Allah berfirman dalam al-Quran:

"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran." Mafhum Surah al-Asr: ayat 1 - 3.

Rabu, 30 April 2014

Al Capone Mafia Amerika Syarikat

Al Capone merupakan Gangster Amerika Syarikat (AS) yang terkenal

Al Capone mempunyai pengaruh kuat dan sentiasa dilindungi oleh kuncu-kuncunya

Lelaki menganggur beratur di luar dapur sup yang ​​dibuka oleh Al Capone di Chicago pada tahun 1931


ALPHONES Gabriel Capone lebih popular digelar Al Capone atau Scarface merupakan Gangster Amerika Syarikat (AS) yang mengetuai sindiket penyeludupan dan melakukan pembunuhan pada era 1920-an dan 1930-an. 
Ketika itu poster wajah beliau terpampang di media massa dan semua premis perniagaan bagi tawaran ganjaran kepada mana-mana individu yang dapat menangkapnya dalam keadaan hidup atau mati. 
Al Capone dilahirkan pada 17 Januari dan merupakan anak keempat dari pasangan Gabriele dan Teresina Capone yang berasal dari selatan Itali sebelum berhijrah ke ASpada 1893. 
Di AS keluarga Capone menetap di 95 Navy Street dan ketika usianya mencecah 11 tahun mereka sekali lagi berpindah ke 21 Garfield Place di Park Slope, Brooklyn. 
Selepas tamat persekolahan di Brooklyn, beliau bekerja di pusat permainan bowling dan ketika itu jugalah beliau mengenali ketua kumpulan samseng paling terkenal di AS, Giovanni Torrio Alias John yang lebih terkenal dengan panggilan Papa Johnny Torrio atau The Fox. 
Penglibatan awal dunia jenayah 
Penglibatan jenayahnya bermula apabila dia menyertai kumpulan Five Points Gang sebagai boncer di Coney Island Dance Hall and Saloon. 
Sepanjang kerjaya itu beliau mengalami banyak kecederaan di muka hingga digelar Scarface. 
Albert Francis Sonny Capone
Pada 30 Disember 1918, Al Capone berkahwin dengan Mae Josephine Coughlin seorang warga Ireland dan dikurniakan seorang cahaya mata diberi nama Albert Francis Sonny Capone. 
Kemudian sekitar 1921, Al Capone dan keluarganya berpindah ke Chicago selepas dipelawa Giovanni Torrio dan dari situ dia berjinak dalam jenayah penyeludupan. 
Ketika itu, Giovanni memperoleh kekayaan selepas membunuh ketua penjenayah terbesar Chicago, James Big Jim Colosimo sekali gus mengambil alih jenayah peninggalan James. 
Dalam kes pembunuhan itu, Giovanni terlepas dari hukuman selepas kekurangan bukti dan menurut laporan akhbar Al Capone turut terlibat dalam pembunuhan terbabit. 
Pindah dari Chicago ke Illionis 
Statistik jenayah paling tinggi di AS ketika itu adalah Chicago menyebabkan Gebenor bandar itu meletak jawatan dan digantikan oleh William Emmet Dever. 
Ketika itu juga rakyat melakukan reformasi bagi mendesak kerajaan menurunkan kadar jenayah dan memburu lambakan gangster. Keadaan itu kurang disenangi Al Capone lalu mereka berpindah ke Cicero, Illinois. 
Di sana, kumpulan Capone terpaksa bertarung dengan kumpulan Cicero Myles O’Donnell dan William Klondike O’Donnell untuk mendapatkan kawasan jajahan takhluk. 
Capone akhirnya dapat menawan bandar itu 1924 hingga menyebabkan kematian lebih 200 ahli kumpulan gangster yang selama ini berada di Illinois. 
Saint Valentine’s Day Massacre 
Peristiwa Saint Valentine’s Day Massacre
Selepas bergabung dengan beberapa kumpulan gagster, Al Capone dikatakan mendalangi kes pembunuhan beramai-ramai paling terkenal dalam dunia jenayah pada abad 19, iaitu Saint Valentine’s Day Massacre. 
Pada masa sama, serpihan kumpulan beliau turut melakukan pembunuhan di Chicago, hingga menyebabkan tujuh anggota gangster Mafia Bugs Moran dibunuh secara kejam. 
Meskipun kejadian itu dikaitkan dengan Al Capne namun tiada seorang pun ahli kumpulan beliau didakwa oleh mahkamah. 
Kegiatan Al Capone lumpuh apabila beliau ditangkap oleh ejen FBI, Eliot Ness yang selama itu giat memburu dan menjejaki Al Capone. Tangkapan dilakukan ketika Al Capone melakukan penyeludupan minuman keras di sebuah bandar di Illionis. 
Sel penjara Al Capone
Sejak dari itu, kumpulan pengamal undang-undang menyelar tindakan mahkamah AS yang selama ini banyak membebaskan penjenayah selepas didakwa ramai hakim menerima suapan dari kumpulan penjenayah berpengaruh di negara itu. 
AlCapon akhirnya dijatuhi hukuman penjara dan meninggal dunia ketika berusia 48 tahun. - Sinar Harian

