Allah berfirman dalam al-Quran:

"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran." Mafhum Surah al-Asr: ayat 1 - 3.
Memaparkan catatan dengan label Meteorit. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Meteorit. Papar semua catatan

Selasa, 9 September 2014

Meteorit Jatuh Di Ibu Negara Nicaragua

Satu letupan misteri menggegarkan bandar raya Managua dipercayai berpunca daripada sebutir meteorit kecil. Foto: Reuters

Letupan misteri itu membentuk sebuah lubang besar seluas 12 meter. Foto: AP

Beberapa ahli astronomi menganggarkan asteroid itu sebesar 20 meter atau menyamai saiz sebuah rumah. Foto: AFP


MANAGUA - Satu letupan misteri yang menggegarkan bandar raya ini dan membentuk sebuah lubang besar dipercayai berpunca daripada sebutir meteorit kecil, kata beberapa pegawai kelmarin. 
Batu angkasa lepas itu jatuh dekat Lapangan Terbang Antarabangsa Managua di sini Sabtu lalu tanpa menyebabkan sebarang kecederaan. 
Kesan hentaman meteorit itu telah membentuk kawah seluas 12 meter dan bunyi letupan akibat impak tersebut dapat didengari oleh 1.2 juta warga kota raya itu. 
Pihak berkuasa Nicaragua percaya meteorit itu merupakan serpihan sebuah asteroid kecil, 2014 RC yang melintas hampir dengan Bumi kelmarin. 
Beberapa ahli astronomi menganggarkan asteroid itu sebesar 20 meter atau menyamai saiz sebuah rumah. 
"Kami yakin letupan ini disebabkan oleh meteorit. Kami melihat kawah yang terbentuk akibat impak berkenaan," kata saintis Institut Seismic, Wilfredo Strauss. 
Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan menyatakan pada minggu lalu bahawa jarak paling hampir asteroid 2014 RC dengan Bumi ialah 40,000 kilometer atau satu persepuluh jarak Bulan dari Bumi. - AFP/ Kosmo!

Jumaat, 8 Ogos 2014

Saksikan Hujan Meteor Isnin Hingga Rabu Depan

Hujan Meteor Perseid yang dilihat di Negeri Wyoming, Amerika Syarikat pada tahun 2012 

Semasa Fenomena 'Supermoon', bulan kelihatan lebih besar dan lebih cerah

KUALA LUMPUR - Rakyat Malaysia berpeluang menyaksikan pancuran Meteor Perseid dan Fenomena 'Supermoon' pada Isnin hingga Rabu depan. 
Kenyataan Agensi Angkasa Negara (Angkasa) menyebut pada minggu kedua Ogos, bulan purnama paling besar dan terang dalam tahun ini yang berlaku serentak dengan pancuran Meteor Perseid bakal menyajikan pemandangan menarik di langit. 
Pancuran Meteor Perseid terjadi apabila komet Swift Tuttle mengunjungi sistem suria setiap 133 tahun dan meninggalkan debu di sepanjang laluannya. 
Komet Swift Tuttle akan menerjah atmosfera bumi pada kelajuan 225,300 kilometer sejam dan menghasilkan percikan cahaya di langit. 
Menurut kenyataan itu, waktu terbaik menyaksikan pancuran Meteor Perseid ialah selepas tengah malam hingga Subuh dan menghadap ke arah timur laut. 
Pancuran Meteor Perseid mampu menghasilkan banyak bebola api yang memiliki kecerahan seperti Planet Musytari atau Zuhrah. 
Ketika keadaan langit gelap dan bebas daripada sinaran bulan, pencerap biasanya dapat menyaksikan lebih daripada 100 meteor sejam. 
Kenyataan itu juga menyebyt, Fenomena Supermoon pula berlaku apabila bulan berada pada kedudukan paling dekat dengan bumi iaitu 14 peratus lebih hampir dan 30 peratus lebih terang berbanding malam lain. 
Bulan akan berada pada jarak 356,896 kilometer jam 1.46 pagi manakala fasa bulan purnama berlaku jam 2.09 pagi Isnin depan. - Bernama

Isnin, 21 April 2014

Meteor Terbakar Dirakam





MURMANSK - Kehadiran beberapa meteor yang menerangi langit malam di sini dirakam kamera yang diletakkan pada papan pemuka sebuah kereta. 
Rakaman tersebut yang dimuat naik di laman perkongsian video YouTube dibuat ketika kenderaan itu melalui lokasi kejadian kelmarin. 
Ia menunjukkan meteor atau batu angkasa lepas itu terbakar ketika memasuki atmosfera Bumi dan menerangi langit yang gelap. 
"Saya seakan-akan tidak percaya melihat sebutir batu terbakar dapat memancarkan cahaya yang begitu terang," kata seorang pengguna YouTube. 
"Untuk beberapa saat langit cerah seperti siang hari," tambahnya. - Agensi/Kosmo!

