Allah berfirman dalam al-Quran:

"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran." Mafhum Surah al-Asr: ayat 1 - 3.
Memaparkan catatan dengan label Ekonomi. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Ekonomi. Papar semua catatan

Jumaat, 17 Oktober 2014

Harga Minyak Dunia Turun Lagi

Kilang minyak di Shaybah, Arab Saudi. Foto: Corbis

Loji penapis minyak di Terengganu. Foto: Wikipedia

Minyak di pasaran dunia turun

Tapi di negara ini petrol RON 95 dan diesel naik 20 sen seliter

Kenyataan oleh seorang menteri yang paling bijak di Malaysia yang disiarkan oleh akhbar tempatan


RIYADH – Seorang putera Arab Saudi, Putera Alwaleed bin Talal mengecam Menteri Minyak negara itu, Ali bin Ibrahim Al-Naimi kerana membenarkan harga minyak jatuh di bawah paras AS$100 (RM329.85) setong, lapor akhbar The Telegraph kelmarin.
Putera Alwaleed (gambar kecil) yang juga seorang bilionair dan pelabur dalam sepucuk surat­nya kepada Ali berkata, tindakan Arab Saudi membiarkan harga minyak jatuh di bawah paras AS$100 (RM329.85) setong boleh me­nyebabkan ‘bencana’ terhadap ekonomi negara itu.
Ali, 79, yang sangat dihormati di Arab Saudi mempunyai pengaruh yang amat besar dalam Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC). 
Beliau sebelum ini memberitahu bahawa tiada sebab untuk bimbang dengan kejatuhan harga minyak masa kini. Harga minyak mentah jatuh ke paras bawah AS$87 (RM286.96) setong selepas Agensi Tenaga Antarabangsa menurunkan ramalan permintaan mi­nyak tahun ini. 
Semalam, harga minyak untuk penghantaran November depan susut kepada AS$82.72 (RM272.84) setong, harga paling rendah sejak November 2010. 
Permintaan minyak dijangka me­nurun akibat pertumbuhan ekonomi dunia yang rendah selain lebihan bekalan minyak dunia. 
Arab Saudi merupakan pengeks­port minyak terbesar dunia dengan pengeluaran sebanyak 12.5 juta tong sehari, sekali gus menjadi negara paling berkuasa dalam OPEC serta pasaran minyak dunia. 
Campur tangan Alwaleed dijangka memaksa Opec menurunkan pengeluaran pada mesyuarat akan datang bagi mengatasi kejatuhan harga. – Agensi/ Kosmo!

Jumaat, 1 November 2013

Purata 60 Orang Bankrup Setiap Hari Di Malaysia

Sejumlah 27,432 petisyen kes kebangkrapan difailkan dan 16,306 kes didaftarkan antara Januari sehingga September lalu

Secara purata, Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI) mendaftarkan 60 kes kebangkrapan setiap hari

Sejumlah 12,347 kes berjaya dikeluarkan menerusi pembatalan mahkamah dan 3,559 kes melalui pelepasan mahkamah


