Allah berfirman dalam al-Quran:

"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran." Mafhum Surah al-Asr: ayat 1 - 3.

Selasa, 17 Disember 2013

Pengganas Suluk Serang Sabah Kali Kedua?

Polis mendapat maklumat, pengganas Suluk dijangka melakukan serangan kedua di sekitar Pantai Timur Sabah (foto hiasan)

Kumpulan pengganas Suluk yang telah menyerang Pantai Timur Sabah pada awal tahun ini

Peta menunjukkan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM)


KUALA LUMPUR - Polis mendapat maklumat kumpulan pengganas Suluk dijangka melakukan serangan kedua di beberapa kawasan sekitar Pantai Timur Sabah dalam masa terdekat bagi mendapatkan wang tebusan melalui penculikan yang dirancang. 
Berdasarkan maklumat diperoleh polis, tiga lokasi yang dipercayai menjadi sasaran kumpulan militan Abu Sayyaf dan Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) itu ialah Pulau Selingan, Sandakan, Pulau Langkayan di Beluran dan Resort Sukau di Kinabatangan. 
Kumpulan itu dipercayai akan bertindak melakukan serangan di kawasan sasaran mereka antara hari ini sehingga menjelang Krismas 25 Disember ini. 
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar ketika diminta mengulas perkara itu mengesahkan polis menerima pelbagai maklumat dari semasa ke semasa berhubung rancangan dilakukan kumpulan pengganas berkenaan dan sentiasa memperketatkan kawalan laut, darat dan kawasan kepulauan demi keselamatan dan ketenteraman awam, khususnya di Pantai Timur Sabah. 
“Polis dan pasukan di Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan. 
“PDRM juga giat menjalankan Operasi Cantas Khas (Op Cantas) di seluruh kawasan terbabit manakala pasukan ESSCOM menjalankan Ops Gasak khususnya di kawasan rumah air dan pulau untuk menghalang cubaan pengganas Suluk menceroboh perairan negara,” katanya pada sidang media di Maktab PDRM di sini, semalam. 
Katanya, selain kumpulan penceroboh, pasukan keselamatan negara turut memberi penumpuan terhadap individu mencurigakan yang dipercayai memberi maklumat kepada pengganas Suluk. 
Sabtu lalu, 30 lelaki bersenjata api dikesan meninggalkan Kepulauan Talipao, Jolo, Filipina, dipercayai menuju ke perairan Sabah, namun lokasi sebenar mereka masih belum dikenal pasti namun berdasarkan maklumat diterima polis, antara kawasan tumpuan serangan membabitkan daerah Kudat, Sandakan, Kunak, Tawau dan Lahad Datu. 
Sumber berkata, kumpulan sama diketuai Indang Susukan dipercayai terbabit dalam kejadian penculikan seorang wanita dan menembak mati suaminya di Pulau Pom-Pom, Semporna, pada 15 November lalu. - myMetro

Kumpulan bersenjata Filipina bersama tebusan mereka

KD Lekiu dari Tentera Laut Diraja Malaysia sedang mengawal perairan negara


LAHAD DATU - Ketua Pengarah Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), Datuk Mohammad Mentek berkata setakat ini tiada cubaan anggota kumpulan Abu Sayyaf atau Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) untuk menceroboh masuk ke kawasan pesisir pantai timur Sabah. 
Beliau berkata keadaan keselamatan di kawasan itu yang dikenali sebagai Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) adalah terkawal dan terjamin. 
Zon tersebut merangkumi 10 daerah meliputi jarak 1,733.7 kilometer dari Kudat, Kota Marudu, Pitas, Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau.  
Sehubungan itu Mohammad meminta orang ramai, bertenang dan tidak sesekali percaya kepada khabar angin yang boleh mengeruhkan keadaan. 
"Berdasarkan risikan yang diperoleh ESSCOM, setakat ini tiada cubaan untuk menceroboh masuk oleh kumpulan Abu Sayyaf atau MNLF seperti didakwa. Oleh itu, saya ingin menasihatkan orang ramai agar tidak panik dan tidak menyebarkan sebarang maklumat tidak berasas termasuk melalui media sosial," menurutnya dalam kenyataan di sini hari ini. 
Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata pasukan keselamatan di kawasan pantai timur Sabah sentiasa dalam keadaan bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan, termasuk ancaman serangan pihak asing. 
Khalid berkata demikian kepada pemberita di Kuala Lumpur ketika ditanya mengenai dakwaan mengatakan beberapa kumpulan militan termasuk kumpulan Abu Sayyaf dan MNLF mahu menyerang tiga kawasan iaitu Pulau Selingan (Sandakan), Pulau Langkayan (Beluran) dan Resort Sukau (Kinabatangan). 
Mohammad berkata kawalan keselamatan di ESSZONE diperketatkan termasuk bilangan rondaan pelbagai agensi pertahanan dan keselamatan termasuk Tentera Laut Diraja Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Polis Marin. 
"Kita juga meningkatkan pengawasan dan kawalan di pos-pos keselamatan bukan sahaja di pos kawalan di pulau tetapi juga di pos kawalan daratan," katanya. 
Selain itu, Mohammad berkata ESSCOM, yang dipertanggungjawab menyelaras agensi pertahanan dan keselamatan di ESSZONE, mewujud dan menempatkan Pasukan Tindakan Pantas di beberapa tempat strategik bagi memintas bot atau kumpulan tertentu yang cuba memasuki perairan negara ini untuk melakukan jenayah penculikan. 
"Pewujudan Pasukan Tindakan Pantas ini juga bertujuan untuk memastikan tidak berlaku atau mengelak sebarang pencerobohan. 
"Bagi memperkukuhkan kawalan keselamatan di kawasan maritim kita, aset pertahanan dan keselamatan seperti kapal terbang dan helikopter turut digunakan," katanya. 
Justeru, Mohammad memberi amaran kepada mereka yang cuba bersekongkol dengan pihak musuh, termasuk memberi maklumat kepada kumpulan yang ingin atau cuba menceroboh masuk untuk tujuan aktiviti penculikan, supaya tidak berbuat demikian kerana tindakan tegas akan dikenakan. - BERNAMA

