Allah berfirman dalam al-Quran:

"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran." Mafhum Surah al-Asr: ayat 1 - 3.

Khamis, 31 Januari 2013

Misteri Baju Kurung

Sebahagian daripada baju kurung dan kain batik milik Linda yang membuatkannya berasa seperti cacing kepanasan apabila memakainya. Foto: Kosmo!

Shamsuri (berdiri) turut membantu Linda dalam melakukan proses memulihkannya kembali daripada terkena sihir minyak dagu. Foto: Kosmo!


SEBELUM ini Linda (nama samaran) tidak pernah alah dalam berfesyen. Dia sering menjadi perhatian rakan-rakan sekerja kerana sentiasa menjaga penampilan. Saat itu dia bertugas sebagai seorang kerani di sebuah syarikat swasta di Grik, Perak. 

Dalam bijak berfesyen, Linda juga tidak mengenepikan hukum syarak apabila tampil menjaga aurat. Dia merupakan penggemar baju kurung setiap kali pergi ke pejabat. 

Namun, hidup Linda mula berubah apabila pada suatu hari badannya berasa seperti cacing kepanasan selepas memakai baju untuk ke pejabat. Keadaan itu berlaku secara berlarutan sejak lapan tahun lalu sehingga kini. 

“Pada mulanya saya berasa seperti tidak selesa dan sakit-sakit badan sejurus memakai baju kurung untuk ke tempat kerja. Badan berasa seperti mencucuk-cucuk, panas dan sendi begitu lemah. 

“Selain baju kurung, pakaian saya yang lain semuanya seolah-olah berpuaka kerana berasa begitu terseksa apabila memakainya. Kesakitan itu berulang pada setiap kali saya memakai pakaian lain yang digunakan semula selepas dicuci. 

“Hidup saya benar-benar terganggu sejak lapan tahun lalu sehinggalah kini,” kata Linda, 34 yang telah bertemu ramai bomoh dan pengamal perubatan alternatif bagi merawat masalah itu. 

Dia yang pada awalnya menganggap hal itu sebagai masalah kesihatan turut berjumpa doktor bagi melakukan ujian kerana sendi pada tubuhnya kerap berasa sakit. Namun, pegawai perubatan tidak dapat menentukan apa-apa masalah tentang kesihatannya. 

Biarpun terbiasa dengan keadaan yang menyeksakan itu, Linda menemui penyelesaian apabila dinasihatkan oleh pengamal perubatan Islam untuk cuba memakai baju baharu. Hal itu berikutan Linda didakwa telah terkena ilmu sihir menerusi minyak dagu yang dicalit pada pakaiannya. 

Tindakan memakai baju baharu memberikan kesan apabila tiada sebarang gangguan yang dialaminya. Namun masalah lain pula timbul apabila Linda terpaksa mengeluarkan perbelanjaan besar demi menukar pakaian baharu pada setiap hari sejak beberapa tahun lalu. 

“Apabila pakai baju baharu, saya tidak diserang apa-apa masalah. Sihir itu dikatakan menganggu apabila memakai baju yang sama berulang kali. Ini bermakna saya perlu memakai baju baharu pada setiap hari. 

“Kadang-kadang sanggup tidak mandi seharian kerana tiak mahu menukar baju lain,” kata ibu kepada dua orang cahaya mata itu. 

Linda terpaksa berhabis wang kerana perlu membeli pakaian baharu untuk dia memakainya pada setiap hari. 

“Apabila dihitung, mungkin perbelanjaan saya untuk membeli baju baharu sudah mencecah lebih RM100,000. Selain itu saya banyak meminjam pakaian daripada keluarga untuk menjimatkan kos membeli baju. 

“Ada juga saudara-mara yang memberikan pakaian terpakai kepada saya. Selepas memakainya sekali, saya sudah tidak boleh menyarungnya lagi. 

“Banyak juga baju yang hanya dipakai sekali telah diberikan kepada orang lain kerana saya sudah tidak boleh memakainya. Hingga kini, jumlah baju yang terpaksa saya beli sudah tidak terbilang jumlahnya tetapi memenuhi lima buah almari,” katanya kepada Jurnal baru-baru ini. 

Untuk mengubati masalah tersebut, Linda kini berhenti bekerja sebagai kerani di sebuah syarikat swasta dan pulang ke kampung halamannya di Kota Bharu, Kelantan sejak lima bulan lalu. 

“Hidup saya sengsara dalam tempoh yang lama. Apabila diberitahu telah terkena ilmu hitam oleh seseorang, saya kini sudah tidak bekerja lagi. Saya mahu memberi tumpuan kepada proses berubat,” kata wanita kecil molek itu. 

Dalam pada itu seorang pengamal perubatan Islam, Shamsuri Shafie menjelaskan bahawa minyak dagu merupakan salah satu daripada cara untuk melakukan sihir terhadap orang lain. 

Minyak dagu merupakan cecair yang terhasil daripada dagu orang mati yang dilayur di bawah api. Cecair berlemak itu akan keluar menerusi dagu selepas terkena bahang api dan seterusnya dijampi. 

