Allah berfirman dalam al-Quran:

"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran." Mafhum Surah al-Asr: ayat 1 - 3.

Selasa, 28 Oktober 2014

NASA Nafi Dunia Bergelap Disember Nanti

NASA menafikan mengeluar satu artikel yang mengesahkan bumi akan bergelap selama tiga hari pada Disember nanti

Kononnya bumi akan bergelap kerana satu ribut solar menyebabkan pancaran cahaya matahari terhalang

Kononnya lagi, manusia di bumi tidak akan melihat sinar cahaya matahari selama tiga hari


NEW YORK – Pihak Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) menafikan mengeluar satu artikel yang mengesahkan bahawa bumi bakal bergelap selama tiga hari pada Disember depan.
Artikel tersebut yang kini tersebar di internet mendakwa bumi bakal bergelap kerana satu ribut solar menyebabkan pancaran cahaya matahari terhalang. 
Sebuah laman web, Huzlers.com baru-baru ini mengeluarkan satu artikel yang bertajuk NASA mengesahkan bumi akan bergelap selama enam hari pada Disember 2014 sebelum ia dikongsi secara meluas di media sosial. 
Laman web itu mendakwa NASA mengesahkan bahawa bumi akan bergelap selama enam hari bermula pada 21 hingga 23 Disember depan.
“Satu ribut solar menyebabkan debu-debu memenuhi ruang angkasa dan menghalang pancaran cahaya matahari sebanyak 90 peratus.
“Keadaan ini bakal menyebabkan bumi bakal menjadi gelap gelita selama enam hari,” katanya artikel tersebut.
Bagaimanapun, NASA menerusi laman web rasminya menafikan mereka ada mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung kejadian itu. – Agensi/ Kosmo!

Khamis, 23 Oktober 2014

Hilang Rumah Kerana Hilang Kerja

Satu keluarga terpaksa berkongsi 'rumah' dalam kereta dengan dua kucing, seekor anjing dan seekor burung nuri

Keluarga ini tinggal dalam kereta sejak Julai lalu selepas rumah mereka dirampas oleh bank


NEWPORT - Sebuah keluarga terpaksa berkongsi 'rumah' dalam kereta dengan dua kucing, seekor anjing dan seekor burung nuri sejak Julai lalu selepas kediaman mereka dirampas bank.
Deborah Talbot semalam berkata dia, pasangannya, Glyn Jones, 60, dan anak mereka Rachel, 23, serta empat haiwan peliharaan tinggal berhimpit-himpit di dalam kenderaan yang digunakan untuk membawa orang kurang upaya.
Deborah berkata setakat ini dia tidak bernasib baik kerana belum dapat memiliki rumah selepas dibuang kerja dari sebuah pasar raya.
"Saya diusir oleh sebuah syarikat bank.
"Menurut pihak berkuasa tempatan, kami tidak menjadi keutamaan berbanding yang lain dan tidak mempunyai ramai anak," katanya.
Menurut Deborah, dia tidak ada tempat lain untuk berlindung, memaksa mereka menjadikan kenderaan sebagai rumah.
Rakan lain juga, katanya, tiada yang sanggup menumpangkan mereka.
Tanpa dapur, keluarga itu hanya bergantung kepada restoran dan makanan segera dari pasar raya untuk mengisi perut.
Sementara itu jurucakap Majlis Newport berkata, Deborah memohon di bawah peruntukan kehilangan tempat tinggal pada bulan Julai selepas rumahnya diambil alih oleh syarikat bank.
"Permohonannya telah diproses dan keputusan dikeluarkan pada 17 Julai mengesahkan statusnya sebagai orang tidak berumah tetapi bukan dalam kategori terdesak.
"Dia boleh merayu tetapi tiada sebarang rayuan dikemukakan," katanya.-Agensi/ myMetro

Wanita China Pecah Mesin ATM Dengan Tangan

Seorang wanita yang gagal mengeluarkan wang memecahkan mesin ATM dengan hanya menggunakan tangan

Wanita ini dilaporkan berang selepas beberapa kali gagal mengeluarkan wang di mesin ATM berkenaan