PUTRAJAYA - Sebanyak 102 petisyen atau permohonan kebangkrapan difailkan institusi perbankan terhadap individu bankrap hampir setiap hari bagi tempoh Januari sehingga September lalu. 
Dalam tempoh itu, Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI) mendaftarkan 60 kes kebangkrapan setiap hari. 
Ini bermakna, dalam tempoh itu, petisyen difailkan berjumlah 27,432 kes, manakala kes didaftarkan pula 16,306 kes. 
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri, berkata sebanyak 116,488 kes kebangkrapan baru didaftarkan bagi tempoh Januari 2007 hingga September lalu, dengan 49,844 individu berjaya dikeluarkan dari masalah berkenaan melalui tiga kaedah utama. 
Daripada jumlah itu, 12,347 kes berjaya dikeluarkan menerusi pembatalan mahkamah, pelepasan melalui mahkamah (3,559) dan pelepasan menerusi sijil Ketua Pengarah Insolvensi (33,938). 
“Pada masa sama, tempoh memproses permohonan bankrap ke luar negara dikurangkan dari 14 hari sebelum ini kepada tujuh hari, selepas permohonan lengkap diterima MdI,” katanya selepas menyempurnakan majlis penyampaian Sijil Pelepasan Kebangkrapan kepada 33 individu, di sini, semalam. 
Menurut laporan MdI, Selangor mendahului negeri lain dari segi pengendalian kes sehingga September lalu, iaitu 56,707 kes, diikuti Wilayah Persekutuan (43,865), Johor Bahru (34,317), Pulau Pinang (18,358), Perak (13,746) dan Kedah (12,242), manakala beberapa negeri lain merekodkan sekitar 700 hingga 10,000 kes. - Berita Harian

Rabu, 9 Oktober 2013

AS Keluarkan Wang Kertas AS$100 Yang Baru

Wang kertas US$100 yang baru

Ciri-ciri muka hadapan wang kertas baru dengan potret negarawan AS, Benjamin Franklin

Manakala di belakang wang kertas baru ini tertera gambar Dewan Deklarasi Kemerdekaan di Philadelphia


WASHINGTON - Amerika Syarikat semalam melancarkan wang kertas AS$100 dolar baharu yang dilengkapi pelbagai ciri keselamatan bagi mengelakkan pemalsuan. 
Pertukaran wang kertas tersebut adalah yang pertama sejak tahun 1969. 
Wang kertas AS$100 memainkan peranan utama dalam transaksi tunai di selu- ruh dunia melibatkan pelbagai golongan termasuk peniaga kecil dan pengedar dadah. 
Bahagian hadapan wang kertas baharu itu memiliki potret negarawan AS, Benjamin Franklin manakala belakangnya tertera gambar Dewan Deklarasi Kemerdekaan di Philadelphia. 
Di tengahnya tertera reben keselamatan biru bersama sejumlah imej loceng halus dan angka 100 yang kelihatan seperti bergerak apabila wang kertas itu berganjak. 
"Reka bentuk baharu ini bertujuan untuk mencegah sindiket pemalsuan mata wang yang semakin canggih," kata seorang pengurus Rizab Persekutuan, Sonja Danburg. 
Buat permulaan, kerajaan mencetak sebanyak 3.5 bilion wang kertas itu yang diedarkan di seluruh AS bermula semalam. 
"Namun, wang kertas AS$100 lama masih boleh digunakan selagi ia berada dalam pasaran," jelas Danburg. - AFP/Kosmo! Online

Jumaat, 20 September 2013

Wajah Miskin Di Sebalik Kegemilangan Hollywood

Jurugambar Michael Pharoah telah merakam gambar orang-orang miskin semasa lawatannya ke Hollywood

Wajah lelaki miskin yang telah berumur

Juga wajah wanita miskin yang telah lanjut usia

Wajah wanita ini kehitam-hitaman dan hidup merayau-rayau di jalanan

Wajah seorang lelaki dengan masa depan yang kelam

Kepala berbalut dan muka yang luka menunjukkan risiko hidup di jalanan

Renungan seorang lelaki yang tidak berumah

Lelaki tidak berumah ini masih sempat menghisap rokok


Apabila orang membayangkan Hollywood, mereka akan terbayang jalan-jalan yang dipenuhi orang-orang kaya dan terkenal dengan gaya hidup mewah sebagaimana yang dipamerkan dalam filem-filem wayang gambar. 
Tetapi seorang jurugambar telah menerokai tidak jauh dari rumah-rumah besar berjuta-juta dolar dan studio filem untuk mengalami sisi yang berbeza di bandar ini. 
Beliau telah melawat beberapa kawasan golongan bawahan di Los Angeles dan dia telah menyaksikan perjuangan orang-orang yang hidup di jalanan. 
Michael Pharoah, 22 dari New Zealand sedang bercuti di Amerika Syarikat apabila dia membuat keputusan untuk menerima projek merakamkan gambar-gambar masyarakat gelandangan di Hollywood. 
Menurut Pharoah, walaupun dipenuhi penduduk yang kaya dan terkenal yang menguasai industri showbiz, bandar ini juga mempunyai kawasan miskin dan hina.

