Allah berfirman dalam al-Quran:

"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran." Mafhum Surah al-Asr: ayat 1 - 3.

Selasa, 30 April 2013

13 Murid Sekolah Rendah Keracunan Makanan

Dua murid yang terlibat keracunan makanan sedang menjalani pemeriksaan doktor. Foto: NSTP

ALOR SETAR - Seramai 13 murid Sekolah Kebangsaan Seberang Perak di Kuala Kedah keracunan makanan pagi tadi setelah mengambil makanan yang disediakan pihak kantin. 
Mereka yang makan semasa waktu rehat pada 11 pagi mengadu sakit kepala, sakit perut dn muntah dan dikejarkan ke Hospital Sultanah Bahiyah di sini serta dimasukkan ke Unit Kecemasan dan Trauma. 
"Semua pelajar berada dalam keadaan stabil selepas menerima rawatan," kata Pengarah hospital itu, Datuk Dr Juita Ghazalie. 
Nur Faezah Ahmad Saad, 12, berkata dia dan rakan-rakanya makan laksa dan nasi lemak sebelum mereka merasa pening dan loya ketika masuk semula ke kelas. 
"Waktu Cikgu mengajar, tiba-tiba perut dan kepala saya rasa sakit. Saya bagitau Cikgu dan lepas itu cikgu bawa saya ke dewan untuk disapu minyak angin," katanya. 
Cikgu Rosbariah Idrus berkata pada mulanya seorang sahaja murid mengadu sakit perut dan kepala sebelum dia membantu murid itu dengan menyapu minyak angin. 
"Lepas itu makin ramai yang mengadu sakit. Saya terus lapor ke pentadbiran sekolah sebelum mereka menghubungi ambulans untuk membawa murid-murid ke hospital," katanya. - Bernama

Bimbang Rumah Terlibat Tanah Runtuh

Ramlah bimbang kediamannya musnah akibat tebing sungai kini hanya 50 meter dari rumahnya.

KUANTAN – “Apabila cuaca gelap dan ada tanda hujan nak turun hati mula gelisah, bimbang berlaku lagi runtuhan tebing sungai yang semakin hampir dengan bahagian depan rumah." 
Demikian luahan penduduk Kampung Cherok Paloh, dekat sini, Ramlah Abdullah, 76, yang berhadapan dengan masalah tanah runtuh yang serius lebih-lebih lagi selepas musim tengkujuh dan kejadian hujan lebat serta banjir melanda hampir seluruh daerah ini, Disember lalu. 
Menurutnya, kejadian tanah runtuh berlaku sejak dua tahun lalu kini semakin hampir dengan rumahnya. 
"Rumah saya kini terletak hanya 50 meter dari tebing yang runtuh sebelum ini. 
“Saya sudah tinggal di kawasan ini sejak lahir dan ini merupakan rumah ketiga yang terpaksa dibina untuk menyelamatkan diri daripada bencana hakisan," katanya. 
Kata Ramlah, sebelum ini, dua buah rumahnya yang jarak kira-kira 200 meter dari situ sudah jatuh ke dalam air. 
“Tanah di sini semakin mudah mengalami runtuhan kerana menjadi laluan air yang merupakan pertembungan antara air sungai dan laut,” katanya kepada Sinar Harian, dekat sini, semalam. 
Ramlah berkata, kawasan tanahnya berkeluasan kira-kira 1.2 hektar namun kini hanya tinggal tanah lot rumah sahaja yang didiami. 
“Saya sangat bimbang kalau-kalau tanah ini juga akan jatuh ke laut memandangkan daripada seluas-luasnya tanah pusaka arwah ayah yang kami ada, hanya tapak rumah ini sahaja yang tinggal," katanya. 
Sekiranya tanah tapak rumah itu juga runtuh, Ramlah buntu tidak tahu ke mana lagi hendak tinggal. 
"Mungkin selepas ini kami terpaksa pula menyewa," katanya. 
Dalam pada itu, katanya, sebelum ini sudah ramai pihak yang datang melihat kawasan runtuhan untuk diambil tindakan lanjut namun sehingga sekarang tidak ada perubahan. - Sinar Harian

Isnin, 29 April 2013

Nyaris Lemas Kereta Terjunam Ke Dalam Tali Air

Keadaan kereta jenis Perodua Myvi dinaiki mangsa rosak teruk setelah terjunam dalam tali air. Foto: Sinar Harian


SELINSING - Seorang pemuda yang sedang dalam perjalanan pulang ke rumah hampir lemas ditenggelami air setelah kereta yang dinaiki terbabas dan terhumban ke dalam sebuah tali air di Kilometer 95, Jalan Persekutuan Ipoh-Butterworth, menghala ke utara, petang kelmarin. 
Bagaimanapun, mangsa yang berusia 27 tahun dan enggan dikenali itu berjaya diselamatkan oleh salah seorang saksi kejadian sebelum keretanya tenggelam ke dalam air sepenuhnya. 
Saksi kejadian hanya dikenali Kamal, 23, berkata, dalam kejadian jam 5 petang kelmarin, dia bersama beberapa rakan sedang menikmati minum petang di sebuah kedai berhampiran yang terletak hanya 20 meter dari lokasi kejadian. 
“Sedang asyik bersembang, tiba-tiba kami terdengar bunyi geseran kuat tayar kereta dan apabila melihat ke arah lokasi kejadian, kami mendapati sebuah kereta jenis Perodua Myvi berwarna hitam terbabas dan terus terjunam ke dalam tali air berdekatan. 
“Tanpa membuang masa, kami bergegas ke lokasi kejadian dan salah seorang rakan saya nekad terjun ke dalam tali air berkenaan untuk menyelamatkan pemandu berkenaan sebelum kenderaan itu tenggelam sepenuhnya,” katanya sewaktu ditemui di lokasi kejadian di sini, kelmarin. 
Kamal berkata, tindakan berani rakannya itu berjaya menyelamatkan nyawa pemandu itu daripada berkemungkinan lemas dan tenggelam bersama keretanya. 
Sementara itu Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mat Fauzi Nayan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian. 
“Mangsa seorang pemuda berbangsa cina yang berumur 27 tahun itu hanya mengalami kecederaan ringan dan kes ini masih dalam siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian,” katanya. - Sinar Harian

Ahad, 28 April 2013

Ahli Arkeologi Dakwa Temui Atlantis

Gambaran bandar purba Heracleion yang tenggelam di Teluk Aboukir, Mesir.