Isnin, 16 Disember 2013

Ketua Dan Pengikut Tuhan Harun Didakwa

Ketua kumpulan ajaran sesat 'Tuhan Harun', Harun Mat Saat (tengah) dihadapkan ke Mahkamah Tinggi Kuantan hari ini. Foto: NST

Harun ketika ditahan pada bulan lalu sebelum diserang angin ahmar. Foto: NST

Pengikut Tuhan Harun disyaki terlibat dalam kes pembunuhan Ahmad Raffli Abd Malek pada 10 November lalu. Foto: NST


KUANTAN - Seorang pengikut ajaran sesat 'Tuhan Harun', Sumustapha Suradi, 39, dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, pagi tadi atas tuduhan dengan niat bersama dua lagi yang masih bebas melakukan pembunuhan Ketua Penolong Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Ahmad Raffli Abd Malek pada 10 November lalu. 
Ketua ajaran sesat itu, Harun Mat Saat, 47, bersama isteri ketiganya, Azida Mohd Zol, 30, dan pengikutnya, Shaizral Eddie Nizam Shaari didakwa mengikut Seksyen 120B(1) Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama kerana melakukan konspirasi jenayah berkenaan. 
Tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada keempat-empat tertuduh selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Noor Zaihan Mohamed Ali. 
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwaraya, Salim Soib@Hamid, manakala semua tertuduh diwakili peguambela, Hermes Media Putra Ibrahim. 
Salim kemudiannya memohon kes berkenaan dipindahkan terus ke Mahkamah Tinggi bagi sebutan kes di mahkamah berkenaan. 
Keempat-empat tertuduh dibawa ke mahkamah kira-kira jam 9.30 pagi sambil dikawal ketat polis yang lengkap bersenjata dan Harun dilihat terpaksa ditolak menggunakan kerusi roda berikutan mengalami angin ahmar. - myMetro

Gaza Ditenggelami Banjir

Sebahagian bandar Gaza lumpuh akibat paras banjir naik mendadak sejak empat hari lalu. Foto: Sinar Harian

Penduduk dipindahkan menggunakan bot. Foto: Merdeka.com

Sebuah kereta ditenggelami air. Foto: Merdeka.com

Penduduk yang terperangkap. Foto: Merdeka.com

Premis perniagaan terpaksa ditutup kerana banjir. Foto: Merdeka.com

Seorang warga tua dipindahkan. Foto: Merdeka.com


GENTING GAZA - PALESTIN. Lebih 4,000 penduduk terpaksa dipindahkan selepas utara Genting Gaza ditenggelami banjir dan turut diisytiharkan sebagai kawasan bencana oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), kelmarin. 
Menurut jurucakap Agensi Bantuan dan Pekerjaan bagi pelarian Palestin (UNRWA), Chris Gunness memberitahu paras banjir mencecah hingga dua meter di kebanyakan kawasan dan ramai penduduk terperangkap di kediaman mereka. 
"Banjir besar tersebut berlaku akibat daripada hujan berterusan sejak empat hari lalu," katanya menurut Reuters. 
Sementara itu, Kementerian Kesihatan Gaza memaklumkan, kira-kira 100 cedera berikutan cuaca buruk yang melanda wilayah tersebut sejak minggu lalu. 
Jumaat lalu, salah satu laluan utama ke Gaza dibuka, sekali gus membenarkan bekalan bahan api dan empat pam air dihantar ke Genting Gaza untuk membantu menangani masalah banjir di bandar terbabit. 
Dalam perkembangan lain, seorang penduduk Palestin dilaporkan cedera akibat dibedil kereta kebal rejim Zionis di selatan bandar Khan Yunis. 
Tentera Israel turut mengesahkan insiden itu dan mendakwa kononnya tindakan tersebut terpaksa diambil kerana mangsa menghampiri tembok pemisah di kawasan terbabit. - Sinar Harian

