Allah berfirman dalam al-Quran:

"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran." Mafhum Surah al-Asr: ayat 1 - 3.

Jumaat, 28 Februari 2014

Sarawak Dapat KM Dan TYT Baru

Tan Sri Adenan Satem, 70, mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sarawak yang baru tepat jam 9.40 pagi tadi

Semalam, Tan Sri Abdul Taib Mahmud menyerahkan surat perletakan jawatan Ketua Menteri kepada Yang Dipertua Negeri

Abdul Taib selepas pertemuan dengan Yang Dipertua Negeri Di Astana Negeri semalam

Abdul Taib, 78, akan menggantikan Tun Abang Muhammad Salahuddin sebagai Yang Dipertua Negeri Sarawak yang baru



PETRA JAYA - Menteri Tugas Tugas Khas Sarawak, Tan Sri Adenan Satem, 70, mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Ke-5 dalam istiadat penuh bersejarah di hadapan Yang di-Pertua Negeri, Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng di Astana Negeri, tepat jam 9.40 pagi tadi. 
Beliau menggantikan Ketua Menteri paling lama dalam sejarah negara, Tan Sri Abdul Taib Mahmud, 78, yang bersara bermula hari ini, seterusnya bakal dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri yang baharu, menggantikan Abang Muhammad Salahuddin, 92, yang tamat tempoh perkhidmatannya, juga pada hari ini. 
Adenan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Datu itu mula menyertai Kabinet Sarawak selepas peristiwa Ming Court pada 1987. 
Beliau adalah antara pemimpin paling senior dalam Kabinet Sarawak selepas Abdul Taib dan Tan Sri Alfred Jabu Numpang. 
Sementara itu, Abdul Taib dijadualkan berlepas ke Kuala Lumpur sebelum Solat Jumaat untuk menghadap, seterusnya menerima watikah pelantikannya sebagai Yang di-Pertua Negeri Ke-7 daripada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah di Istana Negara kira-kira jam 3 petang ini sebelum kembali semula ke Kuching menggunakan pesawat khas. 
Adenan memulakan majlis angkat sumpah jawatan pagi ini dengan menerima watikah perlantikannya daripada Abang Muhammad Salahuddin disusuli majlis ikrar taat setia dan acara menandatangani surat akuan jawatan. 
Selain Abdul Taib, turut sama menyaksikan majlis bersejarah itu ialah Speaker DUN Sarawak, Datuk Amar Mohammad Asfia Awang Nassar dan barisan Kabinet negeri. - Berita Harian

Jepun Lancar Satelit Pantau Hujan Dan Ribut Petir

Jepun berjaya melancarkan roket terbaharunya hari ini yang membawa satelit kaji cuaca. Foto: NASA/Bill Ingalls

Roket H-IIA ini dilancarkan di selatan kepulauan Jepun tepat jam 3.37 pagi waktu tempatan. Foto: NASA/Bill Ingalls

Satelit berteknologi tinggi ini berupaya membantu ramalan cuaca terutama bagi mengesan ribut petir

Persediaan rapi dibuat sebelum roket dilancarkan. Foto: NASA/Bill Ingalls

Detik-detik akhir sebelum pelancaran roket yang membawa satelit kaji cuaca berteknologi tinggi. Foto: NASA/Bill Ingalls


TOKYO - Jepun hari ini Berjaya melancarkan roket terbaharunya yang membawa satelit berteknologi tinggi yang berupaya memantau kadar hujan global dan membantu ramalan cuaca terutama bagi mengesan ribut petir. 
Menurut Agensi Eksplorasi Angkasa Jepun (JAXA), roket H-IIA rocket dilancarkan di selatan kepulauan Jepun tepat jam 3.37 pagi waktu tempatan seperti yang dijadualkan. 
Satelit berkenaan dibangunkan bersama antara kerajaan Jepun dan Amerika Syarikat yang direka bentuk khas untuk mengumpul data dari beberapa lagi satelit di orbit. 
Satelit itu turut mempunyai keupayaan untuk merakamkan gambar secara terperinci mengenai pergerakan di sekeliling jajaran planet. 
Ahli kaji cuaca berkata, satelit itu mampu memberi maklumat lebih tepat dengan disokong peta mengenai taburan hujan dunia bagi membolehkan ramalan dibuat mengenai puting beliung dan banjir. - AFP/Berita Harian

Kecil-kecil Lagi Sudah Bermain Dengan Ular

Krista Guarino, 9, sedang bermain dengan anakonda peliharaannya.