Tiga penyelam memeriksa patung raksaksa purba Hapi, dewa Sungai Nil, di tapak bandar tenggelam Heracleion

Frank Goddio menunjukkan batu bersurat Heracleion

Patung dewi Isis Mesir ditemui di bandar tenggelam

Patung Sphinx Heracleion dibawa keluar dari dasar Teluk Aboukir

Salah satu patung raksaksa yang ditemui di Heraclion menggambarkan Firaun yang tidak dikenali

Salah satu patung purba yang ditemui di Heracleion mempunyai persamaan dengan patung Greek


Ahli arkeologi percaya mereka telah menemui bandar legenda Atlantis yang tenggelam di luar pantai Mesir hampir 1,200 tahun lalu. 
Mereka menemui bandar Heracleion, salah satu pusat perdagangan yang paling penting di kawasan Mediterranean yang dikatakan 'hilang' di Teluk Aboukir. 
Bandar Heracleion ditemui pada tahun 2001. Selepas lebih daripada satu dekad penggalian, penyelidik kini dapat membuat peta yang menggambarkan kehidupan di pusat perdagangan purba itu. 
Bandar Heracleion ditemui secara tidak sengaja oleh ahli arkeologi bawah air Dr Franck Goddio yang mencari kapal perang Perancis kurun ke-18 di pantai Mesir, tetapi sebaliknya menemui bandar purba yang hilang itu. 
Selepas membuang lapisan pasir dan lumpur, penyelam menemui bukti kekayaan yang luar biasa, lukisan yang menggambarkan kehidupan di Heracleion, yang dipercayai menjadi pusat perdagangan Mediterranean lebih daripada 1,000 tahun yang lalu. 
Ahli-ahli arkeologi telah menemui 64 kapal tertanam di dasar laut empat batu di luar pantai Mesir, yang merupakan bilangan kapal-kapal purba yang paling banyak pernah ditemui di sesuatu tempat. 
"Kami telah mendapat gambaran yang lengkap tentang perdagangan yang telah berlaku di sana dan sifat ekonomi maritim pada zaman Mesir purba," kata Dr Damian Robinson, Pengarah Pusat Oxford bagi Arkeologi Maritim di Universiti Oxford kepada Telegraph. 
"Ada benda-benda yang berasal dari Greece dan Phoenicia." 
Pasukan penyelidikan antarabangsa juga telah menemui sisa-sisa kuil legenda Amun-Gereb yang menjadi pusat bandar Heracleion. 
Selain itu terdapat patung raksaksa dan beratus-ratus patung kecil dewa Mesir.  
Pasukan penyelidikan yang diketuai oleh Dr Goddio belum mengetahui sebab-sebab bandar Heracleion tenggelam tetapi terdapat teori mengatakan bahawa bandar purba itu dibina di atas tapak yang tidak stabil menyebabkannya tenggelam ke dalam laut.
"Kami baru diperingkat awal kajian," kata Dr Goddio kepada Telegraph. 
"Kami mungkin akan menjalankan kajian sehingga 200 tahun akan datang."

Pemuda Maut Rempuh Lori Di Tepi Jalan

Keadaan mangsa yang maut di tempat kejadian. Foto: Sinar Harian


LUNAS - Hasrat seorang pemuda berusia 21 tahun yang melakukan kerja sukarela menggantung bendera parti politik disokongnya bagi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), berakhir dengan tragedi apabila mangsa terlibat dalam kemalangan kira-kira jam 10.45 malam kelmarin. 
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, mangsa menunggang motosikal jenis Honda EX5 dari arah Lunas menuju ke Batu 6 dan ketika kemalangan berlaku. 
Menurutnya, kali ini merupakan PRU pertama bagi mangsa untuk menunaikan kewajipannya sebagai pengundi. 
“Mangsa dipercayai ke Lunas untuk menghantar seorang rakan setelah selesai bermesyuarat tentang penugasan menggantung bendera parti politik disertai mereka. Apabila tiba di tempat kejadian, mangsa gagal mengelak lori muatan 10 tan yang diletakkan di tepi jalan sebelum merempuh belakang sebelah kanan lori terlibat. 
"Akibat rempuhan kuat, mangsa terperosok di bawah lori sebelum terhumban ke tepi jalan. Mangsa cedera parah di kepala maut di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Kulim untuk dibedah siasat,” katanya. 
Menurut Ghuzlan, lori terlibat ditahan sebelum dihantar ke Puspakom Sdn Bhd (Puspakom) untuk menjalani pemeriksaan lanjut, selain kes itu akan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana mengakibatkan kemalangan maut. 
Katanya jika sabit kesalahan, pemandu lori berkenaan boleh dikenakan hukuman denda dan penjara. 
Katanya lagi, dari siasatan awal dijalankan, polis mendapati lori itu tidak diletakkan sebarang papan tanda kecemasan atau amaran selain menyalakan lampu kecemasan di belakang lori untuk memastikan pengguna jalan raya lebih berhati-hati dan memperlahankan kenderaan mereka kerana kawasan itu gelap. 
“Sepanjang bulan April, sembilan kemalangan maut melibatkan penunggang motosikal dilaporkan berlaku di Kulim. Saya menasihatkan kepada semua pemandu kenderaan berat supaya lebih bertanggungjawab ketika meletakkan kenderaan mereka. 
"Sekiranya berlaku kerosakan, pemandu seharusnya meletakkan papan tanda amaran atau memasang lampu kecemasan untuk memastikan kenderaan lain dapat melihatnya. Kecuaian pemandu berbuat demikian boleh mengakibatkan perkara tidak diingini berlaku,” katanya. 
Sementara itu, pemandu lori terlibat ketika ditemui berkata, dia membawa muatan kain dari Kemunting ke Kulim, sebelum kira-kira jam 7 petang, lori yang dipandunya rosak dan diletakkan di tepi jalan berhampiran rumahnya. 
Kira-kira jam 10.30 malam dia menerima panggilan telefon daripada adiknya menyatakan mangsa telah merempuh bahagian belakang lori. - Sinar Harian