Bas Terbang Hempap Van

Sebuah bas yang dipandu laju jatuh terjunam dari jejambat lalu menimpa van. Foto: EPA

Bas dipandu laju semasa melalui jejambat sebelum jatuh menimpa sebuah van yang lalu di bawah. Foto: Merdeka.com

Mayat mangsa dibujurkan di atas jalan raya selepas berjaya dikeluarkan. Foto: Interaksyon

MANILA - Sekurang-kurangnya 22 terbunuh apabila sebuah bas terjunam dan menghempap van di lebuh raya bertingkat di tengah Filipina, hari ini, lapor pihak berkuasa. 
Dua puluh yang terkorban dalam kemalangan itu adalah penumpang bas manakala dua lagi menaiki van, kata pegawai penyiasat trafik, Jose Abuyog. 
“Angka kematian mungkin akan meningkat dengan sebahagian daripada mereka yang cedera berada dalam keadaan kritikal,” katanya. 
Katanya, lebih 20 lagi penumpang cedera parah apabila bas berkenaan terjatuh setinggi kira-kira enem meter dan punca nahas masih dalam siasatan. 
Sementara itu, Pengerusi Lembaga Peraturan Pengangkutan Darat, Winston Ginez, berkata pemandu bas yang terselamat akan ditahan dan disiasat. 
Operasi syarikat bas berkenaan, Don Mariano Transit, digantung selama 30 hari untuk kerja-kerja pemeriksaan ke atas kenderaan lain, kata Gines kepada pemberita. - AFP/Berita Harian

Raja Bantu Rakyat Tolak Kereta

Raja Abdullah II dilihat membantu menolak sebuah kereta di Amman, Jordan. Foto: Metro UK

Raja Abdullah II menaiki takhta Jordan pada 1999 dan kini berusia 51 tahun


AMMAN - Pemerintah Jordan, Raja Abdullah II bin Al-Hussein mengejutkan rakyat jelata kelmarin apabila baginda dilihat membantu menolak sebuah kereta yang tersangkut di dalam salji di sebatang jalan raya di sini. 
Kereta milik sebuah keluarga itu tersangkut selepas negara padang pasir tersebut dilanda ribut salji kelmarin. 
Raja Abdullah II menolak kereta itu bersama beberapa pengguna jalan raya lain yang kebetulan berada di lokasi kejadian. 
Ketika kejadian, baginda melawat kawasan tersebut bagi memeriksa perkembangan terkini kerja-kerja membersihkan salji di jalan raya. 
Peristiwa itu yang dirakam oleh seorang pengguna jalan raya telah dimuat naik ke laman web perkongsian video YouTube. - Agensi/Kosmo! Online

Maut Disumpit Orang Asli

Peah Abu Bakar menunjukkan gambar Harun Mat Bakar, 80, yang maut terkena sumpitan. Foto: Berita Harian


Sebelum meninggal dunia, Harun sempat memberitahu dia disumpit Orang Asli bernama Dollah (gambar hiasan)


JERANTUT - “Saya disumpit Orang Asli bernama Dollah”. Itu kata-kata terakhir peneroka FELDA Sungai Tekam Utara dekat sini, Harun Mat Bakar, 80, kepada isterinya, Peah Abu Bakar, sebelum meninggal dunia, dipercayai akibat sumpitan beracun di muka di Kampung Bakong, malam kelmarin. 
Dalam kejadian jam 7.10 malam itu, Harun yang terkena sumpitan, sempat memandu PROTON Iswara miliknya sejauh kira-kira tujuh kilometer dari kampung itu untuk pulang ke rumahnya di FELDA Sungai Tekam Utara. 
Difahamkan, mangsa disumpit menggunakan damar (peluru sumpit) beracun ketika berjumpa dengan suspek di Kampung Bakong ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya dari bandar ini. 
Peah berkata, mereka yang tinggal bersama anak sulong, Maimon dan menantunya, Arshad Ahmad, 64, terkejut apabila suaminya rebah sebaik keluar dari kereta di depan rumah dengan muka dan baju ada kesan darah. 
Ketika itu, Harun memberitahunya bahawa dia disumpit seorang lelaki Orang Asli bernama Dollah. 
Berikutan itu, mangsa dibawa ke Klinik Kesihatan di FELDA Sungai Tekam untuk rawatan sebelum dirujuk ke Hospital Jengka. 
“Suami dalam keadaan nazak dan setengah jam kemudian dia meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini, semalam. 
Harun mempunyai seorang lagi anak, Suhaimi, 52, dan tujuh cucu. Jenazahnya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam FELDA Sungai Tekam, malam kelmarin. 
Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Azid Ismail, berkata laporan bedah siasat mendapati ada kesan kecederaan kecil di muka, leher dan lebam di bahu kiri mangsa. 
“Doktor mengesyaki mangsa mati akibat racun yang disumpit tetapi sampel darah akan dihantar ke Jabatan Kimia dan Pusat Racun Negara untuk pengesahan,” katanya ketika dihubungi. 
Berikutan kejadian itu, Azid berkata, polis menahan Dollah berusia 48 tahun di rumah suspek di Kampung Bangkong, semalam serta merampas sumpit serta damak. 
“Motif kejadian sedang disiasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Suspek direman tujuh hari bermula hari ini (semalam),” katanya. - Berita Harian

