Allah berfirman dalam al-Quran:

"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran." Mafhum Surah al-Asr: ayat 1 - 3.

Sabtu, 30 November 2013

Feri Rempuh Objek Misteri

Sebuah feri laju dalam perjalanan dari Hong Kong ke Macau merempuh objek ‘misteri’ menyebabkan 87 orang cedera. Foto: AP

Penumpang keluar dari feri selepas feri itu ditarik ke jeti pusat. Foto: AFP

Beberapa penumpang diusung ke ambulans oleh anggota pasukan penyelamat. Foto: NST

Pada tahun lalu nahas feri telah meragut 39 nyawa. Foto: AAP


HONG KONG - Sebuah feri laju dalam perjalanan dari Hong Kong ke Macau merempuh objek ‘misteri’ menyebabkan 87 orang cedera, selain meningkatkan kebimbangan mengenai tahap keselamatan maritim di kawasan itu setahun selepas nahas feri meragut 39 nyawa berlaku. 
Bulan lalu Hong Kong memperingati ulang tahun pertama nahas di perairan Pulau Lamma, malapetaka maritim terburuk Hong Kong sejak 40 tahun lalu. 
Dalam kejadian semalam feri hidrofoil dua tingkat membawa 105 penumpang dan 10 anak kapal merempuh objek tidak dikenal pasti jam 1.15 pagi berhampiran satu daripada pulau kecil di Hong Kong. 
Jurucakap syarikat TurboJet berkata, mereka belum mengesan objek dilanggar feri bernama Madeira itu. 
Jurucakap kerajaan pula berkata, seramai 87 orang cedera dengan tiga daripada mereka parah. 
Beberapa penumpang pula diusung ke ambulans dengan sesetengahnya memakai pendakap leher dan bernafas melalui topeng oksigen. - myMetro

Helikopter Terhempas Atas Atap Pub

Sebuah helikopter terhempas di atas bumbung sebuah pub di Glasgow

Pasukan Bomba dan Penyelamat bertungkus lumus ditempat kejadian

Helikopter yang terhempas dipercayai milik polis

Lokasi tempat helikopter jatuh terhempas


LONDON - Sebuah helikopter dipercayai milik polis terhempas di atas bumbung sebuah pub di bandar ini menyebabkan beberapa orang mengalami kecederaan semalam, kata saksi. 
Anggota bomba dan penyelamat, paramedik dan polis bergegas ke pub Clutha selepas menerima maklumat kejadian yang berlaku ketika kawasan terbabit penuh dengan pelanggan yang meraikan permulaan cuti hujung minggu Hari St Andrew. 
Ahli Parlimen dan jurucakap pembangkang bagi pembangunan antarabangsa, Jim Murphy berkata, beliau sedang memandu ke kawasan berkenaan beberapa saat sebelum pesawat berkenaan terhempas di atas bumbung pub itu. - AFP/Berita Harian

Lima Tersepit Dalam Kereta Seorang Terlentang

Lima orang tersepit dalam kereta manakala seorang lagi telentang di bahu jalan. Foto: myMetro

