Allah berfirman dalam al-Quran:

"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran." Mafhum Surah al-Asr: ayat 1 - 3.

Selasa, 18 Februari 2014

Memburu Tuna Sirip Kuning Di Perairan Sabah

Ikan tuna sirip kuning di perairan sempadan Malaysia-Indonesia dan Filipina menjadi buruan nelayan di Semporna. Foto: worldwildlife

Lambakan iakan tuna di atas jeti. Foto: myMetro

Aktiviti melapah tuna untuk jualan di pasar. Foto: myMetro

Darah sotong katak digunakan sebagai ramuan untuk mengumpan tuna. Foto: myMetro


Aktiviti meman­cing dan menangkap ikan tuna sirip kuning atau tuna oceanik oleh nelayan tradisional di Semporna, Sabah, menjadi penyumbang terbesar dalam pengeksportan negara. 
Ikan tuna sirip kuning antara spesies tuna terpenting dunia bagi mendapat­kan sumber proteinnya yang tinggi. 
Kini Sabah muncul pe­nyumbang tertinggi dalam pendaratan negara bagi spesies ikan berkenaan. 
Nelayan tuna di Semporna menggunakan bot gentian kaca de­ngan dua enjin bot sangkut 40 hingga 60 kuasa kuda. Mereka membina ‘payau’ atau unjam bagi memburu spesies itu. 
Payau boleh dibuat meng­gunakan daun kelapa yang diikat berkelompok dan dilepaskan ke laut. Ia juga boleh dibuat menggunakan bongkah simen atau tukun tiruan. 
Nelayan tuna, Lajim Hairal, 58, dari Pulau Mabul yang berpengalaman lebih 30 tahun memburu tuna berkata, biasanya tempoh empat hingga lima hari diperlukan bagi menangkap tuna. 
Kawasan terbaik memburu tuna ialah di perairan sempadan Malaysia-Indonesia dan Filipina. 
“Kami mampu meraih 700 hingga 2,000 kilogram membabitkan pelbagai hasil tangkapan tuna termasuk jenis sirip kuning, aya hitam dan putih,” katanya. 
Harga ikan juga tidak menentu dan tuna sirip kuning mampu dijual antara RM6 hingga RM8 sekilogram. Ada kalanya harga menjunam sehingga bawah RM6 sekilogram. 
“Di sini terdapat lebih 100 buah bot memancing tuna, kebanyakan warga tempatan. 
“Mereka akan berulang-alik ke perairan sempadan negara berikutan kawasan berkenaan memang tersohor sebagai lubuk tuna,” katanya. 
Jarak perjalanan dari pangkalan mengambil masa tiga hingga empat jam perjalanan. 
“Di sini tiada kemudahan jeti pendaratan ikan yang sempurna,” katanya. 
Juhin Separi atau Hamzah, 38, berkata, jika ada kemudahan asas serta bot yang lebih besar, pendaratan ikan tuna boleh mening­kat. 
Katanya, bot yang digunakan itu terlalu kecil dan kebanyakan dipajak daripada tauke. 
“Kami tidak pernah menerima apa-apa bentuk bantuan kerajaan sama ada bot atau enjin,” katanya yang berasal dari Kampung Batu, Semporna. 
Juhin mengakui nelayan sepertinya berdepan dengan masalah orang tengah yang memonopoli pemasaran ikan tuna. 
“Tuna sirip kuning biasanya akan di­eksport ke Filipina atau Jepun berikutan permintaan yang tinggi. 
“Harga di sana mampu mencecah puluhan ringgit sekilogram,” katanya. 
Katanya, nelayan menggunakan umpan sotong segar bersama darah sotong katak. 
Berdasarkan Laporan Tahunan 2011 Jabatan Perikanan Malaysia, sebanyak 1,912 tan metrik tuna bernilai RM14.69 juta berjaya didarat­kan, khususnya tuna sirip kuning. 
Malah Sabah menyumbang 1,329 metrik tan atau 69.51 peratus tuna negara bernilai RM10.21 juta, sekali gus menewaskan pesaing terdekatnya Pulau Pinang sebanyak 107 metrik tan. - Mohamed Semail/myMetro

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.