Maut Ketika Buat Sambungan Haram

Seorang lelaki maut terkena renjatan elektrik dipercayai ketika cuba membuat penyambungan haram. Foto: Borneo Post

Mayat ditemui orang awam di dalam parit dalam keadaan memegang wayar


SANDAKAN - Seorang lelaki maut terkena renjatan elektrik dipercayai ketika cuba membuat penyambungan haram berhampiran Pangsapuri MPS Karamunting, malam kelmarin. 
Mangsa, Otoh Hami berusia 35 tahun ditemui orang awam di dalam parit dekat kawasan pangsapuri berkenaan dalam keadaan memegang wayar dipercayai digunakan untuk melakukan penyambungan haram di sekitar kawasan berkenaan jam 7.50 malam. 
Difahamkan, mangsa kemudian dibawa keluar oleh anggota bomba sebaik dimaklumkan kejadian itu sebelum dihantar ke Hospital Duchess of Kent. 
Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Rowell Marong berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam lalu bergegas ke lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan. 
“Siasatan awal mendapati, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat terkena renjatan elektrik. 
“Siasatan lanjut mendapati mangsa cuba melakukan penyambungan haram dan terpegang wayar menyusuri parit berair menyebabkan berlaku renjatan elektrik,” katanya, semalam. 
Bagaimanapun Rowell berkata, siasatan lanjut masih dijalankan dan setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. 
“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Duchess of Kent di sini, untuk siasatan lanjut. 
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubungan kejadian diminta melaporkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut,” katanya. 
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Mohd Affendy K Ramin berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu jam 7.55 malam. 
“Sebaik menerima maklumat itu, sepasukan anggota bomba diketuai Johny Yap bersama lima anggota berkenaan ke lokasi kejadian. 
“Ketika tiba di lokasi kejadian, anggota bomba menemui mayat seorang lelaki yang masih memegang wayar lalu dibawa keluar, kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi, semalam. - myMetro

Ahad, 15 Disember 2013

Saintis Temui Gua 'Tsunami'

Saintis menemui gua di Sumatera di Indonesia yang menunjukkan rekod tsunami Lautan Hindi sejak beribu-ribu tahun lalu

Saintis mendapati ombak pemusnah terbesar ini tidak berlaku pada jangka masa ditetapkan

Komuniti di kawasan Acheh perlu bersedia setiap masa


MEDAN - Saintis menemui gua di kepulauan Sumatera di Indonesia yang menunjukkan rekod mengagumkan tsunami Lautan Hindi sejak beribu-ribu tahun lalu. 
Mereka berkata, lapisan mendapan akibat tsunami yang ditemui dalam gua di barat laut Sumatera itu menunjukkan ombak pemusnah terbesar itu tidak berlaku pada jangka masa ditetapkan, bermakna komuniti di kawasan itu perlu bersedia setiap masa. 
“Ia sesuatu yang masyarakat perlu tahu,” kata ketua pasukan penyelidik, Charles Rubin, sambil menambah pasukan itu mahu mempromosikan keselamatan kepada komuniti di persisiran pantai. 
Profesor Rubin dan beberapa penyelidik lain dari institut di Singapura bekerjasama dengan saintis dari universiti Indonesia ketika menemui gua itu, di selatan Banda Aceh, ibu negeri wilayah Aceh. 
Tsunami yang berpunca daripada gempa bumi memusnahkan wilayah itu dan kawasan di seluruh Lautan Hindi pada 2004, membunuh kira-kira 170,000 di wilayah itu saja. 
Di dalam gua berkenaan, penyelidik menemui lapisan mendapan berpasir, yang dibawa oleh tsunami beribu-ribu tahun lalu, kata Rubin. - Berita Harian

Penternak Lembu Dalang Sindiket Curi Lembu

Polis menumpaskan sindiket curi lembu yang aktif di Johor, Melaka dan Negeri Sembilan. Foto: Berita Harian

Seorang pemilik ladang lembu ditahan dan 35 haiwan ternakan itu bernilai hampir RM100,000 di rampas polis. Foto: Kosmo!


