Allah berfirman dalam al-Quran:

"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran." Mafhum Surah al-Asr: ayat 1 - 3.

Jumaat, 1 November 2013

Syarikat Kawalan Masih Beroperasi

Pintu masuk ke pejabat syarikat kawalan di Jalan Raja Chulan. Foto: Sinar Harian

Pengawal keselamatan yang bertugas dengan syarikat ini telah menjadi suspek kes rompak dan bunuh. Foto: TMI


KUALA LUMPUR – Syarikat kawalan keselamatan yang digantung lesen oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) masih beroperasi seperti biasa di Jalan Raja Chulan. 
Seorang pekerja berusia 40-an yang enggan dikenali mendakwa, syarikat tempat dia bekerja tidak digantung operasi, sebaliknya lesen senjata kelas A sahaja yang ditarik balik. 
Dakwanya lagi, perkara ini perlu dibincang dengan lebih telus sebab syarikat berkenaan mempunyai kira-kira 2,450 orang pekerja yang perlu ditanggung. 
“Bayangkan jika lesen ditarik atau digantung, apa akan jadi kepada kami. Dan mungkin selepas ini pengawal keselamatan kita hanya menggunakan kayu cota. 
“Syarikat ini semuanya bumiputera, tidak logik jika hanya satu tragedi itu berlaku kami disalahkan sepenuhnya,”katanya. 
Mengulas mengenai pengawal keselamatan syarikat berkenaan yang menembak mati pegawai Ambank, Norazita Abu Talib 22 Oktober lalu, pekerja berkenaan berkata, syarikatnya mengambil individu terbabit bekerja kerana dia ada kad pengenalan yang beralamat Tawau, Sabah. 
“Syarikat ini tidak akan mengambil pekerja yang bukan bumiputera, apatah lagi melibatkan warga asing,”katanya. - Sinar Harian

Halloween Bukan Budaya Kita

Perayaan Halloween bukan berasal daripada kepercayaan agama tapi daripada budaya pagan masyarakat Barat

Penampilan: wajah dan pakaian peserta sambutan Halloween tidak senonoh

Maksiat: mendorong kepada pergaulan bebas dan seks bebas

Keliru: tidak percaya kepada hantu namun memakai kostum hantu

Sesat: memakai kostum yang menyerupai iblis semasa Halloween semalam

Malangnya perayaan ini kini sedang menular ke Malaysia


KUALA LUMPUR - Individu beragama Islam yang menyambut perayaan Halloween seperti amalan masyarakat barat menunjukkan aktiviti yang menyimpang daripada akidah. 
Penolong Pengarah Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Sharul Nizam Abu Bakar berkata, sambutan itu boleh mengundang persepsi negatif dan aktiviti tidak sihat jika masyarakat Islam turut serta.  
“Dalam al-Quran ada menyebut, jika kita meniru perbuatan atau amalan kaum tertentu, kita boleh terjerumus dalam kalangan mereka. Secara jelas, amalan sambutan Halloween ini tidak mengikut syarak langsung,” katanya.  
Menurutnya, tidak sepatutnya masyarakat Islam terpedaya untuk bersama menyambut perayaan berkenaan. Malah, apa yang dibimbangkan ia boleh menggalakkan aktiviti lain seperti pesta minuman keras dan seks bebas. - myMetro

Guna Kulit Dada Untuk Pembedahan Muka

Wajah Xu selepas menjalani pembedahan muka selama lapan jam.

Wajah Wu sebelum pembedahan mengalami kecacatan kerana terbakar

Doktor menggunakan belon berisi air yang diimplan pada dada Xu bagi mendapatkan kulit baru dari dadanya.