Bayi Dilahirkan Dalam Tandas Selamat

Bayi ini dilahirkan oleh ibunya di dalam tandas di sebuah hospital kerana menyangka dia sakit perut biasa

Bayi ini berjaya diselamatkan selepas ibu yang melahirkannya cuba mengepamnya ke dalam tandas

Suasana di luar tandas kecoh selepas bayi ini menangis di dalam tandas

Kedua-dua bayi dan ibunya kini dalam keadaan baik


BEIJING - Seorang bayi baru lahir berjaya diselamatkan selepas ibu yang melahirkannya cuba mengepam bayi berkenaan ke dalam tandas. 
Wanita itu tidak menyedari dia mengandung dan pergi ke sebuah hospital di China kerana sakit perut. 
Dia melahirkan bayi berkenaan ketika berada di dalam tandas. Menurut Doktor Gao Yuwen yang sedang bertugas, dia terdengar seseorang menjerit di koridor hospital pada kira-kira jam 1 pagi (waktu tempatan). 
“Saya meluru keluar dan melihat beberapa orang berkumpul di luar tandas. 
“Seorang wanita sibuk mengetuk pintu, meminta wanita di dalam tandas supaya membukanya. 
“Tidak lama kedengaran tangisan bayi menangis dari dalam tandas.” Selepas gagal memujuk wanita berkenaan membuka tandas itu, seorang pengawal keselamatan memecahkan pintunya. Gao memberitahu: “Saya nampak bayi itu menangis di dalam mangkuk tandas dengan tali pusat masih ‘terlekat’ pada ibunya sebelum saya menyelamatkannya.” Kedua-dua ibu dan anak berada dilaporkan baik - Agensi/myMetro

Kura-Kura Gergasi

Andy Browne menunjukkan kura-kura spesies sulcata yang diambil daripada sebuah keluarga di Wiltshire, England.

Kura-kura ini diberi nama Victor Meldrem

Kura-kura ini terus membesar sejak 14 tahun lalu

Browne mengambil kura-kura ini secara percuma daripada satu keluarga yang membela Victor sebelum ini


WILTSHIRE, England - Sebuah keluarga tidak menyangka seekor kura-kura yang dibeli kira-kira 14 tahun lalu sebenarnya daripada jenis baka gergasi yang kini mencapai berat 57 kilogram (kg), lapor Daily Mail kelmarin. 
Kura-kura yang bernama Victor Meldrem itu menjadi semakin besar menyebabkan keluarga itu tidak dapat menjaganya kerana sukar untuk menyediakan tempat tinggal yang sesuai untuk haiwan berkenaan. 
Berikutan itu, seorang petani, Andy Browne telah mengambil kura-kura itu secara percuma daripada keluarga berkenaan sebagai tambahan kepada koleksi haiwan peliharaan luar biasa yang dimilikinya termasuk 400 haiwan reptilia yang lain. 
Browne yang mengendalikan pusat penjagaan haiwan itu sejak 2001 berkata, keluarga berkenaan membeli haiwan tersebut daripada sebuah kedai D.I.Y ketika kura-kura jantan itu masih kecil. 
"Pasangan itu telah cuba menyerahkannya ke kebanyakan zoo dan kawasan perlindungan hidupan liar, namun tiada sesiapa mahu mengambilnya. Kini mereka berasa lega apabila saya mahu membantu. 
"Bagaimanapun, pasangan itu amat tertekan untuk berpisah dengan haiwan berkenaan kerana mereka telah menjaganya hampir 15 tahun," katanya. 
Meldrem merupakan kura-kura spesies sulcata dan biasanya akan terus membesar dalam tempoh 35 tahun lagi. Malah, haiwan itu boleh mencapai berat sehingga 90kg. 
Ia sepanjang 60 sentimeter dari kepala hingga ekor dan setinggi 45 sentimeter. - Agensi/Kosmo!