MUAR - Polis menumpaskan sindiket curi lembu yang aktif di negeri ini, Melaka dan Negeri Sembilan susulan penahanan seorang pemilik ladang lembu dan merampas 35 haiwan ternakan itu bernilai hampir RM100,000. 
Serbuan dijalankan jam 12 tengah hari kelmarin, di Kampung Muhibah, dekat Rantau, Negeri Sembilan, yang dipercayai dijadikan lokasi penyimpanan lembu curi. 
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Azman Ayob, berkata serbuan dilakukan susulan kes samun di Ladang Ternak Lembu Tenusu Fidlot, Lubuk Bakul, Pagoh, dekat sini, kira-kira jam 2 pagi pada hari yang sama. 
Dalam kejadian itu, lima lelaki menceroboh ladang berkenaan dan mengikat dua pekerja ladang sebelum melarikan 21 ekor lembu tenusu menggunakan dua lori lima tan. 
“Ketika kejadian dua pekerja warga Pakistan sedang tidur di rumah pekerja kira-kira 50 meter dari kandang berkenaan sebelum kumpulan itu mengikat mangsa dengan tali plastik dan memunggah lembu ke dalam lori,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPPD) Muar, semalam. 
Azman berkata, susulan laporan pemilik ladang berusia 52 tahun itu, pihaknya yang menerima maklumat orang awam kemudian ke Jalan Linggi, dekat Rantau, Negeri Sembilan dan menahan seorang lelaki berusia 66 tahun di sebuah rumah. 
“Suspek berkenaan yang dipercayai pemilik ladang itu kemudian membawa pasukan polis ke ladang di Kampung Muhibah dan kita merampas 24 lembu dewasa dan lapan anak lembu, selain tiga lagi lembu di kawasan rumah suspek,” katanya. - Berita Harian

Warga AS Berjihad Bagi Pihak Al-Qaeda

Terry Loewen yang bekerja sebagai seorang juruteknik penerbangan dari Wichita ditahan awal pagi kelmarin

Rumah kediaman Loewen tempat dia merancang untuk meletupkan Lapangan Terbang Mid-Continent di Wichita, Kansas

Loewen ditahan ketika cuba memasuki lapangan terbang tersebut

Pendakwa raya Daerah Kansas, Barry Grissom mengumumkan, suspek telah didakwa di sebuah Mahkamah Persekutuan AS

Loewen ditahan ketika memandu sebuah kenderaan berisi bahan letupan

Bagaimanapun Loewen tidak sedar dia ditipu agen FBI yang menyamar sebagai rakannya yang bom itu tidak akan meletup


WASHINGTON - Pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) menyatakan kelmarin bahawa mereka telah menggagalkan komplot untuk mengebom Lapangan Terbang Mid-Continent di Wichita, Kansas. Kejayaan itu susulan penangkapan seorang lelaki yang mengaku beragama Islam dan pernah menyatakan untuk melakukan jihad bagi pihak pergerakan Al-Qaeda. 
Suspek, Terry Loewen yang bekerja sebagai seorang juruteknik penerbangan dari Wichita ditahan awal pagi kelmarin ketika cuba memasuki lapangan terbang itu dengan memandu sebuah kenderaan berisi bahan letupan. 
"Dia merancang meletupkan bom berkenaan dan mahu mati dalam serangan tersebut," kata pihak berkuasa. 
Loewen disiasat oleh Pasukan Petugas Bersama Wichita sejak awal musim panas tahun ini. Dia merancang komplot pengeboman itu bersama beberapa individu yang dianggap rakan konconya. 
Namun, mereka sebenarnya ialah ejen Biro Siasatan Persekutuan (FBI) yang menyamar. 
Loewen menganggap seorang ejen rahsia itu merupakan anggota kumpulan pengganas AQAP yang bergerak aktif di Yemen. 
Ejen berkenaan membantu Loewen membina bom tersebut. 
"Namun, suspek tidak tahu bahawa bom itu tidak akan meletup," kata pendakwa raya Daerah Kansas, Barry Grissom. 
Menurutnya, Loewen turut mengeluarkan kenyataan bahawa dia akan melakukan serangan keganasan untuk meragut seberapa banyak nyawa yang boleh. 
Suspek telah didakwa di sebuah Mahkamah Persekutuan AS kerana cuba menggunakan senjata pemusnah besar-besaran dan merosakkan harta benda menggunakan bahan letupan. - Reuters/Kosmo! Online

Gali Kubur Anak Dara

Perbuatan mencuri mayat di tanah perkuburan Sabuk Janur berlaku dua kali dalam masa seminggu. Foto: Merdeka.com

Sebelum itu kubur bayi yang meninggal dunia pada bulan lalu juga telah digali. Foto: Merdeka.com

Polis memeriksa kubur Endah Setyowati. Foto: Merdeka.com


CILACAP - Polis di daerah di Jawa Tengah ini semalam melancarkan siasatan terhadap perbuatan mencuri mayat yang berlaku dua kali dalam masa seminggu. 
Bercakap di tanah perkuburan Sabuk Janur, tempat mayat berkenaan dicuri, Ketua polis tempatan Andri Triaspoetra berkata, pihaknya hingga kini belum dapat memastikan motif perbuatan berkenaan. 
Menurut penduduk tempatan, antara mayat yang dicuri dari tanah perkuburan itu ialah milik Endah Setyowati, 24, yang meninggal dunia baru-baru ini. 
Pemeriksaan yang dilakukan mendapati pencuri hanya mengambil kepala dan meninggalkan bahagian tubuh lain di dalam liang lahad. 
Turut ditemui berhampiran kubur Endah ialah cangkul kecil, kandang ayam, sarang burung, lilin berbentuk angka 2 dan 4 sesuai usia mayat, dan beberapa potongan tubuh mayat. - myMetro


