|
Sebahagian objek yang ditemui terapung di lokasi nahas pesawat QZ8501 semalam. |
|
Pesawat QZ8501 hilang dari radar enam minit selepas komunikasi terakhir dengan menara kawalan |
|
Siaran berita televisyen Indonesia semalam menunjukkan sekurang-kurangnya satu mayat terapung di permukaan air |
JAKARTA – Sejumlah objek yang ditemukan oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) disahkan merupakan serpihan pesawat AirAsia Indonesia QZ8801 yang hilang di perairan Laut Jawa sejak tiga hari lalu.
Ketua Badan Mencari dan Menyelamat Nasional (Basarnas) Indonesia, Bambang Soelistyo semalam mengesahkan pihaknya telah membawa keluar tujuh mayat mangsa nahas udara itu yang dijumpai setakat ini.
“Mayat yang ditemui iaitu dua wanita dan seorang lelaki kini berada dalam kapal perang Bung Tomo,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di sini semalam. - Kosmo
|
Salah seorang ahli keluarga mangsa penerbangan QZ8501 tidak dapat menahan perasaan hiba |
|
Individu ini terpaksa ditenangkan oleh petugas kecemasan di Lapangan Terbang Juanda, Surabaya |
|
Individu ini pula pitam sebaik mendengar penemuan mayat penumpang pesawat QZ8501 |
|
Kepiluan jelas terbayang di wajah ahli keluarga mangsa |
SURABAYA – Pengsan, pitam, menjerit, sugul dan menangis. Itu reaksi waris dan anggota keluarga penumpang dan kru pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 di Pusat Krisis Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Juanda di sini sebaik sahaja pihak berkuasa Indonesia mengesahkan penemuan beberapa serpihan pesawat itu dan mayat di Laut Jawa petang semalam.
Ada waris dan anggota keluarga terpaksa dibawa keluar dari pusat krisis itu menggunakan pengusung kerana pitam sebaik mendengar pengumuman yang dibuat pihak berkuasa di Jakarta.
Ada pula yang ditenangkan wakil syarikat penerbangan dengan memeluk dan memegang tangan waris dan anggota keluarga yang emosi mereka kelihatan semakin tidak stabil dan tenteram. - Kosmo!
|
Badan Mencari dan Menyelamat Nasional (Basarnas) Indonesia mengesahkan penemuan serpihan pesawat AirAsia QZ8801 |
|
Suasana sedih dan pilu hanya sempat dirakam beberapa seketika sebelum kesemua cermin ditampal dengan kertas |
SURABAYA - Jeritan tangisan ahli keluarga pesawat QZ8501 sebaik disahkan penemuan pesawat itu jelas kedengaran sehingga seorang daripada ratusan waris pengsan sebelum terpaksa diusung keluar dari Pusat Krisis Lapangan Terbang Antarabangsa Juanda Surabaya tadi.
Malah pusat itu yang seawalnya tenang mula bertukar kecoh apabila ahli keluarga dimaklumkan penemuan terbaru itu.
Wartawan yang berada di lokasi mendapati ada keluarga yang saling berpeluk dan menangis selepas menerima berita itu.
Media tempatan dan antarabangsa turut mengambil kesempatan menggerumuni pintu hadapan pusat ini namun dihalang pegawai bertugas.
Detik suasana sedih dan pilu itu hanya sempat dirakam beberapa seketika sebelum kesemua cermin ditampal dengan kertas dan kain bagi menghalang media merakamkannya.
Ambulans juga sudah ditempatkan di luar pusat ini sebagai langkah persediaan. - myMetro/ 30 Disember 2014 @ 5:11 PM
|
Presiden Indonesia Joko Widodo meninggalkan Lapangan Terbang Antarabangsa Juanda selepas bertemu keluarga mangsa |
|
Anggota penyelamat memuatkan beg mayat ke dalam pesawat untuk di bawa ke Pangkal Pinang di Kalimantan |
|
Beg-beg mayat ini akan digunakan selepas mayat-mayat mangsa dibawa keluar |
|
Beg mayat dilihat disediakan untuk pengangkutan ke lokasi kemalangan awal pagi ini |
SURABAYA - Fokus utama kini tertumpu kepada operasi mengeluarkan jasad penumpang dan kru serta pesawat QZ8501 yang ditemui di Pangkalan Bun.
Presiden Indonesia Joko Widodo berkata, operasi mengeluarkan mangsa nahas pesawat itu akan diperluaskan supaya dapat dibawa keluar secepat mungkin.