Ahad, 31 Mac 2013

30 Tahun Guna Batu Meteorit Proses Daging Salai

Lopez (kanan) menunjukkan meteorit yang digunakan sebagai alat pemproses daging. Foto: EPA

SEBUAH batu yang digunakan keluarga peladang Sepanyol bagi memproses daging salai sejak 30 tahun lalu, rupa-rupanya adalah serpihan batu meteorit dianggarkan bernilai tidak kurang 3.5 juta pound (RM16.5 juta). 
Faustino Asensio Lopez memberitahu, batu seberat 100 kilogram ditemui bapanya di kawasan ladang ternakan milik keluarga mereka berhampiran Ciudad Real pada 1980. 
Menurut Lopez, bapanya percaya batu itu adalah tinggalan perang saudara di negara itu. 
"Kami mula mengesyaki batu ini adalah serpihan tahi bintang selepas menonton laporan sebuah stesen televisyen yang mendedahkan kewujudan batu itu di Sepanyol. Kemudian, saya menghubungi ahli geologi, Juan Carlos Gutierrez Marco," kata Lopez dipetik dari MailOnline. 
Selepas melakukan beberapa ujian, Marco mengesahkan bahawa batu yang digunakan keluarga pengeluar daging salai itu adalah meteorit logam pra sejarah. 
Menarik sekali, ia adalah meteorit keempat ditemui di Sepanyol selepas penemuan terakhir pada 1950. - Sinar Harian

Ahad, 3 Mac 2013

Meteorit Gergasi Ditemui

Kumpulan penyelidik bersorak kerana teruja dengan penemuan serpihan meterorit. Foto: Sinar Harian

Meteorit ini adalah yang terbesar ditemui di Antartika Timur. Foto: Sinar Harian


Sekumpulan penyelidik yang melakukan ekspedisi selama 40 hari untuk mencari serpihan tahi bintang dilaporkan telah menemui meteorit terbesar seberat 18 kilogram (kg) di Antartika pada akhir Januari lalu. 
Ahli geologi dari Universiti Libre de Bruxelles, Vinciane Debaille yang mengetuai kajian itu memberitahu mereka sangat teruja dengan penemuan tersebut. 
"Ia adalah meteorit terbesar yang pernah ditemui di Antartika Timur dalam tempoh 25 tahun. Saiznya yang agak besar membolehkan ia dilihat dengan mudah dari jarak 50 kilometer. 
Tujuan kami mengkaji batu ini adalah untuk memahami bagaimana bumi terbentuk dan berkembang di dalam sistem suria," jelasnya. 
Sehingga kini, kumpulan terdiri daripada lapan penyelidik dari beberapa universiti termasuk Jepun yang melakukan kajian di bawah Projek Samba tersebut sudah menemui 425 serpihan tahi bintang dengan jumlah berat keseluruhan 75 kg. 
Tahi bintang gergasi itu kini berada di Jepun untuk melalui proses pencairan khas sebelum dikaji dengan lebih mendalam. 
Bagaimanapun, Khamis lalu, International Polar Foundation berpusat di Brussels memaklumkan serpihan tahi bintang itu ialah kondrit biasa (mengandungi bahan silika). - MailOnline / Sinar Harian

Selasa, 19 Februari 2013

Serpihan Meteorit Yang Jatuh Di Rusia Ditemui








MOSCOW - Sepasukan saintis semalam mendakwa yang mereka telah menemui serpihan tahi bintang yang jatuh di Pergunungan Ural, Rusia selepas mencetuskan gelombang yang menyebabkan 1,200 orang cedera dan beribu-ribu buah rumah rosak. 
Batu angkasa lepas gergasi itu meluncur di langit bandar Chelyabinsk, tengah Rusia pada Jumaat lalu dengan tenaga bersamaan 30 butir bom atom yang digugurkan ke bandar Hiroshima, Jepun pada Perang Dunia Kedua. 
Tahi bintang tersebut meletup beberapa kilometer dari Bumi tetapi serpihan-serpihannya dipercayai bertaburan di serata rantau tersebut. 
Sebelum ini, sekumpulan petugas yang memeriksa sebuah tasik kecil di mana serpihan-serpihan tahi bintang itu dipercayai jatuh gagal membuat sebarang penemuan. 
Namun, sepasukan saintis Akademi Sains Rusia yang melakukan beberapa ujian kimia ke atas beberapa batu aneh kelmarin berkata, serpihan itu datang dari angkasa lepas. 
"Kami mengesahkan bahawa beberapa partikel yang ditemui oleh pasukan ekspedisi kami berhampiran Tasik Chebarkul benar-benar memiliki komposisi meteorit," kata saintis berkenaan, Viktor Grokhovsky menurut agensi berita RIA Novsosti. 
Universiti Persekutuan Ural tempat Grokhovsky bertugas turut menyiarkan gambar seorang lelaki memegang sebutir batu hitam kecil semalam. 
"Meteorit ini berasal daripada kondrit kelas biasa (angkasa lepas)," kata pihak universiti berkenaan dalam satu kenyataannya. 
Menurut Grokhovsky, batu itu mengandungi komposisi besi metalik selain krisalit dan sulfit. 
Kandungan besi dalam batu tersebut dianggarkan sebanyak 10 peratus. 
"Besar kemungkinan, batu ini akan dinamakan sebagai Meteorit Most Chebarkul," kata kenyataan. 
Gelombang kuat tahi bintang itu memecahkan tingkap-tingkap hampir 5,000 bangunan dan menyebabkan 40 orang termasuk tiga kanak-kanak dirawat di hospital kelmarin kerana mengalami luka dan kecederaan lebih serius. 
Sekitar 24,000 petugas kecemasan dan sukarelawan sibuk menggantikan tingkap-tingkap yang pecah pada hujung minggu lalu sebelum orang ramai mula bekerja. 
Serpihan-serpihan tahi bintang tersebut yang jatuh ke Bumi turut mencetuskan minat banyak pihak. 
Beberapa pengumpul serpihan angkasa lepas di Rusia telah menyiarkan iklan di internet yang menawarkan bayaran AS$10,000 (RM30,900) untuk serpihan batu tersebut. - AFP / Kosmo!