“Bahan sihir itu kebanyakannya dibawa masuk dari negara jiran. Tidak hairanlah negeri-negeri yang bersempadan seperti Kelantan, Perak, Kedah dan Perlis menjadi lokasi mudah untuk mendapatkannya. 

“Kini saya dapati ada minyak dagu yang dipasarkan hingga ke Pahang oleh sindiket yang menjualnya secara komersial. Selalunya ia dijual pada harga antara RM300 hingga RM2,000 sebotol yang sebesar botol minyak atar mengikut gred,” kata Shamsuri yang menyatakan kerisauannya apabila bahan itu semakin mudah didapati. 

Tambahnya, minyak dagu dari Siam dihasilkan daripada mayat kanak-kanak yang dilahirkan pada hari Selasa. Bayi itu juga haruslah merupakan milik seorang ibu yang turut dilahirkan pada hari Selasa. 

Antara kegunaan minyak dagu dalam perbuatan sihir termasuklah sihir penunduk, sihir pengasih dan untuk membalas dendam dengan membuatkan mangsanya sengsara. 

“Cara menggunakannya ialah menerusi mencalit pada pakaian atau tubuh orang yang mahu ditujukan ilmu hitam itu. Selain itu, ada juga yang menanam botol minyak dagu di kawasan tertentu dan meletakkan dalam makanan mangsa,” kata Shamsuri yang turut membantu Linda mengatasi sihir tersebut menerusi bacaan ayat-ayat suci al-Quran. - Kosmo!

Muntah Yang Berharga

Muntah ikan paus yang dijumpai oleh Ken Wilman

Anjing Ken Wilman yang mula-mula terhidu muntah ikan paus ini

Ikan paus sedang berenang di dalam laut



LONDON – Seorang lelaki di sini, Ken Wilman ditawarkan wang berjumlah £43,000 (RM210,502) oleh seorang pembeli dari Perancis untuk muntah ikan paus yang ditemui anjing peliharaannya di sebuah pantai. 
Dia menemui objek itu selepas anjingnya mula menghidu batu yang agak besar dengan tekstur melekit berwarna kekuningan ketika bersiar-siar di bandar Morecambe, barat laut England. 
Muntah yang jarang ditemui itu dipercayai menjadi bahan asas penting untuk penghasilan minyak wangi. 
Wilman percaya objek tersebut adalah sebahagian daripada ambergris, bahan yang ditemui dalam sistem penghadaman ikan paus sperma. 
Ikan paus kadang kala memuntahkan ambergris yang kemudian terapung di permukaan air dan dianggap bernilai tinggi sejak berabad-abad lamanya. – AFP / Kosmo!

PRU13: Berita Baik Buat 1.4 Juta Penjawat Awam

Muhyiddin menghadiri Perjumpaan Khas Bersama Pemimpin Masyarakat dan Pertubuhan Bukan Kerajaan di Kota Bharu. Foto: Sinar Harian


KOTA BHARU - Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak menolak kemungkinan akan ada lagi beberapa berita gembira bakal diumumkan buat kira-kira 1.4 juta penjawat awam di negara ini apabila beberapa permasalahan mereka dapat diselesaikan tidak lama lagi. 
Beliau berkata kerajaan sememangnya mengambil berat soal kebajikan penjawat awam yang telah banyak membantu membangunkan negara selama ini. 
"Saya faham telah banyak perkara yang telah dapat diselesaikan oleh kerajaan namun masih ada beberapa perkara yang belum selesai. 
"Tunggulah dan berdoalah agak panjang daripada biasa kerana mungkin ada berita baik akan diterima (oleh penjawat awam) tidak lama lagi," katanya ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Khas Bersama Penjawat Awam Persekutuan dan Negeri Kelantan di Dewan Utama, Universiti Sains Malaysia (USM) Kampus Kesihatan di sini, hari ini. 
Turut hadir pada majlis dihadiri lebih 3,000 penjawat awam itu ialah isteri Muhyiddin, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, Menteri Pelancongan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Awang Adek Hussin, Naib Canselor USM Prof Datuk Dr Omar Osman dan Presiden Cuepacs Datuk Omar Osman. 
Muhyiddin berkata kerajaan sangat menghargai jasa dan peranan penjawat awam yang pada masa sama telah menjadi "mata dan telinga" kerajaan bagi menyelesaikan masalah rakyat keseluruhan. 
Beliau berkata, melalui penjawat awam, kerajaan mendengar segala rintihan rakyat yang kemudiannya akan bertindak untuk membela mereka yang memerlukan pembelaan. 
Timbalan Perdana Menteri juga menzahirkan rasa bangga dengan peranan penjawat awam yang telah berjaya merealisasikan program transformasi negara sehingga lahir sebagai sebuah negara yang dikagumi. 
"Saya bangga dengan peranan penjawat awam ini kerana segala yang kita sasarkan itu telah menjadikan keadaan negara jauh lebih baik daripada sebelum ini," katanya. 
Beliau juga mahukan penjawat awam di semua sektor dapat memastikan setiap peruntukan pada belanjawan yang diumumkan dapat digunakan dengan sebaik mungkin bagi pembangunan negara. 
Timbalan Perdana Menteri berkata soal politik tidak akan diambil kira dalam membangunkan Kelantan kerana yang penting adalah memastikan rakyat negeri itu sama-sama menikmati pembangunan negara. 
Pada sesi dialog selepas itu, Muhyiddin berkata kerajaan sama sekali tidak bercadang untuk mengurangkan jumlah penjawat awam di negara ini. 
Beliau berkata pihak tertentu tidak boleh membandingkan saiz penjawat awam di Malaysia dengan negara lain kerana keadaan itu sangat berbeza sama sekali. 
Muhyiddin jturut menafikan negara akan muflis seperti dakwaan pembangkang kerana kerajaan Barisan Nasional (BN) merupakan kerajaan yang bertanggungjawab dan berkemampuan untuk membangunkan negara. 
"Selagi kerajaan Barisan Nasional kekal memerintah, kita tidak akan menjadi negara yang bankrap kerana kita ada segala kemampuan," katanya. 
Beliau juga berkata segala bentuk bantuan terutama Bantuan Rakyat 1Malaysia akan diteruskan pada masa hadapan jika keadaan ekonomi yang baik ketika ini dapat diteruskan lagi. - Bernama