Menurutnya, tiga kapal sudah berada di lokasi penemuan itu dan aset lain turut menuju ke sana untuk melakukan pencarian secara besar-besaran.
"Saya sudah berada di sana sejam tadi untuk melihat sendiri lebih dekat operasi terbabit dan sudah mengarahkan Badan SAR Nasional (BASARNAS ) bergabung dengan semua agensi untuk operasi mencari mangsa dan pesawat.
"Kini fokus terarah kepada proses membawa keluar mangsa dan pesawat itu," katanya kepada pemberita pada sidang media di Lapangan Terbang Antarabangsa Juanda Surabaya tadi.
Joko berkata, ketika melihat lokasi penemuan mendapati keadaan berkabus dan ombak besar sehingga dua ke tiga meter.
"Saya juga berterima kasih kepada BARSANAS, Tentera Nasional Indonesia (TNI), pihak polis, sukarelawan dan nelayan yang memberi kerjasama mencari pesawat ini.
"Tidak dilupakan juga ucapan terima kasih kepada rakan senegara seperti Malaysia, Singapura dan Australia yang turut membantu," katanya.
Beliau turut melahirkan rasa simpati dan kehilangan di atas musibah menimpa seluruh keluarga supaya tabah menghadapi situasi ini. - myMetro/ 30 Disember 2014 @ 9:02 PM
|
Tony Fernandes berkata, penemuan kotak hitam pesawat QZ8501 nanti mampu mendedahkan kejadian sebenar |
|
Fernandes berkata, beliau tidak akan lari dan meminta maaf atas apa yang berlaku serta akan bertanggungjawab |
SURABAYA - Penemuan kotak hitam pesawat QZ8501 nanti mampu mendedahkan kejadian sebenar yang berlaku dan orang ramai diminta tidak membuat sebarang spekulasi selagi siasatan masih belum selesai.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Tan Sri Tony Fernandes berkata, siasatan menyeluruh berkaitan pesawat itu akan mendedahkan perkara sebenar yang berlaku.
"Biarlah kotak hitam menceritakan apa yang berlaku sebenarnya dan jangan membuat sebarang spekulasi selagi hasil siasatan belum selesai.
"Penyiasatan berkaitan pesawat ini akan dijalankan sebaik kotak hitam itu ditemui dan tidak adil membuat spekulasi berhubung punca nahas ini," katanya kepada pemberita pada sidang media di Pusat Krisis di Lapangan Terbang Antarabangsa Juanda Surabaya, tadi.
Tony berkata, buat masa ini keutamaan diberikan kepada keluarga penumpang dan kru dengan memberi sokongan moral serta memberi bantuan.
"Saya tidak akan lari dan meminta maaf atas apa yang berlaku serta akan bertanggungjawab dalam insiden.
"Kami akan cuba melakukan yang terbaik dalam menghadapi insiden ini sejak 13 tahun memimpin syarikat penerbangan ini," katanya.
Beliau berkata, sejak insiden ini hubungannya dengan keluarga mangsa menjadi akrab dan perhubungan itu tidak akan terputus dan sokongan serta bantuan tetap akan diberi.
"Kita akan memberi pampasan kepada keluarga ini namun tunggu terlebih dahulu hasil siasatan.
"AirAsia akan terus bekerjasama dengan Badan SAR Nasional (BARSANAS) untuk melakukan operasi membawa keluar mangsa dan pesawat di lokasi penemuan," katanya.
Menurutnya, proses membawa keluar mangsa akan dapat dijalankan secepat mungkin dan biar mereka yang layak menjalankan kerja-kerja mereka.
"Saya juga akan ke lokasi pencarian esok untuk melihat operasi yang dijalankan dan mendapatkan perkembangan terkini.
"Harap esok operasi membawa keluar mangsa akan selesai jika keadaan cuaca baik," katanya.
Tambahnya, operasi perjalanan syarikat penerbangan ini berjalan seperti biasa dan pihaknya kuat serta tabah menghadapi situasi ini. - myMetro/ 30 Disember 2014 @ 10:26 PM
|
Kerja keras anggota pencari dan penyelamat ini berbaloi pada hari ketiga |
|
Kegigihan pasukan pencari dan penyelamat ini patut dicontohi |
|
Presiden Indonesia turut menyertai pasukan pencari dan penyelamat |
|
Presiden Joko Widodo dalam kokpit sebuah pesawat tentera sebagai memberi sokongan moral |
JAKARTA - Usaha Mencari dan Menyelamat (SAR) mangsa nahas pesawat AirAsia Indonesia Penerbangan QZ8501 diteruskan lewat hari ini walaupun cuaca semakin gelap, kata jurucakap Tentera Laut, Manahan Simorangkir.
