Allah berfirman dalam al-Quran:

"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran." Mafhum Surah al-Asr: ayat 1 - 3.

Khamis, 28 Februari 2013

Cerita Lain Motif Pencerobohan Di Lahad Datu

Siapakah yang mereka buru dan kenapa tidak dapat mengesan kemasukan 76 orang tentera palsu Sultan Sulu setelah beratus ribu sudah lama bermastautin di Sabah, malah layak menerima BR1M.

Oleh : MUTALIB M.D


SELURUH Malaysia digegarkan dengan berita pencerobohan sekumpulan 'Lanun' (Mundu) yang kononnya tentera 'Sultan Sulu' sehingga Kampung Tanduo menjadi 'Medan Perang'; gara-gara 'kebijaksanaan' Ketua Cawangan UMNO Sungai Nyamuk, Ahmad Malandi @ Mat Bom melakukan percubaan 'Reverse Take Over' sebagaimana yang saya jangkakan akan berlaku sejak 1999 lagi iaitu selepas saya memberi keterangan dalam Petisyen Pilihanraya DUN Likas. 
Ketika Pasukan Perisik Sabahkini.net memaklumkan kepada saya bahawa Tentera Sultan Sulu menyerang dan menawan Kampung Tanduo sejak 12 Februari lalu, saya tergelak besar kerana saya tahu siapa yang tinggal di sana dan kenapa mereka mendarat di sana. 
Sebagai Mantan Setiausaha Eksekutif UMNO Silam, saya kenal hampir kesemua 402 Ketua Cawangan UMNO Silam ketika itu (1995-1997) yang majoritinya 'Warga Penyu' termasuk Ketua Cawangan UMNO Sungai Nyamuk, Ahmad Malandi yang mempunyai akal Abu Nuwas. 
Ahmad yang mempunyai akal kancil memang 'Pakar Bom' terutama membuat bom ikan dengan hanya menggunakan baja urea yang menjadi sumber pendapatan beliau sebelum FELDA 'menceroboh' tanah beliau dan saudara maranya seluas lebih kurang 100 hektar. 
Ahmad menjadikan 'Penjara Air Panas' Tawau sebagai rumah kedua kerana usahanya tidak pernah putus-putus mengugut Pegawai dan kakitangan FELDA yang beliau dakwa menceroboh tanah pusakanya. 
Sebenarnya Kerajaan Berjaya telah membatalkan semua permohonan tanah di Sahabat Pinggir dan Zon Keselamatan ketika menyerahkan kawasan yang menjadi Zon Persembunyian Lanun kepada FELDA untuk dibangunkan sebagai Rancangan Penempatan Tanah. 
Namun Ahmad yang mempunyai akal panjang telah membuat permohonan Tanah Adat dan disahkan PPHT Lahad Datu berdasarkan banyak pokok langsat dan buah-buahan yang kononnya beliau tanam; sedangkan kesemua tumbuhan tersebut adalah langsat liar yang bercambah semula jadi hasil daripada najis binatang yang memakan langsat, rambutan, terap dan sebagainya. 
Tambahan pula ketika itu, Ahmad dan saudara maranya telah bersetuju menyerahkan tanah tersebut kepada FELDA dan turut mendapat kontrak membangunkan tanah dan menuai buah sawit daripada FELDA. 
FELDA telah banyak bertolak ansur dengan karenah Ahmad; malah sehinggalah saya dan Mantan Adun Lahad Datu, Datuk Mohd Yusof Ahmad Jamli membuat perundingan untuk menyelesaikan masalah tuntutan tanah Ahmad dengan FELDA. 
Ahmad boleh hidup senang kerana memperolehi pendapatan bersih antara RM5,000 sehingga RM20,000 sebulan daripada hasil kontraknya dengan FELDA, namun akal Abu Nuwas membuatkan beliau dijangkiti sikap 'Tamak dan Haloba' sehingga menuntut dan menceroboh semua tanah yang dipohonnya bersama Haji Mahmood Mallang dan saudara maranya sebelum ini. 
Dengan ehsan Datuk Seri Najib sebagai menteri yang menjaga FELDA ketika itu, Ahmad telah mendapat dua lot tanah masing-masing seluas 15 ekar sebagai jalan penyelesaian tuntutannya. 
Tetapi bak kata pepatah, Ahmad yang telah diberi betis oleh FELDA, bukan sahaja mahu 'peha'; bahkan yang berada di 'celah peha' meneruskan gertakan dan pencerobohan sehingga saya dan polis sudah lali dengan perbuatannya yang melampaui batas. 
Ahmad suka mereka cipta cerita baru setiap hari; termasuk membawa ke sana ke mari kisahnya yang saya bukukan dalam buku 'Koleksi Sabah' serta keratan surat khabar yang ditulis rakan saya, Ruhaidini Abdul Kadir daripada Utusan Malaysia untuk dijadikan asas tuntutan. 
Ahmad bukan sahaja sering menimbulkan provokasi dengan membawa 'bom ikan'; sebenarnya tidak boleh dikategorikan sebagai bom kerana tidak mempunyai alat peledak disebabkan tidak mempunyai detanator; melainkan pasir, beras, tepung dan garam; semata-mata untuk mengugut Polis Bantuan FELDA agar membuka pagar hadangan bagi membolehkan beliau mengeluarkan buah yang dituainya daripada ladang FELDA. 
Sejak meletakkan jawatan sebagai Setiausaha Eksekutif UMNO Silam pada 1997, saya hanya menemui Ahmad dua kali iaitu tiga tahun lalu di Kota Kinabalu, namun tidak sempat bercerita panjang kerana masing-masing sibuk dengan urusan. 
Bagaimanapun Ahmad meminta saya membantu menulis surat kepada Sultan Sulu kerana beliau begitu yakin bahawa perjuangan beliau tidak lama lagi akan berhasil dengan bantuan saudara maranya di Sulu dan akan datang membantu beliau mendapatkan bukan sahaja 100 hektar 'Tanah Adat'; malah keseluruhan tanah FELDA. 
Saya hanya tersenyum mendengar ceritanya (impian kosongnya) tetapi menyatakan tidak dapat membantu beliau menulis surat kerana saya akan terbang ke Pulau Pinang; apatah lagi saya kenal siapa dan apa kebolehan Ahmad; namun darah saya tersirap apabila beliau begitu serius ingin menjemput saudara maranya daripada Sulu jika beliau kalah dalam kes mahkamah. 
Sejak daripada itu saya tidak lagi mengambil peduli kisahnya sehinggalah Pasukan Perisik Sabahkini.net memaklumkan kepada saya berhubung 'lawatan mengejut' saudara maranya daripada Sulu dan telah dikepung pihak berkuasa ketika Ahmad nazak terlantar di Hospital Lahad Datu akibat darah tinggi dan angin ahmar. 
Saya hanya mampu berjenaka dengan Pasukan Perisik Sabahkini.net bahawa "Mereka datang mengambil BR1M," kerana majoriti mereka ini telah dianugerahkan IC Projek dan tidak terniat untuk membuat liputan di Kampung Tanduo kerana hati kecil saya berbisik 'Gertak Keling' Ahmad yang sebelum ini telah kecewa setelah semua jalan perundangan buntu. 