Khamis, 30 Mei 2013

Tertipu Oleh Pajak Gadai 'Islam'

Abdul Salim Putera menunjukkan laporan polis yang dibuat di Balai Polis Pekan Baru semalam. Foto: Sinar Harian

Abdul Salim Putera menunjukkan jumlah upah simpanan bulanan yang tidak sampai RM450 sebulan. Foto: Sinar Harian


IPOH – Sepasang suami isteri mendakwa ditipu sebuah bank yang menjalankan sistem pajakan emas Islam atau Ar-Rahnu berikutan perlu membayar satu jumlah yang besar hanya untuk memperbaharui surat gadaian. 
Lebih memburukkan keadaan, bank tersebut mengenakan RM 2,649.90 jika mereka mahu memperbaharui empat surat gadaian tersebut. 
Abdul Salim Putera Ahmad Shibi, 39, mendakwa, apa yang lebih menyedihkan dia tidak dimaklumkan oleh pihak bank tentang prosedur baru yang dikenakan. 
“Saya terkejut apabila dimaklumkan pihak bank bahawa saya perlu membayar jumlah berkenaan jika mahu memperbaharui empat surat gadaian ketika datang ke pejabat mereka di Jalan Sultan Idris Shah. 
“Bila saya persoalkan perkara itu, pihak bank memberi penjelasan bahawa mereka mempunyai hak untuk tidak memberitahu pelanggan dan prosedur tersebut dikuatkuasakan seminggu lalu. Walhal sebelum ini pelanggan hanya perlu bayar upah simpanan bulanan sahaja,” katanya kepada Sinar Harian selepas membuat laporan polis di Balai Polis Pekan Baru, semalam. 
Abdul Salim merasa tertipu apabila bank tersebut tidak langsung menghubunginya atau menerangkan kepadanya prosedur tersebut yang nyata amat membebankannya. 
“Saya pilih bank berkenaan kerana mereka tawarkan gadaian cara Islam. Namun apabila terjadi kes seperti ini saya amat kecewa malah apabila saya siasat, ramai lagi yang terkena seperti saya. 
“Sikap bank berkenaan seolah-olah mencekik darah pelanggan kerana menaikkan harga dengan sewenang-wenangnya selain mengubah prosedur sesuka hati," katanya. 
Abdul Salim turut membuat laporan di Kementerian Perdangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan berharap pihak berkuasa menyiasat perkara berkenaan. - Sinar Harian

Ahad, 17 Mac 2013

Lahad Datu: Jualan Merosot Pelancong Berkurangan

Samiah (kanan) melayan pelanggannya walaupun sedar jualan merosot. Foto: Sinar Harian