Misteri Kematian Gajah Pigmi Di Sabah

Yang selamat, hanya seekor anak gajah

Anak gajah di samping ibunya yang telah mati

Adakah anak gajah ini sedih dengan kematian ibunya?

Bangkai gajah yang mati diukur oleh renjer hidupan liar

Sebahagian bangkai gajah yang mati secara misteri

Sebenarnya, amat sukar menemui bangkai gajah jika dia mati secara normal


KINABATANGAN — Polis Kinabatangan mengesahkan menerima laporan daripada Jabatan Hidupan Liar berhubung kematian 13 ekor gajah Pygmy Borneo beberapa minggu lalu di Hutan Simpan Gunung Rara, Ulu Kuamut, Kinabatangan. 
Ketua Polis Daerah Kinabatangan, DSP Martin Lugu berkata, pihaknya menerima laporan polis itu pada 25 Jan dan telah membuka kertas siasatan mengenai kejadian itu. 
"Kami akan menjalankan siasatan mengikut Seksyen 429 Kanun Keseksaan (Khianat Terhadap Binatang). Siasatan dijalankan berdasarkan bidang kuasa polis termasuk meneliti sama ada berlaku unsur jenayah atau khianat,” katanya kepada pemberita di sini semalam. 
Berdasarkan laporan itu, pada 24 Januari, kira-kira jam 3.30 petang bertempat di kawasan Hutan Simpan Gunung Rara, lima ekor bangkai gajah iaitu satu jantan dan empat betina ditemui kira-kira lima kilometer daripada pintu pagar sebuah syarikat pembalakan iaitu Ampayar Kejora. 
Pemeriksaan terhadap semua bangkai gajah berkenaan mendapati tidak ada kesan kecederaan pada bangkai itu dan pada hari berikutnya iaitu pada 25 Januari satu lagi bangkai gajah ditemui kira-kira 1.5 kilometer dari pintu masuk syarikat pembalakan berkenaan dengan seekor anak gajah yang masih sihat berada dekat bangkai itu. 
Pada 26 Januari seekor lagi bangkai gajah ditemui kira-kira 14 kilometer dari pintu masuk syarikat pembalakan berkenaan dan tiga hari kemudian iaitu pada 29 Jan tiga lagi bangkai gajah ditemui tetapi lokasi bangkai itu ditemui belum dikenal pasti. 
Martin berkata, unit Forensik dengan bantuan Unit Udara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pegawai polis dari Tawau akan ke kawasan kejadian itu esok untuk menjalankan siasatan. 
Sehingga berita ini ditulis, sebanyak 13 ekor bangkai gajah ditemui. — BERNAMA

Israel Serang Syria

Sebuah pesawat F15 milik tentera udara Israel. Foto: AP


BEIRUT - Israel dilaporkan melancarkan serangan udara ke dalam kawasan Syria yang bersempadan dengan Lebanon. Pihak Amerika Syarikat (AS) mengesahkan serangan tersebut dengan mengatakan sebuah konvoi lori hancur diserang oleh Israel. 
Menurut dua pegawai Israel yang enggan dikenali, serangan itu ditujukan terhadap konvoi penghantaran barang yang diyakini oleh Israel mengandungi senjata yang hendak dibekalkan kepada kumpulan Hizbullah di Lebanon. 
Senjata tersebut dilaporkan adalah senjata canggih dan berkemampuan tinggi. Di antara senjata yang diseludup adalah peluru berpandu anti pesawat pejuang SA-17 yang dihasilkan Rusia. Di bawah kawalan Hizbullah, senjata itu mampu mengubah peta perjuangan kumpulan Hizbullah di Lebanon. 
Serangan kali ini akan menyebabkan hubungan Israel dengan Syria dan sekutunya, Hizbullah akan terus menjadi panas. Selain itu, serangan ini juga usaha Israel untuk menghalang Hizbullah memiliki senjata yang boleh menghancurkan Israel. 
Syria sehingga kini masih dilanda perang saudara antara tentera kerajaan dengan pihak pembangkang. Presiden Syria, Bashar Al-Assad enggan melepaskan kuasa, walaupun pertempuran sudah berlangsung selama 22 bulan yang bermula Mac 2011 lalu. 
Banyak pihak di Israel khuatir, kemerosotan kuasa Assad akan menyebabkan senjata kimia yang dimiliki Syria jatuh ke tangan Hizbullah. - Reuters

Rabu, 30 Januari 2013

Kelajuan Lamborghini Model Baru 330 KM Sejam

SEBUAH kereta Lamborghini Aventador dipandu di sebuah landasan
Lapangan Terbang Antarabangsa Miami di Florida kelmarin.