Dalam keadaan Kesultanan Sulu yang sudah mengalami kehancuran sejak 1936 dan telah menjadi sebahagian daripada sejarah; maka 'Golongan Sultan Oportunis' mengambil kesempatan untuk melawat Ahmad yang sakit tenat di Hospital Lahad Datu; di samping menganyam rapi niat tersembunyi mereka untuk merampas kembali Borneo Utara daripada Kerajaan Malaysia. 
Secara kebetulan Ahmad mempunyai hubungan rapat dengan 'Sultan Sulu' yang menabalkan diri sendiri tanpa melalui 'Ruma Bichara' (Majlis Raja-Raja) dan mungkin telah membuat kajian dan perancangan rapi bersama anaknya Mohd Ali. 
Mengikut risikan saya, koresponden Sabahkini.net di Langunyan, memaklumkan bahawa mengikut sumber, Sultan Jamalul Kiram III telah melancarkan serangan 'Diplomatik Reverse Take Over' dengan menghantar 1,500 tenteranya ke Sabah; masing-masing 300 orang tentera Tungku, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Sandakan. 
Namun tidak diketahui apakah kesemua tentera berkenaan telah mendarat melainkan dilaporkan antara 100 hingga 300 yang mendarat di Kg Tanduo, Tungku kerana masih mengkaji modus operandi dan jejak mereka masuk ke Sabah; tanpa dapat dikesan oleh pihak berkuasa; apatah lagi perbatasan Malaysia yang sentiasa bolos dan mudah dibolosi PATI. 
Pasukan Perisik Sabahkini.net masih cuba mengesan kedudukan Ahmad dan anaknya Mohd Ali yang dipercayai menjadi dalang 'pencerobohan' ini kerana mengikut maklumat Hospital Lahad Datu, Ahmad sudah nazak dan dibenarkan dibawa pulang ke Kg Sungai Nyamuk, kerana dinantikan saudara maranya 'Tentera Sulu' yang terkepung oleh Pihak Berkuasa Malaysia. 
Anak perempuannya juga tidak dapat dihubungi untuk mengetahui keadaan bapanya yang semakin tenat. Bagaimanapun Perisik Sabahkini.net di Tanduo mengesahkan bahawa kunjungan 'Tentera Sultan Sulu' ini atas jemputan Ahmad dan anaknya Mohd Ali. 
Tambahan pula, Haji Musa yang merupakan pemimpin Nombor 2 dalam rombongan tentera berkenaan adalah besan Ahmad kerana anaknya, Mohd Ali bernikah dengan anak Haji Musa. 
Manakala pemimpin Nombor 1 kumpulan tersebut, Datu Ibrahim @ Datu Kuin Jamalul Kiram pula bernikah dengan anak Ketua Cawangan UMNO Sungai Bilis 2, Hussin Oyung. 
Agak mengejutkan kerana saya mendapat tahu anak Datu Ibrahim @ Amirul Kiram di Malaysia iaitu Datu Amir Datu Amirul, ialah Ahli UMNO Cawangan Sungai Bilis 2. 
Oleh itu tidak hairan jika kehadiran mereka tidak dapat dikesan Pihak Berkuasa yang belum pernah menggunakan 'kecanggihan satelit' di Jabatan remote Sensing negara untuk mengesan sebarang pergerakan keluar masuk bot besar atau perahu; apatah lagi 'Pusu' yang tidak mengeluarkan sebarang bunyi kerana eksosnya dibenamkan ke dalam laut. 
Dalam keadaan penuh curiga, orang awam sukar bekerjasama dengan pihak berkuasa yang disifatkan sering menyalahguna kuasa dan bertindak kasar dan menuduh pemberi maklumat sebagai penjenayah yang bersubahat. 
Saya terpaksa menahan ketawa membawa segala komen dan ulasan daripada semua pihak; apatah lagi 'kependekan akal' pihak berkuasa yang menghantar satu batalion tentera berkubu di Kampung Tanduo, Kampung Sungai Nyamuk, Kampung Sungai Merah untuk mengawal dan memantau 'Tentera Sultan Sulu'; sedangkan pada hakikatnya hanyalah 'Tentera Upahan' Ahmad Malandi @ Mat Bom. 
Mengikut risikan Sabahkini.net hanya 76 orang sahaja 'Tentera' yang berjaya mendarat di Tanduo termasuk enam wanita untuk mempertahankan tanah adat yang didakwa milik Ahmad di FELDA Sahabat 18 setelah Ahmad menjanjikan mereka akan mendapat tanah yang telah ditanam kelapa sawit seluas beribu ekar di Felda Sahabat 18. 
Dikhuatiri Ahmad dan Mohd Ali yang membiayai pembelian senjata api berkenaan di pasaran gelap di Tawi-Tawi dan segala makan minum mereka setelah kecewa dengan keputusan mahkamah yang memenangkan FELDA dalam kes tuntutan tanah beliau. 
Kelicikan Ahmad berjaya mengaburi mata pihak berkuasa yang menyangka memang benar Tentera Sulu setelah Datu Ibrahim @ Datu Kuin berjaya mempengaruhi saudaranya, Sultan Jamalul Kiram III mengakui kumpulan tersebut sebagai 'Tentera Sultan Sulu' yang mendapat suaka sementara kerana Kerajaan Filipina sudah pasti akan menangkap mereka dan dibawa ke muka pengadilan. 
Setelah tidak mempunyai harapan mendapat tanah yang dijanjikan Ahmad kerana dalam keadaan fizikalnya yang nazak; maka berlaku pertengkaran dan berselisihan pendapat sehingga Haji Musa dan Majid terbunuh dalam kejadian tembak menembak sesama mereka. 
Sabahkini.net mendapat tahu bahawa Datu Ibrahim @ Kuin Jamalul Kiram turut tercedera terkena peluru sesat; malah mereka berbalah dan tidak sehaluan lagi setelah perunding dengan pihak berkuasa melalui jalan buntu. 
Setelah membuat pertimbangan dan siasatan rapi, saya menganggap 'Drama' Ahmad Malandi hanya merupakan gertakan dan dalam keadaan fizikalnya sekarang, Mohd Ali tidak mampu melakukan apa-apa; malah terpaksa menggadai nyawa jika rundingan tamat. Lazimnya, jika mereka boleh masuk dengan senyap, maka sudah pastinya mereka akan keluar dengan lebih senyap daripada mereka masuk; sekalipun ketika pihak berkuasa sedang berkawal! 
Mungkin tiba masanya Menteri Pertahanan, Menteri Dalam Negeri, Ketua Polis Negara, Ketua APMM, Panglima Angkatan Tentera dan pihak berkuasa untuk bermuhasabah diri dan meletakkan jawatan kerana kejadian ini merupakan 'kemaluan' yang tidak dapat disorok daripada mata dunia yang melihat betapa rapuhnya sistem pertahanan Sabah; sehinggakan Ahmad Malandi @ Mat Bom boleh merancang 'Pintomen' serangan yang menyebabkan seluruh negara terpinga-pinga dan ketakutan. 
Masa untuk berunding telah tamat. Bagaimanapun 76 tentera palsu Sultan Sulu yang terpedaya oleh 'Janji Terang Bulan' Ahmad Malandi ini wajar diberi peluang menyerah diri secara sukarela dan perlu diadili di mahkamah Malaysia kerana masuk secara haram dengan niat untuk menderhaka kepada yang DiPertuan Agong! 
Sabahkini.net akan membongkar institusi Kesultanan Sulu dan apa relevannya lagi dengan Sabah dapat episod akan datang.