Pemandangan pekan Lahad Datu. Foto: Sinar Harian

LAHAD DATU - Walaupun disenaraikan sebagai bandar selamat daripada serangan pengganas bersenjata yang mendakwa diri mereka tentera kesultanan Sulu, kehadiran pelancong masih lagi tidak menunjukkan pertambahan. 
Sejak 1 Mac lalu, selepas kejadian yang meragut nyawa dua perwira negara Asisten Superintendan Zulkifli Mamat dan Sarjan Sabaruddin Daud dalam serangan hendap kumpulan pengganas kira-kira 130 kilometer dari sini, kehadiran pelancong mencatatkan penurunan yang ketara di mana aktiviti ekonomi juga dilihat lembap melainkan aktiviti seharian sebagai penduduk tetap. 
Perkara ini diakui peniaga yang rata-ratanya menjalankan perniagaan sekitar pusat bandar sejak berbelas tahun dahulu. 
Tinjauan Sinar Harian di beberapa kawasan mendapati aktiviti perniagaan mereka merosot. 
Peniaga, Linda Sahril, 46, berkata, inilah pertama kali berlaku kepada peniaga di mana hasil jualan tidak sampai RM100 sehari sejak kejadian meragut nyawa dua anggota polis itu. 
“Tak pernah berlaku sebegini, kejadian itu benar-benar merugikan. Walaupun hampir dua minggu berlalu, namun kehadiran pelancong jelas berkurangan. 
“Susah kami jika keadaan ini berlarutan, macam mana kami nak meneruskan kehidupan kami,” katanya. 
Sementara itu, seorang lagi peniaga, Sabariah Sukri, 45, berharap kehadiran pasukan keselamatan di pusat bandar ini akan meyakinkan pelancong untuk terus jadikan bandar ini sebagai destinasi pelancongan sebelum meneruskan percutian ke Pulau Mabul dan Pulau Sipadan. 
Katanya, dia terpaksa menutup perniagaannya selama seminggu sejak 1 Mac lalu, ekoran kekurangan pelancong. 
“Saya buka pun rugi dan berdepan dengan risiko, jadi lebih baik saya tutup dulu perniagaan. Minggu ini baru saya buka semula perniagaan,” katanya yang menjalankan perniagaan makanan ringan. 
Khabar pendaratan penceroboh pada 12 Februari lalu tidak mendatangkan kesan ketakutan kepada masyarakat kerana aktiviti masyarakat tetap diteruskan sehinggalah kejadian yang meragut dua nyawa pihak berkuasa. 
Lahad Datu yang rata-ratanya didiami pelbagai bangsa antaranya Melayu, Sulu, Bajau dan Sulu kelihatan lumpuh, tiada aktiviti bebas seperti sebelum ini. Penduduk masih lagi trauma. 
Aktiviti nelayan juga berkurangan dan bekalan ikan basah juga berkurangan di pasar basah. 
Peniaga ikan, Samiah Auli, 60, berkata, dia mengalami kerugian besar sejak kejadian pencerobohan pengganas ini. 
“Kebiasaan makcik menjual pelbagai jenis ikan dan mendapat pulangan sehingga RM1,000 setiap hari, tetapi sekarang ini, nak dapat RM300 sehari pun susah. Bukan hanya pelancong, orang tempatan pun dah tak ramai ke pasar ini,” katanya. 
Sementara itu, penjual ketam, Halitah Sarbani, 42, melahirkan keluhan sama kepada kami ketika ditemui di kedainya. 
“Selalunya saya berjaya jual ketam sehingga 50 kilogram sehari pada harga sehingga RM50 sekilogram. Tetapi kini, saya menjual RM8 sekilogram pun masih tidak laku. Nak habiskan 10 kilogram sehari pun susah,” keluhnya. - Sinar Harian