Jumaat, 15 Februari 2013

Sekitar Meteor Jatuh Di Rusia

Meteor bergerak selaju 30km sesaat

Meteor kelihatan bercahaya terang

Serpihan meteor jatuh berserakan di kawasan bandar Chelyabinsk, 900 batu ke timur Moskow

Atap bangunan kilang rosak teruk

Bangunan sekolah turut mengalami kerosakan

Penduduk setempat mengatakan letupan meteor yang terhempas mengakibatkan kerosakan dinding konkrit dan tingkap kaca

Keadaan di sebuah bilik darjah

Beginilah keadaan bangunan di bandar Chelyabinsk

Lelaki tua ini cedera di dahi dan mata

Wanita ini pula cedera di muka

Manakala wanita tua ini cedera di kaki

Penduduk tempatan terkejut melihat meteor di udara

Lokasi meteor jatuh. Grafik: Sinar Harian

[DIKEMAS KINI] MOSCOW - Meteor dari angkasa menimpa Rusia pagi tadi (waktu tempatan) menyebabkan bola api, yang mengejutkan ramai, dan mencederakan lebih 1,000 orang Di Chelyabinsk, wilayah Ural, timur Moscow, pagi tadi waktu tempatan. 
Jurucakap pihak berkuasa Chelyabinsk berkata, sembilan orang dimasukkan ke hospital. Kebanyakan cedera disebabkan terkena kaca yang pecah. 
Agensi berita tempatan, RIA Novosti melaporkan, sekurang-kurangnya tiga lagi kritikal, juga akibat terkena kaca pecah dalam kejadian kira-kira jam 9.20 pagi. 
Menurut laporan agensi berita rasmi, Itar-Tass, satu cahaya terang berwarna putih muncul di langit untuk beberapa saat diikuti dengan bunyi "bang" yang sangat kuat seperti letupan. 
Itar-Tass melaporkan, letupan itu berpusat di 50 batu (80 kilometer) di bandar Satka, Chelyabinsk. 
Sementara itu, pegawai kecemasan Rusia berkata, meteor telah musnah selepas sebahagiannya terbakar ketika berada di atmosfera lebih rendah berbanding daerah Ural. 
Pegawai Kementerian Kecemasan Gennady Onishcenko berkata, kebanyakan mangsa cedera akibat terkena serpihan kaca selepas hujan meteoroid tersebut jatuh ke kawasan perumahan dan sekitar bangunan. 
“Kebanyakan mangsa dikejarkan ke hospital akibat terkena serpihan kaca yang berterbangan selepas meteoroid itu terkena premis bangunan, kedai dan kediaman,” katanya. 
Presiden Vladimir Putin bersyukur kerana insiden yang mengejutkan ini tidak menyebabkan kehilangan nyawa. 
Meteor ini disaksikan di Yekaterinburg, 200 kilometer ke utara dan di Kazkhstan di selatan. 
Jabatan Kesihatan Chelyabinsk mengesahkan lebih 1,000 orang setakat ini mengalami kecederaan, termasuk 200 kanak-kanak. 
Angka awal menyebut hanya sekitar 300 orang cedera. 
Dua orang di bandar Kopeysk berada dalam keadaan serius. 
Menurutnya, seramai 20,000 petugas kecemasan dikerah ke Chelyabinsk dengan tiga pesawat tentera udara. 
Jurucakap Kementerian Dalam Negeri, Vadim Kolesnikov berkata, kejadian itu turut menyebabkan sebuah kilang zink runtuh, sistem telekomunikasi terputus, penggera keselamatan bangunan, rumah dan kereta berbunyi. 
“Satu letupan kuat bersama gumpalan cahaya terang menyerupai api melintasi bandar ini hingga jatuh dan mengenai beberapa kawasan premis sekitar bandar ini,” katanya. 
Beliau berkata, beberapa penduduk mendakwa, letupan dapat didengar ketika asteroid itu memasuki atmosfera bumi. 
Sementara itu, Agensi Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (Nasa), dalam satu kenyataan berkata, asteroid dikenali sebagai 2012 DA14 itu telah dijangka memasuki atmosfera bumi hari ini. 
“Pemantauan telah dilakukan sejak 15 tahun lalu. Namun lokasi tepat objek itu jatuh tidak dapat dipastikan,” katanya. 
Pemerhati langit mendakwa kejadian yang berlaku mempunyai signifikasi dengan acara Tunguska yang terkenal tahun 1908 di kawasan terpencil Siberia apabila asteroid yang memasuki atmosfera dan meletup sehingga memusnahkan pokok di seluruh kawasan seluas 820km persegi - kira-kira dua pertiga saiz Rhode Island. 
Dalam kejadian itu, secara keseluruhan, kira-kira 80 juta pokok telah ditebang. - Sinar Harian