(NOTA : Sabahkini.net telah menarik keluar Pasukan Perisikan di Tungku kerana hanya membuang masa dan keringat melaporkan 'Drama' yang mahu menyebarkan dakyah Sultan Palsu dari Sulu) - Sabahkini

Warga AS Mempunyai Hak Untuk Menjadi Bodoh

John Kerry berkata "warga AS mempunyai hak untuk menjadi bodoh" semasa berucap di Berlin

Kerry berucap di dewan bandar pada hari Selasa

Kerry berjabat tangan dengan anak-anak kakitangan Kedutaan Amerika Syarikat di Kedutaan di Berlin

Kerry tiba di dewan bandar di berlin untuk berucap di hadapan sekumpulan belia

Kerry menurunkan tandatangan di "Facebook Wall" selepas menyampaikan ucapan


BERLIN - Sebaik tiba di Jerman, Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) yang baru, John Kerry terus berucap di hadapan sekumpulan pelajar Jerman. 
"Sebagai negara dan sebuah masyarakat, kita hidup dengan menghirup udara kebebasan serta mengamalkan toleransi beragama," ujar Kerry. 
"Kami kadang-kadang berfikir, mengapa Mahkamah Agung kami membiarkan satu kumpulan melakukan perarakan sedangkan perarakan itu bersifat provokatif. Mereka juga dibenarkan membawa sepanduk-sepanduk yang mengandungi hinaan terhadap kumpulan lain. Alasannya adalah kerana, itu merupakan kebebasan bersuara. Di Amerika, anda juga mempunyai hak untuk menjadi bodoh jika anda mahu," tambahnya disambut dengan ketawa oleh para pendengar. 
Kerry menegaskan, menjadi bodoh di negara AS adalah perkara yang dibolehkan. Toleransi itu dianggap sebagai dasar dan suatu yang patut diperjuangkan. 
Kerry ketika ini sedang melakukan lawatan ke luar negaranya yang pertama. Lawatan itu bermula pada 1 Februari lalu dan akan berakhir pada 6 Mac depan. 
Kerry juga sempat mengingati kembali masa kecilnya pada tahun 1950. Pada tahun 1950, Kerry sebagai anak diplomat AS berpeluang mengelilingi bandar Berlin dengan menaiki basikal. 
Bagaimanapun semasa Kerry berusia 12 tahun, Jerman telah berpecah menjadi Jerman Barat dan Jerman Timur. Menyedari perpecahan itu, Kerry tidak lagi berpeluang  mengelilingi Jerman.

Akhirnya Chuck Hagel Jadi Setiausaha Pertahanan AS

Senat AS telah meluluskan perlantikan Hagel tetapi hanya empat anggota Republikan mengundi beliau

Chuck Hagel disambut pegawai kanan tentera semasa tiba di ibu pejabat pertahanan AS di Pentagon

Hagel bersama isteri diiringi pegawai kanan tentera masuk ke Pentagon

Hagel mengangkat sumpah jawatan di hadapan Pengarah Pentadbiran dan Pengurusan Jabatan Pertahanan AS

Hagel dari Parti Republikan ialah sahabat kepada Obama dari Parti Demokrat. Di tengah ialah Jeneral David Petraeus


WASHINGTON - Akhirnya Dewan Senat Amerika Syarikat (AS) mengundi meluluskan perlantikan Chuck Hagel sebagai Setiausaha Pertahanan, menggantikan Leon Panetta. Bagaimanapun hanya empat Senator dari Parti Republikan mengundi menyokong veteran Perang Vietnam itu. 
Semasa pengundian seramai 58 Senator AS mengundi menyokong pencalonan Hagel, manakala 41 lagi tidak menyokong. 
Empat Senator Republikan yang menyokong Hagel ialah Rand Paul dari Kentucky, Thad Cochran dari Mississippi, Mike Johanns dari Nebraska, dan Richard Shelby dari Alabama. Obama mengalu-alukan keputusan Senat AS terhadap pengesahan pencalonan Hagel. 
"Dengan pengesahan kedua-dua parti terhadap pencalonan Chuck Hagel, kita akan segera mendapat setiausaha pertahanan yang baru yang layak memimpin pasukan-pasukan kita," ujar Obama. 
"Sejak dia (Hagel) berperang secara sukarela di Vietnam, Chuck sudah menyerahkan nyawanya untuk menjaga Amerika dan pasukannya. Dia adalah seorang patriot Amerika yang berperang dan menumpahkan darahnya untuk negara kita, dia juga memahami pengorbanan suci anggota pasukan, keluarga tentera, dan veteran AS," tambahnya. 
Beberapa pihak yang menentang perlantikan Hagel masih berpendapat bahawa lelaki berambut putih itu akan memburukkan hubungan AS dengan Israel. Terdapat juga anggota Demokrat yang turut meragui pencalonan Hagel. 
Prestasi Hagel semasa berucap di hadapan Senat AS juga tidak begitu memuaskan. Hagel mendapat kritikan pedas dari beberapa anggota Republikan seperti Senator John McCain dan Senator Lindsey Graham.

Maut Terkena Renjatan Elektrik Di Luar Sekolah

Mohammad Amirul Syafiq Halim, 15, meninggal dunia ketika dibawa oleh polis untuk mendapatkan rawatan

Cuai. Ini ialah kotak kabel pembekal elektrik 33 kilo volt di atas tanah! Tetapi tidak dipagar. Foto Kosmo!