Mayat mangsa tersepit mengambil masa sejam untuk dikeluarkan. Foto: myMetro


MUKAH - “Sebaik tiba di tempat kejadian, kami melihat mayat seorang kanak-kanak masih dalam pangkuan ibunya,” kata pekerja ladang, Sallim Mukrime, 43, ketika menceritakan kemalangan ngeri yang mengorbankan enam orang termasuk lima beranak di Kilometer 14, Jalan Mukah-Selangau, berhampiran Ladang Mukah 1 di sini, semalam. 
Kemalangan dipercayai berlaku pada jam 3 petang itu menyebabkan Perodua Kancil dinaiki enam sekeluarga bertembung Toyota Hilux mengakibatkan lima daripadanya maut di tempat kejadian manakala seorang lagi kritikal. 
Kejadian itu juga menyaksikan seorang penumpang kenderaan pacuan empat roda yang dikenali Wong Tai Yen, 27, maut dan tercampak keluar ke bahu jalan. 
Menurut Sallim, sebelum kejadian dia bersama rakan berada di ladang terbabit sebelum dikejutkan bunyi dentuman kuat dari arah jalan raya dan bergegas keluar menyiasat apa yang sebenarnya berlaku. 
“Apabila tiba ke tempat kejadian, saya terkejut melihat lima orang tersepit dalam kereta manakala seorang lagi telentang di bahu jalan dipercayai tercampak akibat kemalangan itu. 
“Kami panik dan tidak tahu apa perlu dilakukan. Seorang rakan berusaha mendapatkan bantuan pengguna jalan raya yang kebetulan melalui kawasan ini sebelum menghubungi bomba dan polis,” katanya. 
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Deputi Superintendan Omar Bakhtiar Yaakub berkata, seorang mangsa terbunuh dikenali sebagai Mohd Hisyam Abdullah, 40, yang memandu Perodua Kancil manakala anak perempuannya, Nor Syafidah, 14, kritikal dan dirawat di Hospital Sibu. 
Beliau berkata, setakat ini, identiti empat lagi mangsa dipercayai anak dan isteri kepada Mohd Hisyam masih belum diketahui. 
“Tiga penumpang Hilux yang parah pemandunya, Wong Kim Kui, 48, abang kepada Tai Yen, Wong Tai Hing, 28, serta bapanya Wong Kheng Ki, 57. Tai Hing yang parah kemudian dikejarkan ke Hospital Sibu untuk rawatan lanjut. 
“Kemalangan berlaku apabila Perodua Kancil dinaiki enam beranak dalam perjalanan dari Selangau ke Mukah bertembung Hilux menuju ke Selangau. Namun, sehingga kini polis masih belum dapat mengesahkan punca sebenar kemalangan berlaku. 
“Keenam-enam mangsa terbunuh di tempat kejadian akibat parah di kepala dan badan. Kami masih menjalankan siasatan termasuk mendapatkan keterangan saksi kejadian. 
“Semua mayat dibawa ke Hospital Mukah untuk bedah siasat.” katanya. 
Dalam pada itu, jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Mukah ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.20 petang sebelum bergegas ke lokasi kejadian. 
“Anggota kami mengambil masa lebih sejam untuk mengeluarkan semua mangsa tersepit dalam kenderaan remuk itu,” katanya. - myMetro

Sebab Malu Pelajar Hendak Terjun Bangunan

Tertekan dan malu diejek rakan kerana gagal melaungkan azan, seorang pelajar cuba terjun dari tingkat tiga asrama. Foto: myMetro

Bomba menggunakan beg udara dan skylif dalam operasi menyelamat. Foto: myMetro


MIRI - Akibat tertekan dan malu diejek rakan kerana gagal melaungkan azan selepas diarahkan tenaga pengajar sebagai denda tidak menyiapkan tugasan, seorang pelajar cuba terjun dari tingkat tiga asrama sebuah institut kemahiran, di sini, semalam. 
Bagaimanapun, dalam kejadian jam 7.43 pagi itu, kecekapan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat serta dibantu bapa pelajar tahun pertama Jurusan Penyediaan Makanan berkenaan, berjaya memujuknya turun. 
Difahamkan, kejadian disedari beberapa rakan pelajar terbabit yang memaklumkannya kepada tenaga pengajar institut berkenaan dan mereka segera menghubungi polis dan bomba. 
Pelajar hanya mahu dikenali sebagai Izam, 18, berkata, ketika kejadian dia dan rakannya sedang mengikuti kelas apabila dikejutkan dengan bunyi bising di luar kelas. 
“Sebaik keluar kami dapati seorang pelajar lelaki sedang berdiri di atas beranda tingkat tiga asrama. Saya menyangka dia bergurau. 
“Namun sebaik melihat beberapa kakitangan dan tenaga pengajar berusaha memujuknya turun, baru saya sedar dia cuba terjun,” katanya. 
Dia difahamkan pelajar terbabit tertekan dengan ejekan rakan selepas gagal melaungkan azan sebagai hukuman kerana tidak menyiapkan tugasan diberi pensyarah. 
Insiden kira-kira 30 minit itu agak mendebarkan apabila pelajar berkenaan dilihat memaut dan bergayut pada saluran air di bumbung asrama manakala 13 anggota Bomba dan Penyelamat Miri sudah menyediakan beg udara di bawah serta sebuah jentera skylif. 
Sebaik diselamatkan, pelajar lelaki itu dilihat meluru memeluk bapanya. 
Timbalan Ketua Polis Daerah Miri Superintendan Stanley Jonathon Ringgit berkata, pelajar itu, kakitangan institut serta keluarganya diambil keterangan bagi membantu siasatan. - myMetro

Tertembak Anak Sendiri

Helah seorang warga emas mereka cerita konon anak lelakinya ditembak sekumpulan lelaki tidak menjadi. Foto: myMetro