MIAMI, Florida - Sebanyak 12 buah kereta sport Lamborghini Aventador LP 700-4 Roadster dipandu laju di landasan Lapangan Terbang Antarabangsa Miami di sini kelmarin. 

Beberapa pegawai lapangan terbang itu menyatakan, kereta tersebut mencatatkan kelajuan 330 kilometer sejam semasa dipandu di landasan tersebut. 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Lamborghini, Stephan Winkelmann turut memandu salah sebuah kereta itu. 

Pertunjukan itu diadakan bagi meraikan ulang tahun ke-50 syarikat kereta tersebut. - Agensi / Kosmo!

Tayar Meletup Perkhidmatan Monorail Tergendala

Monorail Kuala Lumpur. Foto: malaysiacentral.com

Laluan KL Monorail. Sumber: malaysiacentral.com

Stesen monorail Chow Kit. Foto: wikipwdia

Monorail bertolak dari stesen Titiwangsa. Foto: wikipedia

Keadaan dalam monorail ketika keadaan normal. Foto: virtualtourist.com

Menyelamatkan para penumpang ketika monorail rosak. Foto: feeqsays.com


KUALA LUMPUR - Perkhidmatan monorail di bandar raya ini tergendala selepas satu daripada tayar getah sebuah trennya yang dalam perjalanan ke Stesen Titiwangsa, meletup berhampiran Stesen Monorail KL Chow Kit semalam. 
Pengurus Kanan Komunikasi dan Hal Ehwal Media Syarikat Prasarana Negara Berhad Berhad (Prasarana) Azhar Ghazali berkata tindakan pantas pemandu tren berkenaan berjaya memastikan keselamatan penumpang. 
"Pemandu berkenaan, Rizalman Rosli, 37, berjaya memberhentikan tren dengan selamat apabila tayarnya meletup pada 6.30 petang. Sebuah tren dihantar untuk menarik tren yang terkandas itu ke stesen terdekat. 
"Selepas itu, sebuah tren penyelamat dihantar dan sampai di tempat kejadian pada jam 7.15 malam untuk memindahkan penumpang," katanya dalam kenyataan. 
Ketua Pegawai Operasi KL Monorail Abdul Hadi Amran berkata urusan pemindahan penumpang selesai menjelang jam 7.24 malam dan kesemua 200 penumpang selamat, manakala alat penyaman udara tren terbabit berfungsi sepanjang urusan pemindahan penumpang dijalankan. 
Katanya pasukan penyelamat KL Monorail menjalankan kerja pemindahan penumpang itu dengan bantuan Jabatan Bomda dan Penyelamat. 
"Kami sediakan perkhidmatan alternatif di stesen kami sehingga perkhidmatan monorail disambung semula," katanya. 
Sementara itu, pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Khiruddin Drahman dalam kenyatan melalui khidmat pesanan ringkas kepada Bernama berkata 29 anggota bomba dan penyelamat dari balai bomba Hang Tuah, Setapak, Titiwangsa dan Sentul terlibat dalam operasi menyelamat itu. 
Katanya mereka membantu memindahkan 164 penumpang iaitu 103 wanita, 60 lelaki dan seorang kanak-kanak. - Bernama

Tengkorak Tergantung Di Celah Pokok

Tengkorak manusia (dalam bulatan) ditemui tergantung di sebatang pokok di Pusat Pentadbiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di Sepang semalam.


SEPANG – Seorang pekerja landskap terkejut menemui tengkorak wanita berambut panjang tergantung di celah sebatang pokok rimbun di pintu masuk Pusat Pentadbiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini semalam. 
Kejadian pukul 11 pagi itu disedari oleh pekerja itu kira-kira 100 meter dari bangunan Terminal Penerbangan KLIA. 
Satu sumber berkata, tengkorak manusia warga China itu ditemui oleh seorang pekerja yang ditugas menebas rimbunan pokok di kawasan itu. 
Sumber itu berkata, pokok itu dipercayai pokok mengkuang. 
“Semasa melakukan kerja-kerja di situ, pekerja itu terkejut menemui tengkorak manusia tergantung di celah pokok manakala rangkanya pula bersepah di tanah. 
“Rangka manusia itu berseluar jeans dan berbaju serta berambut panjang,” kata sumber itu ketika dihubungi Kosmo!. - Kosmo!

Dari myMetro


ANGGOTA Unit Forensik polis menjalankan siasatan di tempat kejadian, semalam.

