Allah berfirman dalam al-Quran:

"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran." Mafhum Surah al-Asr: ayat 1 - 3.

Rabu, 1 Mei 2013

Wanita Mati Melahirkan Anak Seorang Diri

Anggota polis tiba di rumah mangsa sebaik mendapat panggilan tuan rumah terbabit. Gambar kecil: Nordiana. Foto: Sinar Harian

SEREMBAN – Panggilan telefon dan khidmat pesanan ringkas (SMS) tidak berjawab membawa kepada penemuan seorang wanita bersama bayi lelaki yang baru dilahirkan meninggal dunia dalam tandas rumah disewanya di Taman Marida, dekat sini, malam kelmarin. 
Kejadian disedari kira-kira 11.35 malam apabila pemilik rumah, Nordiana Johari, 29, cuba menghubungi penyewanya itu untuk mengutip duit sewa rumah. 
Menurut Nordiana, dia bersama suaminya membuat keputusan ke rumah berkenaan selepas gagal menghubungi penyewanya bagi mendapatkan wang sewa RM300 yang belum dijelaskan. 
“Sejak Ahad lalu saya cuba menghubungi mangsa dan menghantar SMS untuk mengutip sewa rumah, tapi tidak berjawab. Jadi, kami ambil keputusan datang ke rumah ini. Sebaik sahaja sampai, saya lihat lampu dan televisyen dipasang,” katanya. 
Menurutnya, dia cuba memanggil mangsa tetapi tidak berjawab sebelum bertindak masuk ke dalam rumah yang tidak berkunci. 
Bagaimanapun. katanya, dia mula berasa tidak sedap hati selepas mendapati keadaan ruang tamu berselerak dan terdapat tompokan darah kering pada lantai. 
"Saya tengok ruang tamu berselerak. Hanya ALLAH yang tahu perasaan saya apabila melihat sepasang kaki terjulur dari dalam tandas di dalam bilik utama di bahagian belakang, sebelum saya menghubungi polis," katanya ketika ditemui pemberita, malam kelmarin. 
Difahamkan, mangsa yang berkerja sebagai jurujual di sebuah pasar raya tinggal seorang diri di rumah terbabit sejak dua bulan lalu. 
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamarudin mengesahkan kejadian. 
“Berdasarkan siasatan, mangsa meninggal dunia akibat melahirkan anak. Dia dipercayai meninggal lebih dari sehari," katanya. - Sinar Harian

Nyaris Maut Dihempap Khemah

Eng Keat menunjukkan keadaan ‘bilik gerakan’ sebuah parti politik yang runtuh dan hampir menimpa dirinya. Foto: Sinar Harian

PARIT BUNTAR - Kelekaan seorang pemilik kedai peralatan mesin membuat kerja, nyaris mengundang padah apabila dia hampir dihempap sebuah khemah yang runtuh diterbangkan ribut dalam kejadian di hadapan premisnya di Pusat Bandar Fasa 2, di sini, semalam. 
Mangsa, Ooi Eng Keat, 55, berkata, dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, sebuah khemah yang dijadikan bilik gerakan sementara sebuah parti politik di sini secara tiba-tiba diterbangkan ribut sebelum mengenai kereta jenis Perodua Kenari miliknya dan runtuh. 
Menurutnya, dia yang sedang melakukan kerja kimpalan besi ketika itu terkejut apabila ‘bilik gerakan’ runtuh itu hampir mengenai dirinya, sebelum dihalang kereta miliknya. 
“Kesan kejadian itu menyebabkan keadaan kereta saya tercalar, manakala beberapa jentera mesin dikhuatiri rosak akibat dihempap khemah berkenaan. 
“Nasib baik ada kereta yang menghalang khemah itu dari terus menghempap saya, jika tidak saya tidak tahu apa akan terjadi pada saya,” katanya sewaktu ditemui media di lokasi kejadian semalam. 
Ooi berkata, berikutan kejadian itu, laporan polis sudah dibuat dan pihaknya berharap parti politik lebih menitikberatkan soal keselamatan dalam memasang khemah sementara untuk dijadikan bilik gerakan. 
“Saya juga berharap wakil parti itu tampil untuk membiayai kos ganti rugi dialami pihak kami disebabkan pemasangannya dibuat atas dasar cuai,” katanya. 
Tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu. - Sinar Harian

Kena Penjara 5 Tahun Kerana Rompak Warga Emas

Mohd Nazro dijatuhi hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu. Foto: Sinar Harian

KUALA TERENGGANU - Perbuatan seorang lelaki merompak beg duit milik seorang warga emas akhirnya terbalas apabila dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan empat sebatan oleh Mahkamah Sesyen, di sini, semalam. 
Hakim Wan Fadhilah Nor Wan Idris membuat keputusan itu selepas Mohd Nazro Abd Rahman, 34, dari Kampung Beladau Selat, di sini, mengaku bersalah merompak sebuah beg tangan milik warga emas, Saudah Ismail, 69. 
Mohd Nazro mengaku bersalah merompak beg duit yang mengandungi tiga utas gelang emas; sebiji loket emas dan wang tunai RM200 di sebuah rumah di Kampung Gong Penaga, Jalan Pasir Panjang, di sini, pada 10 Mac lalu, kira-kira jam 11.30 pagi. 
Dia didakwa di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana merompak yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda atau sebatan jika disabitkan kesalahan. 
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nazlyza Mohamed Nazri, manakala Mohd Nazro tidak diwakili peguam bela. - Sinar Harian

