Allah berfirman dalam al-Quran:

"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran." Mafhum Surah al-Asr: ayat 1 - 3.
Memaparkan catatan dengan label Renungan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Renungan. Papar semua catatan

Isnin, 7 April 2014

Lelaki Ini Ingin Bersemadi Dalam Botol Mayonis

Larry Clinton (kiri) mahu abu mayatnya diletakkan di dalam botol mayonis jika dia meninggal dunia

Duke’s Mayonnaise menyiapkan dua botol khas dengan label jenama yang dicantumkan dengan nama Larry

Beberapa tahun lalu Clinton memberitahu isterinya, dia mahu mayatnya dibakar dan abunya diletakkan dalam botol mayonis

Teresa (kanan) menghubungi syarikat mayonis dan pihak syarikat itu bersetuju memenuhi permintaan bapanya


CAROLINA - Seorang lelaki 67 tahun mahu abu mayatnya diletakkan di dalam botol mayonis jika dia meninggal dunia kerana sangat meminati makanan itu. 
Larry Clinton yang berasal dari Carolina Utara, Amerika Syarikat (AS) menggunakan mayonis hampir pada semua makanannya dan jenama kegemarannya adalah Duke’s Mayonnaise. 
“Selain rasanya yang lazat, jenama ini sudah menjadi sebahagian daripada hidup saya. Beberapa tahun lepas saya memberitahu isteri saya, jika saya meninggal dunia, saya mahu mayat saya dibakar dan abunya diletakkan di dalam botol mayonis itu, Kata Larry. 
Namun, isterinya menganggap Larry hanya bergurau sehinggalah lelaki itu memberitahu “permintaan terakhirnya” itu kepada anak perempuannya, Teresa Clinton-Edge. 
Teresa kemudiannya menghubungi syarikat mayonis berkenaan dan pihak syarikat bersetuju dengan permintaan itu. 
Duke’s Mayonnaise menyiapkan dua botol khas dengan label jenama yang dicantumkan dengan nama Larry. 
Permintaan Larry itu bukanlah yang pertama seumpamanya. 
Awal tahun ini seorang lelaki di Ohio dikebumikan bersama motosikal Harley Davidson kesayangannya manakala pada 2008, pencipta bekas makanan ringan “Pringles”, Frederic Baur turut dikebumikan bersama bekas makanan itu ketika meninggal dunia pada usia 89 tahun. - Agensi/myMetro

Sabtu, 5 April 2014

KLIA2 Selamat Digunakan?

Klia2, selamat digunakan setelah keretakan landasan kapal terbang dibaiki, kata Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB). Foto: Kosmo!

Pegawai MAHB berkata keretakan yang berlaku di landasan kapal terbang ini adalah normal

Pegawai MAHB juga berkata gambar ini merupakan foto lama, dan kini tidak ada lagi keretakan. Foto: TMI

Keretakan seperti ini hanya kecacatan kecil kata pegawai MAHB. Foto: The Edge

Syarikat penerbangan tambang rendah, AirAsia enggan berpindah ke Klia2 pada 2 Mei. Foto: Wikipedia

Kerajaan berkata, DCA ialah pihak berkuasa yang menentukan landasan terbang itu selamat, bukannya syarikat penerbangan


