Allah berfirman dalam al-Quran:

"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran." Mafhum Surah al-Asr: ayat 1 - 3.

Jumaat, 18 Julai 2014

Pembedahan Buang Ketumbuhan Berjaya

Keadaan Han sebelum dibedah.

Beginilah keadaan Han selepas menjalani pembedahan

Dua tumor yang dikeluarkan dari perut Han.

Han menanggung azab selama empat tahun sebelum pembedahan ini berjaya


BEIJING - Seorang kanak-kanak berusia 11 tahun berjaya menjalani pembedahan membuang ketumbuhan seberat 15 kilogram dari perutnya. 
Han Bingbing yang berasal dari Heilongjiang, timur laut China, menjalani pembedahan itu yang mengambil masa selama lapan jam baru-baru ini. 
Ketumbuhan itu membesar sehingga sebesar dua bola sepak sejak empat tahun lalu. 
Sehingga 18 Jun lalu, ia memenui lima perenam daripada perut Han, menyebabkan organ dalamannya gagal berfungsi secara berperingkat-peringkat. 
Nasib menyebelahi Han apabila Perbadanan Penjagaan Kesihatan Xukecheng berjaya mengumpul dana yang sama jumlah dengan RM60,000 untuk membantu membiayai pembedahan berkenaan. 
Han disahkan menghidap penyakit ovarian teratoma sejak 2009. 
Sejak itu hutang keluarganya menimbun selepas merusaha berusaha menanggung rawatan perubatan murid itu. 
Tidak ramai doktor yang yakin dia akan selamat.  
Beberapa klinik enggan merawatnya sehingga keluarganya mengetahui mengenai sebuah hospital di Guangzhou, selatan China, kira-kira 4,000 kilometer dari kediaman mereka. - Agensi/myMetro

Khamis, 17 Julai 2014

Rangka Manusia Di Gigi Air

Rangka dipercayai manusia ditemui berhampiran gigi air di tapak pembinaan di Pulau Melaka

Polis sedang menyiasat di lokasi rangka ditemui.


MELAKA - Sebahagian rangka dipercayai milik manusia ditemui berhampiran gigi air di tapak pembinaan di Pulau Melaka di sini, semalam. 
Difahamkan, rangka yang hanya mempunyai punggung, tulang peha dan kulit pada bahagian tulang belakang itu ditemui seorang lelaki kira-kira jam 2.30 petang. 
Menurut sumber, rangka yang tidak mempunyai kepala, tangan, badan dan kaki ditemui di atas timbunan sampah di kawasan itu. 
"Dipercayai rangka ini milik manusia, namun jantinanya masih tidak diketahui kerana bahagian perut, isi dan kemaluannya sudah tiada. 
"Ia dipercayai dihanyutkan arus ke kawasan ini ketika air pasang sebelum tersangkut pada longgakan sampah berkenaan," katanya semalam. 
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Salehhudin Abdul Rahman mengesahkan menerima laporan berhubung penemuan rangka berkenaan. 
"Rangka itu dihantar ke Hospital Melaka untuk dibedah siasat bagi mengenal pasti identitinya dan buat masa ini kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR)," katanya. - myMetro

Isnin, 14 Julai 2014

Penduduk Tel Aviv Bimbang Serangan Balas Hamas

Pakar pemusnah bom Israel mengambil serpihan roket yang dilancarkan pejuang Palestin di Netivot, sebuah bandar di selatan Israel 

Penduduk Israel berlindung di sebuah tempat letak kereta bawah tanah di Tel Aviv semasa serangan roket pejuang Palestin dari Gaza

Seorang wanita meletakkan bayinya di lantai pusat membeli-belah semasa siren amaran serangan kedengaran di Tel Aviv

Tentera Israel yang akan melakukan serang darat ke atas Gaza akan berhadapan risiko berat