KLANG - Seorang pelajar tingkatan tiga maut akibat terkena renjatan elektrik daripada sebuah kotak kabel pembekal elektrik Tenaga Nasional Bhd (TNB) di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Idris Shah Kapar di sini pada 1.15 tengah hari ini. 
Mangsa dikenali sebagai Mohammad Amirul Syafiq Halim, 15, disahkan meninggal dunia ketika dibawa oleh anggota polis untuk mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Kapar di sini. 
Bapa mangsa, Halim Mohd Ismail, 38, berkata beliau dimaklumkan mengenai kejadian itu kira-kira 1.20 tengah hari. 
"Saya difahamkan anak saya berada di kawasan itu sementara menunggu bas untuk pulang ke rumah yg terletak kira-kira satu kilometer dari lokasi kejadian. 
"Sebaik melintasi kotak itu arwah terkena renjatan elektrik serta terhenti dan berada dalam keadaan berdiri tegak," katanya ketika ditemui di Rumah Mayat Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini, hari ini. 
Beliau berkata mangsa merupakan anak sulung daripada empat beradik dan bakal menduduki Peperiksaan Menengah Rendah (PMR) tahun ini. 
"Arwah seorang yang pendiam dan tidak banyak bercakap. Kali terakhir saya bersembang dengannya pada 6 pagi tadi sebelum keluar pergi ke sekolah. 
"Kami sekeluarga reda tapi berharap supaya pihak terbabit peka dan mengambil tindakan segera menutup kotak kabel elektrik bagi memastikan kejadian sama tidak berulang," katanya. 
Halim berkata, jenazah anaknya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kapar petang ini. 
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Utara, ACP Mohd Shukor Sulong ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan berkata, kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut. 
Pengurus Besar TNB Selangor, Datuk Mohd Azim Yusof ketika dihubungi berkata, pihaknya mendapati berlaku vandalisme pada kotak pembekal elektrik 33 kilo Volt (kV) berkenaan. 
Beliau berkata pihaknya akan membaiki segera kotak itu dan kejadian berkenaan telah dimaklumkan kepada Suruhanjaya Tenaga. 
"Kita telah menubuhkan satu pasukan khas bagi menyiasat kejadian ini malah kami tidak menerima maklumat mengenai kerosakan itu dan berharap supaya orang ramai melaporkan sekiranya berlaku perkara yang sama," katanya. 
Pengarah Pelajaran Selangor Mahmud Karim berkata, pihaknya akan meminta sekolah berkenaan memohon pondok bas kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk kemudahan pelajar. 
"Kita harap pihak berkenaan mengambil langkah sewajarnya supaya kejadian sama tidak berulang kerana ia bukan sahaja membahayakan pelajar sekolah tetapi juga orang awam," katanya. 
Beliau berkata, pihaknya bersedih dengan kejadian itu dan menyerahkan kepada polis untuk siasatan lanjut. - Bernama

Mungkinkah Perkhidmatan Pos Akan Lenyap?

Setem pasti menjadi koleksi berharga jika kiriman surat tidak wujud lagi pada masa hadapan.

Lahmert masih menghantar kiriman surat dan bungkusan ke Otaki walaupun semakin kurang mendapat sambutan. Foto: AP

Generasi muda kini lebih suka menggunakan teknologi di hujung jari untuk menyampaikan maklumat atau mesej.


OTAKI - Sandra Vidulich, seorang penduduk luar bandar di New Zealand sangat teruja menerima bungkusan kasut but kulit yang dihantar menerusi kiriman pos walaupun perkhidmatan itu hanya menjadi menjadi pilihan utama segelintir masyarakat pada masa ini berikutan kewujudan teknologi di hujung jari seperti emel yang boleh menghantar mesej lebih cepat berbanding surat. 
Tanpa kita sedari amalan membeli-belah secara dalam talian sebenarnya telah menjadi penyumbang utama membantu perkhidmatan itu untuk kekal beroperasi di seluruh negara maju hingga kini. 
Kiriman surat dilaporkan turun secara mendadak dan penghantaran bungkusan tidak mampu untuk menyelamatkan perkhidmatan pos tersebut. 
Perkhidmatan Royal Mail di Britain yang telah beroperasi sejak pemerintahan Raja Henry VIII, kira-kira 500 tahun lalu bakal gulung tikar berikutan kiriman pos tidak lagi mendapat sambutan di negara tersebut. 
Selain itu, Perkhidmatan Pos di Amerika Syarikat (USPS) turut membuat pengumuman tergempar berhubung rancangan mereka untuk menghentikan penghantaran surat pada setiap hari Sabtu. 
New Zealand juga mengambil langkah serupa yang lebih drastik iaitu hanya membuat penghantaran untuk tiga hari berbanding enam hari dalam seminggu. 
Laporan tahunan USPS menunjukkan, hasil pendapatan syarikat itu pada tahun lalu merosot kepada AS$65 juta (RM202 juta) dan kerugian mencecah AS$15.9 juta (RM49.3 juta). 
Tahun lalu, mereka hanya menghantar 160 bilion surat berbanding 212 bilion kiriman pada tahun 2007. 
Akibat daripada situasi itu, USPS juga terpaksa mengurangkan tenaga kerja mereka kepada 156,000 orang(23 peratus). 
Kebanyakan negara lain di Eropah juga menerima nasib sama, sebagai contoh perkhidmatan La Poste di Perancis turut meramalkan mereka hanya akan membuat 30 peratus penghantaran surat menjelang 2015 berbanding jumlah yang dikendalikan pada tahun 2008. 
Negara di Asia seperti Jepun pula melaporkan berlaku pengurangan ketara sebanyak 13 peratus melibatkan kiriman surat berbanding empat tahun lalu. 
Menurut laporan Kesatuan Pos Sedunia (UPU) yang dikemukakan kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) jumlah kiriman surat di seluruh dunia telah menurun hampir empat peratus dan sebanyak lima peratus pejabat pos di negara maju terpaksa ditutup pada tahun 2011. 
Difahamkan, walaupun amalan membeli-belah di Internet dianggap 'penyelamat', perkhidmatan kiriman pos pula terpaksa bersaing dengan syarikat penghantaran bungkusan syarikat swasta seperti FedEx. 
Ketua Pos Besar USPS, Patrick Donahoe, beliau menegaskan ia sememangnya satu perkara mustahil untuk memulihkan perkhidmatan penghantaran surat yang kurang mendapat sambutan dengan kiriman bungkusan. 
Keputusan USPS untuk mengehadkan penghantaran kepada enam hari dalam tempoh seminggu itu juga didakwa dapat menjimatkan kos berjumlah AS$2 bilion (RM6.2 bilion) setahun. 
"Perkhidmatan kiriman pos ini tidak akan lenyap ditelan perkembangan zaman walaupun pelbagai teknologi dicipta pada masa ini," katanya. 
Sementara itu, John Lahmert, 72, seorang posmen di New Zealand yang ditugaskan untuk menghantar surat di Otaki, North Island selama 18 tahun menganggap kerjayanya itu lebih mendekatkan beliau dengan masyarakat. 
"Saya berasa seronok kerana dapat menyapa mereka tetapi dunia kini telah berubah kerana hanya segelintir orang yang masih bergantung kepada perkhidmatan pos," menurutnya. 
Walaupun di kebanyakan negara, kiriman pos tidak lagi menjadi pilihan, namun di negara membangun seperti China, penghantaran surat dilaporkan meningkat sehingga 56 peratus sejak 2007. 
Jika dilihat keadaan pada masa ini, bagaimanakah nasib perkhidmatan pos di seluruh dunia menjelang 2020? Adakah ia akan lenyap atau sebaliknya? - AP / Sinar Harian