SEPANG – Terminal Penerbangan Tambang Rendah baharu, klia2, selamat digunakan setelah keretakan landasan kapal terbang dibaiki, kata Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB). 
Pengurus Besar Kanan Bahagian Operasi MAHB Datuk Azmi Murad memberitahu Bernama isu keretakan tersebut tidak akan mengganggu keseluruhan operasi terminal itu yang akan dibuka pada 2 Mei. 
Azmi juga berkata keretakan yang berlaku di landasan kapal terbang itu adalah normal dan bukan keretakan struktur. 
Beliau berkata proses kejuruteraan biasa memadai untuk menyelesaikan masalah tersebut. 
Azmi berkata Malido Air telah melakukan pendaratan percubaan di klia2 pada Oktober lepas, yang membuktikan bahawa landasan tersebut berada dalam keadaan baik. 
Klia2 kini boleh menampung beban sehingga 100 ton, melebihi berat Superjumbo A380 — kapal terbang komersil terbesar di dunia. 
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa MHAB akan mengambil tindakan serta-merta seperti pembinaan semula jika keretakan struktur berlaku. 
Untuk keretakan biasa, pembaikan akan dan telah dijalankan, katanya dalam temu bual di klia2. 
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan berserta gambar di laman blog yang menunjukkan keretakan di klia2 serta keengganan syarikat penerbangan tambang rendah, AirAsia berpindah ke Klia2 pada 2 Mei. 
Azmi berkata gambar itu merupakan foto lama, dan kini tidak lagi keretakan. 
“Keretakan di landasan terbang itu disebabkan oleh proses pemendapan, berlaku susulan kerja paip cerucuk pili bomba. 
Kerja paip tersebut kemudian disimen sebelum dilapiskan dengan tar bagi melindungi paip tersebut. Jarak antara cerucuk itu menyebabkan proses pemendapan tidak sekata dan berlaku keretakan, katanya. 
Mengenai gambar menunjukkan keretakan pada bangunan di klia2, beliau berkata ia merupakan ‘kecacatan liabiliti’ dan laporan telah dibuat kepada pihak kontraktor. 
“Ia merupakan kecacatan kecil,” katanya 
Rabu lepas, Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Aziz Kaprawi mengumumkan bahawa LCCT di Sepang akan ditutup pada 9 Mei. 
Beliau juga memberi jaminan bahawa keselamatan di landasan, laluan pesawat’ dan lain-lain, sudah disahkan oleh Jabatan Penerbangan Awam (DCA). 
Menurutnya DCA datang ke klia2 untuk melakukan pemeriksaan tersebut. 
Azmi berkata DCA akan melakukan pemeriksaan akhir pada 10 April ini. 
“DCA ialah pihak berkuasa yang akan menentukan sama ada landasan terbang itu selamat, dan bukannya syarikat penerbangan,” katanya. 
“LCCT sedia ada juga retak. Saya mahu menutup LCCT disebabkan mereka kata keretakan itu bahaya kepada pesawat, dan oleh itu saya mahu memindahkan mereka ke sini (klia2),” katanya. – BERNAMA

Jumaat, 4 April 2014

Lagi Pesawat MAS Bermasalah

Pesawat MAS MH004 dari Kuala Lumpur ke London pagi semalam ditangguhkan selama empat jam untuk kerja pembaikan

Menurut pihak MAS, penerbangan tersebut berlepas pada jam 2.15 petang dan tiba di London pada 8.25 malam

Pada 23 Mac, pesawat MAS MH006 dari Kuala Lumpur ke Seoul dilencongkan ke Hong Kong kerana generator tidak berfungsi


KUALA LUMPUR - Penerbangan Malaysia Airlines (MAS) MH004 dari Kuala Lumpur ke London yang dijadual berlepas pagi semalam ditangguhkan selama empat jam bagi menjalankan kerja-kerja pembaikan kepada pesawat itu. 
Menurut kenyataan MAS, penerbangan itu dijadual berlepas dari Kuala Lumpur pada jam 10.10 pagi dan dijangka tiba di London pada 4.20 petang waktu tempatan pada hari yang sama. 
Bagaimanapun, penerbangan tersebut dijadualkan semula dengan berlepas pada jam 2.15 petang dan tiba di London pada 8.25 malam waktu tempatan hari yang sama. 
“Memandangkan keselamatan penumpang adalah keutamaan paling tertinggi bagi syarikat penerbangan ini, maka penjadualan semula itu penting bagi memudahkan kerja-kerja membaiki pesawat dijalankan. 
“MAS kesal dengan ketidakselesaan yang berlaku terhadap pelanggan kami,” kata kenyataan tersebut. - Bernama

Ahad, 30 Mac 2014

Tok Guru Mohon Maaf

“Maafkan segala kesilapan saya selama saya memimpin Kelantan,” kata Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat

Masjid Pulau Melaka, bersebelahan rumah Tok Guru Nik Aziz


KOTA BHARU - “Maafkan segala kesilapan saya selama saya memimpin Kelantan,” kata Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat ketika menyampaikan kuliah Subuh di Masjid Pulau Melaka, bersebelahan rumahnya di sini, semalam. 
Beliau berkata, masalah kesihatan yang dihadapi mungkin balasan ALLAH SWT untuk membersihkan dosanya di atas kesalahan dilakukan sepanjang memimpin Kelantan sejak 23 tahun lalu. 
“Sakit saya ini mungkin kifaarat ALLAH SWT di atas dosa atau kesalahan yang saya lakukan sepanjang memimpin Kelantan,” katanya dipetik dalam entri laman sosial Facebook miliknya, di sini, semalam. 
Solat Subuh berjemaah itu turut disertai Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kebetulan berada di Kelantan dalam siri jelajah Reformasi 2.0 di Padang Perdana, di sini, kelmarin. 
Difahamkan kesihatan bekas Menteri Besar Kelantan itu semakin merosot kebelakangan ini sehingga menghalang beliau menyampaikan kuliah Jumaat sejak beberapa minggu lalu. 
Malah beliau yang sepatutnya menyertai siri jelajah Reformasi 2.0 bersama Anwar tidak dapat berbuat demikian difahamkan kerana masalah kesihatan. 
Ketika sihat, Nik Aziz akan ke pejabatnya di Institut Pemikiran Tok Guru di Kota Darul Naim yang ditubuhkan pentadbiran baru kerajaan negeri selepas beliau meletakkan jawatan Mei lalu. 
Institut itu ditubuhkan untuk memastikan pemikiran Nik Aziz yang juga Adun Chempaka terus dapat dimanfaatkan walaupun beliau tidak lagi menjadi menteri besar. - Sinar Harian

Sabtu, 29 Mac 2014

Biola Tua Bernilai RM147 Juta?

Biola yang dibuat pada tahun 1719 yang akan dilelong pada Jun depan

Imej biola yang dibuat pada tahun 1719 oleh Antonio Stradivari dari jarak dekat


NEW YORK - Sebuah biola yang dibuat pada tahun 1719 oleh Antonio Stradivari akan dilelong oleh firma lelongan Sotheby's. 
Biola itu dijangka dilelong pada harga lebih AS$45 juta (RM147 juta) pada Jun depan. 
Setakat ini, hanya 10 biola buatan Stadivari yang masih ada dalam simpanan peribadi. 
Biola yang akan dilelong itu dikenali sebagai Macdonald kerana ia pernah dibeli oleh golongan bangsawan Ireland, Baron Macdonald, Godfrey Bosville Ketiga pada tahun 1820-an. 
Ia kemudian menjadi milik mendiang Peter Schidlof pada tahun 1964. 
Firma Sotheby's kini mewakili pihak pentadbir hartanah Schidlof untuk melelong biola tersebut. 
Jika ia berjaya dijual pada harga lebih RM147 juta itu, biola tersebut akan mencipta rekod lelongan paling tinggi di dunia. 
Sebelum ini, biola yang dibuat pada tahun 1791 dan dikenali sebagai Lady Blunt dilelong pada harga AS$15.9 juta (RM51.95 juta) pada tahun 2011. 
Lelongan itu dibuat menerusi online. - AP/Kosmo!

Jumaat, 28 Mac 2014

Buaya Terkam Kamera

Seorang aktivis pencinta alam gagal merakam aksi seekor buaya gergasi kerana kameranya rosak teruk digigit reptilia itu

Imej yang diambil kamera GoPro sebelum digigit buaya

Imej terakhir yang dirakam kamera GoPro milik Madden sebelum gajet itu digigit oleh buaya gergasi

Buaya gergasi yang menggigit kamera GoPo


HOMESTEAD, Florida - Hasrat seorang aktivis pencinta alam ingin merakam aksi seekor buaya gergasi gagal apabila sebuah kamera jenis GoPro yang baru dibelinya rosak teruk akibat dibaham reptilia itu, lapor akhbar Daily Mail semalam. 
Chris Madden meletakkan kamera tersebut di dalam sebuah kerangka sebelum menuju ke sebuah tasik di Homestead, dalam negeri Florida yang menempatkan buaya sepanjang 4.1 meter itu baru-baru ini. 
Penduduk setempat menggelarkan buaya itu 'Big Boy' kerana saiznya yang besar. 
"Saya cuba mendapatkan beberapa gambar di dalam air, namun sebaik sahaja kamera ini menyentuh permukaan air, buaya tersebut terus menerkam dengan ganas," katanya. 
Kamera tersebut dimasuki air selepas beberapa gali digigit oleh buaya tersebut. - Agensi/Kosmo!