Ahad, 10 Mac 2013

Bingung Diisytihar Muflis Walau Tak Berhutang

Foto: wanwma.com


BANDAR BAHARU - Bank Negara diminta membantu menyelesaikan masalah seorang pemuda kampung yang diisytihar muflis akibat tidak melangsaikan pinjaman kenderaan sejak 2009 lalu kepada sebuah institusi kewangan. 
Pembantu Khas kepada Penyelaras Barisan Nasional Parlimen Kulim/Bandar Baharu Helmy Abdul Khan berkata, pihak Bank Negara perlu berbuat sesuatu untuk membantu Mohd Harbrullah Man yang telah membuat empat laporan polis berhubung perkara itu. 
Pekerja ladang sawit (gambar hiasan) Foto: greenboc
"Perkara ini sudah berlanjutan sejak empat tahun lalu dan 'mangsa' seorang pemuda kampung yang kurang pengetahuan mengenai masalah yang dihadapinya," katanya kepada pemberita di sini hari ini. 
Menurut Mohd Harbrullah, 32, pekerja am di sebuah ladang kelapa sawit di Lubuk Buntar, dekat sini, dia dikatakan berhutang sejumlah RM43,296.90 kerana membeli sebuah kereta Proton Wira Sedan 1.5 bernombor PGX 1754 dengan sebuah bank. 
Proton Wira (gambar hiasan). Foto: farahharis
Mendakwa dia tidak pernah membuat pinjaman kewangan dengan mana-mana institusi kewangan dalam tempoh tersebut, pemuda itu menegaskan: "Lagi pun saya tak mampu nak beli kereta sebab pendapatan saya RM500 sebulan. Saya juga tidak memiliki lesen memandu". 
Katanya, besar kemungkinan maklumat diri dan salinan kad pengenalannya telah disalah guna oleh mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab. 
Mahkamah Tinggi Pulau Pinang. Foto: Tomaso
"Notis bankrap yang difailkan di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada 14 April 2009 telah saya terima dan saya telah merujuk kepada dua cawangan bank itu di Butterworth," kata Mohd Harbrullah. 
Katanya, ketika pergi ke pejabat berkenaan dia telah meminta fail peribadi atas namanya, namun diminta supaya kembali semula dalam tempoh seminggu. 
"Oleh kerana saya sudah tidak tahan lagi diperlakukan seperti 'bola' lalu saya pun membuat sebanyak empat laporan polis sejak 2009 hingga 2012," katanya. 
Katanya, walaupun laporan sudah dibuat, dia masih tidak mendapat sebarang jawapan positif daripada pihak institusi kewangan berkenaan. - Bernama