Resi Rookiswana @ Pamungkas curi kain kafan kerana ingin terbang. Foto: Merdeka.com

Res dan kain kafan yang dicurinya. Foto: Merdeka.com

Res hendak menggunakan kain kafan ini untuk belajar terbang dan menjadi halimunan. Foto: Merdeka.com


CILACAP - Misteri pembongkaran beberapa kubur di daerah di Jawa Timur ini akhirnya terjawab apabila polis Cilacap menahan seorang pemuda yang mengaku ingin belajar terbang seperti Superman dan menjadi halimunan. 
Resi Rookiswana @ Pamungkas mengaku memerlukan kain kafan dari sejumlah kubur atas arahan seseorang bernama ‘ratu’ untuk menguasai ilmu itu. 
“Ini untuk dibuat ilmu terbang. Saya sendirian mengambil kain kafan di kubur atas arahan ratu di Srandil,” katanya. 
Antara mangsa Resi ialah Endah Setyowati, 24, yang meninggal dunia baru-baru ini. Resi didakwa memenggal kepala mayat Endah selepas membongkar kubur anak dara itu. Lelaki itu semalam berdegar-degar mengakui mampu menghilangkan diri, namun apabila diminta polis menunjukkan bakatnya itu dia sekadar ketawa dan memberi alasan cuma boleh melakukannya di tempat sunyi. 
“Saya mampu menghilangkan diri, tahu-tahu sudah berada di tempat lain. 
“Bukan sebarang orang boleh buat begitu,” dakwanya. 
Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Cilacap AKP Agus Turyadi berkata, pihaknya menahan suspek selepas mengekorinya beberapa jam. 
“Kami mengekorinya sepanjang malam sebelum menahannya di tepi landasan kereta api. 
“Bahan bukti termasuk peralatan digunakannya juga dirampas di situ berikutan tempat itu dijadikan rumahnya,” katanya. 
Menurutnya, polis merampas tulang tangan, rusuk, baju dan tali kain kafan milik seorang bayi yang juga diselongkar kuburnya. 
Batu dan senjata tajam turut ditemui di rumah suspek. 
Sementara itu, ketika dibawa ke balai polis, keluarga wanita yang kuburnya dibongkar suspek menyerang Resi. 
Bagaimanapun mereka berjaya dihalang anggota polis bertugas. 
Menurut Agus, Resi pernah dipenjara pada 2010 dan 2012 kerana mencuri motosikal. - Agensi/myMetro 16.12.2013

Resi Rokhis Suhana. Foto: Merdeka.com


BANYUMAS - Suspek kes curi mayat di beberapa tanah perkuburan di Cilacap, dekat sini, Resi Rokhis Suhana, 27, dihantar menjalani pemeriksaan psikiatrik di Hospital Daerah Banyumas. 
Jurucakap Pusat Psikiatri hospital berkenaan, Hilma Paramita berkata, Resi yang juga dikenali sebagai Satria Pamungkas akan menjalani pemerhatian untuk memastikan sama ada menghidap sebarang masalah sakit jiwa. 
Katanya, pemeriksaan dijalankan selama 14 hari. 
“Langkah awalnya adalah melakukan pemerhatian terhadap tingkah laku dan konsistensi jawapannya,” katanya. 
Menurutnya, Resi diasingkan daripada pesakit lain di kawasan khas dilengkapi jeriji. 
Sementara itu, Resi berkata dia tidak menyesali perbuatannya. 
“Saya tidak menyesal membongkar kubur dan mencuri mayat bersama kain kafan kerana ilmu saya belum sempurna,” katanya. 
Dia mengaku mempelajari ilmu terbang dan halimunan yang memerlukan kain kafan dari dalam kubur. 
Menurutnya, syarat itu diperintahkan kepadanya oleh seorang ratu dari Gunung Srandil, di Cilacap. 
Resi menerima perintah itu sejak tahun 2004 tetapi ketika itu masih was-was. 
“Pada mulanya saya agak was-was namun akhirnya mula melakukannya Oktober lalu. “Selepas kali pertama, saya insaf, namun kemudian melakukannya lagi,” katanya. 
Katanya, upacara membongkar kubur dilakukan pada hari tertentu, iaitu Khamis, Jumaat dan Sabtu.\ 
Dia mengaku mengambil kain kafan berserta tali dari makam bayi serta tulang perempuan bersama tengkoraknya di Cilacap. 
Dia menafikan terbabit dalam beberapa kes lain di daerah sama. - Agensi/myMetro 17.12.2013

Sabtu, 14 Disember 2013

Bahana Sihir Rumah Tangga

Imah 52, berkata, dia mula mengalami gangguan sihir sejak April lalu

Seorang wanita mangsa sihir sedang menjalani rawatan di sebuah pusat rawatan Islam di Nilai, Negeri Sembilan. Sumber