Rabu, 27 Februari 2013

Sekitar Kehilangan Empat Kaki Pancing Di Kuantan

Berita 24.2.2012


Engku Yushanizam (kanan) dan Zamri (dua kanan) bersama rakan-rakan lain menunggu di jeti. Foto: Sinar Harian


KUANTAN - Empat kaki pancing yang dipercayai keluar memancing di kawasan perairan Pahang sejak lima hari lalu dikhuatiri hilang selepas mereka tidak pulang sehingga jam 5 petang semalam. 
Usaha rakan-rakan menjejaki mereka juga menemui jalan buntu selepas telefon bimbit keempat lelaki itu gagal dihubungi. 
Baheruzaman Yusof, 40, bersama rakannya, Ayzzat Rahmat Yaakop, 40, Rahmat Chik, 51 dan seorang lagi lelaki hanya dikenali sebagai ‘Karim’ (umur masih belum diketahui) keluar memancing kira-kira jam 5 petang, Rabu lalu. 
Mereka turun dari Jeti Kelab Memancing Cenderawasih, Sungai Kuantan di Perkampungan Cenderawasih dengan menaiki bot fiber sepanjang 6.5 meter dipercayai ke kawasan uncang dalam kawasan perairan daerah ini. 
Seorang rakan, Engku Yushanizam Engku Ngah, 36, berkata, mereka khuatir nasib keempat kaki pancing itu memandangkan keadaan laut dikatakan bergelora sejak beberapa hari lalu. 
Menurutnya, mereka sepatutnya pulang petang Khamis, 21 Februari lalu, namun gagal berbuat demikian hingga jam 5 petang semalam. 
“Saya difahamkan mereka hanya membawa bekalan makanan dan minyak hanya untuk tempoh sehari atau dua hari, jadi agak mustahil mereka mampu bertahan hingga ke hari ini. 
“Kami cuba menghubungi mereka sejak tiga hari lalu, namun gagal lalu membuat laporan polis kira-kira jam 8 malam tadi (kelmarin) kerana bimbangkan keselamatan mereka,” katanya ketika ditemui bersama beberapa rakan lain di Jeti Kelab Memancing Cenderawasih, dekat sini, semalam. 
Seorang lagi rakan, Zamri Abdul Razak, 33, berkata, ahli keluarga juga tidak mendapat sebarang berita mengenai nasib keempat mangsa dan difahamkan mereka turut membuat laporan polis berhubung kehilangan itu. 
“Kereta dan treler menarik bot mereka (mangsa) masih ada di sini,” katanya. 
Zamri berkata, sebelum ini dia bercadang untuk keluar mencari, namun terpaksa membatalkan hasrat memandangkan keadaan laut dilaporkan bergelora, selain tidak pasti kedudukan rakan mereka yang hilang itu. 
“Kami hanya mampu berdoa agar mereka semua selamat dan berjaya ditemui pasukan penyelamat yang memulakan usaha mencari hari ini (semalam),” katanya. 
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd Jasmani Yusoff mengesahkan menerima laporan kehilangan empat lelaki itu daripada rakan dan keluarga mangsa. 
Menurutnya, pasukan mencari dan menyelamat terdiri daripada Agensi Penguatkuasaan Maritim (APMM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang telah melancarkan gerakan mencari mangsa. 
“Bagaimanapun hingga jam 2 petang ini (semalam,) keempat-empat pemancing itu gagal dikesan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam. 
Sementara itu, Pusat Operasi Maritim Wilayah Timur, APMM dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya menerima panggilan daripada Balai Polis Kuantan berhubung kejadian kira-kira jam 10.45 malam, kelmarin. 
Lt Maritim Mohd Ardi Mat Nawi berkata, susulan laporan yang diterima, APMM mengaktifkan Operasi Carilamat jam 10.50 malam kelmarin dan semalam, kira-kira jam 7 pagi, Kapal KM Sebatik bersama dua bot, Penyelamat 6 dan Kilat 50 beserta anggota telah ditugaskan melaksanakan operasi itu di persisiran Perairan Kuala Pahang sehingga Kuala Kemaman. 
“Namun sehingga jam 5 petang, kesemua mangsa masih belum ditemui, manakala operasi masih diteruskan. 
"Lokasi sebenar kedudukan bot mangsa menjalankan aktiviti memancing tidak diketahui manakala keadaan cuaca dengan angin kuat dan laut bergelora menyukarkan operasi menyelamat dijalankan," katanya. - Sinar Harian


Berita 25.2.2013


APMM menggunakan pesawat ini untuk melakukan pencarian melalui udara. Foto: Sinar Harian