Lelaki Paling Kotor Di Eropah?

Lelaki ini dikatakan “lelaki paling kotor di Eropah” kerana tidur dalam timbunan abu sampah yang panas

Lelaki bernama Ludvik Dolezal ini membakar apa saja yang dijumpai untuk dijadikan “tempat tidur selesa”

Lelaki ini mendapat bantuan kira-kira RM444 daripada kerajaan Czech setiap bulan

Bagaimanapun, dia tidak diberikan wang itu sekali gus kerana khuatir dia akan membakarnya


NOVY BYDZOV (Czech) - Lelaki tidak berumah ini dilabel “lelaki paling kotor di Eropah” kerana tidur dalam timbunan abu sampah yang panas. 
Ludvik Dolezal, 58 membakar apa saja yang dijumpai untuk dijadikan “tempat tidur selesa” sebelum merangkak ke atasnya untuk melelapkan mata. 
Dolezal yang dikenali oleh orang yang lalu lalang di kawasan itu sebagai syaitan dalam kisah dongeng berkata: “Tahun lalu saya berhenti bekerja. Sejak itu saya tinggal di sini dengan unggun api. 
“Setiap malam saya baring di atas abu panas dalam baju dan menggunakan abu sebagai bahan memanaskan badan. Saya kelihatan teruk selepas itu. 
“Saya mempunyai pelbagai kelengkapan sebelum ini - jaket, but, tilam dan selimut. Namun, saya bakar semua untuk memastikan api tidak padam. 
“Ramai orang membantu saya, kadang-kala mereka membawa sesuatu seperti tayar lama dan saya akan membakarnya.” Menurutnya, dia akan membiarkan api berterusan sepanjang hari sehinggalah dia masuk tidur pada jam 7.30 malam. 
“Kebanyakan benda yang dibakar adalah kayu dari semak berdekatan. 
“Ia harus kering untuk dibakar. Apabila saya tidak mempunyai apa-apa untuk dibakar, saya terpaksa menggunakan kapak dan memotong papan di sekeliling bangsal tempat saya berteduh,” katanya ketika ditemui. 
Dolezal mengaku dia menghadapi kesukaran bernafas. Saya menghisap rokok setiap masa, saya menghabiskan sebungkus rokok sehari. Ia membantu saya. Saya bernafas lebih baik apabila menghisap rokok. Menurutnya, dia mendapat bantuan kira-kira RM444 daripada kerajaan Czech setiap bulan. 
Bagaimanapun, pegawai kerajaan tidak memberikan dia wang itu sekali gus kerana khuatir dia akan membakarnya. 
Sebaliknya, mereka memberi duit berkenaan kepada kedai yang dikunjungi Dolezal setiap hari untuk membeli makanan. - AFP/Berita Harian

Selasa, 29 April 2014

Pencarian khazanah Kesultanan Melayu Melaka

Petugas Smart Partnership sedang menjalankan kerja penebukan batu menggunakan mesin gerudi khas. Foto: myMetro

Bahan lain yang digunakan untuk membuka 'pintu' harta karun peninggalan Sultan Melaka




