Allah berfirman dalam al-Quran:

"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran." Mafhum Surah al-Asr: ayat 1 - 3.
Memaparkan catatan dengan label Iktibar. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Iktibar. Papar semua catatan

Khamis, 2 Oktober 2014

Chelsea Letih Jadi Perempuan

Chelsea Attonley mendakwa kehidupan sebagai perempuan ‘terlalu meletihkan’

Chelsea asalnya dilahirkan sebagai lelaki dan dinamakan Matthew

Selepas tujuh tahun menjadi perempuan melalui pembedahan, Chelsea kini mahu kembali menjadi lelaki secara percuma

Chelsea tidak langsung rasa bersalah kerana mahu NHS membiayai pembedahannya untuk kembali menjadi Matthew


LONDON - Seorang pondan yang sebelum ini mendapat sokongan penyanyi Katie Price untuk melakukan pembedahan jantina bernilai £10,000 (RM53,000) kini memohon Tabung Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS) membiayai satu lagi pembedahan untuk kembali menjadi lelaki. 
Chelsea Attonley, 30, yang dilahirkan sebagai lelaki dan dinamakan Matthew mendakwa kehidupan sebagai perempuan ‘terlalu meletihkan’ dan mengharapkan pembedahan berjumlah £14,000 (RM74,000) itu dibiayai wang pembayar cukai melalui NHS.  
Dia yang menukar namanya pada 2008 selepas pembedahan membesarkan payudara memberitahu majalah Closer bahawa dia letih berpakaian dan berkelakuan seperti wanita, tambahan pula tidak pernah diterima sepenuhnya sebagai perempuan oleh orang sekeliling.  
Sehubungan itu, dia mahu melakukan pembedahan mengecilkan payudara selain mendapat alat sulit lelaki palsu.

“Memang sejak kecil saya mahu menjadi perempuan, namun hakikatnya saya tidak akan menjadi wanita sebenar tidak kiralah berapa banyak pembedahan dilakukan,” katanya. 
“Malah saya turut mengalami kemurungan akibat pengambilan hormon. Lebih baik saya terima saja hakikat saya dilahirkan sebagai lelaki,” katanya.  
Chelsea yang mengalami krisis identiti sepanjang membesar memilih menjadi pondan dikenali sebagai Miss Malibu sebaik dewasa.  
Dia juga pernah mengalami kemurungan selepas usahanya melakukan pembedahan jantina ditolak doktor.  
Bagaimanapun, Chelsea yang kerap meniru gaya Katie dengan memakai kasut tumit tinggi serta rambut palsu sepertinya kemudian terserempak dengan idolanya itu di sebuah kelab malam pada 2007.  
Semangatnya kembali berkobar-kobar untuk melakukan pembedahan selepas Katie memberi galakan dan dia berjaya memujuk doktornya membuatnya.  
Malangnya, tujuh tahun selepas pembedahan itu, Chelsea mahu kembali menjadi lelaki tanpa mengeluarkan wangnya sendiri.  
Pertubuhan Pembayar Cukai (TPA) berkata NHS tidak patut melayan permintaan Chelsea itu. 
Pengarah penyelidikannya Alex Wild berkata: “NHS perlu menapis kes-kes yang memang memerlukan rawatan berbanding pembedahan yang dibuat sekadar untuk memenuhi kehendak kecantikan. 
“Cukuplah wang pembayar cukai dibazirkan,” katanya. 
Sementara itu, Chelsea tidak langsung menunjukkan rasa bersalah kerana mahu NHS membiayai pembedahannya untuk kembali menjadi Matthew. - Agensi/ Kosmo!

Jumaat, 26 September 2014

PM Britain Mohon Maaf Kepada Ratu Elizabeth

Cameron (kiri) berbual dengan Bloomberg ketika melawat pejabat beliau di New York, Amerika Syarikat pada Selasa lalu.

Ratu Elizabeth tidak pernah membuat sebarang pandangan politik secara terbuka berhubung kemerdekaan Scotland baru-baru ini

Cameron menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di New York, Amerika Syarikat pada Selasa lalu


LONDON - Perdana Menteri Britain, David Cameron akan membuat permohonan maaf secara peribadi kepada Pemerintah United Kingdom (UK), Ratu Elizabeth II selepas beliau mendakwa baginda sangat gembira selepas rakyat Scotland menolak untuk merdeka, lapor stesen televisyen Sky News semalam. 
Cameron didapati mengeluarkan kenyataan itu ketika sedang berbual dengan bekas Datuk Bandar New York, Michael Bloomberg ketika menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di New York, Amerika Syarikat pada Selasa lalu. 
"Baginda menarik nafas lega dan saya tidak pernah mendengar suara yang terlalu gembira seperti itu," kata Cameron. 
Bagaimanapun, perbualan kedua-dua tokoh tersebut didengari oleh beberapa kru televisyen yang mengekori mereka. 
Ratu Elizabeth tidak pernah membuat sebarang pandangan politik secara terbuka dan menjauhkan diri daripada melahirkan sebarang pandangan berhubung perdebatan kemerdekaan Scotland baru-baru ini. 
Media melaporkan bahawa Cameron akan memohon maaf kepada Ratu Elizabeth secara peribadi apabila beliau dijadualkan mengadap baginda dalam satu pertemuan akan datang. 
"Saya sangat malu dan memohon maaf kerana perkara ini sudah berlaku. 
"Saya bercakap secara peribadi dengan Bloomberg dan jelas saya tidak akan melakukan perkara yang sama lagi," katanya. 
Menurutnya, pejabatnya telah menghubungi istana bagi menjelaskan perkara itu dan beliau juga akan memohon maaf. - Reuters/ Kosmo!