Walaupun berusia 9 tahun namun Krista sudah mampu mengendalikan ular

Krista bersama seekor ular sawa

Krista di samping keluarganya, memegang seekor daripada ular-ular yang terdapat di rumah mereka di Warren, Michigan 

Krista Guarino bersama ular sawa Albino Lavender di rumahnya


MICHIGAN - Seorang kanak-kanak perempuan sembilan tahun menarik perhatian dengan kebolehannya bermain dengan ular. 
Krista Guarino, tinggal bersama 30 ekor reptilia itu termasuk anaconda dan ular sama sepanjang empat meter di rumahnya di Michigan, Amerika Syarikat. 
Dia makan, tidur dan bermain dengan ular yang ada di antaranya dua kali ganda saiznya. 
Krista mula tinggal bersama dengan ular sejak berusia dua tahun. 
Kanak-kanak yang berani ini pernah beberapa kali dipatuk ular, tetapi semua ular berkenaan tidak berbisa dan Krista berkata dia tidak sakit. 
“Saya tak pernah takut dengan ular. Ia minat dan kegilaan saya,” katanya. 
Anak sulung tiga beradik itu mula diperkenalkan dengan reptilia itu oleh bapanya Jamie, 33, pakar ular. 
“Ular adalah antara perkataan pertama yang disebutnya. Sejak itu saya merasakan reptilia itu akan menjadi minatnya. 
Sejak kecil lagi, dia berbeza dengan kanak-kanak lain. Dia langsung tidak takut dengan ular. Dia mahu menjadikan haiwan itu peliharaannya,” kata Jamie. 
Sewaktu cuti musim panas, Krista membantu Jamie di taman ular tempatan miliknya dan tidak menunjukkan sebarang ketakutan ketika mengendalikan haiwan berkenaan. 
Dia juga membantu memberi makan buaya. 
Pasukan ayah dan anak itu menikmati hujung minggu mereka dengan mencari ular orok-orok, satu daripada spesies ular paling berbahaya di dunia. 
Mereka turut memuat naik video pengembaraan mereka yang ‘mengerikan’ di saluran SnakeHuntersTV milik mereka di YouTube. 
Krista bercita-cita membuka zoo reptilia sendiri apabila dewasa dan mahu mengubah persepsi masyarakat mengenai ular.- AFP

Lelaki China Bedah Tumor Seberat 10KG

Yang Xiao (gambar sebelum pembedahan beliau) mempunyai tumor seberat 10kg di belakang badan dan lehernya

Yang menyedari dia mengidap tumor di leher semasa dia remaja tetapi tumor itu terus membesar

Yang sepatutnya menjalani pembedahan pada tahun 2007 namun dihalang oleh ayahnya

Tumor yang dihidapi oleh Yang terus membesar menyebabkan dia membuat keputusan untuk menjalani pembedahan

Yang telah menjalani pembedahan pada 19 Februari lalu


XI'AN, Shaanxi - Seorang lelaki di China, Xiao Yang, 27, menjalani pembedahan bagi membuang tumor seberat 10 kilogram yang tumbuh di belakang tengkuknya sejak 15 tahun lalu, lapor akhbar Metro.co kelmarin. 
Xiao mula sedar ada bonjolan kecil bersaiz sebiji telur di tengkuknya 10 tahun lalu yang kemudian semakin membesar. 
Pada tahun 2007, dia telah pergi ke sebuah hospital di sini untuk mendapatkan rawatan. Yiang kemudian diberitahu bahawa sdia telah menghidap ketumbuhan yang dinamakan fibromatosis. 
Doktor yang merawatnya ketika itu memberitahu, pembedahan untuk membuang ketumbuhan itu sangat sukar dan risikonya amat tinggi dengan menyebabkan bapanya, Jigao membuat keputusan untuk membiarkan sahaja ketumbuhan tersebut. 
Namun pada penghujung tahun 2013, Xiao membuat keputusan untuk menjalani pembedahan bagi membuang ketumbuhan itu selepas ia membesar sehingga 45 sentimeter dengan berat 10 kilogram. 
Kos pembiayaan pembedahan itu telah dikumpul melalui kutipan derma orang awam dan pinjaman yang dibuat oleh bapanya. 
Doktor yang melakukan pembedahan ke atas Xiao memberitahu, lelaki itu mempunyai peluang cerah untuk pulih. - Agensi/Kosmo!