MELAKA - Usaha mencari harta purba yang dikaitkan peninggalan Kesultanan Melayu Melaka di Pulau Nangka, di sini, berjalan lancar apabila kerja-kerja menebuk bongkah batu di kawasan yang menjadi sasaran sudah mencapai tahap 90 peratus selesai. 
Usaha mencari yang dipertanggungjawabkan kepada Syarikat Smart Partnership International (M) Sdn Bhd dijangka berakhir pada 30 April ini. 
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemudahan Awam, Pengangkutan dan Pemulihan Projek negeri Datuk Abdul Ghafaar Atan berkata, kerja menebuk itu masih dijalankan di kawasan laluan di lokasi simpanan khazanah yang dikatakan bernilai berbilion ringgit itu. 
“Mengikut perjanjian, syarikat ini perlu menjalankan kerja mencari khazanah berkenaan sehingga 30 April ini saja, jika tidak, mereka perlu berundur dan tugas mencari akan diserahkan kepada syarikat lain. 
“Dalam tempoh berbaki dua hari lagi, kita percaya kerja menebuk ini akan berjaya dan pintu dapat dibuka, namun jawapannya hanya akan dapat tahu dua hari lagi sama ada khazanah itu benar-benar wujud atau tidak,” katanya ketika mengadakan lawatan ke kawasan tapak pencarian khazanah itu, semalam. - myMetro

Penggesek 'Biola Maut' Meninggal Dunia

Idris Sardi - penggesek biola terkenal dari Indonesia meninggal dunia semalam

Gambar ketika Idris Sardi masih kanak-kanak

Persembahan Idris Sardi di Kuching, Sarawak pada hujung tahun lalu

Anak Idris, Lukman, berkata pemuzik terkemuka itu menghidap penyakit gastrik dan masalah hati

Idris Sardi terus bekerja hingga ke hujung hayatnya

Jenazah Idris Sardi disolatkan oleh para hadirin



Dia mula mengenali alat bernama biola itu sejak berusia enam tahun. 
Empat tahun kemudian atau pada 1949 budak diberi Idris Sardi itu membuat kemunculan pertamanya dan dia mendapat sambutan hangat di Yogyakarta.  
Tidak lama masa diperlukan untuk Idris digelar “anak ajaib” untuk biola Indonesia.  
Pada 1952 Sekolah Musik Indonesia (SMIND) dibuka dan sesiapa yang ingin memasuki institusi itu mesti lulus sekolah rendah. 
Itulah masalah Idris. Dia tidak memiliki kelulusan berkenaan. 
Namun dengan bakatnya yang luar biasa, Idris diterima masuk ke SMIND bersama temannya - juga pemain biola - Suyono yang dua tahun lebih tua daripadanya.  
Kebanyakan pelajar SMIND ketika itu sudah berusia 16 tahun sedangkan Idris baru 10 tahun. 
Demikian Idris memulakan langkahnya tanpa menoleh ke belakang dalam dunia muzik.  
Idris seorang pemain biola yang begitu hebat sehingga diberi gelaran “pemuzik Biola Maut dan pernah menghasilkan 1,900 karya.  
Semalam lelaki digelar maestro (pakar) itu menghembus nafas terakhirnya di Hospital Cibubur pada usia 76 tahun. 
Anak Idris, Lukman, berkata pemuzik terkemuka itu menghidap penyakit gastrik dan masalah hati.  
Kali terakhir Idris mengadakan persembahan solo ialah di Perpustakaan Nasional pada 16 Disember 2013 lalu melalui Konsert Sulung Maestro Biola Idris Sardi.  
Lukman berkata, Idris terkenal dengan sifat merendah diri.  
“Malah beliau pernah meminta orang ramai jangan menggelarnya maestro,” katanya.  
Selain kecekapannya menggesek biola Idris juga diingati kerana pernah menghasilkan album monumental selain beratus muzik latar filem.  
Tidak cukup dengan itu, pengalaman Idris dalam dunia muzik begitu banyak, termasuk menyertai rombongan Sukarno ke Papua.  
Justeru kerana tindakannya itu Idris men­dapat gelaran lagi Pemuzik Gila.  
Baru-baru ini Idris mengunjungi Kuching, Sarawak untuk menjayakan konsert Tribute to P Ramlee dan dia mempesona penonton selama satu setengah jam.  
Kata Lukman, di sebalik usianya yang lanjut dan kesihatan tidak mengizinkan, kepulangan Idris ke Indonesia tidak menyebabkan dia berehat.  
Sebaliknya, Idris terus bekerja di studio.  
Kadang-kadang, kata anaknya, sehingga pagi.  
Sementara itu bekas isteri Idris, Soemarini Soerjosoemarno atau Marini mengakui pemuzik itu adalah seorang lelaki yang mahukan kesempurnaan.  
“Justeru ia mempe­ngaruhi sifatnya yang tegas dan berdisiplin, tetapi pada masa sama pelucu,” katanya.  
Marini sempat berpesan supaya jangan ada sesiapa menitiskan air mata mengiringi kembalinya Idris kepada Maha Pencipta.  
“Idris yang itu cuma seorang, tiada duanya.  
“Justeru jangan keluarkan air mata untuk Idris, tapi doa ya,” katanya. - myMetro