Isnin, 7 April 2014

Baiknya Doktor Ini

Dr Lo Siaw Ging tidak mengenakan bayaran kepada pesakit kurang mampu. Foto: Sindonews.com

Diagnosis dan ubat yang diberikan oleh Dr Lo juga selalu tepat. Foto: Viva News

Dr Lo jadi doktor sejak zaman pemerintahan Soekarno. Foto: Detik.News

"Jika 40 peratus pesakit saja yang bayar rawatan, sudah cukup untuk hidup..." kata Dr Lo. Foto: Merdeka


Dr Lo Siaw Ging menjadi tumpuan ketika kos perubatan dan hospital yang begitu mahal ketika ini. Doktor berusia 80 tahun ini mempunyai komiten untuk tidak mengenakan bayaran kepada pesakit kurang mampu yang mendapatkan rawatan daripadanya. 
Dr Lo dikenali bukan hanya disebabkan diagnosis dan ubat yang diberikannya selalu tepat, tetapi dia juga merupakan doktor yang tidak mementingkan bayaran. Bagi pesakit yang tidak mampu, Dr Lo akan memberikan rawatan secara percuma. Selain itu, mereka yang berkenaan juga diberikan ubat secara percuma. 
"Perkara ini sudah saya lakukan sejak saya menjadi doktor ketika zaman pemerintahan Soekarno lagi. Apa yang saya lakukan ini bersebab. Saya merasa terpanggil untuk berbakti kepada masyarakat daripada mengejar keuntungan. Wang yang saya dapat sudah cukup untuk menyara kehidupan saya dan isteri saya, Maria Gan May Kwee," ujar Dr Lo ketika ditemu ramah. 
Dr Lo berkata, dia menyediakan peruntukan untuk kebajikan sosial dari poket sendiri bagi menampung kos para pesakit yang kurang mampu. Namun, beliau hanya akan menggunakan peruntukan tersebut jika pesakitnya mengikuti prosedur di hospital. 
Walaupun kini sudah memasuki usia senja, Dr Lo berjanji akan terus berbakti kepada semua lapisan masyarakat hingga ke akhir hayatnya. Dr Lo menjalankan khidmat rawatan di Kampung Jagalan Jebres mulai jam 6.00 pagi hingga jam 8.30 pagi waktu tempatan. 
Dia juga merawat pesakit di Hospital Kasih Ibu Solo mulai jam 10.00 pagi hingga jam 12.00 tengah hari, dan mengadakan khidmat rawatan di rumahnya mulai jam 4.00 petang hingga jam 8.00 malam. 
Akibat daripada khidmat sosial ini, setiap bulan Dr Lo akan menggunakan wangnya sendiri untuk menjelaskan bil dari farmasi sekitar Rp10 juta (RM2,891) untuk membantu pesakit yang kurang mampu. Untuk bulan Mac sahaja, Dr Lo sudah menerima bil Rp8.8 juta (RM2,544). Namun hal tersebut tidak menghalang hasratnya untuk terus membantu pesakit yang tidak mampu. 
"Dia orang yang baik hati dan tidak pilih kasih. Saya sudah 28 tahun menjadi pesakit dan selalu mendapat rawatan percuma," ujar Suyani, seorang pesakit yang tidak mampu yang mendapatkan rawatan daripada Dr Lo. 
"Saya sengaja mendapatkan rawatan daripada Dr Lo kerana saya tidak punya wang untuk berubat. Dia terkenal baik dan sentiasa menolong pesakit yang tidak mampu," jelas seorang pesakit lain, Abed Kusdayan. 
Perkara yang sama juga dinyatakan oleh seorang petugas di sebuah bank swasta, Nirmala Sari, yang walaupun memiliki skim perlindungan insurans, masih memilih Dr Lo untuk mendapatkan rawatan. 
"Dr Lo merupakan seorang yang terkenal, tidak pernah membezakan pesakit sama ada orang tidak mampu atau orang kaya," ujarnya. - Sindonews.com

Lagi kisah doktor berjasa di sini dan di sini


Khamis, 6 Mac 2014

Ibu Mohon Anak Dipenjara 5 Tahun

Sayed Mohamed Sekri dibawa ke Mahkamah Majistret Kota Bharu semalam kerana mengugut ibunya. Foto; Kosmo!

Hakim menjatuhkan hukuman penjara lima tahun kepada Sayed bermula daripada tarikh dia ditangkap. Foto: myMetro