Doktor memperkatakan sesuatu sebelum Xu menjalani pembedahan

Selepas pembedahan, Xu tersenyum dengan betul buat pertama kali dalam tempoh 12 tahun

Ibu bapa Xu tidak mampu membayar kos pembedahan namun mereka ditawarkan pembedahan secara percuma


BEIJING - Sekumpulan pakar perubatan China berjaya menjalankan pembedahan memasang wajah baru untuk seorang gadis yang cacat akibat melecur, lapor media semalam. 
Lebih menarik wajah gantian itu adalah hasil kulit yang tumbuh secara klinikal pada dada gadis terbabit. 
Pembedahan itu dijalankan di bandar Fuzhou, Fujian, tenggara China. 
Selepas pembedahan itu berjaya, Xu Jianmei, 17, sedar dengan dagu, kelopak mata dan telinga yang baru. 
Xu ditimpa kemalangan ketika dia berusia lima tahun. 
Kebakaran itu menyebabkan dia mengalami kecederaan parah pada wajahnya. 
Disebabkan kemiskinan ibu bapa Xu tidak dapat menghantarnya mendapatkan rawatan yang sewajarnya, memaksa dia hidup dengan wajah tidak sempurna. 
Namun Xu diberi harapan baru selepas ditemui sekumpulan pakar perubatan yang menawarkan pembedahan percuma kepadanya. 
Kini, selepas 12 tahun Xu dapat mengukir senyuman dengan sempurna. 
Pembedahan dijayakan selepas pakar perubatan membina kulit dan struktur baru menggunakan tisu dadanya. 
Pasukan perubatan terbabit mengimplan saluran darah dari kaki Xu ke dadanya dan menggunakan belon berisi air bagi meregangkan kulit di bahagian itu. 
Ia dilakukan dengan teliti bagi mendapatkan kulit secukupnya untuk dijadikan wajah baru Xu. 
Klip video daripada prosedur pembedahan selama lapan jam menunjukkan Xu terbaring di katil dalam keadaan tidak sedarkan diri. 
Wajahnya kelihatan membengkak tetapi lapisan kulit baru yang licin kini menutupi wajahnya yang penuh dengan kesan melecur. 
Ketua pasukan pembedahan itu, Jiang Chenhong berkata, dengan wajah baru itu Xu boleh menzahirkan ekspresi wajahnya dengan lebih tepat. - Agensi/myMetro

Bahaya Guna Minyak Masak Terpakai

Dikatakan hampir 90 peratus minyak masak di pasaran adalah minyak masak kitar semula (Foto hiasan). Sumber: ritz.my

Risiko menggunakan minyak masak kitar semula. Sumber: ibd.utm.my

Minyak masak terpakai sepatutnya dikitar semula menjadi biodiesel (foto hiasan). Sumber: mpsp.gov.my