Mayat mangsa dibawa ke hospital untuk dibedah siasat. Foto: myMetro


KAJANG - Helah seorang warga emas mereka cerita konon anak lelakinya ditembak sekumpulan lelaki yang ingin menyamun rumah mereka di Kampung Baru Balakong, Batu 9 Cheras, dekat sini tidak menjadi apabila polis menemui selaras senapang jenis pump gun miliknya yang disorokkan di belakang pintu rumahnya itu. 
Lelaki yang berusia 76 tahun sebelum itu mendakwa anaknya mati akibat ditembak di kepala selepas sekumpulan penyamun yang terdiri daripada enam lelaki datang menyamun pekerja mereka jam 10 malam kelmarin sebelum melarikan diri. 
Bagaimanapun, soal siasat anggota polis menimbulkan keraguan terhadap dakwaan itu apabila lelaki berkenaan kerap menukar jalan cerita sebelum penemuan selaras senapang jenis pump gun yang dipercayai sengaja disorokkan. 
Warga emas itu akhirnya mengaku tidak sengaja menembak anaknya kerana ketika kejadian keadaan adalah gelap dan akibat terlalu takut, dia menyorokkan senjata berkenaan. 
Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab berkata, ketika kejadian, suspek dan anaknya yang juga peniaga daging panggang berusia 51 tahun itu keluar memeriksa pondok tempat tinggal seorang pekerja mereka yang juga warga Myanmar selepas terdengar jeritan lelaki itu meminta tolong. 
“Suspek membawa senapang berkenaan manakala anaknya pula memegang parang. Ketika membuat pemeriksaan di dalam rumah itu, suspek tidak menyedari anaknya terlebih dulu meluru ke hadapan. 
“Dalam keadaan gelap, suspek ternampak kelibat seorang lelaki memegang parang yang disangka penyamun sebelum melepaskan tiga das tembakan dan satu daripadanya mengenai kepala mangsa,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, semalam. 
Katanya, suspek sebenar dipercayai seorang lelaki tempatan yang bersenjatakan sebatang besi pula sudah melarikan diri melalui pintu hadapan rumah berkenaan sebaik pekerja berkenaan menjerit. 
“Selain senapang berkenaan, pemeriksaan di lokasi kejadian turut menemui lima kelongsong peluru, 24 butir peluru dan parang yang mempunyai kesan darah dipercayai dipegang mangsa,” katanya. 
Menurutnya, siasatan mendapati suspek sudah memiliki lesen senjata api berkenaan sejak 1967 bagi tujuan mencegah musuh tanaman berikutan mempunyai kebun tanaman di belakang rumahnya. 
Difahamkan, mangsa, Chong Kuan Fatt yang maut di tempat kejadian dan anak tunggalnya berusia 12 tahun tinggal bersama kedua-dua ibu bapanya itu selepas kematian isteri beberapa tahun lalu akibat kanser. 
Ab Rashid berkata, suspek ditahan bagi membantu siasatan sebelum dibebaskan dengan jaminan polis pagi semalam. 
Katanya, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. - myMetro


Jumaat, 29 November 2013

Tertukar Dengan Bayi Lelaki Lain Di Hospital

Seorang lelaki Jepun tertukar dengan bayi lelaki lain semasa dilahirkan di hospital 60 tahun lalu 

Lelaki itu menjadi bayi kepada wanita miskin selepas 13 minit dilahirkan (foto hiasan)

Sebuah mahkamah daerah Tokyo mengarahkan hospital terbabit membayar lelaki itu 38 juta yen (RM1.201 juta). Foto: JDP


TOKYO - Seorang lelaki Jepun berusia 60 tahun yang tertukar ketika lahir berkata, beliau berharap untuk memutar semula masa beberapa hari selepas memenangi saman terhadap hospital yang melakukan kesilapan menyebabkannya hidup dalam kemiskinan. 
Lelaki terbabit memberitahu, beliau terkejut apabila mengetahui bahawa kehidupan sebenar adalah sebaliknya. 
Saya hairan bagaimana perkara ini boleh berlaku. Saya langsung tidak mempercayainya. Secara jujur, saya tidak dapat menerimanya. 
Saya sepatutnya mempunyai kehidupan yang berbeza. Saya mahu (hospital) memutarkan semula masa kepada hari saya dilahirkan, katanya. Lelaki terbabit tidak didedahkan namanya. 
Sebuah mahkamah daerah Tokyo minggu ini mengarahkan hospital terbabit membayar sejumlah 38 juta yen (RM1.201 juta) terhadap kesilapan yang dilakukan pada 1953 di mana lelaki terbabit tertukar dengan bayi lelaki lain yang dilahirkan 13 minit selepas kelahirannya. 
Sebanyak 32 juta yen (RM1.01 juta) turut diberikan kepada lelaki terbabit manakala selebihnya enam juta kepada tiga lagi adik-beradik kandungnya. AFP/Berita Harian

Rwanda Lancar Program Khatan Cegah Aids

Rwanda menjadi negara pertama di dunia melancarkan program khatan untuk mengurangkan kadar jangkitan HIV. Foto: AFP

Menteri Kesihatan berkata, prosedur tanpa pembedahan itu telah disahkan dan boleh dilakukan tanpa ubat bius. Foto: AFP