Sabtu, 27 April 2013

Pensyarah Universiti Didakwa Salah Guna Kuasa

Mohamad Nasir (dua, kanan) didakwa di mahkamah sesyen atas 27 pertuduhan salah guna kuasa. Foto: Sinar Harian


GEORGETOWN - Seorang pensyarah Pusat Pengajian Sains Kimia, Universiti Sains Malaysia (USM) dihadapkan ke mahkamah sesyen di sini, semalam atas 27 tuduhan menyalah guna kuasa untuk mendapatkan suapan RM141,000 dengan memilih syarikat milik adiknya, di pejabat Desasiswa Saujana, universiti tersebut. 
Mohamad Nasir Mohamad Ibrahim, 42, yang menjawat jawatan Profesor Madya mengaku tidak bersalah bagi setiap pertuduhan yang dibacakan kepadanya oleh jurubahasa di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah. 
Lelaki itu didakwa sebagai pegawai badan awam iaitu penggawa Desasiswa Saujana, USM, telah menggunakan jawatannya untuk melakukan kesalahan menerima suapan dengan memilih syarikat Arena Mulia Enterprise untuk membekal dan memasang barang keperluan asrama Desasiswa USM. 
Bapa kepada tiga anak itu, didakwa melakukan perbuatan berkenaan antara November 2009 hingga Disember 2011.
Dia didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum bawah Seksyen 24 akta yang sama. 
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi. 
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Janariah Abdul Mutalib menawarkan jaminan RM40,000. 
Bagaimanapun, selepas rayuan Mohamad Nasir, Zulhazmi membenarkan lelaki itu diikat jamin RM36,000 dengan seorang penjamin. Sebutan semula kes 28 Mei. - Sinar Harian

Maut Tak Sempat Ambilkan Ubat Ibu

Kereta Perodua Myvi yang di pandu Mohd Ridhwan Mahat, 25, remuk menyebabkan mangsa maut di tempat kejadian. Foto: Sinar Harian


BANDAR TUN RAZAK - Hasrat seorang anak untuk mengambil ubat darah tinggi ibunya di Hospital Muadzam Shah tidak kesampaian, apabila maut selepas kereta Perodua Myvi yang dipandunya terlibat dalam kemalangan di Kilometer 116.7 Jalan Kuantan-Segamat, petang kelmarin. 
Mangsa, Mohd Ridhwan Mahat, 25, berasal dari Felda Keratong 1, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala, dada dan patah kaki kanan. 
Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Johari Jahaya berkata, kejadian jam 2.30 itu dipercayai berlaku apabila kenderaan yang dipandu mangsa merempuh sebuah lori membawa muatan tembikai dari arah Kuantan ke Segamat. 
“Mangsa dari Keratong dipercayai ingin menuju ke Muadzam Shah tidak sempat mengelak sebuah lori yang dipercayai masuk ke laluannya,” katanya kepada Sinar Harian. 
Johari berkata, difahamkan lori terbabit terpaksa melintas jalan untuk memberhentikan kenderaan di tebing bukit di sebelah bahu kanan jalan bertentangan akibat kegagalan sistem brek berfungsi. 
Katanya, belum sempat lori itu sampai ke tebing, kenderaan yang dipandu mangsa dari arah Segamat tidak sempat mengelak lalu terus merempuh lori tersebut menyebabkan kedua-kedua kenderaan terseret hingga ke tebing bukit. 
“Operasi mengeluarkan mayat mangsa oleh anggota Bomba dan Penyelamat Muadzam Shah berdepan kesukaran berikutan mangsa tersepit di tempat duduk pemandu. Mayat hanya berjaya dikeluarkan 30 minit kemudian dan dihantar ke Hospital Muadzam Shah untuk bedah siasat," katanya. 
Kakak mangsa, Zuraidah Mahat, 40, berkata, kebiasaannya arwah akan membawa ibunya, Kalsom Ahmad, 65, mengambil ubat di Hospital Muadzam Shah setiap bulan. 
Bagaimanapun katanya, pada hari kejadian, difahamkan adiknya tidak membawa ibu mereka ke hospital kerana kesihatannya tidak mengizinkan disebabkan penyakit strok dihidapinya. 
Menurutnya, kali terakhir dia bertemu adik ketujuh daripada lapan beradik itu ketika kesemua ahli keluarganya datang ke rumahnya di Johor Bahru, Ahad lalu. 
“Arwah adalah satu-satunya harapan kami untuk menjaga emak di kampung dan tak sangka pula dia pergi meninggalkan kami dalam keadaan menyedihkan, tetapi saya tetap reda dengan ketentuan Ilahi,” katanya. 
Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Keratong 1, jam 10 malam kelmarin. - Sinar Harian