SABAK BERNAM - “Aku mahukan suami kau...aku akan hancurkan rumah tangga kau, aku sayang suami kau, aku tidak mahu lihat kau bahagia,” itulah kata-kata yang sering dilaungkan seorang wanita apabila dia meracau dipercayai angkara sihir individu yang mahu merampas suaminya. 
Ketika ditemui di rumahnya di sebuah taman perumahan di Sungai Besar, dekat sini, wanita terbabit yang hanya mahu dikenali sebagai Imah 52, berkata, dia mula mengalami gangguan berkenaan sejak April lalu sekali gus menyebabkan hubungan dengan suami yang berusia 55 tahun juga semakin renggang. 
“Hingga kini, dalam seminggu, sekurang-kurangnya dua kali saya akan diganggu dan apabila diganggu, saya tidak sedarkan diri serta meracau sambil menjerit seperti orang tidak siuman dan sebaik tersedar hanya lihat anak serta jiran berada di sekeliling saya dan menenangkan saya,” katanya. 
Katanya, suaminya yang berkhidmat sebagai penasihat di sebuah pusat pemulihan dadah di Kuala Lumpur juga mula menunjukkan perubahan sejak September tahun lalu apabila jarang pulang ke rumah dan sering gagal untuk dihubungi. 
“Sudah 10 tahun kami berkahwin. 
Selama ini setiap minggu dia akan pulang ke Sungai Besar bagi menjenguk saya dan keluarga, tetapi sejak kebelakangan ini dia tidak berbuat demikian,” katanya. 
Imah berkata, dia tidak dikurniakan cahaya mata dengan suami namun mempunyai seorang anak hasil perkahwinan terdahulu. 
“Saya menetap di rumah anak, sebelum ini setiap minggu suami pulang menjenguk kami malah dia terlalu rapat dengan tiga cucu berusia antara tiga dan lapan tahun,” katanya. 
Menurutnya, dia juga pernah cuba menghubungi suaminya bagi berbincang berkaitan masalah yang dihadapi, tetapi suaminya seolah-olah tidak mahu menghiraukannya dan dia yakin suaminya turut terkena amalan ilmu sihir pihak tertentu. 
“Apabila mahu berbincang dia cuba berdalih dan pernah satu hari dia mengatakan saya sudah tua dan tidak lagi mahu mempunyai sebarang hubungan dengan saya sedangkan dia juga berusia 55 tahun,” katanya. 
Dia yang berniaga kecil-kecilan dengan menjual barangan kosmetik dan kesihatan berkata, perubahan suaminya semakin ketara apabila suaminyamula menukar penampilan dengan berpakaian seperti orang muda. 
Menurut Imah, dia pernah mendapatkan rawatan daripada pengamal perubatan Islam dan diberitahu dia memang terkena ilmu hitam. 
“Setiap kali diganggu saya menjerit dan kadang kala berasa seolah-olah dicekik seumpama mahu dibunuh dan mengalami lebam pada anngota badan tanpa diketahui punca bagaimana kesan lebam itu terjadi,” katanya. 
Muhammad Suhaili Sajiman
Sementara itu, Ketua Penguat Kuasa Agama Islam Daerah Sabak Bernam Muhammad Suhaili Sajiman berkata, amalan ilmu hitam adalah perbuatan individu yang tidak mempedulikan antara dosa dan pahala sehingga sanggup melakukan perkara dilaknat Allah demi kepentingan hidup di dunia. 
“Bomoh yang mengamalkan sihir melakukan perbuatan syirik dan hendaklah bertaubat kerana perbuatan itu jelas melanggar akidah,” katanya. 
Menurutnya, kejadian yang berlaku kepada Imah dipercayai akibat terkena amalan ilmu hitam orang yang menginginkan suaminya memang kerap berlaku dalam kalangan orang Islam. 
“Individu yang mengamalkan ilmu hitam adalah orang yang terlalu cetek ilmu agama dan tiada pegangan kukuh sehingga sanggup berbuat demikian untuk mencapai apa yang dihajati,” katanya. 
Muhammad Suhaili berkata, jika mangsa yang terkena amalan ilmu hitam hendak menjalani rawatan bagi membuang sihir pada dirinya, dia perlu menilai dan mendapat penjelasan berkaitan kaedah rawatan yang diambil. 
“Mangsa harus memastikan rawatan bagi mengubati sihir terkena pada dirinya adalah rawatan Islam dengan memastikan tiada unsur yang dicurigai ketika proses perubatan seperti penggunaan asap, keris dan limau. - myMetro

Bas Terbang Rempuh Kedai

Bas merempuh dinding kedai menjual pam air dan alat-alat jentera di Jalan Pudu, KL, lewat petang semalam. Foto: myMetro

Lubang besar di dinding kedai selepas dirempuh bas

Bahagian hadapan bas remuk menyebabkan pemandu dan dua penumpang cedera

Orang ramai yang berada di tempat kejadian melihat kesan kerosakan akibat kemalangan tersebut