Jiran Terseksa Dengar Lagu Titanic Setiap Hari

Lagu My Heart Will Go On dendangan Celine Dion amat menyeksa jiwa jiran Gareth Davies

Lagu dendangan Dion itu telah dipopularkan melalui filem Titanic, yang dibintangi Leonardo DiCaprio dan Kate Winslet 

Kawasan kejiranan Victoria di Strood, Kent, tempat Davies tinggal


LONDON - Pihak berkuasa tempatan di Strood, Kent, merampas sistem audio bernilai £3,000 (RM16,500) miliki seorang lelaki selepas jirannya mengadu tidak tahan dengan muzik dimainkannya. 
Gareth Davies, 47, yang juga bekas jurujual bagaimanapun mendakwa menjadi mangsa pihak yang mempunyai rasa dengki dengan dirinya. 
Sumber polis berkata, jiran Davies dilaporkan berang kerana lelaki berkenaan gemar memainkan lagu My Heart Will Go On dendangan Celine Dion dari filem Titanic. 
“Lagu lain sering dimainkannya termasuk Boom Shack-A-Lak oleh Apache Indian dan lagu tema filem animasi Toy Story, You’ve Got A Friend In Me. 
“Jiran mendakwa Davies memasang lagu berkenaan dengan terlalu kuat,” katanya dalam satu kenyataan. 
Sementara itu, Davies berkata, dia tidak percaya apa yang berlaku terhadapnya. “Saya rasa seperti seolah-olah ada orang yang sengaja mencari salah saya,” katanya selepas pegawai terbabit berjaya mendapatkan waran untuk merampas iPod, televisyen 3D dan PlayStation3 miliknya. 
Dia bagaimanapun dibenarkan menyimpan iPhone dan MacBook yang juga nyaris dirampas kerana mampu memainkan muzik. 
Di samping itu, Davies boleh memohon mendapatkan semula peralatannya selepas 28 hari. - Agensi/myMetro

Sanggup Mati Anak Asal Jangan Ditinggal Kekasih

Ana Rosa Mora, 18, didakwa membunuh bayi yang baru dilahirkannya dengan meletakkannya di dalam beg plastik

Bayi itu ditemui di lorong antara dua bangunan di blok 2700 North Hamlin Avenue pagi Sabtu lalu

Mora adalah pelajar di Kelvyn Park High School


CHICAGO - Seorang remaja perempuan tergamak membiarkan bayi baru dilahirkannya mati hanya kerana bimbang ditinggalkan kekasih selepas wajah anak malang itu saling tak tumpah seperti bekas teman lelakinya. 
Ana Rosa Mora, 18, kini berdepan tuduhan membunuh tahap pertama akibat perlakuan yang tidak munasabah, lapor akhbar Chicago Tribune. 
Remaja terbabit melahirkan anaknya pada hujung minggu lalu dan datang ke sekolah seperti biasa semalam selepas melakukan kesalahan berkenaan. 
Malah dia turut menunjukkan gambar bayi perempuan baru dilahirkan yang dimuat turun dari Internet. 
Bagaimanapun kelakuannya menimbulkan syak menyebabkan pekerja di sekolah itu menghubungi pihak berkuasa. 
Bayi berkenaan yang dimasukkan ke beg dan dibiarkan di luar rumah untuk mati ditemui seorang pekerja pembinaan beberapa jam kemudian. 
Bayi itu gagal diselamatkan kerana meninggal dunia akibat sesak nafas dan pendedahan terhadap cuaca melampau. 
Ana Rosa mengaku bayi itu adalah hasil hubungan haramnya dengan kekasih lama. Sumber polis berkata, Ana berasa bimbang kekasih terkininya akan mengesan kecurangan dilakukan. 
“Lebih ditakuti Ana, kekasihnya akan berpisah dengannya kerana bayi itu,” katanya dalam satu kenyataan. Ana sepatutnya tamat sekolah menengah Jun ini dan menghadiri kolej pada musim luruh depan dibenarkan dijamin AS$500,000 (RM1.6 juta). - Agensi/myMetro