Mesin ATM yang dipecah wanita ini terletak di sebuah pusat beli-belah

Beginilah keadaan  mesin ATM selepas wanita itu berjaya ditenangkan


DONGGUAN, China – Seorang wanita yang berang selepas gagal mengeluarkan wang di sebuah mesin pengeluaran wang automatik (ATM) bertindak memecahkan mesin berkenaan dengan hanya menggunakan tangan.
Wanita yang tidak dikenali itu dilaporkan berang selepas beberapa kali gagal mengeluarkan wang di mesin ATM tersebut yang terletak di sebuah pusat beli-belah di bandar ini.
Kerana tidak berpuas hati, wanita itu dilihat mula memecahkan mesin berkenaan dan mencabut setiap komponen satu-persatu menggunakan tangannya. 
Wanita tersebut kemudian berjaya ditenangkan oleh beberapa pengawal keselamatan pusat beli-belah berkenaan yang melihat aksi ganasnya di kamera keselamatan premis itu.
Sementara itu, seorang jurucakap pusat beli-belah berkenaan berkata, wanita itu tidak dapat mengeluarkan wangnya kerana mesin itu rosak ketika dia menggunakannya.
Katanya, ATM berkenaan mudah rosak kerana ia sudah lama dan beberapa komponen mesin itu diperbuat daripada plastik. – Agensi/ Kosmo!

White House Diceroboh Lagi

White House diceroboh lagi apabila seorang lelaki melompat pagar

Penceroboh diserbu anjing pasukan perisik sebelum suspek ditahan

Penceroboh itu dikenali sebagai Dominic Adesanya, 23, dari Bel Air, Maryland


WASHINGTON - Rumah Putih sekali lagi diceroboh apabila seorang lelaki melompat pagar dan diserbu anjing pasukan perisik sebelum suspek ditahan, semalam.
"Anjing berjaya menyerbunya," kata jurucakap perkhidmatan perisikan, Edwin Donovan.
Beliau mengenal pasti penceroboh itu sebagai Dominic Adesanya, 23, dari Bel Air, Maryland dan berkata dia tidak bersenjata ketika ditahan.
Gambar video menunjukkan ejen Perkhidmatan Perisik mengerumuni lelaki terbabit di bahagian utara Rumah Putih pada jam 7.15 petang yang menyebabkan Rumah Putih ditutup selama 90 minit susulan kejadian itu.
Kejadian berlaku kira-kira sebulan selepas seorang penceroboh bersenjatakan pisau memanjat pagar Rumah Putih dan masuk ke dalam dewan eksekutif, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai tahap keselamatan di kompleks yang dikawal rapi itu.
Insiden itu juga membawa kepada peletakan jawatan Pengarah Perkhidmatan Perisik, Julia Pierson. - REUTERS/ Berita Harian

Berita sebelum ini di sini 

Jumaat, 17 Oktober 2014

Pesawat Setiausaha Negara AS Rosak Lagi

Setiausaha Negara AS John Kerry tiba di Vienna dengan pesawat rasmi Air Force pada hari Rabu

Selain Presiden AS, Setiausaha Negara juga mempunyai kemudahan pesawat rasmi Air Force

Bagaimanapun Kerry terpaksa pulang menaiki pesawat komersial kerana Air Force rosak


Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) John Kerry terpaksa menaiki pesawat udara komersial pulang dari Viennea semalam selepas pesawat Air Force yang membawanya rosak untuk kali keempat tahun ini.
Selepas mengadakan beberapa siri perbincangan mengenai program nuklear Iran di ibu negara Austria itu kelmarin, Kerry dan rombongannya yang turut disertai 40 kakitangan dan wartawan menerima berita kerosakan terbaru pesawat itu ketika sedang mendaftar keluar dari hotel mereka, awal pagi semalam.
Sejak memegang jawatan itu pada Februari 2013, perjalanan Kerry dianggarkan sejumlah 911,000 kilometer (km) mengelilingi dunia membabitkan 55 negara - ada antaranya berulang kali - selain 249 hari mengembara.
Malah dia dianggarkan mampu menjangkaui lawatan dilakukan Setiausaha Negara AS terdahulu, Hillary Clinton, yang mengembara jutaan kilometer dan melawat 112 negara sepanjang empat tahun memegang jawatan itu.
Malangnya, operasi yang sering dirancang dengan begitu teliti tetap dibelenggu masalah, malah tahun ini saja Kerry kerap mengalami masalah akibat kerosakan pesawatnya.
Ogos lalu dia terpaksa menaiki penerbangan komersial selama sembilan jam ke Washington dari Hawaii apabila pesawat rasminya mengalami masalah elektronik pada akhir lawatan ke beberapa negara.
Selain itu, awal tahun ini transponder baru terpaksa diterbangkan ke AS dari Switzerland apabila pesawatnya rosak ketika dia sedang melaksanakan perbincangan berhubung konflik di Syria.
Mac lalu, ketika di London, masalah mekanikal serupa menyebabkan pasukannya cuba mencari penerbangan alternatif untuk pulang namun mujur keadaan berjaya dipuihkan dalam tempoh beberapa jam. - AP/ myMetro