Keranda askar Israel yang terbunuh semasa serangan ke atas Gaza

Israel mengumumkan kehilangan 13 anggota tentera selepas 48 menyerang Gaza

Tentera Israel menangis semasa majlis pengebumian rakan mereka

Seorang ahli keluarga tentera Israel menangisi kematian saudaranya



Tiga juta rakyat Israel menghabiskan malam Sabtu lalu dalam keadaan panik kerana bimbang serangan balas Hamas. Hamas sebelum ini telah memberi amaran akan melancarkan roket ke wilayah metropolitan Tel Aviv sekiranya Israel melancarkan serangan udara ke atas Gaza.  
Roni Daniel, seorang penganalisis tentera di Saluran 2 TV Israel berkata, dalam sejarah Israel, tidak ada yang berani mengancam menyerang Israel, apalagi menyerang bandar besar dan bekas ibu negara seperti Tel Aviv. 
Media tempatan melaporkan ketidakupayaan Israel menghadapi ancaman roket Hamas yang ditujukan ke arah Tel Aviv. Seorang lagi penganalisis politik Saluran 2 Israel, Amnon Abromovitch menyatakan, apa yang menimpa mereka sebagai sesuatu yang belum pernah terjadi sebelumnya, yang menunjukkan kejayaan perang psikologi Hamas.  
"Ia seolah-olah Hamas telah mencapai matlamatnya," tambahnya.  
Manakala Wall Street Journal mengatakan bahawa Hamas telah berjaya menakut-nakutkan penduduk Tel Aviv dan mendapatkan perhatian dalam perang psikologi.  
Ketika roket-roket dilancarkan oleh Hamas pada malam Sabtu lalu, Israel cuba menghiburkan rakyatnya dengan menyiarkan berita kejayaan pesawat-pesawat pejuang mereka menghancurkan tapak pelancaran roket-roket Hamas. 
Walau bagaimanapun tindakbalas Hamas selepas itu telah menggegarkan Israel, menyebabkan pertahanan yang dikatakan kukuh dirasakan telah runtuh dan penduduk Israel berada dalam ketakutan.  
Penganalisis menyifatkan serangan roket pada malam Sabtu itu sebagai satu mesej yang menunjukkan ancaman serius terhadap keselamatan Israel dan tenteranya. Mereka mengatakan bahawa hal itu boleh mewujudkan fasa baru dalam konflik, termasuk risiko terhadap operasi darat yang akan dilancarkan tentera Israel ke atas Gaza.

Ahad, 13 Julai 2014

Pemandu Lori Putus Kaki Kemalangan

Anggota bomba dan penyelamat berusaha mengeluarkan Muhammad Shah yang tersepit selepas lori yang terbalik. Foto: myMetro

Anggota penyelamat membawa cebisan kaki Muhammad Shah. Foto: myMetro


SHAH ALAM - Seorang lelaki terpaksa menahan kesakitan hampir tiga jam selepas kakinya tersepit sebelum putus apabila lori dipandunya terbalik di Kilometer 3.5 Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) berdekatan susur keluar ke Setia Alam, di sini, kelmarin. 
Dalam kejadian jam 10 malam itu, Muhammad Shah Musa, 40, dilihat masih dalam keadaan sedar ketika operasi menyelamat dijalankan pihak bomba, malah tabah menghadapi saat getir sepanjang tempoh tiga jam pasukan penyelamat berusaha mengeluarkannya dari lori itu.  
Bagaimanapun, usaha menyelamatkan kaki kanannya akhirnya gagal selepas mangsa tidak dapat menahan kesakitan selain usaha menyelamat yang terbatas.  
Lori membawa minyak sawit itu dalam perjalanan dari Pahang menuju ke Pelabuhan Klang, dipercayai terbabas ketika tiba di lokasi kejadian sebelum melanggar penghadang di kiri jalan lalu terbalik. 
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Mohd Sani Harul berkata, pihaknya menerima maklumat kemalangan jam 10.15 malam dan bergegas ke tempat kejadian. 
“Hasil pemeriksaan awal mendapati kaki kanan mangsa tersepit di antara besi penghadang dengan badan lori dan hampir terputus. Usaha mengeluarkan mangsa memakan masa kerana mangsa masih dalam keadaan sedar.  
“Pihak bomba cuba mengelak mangsa menjadi lebih trauma, malah usaha mengeluarkannya menjadi lebih sukar memandangkan besi penghadang jalan tidak dapat dipotong menggunakan alat pemotong,” katanya. - myMetro

Sabtu, 12 Julai 2014

Derita Budak Penyu Berakhir

Didier Montalvo sebelum pembedahan

Didier Montalvo sedang menjalani pembedahan

Didier Montalvo selepas pembedahan

Didier Montalvo kini bukan lagi 'budak penyu'


