|
Tan Sri Adenan Satem, 70, mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sarawak yang baru tepat jam 9.40 pagi tadi |
|
Semalam, Tan Sri Abdul Taib Mahmud menyerahkan surat perletakan jawatan Ketua Menteri kepada Yang Dipertua Negeri |
|
Abdul Taib selepas pertemuan dengan Yang Dipertua Negeri Di Astana Negeri semalam |
|
Abdul Taib, 78, akan menggantikan Tun Abang Muhammad Salahuddin sebagai Yang Dipertua Negeri Sarawak yang baru |
PETRA JAYA - Menteri Tugas Tugas Khas Sarawak, Tan Sri Adenan Satem, 70, mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Ke-5 dalam istiadat penuh bersejarah di hadapan Yang di-Pertua Negeri, Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng di Astana Negeri, tepat jam 9.40 pagi tadi.
Beliau menggantikan Ketua Menteri paling lama dalam sejarah negara, Tan Sri Abdul Taib Mahmud, 78, yang bersara bermula hari ini, seterusnya bakal dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri yang baharu, menggantikan Abang Muhammad Salahuddin, 92, yang tamat tempoh perkhidmatannya, juga pada hari ini.
Adenan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Datu itu mula menyertai Kabinet Sarawak selepas peristiwa Ming Court pada 1987.
Beliau adalah antara pemimpin paling senior dalam Kabinet Sarawak selepas Abdul Taib dan Tan Sri Alfred Jabu Numpang.
Sementara itu, Abdul Taib dijadualkan berlepas ke Kuala Lumpur sebelum Solat Jumaat untuk menghadap, seterusnya menerima watikah pelantikannya sebagai Yang di-Pertua Negeri Ke-7 daripada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah di Istana Negara kira-kira jam 3 petang ini sebelum kembali semula ke Kuching menggunakan pesawat khas.
Adenan memulakan majlis angkat sumpah jawatan pagi ini dengan menerima watikah perlantikannya daripada Abang Muhammad Salahuddin disusuli majlis ikrar taat setia dan acara menandatangani surat akuan jawatan.
Selain Abdul Taib, turut sama menyaksikan majlis bersejarah itu ialah Speaker DUN Sarawak, Datuk Amar Mohammad Asfia Awang Nassar dan barisan Kabinet negeri. - Berita Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.