KOTA BHARU - “Dia sudah banyak kali buat perkara yang sama, bukan saja kepada saya malah kepada adik-beradik lain. 
“Saya mohon hukuman penjara lima tahun supaya dia insaf dalam penjara,” kata seorang ibu di hadapan Majistret Nik Habri Muhamad selepas anaknya mengaku salah bagi tuduhan mengugutnya menggunakan pisau pada November tahun lalu. 
Fatimah Ismail, 61, berkata demikian ketika dipanggil Majistret, semalam untuk memberi keterangan selepas anaknya, Sayed Mohamed Sekri Sayed Husin, 32, mengaku bersalah. 
Nik Habri kemudian menjatuhkan hukuman penjara lima tahun bermula dari tertuduh ditangkap iaitu 23 November 2013. 
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mengugut dengan mengacukan pisau terhadap Fatimah di Kampung Kubang Keranji, di sini, pada jam 8 malam, 23 November 2013. 
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. 
Berdasarkan fakta kes, ketika kejadian tertuduh meminta wang RM35 daripada mangsa, tetapi wanita itu memberitahu tiada wang kerana sudah memberinya kepada tertuduh. 
Tertuduh mengeluarkan pisau dan mengacukan ke arah mangsa dengan berkata tidak mahu mendengar mangsa kata tiada wang dan menyuruh ibunya meminjam wang. 
Mangsa yang ketakutan kemudian mengambil wang dan menyerahkannya kepada tertuduh. 
Tertuduh dalam rayuannya memohon hukuman ringan dengan alasan ibunya sudah memaafkannya. 
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Noor Dayana Mohamad memohon hukuman setimpal untuk memberi pengajaran kepada tertuduh. 
“Saya harap dengan hukuman ini juga dapat menjamin keselamatan mangsa dan penghuni rumah untuk sementara waktu,” katanya. - myMetro

Isnin, 3 Mac 2014

Pusaka Berpuaka

Seorang jururawat menanggung hutang hampir RM1 juta selepas diperdaya oleh sindiket penipuan Internet. Foto: myMetro

Yakin akan menerima ‘pusaka’ RM10 juta, mangsa sanggup berhutang dengan bank dan ceti haram (along). Foto: Berita Harian

Mangsa berkenalan dengan 'Siti Zaleha' yang menjanjikan 'pusaka' RM10 juta itu melalui Facebook. Foto: Merdeka.Com


Teruja bakal memperoleh wang wasiat berjumlah RM10 juta mengakibatkan seorang jururawat kini menanggung hutang hampir RM1 juta selepas diperdaya dengan kisah ‘barah payudara’ dihantar sindiket penipuan Internet. 
Kes jururawat itu satu daripada 91 kes penipuan Internet dikesan polis Perak. 
Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Azrina, 38, ketika ditemui wartawan berkata, dia kelabu mata apabila ‘digula-gulakan’ dengan wasiat itu dan sanggup meminjam wang daripada bank dan ceti haram (along) hanya kerana yakin bakal ‘dihujani duit’ seperti dijanjikan. 
Azrina yang bertugas di sebuah klinik di sini, mendakwa mula berkenalan dengan wanita bernama Siti Zaleha di laman sosial Facebook sekitar penghujung 2012. 
Menurutnya, wanita itu mendakwa seorang ahli perniagaan di United Kingdom mulanya hanya mahu berkenalan sambil saling bertukar gambar dan kisah hidup dilalui. 
“Mulanya saya langsung tidak berasa syak berikutan persahabatan kami berlangsung dalam tempoh masa agak lama. 
Pada masa sama wanita itu mendakwa menderita penyakit barah payudara dan berkemungkinan menemui ajal dalam masa terdekat. 
“Saya percaya sepenuhnya dengan kisah itu apatah lagi tugas harian saya berhadapan dengan pelbagai pesakit di hospital. - myMetro

'Gadis' Cinta Internet Tersalah Goda

Berwaspada dengan jerat cinta internet yang sedang berleluasa sekarang. Imej: MerdekaOnline

'Gadis' cinta internet tersalah orang apabila 'menggoda' Superintendan Polis Maszley Minhad. Foto: Sinar Harian

Cinta internet atau love scam kebanyakkannya melibatkan 'awang hitam'. Foto: mStar

Mangsa: wanita bekerjaya antaranya doktor, pensyarah, jururawat, eksekutif syarikat korporat dan guru. Foto: Sinar Harian


IPOH - “Saya pernah digoda ahli sindiket cinta Internet yang mahir menyusun madah cinta untuk mencairkan hati saya,” kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Perak Superintendan Maszley Minhad ketika ditemui, baru-baru ini. 
Menurutnya, dia mula dipancing ‘gadis’ yang mendakwa seorang warga British selain mempunyai darah keturunan Sabah sekitar November hingga awal bulan lalu.
“Saya pasti ‘gadis’ yang mendakwa namanya sebagai Fatima itu ahli sindiket penipuan cinta melalui laman sosial Facebook (FB). 
Justeru, saya sengaja melayan mesej e-mel dihantar untuk mengetahui taktik seterusnya. 
“Gadis itu yang mendakwa ahli perniagaan dan mewarisi harta kekayaan keluarganya amat bijak berkata-kata. 
Dia menggunakan pelbagai ayat yang semuanya bertujuan untuk memikat hati saya secara berperingkat. 
“Selepas melayan sindiket itu hampir tiga bulan, ‘gadis’ terbabit tiba-tiba meluahkan hasratnya untuk berpindah ke Malaysia dan memulakan perniagaannya di sini,” katanya sambil menunjukkan kiriman mesej cinta FB yang diterimanya. 
Maszley berkata, ‘gadis’ terbabit memintanya mencarikan sebuah banglo mewah untuk didudukinya selain merayu supaya menerima cintanya. 
“Dia menghantar mesej mendakwa membelikan hadiah istimewa kepada saya dan bersungguh-sungguh memujuk menerima hadiah itu. 
“Saya yakin ‘gadis’ terbabit pastinya akan berpura-pura mahu menghantar bungkusan hadiah itu berdasarkan taktik penipuan dilakukan terhadap ramai mangsa sebelum ini,” katanya.
Bagaimanapun katanya, ‘gadis’ terbabit yang mungkin mengesyaki beliau adalah anggota polis bertindak menghilangkan diri dan gagal dihubungi selepas itu. 
Maszley berkata, aktiviti sindiket penipuan cinta terbabit masih dianggap serius oleh JSJK berikutan ramai rakyat negara ini terus menjadi mangsa penipuan terancang itu saban hari. 
“Berdasarkan statistik dikumpul, seramai 91 individu menjadi mangsa penipuan cinta maya ini di Perak sepanjang tahun lalu membabitkan kerugian lebih RM2 juta. 
“Dalam tempoh Januari hingga semalam, seramai 15 individu majoritinya wanita ditipu sindiket sama dengan kerugian mencecah RM1 juta,” katanya. 
Menurutnya, golongan yang ditipu membabitkan wanita bekerjaya antaranya doktor, pensyarah, jururawat, eksekutif syarikat korporat dan guru. - myMetro