Maut Ditembak Lelaki Bermotosikal

Cermin kereta mangsa berlubang-lubang ditembusi peluru semasa kereta mangsa berhenti di lampu isyarat. Foto: myMetro

Datuk Ku Chin Wah berkata, kejadian berlaku pada jam 10.30 pagi semalam. Foto: Sinar Harian

Anggota polis forensik sedang menjalankan siasatan di tempat kejadian



SHAH ALAM - Seorang pemilik kedai gunting rambut maut, manakala ibunya cedera selepas ditembak 10 das oleh dua lelaki bermotosikal di bulatan Taman Billion, Cheras, semalam. 
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, sebelum kejadian berlaku kira-kira jam 11.30 pagi itu, mangsa R Karikaalan, 29, serta ibunya berusia 60 tahun dalam perjalanan dari Ampang untuk pulang ke rumah mereka di Taman Puchong Hartamas. 
Bagaimanapun katanya, ketika mangsa yang memandu kereta Nissan Livina berhenti di lampu isyarat, datang sebuah motosikal dinaiki dua lelaki memakai topi keledar berpenutup penuh serta berwarna hitam. 
"Kedua-dua lelaki itu terus melepaskan 10 das tembakan ke arah mangsa dan ibunya, dipercayai dengan menggunakan senjata api jenis semi automatik. 
"Dua daripada tembakan itu mengenai badan mangsa, manakala dua lagi mengenai lengan kanan ibunya," katanya, semalam. 
Menurutnya, mangsa dikejarkan ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia untuk rawatan, sebelum disahkan mati. 
Chin Wah berkata, siasatan awal mendapati kejadian bermotifkan dendam dan dipercayai ada kaitan dengan pergaduhan kumpulan di Puchong, Subang Jaya, sebelum ini. 
"Siasatan lanjut sedang dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya. 
Beliau berkata, usaha mengesan dua lelaki yang terlibat dalam kejadian itu sedang dijalankan dan sesiapa yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta tampil di mana-mana balai polis berdekatan atau menghubungi Rakan Cop Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 bagi membantu siasatan. - Sinar Harian

Suami Mohon Bantu Cari Isteri Hilang

Gambar Wan Samsiah, isteri Ruslizan Paim. Semoga mereka yang terlihat Wan Samsiah sudi membantu. Foto: Sinar Harian


GEMENCHEH – “Saya rasa gusar dan cemas apabila isteri, masih lagi belum pulang ke rumah sejak seminggu lalu. Kali terakhir saya menghantarnya di Perhentian Bas Pasir Besar, Gemas, kira-kira jam 6.30 pagi, 19 April lalu,” luah Ruslizan Paim, 36, ketika ditemui di Bilik Gerakan N35, Barisan Nasional (BN) Dun Gemencheh di pekan Gemencheh, di sini, semalam (Khamis). 
Ruslizan berkata, isterinya, Wan Samsiah Wan Hussin, 34, mahu ke Kuantan, Pahang menguruskan hal insurans abangnya yang meninggal tahun lalu dan berjanji pulang pada hari yang sama. 
Bagaimanapun menurutnya, isterinya itu tidak pulang ke rumah dan lebih menggusarkannya lagi apabila talian telefon bimbit isterinya itu ditutup. 
“Saya berasa sangat gusar lebih-lebih lagi apabila saya gagal menghubungi isteri saya sejak jam 2 petang hari yang sama saya menghantarnya ke perhentian bas. Malah, keluarga isteri saya di Kelantan dan Kuantan juga memaklumkan isteri saya tidak datang ke rumah mereka. 
“Oleh itu, saya amat berharap agar mana-mana individu yang ternampak isteri saya untuk menghubungi balai polis berhampiran atau bapa saudara saya, Abu Bakar Alias, di talian 019-6524123,” katanya.
Ruslizan berkata, pada pagi semalam, guru pra sekolah anak keempatnya, Wan Nurfarissya Ruslizan, 6, menunjukkan mesej memohon bantuan yang diberikan isterinya pada malam kelmarin. 
Menurutnya, dia cuba menghubungi talian berkenaan namun talian ditutup. Mengikut mesej khidmat pesanan ringkas (SMS) berkenaan, isterinya itu menyatakan dia ingin pulang tetapi ketiadaan wang. 
“Isteri saya juga berbadan kurus, berkulit putih dan tingginya kira-kira 162 cm. 
"Sebelum hilang isteri saya memakai tudung warna kelabu, berbaju blaus warna coklat dan berseluar putih, " katanya. 
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tampin, Wooi Kooi Cheang ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan. - Sinar Harian

Bahana Berhutang RM500 Dengan Ah Long

Zainuddin (tengah) menunjukkan antara senjata yang digunakan ah long untuk menakut-nakutkan mangsa. Foto: myMetro


JOHOR BAHRU - Seorang wanita berdepan detik cemas apabila dilarikan sekumpulan lelaki dipercayai ah long dari rumahnya di sebuah taman perumahan di sini, semalam. 
Insiden itu ekoran suaminya dipercayai berhutang sebanyak RM500 dengan ah long terbabit dan gagal melunaskan semula pinjaman dibuat. 
Bagaimanapun, kekuatan memori suri rumah berusia 20 tahun itu mengingati nombor pendaftaran dan jenis kenderaan kumpulan penculik serta memaklumkan kepada suaminya berjaya membantu polis memberkas suspek. 
Menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada suaminya mengenai kejadian itu, wanita berkenaan akhirnya ditemui selamat di Taman Nusa Idaman, Bukit Indah, Nusajaya pada 6.45 petang, selepas dua jam diculik. 
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Zainuddin Yaacob berkata, sejurus menerima laporan daripada suami mangsa termasuk maklumat mengenai kereta digunakan, pihaknya mengeluarkan arahan mengesan suspek. 
“Polis turut menemui beberapa senjata digunakan dipercayai untuk menakutkan mangsa seperti rotan, kayu, besi dan buku lima,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan, di sini, hari ini. 
Beliau berkata, mangsa turut memaklumkan suspek berusia antara 23 hingga 47 tahun itu ada mengugut membawanya lari ke Kuala Lumpur jika suaminya gagal membayar hutang tersebut. 
Katanya, semua suspek ditahan sementara di lokap polis IPD Johor Bahru Selatan sebelum mengemukakan penahanan reman kepada mahkamah untuk siasatan lanjut. 
“Kes disiasat mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan dan Seksyen 384 Kanun Keseksaan,” katanya. - Sinar Harian