Kira-kira 210,000 penduduk negara ini mengidap HIV. Foto: EPA


KIGALI - RWANDA. Rwanda, kelmarin menjadi negara pertama di dunia melancarkan program khatan dalam usaha untuk mengurangkan kadar jangkitan HIV di negara itu. 
Menteri Kesihatan Agnes Binagwaho berkata, prosedur tanpa pembedahan itu telah disahkan secara klinikal dan ia juga boleh dilakukan tanpa ubat bius. 
"Program ini akan dilakukan ke atas 700,000 lelaki berumur 15 hingga 49 menjelang akhir 2016," katanya. 
Dalam satu kenyataan, laporan dipetik dari AFP, jurucakap kerajaan memberitahu berkhatan adalah salah satu daripada strategi utama untuk mewujudkan generasi bebas Aids di Rwanda, di mana kira-kira 210,000 di negara tersebut dilaporkan dijangkiti penyakit pembawa maut itu. - Sinar Harian

Wanita Israel Didenda Kerana Enggan Khatan Bayi

Mahkamah agama Yahudi mendenda wanita ini kerana enggan mengkhatankan bayi lelakinya. Foto: AP

Protes disertai orang ramai yang menyokong wanita berkenaan. Foto: AP 

Rabai Yahudi sedang menjalankan upacara berkhatan. Foto: 972mag

Bayi Yahudi akan dikhatankan lapan hari selepas dilahirkan


BAITULMUQADDIS - Sebuah mahkamah agama Yahudi mendenda seorang wanita kerana dia enggan mengkhatankan bayi lelakinya. 
Mahkamah itu membuat keputusan pada minggu lalu bahawa wanita tersebut perlu membayar denda hampir AS$150 (RM484.87) setiap hari sehingga anaknya dikhatankan. 
Wanita tersebut memberitahu mahkamah bahawa dia tidak mengkhatankan anaknya itu kerana tidak mahu kerosakan fizikal berlaku ke atas bayinya. 
Keputusan itu adalah yang pertama kali dibuat oleh sebuah mahkamah agama di Israel. 
Tidak ada undang-undang yang mewajibkan anak lelaki dikhatankan di Israel. 
Bagaimanapun, ramai penduduk lelaki Yahudi yang berkhatan disebabkan amalan agama di negara itu. 
Kementerian Kehakiman yang mewakili wanita itu akan mengemukakan rayuan berhubung keputusan tersebut. - AP/Kosmo! Online

Tandas Paling Ekstrem Di Dunia

Tandas paling ekstrem yang terletak di tebing setinggi 2,600 meter dari paras laut di Pergunungan Altai.

Tandas ekstrem ketika cuaca berkabus

Tandas ekstrem ketika musim salji

Pemandangan indah di sekitar tandas ekstrem


LONDON - Tandas dengan pemandangan indah ini dipilih sebagai tandas paling ekstrem di dunia. 
Tandas ini digunakan pekerja di stesen cuaca terpencil di Kara-Tyurek, Pergunungan Altai dan terletak di cenuram setinggi 2,600 di atas paras laut. 
Pekerja yang bekerja di stesen itu dikunjungi sebulan sekali oleh posmen yang mengumpul data cuaca dan helikopter yang menghantar makanan, air dan kayu untuk dijadikan bahan bakar pada setiap musim luruh. 
Namun, mereka pasti memerlukan keberanian untuk menggunakan tandas menakutkan itu dan pastinya tidak kerap ke tandas ketika ditugaskan bekerja di stesen itu. 
Tandas berbahaya itu sudah digunakan sejak 1939, di daerah yang bernama “Black Heart” dalam bahasa Altaya Selatan. 
Satu kaji selidik terbaru mengenai tandas luar biasa di seluruh dunia mendapati tandas di Altai itu menduduki tempat pertama sebagai tandas paling ekstrem. 
Tandas lain yang berkualiti turut dinamakan dalam kategori berbeza dalam kaji selidik itu. - Agensi/Kosmo! Online

Kennedy Jadi Presiden AS Selama 1,000 Hari

Kennedy menjadi Presiden AS ke-35 selama 1000 hari (Januari 1961-November 1963)

Kennedy dianggap sebagai Presiden AS yang muda, kacak, terhormat dan bijak.