Khamis, 6 Februari 2014

Dipatuk Ular Kapak Bodoh

Jari Teoh dipatuk ular kapak bodoh semasa meraba udang galah. Foto: myMetro

Bangkai ular yang dibunuh oleh Teoh dibawa bersama ke hospital semasa mendapatkan rawatan. Foto: myMetro


PARIT BUNTAR - Seorang kaki pancing yang bertarung nyawa apabila dipatuk ular kapak bodoh, sempat menangkap ular berbisa itu sebelum dibawa bersama ke hospital ketika mendapatkan rawatan kecemasan. 
Mangsa, Teoh Swee Min, 32, dipatuk ular itu ketika mencari seekor udang galah yang terjatuh ketika memancing di Sungai Kerian, di sini, dalam kejadian jam 11.30 malam kelmarin. 
Mangsa berkata, kejadian berlaku ketika dia memancing udang galah bersama rakannya di sungai berkenaan yang banyak spesies udang galah bersaiz besar. 
“Bagaimanapun, seekor udang galah yang berjaya saya pancing terjatuh ke dalam semak ketika joran diangkat.
“Saya lantas melepaskan kayu joran dan mencari udang galah itu dengan meraba di dalam semak berhampiran tanpa menggunakan lampu suluh,” katanya. 
Menurutnya, dia terkejut apabila jari telunjuk tangan kirinya terasa sakit seperti digigit sesuatu di dalam semak tebal itu dan memanggil rakan untuk meminjam lampu suluh miliknya sebelum menyuluh lokasi semak itu. 
“Saya terkejut apabila melihat seekor ular sedang melingkar berhampiran udang galah yang terjatuh itu. 
“Saya kemudian bertindak memukul ular itu dengan menggunakan kayu berulang kali sehingga mati. Dalam keadaan kesakitan, saya mengambil bangkai ular itu sebelum dibawa bersama ke Hospital Parit Buntar (HPB) untuk mendapatkan rawatan,” katanya. 
Menurutnya, rasa sakit akibat patukan ular kapak itu menyebabkan tangannya bertukar menjadi biru apabila bisa ular berkenaan mula meresap ke dalam salur darah. 
“Setibanya di wad kecemasan HPB, saya dikejarkan ke Hospital Taiping untuk mendapatkan rawatan lanjut. Mujurlah saya membawa bersama bangkai ular itu bagi memudahkan doktor mengenal pasti ubat khas penawar bisa atau anti-venom sesuai untuk saya. - myMetro

Selasa, 28 Januari 2014

Jutawan Pun Masih Mahu Bekerja

Walaupun bergelar jutawan dan menempa nama sebagai penyanyi, Susan Boyle masih memerlukan pekerjaan.

Susan, 52, yang memiliki kekayaan dianggar bernilai £20 juta (RM111 juta)

Baru-baru ini Susan didapati memohon kerja sebagai juruwang separuh masa di syarikat perjudian Ladbrokes.


EDINBURGH - Walaupun bergelar jutawan dan menempa nama sebagai penyanyi, Susan Boyle masih memerlukan pekerjaan. 
Malah baru-baru ini dia didapati memohon kerja sebagai juruwang separuh masa di syarikat perjudian Ladbrokes. 
Susan, 52, yang memiliki kekayaan dianggar bernilai £20 juta (RM111 juta) memohon jawatan itu di cawangan syarikat berkenaan di Scotland. 
Penolong Pengurus David Corr berkata, mereka terkejut apabila dikunjungi Susan. 
Mereka kemudian menasihati Susan - juga dikenali sebagai SuBo - membuat permohonan secara dalam talian. 
Seorang penduduk setempat berkata, Susan benar-benar berminat untuk bekerja di situ. 
“Sudah pasti dia tidak perlukan wang. 
“Bagi saya itu mungkin satu cara untuk dia keluar dari rumahnya dan kurangkan berfikir,” katanya. 
Jurucakap Ladbrokes berkata, Susan pernah memohon bekerja di situ sebelum menjadi terkenal. 
“Mungkin ada sesuatu yang istimewa mengaitkan kami dengan juara Britain’s Got Talent kerana seorang jurinya Alesha Dixon juga pernah bekerja dengan kami sebelum terkenal!” katanya dalam satu kenyataan. - Agensi/myMetro