KUANTAN - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Timur mempertingkatkan usaha Operasi Carilamat empat kaki pancing yang hilang di perairan Kuantan sejak enam hari lalu termasuk pencarian melalui udara menggunakan pesawat Bombadier di kawasan 25 batu nautika dari Kuantan, semalam. 
Bagaimana pun sehingga jam 4 petang semalam, tiada sebarang perkembangan berhubung nasib Baheruzaman Yusof, 40, bersama rakannya, Ayzzat Rahmat Yaakop, 40, Rahmat Chik, 51 dan seorang lagi lelaki hanya dikenali sebagai ‘Karim’ yang hilang selepas keluar memancing sejak Rabu minggu lalu. 
Bilik Gerakan APMM Wilayah Timur memaklumkan, usaha mencari juga terganggu akibat keadaan cuaca yang agak buruk petang semalam menyebabkan Kapal KM Gemia yang mengambil alih tugas daripada KM Sebatik hanya keluar kira-kira jam 4 petang semalam untuk meneruskan pencarian. 
“Dalam operasi hari ini (semalam) sebuah kapal (KM Gemia), dua bot penyelamat, Penyelamat 6 dan Kilat 50 meneruskan operasi membabitkan kekuatan 30 anggota termasuk krew pesawat Bombadier," katanya. 
Jurucakap bilik gerakan itu berkata, lokasi sebenar kedudukan bot mangsa menjalankan aktiviti memancing tidak diketahui manakala keadaan cuaca dengan angin kuat dan laut bergelora menyukarkan Operasi Carilamat dijalankan. 
“Mengikut ramalan cuaca yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia, keadaan angin Timur Laut bertiup 40-50 km/j dengan ombak setinggi 2.5 hingga 3.5 meter (berbahaya kepada bot-bot kecil),” katanya. 
Empat kaki pancing itu dipercayai keluar memancing di kawasan perairan Pahang sejak enam hari lalu dikhuatiri hilang selepas mereka tidak pulang sehingga jam 5 petang semalam. 
Mereka turun dari Jeti Kelab Memancing Cenderawasih, Sungai Kuantan di Perkampungan Cenderawasih dengan menaiki bot fiber sepanjang 6.5 meter dipercayai ke kawasan uncang dalam kawasan perairan daerah ini. 
Usaha mencari melibatkan beberapa agensi penyelamat termasuk APMM, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang.


Berita 26.2.2013


Operasi pencarian di laut dijalankan sejauh 30 batu nautika. Foto: Sinar Harian

Isteri Baheruzaman, Nor Hartini Abdul Hamid, 41, tidak dapat menahan sebak mengenang nasib suaminya. Foto: Sinar Harian

Doa dibacakan sebelum operasi mencari dan menyelamat bermula.


KUANTAN - Hanya doa yang mampu dititipkan ahli keluarga buat masa ini agar keempat-empat pemancing ditemui selamat. 
Kehilangan mereka bukan sahaja menjadi tanda tanya kepada anggota penyelamat yang menjalankan tugas mencari, tetapi juga ahli keluarga mereka yang setia menanti berita gembira mereka pulang dalam keadaan yang selamat. 
Sudah pasti, isteri mana yang akan tenang apabila ketua keluarga yang menjadi tulang belakang selama ini hilang tanpa khabar berita. Bagaimanapun, mereka terus menaruh harapan agar suami mereka tidak ditimpa sesuatu perkara yang buruk. 
Bagi Fairus Abdul Rahim, 42, isteri kepada Rahmat Chik, 51, dia sempat menghantar suaminya ke Jeti Kelab Memancing Cenderawasih kira-kira jam 6.45 petang pada hari kejadian. 
Menurutnya, memang menjadi rutin untuk suaminya ke laut memancing tetapi selalunya dia akan memancing pada hari minggu. 
Paling lama dia ke laut pun dua hari tetapi pada hari Khamis saya cuba hubungi dia tetapi tidak dapat dan tetap menunggu jika dia pulang keesokan harinya, namun sangkaan saya meleset. 
“Tetapi sehingga Jumaat dia masih belum balik sedangkan makanan yang dibawa hanya cukup sekali makan bersama empat rakannya,” katanya yang tinggal di Bukit Setongkol. 
Fairus berkata, sebelum turun memancing pada hari rabu itu, suaminya merancang ke laut sejak Isnin lalu dan dia tidak mengesyaki sebarang kejadian buruk berlaku memandangkan itu rutin suaminya sejak sekian lama malah boleh digelar ‘Otai’ dalam kalangan kaki pancing. 
Bagaimana pun, ibu tiga anak itu masih mengharapkan berita gembira buatnya sekeluarga dan setia menanti sebarang berita tentang suaminya. 
Manakala, Norezawati Mohamad, 32, isteri kepada Azyyat Rahmat Yaacob, 40, berkata, suaminya sebelum ini tidak pernah pergi memancing ke laut namun Selasa lalu menyatakan hasrat untuk ke laut mengikut tiga rakan yang lain memancing. 
Menurutnya, walaupun sedikit pelik namun dia hanya mendiamkan diri sahaja kerana memahami minat suaminya yang gemar memancing terutama pada hujung minggu. 
“Petang Rabu lalu, dia meminta saya membeli ubat tahan muntah sebelum dia ke laut. Tiada sebarang perlakuan pelik dan dia memberitahu akan pulang pada hari Khamis. 
"Namun, sehinggalah Jumaat lalu, dia masih tidak pulang, saya jadi risau malah rakan-rakannya yang biasa memancing di sungai datang bertanya mengenai dirinya kepada saya,” katanya ketika ditemui pada Operasi Menyelamat di Jeti Kelab Memancing Cenderawasih, di sini, semalam. 
Norezawati yang bekerja sebagai pembantu klinik berkata, sebelum ini suaminya hanya memancing di sungai dan jarang melakukan hobinya itu pada hari biasa. 
“Biasanya dia pergi memancing pada hari minggu tetapi kali ini dia pergi hari biasa malah saya juga tidak mengenali tiga rakannya yang turut serta. 
“Bagaimana pun, saya tahu dia membawa semua alat keselamatan seperti jaket keselamatan dan baju hujan kerana dia seorang yang sangat menitikberatkan soal keselamatan bila pergi memancing,” katanya. 
Katanya lagi, rakan suaminya memberitahu suaminya ada memuat naik gambar di dinding laman sosial sebelum gagal dihubungi pada malam tersebut. 
Bagi anak tunggal kepada Abdul Karim Zakaria, 41, iaitu Rabhah Abdul Karim, 15, ayahnya sempat berpesan supaya menjaga ibunya, Nor Fadilah Mohd Salim, 51, yang sedang sakit dengan baik. 
Katanya, dia masih berharap ayahnya selamat dan sentiasa berdoa tiada kejadian buruk menimpa. Selain ketiga-tiga kaki pancing, turut hilang adalah Baheruzaman Yusuf, 40, yang lebih dikenali sebagai Harun. 
Sementara itu, pihak polis meneruskan Operasi Mencari dan Menyelamat membabitkan kawasan perairan 30 batu nautika bermula di Jeti Kelab Memancing Cenderawasih, di sini. 
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd Jasmani Yusoff berkata, operasi mencari dan menyelamat itu akan dilakukan ke beberapa perairan termasuk Kemaman dan Tanjung Gemok. 
“Rondaan akan dilakukan Polis Marin, Maritim dan TLDM menggunakan kemudahan seperti pesawat untuk mengesan mangsa di tengah laut. 
“Buat masa ini, pihak berkuasa masih belum mendapat sebarang petunjuk bagaimana kita akan terus mencari di kawasan yang berkemungkinan dilalui oleh kaki pancing ini,” katanya. 
Dalam pada itu, Mohd Jasmani turut mengingatkan sesiapa sahaja yang ingin ke laut supaya mendapatkan info cuaca daripada Jabatan Kaji Cuaca terlebih dahulu. 
Katanya, dalam keadaan cuaca tidak menentu, mereka yang ingin melakukan aktiviti di laut harus berwaspada kerana bimbang kejadian tidak diingini berlaku. 
“Kita tidak menolak kemungkinan bot yang dinaiki empat kaki pancing ini mengalami kerosakan enjin. 
“Justeru, kita berharap kepada nelayan yang mungkin terserempak dengan kumpulan supaya memaklumkan kepada pihak polis,” katanya. 
Mohd Jasmani turut melahirkan rasa simpati kepada keluarga mangsa dan berharap bersabar serta melakukan solat hajat. 
Rabu lalu, keempat-empat kaki pancing itu dipercayai keluar memancing di kawasan perairan Pahang sejak enam hari lalu dikhuatiri hilang selepas tidak pulang sehingga 5 petang semalam. - Sinar Harian