Jumaat, 26 April 2013

Pemandu Teksi Pencuri Akhirnya Tertangkap

Sebuah teksi di Bangkok. Foto: bangkok.coconuts.co


BANGKOK - Seorang pemandu teksi yang didakwa mencuri daripada lebih puluhan penumpang selepas meminta bantuan mereka akhirnya ditahan selepas dibantu kaki judi. 
Polis berkata, taktik pemandu teksi itu ialah berpura-pura kehabisan petrol dan meminta penumpang membantunya menolak teksi itu ke tepi jalan. Apabila mereka keluar untuk membantu, suspek akan memecut kenderaan dengan barangan milik mereka. 
Bagaimanapun, seorang kaki judi berjaya menangkap suspek. 
Polis berkata, kaki judi itu yang juga seorang pembantu rumah, di mana majikannya menjadi mangsa terakhir suspek menulis nombor plat teksi itu untuk digunakan sebagai nombor pertaruhan loteri pada 1 Mei ini. 
Apabila majikannya menceritakan kes penipuan pemandu teksi itu, wanita terbabit menyerahkan ‘senarai nombor loterinya’. Ia kemudian membawa kepada penangkapan suspek, Wanlop Ou-thong, 54, di sebuah pusat peranginan di Suphan Buri tempat dia menyembunyikan diri. Ketua Polis Nonthaburi Thanayuth Wuthijamrasthamrong memberitahu media, suspek mengakui dia menggunakan taktik kehabisan minyak terhadap 12 mangsa di kawasan Bangkok Utama. 
Dia akan memberitahu penumpang bahawa kakinya tidak berfungsi dengan baik kerana patah akibat nahas dan meminta mereka keluar dari kenderaan serta menolaknya ke tepi jalan. Polis menggeledah kediamannya di Nonthaburi dan menemui dompet, beg sandang wanita, barang perhiasan, komputer riba, iPhone, iPad, beg pakaian dan sejumlah wang tunai. Pihak berkuasa turut menemui anjing betina Pomerania berusia empat bulan yang dicuri. 
Suspek memberitahu polis, dia mendapat anjing itu selepas menipu seorang penumpang di kawasan Bang Yai tiga bulan lalu. Dia kemudian menipu isterinya dengan mengatakan bahawa anjing itu dibeli untuk wanita terbabit sebagai hadiah. - Bangkok Post / myMetro

Timbalan Ketua Pengarah Kastam Maut Ditembak

Timbalan Ketua Pengarah Kastam, Datuk Shaharuddin Ibrahim, 58, maut ditembak jam 8:15 pagi tadi. Foto: Jabatan Kastam

Datuk Shaharuddin Ibrahim (tengah) ketika mengadakan lawatan ke Bukit Kayu Hitam, Januari lalu. Foto: Kastam Kedah

KESAN tembakan pada kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki Datuk Shaharuddin Ibrahim. Foto: Berita Harian

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah (dua, kanan) ketika melawat tempat kejadian. Foto: Bernama


PUTRAJAYA: Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Perkastaman/Cukai Dalam Negeri), Datuk Shaharuddin Ibrahim, 58, maut ditembak ketika dalam perjalanan pejabatnya di Putrajaya, jam 8.15 pagi ini. 
Mangsa yang duduk di bahagian penumpang depan kenderaan pacuan empat roda (4WD) ditembak tiga das dari jarak oleh seorang daripada dua lelaki yang menaiki sebuah motosikal di persimpangan lampu isyarat di Lebuh Sentosa, di sini. 
Kejadian berlaku ketika kereta mangsa bersama pemandunya berhenti di persimpangan lampu isyarat berkenaan, apabila dua lelaki menaiki sebuah motosikal tiba-tiba muncul dari belakang dan melepaskan tembakan ke arah mangsa. 
Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpuur, Datuk Ku Chin Wah, berkata mangsa dikejarkan ke Hospital Putrajaya dan disahkan meninggal dunia kira-kira jam 9.20 pagi ini. 
Katanya, ketika kejadian, mangsa dan bersama pemandunya dalam perjalanan dari rumah mangsa di Dengkil ke pejabat beliau di Putrajaya. 
“Mangsa dipercayai ditembak tiga das di leher dan kepala,” katanya ketika di sini, hari ini. - Berita Harian



Kemaskini 27.4.2013

Sumber Grafik: Berita Harian


Isteri Allahyarham, Rahimah bersama anak, Mohd Akhtar menyiram air mawar selepas pengkebumikan di Tanah Perkuburan Islam Presint 20, Putrajaya