Selasa, 19 Februari 2013

Ayam Kampung Mardi Daging Pejal Telor Banyak




Pembiakbakaan ayam kampung tempatan memasuki fasa terbaru apabila penyelidikan terhadap baka yang diambil dari utara dan selatan negara disatukan untuk menghasilkan ayam berkualiti dikenali Ayam Kampung MARDI. 
Projek biak baka Ayam Kampung MARDI dipelopori bekas pegawai penyelidiknya, Dr Engku Azahan Engku Ahmad pada 2005 sebelum disambung rakan setugas, Azlina Azma Ismail Affendee. 
Pembiakbakaan Ayam Kampung MARDI kini dilakukan di stesen penyelidikan MARDI di Muadzam Shah, Pahang, menggunakan Dana Sains daripada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) berjumlah RM300,000. 
Anak ayam kampung. Foto: projekmeru.blogspot
MARDI turut menyumbangkan dana pada jumlah sama bagi tujuan penyelidikan baka ayam itu menerusi dana Wang Rizab MARDI. 
Pengarah Pusat Pe-nyelidikan Ternakan Strategik MARDI, Dr Azizan Abd Rashid berkata, Ayam Kampung MARDI mewarisi 100 peratus baka asli tempatan dan lebih istimewa berbanding yang lain. 
“Kaedah pemilihan membabitkan baka dari dua zon berbeza bukan saja dari aspek pengeluaran telur tapi daging yang pejal. 
Baka ayam kampung yang cepat membiak. Foto: penternakanayamkampung
“Ciri baka ayam kampung selatan diambil dari Johor kerana mempunyai pertumbuhan berat badan yang kurang, tapi pengeluaran telur tinggi, manakala ayam kampung di kawasan tengah pula pe-ngeluaran telur dan berat badan sekata. 
“Bagi ayam zon utara dari Seberang Prai dan Kedah, pertumbuhan berat badan tinggi, tetapi pengeluaran telur kurang, sedangkan kami memerlukan kedua-dua ciri ini,” katanya. 
Ayam sabung daripada baka ayam kampung. Foto: nabilagro.blogspot
Menurutnya, ciri pertumbuhan berat badan dan pengeluaran telur yang banyak menyebabkan baka dari selatan dan utara sesuai menghasilkan ayam dikehendaki. 
“Jika mahu menjadikan ayam baka, kami perlu mendapatkan jumlah telur yang banyak. 
“Kami perlu baka yang seimbang, bukan saja menghasilkan telur banyak tetapi pertumbuhannya juga baik,” katanya. 
Ayam kampung betina. Foto: ammarzahraa
Katanya, pembiakbakaan ayam kampung dari selatan dan utara yang dilakukan sejak tujuh tahun itulah menghasilkan Ayam Kampung MARDI. 
Namun, beliau me-ngakui Ayam Kampung MARDI dihasilkan dari kedua-dua baka itu pada mulanya menampakkan ketidakseragaman dari aspek warna bulu. 
“Menerusi ‘line breading’ didapati ada ayam berwarna merah dan pudar. Jadi pemilihan dilakukan ketika pe-ngeluaran anak. 
Ayam kampung yang diternak oleh MJ Fatonah Sdn Bhd di Kampung Teluk Penyamun, Batang Berjuntai, Selangor.
“Pada peringkat pertama (F1), ‘line breading’ ayam yang kami ‘kahwinkan’ dari utara dan selatan menghasilkan 1,000 anak ayam. 
“Kami hanya memilih 600 hingga 700 ekor yang mempunyai ciri ditetapkan seperti warna balung, bulu dan panjang kaki,” katanya. 
Semua 600 baka anak ayam itu kemudian dikahwinkan semula sebelum ke peringkat generasi keempat (F4) yang mempunyai 95 peratus keseragaman Ayam Kampung MARDI. 
Dr Azizan berkata, berbanding baka kacukan seperti ‘Sasso’ dari Perancis, baka Ayam Kampung MARDI yang kini sudah melalui peringkat generasi kelima (F5) adalah lebih baik termasuk dagingnya lebih pejal. 
“Kadar pertumbuhannya juga sekata, sama dengan pertumbuhan ayam asli. 
“Malah, Ayam Kampung MARDI mempunyai kadar pertumbuhan purata 1.5 kilogram dalam tempoh 12 minggu,” katanya. 
Menurutnya, Ayam Kampung MARDI juga mempunyai kadar bertelur 65 peratus lebih baik berbanding ayam kampung asli. 
Anak ayam yang beru menetas. Foto: sarazrezra.blogspot
“Ayam kampung biasa mengeluarkan antara 60 hingga 80 biji telur setahun berbanding ayam dihasilkan MARDI mencecah sehingga 200 biji telur setahun. 
“Walaupun baka dipertingkatkan, Ayam Kampung MARDI masih kekal sifat asal ayam kampung asli iaitu mengais dan me-ngeram,” katanya. 
Kelebihan ayam MARDI ialah ia boleh diternak dalam skala yang besar atau dilepas bebas di ladang sawit, getah dan kebun buah-buahan. 
“Kaedah penternakan dan perumahannya mudah serta ringkas berbanding dengan ayam pedaging. Malah, mampu memberikan pulangan lumayan,” katanya. 
Katanya, Ayam Kampung MARDI tidak mempunyai skop pengurusan tinggi kerana penternakannya sama dengan ayam kampung biasa. 
“Kajian dijalankan terhadap ayam ini mendapati ia menggunakan makanan komersial sedia ada, tidak memerlukan ubi kayu dan rumbia,” katanya. 
Mengenai perancangan masa depan, katanya MARDI berharap membekalkan lebih banyak bekalan anak ayam. 
“Sejak dilancarkan, permintaan kalangan industri meningkat 10,000 ekor seminggu, sedangkan kami mengeluarkan 700 ekor seminggu. 
Ayam kampung sedang mengeram telur. Foto: zulbahrihussin.blogspot

“Kami memerlukan kira-kira RM2 juta untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran anak ayam daripada 700 ke 20,000 anak ayam seminggu,” katanya. 
Katanya, MARDI bekerjasama dengan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) untuk mendapatkan geran MOSTI berjumlah RM3 juta bagi mengeluarkan baka induk ibu Ayam Kampung MARDI. - Kosmo!

