah al-Mu’minun
Maknanya, roh orang mati berada di alam Barzakh. Selain itu roh orang mati tidak dapat kembali ke dunia kerana terdapat dinding (barzakh) yang menghalang mereka kembali ke dunia. Mereka kekal berada di situ sehingga hari kiamat. 
Bagaimanapun berbeza dengan roh orang mati syahid! Berdasarkan al-Quran, roh orang mati syahid berada di syurga sebagaimana berikut:

“Dan jangan sekali-kali engkau menyangka orang-orang yang terbunuh (yang gugur syahid) pada jalan Allah itu mati, (mereka tidak mati) bahkan mereka adalah hidup (secara istimewa) di sisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki.” ayat 169 Surah Ali Imran
Sebab itulah terdapat di kalangan umat Islam yang sangat teringin hendak mati syahid!
Lalu bagaimana dengan dakwaan mereka yang mengatakan pernah terjumpa hantu mereka yang telah meninggal dunia? Perlu diingat, selain manusia terdapat juga makhluk lain yang turut sama diciptakan Allah mendiami dunia ini sebagaimana mafhum firman-Nya:

"Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku" ayat 56, Surah adh-Dhariyat
Manakala manusia dan jin saling mempunyai hubungan. Allah menceritakan di dalam al-Quran dialog yang diucapkan oleh jin tentang hubungan mereka dengan manusia sebagaimana berikut:

“Dan bahawa sesungguhnya adalah (amat salah perbuatan) beberapa orang daripada manusia, menjaga dan melindungi dirinya dengan meminta pertolongan kepada ketua-ketua golongan jin, kerana dengan permintaan itu mereka menjadikan golongan jin bertambah sombong dan jahat” ayat 6, Surah al-Jin
Selain daripada itu, Allah mengingatkan pula tentang adanya makhluk yang bernama syaitan:

“Sesungguhnya yang demikian itu ialah syaitan yang menakut-nakutkan (kamu terhadap) pengikut-pengikutnya (kaum kafir musyrik). Oleh itu, janganlah kamu takut kepada mereka, tetapi takutlah kepada-Ku, jika betul kamu orang-orang yang beriman.” ayat 175, Surah ‘Ali Imran
Walau bagaimanapun, kita tidak sepatutnya takut kepada syaitan itu kerana:
"Sesungguhnya syaitan itu tidak ada kekuasaannya atas orang-orang yang beriman dan bertawakal kepada Tuhannya." ayat 99, Surah an-Nahl

Kesimpulannya, perjalanan roh orang yang telah mati adalah perjalanan sehala menuju alam akhirat.  Roh orang mati tidak boleh ‘U-turn’ ke dunia untuk menjadi hantu. Yang menjadi hantu ialah memang hantu dari golongan jin dan syaitan. Wallahu Alam.


Jumaat, 22 Ogos 2014

Mengenang Kembali Kedatangan Kita Ke Dunia Ini

Dahulu, kita asalnya hanyalah berupa sperma, yang berjaya berenang dan mengalami persenyawaan

Hanya selepas empat minggu barulah kita mempunyai muka dan leher

Selepas lapan minggu, kelopak mata, telinga, tangan dan kaki kita terbentuk 

Selepas 12 minggu, jari tangan kita semakin panjang, degupan jantung kita boleh didengar dan  kita mampu bergerak

Selepas 16 minggu,  mata kita sudah boleh berkelip dan sifat fizikal kita semakin nyata

Selepas 20 minggu, kita sudah mampu menghisap ibu jari, menguap, meregang, dan menggerakkan muka

Selepas 28 minggu, fizikal kita semakin besar dan kita semakin berat dan pergerakan kita semakin kuat

Selepas 38 minggu, sifat fizikal kita telah sempurna dan kita bersedia untuk dilahirkan


