Allah berfirman dalam al-Quran:

"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran." Mafhum Surah al-Asr: ayat 1 - 3.

Khamis, 21 Ogos 2014

Fenomena Bulan Kembar Tak Betul

Planet Marikh dilihat melalui Teleskop Angkasa Hubble. Foto: NASA

Bulan berwarna merah jingga, semasa gerhana bulan (ketika bumi berada di antara bulan dan matahari). Foto: Wikipedia

Perbandingan antara saiz bumi dan planet Marikh. Foto: NASA


KUALA LUMPUR - Agensi Angkasa Negara (ANGKASA) hari ini menafikan dakwaan kononnya planet Marikh akan membesar seperti bulan dan kemunculan bulan berkembar pada Rabu depan (27 Ogos), seperti yang tersebar di laman sosial dan khidmat pesanan ringkas. 
Menurut kenyataan ANGKASA, jarak planet Marikh adalah stabil pada orbitnya pada malam berkenaan iaitu 201.69 juta kilometer atau 125.28 juta batu dari bumi, dan bukannya 34.65 juta batu seperti yang telah disebarkan itu. 
Pada jarak itu, planet Marikh hanya akan kelihatan seperti sebuah bintang merah di langit malam dan ia akan terbenam sekitar jam 12 tengah malam, dan oleh yang demikian ia tidak lagi kelihatan selepas daripada waktu itu. 
Bulan pada malam itu berada pada fasa anak bulan dan bukannya bulan penuh. 
Bulan juga akan terbenam awal pada hari tersebut iaitu sekitar 8.30 malam dan ia tidak lagi kelihatan pada 12 malam seperti yang digembar-gemburkan. - BERNAMA

SIARAN MEDIA
PENAFIAN BERKENAAN MARIKH MENJADI SEBESAR BULAN DAN BULAN BERKEMBAR  
Pihak Agensi Angkasa Negara (ANGKASA), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dengan ini menafikan mesej-mesej di laman sosial dan juga pesanan ringkas yang mula tersebar berkenaan dengan kemunculan Bulan Berkembar dan juga Planet Marikh akan membesar seperti Bulan pada 27 Ogos 2014 ini. 
Ia merupakan mesej lama yang telah tersebar sejak tahun 2003 lagi. Adalah dimaklumkan bahawa jarak planet Marikh adalah stabil pada orbitnya pada malam berkenaan adalah 201.69 juta kilometer atau 125.28 juta batu dari Bumi, dan bukannya 34.65 juta batu seperti yang dikhabarkan. Pada jarak ini, Marikh hanya akan kelihatan seperti sebuah bintang merah di langit malam. Marikh juga akan terbenam sekitar jam 12 tengah malam dan oleh yang demikian ia tidak lagi kelihatan selepas daripada waktu itu. 
Manakala bagi keterangan berkenaan dengan Bulan berkembar dan juga gambar yang diolah semula itu, adalah jauh dari kebenaran. Seperti yang kita sedia maklum, Bumi hanya mempunyai sebuah satelit semulajadi iaitu Bulan yang sentiasa dapat kita lihat. Untuk makluman juga, Bulan pada malam tersebut berada pada fasa bulan pada hari berkenaan, 27 Ogos 2014 adalah pada fasa anak Bulan dan bukannya Bulan penuh seperti yang dinyatakan dalam mesej-mesej tersebut. Bulan juga akan terbenam awal pada hari tersebut iaitu sekitar 8:30 malam dan ianya tidak lagi kelihatan pada jam 12 tengah malam seperti yang ditulis dalam rantaian mesej berkenaan. Fasa bulan penuh yang terdekat adalah pada 11 Ogos 2014 dan 9 September 2014.  
Menambah kepada dua fenomena yang palsu ini adalah yang mana ia hanya akan berlaku lagi pada tahun 2287. Fenomena ini adalah tidak benar sama sekali dan tidak akan berlaku, jauh sekali untuk berulang pada masa akan datang. Kelemahan helah ini adalah kepada ketiadaan sumber penulis dan rujukan dari hasil penulisannya. Dan masyarakat Malaysia harus lebih bijak dalam menyampaikan berita dan juga mencari kesahihannya sebelum memanjang-manjangkan berita palsu seperti ini. 
- Sumber: Angkasa

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.