LONDON - Kehidupan seorang kanak-kanak berubah tiga tahun lalu selepas doktor berjaya membuang tahi lalat besar di belakang badannya. 
Didier Montalvo, lapan, pernah digelar ‘budak penyu’ kerana mempunyai ketumbuhan seperti cengkerang di belakang badannya. 
Dia disahkan menghidap Congenital Melanocytic Nevus (CMN) pada 2011. 
Didier diterbangkan dari bandar asalnya di Colombia ke Britain semalam untuk bertemu dengan kanak-kanak yang senasib dengannya. 
Menceritakan keadaan anaknya dalam satu wawancara dengan stesen televisyen ITV, ibu Didier, Luz berkata, anaknya begitu sedih kerana digelar ‘budak penyu.’ 
“Dia sering memberitahu saya mengapa nasib dia begitu. Sukar untuk menjawab soalannya.  
“Keadaan itu menghalangnya melakukan pelbagai aktiviti yang digemarinya,” kata Luz. 
Tetapi mujur ada pakar bedah plastik, Neil Bulstrode yang sanggup menjalankan pembedahan percuma selepas mendengar nasib Didier. 
Dia kini boleh menjalani hidup seperti kanak-kanak lain. 
Bulstrode berlepas ke Bogota untuk membantu sepasukan pakar bedah membuang tanda lahir Didier yang tumbuh begitu besar sehingga membahayakan nyawanya. 
Doktor kemudian menjalani beberapa sisi pembedahan secara berperingkat-peringkat. 
Menurut Bulstrode, kes Didier adalah yang paling teruk pernah ditemuinya. 
“Dia umpama berjalan dengan membawa seguni kentang di belakangnya,” kata Bulstrode. - Agensi/myMetro

Khamis, 10 Julai 2014

Buang Ketumbuhan Paling Besar

Sebelum menjalani pembedahan.

Doktor mengambil masa 16 jam untuk membuang ketumbuhan pada Yang.


BEIJING - Pakar bedah berjaya membuang ketumbuhan yang dipercayai paling besar di dunia dari kaki seorang lelaki selepas ia membesar sehingga mencapai berat 110 kilogram. 
Yang Jianbin, 37, dari wilayah Shanxi dilahirkan dengan tanda lahir yang berwarna gelap pada bahagian kanan belakang badannya. Ketika Yang berusia sembilan tahun, tanda lahir itu dikatakan mula membesar. 
Apabila dia berusia 12 tahun, tanda lahir itu menjadi sebesar “penumbuk” dan dia menjalani pembedahan untuk membuangnya. 
Bagaimanapun, ia membesar semula sehingga 110 kilogram. 
Ketua jurubedah Chen Mingliang berkata Yang menderita penyakit Neurofibromatosis, masalah kecelaruan genetik yang menjejaskan pembesaran secara normal dan perkembangan sel tisu. 
“Kami biasa melihat pesakit neurofibromatosis, tetapi yang ini paling besar pernah kami lihat,” katanya. 
Sebelum pembedahan di lakukan, dia diberikan dua katil untuk menampung ketumbuhan selebar 1.2 meter itu, mewakili dua pertiga dari berat badannya. 
Sembilan doktor mengambil masa 16 jam untuk membuang ketumbuhan gergasi itu. 
Ketika dibedah, Yang menerima 5,000 mililiter darah, melebihi kandungan darah pada tubuh orang dewasa. 
Kesihatan Yang dilaporkan semakin pulih dan dia dijangka keluar dari hospital hujung bulan ini. 
Sementara itu, seorang kanak-kanak dilaporkan mempunyai ketumbuhan sebesar buah tembikai dan dijadual menjalani pembedahan sedikit masa lagi. - Agensi/ myMetro

Roti Goyang Menu Sarapan Pagi Popular Di Ipoh

Roti goyang ialah hidangan roti bersama telur separuh masak dan nama ini diberikan oleh pelanggan setianya. Foto: myMetro

Hidangan roto goyang ringkas tetapi ia menu sihat dan sesuai memberi tenaga. Foto; myMetro