Selasa, 25 Mac 2014

Pesakit Buah Pinggang Terpaksa Tunggu 20 Tahun

Pesakit buah pinggang sedang menjalani rawatan dialisis. Foto: Kosmo!

Kedudukan buah pinggang. Foto: BH

Pesakit sedang menjalani pembedahan pemindahan buah pinggang. Foto: Kosmo!


KUALA LUMPUR - Lebih 18,000 pesakit buah pinggang di negara ini terpaksa menunggu hingga 20 tahun untuk mendapatkan organ daripada para penderma. 
Fakta yang mendukacitakan itu dianalisis berdasarkan statistik penderma organ yang sangat rendah diterima daripada Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan (NKF) Malaysia. 
Pengasasnya, Dr. S. S Gill berkata, lebih 99 peratus daripada 18,347 pesakit akan terus berasa hampa apabila terpaksa menunggu dalam jangka masa yang sangat panjang. 
"Untuk pengetahuan semua, kurang satu peratus pesakit buah pinggang menerima buah pinggang dan jika bernasib baik, ahli keluarga pesakit yang menyumbangkan organ," katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam. 
Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan mengenai 18,347 pesakit yang hidup dengan dialisis sementara menunggu untuk mendapatkan transplan buah pinggang. 
Malaysia merupakan antara negara paling ramai pesakit yang mengalami kegagalan fungsi organ tersebut. - Kosmo!

Rabu, 19 Mac 2014

Mangsa Selamat Walaupun Beca Musnah

Beca roda tiga yang dipandu Hu Mou dan ditumpangi isterinya dilanggar lori berhampiran lampu isyarat pada 5 Februari

Pihak Berkuasa mengeluarkan gambar Mou dan isterinya dalam usaha mendesak pengguna mematuhi undang-undang lalu lintas


ZHEJIANG - Gambar menunjukkan sepasang suami isteri tercampak ke udara selepas beca mereka dilanggar berhampiran lampu isyarat di Linhai, wilayah Zhejiang, di China. 
Ketika kejadian, Hu Mou dan isterinya tidak menghentikan kenderaan mereka walaupun lampu isyarat itu merah. 
Beca yang mereka naiki musnah sama sekali. Bagaimanapun, pasangan suami isteri berkenaan terselamat. - Agensi/myMetro

Jumaat, 14 Mac 2014

Bomoh Aibkan Malaysia

Seorang bomoh bersama pembantunya sedang melakukan ritual pelik kononnya untuk membantu menjejaki pesawat MH370

Media Arab, Al-Arabia pula melaporkan rakyat Malaysia menggunakan sihir untuk menyelesaikan misteri MH370

Kenyataan seorang menteri Malaysia berkaitan khidmat bomoh


KUALA LUMPUR - Kemunculan beberapa individu mendakwa mereka bomoh dengan melakukan pelbagai aksi selain ritual pelik kononnya untuk membantu menjejaki kehilangan pesawat MH370 Sabtu lalu, mengundang pelbagai persepsi negatif termasuk negara luar yang mengecam tindakan syirik dan tahyul berkenaan. 
Pelbagai media antarabangsa melapor cerita ‘Bomoh Kartun’ di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sejak beberapa hari lalu seperti mengaitkan amalan itu sebagai budaya negara ini. 
Media Arab, Al-Arabia turut melaporkan sihir adalah usaha terakhir rakyat Malaysia dalam menyelesaikan misteri kehilangan MH370. 
Bekas Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin turut menyelar dan menegur perbuatan pembomohan yang dilakukan kumpulan individu berkenaan memalukan Malaysia. 
Kata Mohd Asri, perbuatan bodoh, tahyul dan memalukan yang dilakukan kumpulan bomoh berkenaan memberikan imej buruk kepada masyarakat negara ini. 
“Pelbagai media antarabangsa melapor cerita ‘bomoh kartun’ di KLIA seakan mengaitkan itu dengan budaya kita. 
“Al-Arabiya ini turut melaporkan bahawa sihir adalah satu jalan yang diambil oleh rakyat Malaysia dalam kes MH370.  
“Justeru itu Islam melarang karut marut dan tahyul yang membawa kepada syirik, bodoh lagi menjatuhkan nilai diri sebagai manusia berakal,” katanya dalam akaun Facebooknya, DrMAZA.com petang semalam. 
Petikan status itu turut dimuat naik bersama lampiran laporan media Arab berkenaan yang mendapat perhatian pengguna Facebook. 
Harian Metro mendapati tidak sampai dua jam status itu dimuat naik ia mendapat reaksi orang ramai dengan lebih 12,000 likes, 1,400 pelbagai komen selain 3,600 berkongsi di laman Facebook masing-masing. - myMetro