Jumaat, 24 Januari 2014

Warga Emas Diperdaya Sindiket Gores Dan Menang

Mangsa gores dan menang sedang di temu ramah wartawan. Foto: myMetro

Kad gores dan menang yang digunakan untuk mengumpan orang ramai. Foto: myMetro

Gambar ejen gores dan menang yang dirakam mangsa. Foto: myMetro


MELAKA - Terpedaya dengan hadiah lumayan termasuk Toyota Camry, Honda City dan pakej umrah bernilai RM60,000, seorang pesara kerugian RM12,800 selepas diperdaya sindiket gores dan menang di negeri ini. 
Mangsa yang mahu dikenali sebagai Ahmad, 66, berkata, dia kerugian RM12,800 selepas memberikan wang berkenaan kepada sindiket itu secara berperingkat dari Disember lalu hingga pertengahan bulan ini. 
Katanya, dalam kejadian jam 11 pagi 25 Disember lalu itu, dia yang baru saja keluar daripada kereta di tempat letak kenderaan di sebuah pasar raya di Jalan Panglima Awang, didatangi dua lelaki berusia 20-an. 
“Sebaik menutup pintu kereta mereka mengoyakkan kertas mendakwa saya menang cabutan bertuah dan berpeluang memenangi Totoya Camry, Honda City dan pakej umrah bernilai RM60,000 atau wang tunai RM28,000. 
“Namun, untuk mengetahui hadiah lumayan yang bakal dimenangi, mereka meminta saya membuat bayaran pendahuluan RM12,800,” katanya ketika ditemui di Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) di Wisma Persekutuan, Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, semalam. - myMetro


Seorang ahli sindiket gores dan menang pengsan dibelasah sekumpulan kira-kira 30 lelaki. Foto: myMetro


SEREMBAN - Seorang ahli sindiket gores dan menang pengsan manakala tiga lagi cedera di muka serta badan akibat dibelasah sekumpulan kira-kira 30 lelaki yang berang selepas mendakwa ditipu sindiket itu, ada yang mencecah puluhan ribu ringgit. 
Kejadian berlaku di premis yang dijadikan pejabat sindiket berkenaan di Jalan Pusat Bandar Senawang 16, di sini, jam 5.40 petang kelmarin. 
Saksi kejadian yang mahu dikenali sebagai Azmi, 30-an berkata, dia melihat 30 lelaki terbabit menaiki motosikal dan kereta seolah-olah merusuh di hadapan premis pejabat sindiket syarikat gores dan menang itu. 
“Saya difahamkan kumpulan 30 lelaki terbabit berang kerana ahli keluarga mereka kerugian belasan ribu hingga puluhan ribu ringgit seorang. Jadi mereka datang untuk meminta semula wang selepas menyedari ditipu. 
“Apabila permintaan mereka tidak dipenuhi, saya lihat kumpulan lelaki terbabit menyerbu masuk ke dalam premis dan memukul empat pekerja gores dan menang itu manakala lapan lagi pekerja berjaya melarikan diri,” katanya. 
Azmi yang bekerja di premis berhampiran pejabat sindiket gores dan menang itu berkata, keadaan begitu kelam-kabut apabila kumpulan lelaki yang merusuh itu bertindak mengejar ahli sindiket yang cuba melarikan diri. 
“Empat ahli sindiket itu juga cuba lari, tapi gagal. Akibatnya mereka dibelasah teruk sehingga seorang pengsan manakala tiga lagi saya lihat lebam di muka mereka,” katanya. 
Jurucakap polis pula berkata, pihaknya terus bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan sebelum mendapati empat lelaki cedera dan akibat dipukul, seorang daripadanya pengsan. 
Menurutnya, mereka yang cedera itu dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) untuk rawatan dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 146/ 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan melakukan kekerasan. 
“Setakat ini polis menahan tiga lelaki yang disyaki terbabit dengan kejadian untuk disoal siasat,” katanya. - myMetro


Muhabir menunjukkan pengesahan kematian pemilik perniagaan. Foto: myMetro


MELAKA - Satu sindiket gores dan menang di negeri ini dikesan menggunakan taktik menjalankan operasi menerusi perniagaan yang pemiliknya sudah pun meninggal dunia. 
Pengarah Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Muhabir Ibrahim berkata, taktik berkenaan dilakukan sindiket dipercayai bagi mengelak daripada diambil tindakan oleh pihak berkuasa. 
Menurutnya, taktik berkenaan dikesan hasil serbuan dijalankan pihaknya ke atas sebuah syarikat gores dan menang yang beroperasi di Taman 1 Lagenda, di sini, 13 Januari lalu. 
“Hasil semakan oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) syarikat berkenaan adalah milikan tunggal yang didaftarkan atas nama seorang lelaki berusia 39 tahun pada 9 Disember 2013, namun hasil semakan dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mendapati individu berkenaan meninggal dunia pada 22 Disember tahun sama. 
“Si mati dipercayai dipergunakan untuk mendaftarkan perniagaan itu, disebabkan ia milikan tunggal sukar untuk kami mengambil tindakan kerana pemiliknya sudah meninggal dunia,” katanya pada sidang media di PPDNKK, Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini, semalam. 
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Perpaduan, Hal Ehwal Pengguna dan Keperasi negeri Datuk Wira Latiff Tamby Chik. 
Menurutnya, bagaimanapun SSM yang turut menyertai serbuan itu akan mengambil tindakan mengikut Akta Syarikat 1965 ke atas mereka yang bertanggungjawab menjalankan perniagaan gores dan menang berkenaan. 
“Malah, PPDNKK juga akan meminta bantuan daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) untuk memotong bekalan elektrik dan air di premis berkenaan sekiranya boleh. 
“Hasil serbuan, selain barangan bernilai hampir RM20,000 termasuk tilam jed dan mesin pengurut kaki disita, seorang lelaki berusia 20-an dipercayai pekerja syarikat itu turut ditahan untuk diambil keterangan sebelum dibebaskan,” katanya. - myMetro