Roti goyang merupakan satu menu sarapan pagi yang popular di Ipoh. Foto: myMetro


Kunjungan ke Ipoh, baru-baru ini secara tidak langsung memperkenalkan penulis dengan menu sarapan yang cukup popular iaitu roti goyang. 
Waktu mendengar namanya, penulis cuba sedaya upaya membayangkan rupa menu itu dan keistimewaannya sehinggakan ia menjadi salah satu menu sarapan pagi yang popular di negeri berkenaan.  
Justeru, bagi menjawab sendiri persoalan yang bermain di fikiran dan melihat sendiri rupa bentuknya, kunjungan ke Medan Selera Dato Sagor nyata tidak mengecewakan.  
Memilih gerai 25 yang diusahakan Ng Yoke Ting, 57, bersama anaknya, menu roti goyang dihidang­kan di gerainya antara yang sering menjadi buah mulut penduduk sekitar Ipoh. 
Sudah berniaga sejak 40 tahun, mulanya perniagaan berkenaan adalah idea dan usaha Fu Fong Lan, 75, ibu kepada Yoke Ting. Kini ia diteruskan kepada generasi ketiga iaitu anaknya. 
Menurut Ong Chee Ken, 24, anak kepada Yoke Ting, roti goyang adalah hidangan roti bersama telur separuh masak dan nama itu diberikan oleh pelanggan.  
“Menu roti goyang ini sangat ringkas iaitu terdiri daripada roti bakar atau roti stim dan diletakkan di atasnya telur separuh masak.  
“Apabila dihidangkan, telur separuh masak diletakkan di atas roti akan bergoyang-goyang. Dari situlah mungkin nama roti goyang ini timbul,” katanya.  
Menurut Chee Ken lagi, hidangan berkenaan sememangnya ringkas tetapi ia menu sihat dan sesuai memberi tenaga untuk memulakan hari anda.  
“Roti kami memberikan sumber makanan yang sihat kerana ia tidak bermi­nyak,” katanya.  
Selain roti goyang, antara menu disajikan di gerai berkenaan ialah roti bakar, roti stim, bun bakar, bun stim dan telur separuh masak.  
Hidangan sarapan pagi anda lebih lengkap dengan hidangan kopi ais atau kopi putih panas yang juga sangat popular di bandar itu. Air kelapa dan ais kacang juga disediakan di gerai berkenaan.  
Gerai itu dibuka dari jam 5 pagi hingga 4 petang pada hari biasa dan 5 pagi hingga 2 petang pada Sabtu dan Ahad. Walaupun hanya menjual roti, sambutannya cukup memberangsangkan. - myMetro/Suliati Asri

Rabu, 9 Julai 2014

Berebut Kutip Ikan Makan Bangkai Babi

Noraishah (tiga dari kanan) bersama empat pegawainya meninjau kolam ikan patin berhampiran kawasan Lahat. Foto: myMetro

Serpihan tulang khinzir yang dijumpai di dasar kolam menunjukkan ikan berkenaan makan bangkai babi. Foto: myMetro


IPOH - “Saya nampak ribuan ikan patin di sekitar kawasan dalam dan luar kolam itu sebaik kolam berkenaan pecah dan ketika kejadian berlaku, ramai orang berebut-rebut mengutip ikan itu termasuk masyarakat beragama Islam,” kata Mohamad Khirul Adnan Hamid, 26, individu yang memuat naik maklumat serta gambar yang menampakkan tulang haiwan dipercayai babi di laman blog peribadinya dalam kejadian kolam ikan patin pecah di Lahat, di sini, Ahad lalu. 
Menurutnya, dia mendapat maklumat mengenai kerosakan paip pecah yang menyebabkan air melimpah hingga tebing kolam terbabit runtuh kira-kira jam 2 petang, Ahad lalu, selepas dimaklumkan oleh seorang rakannya. 
Katanya, ketika kejadian, orang ramai dilihat mengerumuni kolam itu selepas kesemua ikan ternakan mula kelihatan di luar dan permukaan dasar kolam. 
“Saya difahamkan saliran kolam itu mengalami masalah sehingga menyebabkan air di situ susut hingga menampakkan permukaan dasar tanah. Akibatnya, kesemua ikan di dalam kolam itu jelas kelihatan sekali gus menjadi tumpuan orang ramai. 
“Malah, satu saluran turut pecah menyebabkan sebahagian ikan di situ berlambak ke luar kolam,” katanya. 
Menurutnya, ketika di tempat kejadian, dia juga sempat menasihatkan orang awam khususnya yang beragama Islam supaya tidak mengambil ikan patin itu untuk makan kerana berdasarkan pemerhatiannya, rangka tulang haiwan yang bersepah di dasar kolam itu dipercayai rangka babi. - myMetro