Khamis, 13 Mac 2014

Aktiviti Laga Kuda Masih Diadakan Di Filipina

Walaupun sudah diharamkan oleh Kerajaan Filipina sejak 1998, kegiatan laga kuda masih dilakukan

Ratusan penduduk tempatan bersorak seolah-olah sedang menyaksikan perlawanan gusti

Gambar yang dirakamkan di T’boli, selatan Filipina ini menunjukkan penduduk kampung sedang menyaksikan ‘pertumpahan darah’

Aktiviti laga kuda ini turut dipromosikan melalui laman web pelancongan tempatan

Aktiviti laga kuda ini membabitkan dua kuda jantan yang bertarung untuk merebut seekor kuda betina

Penduduk kampung yang menyaksikan perlawanan itu bertaruh bagi menentukan kuda mana yang menang


MANILA - Walaupun diharamkan sejak 1998, kegiatan laga kuda di Filipina masih dilakukan. 
Dengan dua ekor kuda jantan yang bertempur dalam gelanggang yang disediakan, ratusan penduduk tempatan akan bersorak seolah-olah sedang menyaksikan perlawanan gusti. 
Gambar yang dirakamkan di T’boli, selatan Filipina itu menunjukkan penduduk kampung menyaksikan ‘pertumpahan darah’ itu dalam acara Seslong yang diraikan penduduk tempatan setiap tahun. 
Bukan sahaja diadakan di hadapan ratusan penonton, aktiviti laga kuda yang diharamkan ini turut dipromosikan melalui laman web pelancongan tempatan. 
Aktiviti laga kuda ini membabitkan dua kuda jantan yang bertarung sehingga satu daripadanya mengalah atau mati untuk merebut seekor kuda betina yang diikat di tengah gelanggang. 
Penduduk kampung yang menyaksikan perlawanan itu bertaruh bagi menentukan kuda mana yang menang. - myMetro

Rabu, 12 Mac 2014

Pasukan Penyelamat Melepaskan 'Anjing Tersepit'

Roy Ortiz yang berasal Broomfield merancang memfailkan saman terhadap pasukan penyelamat

Ortiz diselamatkan daripada terperangkap dalam kenderaannya yang hampir tenggelam akibat banjir besar pada September lalu

Roy bercadang memfailkan saman sebanyak AS$500,000 (RM 1.6 juta) ke atas timbalan sherif Boulder dan beberapa orang yang lain

Ortiz berkata pasukan penyelamat tidak sepatutnya mengambil masa sehingga dua jam untuk menyelamatkannya

Ortiz mendakwa dia mengalami trauma akibat tindakan pasukan penyelamat yang lembab


COLORADO - Seorang lelaki yang diselamatkan daripada terperangkap dalam kenderaannya yang hampir tenggelam akibat banjir besar di kawasan kediamannya September lalu merancang memfailkan saman terhadap pasukan penyelamat. 
Roy Ortiz yang berasal Broomfield melalui peguamnya berkata pasukan penyelamat itu tidak sepatutnya mengambil masa sehingga dua jam untuk menyelamatkannya. 
“Ya, dia berterima kasih kepada penyelamat yang menyelamatkannya, tetapi itu tidak bermakna tiada kesilapan berlaku. 
“Saya faham ramai yang mengatakan tindakannya ini dianggap seperti melepaskan anjing tersepit. 
Namun, itu tidak bermakna pihak bomba bebas daripada melakukan kesilapan dan tidak boleh ditegur,” kata peguamnya Ed Ferszt. 
Menurut laporan Time-Call, Roy bercadang memfailkan saman sebanyak AS$500,000 (RM 1.6 juta) ke atas timbalan sherif Boulder, Jeannette Cunning dan beberapa orang lagi. - Agensi/myMetro