Jumaat, 29 November 2013

Doktor Lumpuh Masih Bedah Pesakit

Dr Ted Rummel yang lumpuh separuh badan masih mampu melakukan pembedahan

Dr Rummel melakukan pembedahan dengan menggunakan sebuah kerusi roda khas

Dr Rummel mula lumpuh dari paras pinggang pada tahun 2010 selepas dia menjalani pembedahan

Dr Rummel pernah menganggap, dia tiada lagi kehidupan selepas tidak lagi boleh berjalan setelah menjalani pembedahan

Dr Rummel mengucapkan terima kasih kepada isterinya yang banyak membantu kehidupannya ketika dia menjadi lumpuh

Dr Rummel tidak mensia-siakan pendidikan dan pengalamannya sebagai doktor bedah walaupun telah menjadi lumpuh


O'FALLON, Missouri - Seorang doktor bedah, Ted Rummel di Amerika Syarikat yang lumpuh separuh badan telah mencipta keajaiban dengan kembali bertugas melakukan pembedahan di sebuah hospital dengan menggunakan sebuah kerusi roda khas. 
Rummel yang merupakan seorang pakar bedah ortopedik, mula lumpuh dari paras pinggang pada tahun 2010 selepas dia menjalani pembedahan. 
Dia menjalani pembedahan itu selepas satu ketumbuhan yang wujud pada tulang belakangnya selama 11 bulan itu pecah. 
Doktor itu boleh melakukan pembedahan di lutut dan lengan semasa duduk di atas kerusi roda. 
Dia juga menggunakan kerusi roda khas ketika melakukan pembedahan bahu pesakit. 
Kerusi roda itu boleh ditingkatkan ketinggiannya sehingga doktor itu kelihatan seperti sedang berdiri. 
Namun, Rummel pernah menganggap yang dia tiada lagi kehidupan selepas tidak lagi boleh berjalan setelah menjalani pembedahan. 
Namun, setahun kemudian, dia membuat keputusan untuk kembali bertugas selepas pembedahan itu. 
Keputusan itu dibuat disebabkan jiwanya sebagai seorang doktor bedah yang berdedikasi. 
Pembedahan pertama yang dilakukannya itu diawasi oleh seorang lagi doktor bedah. 
Kehadiran doktor bedah itu adalah bertujuan untuk memberi pertolongan kepada Rummel jika dia memerlukan bantuan ketika membuat pembedahan. 
Namun, Rummel berjaya melakukan pembedahan tersebut. 
"Ia merupakan pengalaman yang amat menakjubkan (melakukan pembedahan dengan menggunakan kerusi roda). 
"Apabila saya mampu melakukan pembedahan itu, saya kembali medapatkan kehidupan saya semula. Ia sungguh istimewa," katanya kepada akhbar Enquirer baru-baru ini. 
Rummel juga mengucapkan terima kasih kepada isterinya yang banyak membantu dalam kehidupannya ketika dia menjadi lumpuh. - Agensi/Kosmo! Online

Isnin, 21 Oktober 2013

Nasib Jadi Malang Selepas Cuci Nasib

Ah Cai (tengah) menunjukkan bungkusan di dalam beg diberikan tiga individu terlibat dengan diiringi Shu Qi. Foto: Sinar Harian

Ah Soon menunjukkan rakaman kamera litar tertutup diperoleh daripada sebuah restoran ketika kejadian berlaku. Foto: Sinar Harian


KULAIJAYA - Seorang ibu tunggal berputih mata selepas wang simpanan hasil titik peluhnya bekerja selama 20 tahun sebagai tukang jahit dan pembuat pau sebanyak RM26,000 dan barang kemas lesap selepas menjalani upacara ‘mencuci nasib’. 
Menceritakan insiden menimpanya Khamis lalu, mangsa, Tay Ah Chai, 58, didatangi dua lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 40-an menegurnya di hadapan sebuah restoran ketika dia sedang berjalan kaki menuju pasar kira-kira jam 7.30 pagi. 
Menurutnya, mereka menghulurkan tangan untuk bersalaman dan wanita itu bertindak memaut bahunya memaklumkan dia bakal ditimpa nasib malang. 
“Pada mulanya, saya enggan mempedulikan kata-kata mereka. Bagaimanapun, mereka bertindak memujuk saya untuk mendengar apa yang ingin dikatakan memandangkan ia perkara penting membabitkan nasib anak tunggal saya. 
“Mendengar penjelasan itu membuatkan saya terkejut dan bersetuju untuk menuruti arahan mereka,” katanya. 
Dia berkata demikian ketika ditemui Sinar Harian, di lokasi kejadian berhampiran Jalan Siantan 1 Indahpura, semalam, ditemani anak tunggalnya, Koh Ah Soon, 33, dan turut menemui mangsa, Adun Senai, Wong Shu Qi. 
Ah Chai juga mengakui, dia dimaklumkan tiga individu tersebut bahawa dia telah terkena gangguan makhluk halus dan jika tidak diubati dalam masa tiga hari anaknya bakal ditimpa kemalangan sehingga meragut nyawa. 
“Mereka mengarahkan saya mengambil wang dan barang kemas di rumah dan berjumpa kembali di tempat sama disebabkan wang yang saya ada ketika itu sebanyak RM500 tidak mencukupi. 
Saya hanya menuruti arahan mereka seolah-olah dipukau. 
“Disebabkan saya tidak mempunyai wang tunai di rumah, saya menyerahkan buku simpanan kepada mereka. Mereka kemudian, menghantar saya menaiki kereta untuk mengeluarkan semua wang simpanan di sebuah bank di pekan Kulai,” katanya. 
Menurut Ah Cai, dia dan ketiga-tiga individu terbabit menjalankan upacara mencuci nasib berhampiran taman permainan kira-kira satu kilometer daripada kediamannya. 
Tambahnya, dua lelaki dan wanita berkenaan turut mengarahkannya menyerahkan semua wang tunai dan barang kemas sebelum dimasukkan ke dalam sebuah beg bewarna hitam. 
“Ketika menjalani upacara menghalau makhluk halus itu, mereka mencuci tangan saya dan menyerahkan semula beg hitam tersebut. 
Mereka berpesan, supaya berdoa terlebih dahulu sebelum membuka bungkusan di dalam beg itu apabila sampai dirumah. 
“Sebelum meninggalkan saya, mereka menyuruh saya berjalan menuju ke sebuah kedai, dan ketika berjalan itulah tiba-tiba saya tersedar telah ditipu dua lelaki dan wanita berkenaan,” katanya. 
Ah Chai terus membuka bungkusan di dalam beg hitam berkenaan dan dia terkejut apabila wang tunai yang dikeluarkan sebanyak RM26,000 dan barang kemas bernilai kira-kira RM10,000 telah bertukar menjadi sebungkus garam dan dua botol berisi air. 
Mangsa kemudian menghubungi anak tunggalnya yang ketika itu keluar bekerja sebelum membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulaijaya pada hari sama. 
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulaijaya, Superintendan, Zulkefly Yahya mengesahkan laporan dibuat mangsa dan kes disiasat mengikut Seksyen 402 Kanun Keseksaan.