PUTRAJAYA - Timbalan Ketua Pengarah Kastam Diraja Malaysia (Pekastaman/Cukai Dalam Negeri), Datuk Shaharudin Ibrahim, 58, mati ditembak ketika dalam perjalanan ke pejabatnya di Presint 3 di sini, jam 8.15 pagi semalam. 
Mangsa yang duduk di bahagian depan penumpang kenderaan pacuan empat roda (4WD) ditembak tiga das dari jarak dekat oleh seorang daripada dua lelaki yang menaiki sebuah motosikal di persimpangan lampu isyarat Lebuh Sentosa menghala ke Lebuh Wawasan di sini. 
Kejadian berlaku ketika kereta mangsa yang dibawa pemandunya berhenti di persimpangan lampu isyarat berkenaan, apabila dua lelaki menaiki sebuah motosikal tiba-tiba muncul dari belakang dan melepaskan tiga das tembakan ke arah mangsa. 
Mangsa yang cedera parah di leher dan kepala disahkan meninggal dunia di Hospital Putrajaya (HPJ) jam 9.20 pagi.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, sebaik melihat mangsa cedera parah ditembak, pemandunya membawanya terus ke Unit Kecemasan HPJ tetapi disahkan meninggal dunia setengah jam kemudian. 
Chin Wah berkata, ketika kejadian mangsa dalam perjalanan dari rumah anaknya di Dengkil menuju ke pejabat beliau di Putrajaya. 
Beliau berkata, siasatan mendapati Shaharuddin ditembak menggunakan pistol automatik dan polis masih menyiasat punca dan motif sebenar kejadian selain meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bagi membantu siasat. 
Sementara itu, sumber memberitahu BH, pembunuhan Shaharuddin dipercayai ada kaitan dengan beberapa kes rampasan dadah oleh KDRM sejak awal tahun ini antaranya 73 kilogram dadah jenis syabu bernilai RM14 juta yang cuba diseludup ke negara ini melalui kargo udara Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari India pada 15 Mac lalu. 
Katanya, mangsa yang disifatkan pegawai yang jujur, amanah dan beretika dianggap ancaman besar oleh sindiket penyeludupan bahan larangan ke negara ini. 
Menurutnya, sebaik mengetuai Bahagian Cukai Dalam Negeri (CDN) import/eksport dalam Perkhidmatan Teknik (PERTEK), Shaharuddin menerima pelbagai ancaman termasuk ugutan bunuh. 
“Berikutan penguatkuasaan undang-undang yang begitu ketat, kumpulan atau sindiket tempatan dan antarabangsa yang menyeludup dadah, rokok, mercun, minuman keras dan senjata api mulai berasa terancam. 
“Bukan hanya ancaman daripada sindiket, kumpulan yang cuba menyeludup masuk barang yang tidak diisytiharkan atau lari dari cukai turut mengancam nyawa setiap kakitangan KDRM,” katanya semalam. 
Sebelum dilantik Timbalan Ketua Pengarah KDRM pada 18 Ogos 2011, Allahyarham yang juga anak kelahiran Rantau, Negeri Sembilan adalah Pengarah KDRM Kelantan. - Berita Harian


Serangan Jantung: Peranan Bakteria Usus

Kajian mendapati, organisma dalam usus kita boleh bertanggungjawab menukarkan makanan tertentu kepada bahan kimia toksik

Kajian ini meminta sukarelawan makan telur yang mengandungi tahap lethicin, pelopor kepada TMAO yang berbahaya


Satu kajian yang dimulakan pada 2011 oleh Institut Penyelidikan Klinik Lerner Cleveland mendapati bakteria usus mempunyai kaitan dengan serangan jantung, terutamanya bagi mereka yang tidak mempunyai faktor-faktor risiko yang jelas bagi penyakit tersebut. 
Saintis mendapati, flora usus tertentu boleh menukarkan nutrien yang terdapat dalam kuning telur, hati, daging lembu dan daging babi kepada sebatian Trimethylamine N-oksida (TMAO). 
TMAO akan menjadikan kolesterol terbina pada dinding arteri dan menyebabkan berlaku pengerasan arteri yang biasanya berakhir dengan strok atau serangan jantung. 
Semasa kajian dijalankan, seramai 40 peserta dewasa yang sihat telah diberi makan dua butir telur rebus, yang kaya dengan bahan lemak dipanggil lesitin. 
Selepas makan telur, para penyelidik mendapati tahap TMAO dalam darah peserta telah meningkat. Tetapi bagi peserta yang mengambil antibiotik sebelum makan telur, tahap TMAO mereka adalah rendah kerana antibiotik telah membunuh bakteria dalam usus mereka. 
"Ini menunjukkan bakteria usus adalah penyebab utama yang membentuk TMAO," kata Dr Stanley Hazen, pakar kardiologi di Klinik Cleveland kepada Reuters. 
Kajian ke atas 4,007 pesakit jantung juga mendapati, mereka yang memiliki tahap tertinggi TMAO mempunyai lebih daripada dua kali ganda risiko serangan jantung atau strok berbanding dengan mereka yang kurang. 
Bahkan mereka yang mempunyai tahap TMAO yang tinggi dan tidak ada faktor-faktor risiko kardiovaskular adalah 1.8 kali lebih berkemungkinan untuk mengalami serangan kardiovaskular daripada mereka yang mempunyai tahap yang rendah. 
Jika penemuan kajian ini disahkan, adalah diharapkan penyelidik akan dapat menghasilkan ubat yang mampu menghalang pengeluaran TMAO.

Mana Lebih Kuat: Kulit Penyu Atau Gigi Buaya

Ini ialah buaya Amerika Selatan yang berjaya menangkap seekor penyu

Buaya ini sedang berusaha memecahkan cengkerang penyu untuk memakan isinya

Tetapi selepas 15 minit berlalu, buaya masih gagal memecahkan cengkerang penyu dan penyu masih hidup

Castleberry Patrick yang merakamkan kejadian melalui lensa kamera merasa kagum dengan kekuatan pertahanan penyu.