Selasa, 18 Februari 2014

Presiden Barack Obama Mula Sakit-sakit Badan

Presiden Barack Obama kini sudah mula mengadu sakit dan sengal badan

Obama, 52, memberitahu bekas bintang bola keranjang, Charles Barkley, dia mula mengehadkan bermain bola keranjang

Obama adalah seorang yang mengamalkan gaya hidup sihat yang gemar bermain golf


WASHINGTON - Presiden Barack Obama mula mengadu sakit dan sengal badan seperti kelaziman lelaki seusianya. 
Dalam satu rancangan temubual televisyen, Obama, 52, memberitahu bekas bintang bola keranjang negara itu, Charles Barkley, dia mula mengehadkan bermain bola keranjang kerana “sesuatu berlaku.” “Pertama saya semakin tua. Kedua, saya risau sekiranya disiku ketika bermain dan bayangkan jika hidung saya patah menjelang ucapan pembukaan untuk persidangan kesatuan,” katanya. 
Sewaktu membincangkan pindaan undang-undang kesihatan yang dibuatnya, Obama berkata, “Apabila melepasi umur 50 tahun, kesakitan terasa sebaik bangun dari tidur dan kita tidak mengetahui dari mana ia datang.” - Reuters/myMetro

Khamis, 23 Januari 2014

Pelajar Bawa Bapa Lumpuh Masuk Universiti

Guo membawa bapanya yang sakit lumpuh tinggal di asrama universiti

Guo mengambil gambar bersama bapanya menggunakan telefon bimbit

Walaupun dibebani tanggungjawab besar, Guo tetap berupaya memperoleh gred tertinggi

Guo menyewa sebuah bilik kecil berhampiran asrama universiti bagi memudahkan dia menjaga bapanya


BEIJING - Seorang pelajar China Guo Shijun merayu pihak berkuasa universiti agar membenarkan bapanya yang lumpuh tinggal di bilik asramanya sepanjang penggal pengajian. 
Guo yang tidak mahu menangguhkan pengajiannya kerana terpaksa menjaga bapanya yang lumpuh dan ibu yang sakit terpaksa membuat permohonan pengecualian itu. 
Disebabkan dia berjaya mendapat tempat di universiti terbaik dan pihak pentadbiran institusi pengajian tinggi itu kagum dengan dedikasinya menghadapi kesukaran dalam hidup, mereka membenarkan dia membawa bapanya ke asrama universiti bagi meringankan beban ditanggungnya. 
Guo, 20, yang berasal dari keluarga miskin menjalani zaman kanak-kanak dengan penuh kesukaran. Ibunya menghidap sakit mental selepas diserang meningitis ketika Guo masih kecil. Dia dan bapanya terpaksa bergilir-gilir menjaga ibunya. Walaupun dibebani tanggungjawab besar ketika kecil. Guo tetap berupaya memperoleh gred tertinggi di sekolah. 
Nasib yang menimpa Guo bertambah buruk apabila bapanya yang bekerja sebagai buruh binaan terbabit dengan nahas ketika bekerja. Bapanya terjatuh 15 meter dari sktruktur jambatan yang dibina di Liuan, wilayah Anhui menyebabkan lelaki itu lumpuh dari paras pinggang ke bawah. Sejak kejadian itu, datuk dan nenek Guo mengambil alih tugas menjaga ibunya, tetapi tidak mampu untuk turut menjaga bapanya. 
Kerana itu, Guo terpaksa menyewa sebuah bilik kecil berhampiran asrama universitinya dan membawa bapanya tinggal bersama-samanya bagi memudahkan dia menjaga bapanya. Untuk membiayai pengajiannya di universiti, Guo meminjam wang daripada rakan dan saudara-maranya. - Agensi/myMetro

Rabu, 15 Januari 2014

Kura-kura Kalahkan Arnab

Seekor kura-kura berjaya menewaskan arnab dalam pertandingan ski yang dianjurkan di utara China. Foto: AFP