Dari Berita Harian


Tahi Bintang Selaju 54,000 KM Sejam Meletup Di Udara

Serpihan tahi bintang jatuh di Chelyabinsk. Foto: Agensi

MOSKOW - Sekurang-kurangnya 1,000 orang cedera selepas tahi bintang seberat 11 tan melalui kawasan pergunungan Ural, Russia, awal semalam. 
Tahi bintang itu mempunyai kelajuan 54,000 kilometer sejam dan meletup pada ketinggian 30 hingga 50 kilometer di udara, kata Akademi Sains Russia. 
Letupan itu menyebabkan kaca pecah di banyak tempat, kata Kementerian Kecemasan Russia yang mengesahkan 34 orang terus dirawat di hospital, tiga daripada mereka parah. 
“Penduduk panik. Mereka tidak tahu apa sebenarnya berlaku. Semua orang mengunjungi jiran terdekat untuk memastikan sama ada mereka selamat,” kata Sergey Hametov, penduduk daerah Chelyabinsk, 1500 kilometer ke timur Moscow, bandar terbesar di kawasan kejadian. 
“Kami nampak satu letusan besar cahaya dan keluar rumah untuk menentukan apa sebenarnya berlaku dan dengar bunyi dentuman kuat,” katanya lagi. 
Seorang lagi penduduk Chelyabinsk, Valya Kazakov, berkata ada juga beberapa wanita tua dekat rumahnya mula menangis kerana percaya dunia kiamat. 
Ada juga beberapa serpihan tahi bintang itu jatuh di sebuah empangan di luar bandar Cherbakul, kata pejabat gabenor wilayah yang dipetik agensi berita ITAR-Tass. Tidak diketahui sama ada penduduk terkena serpihan tahi bintang itu. 
Agensi berita itu juga memetik jurucakap tentera, Yarslavl Roshupkin sebagai berkata, pihaknya menemui sebuah lubang besar enam meter lebar di tempat beberapa serpihan mengenai bumi. 
Tahi bintang biasanya akan mengeluarkan bunyi sonik ketika masuk ke atmosfera kerana bergerak melebihi kelajuan bunyi. 
Jurucakap Kementerian Dalam Negeri, Vodim Kolesnikov berkata, bumbung sebuah kilang juga roboh. 
Beberapa laporan juga bercanggah dengan apa yang berrlaku. Jurucakap Kementerian Kecemasan Irina Rossius, berkata ada beberapa tahi bintang jatuh ke bumi manakala seorang lagi jurucakap, Elena Smirnikh, dipetik agensi berita Interfax sebagai berkata bahawa hanya satu tahi bintang dilihat. - AP 
INFO: Tahi bintang 
* Tahi bintang adalah ketulan batu dari angkasa yang masuk ke atmosfera bumi 
* Tahi bintang biasanya mencapai kelajuan 30,000 kilometer sejam 
* Tahi bintang yang lebih kecil biasanya lepasi atmosfera bumi lima hingga 10 kali setahun 
* Tahi bintang besar yang jatuh ke bumi biasanya berlaku setiap lima tahun 
* Tahi bintang yang terakhir berlaku pada 2008 apabila ia meletup di Sudan tetapi tiada siapa cedera 
* Tahi bintang yang dijual mempunyai nilai sehingga AS$670 (RM2,010) satu gram 
* Bertanggungjawab atas kepupusan dinosaur 66 juta tahun lalu 
* 20,000 petugas kecemasan ditempatkan di kawasan kejadian untuk bantu penduduk


Dari Sinar Harian


Meteor Terhempas Beratnya 10 Tan


Laluan meteor sebelum terhempas di bandar Chelyabinsk, Urals, Rusia. Lebih 1,000 cedera. Foto: EPA