Juga ayah penyayang. Anak Kennedy menyorok di bawah meja

Pelantikan Kennedy sebagai presiden mencatatkan pelbagai sejarah tersendiri

Kennedy sedang menyampaikan ucapan ke seluruh negara

Detik-detik akhir sebelum Kennedy ditembak mati di Dallas, Texas

Lee Harvey Oswald (tengah) suspek yang dikatakan menembak mati Kennedy


“MEREKA tidak tahu banyak mengenai presiden atau kenapa ada pihak yang ingin membunuhnya. 
“Boleh dikatakan kebanyakan pelajar cuma mengetahui John Fitzgerald Kennedy (JFK) ialah presiden yang ditembak mati. Lebih daripada itu hanyalah kotak kosong,” kata Tom Stone, Profesor di Southern Methodist University di Dallas, Texas yang mengajar mengenai Kennedy. 
Bagaimanapun bagi pemuja dan peminatnya, sejarah dunia hari ini mungkin berbeza sekiranya Kennedy tidak dibunuh. 
Mereka beranggapan dunia akan menjadi lebih stabil dan aman sekiranya beliau menjadi presiden lebih lama, disebabkan kecenderungannya kepada hubungan dan dasar luar yang lebih baik dan sederhana. 
Kennedy hanya sempat menjadi presiden dalam tempoh kira-kira 1,000 hari sebelum mati ditembak oleh seorang pekerja gudang yang juga merupakan bekas anggota marin, Lee Harvey Oswald ketika dalam perarakan di Dallas. 
JFK dilahirkan di Brookline, Massachusetts, Amerika Syarikat (AS) pada 29 Mei 1917 merupakan anak kedua daripada sembilan orang adik-beradik kepada pasangan bangsawan berketurunan Irish. 
Datuk pada sebelah bapa, P.J. Kennedy merupakan seorang pemilik bank dan pedagang arak yang kaya manakala datuknya sebelah ibu, John E. Fitzgerald merupakan seorang ahli politik yang cekap dan berkhidmat sebagai anggota Kongres AS dan Datuk Bandar Boston. 
Bapa dan ibu Kennedy, Joseph Patrick Joe Kennedy dan Rose Kennedy secara umumnya menolak corak kehidupan golongan sosialit dan memberi tumpuan yang lebih kepada pendidikan anak-anak. 
Joe, terutamanya sangat obses kepada setiap inci kehidupan anak-anaknya, sesuatu yang sangat jarang bagi ibu bapa pada zaman tersebut. 
“Kebanyakan bapa pada waktu itu tidak begitu berminat tentang apa yang dilakukan anak-anak mereka, tetapi Joe tahu apa yang dilakukan anaknya setiap masa,” kata seorang rakan keluarga tersebut. 
Joe mempunyai jangkaan tinggi daripada anak-anaknya dan menanam sifat persaingan dan kepercayaan bahawa kemenangan adalah segala-galanya dalam diri mereka. 
Mengulas perkara itu, adik perempuan JFK, Eunice Kennedy pernah menceritakan, ‘apabila saya menyedari saya tidak perlu memenangi sesuatu setiap hari, saya sudah berusia 24 tahun.’ 
Meskipun seorang yang pintar, Kennedy bukanlah seorang pelajar yang baik sewaktu remaja. Seperti anak muda lain, beliau lebih meminati sukan, wanita dan hiburan berbanding pencapaian akademik. 
Beliau hanya menonjolkan kebolehannya setelah menjadi pelajar senior di Universiti Harvard dan menamatkan pengajiannya pada tahun 1940. 
Seorang rakannya, Lem Billings berkata, ‘Jack (nama panggilan Kennedy) adalah seorang yang lebih menyeronokkan berbanding individu-individu lain yang saya kenal dan saya rasa kebanyakan kenalannya memiliki pendapat yang sama.’ 
Pelantikan Kennedy sebagai presiden mencatatkan pelbagai sejarah tersendiri. Beliau merupakan Presiden AS pertama yang dilahirkan pada abad ke-20. Kennedy merupakan presiden AS pertama yang berfahaman Katholik dan kekal sebagai satu-satunya presiden negara itu yang pernah memenangi anugerah Putlizer (anugerah tertinggi di AS dalam bidang kewartawanan dan kesusasteraan). 
Kennedy dianggap sebagai presiden yang muda, kacak, terhormat dan bijak selain mampu menyampaikan ucapan yang memberi semangat dan menyentuh hati pendengar. 
Isterinya, Jacqueline Kennedy dianggap antara wanita paling cantik dan bergaya di dunia, menambah sisi glamor dalam diri pemimpin itu. 
Pasangan muda itu dianggap membawakan gaya dan glamor ke Rumah Putih, sesuatu yang belum pernah berlaku sebelum itu. 