Bas datang dari Jalan Imbi ke Jalan Pudu menuju ke arah Jalan Cheras terbabas di laluan bertentangan dan menghentam bangunan kedai

KUALA LUMPUR - “Bas yang dipandu sangat laju sejak mula-mula saya naik. Terasa melayang-layang macam mahu terbang. 
Adu seorang penumpang sebuah bas Rapid yang terbabas sebelum menghentam dan menembusi bangunan kedai menjual pam air dan alat-alat jentera di Jalan Pudu, lewat petang hari ini. 
Separuh dari bas berkenaan berada di bahagian dalam bangunan kedai itu mengakibatkan bahagian hadapan bas remuk. 
Misari Nisar, 24, berkata, ketika kejadian, dia berada di tempat duduk bahagian belakang bas. 
Katanya, kejadian berlaku terlalu pantas, namun apa yang dia ingat, bas bergerak terlalu laju. 
“Ada penumpang yang menjerit supaya bas diperlahankan tapi masa itu bas sudah ‘terbang’ ke seberang jalan. Saya terhantuk ke hadapan dan terjelepok di bawah tempat duduk hadapan, kemudian pengsan. 
“Barangan peribadi saya termasuk beg, dompet dan telefon bimbit hilang sebaik saya sedar,” katanya kepada Sinar Harian. 
Difahamkan dalam kejadian kira-kira jam 6.50 petang itu, seramai kira-kira 20 penumpang berada dalam bas berkenaan. 
Bas berkenaan datang dari Jalan Imbi ke Jalan Pudu menuju ke arah Jalan Cheras terbabas di laluan bertentangan dan menghentam bangunan kedai terbabit. 
Sumber bomba berkata, terdapat tiga mangsa termasuk seorang lelaki warga emas dan dua wanita berusia 40-an cedera ringan dalam kejadian itu dan diberi rawatan segera oleh ambulans yang tiba. 
Sementara itu, pemilik kedai berkenaan, Lim Ho Peng, 66, berkata, ketika kejadian kedainya telah tutup daripada beroperasi. 
Dia yang berada di bangunan bersebelahan terdengar bunyi dentuman yang amat kuat dari arah kedainya. 
“Kedai sudah tutup dari jam 5.30 petang, tapi saya belum balik dan terdengar bunyi dentuman kuat. 
“Bila saya tengok rupa-rupanya sebuah bas menghentam kedai. Banyak alat jentera untuk jualan dan pameran rosak, dirempuh bas termasuk dihempap batu dinding kedai,” katanya. 
Difahamkan peralatan pam air dan alat-alat jentera yang musnah bernilai RM500 hingga RM50,000 setiap satu namun jumlah kerugian belum dikenal pasti. - Sinar Harian


Sebahagian dinding konkrit kedai menjual pam air dan peralatan jentera pecah akibat rempuhan bas RapidKL. Foto: Muhd Asyraf Sawal

KUALA LUMPUR - Dua puluh penumpang sebuah bas nyaris maut apabila pemandunya gagal mengawal kenderaan itu hingga merempuh tembok sebuah kedai di Jalan Pudu, di sini, petang semalam. 
Dalam kejadian jam 6.55 petang itu, bas RapidKL yang dalam perjalanan dari pusat bandar ke Jalan Cheras, di sini secara tiba-tiba memasuki laluan bertentangan sebelum naik ke laluan pejalan kaki dan merempuh kedai menjual peralatan pam air dan jentera. 
Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Polis Trafik Kuala Lumpur, Deputi Superintendan Abdullah Roning, berkata akibat rempuhan itu, pemandu bas berkenaan dilaporkan patah kaki, manakala dua lagi penumpang wanita cedera ringan di kaki selepas tercampak ke hadapan bas. 
Bagaimanapun, ketika kejadian tiada sesiapa berada dalam kedai yang dirempuh itu selepas ia ditutup pada jam 6 petang. 
Setakat ini kita masih menjalankan siasatan sama ada kejadian ini disebabkan tindakan pemandu bas yang memandu dalam keadaan laju dan cuai sehingga mengabaikan keselamatan atau berpunca daripada masalah teknikal bas berkenaan. 
Bagaimanapun siasatan kemalangan ini akan dijalankan mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan, atas kesalahan memandu secara melulu dan tidak berhati-hati, katanya ketika dihubungi semalam. 
Abdullah berkata, siasatan ke atas pemandu berusia 40-an itu akan dibuat selepas beliau selesai menjalani rawatan di Hospital Kuala Lumpur. 
Sementara itu, salah seorang mangsa Misari Isa, 24, memberitahu pemandu bas berkenaan memandu secara tergesa-gesa termasuk ketika mengambil penumpang di setiap hentian bas. 
Ketika baru sebelah kaki saya memijak tangga untuk menaiki bas ini di hentian Puduraya, pemandu terbabit terus memandu bas seolah-olah mahu mengejar sesuatu dan mulai saat itu, saya mula merasa tidak selamat, katanya. - Berita Harian