Tak Perasan Pengemis Sedang Berlakon Filem

Pelancong dari Paris, Karine Gombeau kasihan kepada lelaki gelandangan ini dan memberikan piza kepadanya

Ketika ditemui Karine, lelaki ini sedang mencari makanan di dalam tong sampah sambil minum bir yang dibungkus dalam beg kertas

Dua hari kemudian Karine tenampak gambarnya dalam akhbar memberikan piza kepada peminta sedekah berkenaan

Rupa-rupanya lelaki berkenaan ialah pelakon popular Hollywood, Richard Gere




NEW YORK - Sikap bermurah hati seorang pelancong berkongsi piza dengan seorang lelaki gelandangan memberi pengalaman mengejutkan apabila akhirnya dia mendapati peminta sedekah berkenaan bukan orang sembarangan. 
Pelancong dari Paris, Karine Gombeau berkata dia melihat seorang lelaki selekeh di luar Stesen Grand Central kira-kira jam 5.45 petang baru-baru ini. 
Media semalam melaporkan, ketika itu Karine dan keluarganya baru meninggalkan restoran Little Italy dan ternampak seorang lelaki mencari makanan di dalam tong sampah sambil minum bir yang dibungkus dalam beg kertas. 
Karine kemudian menyerahkan lebihan pizanya kepada lelaki terbabit. 
“Saya meminta maaf kerana piza itu sudah sejuk tetapi dia mengucapkan terima kasih dengan bersungguh-sungguh dan mendoakan saya sekeluarga dirahmati,” katanya. 
Karine kemudian berlalu dari situ tanpa memikirkan langsung apa yang berlaku. Namun dua hari kemudian Karine tenampak gambarnya dalam akhbar memberikan piza kepada peminta sedekah yang rupa-rupanya ialah pelakon popular Hollywood, Richard Gere. Kata Karine, dia sentiasa mudah tersentuh apabila melihat seseorang mencari makanan di dalam tong sampah. “Ia terlalu menyedihkan kerana kita sering membazir makanan sedangkan ada orang yang langsung tiada apa-apa,” katanya. 
Gere, 64, yang terkenal dalam filem Pretty Woman dan An Officer and a Gentleman ketika itu sedang merakamkan filem terbarunya Time Out of Mind yang turut dibintangi Jena Malone dan Kyra Sedgwick. Gere dan Kyra masing-masing memainkan watak gelandangan dan dilihat di sekitar bandar Manhattan melakonkan watak itu. 
Malah ramai yang tertipu termasuk jurujual Mizan Rahman yang mengakui dia benar-benar menyangka Gere lelaki gelandangan kerana tidak nampak seperti berlakon. Ini ditambah pula dengan teknik rakaman dari jarak jauh membolehkan Gere bergerak di sekeliling Stesen Grand Central tanpa orang ramai menyedari filem sedang dirakam. - Agensi/myMetro

Isnin, 28 April 2014

Korban Puting Beliung AS Meningkat 12 Orang

Puting beliung melanda selatan Amerika Syarikat semalam

Treler diterbangkan puting beliung dan jatuh timpa menimpa di Mayflower, Arkansas

Kerosakan akibat puting beliung di Mayflower, Arkansas

Kawasan yang terlibat puting beliung

Peramal cuaca memantau sistem ribut untuk meramalkan lokasi puting beliung seterusnya 


MAYFLOWER, Arkansas - Angka kematian berikutan puting beliung yang melanda tengah Amerika Syarikat (AS) meningkat kepada 12 orang, menurut pihak berkuasa negeri itu. 
Jurucakap kerajaan negeri Arkansas, Matt DeCample, berkata 11 orang maut di negerinya apabila puting beliung melanda pinggir bandar Little Rock.  
Satu lagi puting beliung daripada sistem ribut sama yang bergerak menerusi barat tengah dan selatan Amerika Syarikat turut meragut satu nyawa di Oklahoma.  
Sementara itu, sukarelawan dan pekerja kecemasan pergi dari rumah ke rumah untuk mencari mangsa.  
Pegawai penguatkuasa undang-undang berkata, beberapa kenderaan termasuk trak, kereta dan lori bergelimpangan di Interstate 40, iaitu jalan utama di dalam dan luar negeri. - AP/Berita Harian