Pelajar Tingkatan Empat Ditangkap Khalwat

Pelajar tingkatan empat dibawa ke Pejabat Agama Dungun selepas disyaki melakukan perbuatan tidak bermoral. Foto: Sinar Harian

Pasangannya yang bekerja sebagai tukang masak telah berkahwin serta mempunyai seorang anak. Foto: Sinar Harian

DUNGUN – Seorang pelajar tingkatan empat bersama teman lelakinya, seorang tukang masak di sebuah kedai makan ditahan Pegawai Penguat kuasa Syariah kerana berkhalwat di sebuah bilik hotel, dekat sini, lewat petang kelmarin. 
Dalam serbuan itu, pegawai syariah bersama polis terpaksa memecahkan pintu bilik kerana pasangan terbabit enggan bekerjasama sebelum berjaya memasuki bilik disewa pasangan lelaki terbabit, sejak dua hari lalu. 
Soal siasat mendapati, mereka tidak mempunyai hubungan muhrim dan bilik itu disewa pasangan lelaki yang berasal dari Balai Besar, dipercayai untuk melakukan hubungan seks. 
Menurut pelajar terbabit, dia masuk ke bilik tersebut kira-kira jam 5 petang dan sempat melakukan seks bersama teman lelakinya yang telah berkahwin serta mempunyai seorang anak. 
Pelajar terbabit yang masih bersekolah di sebuah sekolah menengah di Dungun itu juga turut mengakui pernah beberapa kali melakukan hubungan seks dengan pasangan berlainan dan menghadapi tindakan undang-undang kerana melakukan perbuatan tidak bermoral. 
Lebih memeranjatkan, selepas ujian saringan air kencing dilakukan mendapati pasangan itu turut positif dadah jenis methapethamine. 
Mereka kemudiannya dibawa ke Pejabat Agama Dungun untuk diambil keterangan sebelum dibebaskan selepas diikat jamin oleh keluarga masing-masing. 
Mereka akan dihadapkan ke Mahkamah Rendah Syariah atas kesalahan mengikut Seksyen 31(a) (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Takzir Negeri Terengganu 2001 yang boleh membawa hukuman denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. 
Pasangan terbabit juga turut disiasat mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana disyaki mengambil dadah. - Sinar Harian

Bas Terbalik: 62 Pelajar Nyaris Lemas

Keadaan bas yang condong ke sebelah kanan sebelum terbalik. Foto: Sinar Harian

Keadaan bas yang membawa muatan pelajar sekolah yang terbabas dan memasuki parit. Foto: Sinar Harian

Beberapa pelajar sekolah sedang memeriksa buku dan peralatan sekolah mereka yang basah. Foto: Sinar Harian

KUALA KURAU - “Tiba-tiba saya tengok sebuah bas sekolah condong ke sebelah kanan jalan sebelum terhumban ke dalam parit.” 
Demikian pengakuan seorang saksi kejadian, Salbiah Hasan, 46, setelah melihat kejadian 62 pelajar sebuah sekolah agama di sini yang menaiki sebuah bas, nyaris lemas setelah kenderaan itu terbabas seterusnya terhumban ke dalam parti di Kampung Parit Abas, semalam. 
Menurutnya, kejadian berlaku jam 2.30 petang di Kampung Parit Abas Kuala Kurau setelah bas itu terbalik akibat keadaan permukaan jalan yang licin. 
“Ketika itu, saya berada di luar rumah menunggu anak bongsu saya yang bersekolah rendah di sini kerana bimbang dengan keselamatannya yang belum tiba ditambah pula dengan keadaan hujan yang lebat. 
“Sedang saya menunggu, saya terlihat bas yang sering membawa pelajar asrama berulang alik, itu seakan-akan condong ke sebelah kanan jalan sebelum terhumban ke dalam parit,” katanya sewaktu ditemui media di lokasi kejadian, semalam. 
Salbiah berkata, keadaan menjadi lebih buruk apabila kesemua pelajar itu dilihat cuba keluar melalui segenap ruang dari dalam bas untuk menyelamatkan diri. 
“Keadaan menjadi kecoh kerana kesemua pelajar tersebut menjerit ketakutan sambil keluar melalui celah-celah tingkap bas tersebut. 
“Mujurlah keadaan paras air dalam parit itu yang agak cetek memudahkan kesemua pelajar terbabit menyelamatkan diri. 
“Tiada apa yang dapat saya lakukan kecuali menelefon Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Kurau untuk segera ke tempat kejadian,” katanya. 
Sementara itu, salah seorang mangsa yang enggan dikenali berkata, sewaktu kejadian berlaku, dia merasakan keadaan seolah-olah menjadi ‘gelap gelita’. 
“Bila bas dinaiki kami ditenggelami air, kami terus berasak-asak untuk keluar dari bas disebabkan bimbang lemas di dalam air parit. 
“Mujur paras air parit tidak tinggi dan kami semua berjaya keluar dengan selamat,” katanya. 
Sementara itu Penolong Bomba Kanan (PBK) 2, Mohd Sarif Aziz ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan menegaskan punca kejadian masih dalam siasatan. - Sinar Harian