Bila Kuasa Hilang Rahsia Terbuka

Mezhyhirya, rumah mewah milik bekas Presiden Ukraine yang telah diusir oleh rakyatnya

Seorang lelaki mencuba pili air mewah bersalut emas

Tandas juga mewah

Sebuah bilik makan, lengkap dengan candelier, meja makan dengan ruang untuk 16 orang dan lantai marmar berkilat

Para pengunjung melihat patung burung nuri, malaikat dan telur hiasan melalui tingkap Mezhyhirya

Sebuah piano putih jenama Steinway di dalam ruang yang luas dan di atas, pagar balkoni yang berhias mewah

Gambar-gambar ikon agama tersusun di atas lantai marmar putih

Bola terbiar di atas meja biliard mewah, seolah-olah permainan belum selesai

Lagi perhiasan mewah

Perhiasan kapal layar dalam kotak kaca

Seorang penunjuk perasaan di Dataran Kemerdekaan turut cuba memetik piano di Mezhyhirya

Satu botol brendi yang memaparkan gambar Presiden Ukraine, Viktor Yanukovych yang disingkirkan 

Botol wain dan barangan kaca serta pinggan mangkuk berharga

Koleksi kereta dan motosikal Presiden Ukraine, Viktor Yanukovych yang digulingkan. Ia dipercayai bernilai berjuta-juta

Seorang lelaki menunjukkan tanda bagus di belakang bar yang terletak di satu sudut di kediaman mewah itu

Seorang pengunjung terpaku, mungkin membandingkan gaya hidup presiden dengan  kehidupannya sendiri

Dua lelaki ini hanya dapat mengintai gaya hidup mewah bekas presidennya setelah dia berjaya diusir oleh rakyat

Lagi sebuah bilik mewah dengan perhiasan berharga

Langsir mewah menjadi latar belakang hiasan piano putih

Dewan makan dengan meja untuk 12 orang dan lampu candelier tergantung di atas

Satu tab panas dan sebuah kolam renang tertutup

Kerusi lounge mewah seolah-olah seperti dalam gua dengan akuarium yang memaparkan ikan eksotik 

Koleksi pedang lama juga terdapat di sini


Apabila Presiden Ukraine, Viktor Yanukovych melarikan diri ke suatu tempat yang tidak diketahui, dia telah meninggalkan rumah kediamannya, Mezhyhirya. 
Sebaik mengetahui presiden mereka telah melarikan diri, rakyat Ukraine yang puratanya memperolehi pendapatan antara £2,400 (RM13,303) hingga £4,200 (RM23,280) setahun, telah berpusu-pusu untuk melihat rumah yang di tinggalkan itu. 
Namun apa yang temui di rumah itu amatlah mengejutkan mereka. Rupanya Mezhyhirya penuh dengan harta kekayaan walaupun gaji rasmi Yanukovych sebagai presiden kurang daripada £15,000 (RM83,144). 
Terdapat patung perhiasan yang bernilai berjuta-juta, piano putih berjenama Steinway, kepala paip bersadur emas, lampu-lampu candelier, lukisan berharga dan barangan kaca yang elegan serta pinggan mangkuk yang mewah. Bahkan dia juga mempunyai botol brendi peribadi yang memaparkan foto mukanya yangtersenyum. 
Selain itu, rumah mewah ini juga dilengkapi dengan padang golf, pad helikopter, mini pawagam dan garaj penuh dengan kereta klasik bernilai tinggi, selain taman eksotik burung unta Australia dan Afrika. 
Mezhyhirya terletak di puncak bukit dan di bawah bukit itu mengalir Sungai Dnipro. 
Ramai pengunjung menggelengkan kepala dan hairan dan gaya hidup bekas presiden itu yang sentiasa menyatakan bahawa beliau berasal daripada rakyat Ukraine yang miskin. 
Kisah kejatuhan Yanukovych ini sebenarnya tidak jauh bezanya dengan kisah kejatuhan bekas Presiden Marcos dari Filipina dahulu. 
Marcos dan isterinya juga terpaksa melarikan diri dan meninggalkan Istana Malacanang secara tergesa-gesa. 
Apabila rakyat memasuki istana tersebut selepas itu, mereka terpegun melihat gaya hidup mewah presiden itu, lebih-lebih lagi Imelda isteri Marcos yang meninggalkan beribu-ribu pasang kasut dan pakaian dalam!
Hanya kita tertanya-tanya, giliran pemimpin manakah selepas ini.... bagaimanakah cara dia jatuh.... dan apakah yang ditinggalkan....