Alhamdulillah, kini kita telah dilahirkan dan hari ini kita telah menjadi semakin dewasa dengan pengalaman yang bertambah. Maka pada hari ini marilah kita merenung asal-usul kita. 
Allah melalui al-Quran mengingatkan kita sebagaimana berikut: 
"Bukankah Kami telah menciptakan kamu daripada air (benih) yang sedikit dipandang orang?" ayat 20, Surah al-Mursalat.
"Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia daripada pati (berasal) dari tanah. Kemudian Kami jadikan pati itu (setitis) air benih pada penetapan yang kukuh. Kemudian Kami ciptakan air benih itu menjadi sebuku darah beku; lalu Kami Kami ciptakan darah beku itu menjadi seketul daging; kemudian Kami ciptakan daging itu menjadi beberapa tulang; kemudian Kami balut tulang-tulang itu dengan daging. Setelah sempurna kejadian itu Kami bentuk dia menjadi makhluk yang lain sifat keadaannya. Maka nyatalah kelebihan dan ketinggian Allah sebaik-baik pencipta" ayat 12 - 14, Surah Al-Mukminun. 
Lalu, untuk tujuan apa kita berada di dunia ini? Adakah kehadiran kita di bumi ini tanpa sebarang tanggungjawab? Allah telah menjelaskan sebagaimana berikut:  
"Sesungguhnya Kami telah aturkan cara mencipta manusia bermulanya daripada air mani yang bercampur (daripada benih lelaki dan perempuan); serta Kami tetap mengujinya (dengan kewajipan-kewajipan); oleh itu maka Kami jadikan dia berkeadaan mendengar dan melihat" ayat 2, Surah al-Insan. 
"Maka apakah patut kamu menyangka bahawa Kami hanya menciptakan kamu (daripada tiada kepada ada) dengan tiada sebarang tujuan? dan kamu (menyangka pula) tidak akan dikembalikan kepada Kami?" ayat 115, Surah al-Mukminun 
"Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku" ayat 56, Surah adh-Dhariyat.
Semoga kita termasuk ke dalam golongan orang yang sentiasa beriman kepada Allah, Tuhan Semesta Alam; dan melaksanakan segala perintah-Nya serta meninggalkan segala larangan-Nya. Dan semoga kita termasuk ke dalam kumpulan orang yang ikhlas dalam melaksanakan segala amal ibadah; ikhlas semata-mata kerana-Nya. Amin!

Jumaat, 15 Ogos 2014

Kalau Aku Kaya

Aku hendak membina rumah agam yang cantik

Lengkap dengan taman bunga

Di atas sebidang tanah yang dikelilingi suasana kehijauan.

Di sebelah belakang rumahku terdapat halaman yang luas

Lengkap dengan pokok-pokok dan lanskap yang menenangkan minda  

Di ruang tamu, terdapat pintu dan tingkap yang luas menghadap taman hijau

Selain itu, terdapat sebuah dewan serba guna untuk majlis kenduri-kendara

Setiap pagi aku akan bersarapan pagi di sini sambil menikmati suasana hijau

Ruang dapur rumah ku pula dilengkapi dengan peralatan yang moden

Di ruang ini aku akan makan malam bersama keluarga

Aku juga mempunyai ruangan untuk bersantai atau mandi-manda di sebuah kolam renang dan tab mandi panas

Ini ialah bilik persalinan, tempat untuk menyimpan pakaian ku 

Ini bilik tidurku yang lengkap dengan balkoni peribadi

Itu impianku kalau aku kaya. 
Namun tengahari tadi aku pergi Solat Jumaat. 
Sepanjang khutbah, khatib mengingatkan para jemaah tentang mati. 
Khatib berkata, mati itu pasti tetapi ramai manusia tidak ambil peduli. 
Tidak ada seorang insan pun terkecuali daripada mati. 
Apabila mati, semua pangkat dan harta benda tak dapat dibawa bersama.
Hakikatnya, kehidupan dunia hanya sementara sedangkan kehidupan akhirat adalah kehidupan yang sebenarnya. 
Semoga dalam kesibukan mengejar dunia, kita tidak mengabaikan kejayaan akhirat. 
Sebab, kejayaan yang sebenar ialah apabila kita dapat masuk syurga.