Seekor buaya telah berjaya menangkap seekor penyu untuk dimakan dengan menggunakan mulutnya yang luas. Bagaimanapun buaya perlu memecahkan cengkerang penyu terlebih dahulu sebelum boleh memakan isinya. 
Tentu anda menyangka buaya tidak mempunyai masalah untuk memecahkan cengkerang penyu kerana rahang buaya mempunyai kuasa tekanan sehingga 2,900 paun! Tentu kulit penyu akan retak jika dikunyah oleh buaya. 
Namun setelah 15 minit masa berlalu, buaya masih gagal memecahkan cengkerang penyu. Akhirnya buaya melepaskan penyu dan pergi meninggalkannya. 
Castleberry Patrick, 51, seorang juru gambar hidupan liar Amerika yang merakamkan kejadian ini melalui lensa kamera merasa kagum. 
Dia mendapati cengkerang penyu tidak mengalami sebarang keretakan dan penyu masih hidup selepas buaya meninggalkannya. - MailOnline

Pembukaan Perpustakaan & Muzium George W Bush

Presiden dan bekas Presiden AS mendapat sorakan hadirin kerana berada di pentas yang sama

Presiden dan bekas-bekas presiden disertai oleh isteri masing-masing

Mereka dapat melupakan perbezaan politik mereka dan berdiri di pentas yang sama

Turut hadir, bekas Naib Presiden AS, Dick Cheney (bertopi) dan bekas Perdana Menteri Britain, Tony Blair (kiri)

Tetamu VVIP hanya duduk di atas kerusi kayu

George W Bush berucap kepada para hadirin

Bekas Gebenor Florida, Jeb Bush bersama isteri. Para tetamu VIP hanya disediakan kerusi lipat

Pistol yang dirampas daripada Sadam Hussein semasa dia ditangkap dipamerkan di muzium ini

Ini ialah bot koboi semasa George W Bush menjadi pengurus pasukan besbol di Texas

Pembesar suara 'bullhorn' turut dipamerkan di muzium ini


Dalam upacara yang jarang berlaku dan beremosi, seorang Presiden dan empat bekas Presiden Amerika Syraikat (AS) dan isteri masing-masing telah berkumpul di Dallas, pada Khamis untuk menghadiri pembukaan Perpustakaan dan Muzium George W Bush. 
Presiden Barack Obama, bersama bekas-bekas Presiden George W Bush, Bill Clinton, George HW Bush dan Jimmy Carter menerima sorakan daripada orang ramai, bekas pegawai White House dan bekas pemimpin dunia apabila mereka menaiki pentas untuk acara pembukaan, dengan disertai oleh isteri masing-masing. 
Kali terakhir kesemua empat bekas presiden yang masih hidup hadir bersama dengan Presiden AS ialah semasa majlis perlantikan Obama sebagai presiden pada tahun 2009, apabila Obama berkata beliau memerlukan nasihat mereka sebelum mengambil-alih jawatan Presiden AS. 
Muzium itu bertujuan untuk menerangkan peristiwa-peristiwa yang membawa kepada beberapa keputusan yang paling kontroversi semasa George W Bush memegang jawatan Presiden AS Ke-43 selama dua penggal (2001-2009). 
Antara yang dipamerkan di perpustakaan itu termasuk pistol yang dirampas daripada Saddam Hussein semasa ditangkap pada 13 Disember, 2003 dan sepasang but koboi memperingati tempoh George W. Bush sebagai pengurus bersama pasukan besbol Rangers Texas. 
Turut dipamerkan adalah bullhorn (alat pembesar suara) yang digunakan Presiden George W. Bush untuk bercakap dengan anggota bomba dan krew kecemasan di Ground Zero, New York, selepas serangan 11 September. 
Dalam satu temu bual dengan agensi penyiaran ABC, Bush berkata beliau 'sangat selesa' dengan keputusan untuk menyerang Iraq. - MailOnline

Khamis, 25 April 2013

Guru Tiga Beranak Nahas Maut Di Mersing

Kereta Proton Iswara Aeroback yang terlibat dalam kemalangan hingga mengakibatkan tiga beranak maut di Mersing, Johor semalam.


MERSING - Tiga beranak maut manakala seorang lagi parah selepas kereta jenis Proton Iswara Aeroback yang mereka naiki bertembung dengan sebuah lori tunda dalam kemalangan ngeri di Kilometer 33 Jalan Mersing-Kota Tinggi dekat sini semalam. 
Kejadian pukul 4 petang itu mengakibatkan seorang guru, Abd. Razak Pid, 43, dan dua anaknya, Adibah Taqqiah, 14; dan A'fiqah Ihsanniah, 11, maut di tempat kejadian. Seorang lagi anak Abd. Razak, Alimulhilmi, 9, cedera ringan dan kini dirawat di Hospital Mersing. 
Difahamkan, sebelum kejadian empat beranak tersebut dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Taman Sri Pantai di sini dari Johor Bahru selepas selesai berkursus. Jarak antara dua tempat itu kira-kira 125 kilometer. 
Ketua Polis Daerah Mersing, Deputi Superintendan Zulkiple Hashim berkata, sebelum kejadian, dia sedang mengawal lalu lintas tidak jauh dari tempat kejadian bagi menyambut kedatangan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ismail Sultan Iskandar ke sini. 
Katanya, ketika bertugas dalam keadaan hujan lebat, dia terdengar bunyi dentuman kuat tidak jauh dari tempat dia berkawal sebelum bergegas ke situ. - Kosmo!