Berita sebelumnya di sini


Khamis, 27 Februari 2014

Mi Rojak Cita Rasa Melayu

Mi rojak ini menggunakan resipi lama dan digemari pelanggan sejak 20 tahun lalu. Foto: myMetro

Sup kaki ayam juga ada disajikan buat penggemar kaki ayam. Foto: myMetro

Rahsia kelazatan rojak yang dijual oleh Zofid terletak pada kuah kacang yang halus dan mi yang kenyal. Foto: myMetro

Masjid Nurul Iman Serendah. Foto: JAIS


KUAH kacangnya yang halus, mi yang kenyal dan kuih rojak­nya yang rangup nyata membuatkan hidangan mi rojak yang disajikan kepada penulis te­ngah hari itu cukup lazat. 
Penulis yang bukan peng­gemar mi rojak bagaikan tidak percaya sepinggan rojak yang dihidangkan habis di makan. 
Bukan mahu memuji te­tapi mi rojak yang diusaha­kan Mohd Zofid Mohd Zin, 41, ini berbeza dengan yang lain. 
Ia lebih ringan dan yang penting bercita rasa Melayu berbanding yang lain ke­banyakan adalah cita rasa mamak. 
Mohd Zofid yang lebih dikenali de­ngan panggilan Joe adalah generasi ke­tiga yang me­neruskan per­niagaan keluarga itu di Serendah, Se­langor. 
“Lebih 20 tahun lalu, per­niagaan mi rojak ini di­asaskan arwah datuk, Abdul Rahman kemudian turun kepada arwah bapa saudara iaitu Abdul Aziz Abdul Rahman. 
“Kini, sudah lebih kurang 10 tahun saya meng­usahakannya dan mempu­nyai pelanggan tetap,” katanya. 
Ditanya keistimewaan mi rojak itu, katanya kuah yang menggunakan seratus peratus resipi arwah datuk adalah senjata utamanya. 
“Walaupun lebih 20 tahun, kami tetap mengekalkan resipi arwah datuk dan kacangnya dikisar halus. 
“Mi rojak ini hanya meng­gunakan satu jenis kuih, justeru proses membuatnya harus betul supaya ia sedap dan menepati cita rasa se­benar,” katanya. 
Menurutnya, mi yang digunakan dalam sajian rojak itu amat berbeza dengan mi rojak lain. 
“Kita tidak memakai mi kuning biasa tetapi mi seakan-akan mee spaghetti yang berbentuk empat segi. 
“Mi ini perlu direbus dulu sebelum menggunakannya dan rasanya lebih ringan serta kenyal,” kata­nya. 
Menggalas beban sebagai penerus legasi mi rojak yang diusahakan sejak 20 tahun lalu, bukanlah sesuatu yang mudah apatah lagi mem­punyai pelanggan tetap. 
Justeru, sebelum meng­ambil alih perniagaan rojak ini, Joe belajar membuat kuah kacang serta kuih dari ibunya. 
“Walaupun mengguna­kan tepung, kucai dan tauge, cara mengadun kuih itu perlu betul supaya rangup,” kata­nya. 
Tidak banyak yang berubah dalam menghasil­kan kuah kacang selain cara masaknya menggunakan dapur gas, bukannya dapur kayu. 
Menu lain di gerainya di Kampung Melaka, Serendah itu, ialah mi rebus dan nasi lemak. 
“Kami juga menyediakan hidangan mi sup, bihun sup, sup kaki ayam, mi rebus, dan nasi ayam. 
“Dengan itu, pengunjung yang datang menjamu selera di sini tidak bosan dan mempunyai pilihan,” katanya. 
Sementara itu, pelanggan tetap, Mohd Moidin, 62, berkata mi rojak yang di­hidangkan itu memenuhi cita rasa Melayu. 
“Rasanya memang sedap dan berbeza dengan mi rojak lain. 
“Nasi lemak juga sedap dan lauknya yang pelbagai memberi banyak pilihan,” katanya yang berkunjung ke gerai itu tiga atau empat kali seminggu. 
Gerai yang dibuka setiap hari kecuali hari jumaat bermula dari 11.30 pagi hing­ga 6 petang turut me­nerima tempahan. 
Justeru, jika mahu datang ke gerai mi rojak Joe, ia ter­letak berhadapan Masjid Nurul Iman Serendah. - Suliati Asri/myMetro