Selasa, 12 Ogos 2014

Suasana Berbeza Di Sebalik Gencatan Senjata

Semalam, penduduk Ashkelon di Israel keluar ke pantai selepas gencatan senjata baru 72 jam antara Israel dan Hamas

Penduduk Ashkelon mengambil kesempatan berseronok mandi manda bersama keluarga

Setelah membantai Gaza selama lebih empat minggu, kini penduduk Israel di Ashkelon bersantai di pantai

Semasa serangan ganas Israel ke atas Gaza, pantai ini kurang selamat kerana terdedah kepada serangan roket Hamas

Di kawasan Gaza, penduduknya juga mengambil kesempatan suasana tenang gencatan senjata untuk meneruskan kehidupan

Namun lelaki ini termenung jauh memikirkan tempat kediamannya yang telah musnah akibat serangan ganas Israel

Masjid juga tidak terkecuali daripada serangan Israel dan menaranya rembah menimpa apartment kediaman penduduk Palestin

Penduduk Gaza terpaksa bekerja kuat untuk membangunkan semula kawasan mereka yang rosak dan musnah

Gencatan senjata baharu selama 72 jam antara Israel dan Hamas yang berkuat kuasa di Gaza semalam, membolehkan penduduk di kedua-dua negara yang terlibat dengan konflik bersenjata itu keluar dari tempat perlindungan mereka. 
Di Ashkelon, sebuah bandar yang terletak di selatan Israel, yang dihujani roket Hamas semasa Israel membantai Gaza, penduduknya keluar ke pantai untuk bersuka-ria. 
Namun di sebelah sempadan Israel, di Gaza, penduduk Palestin yang kembali ke kawasan penempatan mereka mendapati tempat itu musnah teruk akibat serangan ganas tentera udara Israel.

Khamis, 6 Mac 2014

Beca Roda Tiga Yang Unik

Ini ialah beca roda tiga atau tuk tuk yang dipandu oleh G Annadurai untuk mencari rezeki

Istimewanya, tuk tuk yang dipandu oleh Annadurai ini menyediakan tablet untuk digunakan oleh penumpangnya

Di samping itu, tuk tuk ini juga menyediakan surat khabar dan majalah untuk bacaan penumpangnya

Tuk tuk ini juga mempunyai peraturannya sendiri

Berbagai jenis kabel tersedia untuk penumpang mengecas telefon bimbit mereka

Annadurai menunjukkan bagaimana penumpang boleh mengecas iPhone mereka dibelakang beca

Tv, radio dan wifi juga tersedia di dalam tuk tuk ini

Itulah istimewanya jika penumpang menaiki tuk tuk milik Annadurai


Beca roda tiga atau tuk tuk ini adalah milik G Annadurai, dari Chenai, selatan India. Sekali pandang, ianya tidak banyak berbeza dengan beca yang lain. 
Bagaimanapun, Annadurai telah menaik-taraf becanya ini dengan menyediakan kelengkapan yang hanya terdapat dalam teksi hitam di kota London! 
Walaupun hanya sebuah beca roda tiga, namum beca ini menyediakan tablet untuk digunakan oleh penumpang yang menggunakan perkhidmatannya. 
Selain itu, beca ini juga menyediakan bahan bacaan seperti surat khabar dan majalah untuk dibaca oleh penumpangnya. 
Satu lagi kemudahan yang terdapat dalam beca ini ialah pengecas bateri telefon bimbit. Uniknya, terdapat pelbagai jenis kabel pengecas di sini, bagi membolehkan berbagai jenis telefon bimbit dicas oleh penumpang yang menaiki beca ini. 
Tidak ketinggalan, beca ini juga menyediakan skrin tv dan radio. Apa yang paling mengkagumkan, beca ini juga mempunyai perkhidmatan wifinya sendiri. 
Bagaimanapun beca ini mempunyai peraturan. Setiap penumpang yang menggunakan beca ini tertakluk kepada peraturan yang telah ditetapkan. 
Bagi guru-guru dan pekerja hospital, Annadurai menyediakan pengangkutan percuma buat mereka. Selain itu, Annadurai juga menggunakan keuntungan yang diperolehinya untuk membantu perbelanjaan pendidikan anak-anak jalanan yang miskin. 
Boleh dikatakan pemuda berusia 28 tahun ini agak terkenal di Chenai kerana keistimewaan perkhidmatan becanya dan sifat baik budinya. 
Semoga Tuhan memurahkan rezeki Annadurai agar beliau dapat terus melakukan kebajikan.