Sebaris ayat yang dituturkan Kennedy dalam ucapan sulungnya sebagai Presiden AS pada 20 Januari 1961 masih diguna pakai sehingga ke hari ini. Ia berbunyi: “Jangan bertanya apa yang negara boleh lakukan untuk anda, tanyalah apa yang anda boleh lakukan untuk negara.” 
Pencapaian terbaik beliau dalam tempoh yang singkat sebagai presiden bagaimanapun adalah dari segi hubungan antarabangsa AS dengan dunia luar. 
Kennedy dianggap sebagai seorang yang agak reformis dan memiliki pendekatan berlainan dengan presiden-presiden AS sebelumnya. Beliau cuba membawa AS untuk bergerak ke arah kedamaian dan berusaha mengurangkan ketegangan dalam Perang Dingin dengan Kesatuan Soviet, yang dianggap salah satu punca pengorbanannya. 
Krisis terbesar di bawah pentadbiran Kennedy ialah Krisis Misil Cuba pada Oktober 1962. Menyedari Kesatuan Soviet telah menghantar peluru berpandu nuklear ke Cuba, Kennedy mengarahkan armada tentera laut AS untuk mengepung pulau tersebut dan berikrar untuk mempertahankan AS dengan apa cara sekali pun. 
Selepas mengharungi beberapa hari yang paling tegang dalam sejarah kemanusiaan, ketika dunia seolah-olah berada di ambang kemusnahan akibat perang nuklear, Kesatuan Soviet bersetuju untuk mengalihkan peluru berpandu tersebut dengan syarat AS tidak akan menyerang Cuba dan mengalihkan senjata berkenaan dari Turki. 
Lapan bulan kemudian, pada Jun 1963, Kennedy berjaya dalam rundingan Perjanjian Had Ujian Nuklear bersama Great Britain dan Kesatuan Soviet. 
Selain itu, pemimpin ini juga menolak campur tangan AS dalam Perang Vietnam, salah satu peristiwa yang paling memalukan AS apabila negara tersebut kalah dalam perang itu. 
Douglas Ducharme, warga Kanada yang menghadiri ulang tahun ke-50 pembunuhan beliau berkata, “Sekiranya ia (pembunuhan Kennedy) tidak berlaku, sejarah mungkin berubah. Dia merupakan presiden yang lain daripada yang lain.” 
Pada 22 November 1963 ketika menyertai perarakan menaiki kenderaan Lincoln Continental Convertible di Dallas, Texas bersama isterinya dan Gabenor Texas ketika itu, John Connally, Kennedy mati akibat ditembak. Beliau disahkan mati di Parkland Memorial Hospital pada usia 46 tahun. 
Peristiwa pembunuhan beliau menimbulkan pelbagai kontroversi kerana pembunuhnya, Oswald dikatakan bertindak secara bersendirian tanpa melibatkan pihak ketiga. 
Teori konspirasi semakin bercambah apabila Oswald sendiri turut mati ditembak dari jarak dekat dua hari kemudian oleh seorang pemilik kelab malam, Jack Ruby. 
Insiden tersebut disiarkan secara langsung di seluruh AS kerana ia berlaku ketika pihak berkuasa sedang dalam proses untuk memindahkan Oswald dari ibu pejabat polis Dallas ke penjara berdekatan yang dihadiri ramai penonton dan media. 
Ruby memberitahu beberapa saksi di tempat kejadian bahawa kematian Oswald akan ‘melegakan Puan Kennedy daripada menghadiri perbicaraan ke mahkamah.’ 
Meskipun rata-rata warga AS masih percaya bahawa pembunuhan Kennedy melibatkan konspirasi yang lebih besar, siasatan oleh pihak berkuasa dan Suruhanjaya Warren yang ditubuhkan bagi menyiasat perkara itu menyatakan perkara sebaliknya. 
“Kebanyakan orang tidak percaya dengan cerita rasmi. Bagaimanapun bukti tidak mencukupi untuk menyokong perkara lain,” kata Gary Mack, kurator di The Sixth Floor Museum di Dallas, Texas. 
Seorang sarjana dan pengkaji pembunuhan, Josiah Thompson yang juga merupakan pengarang buku, Six Seconds in Dallas yang mengisahkan pembunuhan Kennedy menyimpulkan penyiasatan pembunuhan tersebut sebagai yang terburuk dalam sejarah AS moden. 
“Presiden AS ditembak, pada waktu tengah hari, di dataran awam, dengan saksi antara 400 hingga 500 orang, mungkin sekurang-kurangnya 38 orang daripada mereka mengambil foto dan video. Kini, selepas 40 tahun, kita masih tidak tahu apa yang berlaku,” katanya dalam satu dokumentari pada tahun 2007 berjudul Oswald Ghost. - Kosmo! Online