Selasa, 1 Oktober 2013

Tanam Satu Pokok Dapat 250 Jenis Buah Epal

Pokok epal yang ditanam oleh lelaki ini menghasilkan 250 jenis buah epal

Paul Barnett telah mencantumkan 250 jenis tunas pokok epal berlainan jenis pada ranting sebatang pokok epal

Barnett kini memiliki banyak pilihan buah epal dari pelbagai jenis untuk dimakan, dimasak dan dijadikan cuka

Barnett mengambil tempoh masa selama 20 tahun untuk menanam pokok buah epal ini di belakang rumahnya

Barnett melabel setiap dahan epal untuk memudahkannya mengingati jenis epal yang dicantumkan pada dahan pokok berkenaan


CHIDHAM, West Sussex - Seorang lelaki di sini mengambil tempoh masa selama 20 tahun untuk menanam sebatang pokok buah epal yang menghasilkan 250 jenis epal di belakang rumahnya, lapor sebuah akhbar kelmarin. 
Bagi melakukannya, Paul Barnett telah mencantumkan 250 jenis tunas pokok epal berlainan jenis pada ranting sebatang pokok epal yang bertindak sebagai induk. 
Melalui teknik itu, dia kini memiliki banyak pilihan buah epal dari pelbagai jenis untuk dimakan, dimasak dan dijadikan cuka. 
Barnett turut melabelkan setiap dahan epal untuk memudahkan dirinya mengingati dahan bagi jenis epal yang dicantumkan pada pokok berkenaan. 
"Saya mula bekerja di sebuah tapak semaian yang mengandungi 90 jenis pokok epal pada setiap batas," kata lelaki berusia 40 tahun itu. 
"Saya mahu menanam pokok-pokok saya sendiri, namun saya tidak memiliki kawasan untuk melakukannya. Oleh itu saya menggunakan kaedah pencantuman tunas untuk tujuan tersebut," tambahnya. - Agensi/Kosmo! Online

Sabtu, 28 September 2013

Beza Antara Dua Wanita

Seorang janda nekad terjun dari tingkat tiga rumah kedai di Desa Tasik, Sungai Besi, untuk mengelak daripada dirogol. Foto: myMetro
Mangsa yang berusia 31 tahun cedera parah apabila kedua-dua kakinya patah. Foto: myMetro


KUALA LUMPUR - Demi maruah dan kehormatan diri, seorang janda anak satu nekad terjun dari tingkat tiga bangunan rumah kedai di Desa Tasik, Sungai Besi, di sini, semalam untuk menyelamatkan diri daripada dirogol. 
Akibat kejadian yang berlaku jam 8.15 pagi itu, mangsa yang berusia 31 tahun cedera parah apabila kedua-dua kakinya patah. Mangsa yang memakai kemeja-T tidak berlengan dan hanya berseluar dalam ditemui orang ramai terbaring di bahagian bawah bangunan berkenaan, berhampiran kedai mencuci kereta. 
Dia yang berusia 31 tahun itu kemudian dihantar ke hospital oleh anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) untuk rawatan lanjut. Seorang saksi kejadian yang mahu dikenali sebagai Arif berkata, sebelum itu dia mendengar suara jeritan wanita meminta tolong. - myMetro


Remaja (kanan) melacur sejak berusia 14 tahun dengan mengenakan bayaran antara RM50 hingga RM80. Foto: Sinar Harian