Pasukan mencari dan menyelamat itu akan menggunakan lampu suluh berkuasa tinggi di kawasan perairan tempat mayat dan serpihan bangkai pesawat itu ditemui, kata Manahan dalam temu bual disiarkan secara langsung oleh stesen televisyen, TVOne.
Sehingga ini, katanya, pihaknya hanya dapat mengesahkan mayat seorang wanita telah dibawa ke sebuah pangkalan berhampiran.
Pihak berkuasa sudahpun mengesahkan penemuan sisa bangkai pesawat itu dan beberapa mayat yang terapung di kawasan perairan berhampiran Pangkalan Bun, Kalimantan Tengah, pada tengah hari ini.
Pesawat Airbus A320-200 itu membawa 162 penumpang dan anak kapal, berlepas dari Surabaya, Indonesia, pada 5.20 pagi Ahad dan dijadual tiba di Lapangan Terbang Changi Singapura pada 8.30 pagi hari sama.
Kali terakhir pesawat itu berhubung dengan Menara Kawalan Trafik Udara pada 6.12 pagi waktu Indonesia (7.12 pagi waktu Malaysia).
Penumpang pesawat itu terdiri daripada 149 warga Indonesia, 3 Korea Selatan, 1 Singapura, 1 Malaysia dan 1 United Kingdom.
Kru terdiri daripada enam Indonesia dan seorang Perancis. - Bernama/ 30 Disember 2014 @ 11:27 PM
|
Khairunisa Haidar Fauzi, pramugari pesawat QZ8501 yang malang |
SURABAYA - “Saya reda dan menerimanya dengan hati terbuka jika benar dakwaan penemuan serpihan pesawat dinaiki anak saya,” kata bapa kepada kru pesawat AirAsia Indonesia QZ8501, Khairunisa Haidar Fauzi dari Palembang.
Kata-kata itu diluahkan lelaki terbabit kepada pegawai bertugas di Pusat Krisis di Lapangan Terbang Antarabangsa Juanda, di sini.
Malah dia turut menyatakan sejak kejadian itu dia tidak berhenti membaca surah Yasin dan al-Quran memohon petunjuk daripada Allah.
Wartawan yang membuat pemerhatian dari tepi pusat itu turut terdengar perbualannya dengan pegawai bertugas terbabit.
Ahli keluarga yang setia menunggu perkembangan terkini di pusat itu masih dalam keadaan tenang, walaupun terdapat laporan penemuan beberapa objek di Pangkalan Bun.
Suasana di pusat itu masih dalam keadaan terkawal dengan ratusan waris dan ahli keluarga terus menunggu maklum balas daripada pihak berkenaan.
Pemerhatian wartawan dari luar pusat mendapati Ketua Badan SAR Nasional (BASARNAS) di Surabaya, M Hernanto memberikan taklimat, manakala pegawai penerbangan AirAsia Indonesia menenangkan perasaan waris keluarga pesawat malang itu.
Malah, jelas kedengaran dari dalam bilik itu suara meminta ahli keluarga bersabar dan meminta mereka bertenang ketika siaran televisyen media tempatan menayangkan gambar serpihan dari kawasan pencarian.
Cubaan untuk menemubual waris keluarga belum berhasil. - myMetro/ 31 Disember 2014 @ 6:51 AM
|
Lokasi di mana pesawat QZ8501 ditemui |
|
Pasukan penyelam TNI bersama peralatan menyelam mereka di Pangkalan Bun sertai pasukan SAR |
JAKARTA - Bangkai pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 ditemui oleh pasukan mencari dan menyelamat Indonesia menggunakan peralatan sonar.
Memetik laporan CNN.com, bangkai pesawat itu dipercayai berada di dasar Laut Jawa dan sehingga kini masih tidak dapat dipastikan ia berkecai sepenuhnya atau tidak.
Pengarah SAR, SB Supriyadi berkata, peralatan sonar itu mampu mencapai kedalaman 40 hingga 50 meter di dasar laut dan usaha mengesan kotak hitam pesawat juga giat dijalankan.
Dalam pada itu, seorang pegawai SAR Indonesia , Hernanto berkata, pasukan penyelam, kapal dan juga pesawat dari pasukan SAR sudah ke lokasi bangkai pesawat itu ditemui. - myMetro