Doktor Lumpuh Masih Bedah Pesakit

Dr Ted Rummel yang lumpuh separuh badan masih mampu melakukan pembedahan

Dr Rummel melakukan pembedahan dengan menggunakan sebuah kerusi roda khas

Dr Rummel mula lumpuh dari paras pinggang pada tahun 2010 selepas dia menjalani pembedahan

Dr Rummel pernah menganggap, dia tiada lagi kehidupan selepas tidak lagi boleh berjalan setelah menjalani pembedahan

Dr Rummel mengucapkan terima kasih kepada isterinya yang banyak membantu kehidupannya ketika dia menjadi lumpuh

Dr Rummel tidak mensia-siakan pendidikan dan pengalamannya sebagai doktor bedah walaupun telah menjadi lumpuh


O'FALLON, Missouri - Seorang doktor bedah, Ted Rummel di Amerika Syarikat yang lumpuh separuh badan telah mencipta keajaiban dengan kembali bertugas melakukan pembedahan di sebuah hospital dengan menggunakan sebuah kerusi roda khas. 
Rummel yang merupakan seorang pakar bedah ortopedik, mula lumpuh dari paras pinggang pada tahun 2010 selepas dia menjalani pembedahan. 
Dia menjalani pembedahan itu selepas satu ketumbuhan yang wujud pada tulang belakangnya selama 11 bulan itu pecah. 
Doktor itu boleh melakukan pembedahan di lutut dan lengan semasa duduk di atas kerusi roda. 
Dia juga menggunakan kerusi roda khas ketika melakukan pembedahan bahu pesakit. 
Kerusi roda itu boleh ditingkatkan ketinggiannya sehingga doktor itu kelihatan seperti sedang berdiri. 
Namun, Rummel pernah menganggap yang dia tiada lagi kehidupan selepas tidak lagi boleh berjalan setelah menjalani pembedahan. 
Namun, setahun kemudian, dia membuat keputusan untuk kembali bertugas selepas pembedahan itu. 
Keputusan itu dibuat disebabkan jiwanya sebagai seorang doktor bedah yang berdedikasi. 
Pembedahan pertama yang dilakukannya itu diawasi oleh seorang lagi doktor bedah. 
Kehadiran doktor bedah itu adalah bertujuan untuk memberi pertolongan kepada Rummel jika dia memerlukan bantuan ketika membuat pembedahan. 
Namun, Rummel berjaya melakukan pembedahan tersebut. 
"Ia merupakan pengalaman yang amat menakjubkan (melakukan pembedahan dengan menggunakan kerusi roda). 
"Apabila saya mampu melakukan pembedahan itu, saya kembali medapatkan kehidupan saya semula. Ia sungguh istimewa," katanya kepada akhbar Enquirer baru-baru ini. 
Rummel juga mengucapkan terima kasih kepada isterinya yang banyak membantu dalam kehidupannya ketika dia menjadi lumpuh. - Agensi/Kosmo! Online

Khamis, 28 November 2013

Terserempak Buaya Laut

Buaya yang ditemui berhampiran Pelabuhan Pulau Pinang. Foto: TPO

Mungkin buaya itu ialah buaya air masin. Foto: andyan


GEORGETOWN - Seorang kakitangan Pelabuhan Pulau Pinang di sini terserempak dengan seekor buaya berhampiran dengan pelabuhan berkenaan. 
Mohd Asyraf berkata, kejadian terbabit disedari dua pemandu bot kira-kira jam 5 petang. 
Menurutnya, dia sendiri hairan bagaimana buaya sepanjang lebih tiga meter itu memasuki kawasan laut. 
"Saya dan rakan-rakan mengambil gambar buaya berkenaan, memang pada kami ini kejadian yang aneh kerana buaya di Pulau Pinang sukar untuk ditemui. 
“Kalau di kawasan sungai pun sukar hendak jumpa buaya, apatah lagi di kawasan pantai, mungkin ia buaya sesat,” katanya. 
Mohd Asyraf turut berkongsi gambar berkenaan di laman facebook Kelab Melayu Pulau Pinang dan mendapat pelbagai reaksi daripada orang ramai. 
Beliau turut menyangkal ia biawak besar kerana kejadian berkenaan disaksikan beberapa individu yang lain. - Sinar Harian


China Hantar Kapal Perang Ke Laut China Selatan

Kapal induk pembawa pesawat udara Liaoning berlepas ke Laut China Selatan untuk latihan pada hari Selasa. Foto: Xinhua

Kehadiran kapal induk Liaoning di Laut China Selatan membimbangkan Filipina. Foto: Xinhua


MANILA - Filipina semalam berkata, kehadiran kapal pembawa pesawat udara China di perairan Laut China Selatan bakal menimbulkan ketegangan walaupun ia didakwa hanya untuk menjalani latihan. 
Jurucakap Jabatan Hal Ehwal Luar Filipina Raul Hernandez berkata, kehadiran kapal induk itu amat membimbangkan dan melanggar perjanjian dua negara itu berhubung kawasan perairan Laut China Selatan. 
“Kehadiran kapal berkenaan mesti tidak melanggar undang-undang antarabangsa, termasuk yang diputuskan Konvensyen PBB,” katanya. 
Kapal induk pembawa pesawat udara Liaoning berlepas dari pelabuhan di Qingdao kelmarin bersama dua kapal pemusnah dan frigat untuk menjalankan latihan serta ujian dalam misi yang didakwa China sebagai satu rutin biasa. 
Kawasan itu dianggap sensitif kerana membabitkan perairan yang dipertikaikan beberapa negara, termasuk Jepun, Filipina dan Malaysia. - Reuters/myMetro