Harga Minyak Dunia Turun Lagi

Kilang minyak di Shaybah, Arab Saudi. Foto: Corbis

Loji penapis minyak di Terengganu. Foto: Wikipedia

Minyak di pasaran dunia turun

Tapi di negara ini petrol RON 95 dan diesel naik 20 sen seliter

Kenyataan oleh seorang menteri yang paling bijak di Malaysia yang disiarkan oleh akhbar tempatan


RIYADH – Seorang putera Arab Saudi, Putera Alwaleed bin Talal mengecam Menteri Minyak negara itu, Ali bin Ibrahim Al-Naimi kerana membenarkan harga minyak jatuh di bawah paras AS$100 (RM329.85) setong, lapor akhbar The Telegraph kelmarin.
Putera Alwaleed (gambar kecil) yang juga seorang bilionair dan pelabur dalam sepucuk surat­nya kepada Ali berkata, tindakan Arab Saudi membiarkan harga minyak jatuh di bawah paras AS$100 (RM329.85) setong boleh me­nyebabkan ‘bencana’ terhadap ekonomi negara itu.
Ali, 79, yang sangat dihormati di Arab Saudi mempunyai pengaruh yang amat besar dalam Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC). 
Beliau sebelum ini memberitahu bahawa tiada sebab untuk bimbang dengan kejatuhan harga minyak masa kini. Harga minyak mentah jatuh ke paras bawah AS$87 (RM286.96) setong selepas Agensi Tenaga Antarabangsa menurunkan ramalan permintaan mi­nyak tahun ini. 
Semalam, harga minyak untuk penghantaran November depan susut kepada AS$82.72 (RM272.84) setong, harga paling rendah sejak November 2010. 
Permintaan minyak dijangka me­nurun akibat pertumbuhan ekonomi dunia yang rendah selain lebihan bekalan minyak dunia. 
Arab Saudi merupakan pengeks­port minyak terbesar dunia dengan pengeluaran sebanyak 12.5 juta tong sehari, sekali gus menjadi negara paling berkuasa dalam OPEC serta pasaran minyak dunia. 
Campur tangan Alwaleed dijangka memaksa Opec menurunkan pengeluaran pada mesyuarat akan datang bagi mengatasi kejatuhan harga. – Agensi/ Kosmo!

Khamis, 16 Oktober 2014

Kejar Ribut Untuk Tangkap Gambar






LOS ANGELES – Seorang jurugambar dan isterinya sanggup berdepan bahaya dengan mengejar ribut dan puting beliung semata-mata untuk merakamkan gambar pemandangan yang menakjubkan itu, lapor MailOnline kelmarin.
Jurugambar tersebut, Nicolaus, 34, dan Daow Wegner, 32, berkata, mereka tidak gentar untuk berada berdekatan cuaca buruk berkenaan kerana ia sering memberikan imej yang menakjubkan.
Nicolaus berkata, mereka menggunakan alatan kaji cuaca untuk meramal di mana ribut atau puting beliung akan berlaku sebelum bergegas ke lokasi berkenaan.
“Saya cuba mengambil gambar secepat mungkin sebelum ribut menghampiri kami dan keadaan sangat bahaya jika ada kilat berhampiran kami,” katanya.
Menurut Daow, pada mulanya dia berasa sangat gementar tetapi akhirnya perasaan itu bertukar menjadi sangat mengujakan.
“Pengalaman ini sangat mengujakan dan saya cuba menikmati situasi ini sebaik mungkin,” jelasnya. – Agensi/ Kosmo!

Terengganu Banyak Kereta Klon

Mini Cooper. Foto: Wikipedia

Honda Jazz. Foto: Wikipedia

Subaru Impreza. Foto: Wikipedia

Honda Civic. Foto: Wikipedia


KUALA TERENGGANU – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu kini sedang giat memburu kenderaan mewah yang diklon dan dipercayai digunakan secara berleluasa di negeri ini.
Pengarahnya, Abdul Rahman Emang Anyie berkata, bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini pihaknya menyita 15 buah kenderaan mewah yang memiliki nombor casis dan nombor pendaftaran palsu.
Menurut beliau, kesemua yang dikesan diklon itu adalah kenderaan mewah seperti Mini Cooper, Honda Jazz, Subaru Impreza serta Honda Civic.
“Daripada jumlah yang disita itu empat daripadanya kita serahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia untuk siasatan lanjut. JPJ mendapati kereta asal yang diklonkan ini masih digunakan di Sabah atau Sarawak namun nombor casis atau nombor pendaftaran yang sama itu digunakan pada kenderaan lain. - Kosmo!