Rabu, 5 Mac 2014

Pesawat Boeing Naik Kereta Api

Fiuslaj Boeing 737 diangkut dengan kereta api ke kilang pengeluaran Boeing di Renton, Washington pada hujung minggu lalu

Fiuslaj ini akan digunakan bagi membina pesawat Boeing 737 generasi baru

 Fiuslaj ini dibina di negeri Kansas dan diangkut melintasi pergunungan Rocky ke Renton, negeri Washington

Menjelang tahun 2017, Boeing dan Airbus akan menghasilkan 138 pesawat jet baru sebulan

Dua pekerja Boeing ini mengiringi kargo yang bernilai berjuta-juta dollar yang diangkut dari Kansas ke Washington 

Pembinaan pesawat Boeing 737 sebenarnya bermula di kilang Spirit AeroSystems di Wichita, negeri Kansas

Fiuslaj tiba di kilang Boeing di Renton, Washington yang akan melalui transformasi menjadi pesawat yang paling popular di dunia

Foto pemandangan di kilang pengeluaran Boeing 737 di Renton pada 26 Februari 2014. Di belakang ialah bandaraya Seattle 

Pembinaan pesawat Boeing 737 di kilang pemasangan Boeing di Renton, Washington pada 4 Februari 2014

Kerja-kerja memasang sayap pesawat Boeing 737 sedang giat dijalankan di dalam kilang

Pesawat ini bergantung kepada keajaiban teknikal sehingga membolehkan manusia terbang dengan selamat

Boeing terpaksa bersaing sengit dengan Airbus kerana Airbus telah menguasai 60 peratus pasaran dunia



Pada saya memang mengkagumkan apabila saya melihat gambar-gambar di atas. Pada mulanya, fiuslaj Boeing dibina di kilang Spirit Aerosystems di Wichita yang terletak di negeri Kansas, Amerika Syarikat. Kemudian fiuslaj sepanjang lebih 33 meter itu dimuatkan ke gerabak kereta api kargo. 
Selepas itu fiuslaj itu melalui perjalanan sejauh 3,218km dengan kereta api melintasi Pergunungan Rocky, menuju ke Renton yang terletak di negeri Washington. 
Di kilang Boeing di Renton, fiuslaj tadi menjalani proses tranformasi sehingga muncul sebagai pesawat yang lengkap dan sempurna. 
Mail Online pada 3 Mac 2014 melaporkan, syarikat Boeing sedang berusaha untuk mencapai matlamat pengeluaran 47 buah pesawat jet Boeing 737 dalam sebulan atau 560 setahun menjelang tahun 2017. 
Pada masa ini Boeing sedang memperkenalkan pesawat siri 737 model terbaru, 737 MAX atau Boeing 737 Next Generation yang akan menjadi pesawat generasi ketiga siri 737. Model pesawat jenis ini terdapat dalam empat variasi dan mampu menampung antara 110-210 penumpang. 
Di pasaran dunia, Boeing terpaksa bersaing dengan pengeluar pesawat konglomerat multinasional Eropah, Airbus yang memperkenalkan model neo A320. Pada ketika ini, Boeing mendapat 1,600 tempahan untuk pesawat 737 MAX, manakala Airbus mendapat 2,400 tempahan untuk pesawat neo A320. 
Walau bagaimanapun, jualan pesawat Boeing 737 setakat ini adalah yang paling tinggi dengan lebih 10,500 penghantaran dan pesanan. 
Sedar tak sedar rupanya hanya tinggal dua buah syarikat yang bersaing membina dan menjual pesawat komersial di dunia ketika ini. 
Apa yang mengkagumkan saya ialah pesawat terbang yang begitu besar pun boleh dijual. Tak sangka pula pengeluaran pesawat boleh melebihi 10 buah sebulan. Tak sangka permintaan pasaran terhadap pesawat komersil begitu tinggi, sehingga pesawat yang belum siap sudah ada pembelinya.