MOSCOW - Rusia mengerah pasukan seramai 20,000 anggota ke pergunungan Ural untuk operasi menyelamat dan membersih susulan insiden meteor seberat 10 tan terhempas di wilayah timur negara itu, semalam. 
Presiden Vladimir Putin mengarahkan operasi itu bagi membantu 1,200 orang yang cedera termasuk 200 kanak-kanak, kebanyakannya cedera akibat terkena serpihan kaca. 
Pancaran cahaya yang cukup terang dapat dilihat dan menggegarkan bangunan ketika meteor terhempas pagi semalam. 
Putin turut menzahirkan rasa syukurnya kerana tiada serpihan meteor seberat 10 tan itu terhempas ke kawasan yang padat berpenduduk. 
Ia bagaimanapun memasuki atmosfera bumi dan pecah kira-kira 30 hingga 50 kilometer dari atas tanah. 
Menurut Akademi Sains Rusia, meteor itu melepaskan tenaga yang boleh menyamai senjata atom kecil. 
“Letupan itu begitu kuat dan mampu memecahkan beberapa buah tingkap di bangunan kami dan bangunan sekitar,” kata Polina Zolotarevskaya, penduduk Chelyabinsk kepada BBC. 
Rantau itu terletak kira-kira 1,500 kilometer ke timur Moscow dan merupakan pusat kepada banyak kilang, loji kuasa nuklear dan tempat penyimpanan sisa atom. 
Kanak-kanak antara mangsa yang ramai cedera akibat hentaman meteor yang jatuh kira-kira jam 9.20 pagi waktu tempatan itu. 
Video yang boleh ditonton menerusi laman web menunjukkan keadaan yang cukup cemas dan ramai kanak-kanak menjerit ketika meteor itu terhempas menyebabkan serpihan kaca berserakan di bangunan sekitar. 
Sergei Serskov yang juga penduduk Chelyabinsk memberitahu BBC, bandar itu seolah-olah berada dalam zon perang selama kira-kira 20 hingga 30 minit ketika kejadian meteor itu terhempas. 
“Ketika itu saya berada di dalam pejabat dan kemudian dapat melihat cahaya yang cukup terang melalui tingkap di hadapan saya,” katanya menceritakan detik-detik cemas semalam. 
“Tidak lama kemudian, saya terhidu bau asap dan dapat melihat kepulan asap tebal dari tingkap,” katanya. 
“Beberapa minit kemudian, tingkap tiba-tiba terbuka dan berlaku letupan yang besar diikuti beberapa kali letupan kecil,” katanya. 
Gabenor Yurevich melaporkan yang meteor itu jatuh di sebuah tasik kira-kira satu kilometer dari Cherbarkul yang mempunyai penduduk seramai 46,000 orang.

Dari Kosmo!


Rusia Panik Dilanggar Tahi Bintang


Kesan pergerakan tahi bintang di ruang udara sebuah kampung di Bolshoe Sidelnikovo, kira-kira 50 kilometer dari Chelyabinsk.