Berita 28.2.2013 

Hong Seong menasihatkan Fairus agar bersabar dan berharap agar nelayan yang hilang ditemui selamat. Foto: Sinar Harian


KUANTAN – “Sebelum suami saya pergi memancing dia berjanji akan balik semula ke rumah dan sehingga hari ini saya masih berpegang kepada janji tersebut untuk terus menunggu dia,”kata Fairuz Abdul Rahim,42, isteri kepada Rahmat Chik, 51 yang merupakan salah seorang daripada empat pemancing yang hilang di laut sejak seminggu yang lalu. 
Fairus berkata, laut merupakan dunia kedua untuk suaminya dan dia yakin, suaminya akan pulang dengan selamat seperti mana sebelum ini. 
“Hati saya kuat mengatakan suami masih hidup dan selamat, cuma tidak dapat pulang kerana terkandas di laut. 
“Selama berpuluh-puluh tahun menjadi kaki pancing, sudah beberapa kali dia hilang di laut, tetapi kali ini terlalu lama membuatkan hati kami sekeluarga tidak tenang. 
“Sebelum ini, jika tidak pulang ke rumah, hanya sehari dua sahaja, tetapi kali ini sampai seminggu membuatkan saya risau keadaan dia," katanya. 
Lebih membimbangkan katanya, bekalan makanan dibawa hanya bertahan sehari sahaja untuk mereka. 
Menurutnya, minat dan hobi suaminya itu terhadap dunia pancing memang diakui, setiap sebulan suaminya itu akan menganjurkan pertandingan memancing di benteng sungai khas untuk kaki pancing. 
“Jika dia tidak keluar memancing sekalipun, dia akan pergi ke jeti untuk melihat laut bagi memuaskan hatinya terhadap dunia pancing ini. 
“Saban hari saya berdoa agar mereka semua masih hidup dan ditemui dengan selamat oleh penyelamat dalam masa terdekat ini,” katanya ketika ditemui Sinar Harian sempena lawatan Adun Teruntum, Datuk Chang Hong Seong di rumahnya dekat Bukit Setongkol semalam. 
Sementara itu, rakan baik Rahmat, Mohd Ruzaini Ibrahim, 47 berharap agar Rahmat pulang dengan selamat. 
“Rahmat merupakan ‘tok guru’ saya dalam dunia pancing ini. Dahulu saya tiada pengalaman memancing dan dialah yang memberi tunjuk ajar sehingga mahir. 
“Saya harap berdasarkan pengalaman dan kemahiran yang dia ada, Rahmat mampu menyelamatkan diri dan ditemui selamat dalam masa terdekat ini,” katanya. 
Norezawati. Foto: Sinar Harian
Bagi Norezawati Mohamad, 32, isteri kepada Azzyat Rahmat Yaacob, 40 berharap agar suaminya itu ditemui dalam apa juga keadaan sekalipun. 
Menurutnya, dia dan keluarganya reda jika sebarang kemungkinan buruk berlaku terhadap suaminya itu, namun berharap agar dia ditemui. 
“Saya masih menaruh harapan agar suami masih hidup dan ditemui dalam keadaan selamat,” katanya. 
Sementara itu, Ketua Kampung Bukit Setongkol, Sidek Aminuddin berkata, pihaknya akan mengadakan solat Hajat dan doa selamat bagi memberi petunjuk terhadap kehilangan empat pemancing pada 20 Februari lalu. 
Dua lagi pemancing yang hilang ialah Abdul Karim Zakaria, 41 dan Baheruzaman Yusuf, 40. 
Khabar angin yang tersebar berhubung penemuan mayat seorang lelaki di tengah laut dikaitkan dengan salah seorang daripada empat pemancing hilang sejak seminggu lalu tidak benar. 
Sehingga jam 5 petang semalam, polis dan beberapa agensi terlibat dalam Operasi Carilamat termasuk Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Pasukan Gerakan Marin (PGM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang tidak dapat sahkan penemuan itu. 
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan, Superintendan Abdul Aziz Ahmad berkata, pihaknya juga tidak dapat mengenal pasti sumber yang menyebarkan maklumat tersebut. 
Menurutnya, polis mendengar desas-desus berhubung penemuan mayat oleh nelayan, lalu mengambil tindakan untuk sahkan maklumat tersebut. 
“Bagaimanapun maklum balas daripada beberapa pihak termasuk Persatuan Nelayan Kuantan, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan agensi penyelamat yang lain mendapati tiada sebarang maklumat berhubung penemuan mayat diterima. 
“Bagi menghadapi sebarang kemungkinan, kita bersedia di sini (jeti PGM) namun malangnya hingga sekarang (jam 5 petang) tiada pihak yang tampil dan mengesahkan maklumat tersebut,” katanya ketika ditemui di jeti itu, di sini semalam. 
Abdul Aziz berkata, orang ramai tidak sepatutnya menyebarkan khabar angin berhubung perkara itu kerana ia bukan sahaja menyusahkan pihak berkuasa tetapi mengganggu emosi ahli keluarga mangsa. 
“Hari ini (semalam) semua ahli keluarga berkumpul di jeti setelah mendengar berita penemuan mayat tersebut namun mereka kecewa kerana ia tidak benar,” katanya. 
Beliau berkata, pihak berkuasa yang terlibat dalam Operasi Carilamat akan meneruskan operasi setiap hari bagi mengesan keempat-empat mangsa. 
“APMM dan PGM menjalankan operasi setiap hari mengikut zon yang ditetapkan sehingga ke Perairan Kemaman dan Nenasi membabitkan kawasan pencarian menjangkau 20 batu nautika. 
“Esok (hari ini) PGM akan mengerakkan semua aset yang berpangkalan di Markas Wilayah 3 Kuantan ini termasuk bot PA dan bot kecil untuk mengerakkan usaha mencari dan menyelamat mangsa,” katanya. - Sinar Harian