Pesawat Ringan Terhempas Di KB

Sebuah pesawat ringan jenis Piper Warrior terhempas di Taman Kurnia Jaya, Pengkalan Chepa, Kota Bharu, hari ini. Foto: PDRM

Pesawat ringan ini sedang menjalani latihan ketika terhempas. Foto: PDRM

Pemandu pesawat mengalami kecederaan. Foto: PDRM


KOTA BHARU: Sebuah pesawat ringan yang sedang menjalani latihan terhempas di Taman Kurnia Jaya, di sini, menyebabkan juruterbangnya cedera parah. 
Berikutan nahas jam 12.45 tengahari itu, juruterbang berusia 20 tahun itu tersepit hampir 30 minit sebelum dikeluarkan pihak bomba. 
Difahamkan, mangsa mengendalikan pesawat jenis Piper Worrior 2 seorang diri sebelum hilang kawalan dan terhempas.  
Mangsa yang berasal dari Kampung Pandan, Selangor dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab 11. - Berita Harian

PM Korea Selatan Letak Jawatan Ekoran Feri Karam

Perdana Menteri Korea Selatan Chung Hong-Won meletak jawatan, ekoran tragedi feri karam di negara itu

Kemarahan dan kesedihan di kalangan rakyat terus memuncak ekoran maklum balas yang perlahan berkaitan tragedi itu

Para sami Buddha Korea Selatan membawa tanglung dalam perarakan untuk memperingati mangsa feri karam 

Para penganut Buddha bertafakur untuk memperingati mangsa tragedi feri karam yang terkorban


SEOUL - Perdana Menteri Korea Selatan Chung Hong-Won semalam meletak jawatan, selepas sebuah feri karam yang menyebabkan 300 orang mati atau hilang, ketika kemarahan terus memuncak membabitkan maklum balas yang perlahan terhadap tragedi itu.  
Chung mengakui bahawa beliau tidak tegas terhadap tugas memantau operasi menyelamat selepas feri terbabit, Sewol karam bersama 476 orang, kebanyakan mereka adalah pelajar sekolah.  
“Saya memohon maaf kerana tidak dapat menghalang kemalangan ini daripada berlaku dan gagal untuk memberi maklum balas sepatutnya selepas itu. 
“Saya percaya sebagai Perdana Menteri, pastinya perlu bertanggungjawab dan meletak jawatan,” katanya. - Berita Harian

Gambar 'Selfie' Yang Dianggap Bodoh

Pemandu teksi berkata, pasangan ini tiba-tiba mengeluarkan badan mereka melalui tingkap. Foto: shanghaiist

Gambar pasangan ini tersebar secara meluas di Internet dan mendapat kritikan hebat


SHENYANG - Gambar satu pasangan yang duduk di bahagian tingkap sebuah teksi untuk merakamkan gambar ‘selfie’ mereka mendapat kritikan hebat pengguna Internet apabila ia dimuat naik di laman sosial China baru-baru ini. 
Mereka dilabel sebagai ‘mabuk atau bodoh’ kerana melakukan perkara berkenaan dalam keadaan teksi yang bergerak pada kelajuan 60 kilometer sejam, sekali gus membahayakan keselamatan sendiri. 
Ketika ditanyakan pemberita mengenai hal itu, pemandu teksi berkenaan menyatakan, pasangan itu tiba-tiba mengeluarkan badan mereka melalui tingkap di bahagian penumpang dan duduk sambil mengambil gambar berdua ketika dia sedang memandu di bandar dalam wilayah Lioning itu. 
Kedua-dua mereka dikatakan berada dalam keadaan mabuk. 
Gambar ‘kebodohan’ pasangan itu tersebar secara meluas di Internet dan mengundang kritikan dalam kalangan pengguna yang melihatnya. - Agensi/myMetro