YouTube Didesak Buang Klip Video Terbaru Katy Perry

Seorang lelaki Islam di England mendesak YouTube membuang klip video terbaru Katy Perry berjudul ‘Dark Horse’

Dalam klip video itu, Perry ‘menghancurkan’ seorang lelaki yang memakai kalung dengan kalimah Allah

Dalam klip video itu, Perry menjadi ratu Mesir purba yang ingin memilih pasangan

Ratu akan menyumpah setiap lelaki yang membawa hadiah yang tidak disukainya menjadi pasir


BRADFORD - Seorang lelaki Islam di England mendesak YouTube membuang klip video terbaru Katy Perry yang memaparkan penyanyi itu ‘menghancurkan’ seorang lelaki memakai kalung dengan kalimah Allah. 
Dalam klip video berjudul ‘Dark Horse’, Perry menjadi ratu Mesir purba yang ingin memilih pasangan. 
Setiap lelaki yang menjadi calon pasangannya membawa hadiah yang tidak disukai ratu lalu mereka disumpah menjadi pasir. 
Kontroversi tercetus apabila Shazad Iqbal mendakwa calon pertama di dalam video klip berkenaan memakai kalung kalimah Allah. 
Dia melancarkan petisyen mendesak YouTube menghalang penyiaran video klip berkenaan atas alasan ia ‘menghina Islam.’ 
Petisyen online itu berjaya mengumpul 40,000 tandatangan dari seluruh dunia termasuk Australia, Arab Saudi, Pakistan and Bangladesh. 
Shazad berkata: “Video klip berkenaan mencetuskan kontroversi kerana ia menghina Islam, melalui paparan yang menunjukkan dia menghancurkan lelaki itu. 
“Penghinaan jelas dilihat dalam video itu kerana Katy Perry yang kelihatan seolah-olah mewakili penentang Tuhan membakar lelaki dalam video itu dan perkataan kalimah Allah.” 
Selepas menandatangani petisyen itu, Bilal Khan dari Birmingham berkata, “Saya rasa meluat dengan industri muzik kerana membenarkan perkara ini berlaku. Muzik sepatutnya menyebarkan kasih sayang dan bukan kebencian.” 
“Video ini benar-benar menghina agama Islam,” kata Taufik Hidayat dari Bandung, Indonesia yang turut menyokong Shazad. 
Dark Horse ialah single ketiga Katy Perry dalam album terbarunya ‘Prism’ yang turut menampilkan penyanyi rap Amerika Juicy J. 
Lagu dengan genre pop yang diterapkan elemen hip hop itu berada di tangga pertama carta U.S. Billboard Hot 100 ketika ini.- Agensi/myMetro