Wanita Jadi Tua Sebelum Waktunya

Nguyen Thi Phuong, 26, (kiri) kelihatan 30 tahun lebih tua daripada suaminya, Nguyen Thanh Tuyên (kanan)

Wajah Phuong sebelum mengambil ubat dermatitis

Rambut dan postur badan Phuong masih seperti wanita muda

Seorang wanita dari Vietnam berusia 26 tahun tidak menyangka ubat yang diambilnya untuk mengatasi masalah ruam, akhirnya membuatkannya kelihatan 30 tahun lebih tua. 
Masalah yang dialami wanita tersebut, Nguyen Thi Phuong, bermula pada tahun 2008 apabila dia mengalami masalah ruam di muka akibat pengambilan makanan laut. Kerana itu, Nguyen mendapatkan rawatan dan diberi ubat dermatitis.  
Namun selepas mengambil ubat tersebut selama seminggu, mukanya bengkak dan gatal-gatal, seterusnya berkedut seperti wanita tua. 
Tiga hospital di Bandar Raya Ho Chi Minh telah menawarkan Phuong perundingan dengan pakar-pakar selepas sebuah akhbar menerbitkan gambar dan ceritanya.
Biarpun kulit Phuong seperti wanita yang sudah berusia, tetapi rambut dan postur badannya masih seperti wanita muda.
Suami Phuong, Nguyen Thanh Tuyên memberitahu isterinya seorang wanita yang sangat cantik ketika mereka berkahwin.
Biarpun bingung dengan keadaan yang menimpa Phuong, Thanh mengakui masih mencintai isterinya itu. - Mylaunchpad News

Khamis, 9 Oktober 2014

Gerhana Bulan Di KL

Gerhana bulan dilihat jam 7.30 malam dekat Jambatan Pulau Pinang. Foto: BH/Danial Saad

Gerhana bulan dilihat jam 8.10 malam di Menara KL. Foto: BH/Mohamad Shahril Badri Saali


KUALA LUMPUR – Keterujaan orang ramai untuk menyaksikan kejadian gerhana bulan penuh secara jelas tidak menjadi kenyataan ekoran cuaca berjerebu semalam. 
Pegawai Hal Ehwal Islam Unit Falak, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Khairul Anuar Yazid berkata, fenomena cakerawala itu tidak dapat disaksikan kerana langit diselubungi awan.
Bagaimanapun, keadaan itu tidak mengecewakan kira-kira 45 pengunjung yang hadir di Menara Kuala Lumpur di sini sejak pukul 4 petang lagi. 
Menurut Khairul, fasa gerhana semalam bermula dengan fasa penuh umbra pada pukul 6.25 petang. - Kosmo!

Cengkerik Hidup Dalam Telinga

Seorang lelaki di India mengalami gatal dalam telinga yang luar biasa kerana cengkerik ini berada dalam telinganya

Sebaik doktor memasukkan penyepit ke dalam telinga, cengkerik itu cuba merangkak lebih dalam

Doktor berjaya mengeluarkan cengkerik berukuran dua inci dari telinga lelaki berkenaan menggunakan penyepit

Beginilah rupa cengkerik setelah berjaya dikeluarkan


VILLUPURAM (India) - Seorang pesakit yang mengadu mengalami gatal luar biasa terkejut apabila mendapati seekor cengkerik hidup di dalam telinganya.
Doktor di Pusat Kajian Villupram, Tamil Nadu mengeluarkan serangga berukuran dua inci dari telinga lelaki yang dirahsiakan namanya menggunakan penyepit.
Sebaik doktor memasukkan penyepit di dalam telinga, cengkerik itu cuba merangkak lebih dalam, tetapi doktor berjaya menariknya keluar dan pesakit berkenaan dilapor selamat. 
Menurut doktor, serangga berkenaan tidak boleh menyengat bahagian dalaman telinga tetapi ia boleh mengakibatkan masalah pendengaran dan keseimbangan badan. - Agensi/ myMetro