Anggota polis dari Jabatan Forensik melakukan siasatan di lokasi rangka wanita ditemui. Foto: Sinar Harian



“Saya nampak objek seperti tulang tangan di tanah, tetapi disebabkan menyangka ia hanya patung saya meneruskan kerja menebas sebelum mendapati ia rangka manusia,” kata Sukirno Sukar, pekerja pembersihan yang menemui rangka manusia yang lengkap berpakaian di kawasan semak mengkuang berdekatan Pusat Pengurusan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, semalam. 

Dalam kejadian jam 11.30 pagi itu, Sukirno, 53, bersama rakannya ditugaskan menebas semak di situ sebelum menemui rangka manusia yang terpisah kepala. 
“Bila menyedari objek itu rangka manusia, saya terkejut dan melompat melarikan diri sambil memanggil rakan yang berkerja berhampiran,” katanya yang ditemui, semalam. 
Menurutnya, sambil ditemani rakan, dia cuba melihat lebih dekat rangka itu dan mendapati kepala sudah hilang sebelum menemui tengkorak yang masih berambut tergantung di pokok mengkuang. 
“Kami berasa pelik kerana rangka itu tiada kepala. Kemudian, kami memeriksa kawasan sekeliling dan menemui kepala berambut panjang diikat dengan tali pada pokok mengkuang,” katanya. 
Dia berkata, mereka memaklumkan penemuan itu kepada pihak pengurusan landskap dan seterusnya melaporkan kepada polis. 
Difahamkan, rangka yang lengkap berseluar dan memakai baju-T itu seorang wanita dan dipercayai sudah meninggal dunia sejak sebulan lalu. 
Berhampiran rangka terbabit turut ditemui pasport milik seorang wanita warga China berusia 29 tahun dan pemeriksaan polis mendapati dia masuk ke Malaysia sejak 2010. 
Selain itu, barangan lain yang dijumpai termasuk kad kredit dan duit dalam mata wang yuan China. 
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sepang Superintendan Imran Abdul Rahman berkata, siasatan awal mendapati tiada tanda hentakan atau kecederaan pada tengkorak berkenaan. - myMetro 

Selepas 127 Tahun Belanda Akan Diperintah Raja

Ratu Beatrix (kanan) bersama Putera Mahkota Willem-Alexander


AMSTERDAM - Buat pertama kali, Belanda akan diperintah oleh Raja selepas 123 tahun diperintah oleh Ratu, apabila Putera Willem-Alexander menaiki takhta pada April ini. Raja  terakhir memerintah Belanda sebelum Ratu ialah Raja William III. 
Putera Alexander dilahirkan pada 27 April 1967 dan tinggal di Istana Drakensteyn hingga bondanya, Ratu Beatrix, menaiki takhta Belanda. 
Selepas bondanya menjadi Ratu, Putera Alexander berpindah ke Den Haag. Baginda mengikuti pendidikan di sekolah umum dan meneruskan pengajian di United World College of Atlantic, di Wales. 
Selain belajar di institusi pendidikan bertaraf antarabangsa, Putera Alexander juga pernah menyertai angkatan tentera. Setelah tamat latihan ketenteraan, Putera Alexander meneruskan pengajian sejarah di Universiti Leiden. Putera ini terkenal dengan hobi gemar berpesta sehingga baginda digelar Putera Pils (bir). 
Di peringkat antarabangsa, Putera Mahkota Belanda itu pernah menjadi anggota penasihat Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk isu air dan sanitasi. Baginda juga aktif dalam dunia sukan dan menjadi ahli Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa. 
Pada 3 Julai 2001, putera berusia 45 tahun itu berhadapan  kontroversi apabila baginda berkahwin dengan Máxima Zorreguieta, anak kepada bekas anggota junta tentera Argentina. 
Ramai pihak berharap, Putera Willem-Alexander akan memakai gelaran William IV. Gelaran itu juga digunakan oleh Raja William III (1817-1890). Nama sebenar Raja William III ialah Willem-Alexander Paul Frederik Lodewijk. 
Raja William III ialah putera kepada William II dan Permaisuri Anna Pavlovna dari Rusia. 
Putera Willem-Alexander akan menaiki takhta pada 30 April depan untuk menggantikan bondanya, Ratu Beatrix yang berusia 74 tahun. Ratu Beatrix mengumumkan akan turun takhta melalui siaran kebangsaan pada Isnin lalu. - Dutchnews