Berita baru di sini

Pengetua Kena Samun Dalam Kawasan Sekolah

Suspek dipercayai menggunakan laluan belakang bukit rumah mangsa untuk menyamun. Foto: Sinar Harian

Kayu yang digunakan untuk naik ke tingkat dua. Teruknya keselamatan kita sekarang ini. Foto: Sinar Harian


BENTONG – Empat sekeluarga berdepan detik cemas apabila rumah mereka dimasuki empat penyamun bersenjatakan pisau dalam kejadian di Rumah Guru Sekolah Menengah Vokasional Bentong, kira-kira jam 3 pagi, kelmarin. 
Dalam kejadian itu, penyamun bersarung tangan dan bertopeng bukan sahaja mengacukan pisau ke arah mangsa tetapi turut mengikat mereka menggunakan dawai besi. 
Mangsa yang juga seorang pengetua, Hashim Puteh, 51, bersama isteri dan seorang anak lelaki berusia 14 tahun serta anak bongsu perempuan berusia 10 tahun masih trauma dengan kejadian itu. 
Katanya, pada malam kejadian dia tidur di ruang tamu kerana keletihan manakala isteri dan dua anak tidur di bilik tingkat atas. 
“Kira-kira jam 3 pagi saya dikejutkan oleh empat lelaki memakai topeng muka dan bersenjatakan pisau. 
“Seorang daripada mereka sempat menyatakan mahu memperoleh wang dan barang berharga,” katanya. 
Hashim berkata, kedua-dua tangannya kemudian diikat menggunakan dawai besi sebelum dibawa naik ke tingkat atas rumahnya itu. 
Katanya, isteri dan anak lelakinya turut diikat manakala anak perempuannya tidak diikat. 
“Kami semua ditempatkan di bilik utama dan seorang daripada mereka menjaga di bahagian pintu. 
“Tiga yang lain pula sibuk menggeledah bilik mencari barangan berharga,” katanya. 
Menurutnya, lebih kurang 15 minit, salah seorang lelaki itu datang ke dalam bilik bertemu mereka sekeluarga. 
Katanya, lelaki itu memberitahu mereka berempat akan keluar dari rumah itu dan meminta dia serta ahli keluarga supaya tidak membuat bising. 
“Selepas keempat-empatnya berlalu pergi, saya meminta anak perempuan membuka ikatan dawai besi sebelum keluar meminta pertolongan daripada jiran untuk menghubungi polis,” katanya. 
Hashim berkata, polis yang tiba di tempat kejadian mengesan sebatang kayu diletakkan di bahagian belakang rumah yang digunakan untuk memanjat ke tingkat dua rumahnya sebelum mengumpil tingkap. 
Katanya, mereka juga terlebih dahulu memotong pagar di atas bukit sebelum turun ke bawah bukit dan seterusnya memanjat kayu untuk masuk ke dalam rumah. 
“Berdasarkan apa yang dilihat, mereka menggunakan pisau yang diambil di bahagian dapur rumah saya sebagai senjata,” katanya. 
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Mohamad Mansor Mohd Nor berkata, mangsa mengalami kerugian lebih RM50,000. 
Katanya, antara barang yang dilaporkan hilang ialah barang kemas, wang tunai sejumlah RM13,000, tiga telefon bimbit dan dua jam tangan. 
“Polis masih meneruskan siasatan berhubung kejadian ini dan usaha mengesan keempat-empat suspek yang dipercayai warganegara Indonesia itu masih diteruskan. 
“Kes disiasat di bawah Seksyen 392 dan 397 Kanun Keseksaan atas kesalahan rompakan bersenjata.” Katanya. - Sinar Harian

Betul-betul Mr Bean

Seorang lelaki keluar dari biliknya dan meletakkan dulang yang berisi sisa makanan tanpa berpakaian 

Bagaimanapun pintu biliknya tertutup dan terkunci menyebabkan, dia tidak dapat masuk kembali

Lelaki berkenaan terpaksa pergi kaunter di lobi hotel untuk mendapatkan kunci pendua


Lain kali, apabila anda mahu keluar dari bilik hotel, sesuatu yang perlu anda ingat ialah: Jangan sesekali melakukannya tanpa pakaian di badan. 
Rakaman video seorang lelaki yang tersilap langkah itu kini muncul di YouTube dan menjadi tontonan ramai. 
Melalui rakaman kamera litar tertutup berkenaan, lelaki tidak dikenali itu dilihat meletakkan dulang berisi sisa makanan di luar biliknya tanpa berpakaian. 
Disebabkan terleka, pintu bilik hotel itu tertutup sendiri dan dia tidak memiliki kunci untuk membukanya. Dalam keadaan bogel, lelaki terbabit merayau ke sana-sini di sekitar hotel sambil cuba pergi ke kaunter penyambut tetamu. 
Tanpa sesuatu untuk melindungi kemaluannya, dia cuma bergantung kepada dulang makanan yang menjadi punca masalahnya sementara dia berjalan mencari penyelamat. 
Namun, sebelum sampai ke kaunter penyambut tetamu, lelaki terbabit terpaksa berdepan dengan ramai pelawat hotel berkenaan. - myMetro

Balak Yang Membawa Bala

Kayu balak terjatuh dari treler yang terbabas. Foto: myMetro

Kayu balak jatuh jatuh di hadapan rumah Mohd Zain. Foto: myMetro


RANTAU PANJANG - “Saya terdengar dentuman kuat seperti tong gas meletup sebelum bangkit daripada tidur dan mendapati beberapa batang kayu balak menghentam tangga rumah,” kata Mohd Zain Yaacob, 40, menceritakan detik cemas rumahnya bergegar selepas beberapa batang kayu balak bergolek dari sebuah treler yang terbabas berhampiran kediamannya di Kampung Kubang Rambutan, dekat sini, semalam. 
Dalam kejadian jam 1.30 pagi itu, treler dipercayai dalam perjalanan dari Ipoh, Perak ke kilang kayu di Lubok Jong, Pasir Mas itu terbalik selepas gagal dikawal ketika membelok ke kanan untuk ke Jalan Parit Air, di sini. 
Selain menghentam tangga, kayu balak berkenaan turut menghempap sebuah lori milik jiran Mohd Zain, Wan Mohd Zahari Wan Mohd Noor, 40, sehingga rosak teruk. 
Mohd Zain berkata, selepas melihat kayu balak menghentam tangga rumah, dia mengejutkan isteri dan empat anaknya yang tidur dan membawa mereka keluar rumah kerana bimbang kediaman itu roboh. 
Katanya, selepas beberapa minit, dia lega kerana tiada perkara buruk berlaku. - myMetro