Isnin, 18 Februari 2013

Muflis Pada Usia Muda




MENELITI satu persatu rak pakaian jenama baharu yang dipamerkan dalam gedung dan butik tempatan, tergerak dalam hati untuk memiliki koleksi yang sama. 
Melihat rakan-rakan yang lebih dulu memakainya, membuat hati meronta-ronta mahu ikut serta. 
Akhirnya, digenggam juga pakaian tersebut tanpa memikirkan wang yang semakin ‘menipis’ dalam simpanan. 
“Kadangkala hajat membeli itu disimpan lama terutamanya untuk memiliki barangan gajet terkini sehingga sanggup berlapar,” ujar Syafil Syazwan Jeffri, 24, sambil membelek tablet yang mendapat perhatian golongan muda masa kini. 
Gaya hidup di luar kemampuan sering menjadi punca utama masalah kewangan yang semakin meruncing dalam kalangan remaja. Hal tersebut membawa kepada bebanan hutang pada usia muda akibat berbelanja secara berlebihan. 
Perbelanjaan terbesar yang perlu dilunaskan Syafil setiap bulan ialah sewa rumah. Bayaran tersebut hampir separuh daripada gaji pokoknya. Walaupun berdepan dengan kadar sewa yang tinggi, dia terpaksa akur dengan pilihan itu memandangkan jarak rumah dan tempat kerjanya dekat berbanding rumah sewa lain. 
“Selain itu, tanggungan bulanan juga merangkumi bil internet, telefon, kelab gimnasium dan perbelanjaan makan minum,” jelasnya. 
Berdasarkan kaji selidik yang dijalankan oleh Pusat Penyelidikan dan Sumber Pengguna (CRRC) mengenai perilaku dan tabiat kewangan golongan pekerja muda, 37 peratus daripada kelompok tersebut mengakui mereka berbelanja melebihi gaji bulanan. 
Tahap pengetahuan yang rendah mengenai pengurusan kewangan menjadi salah satu punca kepada kemelut bebanan hutang golongan tersebut. Kajian CRRC membuktikan 47 peratus daripada mereka dibebani hutang serius.
BANYAK faktor perlu diambil kira oleh golongan muda yang baru bekerja sebelum membeli kereta.– Gambar hiasan