Arnab dilaporkan tewas kerana ia suka melompat dan tidak mematuhi arahan pemiliknya. Foto: AFP

BEIJING - Seekor kura-kura dilaporkan berjaya menewaskan arnab dalam pertandingan ski yang dianjurkan untuk haiwan peliharaan di utara China semalam. 
Pelbagai jenis haiwan seperti kucing, anjing, ayam jantan dan itik saling bersaing ke garisan penamat di cerun bersalji di Hunan, lapor akhbar China News Service. 
Seramai 40 pemilik haiwan dibenar meletakkan haiwan peliharaan mereka di atas peralatan ski atau luncuran salji. 
Dalam keputusan yang tidak dijangka menyerupai kisah dongeng Greek, seekor kura-kura mengalahkan arnab dengan haiwan reptilia itu mendapat tempat ketiga secara keseluruhan. 
Akhbar melaporkan arnab tewas kerana ia suka melompat dan tidak mematuhi arahan pemiliknya. 
“Keadaan itu membolehkan arnab dipintas kura-kura,” lapornya. 
Kura-kura yang biasanya dijangka berhibernasi ketika musim sejuk dilihat bergerak di atas peralatan ski pemiliknya. 
Akhbar itu turut menyiarkan gambar seekor itik kuning memakai tali leher merah yang diberi sijil penghargaan kerana berjaya menamatkan perlumbaan. - AFP/myMetro

Rabu, 30 Oktober 2013

Kepada Yang Suka Marah-marah

Ibu, bapa atau guru orang matang. Kalau dah matang, kenapa marah pada budak yang masih mentah?

Ibu, bapa atau guru orang besar. Mengapa orang besar mesti marah pada orang kecil?

Kata banyak pengalaman. Tapi kenapa tak mampu kawal kemarahan?

Kata lulusan tinggi. Tapi kenapa suka cakap jerit-jerit macam orang tak ada akai?

Bagi mereka yang suka marah-marah kat anak sendiri kerana sayang dan untuk mendidik... 
1. Kita adalah orang matang, anak kita masih tak matang, mengapa yang matang perlu marah pada yang tak matang? 
2. Kita orang besar, mereka orang kecil, mengapakah orang yang besar perlu marah pada orang yang kecil? 
3. Kita adalah orang yang berpengalaman, anak-anak tidak pernah lagi melihat dunia... mengapakah harus kita harapkan anak-anak kita faham dan selari dengan pandangan kita... 
Pernahkah terfikir mengapa dua orang marah perlu berjerit antara satu sama lain walaupun duduk bersebelah? 
Pernahkah terfikir mengapa dua orang yang saling menyayangi lebih suka membisik antara satu sama lain walaupun duduk berjauhan, atau di telefon? 
Apabila kita marah, dua hati adalah berjauhan, oleh itu, mereka memerlukan suara/nada yang kuat untuk berhubung. Masalahnya, makin dijerit, makin berjauhan. 
Bagi mereka yang kita sayang, dua hati adalah dekat, jadi tidak perlu untuk menjerit-jerit, hanya perlu membisik sudah terasa dekat. Makin dibisik, makin terasa sayang. 
Itulah keajaiban ciptaan Allah pada sistem badan manusia. 
Maka, persoalannya, jika kita ingin mendidik anak-anak kita... perlukah kita marah-marah padanya walaupun mereka berbuat silap? 
Sekiranya menggunakan pendekatan marah-marah, tanya pula diri, adakah kita mahukan anak kita mendengar kata-kata dengan hati mereka berjauhan dengan kita? 
Atau kita mendidik dengan berbisik, supaya mereka faham dengar dan hati mereka kekal dekat dengan kita? 
Apabila kita sudah mula marah-marah pada anak, tanyalah diri sendiri adakah hati kita dan anak kita sudah berjauhan? 
Hubungan ibubapa dengan anak-anak yang terbaik ialah anak-anak menganggap ibubapa sebagai sahabat karib dengan penuh penghormatan tanpa rasa segan silu untuk berbincang segala masalah dengan ibu bapa. - Tuan Ibrahim Tuan Man/Harakahdaily