Laporan myMetro:

Noriyah (berkerusi roda) tidak dapat menahan kesedihan ditenangkan ahli keluarga. Foto: myMetro


“Kali terakhir saya bertemu empat mangsa tiga hari lalu, apabila arwah anak membawakan nasi dan tomyam untuk makan malam bersama sebelum memberitahu mereka semua akan ke Johor Bahru. 
“Bagaimanapun, saya tidak menyangka itu kali terakhir saya menemui arwah anak dan dua daripada tiga anaknya sebelum mereka terbunuh dalam kemalangan,” kata Noriyah Imman, 79, ibu Guru Penolong Kanan Sekolah Menengah Kebangsaan Anjung Batu, Abd Razak Pid, 44, yang maut bersama dua anaknya dalam kemalangan di Kilometer 33 Jalan Mersing-Kota Tinggi, di sini, petang semalam. 
Dalam kejadian jam 4 petang itu, Proton Iswara dipandu Abd Razak bersama tiga anaknya, Adibah Taqqiah, 14, Afiqah Ihsanniah, 11 dan Alimul Helmi, 9, dalam perjalanan pulang dari Johor Bahru ke Mersing sebelum dipercayai hilang kawalan lalu bertembung sebuah trak tunda. 
Akibat pertembungan itu, Abd Razak yang juga duda, Adibah dan Afiqah meninggal dunia di tempat kejadian manakala Alimul Helmi patah tangan kanan dan dikejarkan ke Hospital Mersing untuk mendapatkan rawatan kecemasan. 
“Saya tidak sangka itu makan malam terakhir kami ketika dia datang ke rumah saya di Taman Sri Pantai, dekat sini, sebelum mereka maut dalam kemalangan itu. Ketika itu, arwah anak hanya memaklumkan akan ke Johor Bahru untuk menghadiri kursus ditemani tiga anaknya itu.

Laporan Berita Harian 26.4.2013

Suasana pilu di Tanah Perkuburan Mersing. Jenazah dikebumikan dalam satu liang lahad. Foto: Berita Harian


Suasana pilu menyelubungi Tanah Perkuburan Islam Mersing, di sini, apabila jenazah tiga beranak yang maut dalam kemalangan petang kelmarin dikebumikan dalam satu liang lahad, pagi semalam. 

Jenazah guru, Abd Razak Pid, 44, bersama dua anak perempuannya, Adibah Taqqirah, 14 dan Afiqah Ihsanniah, 11, dikebumikan kira-kira jam 9 pagi, dalam suasana pilu dengan kehadiran sanak-saudara, guru, pelajar dan kenalan mangsa. 

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang di Kilometer 33 Jalan Mersing-Kota Tinggi, petang kelmarin, mangsa bersama dua anaknya itu terbunuh selepas kereta mereka bertembung dengan sebuah trak tunda. 

Seorang lagi anak mangsa, Alimul Helmi, 9, yang cedera parah kini menerima rawatan di Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru selepas dipindahkan dari Hospital Mersing. 

Terdahulu, jenazah tiga beranak itu disembahyangkan di Masjid Taman Sri Mersing dengan kehadiran lebih 700 orang, termasuk pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Anjung Batu dan kakitangan Pejabat Pelajaran Daerah serta penduduk setempat. 

Abang mangsa, Sadon Pid, 47, mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang menziarahi dan membantu sehingga jenazah adiknya dan dua anak saudaranya selamat dikebumikan. 

Meskipun bersedih, keluarga kami reda dengan tragedi yang menimpa. Saya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang tampil membantu sehingga jenazah selamat dikebumikan pagi ini (semalam), katanya. - Berita Harian

Remaja Maut Dihempap Traktor

Mangsa maut kepalanya dihempap traktor. Foto: Sinar Harian

Sumber: Sinar Harian

ALOR PONGSU - Tindakan seorang remaja berusia 15 tahun menggunakan ‘laluan pintas’ untuk pergi ke ladang kelapa sawit milik bapa saudaranya dengan menaiki traktor memakan diri setelah maut ditimpa jentera terbabit di kawasan projek pembinaan persimpangan jalan bertingkat di sini, pagi semalam. 
Mangsa, Muhammad Safuan Shahrudin, 15, yang merupakan pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Alor Pongsu, ditemui maut di lokasi kejadian kira-kira jam 10.15 pagi setelah ditimpa jentera traktor pengangkut buah kelapa sawit yang terbalik. 
Jentera traktor dinaiki mangsa dikatakan terbalik dan menimpa kepala mangsa setelah mangsa dikatakan cuba mendaki lereng bukit yang terbentuk akibat tambakan tanah projek pembinaan setinggi lima meter. 
Bapa saudara mangsa, Shahrom Mat Kassim, 52, berkata, dalam kejadian kira-kira jam 10.15 pagi, dia sedang membeli minyak untuk kegunaan jentera itu sebelum menerima panggilan telefon daripada salah seorang pekerja kontraktor yang menyaksikan kejadian kemalangan membabitkan anak saudaranya itu. 
“Setiba di lokasi kejadian, saya mendapati keadaan mangsa begitu menyedihkan dengan tayar hadapan traktor betul-betul berada di atas kepalanya. 
“Kecederaan parah di kepala menyebabkan anak saudara saya menghembuskan nafasnya yang terakhir dan kehilangannya amat dirasai memandangkan arwah rapat dengan saya,” katanya sewaktu ditemui media di lokasi kejadian semalam. 
Shahrom berkata, dia turut terkilan menyuruh anak saudaranya pergi ke ladang kelapa sawit di Matang Pasir terlebih dahulu, memandangkan keputusan itu menyebabkan arwah mengambil laluan di luar kebiasaan secara tiba-tiba. 
“Bagaimanapun, saya menganggap segala-galanya sudah suratan takdir dan kami sekeluarga reda dengan pemergian arwah. 
“Kini tiada lagi panggilan ‘ayah’ yang sering digunakan untuk memanggil saya dan kami sekeluarga akan merindui kelibat arwah,” katanya. 
Kejadian ini turut mendapat perhatian calon Barisan Nasional (BN) Dun Alor Pongsu, Datuk Sham Mat Sahat dan calon PKR, Rosli Ibrahim apabila kedua-duanya sempat meluangkan masa hadir ke lokasi kejadian untuk menziarahi mangsa dan keluarganya. - Sinar Harian