Yahudi Britain Bantah Karikatur Berdarah

Karikatur Netanyahu berlumuran darah penduduk Palestin. Foto: Sunday Times


LONDON - Sebuah akhbar di sini yang dimiliki oleh jutawan media Rupert Murdoch telah menerbitkan karikatur Perdana Menteri Israel Benyamin Netanyahu, yang berlumuran darah rakyat Palestin. 
Bagaimanapun, karikatur tersebut mendapat kecaman warga Yahudi di negara ini, menyebabkan Murdoch segera memohon maaf kepada masyarakat berkenaan. 
Kartun tersebut diterbitkan oleh Akhbar Sunday Times milik Murdoch dan dilukis oleh seorang kartunis bernama Gerald Scarfe. 
"Kartun Gerald Scarfe tidak menunjukkan pandangan akhbar Sunday Times. Kami meminta maaf di atas terbitnya kartun tersebut yang membuat ramai orang merasa tersinggung," ujar Murdoch dalam akaun Twitternya. 
Murdoch menghantar salah seorang redaksi Sunday Times untuk bertemu dengan masyarakat Yahudi Britain dan memohon maaf kepada mereka. 
Sebelum itu, masyarakat berkenaan mengecam kartun tersebut sebagai melampau dan menjijikkan. Mereka mendakwa, penerbitan kartun tersebut serupa dengan fitnah yang dilemparkan kepada kaum Yahudi pada masa lalu. 
Pada masa lalu, kaum Yahudi seringkali dituduh sebagai kaum yang hauskan darah dan akan menculik kanak-kanak untuk diminum darahnya. Masyarakat Yahudi juga kesal kerana penerbitan kartun tersebut bersamaan dengan hari peringatan Holocaust pada 27 Januari lalu. 
Ahli politik di Israel juga turut mengecam kartun tersebut.  Speaker Parlimen Israel, Reuven Rivlin menyatakan, kartun tersebut mengingatkan kaum Yahudi kepada masa lalu ketika kaum Yahudi di negara Barat seringkali didiskriminasi dan difitnah. - AFP

Selasa, 29 Januari 2013

Buaya Besar Tarik Minat TYT Sarawak

Buaya Selang ini asalnya dikenali sebagai Bujang Teruntum

Buaya Selang yang ditangkap di Sungai Teruntum, Kuching kelmarin bukan sahaja menarik perhatian Abang Muhammad Salahuddin (dua dari kiri) malah isterinya, Norkiah memberanikan diri duduk di atas buaya.


KUCHING - Buaya Bujang Teruntum yang ditangkap di Sungai Teruntum berdekatan rumah rehat Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng di sini kelmarin adalah seberat 629 kilogram (kg) berbanding anggaran asal 300kg. 
Berikutan berat luar biasa itu, Abang Muhammad Salahuddin menukar gelaran reptilia itu kepada Bujang Selang yang mengambil sempena nama kampung tempat buaya itu ditangkap. 
Berat buaya tersebut disahkan oleh pegawai Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) yang menimbang reptilia sepanjang lima meter itu setelah ia diangkat oleh sekumpulan 15 lelaki ke atas tebing sungai semalam. 
Kerja-kerja menimbang berat buaya itu dilakukan selepas ia dikeluarkan dari sangkar yang memerangkapnya di sungai berkenaan untuk dibawa ke Pusat Perlindungan Hidupan Liar Matang di sini. - Kosmo!

Mangsa Culik Di Lahad Datu Mungkin Masih Hidup

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib (tengah)

Ibu Pejabat Polis Bukit Aman. Foto: imej google

Lokasi tempat penculikan berlaku. Sumber: google

Kumpulan bersenjata Filipina. Foto: imej google

Pemandangan di Felda Sahabat Resort, Lahad Datu. Foto: imej google


KOTA KINABALU - Polis percaya kedua-dua mangsa penculikan membabitkan seorang pengurus ladang kelapa sawit dan penolongnya di Lahad Datu Nov lepas masih hidup dan usaha untuk memastikan pelepasan mereka sedang giat dijalankan. 
Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata setakat ini, beberapa perbincangan antara kedua-dua negara bagi melepaskan mangsa sedang giat dijalankan di peringkat Ibu Pejabat Polis Bukit Aman. 
"Pihak Bukit Aman masih lagi berhubung dan bekerjasama dengan Filipina dan kedua-dua mangsa masih hidup. 
Kes itu merupakan kejadian culik dan disiasat mengikut Seksyen 3 (1) Akta Culik 1961. Kita juga ada laporan yang mengatakan mereka selamat," katanya pada sidang akhbar di Kota Kinabalu hari ini. 
Hamza yang sebelum itu menghadiri perhimpunan bulanan pertama bagi tahun ini anjuran Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik diminta mengulas mengenai kes membabitkan dua rakyat tempatan di pantai timur Sabah pada Nov tahun lepas. 
Lima lelaki bersenjata api dilapor menculik kedua-dua mangsa dari ladang yang terletak kira-kira dua kilometer dari kawasan pantai iaitu bersebelahan Felda Sahabat 15, kira-kira 50 kilometer dari pekan Lahad Datu. 
Dalam kes berasingan, Hamza berkata pihaknya menahan seorang warga Filipina kerana memiliki pasport palsu dan dokumen perjalanan tidak sah pada Khamis lepas. 
"Suspek ditahan kerana mempunyai identiti yang meragukan dan penahanannya tiada kena-mengena dengan skim penipuan di Filipina," katanya. 
Suspek disiasat mengikut Seksyen 12 (1)(D) Akta Pasport 1966 yang membawa hukuman denda maksimum RM10,000 atau lima tahun penjara atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. 
Beliau berkata sehingga kini pihak polis tidak dimaklumkan tentang permintaan rasmi dari Filipina berhubung suspek yang dikehendaki atas kesalahan jenayah di negara itu. 
Menurutnya, polis akan bekerjasama dengan pasukan keselamatan dari negara jiran itu melalui prosedur yang betul bagi menjamin keharmonian antara kedua-dua negara. 
Akhbar tempatan melaporkan seorang lelaki yang dipercayai melakukan skim penipuan wang di Filipina melarikan diri ke negara ini tahun lalu dan ditahan di Ranau, di Kota Kinabalu pada Khamis lepas. - Bernama