KULIM - Seorang remaja berusia 16 tahun, di sini, sudah melakukan kegiatan pelacuran sejak berusia 14 tahun setelah diperkosa beberapa kali oleh teman lelakinya. 
Remaja berkenaan yang ditahan polis dalam rondaan cegah jenayah mengakui, gemar melakukan aktiviti tidak bermoral itu dengan mengenakan bayaran antara RM50 hingga RM80. 
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, ketika kejadian, remaja bawah umur yang berpeleseran di pekan Kulim ditahan kira-kira jam 3.30 pagi semalam ketika sedang menunggang motosikal jenis Honda EX5. 
"Remaja ini menunggang motosikal dalam keadaan mencurigakan bagaimanapun apabila ditahan, polis mendapati dia pernah ditahan polis beberapa kali sebelum ini kerana berpeleseran," katanya. 
Sinar Harian kemudiannya mendekati remaja terbabit dan bertanya sama ada masih bersekolah atau sebaliknya. 
Remaja ini kemudiannya menyatakan dia tidak ke sekolah kerana tidak berminat dalam pelajaran. 
Menurutnya, dia tinggal bersama beberapa rakan lain dan melakukan kegiatan pelacuran untuk menampung perbelanjaan. 
“Ada kalanya saya tinggal di rumah rakan lelaki sehingga beberapa hari. Sepanjang bersama mereka saya akan diberikan makanan dan tempat tidur. - Sinar Harian
"Sebelum ini saya pernah bekerja di Pulau Pinang bagaimanapun berhenti kerana jauh," katanya. 
Ditanya mengenai pelanggannya, remaja ini menjelaskan kebanyakan pelanggannya terdiri daripada mat motor.
"Mereka akan membawa saya balik ke rumah untuk melakukan hubungan seks. 
"Walaupun terpaksa melayani beberapa lelaki dalam satu masa, saya tetap melakukannya kerana suka dengan layanan ketika melakukan hubungan seks," katanya. 
Tambahnya, pelajar sekolah juga ada menggunakan khidmat seks daripadanya dan bayaran yang dikenakan lebih murah berbanding pelanggan yang sudah bekerja. 
Menurutnya, sehingga kini tidak ada mana-mana pihak yang pernah menahannya kerana terlibat dalam kegiatan pelacuran kerana ia dilakukan secara senyap. 
Katanya, dia senang melakukan kegiatan itu kerana mudah mendapatkan wang. - Sinar Harian

Khamis, 12 September 2013

Restoran Tomyam Diarah Tutup Kerana Kotor

Bahan-bahan untuk masakan tomyam di letakkan di tempat terbuka. Foto: Sinar Harian

Pegawai penguatkuasa menampal notis penutupan restoran tomyam. Foto: Sinar Harian

Ahmad Yahya menunjukkan lipas yang menjadi punca utama sesebuah kedai ditutup. Foto: Sinar Harian

Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran sedang memeriksa peti sejuk di restoran tomyam. Foto: Sinar Harian


GEORGETOWN - Sebuah restoran masakan tomyam yang terkenal di sini diarahkan tutup oleh Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) semalam. 
Restoran berhampiran dengan sebuah pusat beli belah berdekatan pesisir pantai itu menjadi tumpuan kebanyakan pelanggan berikutan pemandangan yang cantik namun sayangnya ketika pemeriksaan kebersihan mendapati restoran tersebut kotor. 
Penguatkuasa JKNPP bersama dengan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) turut mendapati tikus dan lipas juga berkeliaran di sekitar restoran. 
Sebelum ini juga ada sumber memberitahu terjumpa telur lalat di dalam sup daging yang dihidangkan kepada pelanggan. 
Timbalan Pengarah Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan JKNPP, Ku Nafishah Ku Ariffin berkata, operasi yang dinamakan Ops Tomyam itu mula dijalankan semalam bermula jam 6 petang hingga 1 pagi. 
Menurutnya, penguat kuasa JKNPP terlebih dahulu membuat risikan sebelum menyerbu kesemua 40 premis kedai dan restoran masakan tomyam di negeri ini. 
“Kami dapati premis makanan ini tidak mematuhi elemen penting kebersihan termasuk dengan adanya makhluk perosak seperti tikus malah peralatan makanan juga tidak bersih. 
“Kebanyakan pengendali makanan atau pembantu kedai tidak mendapat suntikan kepialu dan tidak menghadiri latihan pengendali makanan,” katanya. 
Beliau berkata demikian dalam Sidang Media Ops Tomyam di Komtar. 
Dalam operasi berkenaan, 40 premis diperiksa termasuk 21 di Barat Daya dan Timur Laut, tujuh di Seberang Perai Selatan (SPS) dan masing-masing empat premis di Seberang Perai Tengah (SPT) dan Seberang Perai Utara (SPU). 
Kelapan-lapan premis di SPU dan SPT diarah tutup dan 10 premis di Timur Laut serta Barat Daya juga mengalami nasib yang sama. 
Kesemuanya ditutup mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983, sekiranya bersalah boleh dikenakan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali. 
Ku Nafishah berkata, kesemua pemilik premis makanan yang diarah tutup perlu melakukan kerja pembersihan dan premis berkenaan akan diperiksa semula sebelum dibenarkan untuk dibuka kembali. 
Namun JKNPP tidak akan teragak-agak untuk melanjutkan tempoh penutupan sekiranya pemilik premis masih gagal memastikan premis makanan mereka telah bersih. 
“Operasi pada sebelah malam ini akan diteruskan lagi pada masa-masa akan datang terutamanya di kedai-kedai makan yang beroperasi pada waktu malam,” katanya. 
Beliau turut menasihatkan pengguna memilih premis makanan yang bersih sebelum menikmati makanan. 
Ia bagi mengelakkan terkena keracunan makanan, dan pengguna juga boleh memilih pengendali makanan yang mengamalkan ciri kebersihan seperti memakai apron dan penutup kepala. - Sinar Harian