MOSCOW, Rusia - Sebutir tahi bintang jatuh di kawasan padat dengan penduduk di bandar Chelyabinsk, pergunungan Ural, kira-kira 1,500 kilometer dari sini semalam menyebabkan lebih 1,000 orang cedera. 
Kebanyakan daripada mangsa termasuk kanak-kanak cedera akibat terkena serpihan kaca tingkap bangunan ekoran impak letupan sebaik sahaja tahi bintang itu menghentam bumi. 
Kuasa perlanggaran tahi bintang yang dianggarkan seberat 11 tan metrik itu telah merosakkan banyak bangunan di enam buah bandar di wilayah Oblasts. 
Ketika kejadian, sebahagian penduduk dalam perjalanan untuk pergi ke tempat kerja. 
Menurut seorang koresponden agensi berita Reuters, ramai penduduk dapat menyaksikan cahaya yang terang bergerak laju sebelum kelihatan ledakan cahaya yang diikuti letupan. 
Impak letupan itu menyebabkan penggera banyak kenderaan berbunyi, tingkap bangunan pecah dan gangguan pada perkhidmatan telefon bimbit. 
Pejabat gabenor tempatan dalam satu kenyataan menyatakan, tahi bintang yang bergerak pada kelajuan 54,000 kilometer sejam itu jatuh ke dalam sebuah tasik dekat bandar Chebakul, kira-kira 60 kilometer dari Chelyabinsk. 
Bagaimanapun, serpihannya belum ditemui. 
Sekolah-sekolah ditutup selama sehari dan pertunjukan teater dibatalkan di wilayah tersebut selepas gelombang kejutan itu berlaku ketika suhu berada pada paras 18 darjah Celsius. 
Sebuah stadium hoki ais di Chelyabinsk turut rosak menyebabkan satu perlawanan terpaksa dibatalkan. 
Jurucakap Kementerian Dalam Negeri, Vadim Kolesnikov menyatakan, mereka yang cedera telah mendapatkan rawatan perubatan selepas tahi bintang tersebut jatuh dan meletup. 
Kolesnikov menjelaskan, bumbung sebuah kilang zink turut runtuh. 
Rakaman video amatur yang disiarkan di televisyen Rusia menunjukkan sebuah objek bergerak dengan laju di langit pada pukul 9.20 pagi waktu tempatan. 
Objek itu meninggalkan kepulan seperti awan putih yang tebal dan boleh dilihat dari jarak sejauh 200 kilometer. 
Tahi bintang itu jatuh pada hari yang sama sebuah asteroid 2012 DA14 yang sebesar separuh padang bola sepak bergerak mendekati bumi pada kedudukan 28,000 kilometer. 
Serpihan kecil komet atau asteroid yang bergerak dalam sistem suria dikenali sebagai meteoroid. 
Apabila meteoroid memasuki atmosfera bumi, ia dikenali sebagai tahi bintang. 
Kebanyakan tahi bintang terbakar di atmosfera. 
Seorang saksi, Sergey Hametov berkata, penduduk berasa panik semasa letupan itu berlaku. 
"Kami mendengar bunyi gemuruh yang kuat," katanya kepada agensi berita Associated Press. 
Seorang lagi penduduk, Valya Kazakov menyatakan, beberapa wanita tua menangis kerana menyangka hari kiamat. 
Seorang penduduk di Yekaterinburg di kawasan pergunungan Ural, Viktor Prokofiev menyatakan, ketika kejadian dia sedang memandu untuk pergi ke tempat kerja. 
"Persekitaran gelap tiba-tiba cerah seperti hari siang. 
"Saya berasa seperti 'buta' disebabkan cahaya terlampau terang," katanya. 
Bagaimanapun, pemimpin nasionalis Rusia, Vladimir Zhirinovsky yakin letupan itu bukan impak tahi bintang tetapi senjata baharu Amerika Syarikat, lapor agensi berita RIA Novosti. - Agensi


Penduduk Diminta Jangan Dekati Tahi Bintang


Sebuah bangunan runtuh akibat letupan kuat tahi bintang tersebut.


MOSCOW - Pihak berkuasa Rusia semalam meminta para penduduk supaya jangan mendekati sebarang objek yang dipercayai serpihan tahi bintang. 
Tahi bintang itu jatuh ke dalam sebuah tasik dekat Chebakul, wilayah Chelyabinsk Oblast semalam. 
"Kementerian Kecemasan Rusia memberi amaran kepada penduduk di kawasan pergunungan Ural supaya tidak mendekati objek yang tidak dikenali," kata kementerian berkenaan di laman webnya. 
Akademi Sains Rusia menganggarkan tahi bintang itu bergerak selaju 54,000 kilometer sejam. 
Tahi bintang itu menyebabkan 1,000 orang mengalami kecederaan akibat terkena serpihan kaca tingkap bangunan akibat letupan semasa ia jatuh ke dalam tasik itu. 
Pihak akademi menyatakan, ia menghantar beberapa kakitangannya ke lokasi tempat tahi bintang itu jatuh. - Agensi / Kosmo!

Jumaat, 1 Februari 2013

Astroid Hampiri Bumi

Ahli astronomi Amerika Syarikat, Phil Plait berkata astroid DA14 tidak merbahaya. Foto: dailymail

Astroid sedang jatuh ke bumi (hiasan). Foto: dailymail

Sumber: dailymail

Kebakaran di Tunguska, Siberia pada tahun 1908 ini berpunca daripada astroid yang jatuh di situ. Foto: dailymail


KOLKATA - Serpihan tahi bintang (astroid) akan menghampiri bumi pada 16 Februari ini, lebih rapat berbanding sesetengah satelit yang mengorbit planet, kata seorang pegawai. 
Tahi bintang yang berhampiran bumi, 2012 DA14, dengan bergarispusat kira-kira 148 meter. Ia akan hampir dengan bumi kirakira jam 12.55 pagi 16 Februari, kata pengarah Penyelidikan dan Akademik Institut Penyelidikan Asas dan Planetarium MP Birla Depiposad Duari. 
Jaraknya paling hampir ialah kira-kira 34,000 kilometer dari pusat Bumi. - Agensi / Berita Harian