Ratu Beatrix Turun Takhta Belanda

Ratu Beatrix mengumumkan hasrat baginda hendak turun takhta pada 30 April

Ratu Beatrix akan menyerahkan Takhta Belanda kepada Putera baginda

Ratu Beatrix mempunyai hubungan yang erat dengan Ratu Elizabeth Britain

Ratu Beatrix dan suami bersama Putera Alexander semasa masih kecil

Ratu Beatrix bersama bekas suami, Putera Claus semasa di London


AMSTERDAM - Ratu Beatrix Belanda mengumumkan akan turun takhta setelah memerintah selama 33 tahun dan menyerahkan takhta kepada Putra Mahkota Willem-Alexander pada 30 April akan datang.  
Ratu mengumumkan pengundurannya melalui siaran kebangsaan pada Isnin, tiga hari sebelum hari ulang tahun baginda yang ke-75. 
Sementara itu, Perdana Menteri Belanda Mark Rutte mengumumkan bahawa Putera Willem-Alexander sudah bersedia untuk melaksanakan tugas sebagai Raja Belanda. 
"Ratu selalu berada di samping kita sama ada pada waktu senang atau waktu susah. Pengetahuan dan keinginan baginda yang besar menyebabkan baginda menjadi ikon Belanda," ujar PM Rutte. 
Dalam usia 74 tahun, Ratu Beatrix sangat popular di kalangan rakyat. Baginda bersama keluarga diraja menunjukkan sikap terpuji sebagai anggota monarki. 
Baginda kerap naik basikal di The Hague walaupun baginda adalah anggota Bildeberg Group, sebuah kumpulan tokoh ekonomi berpengaruh dan tersenarai sebagai anggota monarki yang kaya. 
Baginda juga kerap bekerja di belakang tabir politik nasional Belanda. Sehingga tahun lalu, Ratu Beatrix mempunyai hak inisiatif untuk mengemukakan calon yang akan membentuk kerajaan dalam sistem kerajaan campuran Belanda yang rumit. 
Baginda berpisah dengan Putera Claus sedekad yang lalu dan mengalami beberapa peristiwa duka sepanjang tahun 2012. Putera kedua baginda, Putera Friso, cedera parah akibat kemalangan ski di Austria dan sehingga kini masih dalam keadaan koma di London. 
Keputusan Ratu Beatrix itu membuka jalan kepada Putera Mahkota Willem-Alexander menaiki takhta pada usia 45 tahun. Isteri baginda, Puteri Maxima, berasal dari Argentina dan akan menjadi permaisuri. - Guardian

Kerani Wanita Nyaris Ditipu 'Pegawai BNM'

Taman Medan Maju Jaya (hiasan). Foto: imej google

Bangunan Bank Negara Kuala Lumpur (hiasan). Foto: imej google

Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (hiasan)

Kompleks Daya Bumi (hiasan)

Pejabat Pos Malaysia (hiasan). Foto: imej google


Balai Polis Petaling Jaya (hiasan). Foto: imej google


PETALING JAYA - Seorang kerani wanita di Medan Maju Jaya, di sini, nyaris menjadi mangsa penipuan sindiket penyamaran pegawai Bank Negara Malaysia (BNM) dan pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur apabila diperdaya membuat pindahan wang dari akaun bank mangsa kononnya simpanannya itu akan dibekukan untuk siasatan satu kes mahkamah. 
Menurut sumber, mangsa berusia 46 tahun mendakwa menerima panggilan dari pejabat Pos Malaysia, Kompleks Dayabumi memaklumkan dia mempunyai surat dari mahkamah yang tidak dituntut dan memintanya menunggu panggilan dari IPK Kuala Lumpur, 21 Januari lalu. 
“Mangsa kemudian dihubungi seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai Inspektor Johnson Tan sebelum pegawai polis itu memberitahu mangsa tidak menghadirkan diri dalam satu kes mahkamah. 
“Pegawai polis itu memaklumkan mangsa terbabit kes berkaitan sindiket wang palsu dan diminta menunggu panggilan pihak BNM untuk arahan selanjutnya,” katanya. 
Katanya, tidak lama kemudian mangsa dihubungi seorang lelaki dari BNM yang memperkenalkan diri sebagai Encik Tan dan memberitahu akaun bank mangsa sudah disekat serta tidak boleh melakukan urusan keluar dan masuk duit. 
“Bagaimanapun, lelaki terbabit menawarkan bantuan bagi mengelak akaun atau wang mangsa daripada dibekukan atau dirampas dan memperdaya mangsa membuat pindahan wang dari akaun bank mangsa ke akaun bank yang dibekalkan sindiket. 
“Lelaki terbabit meminta mangsa pergi ke bank berhampiran untuk melakukan pemindahan wang selain memberikan satu akaun atas nama seorang lelaki tidak dikenali,” katanya. 
Namun, mangsa mengesyaki ia perbuatan sindiket penipuan dalam talian sebelum membuat laporan di Balai Polis Petaling Jaya. - myMetro