Khamis, 2 Oktober 2014

Pengarah Perkhidmatan Rahsia AS Letak Jawatan

Pengarah Perkhidmatan Rahsia Amerika Syarikat Julia Pierson meletakkan jawatan

Julia Pierson tiba di bangunan Capitol untuk di soal siasat oleh Kongres

Julia Pierson semasa sesi soal siasat di hadapan Kongres

Grafik menunjukkan bagaimana White House dimasuki penceroboh

Julia Pierson bersalaman dengan pemimpin Kongres selepas sesi soal siasat

Julia Pierson merupakan wanita pertama yang dilantik sebagai Pengarah Perkhidmatan Rahsia oleh Obama


WASHINGTON - Pengarah Perkhidmatan Rahsia Amerika Syarikat Julia Pierson meletakkan jawatan berikutan beberapa kelemahan yang wujud dalam penjagaan keselamatan Presiden Barack Obama.
Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri, Jeh Johnson mengumumkan peletakan jawatan Pierson dan berkata Joseph Clancy, seorang anggota veteran agensi berkenaan, dilantik sebagai pemangku pengarah.
Jurucakap Rumah Putih Josh Earnest berkata Obama memanggil Pierson bagi mengucapkan penghargaan kepadanya kerana khidmatnya yang lama.
Katanya, Obama berpendapat bahawa kepimpinan baharu diperlukan di agensi berkenaan selepas berlaku beberapa kelemahan keselamatan termasuk kejadian di mana seorang lelaki melompat pagar dan berjaya masuk melalui pintu utama di Rumah Putih pada 19 September lalu. - REUTERS/ Berita Harian

ATM Digodam Dalam WhatsApp Tak Benar

Amaran di WhatsApp yang meminta pendeposit bank memeriksa akaun kerana ATM digodam adalah tidak benar

Terdapat cadangan agar mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di negara ini ditukar kepada jenis yang lebih canggih


SHAH ALAM – Amaran di WhatsApp yang meminta pendeposit bank memeriksa akaun dan membuat laporan sekiranya ada kehilangan wang simpanan adalah tidak benar. 
Laporan Sinar Harian menyatakan, pihak Bank Islam menegaskan perkara itu telah diberi jaminan dan dijelaskan oleh Persatuan Bank–Bank Malaysia (ABM) dalam kenyataan media, semalam. 
Dalam kenyataan itu, ABM memberi jaminan akaun pelanggan dan maklumat mereka tidak terjejas dalam insiden penggodam mesin juruwang automatik (ATM), baru-baru ini. 
Sindiket penggodam mesin ATM yang dipercayai didalangi warga Amerika Latin telah menggodam beberapa buah mesin ATM milik enam buah cawangan Bank Al-Rajhi dan dua buah ATM milik Bank Islam. - Mylaunchpad News

Menjelang Aidil Adha Tahun Ini

Beratus ribu jemaah haji dari seluruh dunia tiba di Makkah untuk menunaikan ibadah haji

Setiap orang Islam yang cukup syarat wajib menunaikan fardhu haji ke Makkah sekurang-kurangnya sekali dalam hidup mereka

Kerja pembesaran Masjidil Haram masih berjalan pada masa ini 

Suasana malam di Masjidil Haram

Umat Islam sedang mengerjakan tawaf mengelilingi Kaabah

Jemaah haji menziarahi Kaabah yang menjadi tumpuan umat Islam di seluruh dunia ketika mendirikan solat

Ketika jemaah haji melakukan ibadah haji di Makkah, umat Islam di seluruh dunia merayakan Hari Raya Aidil Adha

Setiap tahun, umat Islam dari 160 buah negara berkumpul di Kota Suci Mekah untuk melaksanakan ibadah haji

Setiap tahun berbagai bangsa dan warna kulit tiba di Makkah untuk melaksanakan Rukun Islam Kelima

Arab Saudi mengambil langkah berjaga-jaga tambahan tahun ini bagi memastikan wabak Ebola di Afrika Barat tidak merebak 


Jemaah haji yang kini berada di Tanah Suci diingatkan supaya mengelak daripada mengambil gambar ‘selfie’ atau video ketika beribadat di sana.
Mereka dinasihati agar bersikap rendah diri dan tidak memuat naik video dan gambar di media sosial. 
Ulama Saudi Assim Al Hakeem berkata, “mengambil gambar dan video dianggap bertentangan dengan hasrat nabi". 

“Seolah-olah tujuan perjalanan ini ialah untuk mengambil gambar," tambah Ulama Abdul Razzaq Al Badr.