Ahad, 27 Januari 2013

Asteroid Mendekati Bumi Februari 2013

Gambaran artis tentang asteroid yang bakal melintasi bumi. Foto: Sinar Harian


Sebuah asteroid dikatakan bakal mendekati bumi pada pertengahan Februari ini. 
Asteroid dianggarkan bersaiz kecil itu dikenali sebagai 2012DA14 dijangka mendekati Bumi pada 15 Februari ini. 
Ahli Astronomi berpendapat asteroid itu akan berada dalam orbit bulan sekitar 38,6243 kilometer (km) dan dalam orbit satelit Geosynchronous sejauh 418,429 km. 
Asteroid 2012 DA14 mendekat pada jarak 35,000 km dari bumi. Perhitungan astronomi dari orbit asteroid dapat dipercayai berdasarkan rekod kejayaan puluhan tahun ketika Neil Amstrong menjadi manusia pertama menjejakkan kaki ke bulan 20 Julai 1969. 
Tetapi apa yang akan berlaku ketika 2012DA14 mendekati bumi? Jawapannya adalah ‘mungkin tidak terjadi apa-apa’. 
Kebanyakan orang tidak akan melihat atau menyedarinya kerana kehadiran asteroid tersebut tidak mengubah pusingan pasang surut air laut, ia juga tidak menyebabkan gunung berapi. 
Ketika kehadiran asteroid itu, pakar astrologi akan mengukur jarak tepat kedudukan bintang dan bulan dengan teleskop mikro. 
Andainya asteroid itu bersaiz 46 meter dan memintas bumi, ia masih tidak boleh menghancurkan bumi, tetapi kejadian itu akan meninggalkan kesan seperti kawah di kawasan ia mendarat. 
Peristiwa itu pernah terjadi pada 1908 di daerah terpencil di Rusia, di mana satu ledakan asteroid telah meratakan sebuah kawasan di situ hingga membentuk sebuah kawah dan melenyapkan pokok dan haiwan yang terdapat di situ. 
Mungkin sekiranya 2012 DA14 mendarat ke bumi kejadian sama dijangka berlaku. Ahli astrologi juga mengharapkan asteroid itu mendarat di laut dan bukannya di kawasan pembangunan kerana dikhuatiri binaan akan musnah sama seperti pokok dan haiwan yang lenyap ketika kejadian di Rusia. 
Ahli astronomi di Observatorio Astronomico de La Sagra di Spanyol menemui 2012 DA14 pada awal 2012. Ia menyerupai bumi dan pusingan orbitnya juga menyamai pergerakan bumi iaitu mengelilingi matahari. 
Pastinya, Asteroid 2012 DA14 akan menghampiri bumi pada 15 Februari 2013. perkara ini bakal mendapat perhatian orang ramai. - Earthsky.org 
Apa itu asteroid? 
Asteroid ialah planet minor atau planetoid. Ia berukuran lebih kecil daripada planet, tetapi lebih besar daripada meteoroid dan selalu berada dalam orbit planet Neptunus. Asteroid berbeza dengan komet dari struktur visualnya. Komet mempunyai 'ekor' sementara asteroid hanya berbentuk seperti ketulan batu. - Sinar Harian

Ahad, 23 Disember 2012

Kiamat Tahun 2040 Tak Jadi

Gambaran artis tentang komet menghentam bumi.

Kajian terbaru menunjukkan asteroid yang dikatakan menuju ke arah bumi sebenarnya tidak akan melanggar bumi pada tahun 2040.

Kalau asteroid melanggar bumi, letupan yang terhasil akan beribu-ribu kali lebih kuat daripada bom atom.

Kajian terhadap putaran asteroid untuk hari musim panas ini yang dijalankan di Hawaii.
_________________________________________________________________________________


Bimbang betul mereka nih bumi akan musnah!
bukankah bumi ini ada yang menjaganya:

"Allah tiada Tuhan melainkan Dia, Yang Tetap Hidup, Yang Kekal selama-lamanya mentadbirkan (sekalian makhluk-Nya). Yang tidak mengantuk usahkan tidur. Yang memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Tiada sesiapa yang dapat memberi syafaat (pertolongan) di sisi-Nya melainkan dengan izin-Nya. Yang mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka, sedang mereka tidak mengetahui sesuatu pun dari (kandungan) ilmu Allah melainkan apa yang Allah kehendaki (memberitahu kepadanya). Luasnya Kursi Allah (ilmu-Nya dan kekuasaan-Nya) meliputi langit dan bumi; dan tiadalah menjadi keberatan kepada Allah menjaga serta memelihara keduanya. Dan Dia lah Yang Maha Tinggi (darjat kemulian-Nya), lagi Maha Besar (kekuasaan-Nya)" Ayat 255, Surah al-Baqarah / Ayat Kursi.

Kalau bumi ini tak ada yang menjaganya
dah lama bumi ini musnah binasa.