KUALA LUMPUR - Proses menjernihkan minyak masak terpakai yang terlalu mudah dan murah mendorong pengusaha menukarkannya kepada minyak masak kitar semula berbanding biodiesel. 
Dengan hanya menggunakan asam keping atau asam jawa, minyak masak terpakai yang hitam pekat bertukar lebih jernih dengan tekstur lebih ringan dalam beberapa minit saja. 
Pengeluar biodiesel berasaskan minyak masak terpakai, Jaafar Abdullah (gambar), berkata minyak masak terpakai terlebih dulu dimasak dengan asam keping selama beberapa saat pada suhu 60 hingga 70 darjah Celsius sehingga berbuih dan dibiarkan sejuk serta sisa di dalamnya mendap. 
Katanya, bahagian permukaan minyak kemudian ditapis dengan sejenis karbon yang diaktifkan bagi mendapatkan minyak lebih jernih atau sekurang-kurangnya 60 peratus jernih. 
“Minyak sudah jernih itu kemudian dicampur dengan minyak masak baru sebanyak 20 peratus, bergantung kepada jumlah minyak yang ditapis tadi,” katanya. 
Beliau juga mendakwa agak sukar untuk mengesan lemak babi atau nama saintifiknya, Trans C161 dalam minyak masak kitar semula berbanding lemak haiwan lain selepas ia bercampur dengan minyak baru. 
“Proses menjernihkan minyak masak juga boleh dilakukan dengan menggunakan bahan lain seperti kulit telur atau cengkerang. Bagi industri lebih besar, ia dijernihkan menggunakan sejenis serbuk dikenali sebagai ‘bleaching earth’ yang diperoleh dari China atau Thailand,” katanya.
Datuk Dr Noor Hisham Abdullah
Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata tiada bukti menunjukkan minyak masak dalam paket adalah minyak masak kitar semula seperti didakwa, berdasarkan pemeriksaan ke atas 149 premis yang membungkus semula minyak masak.
Katanya, pemeriksaan ke atas 305 premis makanan pula didapati semua premis berkenaan menggunakan minyak masak yang mempunyai label atau jenama. 
Beliau berkata, pemeriksaan dijalankan berdasarkan peruntukan di bawah Akta Makanan 1983 iaitu mana-mana orang yang didapati mengimport, mengilang dan menjual minyak masak terpakai yang diproses semula boleh memudaratkan kesihatan. 
“Tindakan boleh diambil di bawah Seksyen 13, Akta Makanan 1983, yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau keduanya,” katanya. 
Dr Noor Hisham berkata, Kementerian Kesihatan mengalu-alukan sesiapa yang mempunyai maklumat berhubung pengimportan, pengilangan dan penjualan minyak masak terpakai yang diproses semula termasuk alamat premis terbabit, supaya menghubungi Jabatan Kesihatan Negeri atau Pejabat Kesihatan Daerah terdekat. 
Maklumat juga boleh disalurkan terus dengan menelefon 03-88833558 atau melalui laman web Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) iaitu http://fsq.moh.gov.my,” katanya. 
Beliau mengulas laporan akhbar berhubung minyak masak terpakai di pasaran yang memetik Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan bahawa hampir 90 peratus minyak masak di pasaran dipercayai hasil daripada kegiatan kitar semula minyak masak yang sudah digunakan. - Berita Harian

Purata 60 Orang Bankrup Setiap Hari Di Malaysia

Sejumlah 27,432 petisyen kes kebangkrapan difailkan dan 16,306 kes didaftarkan antara Januari sehingga September lalu

Secara purata, Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI) mendaftarkan 60 kes kebangkrapan setiap hari

Sejumlah 12,347 kes berjaya dikeluarkan menerusi pembatalan mahkamah dan 3,559 kes melalui pelepasan mahkamah


PUTRAJAYA - Sebanyak 102 petisyen atau permohonan kebangkrapan difailkan institusi perbankan terhadap individu bankrap hampir setiap hari bagi tempoh Januari sehingga September lalu. 
Dalam tempoh itu, Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI) mendaftarkan 60 kes kebangkrapan setiap hari. 
Ini bermakna, dalam tempoh itu, petisyen difailkan berjumlah 27,432 kes, manakala kes didaftarkan pula 16,306 kes. 
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri, berkata sebanyak 116,488 kes kebangkrapan baru didaftarkan bagi tempoh Januari 2007 hingga September lalu, dengan 49,844 individu berjaya dikeluarkan dari masalah berkenaan melalui tiga kaedah utama. 
Daripada jumlah itu, 12,347 kes berjaya dikeluarkan menerusi pembatalan mahkamah, pelepasan melalui mahkamah (3,559) dan pelepasan menerusi sijil Ketua Pengarah Insolvensi (33,938). 
“Pada masa sama, tempoh memproses permohonan bankrap ke luar negara dikurangkan dari 14 hari sebelum ini kepada tujuh hari, selepas permohonan lengkap diterima MdI,” katanya selepas menyempurnakan majlis penyampaian Sijil Pelepasan Kebangkrapan kepada 33 individu, di sini, semalam. 
Menurut laporan MdI, Selangor mendahului negeri lain dari segi pengendalian kes sehingga September lalu, iaitu 56,707 kes, diikuti Wilayah Persekutuan (43,865), Johor Bahru (34,317), Pulau Pinang (18,358), Perak (13,746) dan Kedah (12,242), manakala beberapa negeri lain merekodkan sekitar 700 hingga 10,000 kes. - Berita Harian