Bunuh Diri Kerana Tekanan Perasaan

Seorang lelaki ditemui mati dekat bangunan Suntech Sunshine Square Bayan Baru. Foto: tengoktvonline

Lelaki ini terjun dari tingkat lapan bangunan Suntech. Foto: tengoktvonline

Mayat lelaki terbabit dibawa ke HPP untuk bedah siasat. Foto: myMetro


GEORGETOWN - Tekanan berikutan bebanan kerja dikatakan menjadi punca seorang jurutera muda di sebuah kilang terjun dari tingkat lapan bangunan Suntech, Pasaraya Sunshine Square, Bayan Baru, dekat sini, semalam. 
Dalam kejadian pada jam 8.30 pagi itu, Lau Chuen Wei, 24, maut di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah di kepala dan patah kaki. 
Difahamkan, sebelum kejadian mangsa yang berseorangan memandu ke kawasan terbabit dan ketika itu dia berpakaian serba hitam dilihat seorang penjaga parkir berada dalam keadaan runsing di tingkat lapan bangunan itu. 
Beberapa minit selepas itu, mangsa dipercayai terjun sebelum mayatnya ditemui orang awam yang melalui kawasan terbabit sebelum menghubungi polis. 
Ketua Polis Daerah Barat Daya Superintendan Mohd Hatta Mohd Zain berkata, siasatan awal polis mendapati mangsa tinggal di Jalan Raja Uda, Butterworth dan berulang-alik ke tempat kerjanya setiap hari di Bayan Lepas. 
“Kita belum mengetahui motif sebenar kejadian dan siasatan lanjut masih dijalankan. Setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. 
“Setakat ini, kita sudah menghubungi ahli keluarga mangsa dan mayatnya dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk dibedah siasat,” katanya. 
Menurutnya, hasil siasatan mendapati abang ipar Lau memberitahu mangsa mengalami tekanan perasaan sejak kebelakangan ini, tetapi tidak mengetahui puncanya. 
“Siasatan kita mendapati mangsa menaiki kereta Perodua Myvi dan masuk ke premis berkenaan kira-kira 15 minit sebelum itu dan dia ditemui mati terjatuh. 
“Selain itu, kita tidak menemui sebarang nota yang ditinggalkan mangsa. 
“Kita akan mengambil keterangan daripada ahli keluarga, rakan sekerja dan individu terdekat yang mungkin mengetahui masalah dihadapi mangsa,” katanya. 
Beliau berkata, mangsa sebelum ini menuntut di sebuah kolej swasta dan sejurus tamat pengajian, dia bekerja sebagai jurutera dan mempunyai teman wanita yang bekerja sebagai pegawai bank. - myMetro

Awang Hitam Buat Orang Tempatan Resah

Penguat Kuasa Imigresen Negeri Sembilan bergelut ketika cuba menahan seorang pelajar warga asing. Foto: myMetro

Walaupun tubuh besar panjang, warga Nigeria ini menyorok juga di bawah katil. Foto: myMetro


NILAI - Peningkatan mendadak jumlah warga Afrika dari pelbagai negara yang berkampung di beberapa taman perumahan sekitar Mantin dan daerah ini menyebabkan penduduk tempatan mulai resah dan khuatir kawasan kediaman mereka kini menjadi ‘Afrika Mini’. 
Dianggarkan terdapat hampir 10,000 warga Afrika menghuni daerah ini dan kebanyakan mereka adalah pelajar kolej dan universiti swasta yang banyak terdapat di kawasan itu. 
Kehadiran mereka menimbulkan rasa kurang senang penduduk kerana mereka ini sering terbabit dengan kegiatan jenayah seperti penyalahgunaan dadah terutama syabu, gemar mabuk di kawasan awam, bergaduh dan tidak menghormati budaya masyarakat setempat. 
Malah, bagi penduduk, petanda itu sudah terserlah apabila golongan yang diberi jolokan Awang Hitam kini mendominasi kemudahan awam di situ serta tidak gentar dengan penduduk tempatan dan sedia bertindak balas jika ditegur apatah lagi dicabar. 
Selain itu, warga Afrika terbabit sering mengusik anak gadis yang lalu-lalang di kawasan itu dan apabila ditegur pasti mencetuskan pergaduhan. - myMetro