Di Denda Oleh Mahkamah Kerana Buang Sampah

KFC tempat Laura Howells membeli makanan tengah hari

Paket garam yang terjatuh ini hanya bersaiz 2.5cmx5cm

Gagal membayar denda Howells di hadapkan ke mahkamah dan dikehendaki membayar £ 400

Laura Howells terkilan kerana kesalahanya terlalu kecil dan tidak sengaja


Seorang wanita muda telah didenda £ 400 kerana menjatuhkan paket garam di tempat letak kereta. 
Pekerja pejabat Laura Howells, 24, menjatuhkan paket kecil - berukuran hanya 2.5cmx5cm - selepas dia membeli makanan tengah hari dari KFC. 
Dia kemudian dilihat makan di dalam kereta beliau oleh pegawai penguat kuasa sampah dari majlis tempatan yang menyerahkan denda £ 75 secara spontan. 
Dia berkata, "Saya tidak percaya ia, ia hanya satu paket garam.” 
“Saya ke KFC dengan rakan-rakan dan kami sedang duduk dalam kereta dengan makanan dan saya mungkin telah menjatuhkannya secara tidak sengaja.” 
Tetapi apabila dia gagal membayar denda itu, dia telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Carmarthen. 
Dia mengaku bersalah di bawah Seksyen 87 Akta Perlindungan Alam Sekitar 1990 tetapi dia diberitahu bahawa dia dikehendaki membayar kos £ 316,85 dan £ 15 sebagai surcaj. 
Howells, dari Kidwelly, West Wales, telah ditangkap oleh pegawai-pegawai penguatkuasa alam sekitar Majlis Carmarthenshire di tempat letak kereta di Trostre, Llanelli B & Q. 
Jim Jones, ahli lembaga eksekutif majlis itu berkata, "Saya berharap tindakan ini adalah sebagai amaran kepada orang lain." - Mail Online


Fosil Yang Mengilhamkan Watak Alien

Fosil berusia 300-juta-tahun ini mengilhamkan artis mencipta watak antagonis tambahan dalam filem Alien, telah dicuri dan kemudian kembali ke muzium Switzerland

Salah satu adegan  yang terdapat dalam filem Ridley Scott

Relik yang memberi inspirasi kepada rupa makhluk asing dalam filem blockbuster Alien Ridley Scott

Karya Necronom IV oleh HR Giger berdasarkan fosil purba Swiss dan sumber inspirasi kepada reka bentuk Alien


Ramai di antara kita tidak mempercayai adanya alien. Tetapi melihat fosil pelik ini mungkin membuatkan anda berhenti dan berfikir. 
Relik ini sebenarnya adalah fosil purba yang mengilhamkan musuh tambahan dalam kisah seram klasik Ridley Scott SCI-fi, Alien. 
Pencipta Alien adalah artis Swiss, Hans Rudolf Giger, yang telah diminta oleh Ridley Scott menghasilkan reka bentuk makhluk asing selepas dia melihat seni Necronom Giger IV, salah satu reka bentuk yang telah banyak beliau katakan berdasarkan fosil. 
Reka bentuk Giger memenangi Anugerah Pencapaian Terbaik Akademi bagi Kesan Visual filem pada 1979. 
Tetapi makhluk asing daripada fosil fiksyen itu sebenarnya adalah tinggalan bentuk awal kehidupan yang wujud di planet kita sendiri kira-kira 300 juta tahun yang lalu. 
Fosil yang amat jarang ditemui ini, yang dipamerkan di Switzerland bukan sahaja menarik ramai pengunjung, tetapi juga menggoda seorang pencuri. 
Polis percaya pencuri yang memecah masuk dan mencuri hadiah pameran muzium dinosaur Aathal - adalah pengumpul fosil. 
Minggu lalu polis mengeluarkan gambar dalam usaha untuk mengesan dan mencari sesiapa yang mengambil barang pameran itu. 
Selepas itu, bahan yang tidak ternilai harganya itu telah dikembalikan dengan dimasukkannya ke dalam kotak pos muzium menggunakan sampul surat. 
Kurator Muzium Dr Thomas Bolliger berkata, "Ia tidak rosak - walaupun salah satu senjata telah dipatahkan." 
“Ia benar-benar adalah fosil yang luar biasa dan menunjukkan dua spesies yang berasingan daripada haiwan yang tidak bertulang yang hidup di bawah laut kira-kira 300 juta tahun lalu.” 
Seorang jurucakap muzium menambah, “Ia adalah sangat berharga tetapi juga fosil yang sangat unik dan ia akan menjadi sangat sukar bagi sesiapa untuk menjual atau menyimpan rahsia yang telah mendapat publisiti semasa kecurian.” - Mail Online