Isnin, 5 November 2012

Lagi Penemuan Meteorit Di Poland

Meteorit yang ditemui di Poznan, Poland
WARSAW - Beberapa ahli geologi Poland berjaya menemui meteorit seberat 300 kilogram yang tertanam sedalam dua meter di kawasan Rizab Meteorit Morasko, di bandar Poznan, barat Poland. 
Meteorit itu adalah yang terbesar pernah ditemui di rantau Eropah Timur. Penemuannya diharap dapat memberi petunjuk baharu mengenai komposisi teras Bumi. 
"Kita tahu bahawa teras Bumi terdiri daripada besi, tetapi kita tidak boleh mengkajinya. Di sini kita mempunyai meteorit dari angkasa lepas yang memiliki struktur hampir sama dengan teras bumi dan kita boleh mengkajinya," kata seorang pakar geologi, Professor Andrzej Muszynski kelmarin. 
Meteorit selebar dua meter dan berbentuk kon itu ditemui oleh dua orang pemburu meteorit lewat bulan lalu. 
Seorang ahli geologi Universiti Adam Mickiewicz yang mengkaji meteorit itu percaya ia terhempas ke Bumi sekitar 5,000 tahun dahulu. 
Meteorit merupakan objek yang berasal dari angkasa lepas. 
AFP - Kosmo! Online 2.11.2012
_______________________________________________________________________

Meteorit tersebut jatuh ke Bumi kira-kira 5,000 tahun yang lalu? Di mana kita ketika itu? Masih di alam arwah kot! Tetapi meteorit tersebut baru dijumpai oleh manusia kira-kira dua bulan yang lalu. Mungkin masih banyak lagi meteorit yang jatuh ke Bumi ini masih belum ditemui di sana-sini.
Tapi kalau kita terjumpa pun, kita tidak akan tahu, sebab kita tidak kenal meteorit. Oleh itu, mari kita tengok betul-betul gambar-gambar meteorit. Mana tahu, batu di belakang rumah yang tidak kita hiraukan selama ini sebenarnya adalah meteorit!


Sabtu, 27 Oktober 2012

Meteor: Dari Mana Hendak Ke Mana


Dari mana ia datang? Penduduk di kawasan San Francisco Bay masih kebingungan selepas melihat bola api di ruang angkasa di pinggir bandaraya berkenaan pada Rabu minggu lalu. Bunyi ledakan boleh didengar dan mungkin serpihan bola api berkenaan jatuh di pinggir bandaraya dan ladang anggur berdekatan.
Saintis berkata objek itu mungkin meteor yang berasal dari lingkaran asteroid antara Marikh dan Musytari yang memasuki atmosfera bumi dan menuju ke California, manakala seorang pemburu menyatakan kemungkinan serpihan meteor telah telah terhempas berdekatan bandar Novato atau Martinez, di California.
Sumber: ABC News.
_______________________________________________________________________

California adalah negeri yang paling maju di Amerika Syarikat. Namun, penduduknya yang sudah maju itu masih tidak tahu, objek apa yang terbang di ruang angkasa mereka.
Bayangkan kalau objek seperti ini di lihat di Malaysia. Dilihat pula oleh penduduk yang tinggal di kampung-kampung pedalaman. Apa tanggapan mereka?



Rabu, 24 Oktober 2012

Meteorit Jadi Batu Penyendal Pintu

PROFESOR fizik dan astronomi di Universiti Eastern Kentucky, Rodney Piercey memeriksa meteorit yang ditemui pada tahun 1853.

TENNESSEE - Sebuah keluarga di Amerika Syarikat terkejut apabila mendapati seketul batu milik mereka sebenarnya seketul meteorit atau tahi bintang berusia empat bilion tahun, lapor akhbar MailOnline semalam. 
Pasukan penyelidik Universiti Tennessee memperoleh meteorit seberat 15 kilogram itu daripada keluarga Donna Lewis di sini yang menggunakannya sebagai penyendal pintu dan pelapik pokok bunga hiasan sejak beberapa tahun lalu. 
Pada mulanya, batu itu ditemui di sebuah padang ragut ternakan dekat Tazewell, Tennessee, pada tahun 1930-an oleh seorang lelaki, Tilmon Brooks. 
Brooks ialah datuk Donna Lewis yang merupakan seorang setiausaha sekolah di Pineville, Kentucky. 
Ujian yang dilakukan di Universiti Tennessee merumuskan bahawa meteorit itu berasal daripada hujan meteor yang pernah berlaku di sini pada 1853. - Agensi - Kosmo Online 23.10.2012.
_______________________________________________________________________

Kalaulah batu meteorit ini jatuh di Malaysia dan ditemui di sini, sudah tentu ceritanya jadi lain. Mungkin orang yang menjumpainya akan mengalami berbagai mimpi aneh. Kemudian, batu berkenaan mungkin akan dibawa kepada bomoh atau dukun untuk ditilik.
Manakala bomoh atau dukun pula mungkin akan mengatakan batu itu mistik dan mesti dimuliakan. Akhirnya, timbul berbagai kepercayaan kurafat di kalangan masyarakat, terutama di kalangan pengamal dan peminat ilmu kebatinan.
Namun, disebabkan batu meteorit itu jatuh di Amerika Syarikat, maka sejak ditemui kira-kira 80 tahun yang lalu, ia hanya dijadikan penyendal pintu! Kasihan meteorit itu.