Kos sara hidup yang meningkat saban tahun turut menyumbang kepada masalah pengurusan wang golongan muda. Mengikut statistik yang dikeluarkan oleh Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri (JPM) pada tahun 2009, pendapatan kasar bulanan isi rumah di kawasan bandar menjulang naik kepada RM4,705 berbanding RM3,357 pada tahun 1999. 
Hal ini memberi gambaran bebanan dan tanggungan perlu dihadapi oleh golongan muda terutamanya graduan yang baru memasuki alam pekerjaan. 
Adakah cara hidup generasi ini perlu disalahkan sepenuhnya atau perlu mengambil kira kos sara hidup yang semakin meningkat? 
Dekan Fakulti Ekonomi dan Perniagaan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Dr. Mohd Fauzi Mohd Jani, berkata, golongan muda perlu mengukur baju di badan sendiri ketika berbelanja dan menguruskan kewangan. 
“Tidak dinafikan kos sara hidup yang tinggi mempengaruhi perbelanjaan bulanan seseorang. Ia ditambah dengan gaya hidup yang tidak selari dengan pendapatan. 
“Namun begitu, ia berbalik kepada individu itu sendiri. Mereka seharusnya mengetahui cara pengurusan wang dengan bijak. Langkah yang salah dalam perkara ini menjerumuskan ramai golongan muda dalam perangkap muflis,” ujarnya ketika dihubungi Kosmo!. 
Tambah Mohd. Fauzi, salah satu punca utama berlakunya muflis dalam kalangan golongan muda adalah disebabkan penggunaan kad kredit tanpa had. Kebanyakan kes yang berlaku disebabkan kegagalan membayar balik hutang kad kredit yang tinggi dan di luar kemampuan mereka. 
Mengikut statistik yang dikeluarkan Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI), jumlah pemuda berusia 34 tahun ke bawah yang muflis meningkat setiap tahun. Sebanyak 47 peratus daripada jumlah keseluruhan 4,568 kes baharu direkodkan sehingga suku tahun lalu. 
“Namun demikian, kita perlu mengkaji punca mereka menggunakan kad kredit. Ini kerana ada yang membuat kad kredit untuk melangsaikan bayaran perniagaan mereka sehingga menjadi muflis. 
“Perkara ini perlu diambil kira dan pada masa yang sama, beberapa inisiatif harus dilakukan bagi membantu remaja yang muflis disebabkan masalah pengurusan wang dalam perniagaan,” jelas Mohd. Fauzi. 
Perancangan kewangan yang lemah dan kurangnya pengetahuan mengenai pengurusan wang menjadi faktor utama masalah hutang. Situasi ini menyumbang kepada masalah muflis yang semakin meningkat saban tahun. 
Seramai 9,471 orang telah diisytiharkan muflis sehingga suku ketiga tahun 2012 mengikut statistik MdI. 
Sejumlah 6,203 daripadanya diisytiharkan sebagai muflis akibat kegagalan menjelaskan hutang kad kredit. Ia menjadi kebimbangan kerana turut membelenggu sebilangan belia yang mempunyai tanggungan kad kredit dalam usia yang masih muda.
SYAFIL (kiri) mengakui dirinya terjerat dengan kos perbelanjaan bulanan yang tinggi.

“Hutang yang semakin meningkat saban tahun memaksa saya mencari solusi masalah kewangan ini,” ujar pekerja sektor awam, Saida Akmar, 25, yang mula menggunakan kad kredit sejak tahun 2011. 
“Walaupun sudah mengehadkan perbelanjaan sebanyak RM5,000 untuk sebulan, penggunaan kad kredit membuatkan Saida terleka ketika membeli-belah. 
“Tidak dinafikan, semua yang berlaku kerana kesalahan sendiri yang tidak dapat menahan diri ketika berbelanja,” keluh Saida. 
Bahang kos sara hidup tinggi turut dialami oleh Nurliza Barhan, 25, yang berhijrah ke ibu kota untuk mencari peluang pekerjaan yang setaraf dengan bidang pengajiannya. 
Bagi gadis kelahiran Miri, Sarawak itu, penyelarasan gaji bagi pemegang ijazah boleh mengurangkan masalah kewangan yang berlaku kepada golongan muda seperti dirinya. 
“Apa yang saya lihat sekarang, gaji bagi lepasan ijazah tidak selaras di sektor awam atau swasta. Penyelarasan perlu dipertimbangkan memandangkan peningkatan kadar perbelanjaan saban tahun,” ujar Nurliza ketika ditemui di Shah Alam, Selangor baru-baru ini. 
Mengulas isu tersebut, Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr. Ali Hamsa berkata, kerajaan sedang mengkaji untuk menyelaraskan tangga gaji penjawat awam berkelulusan ijazah yang kini berada di bawah gred 41. 
“Perbincangan bersama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sedang dijalankan kerana keperluan untuk mencapai status negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020,” ujarnya. 
Dilema yang membelenggu diri akibat bebanan hutang perlu diatasi secepat mungkin. Antara langkah yang yang boleh dimulakan adalah dengan mengikuti program-program motivasi dan kewangan seperti yang diadakan oleh Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) melalui Program Pengurusan Kredit. 
“Sehingga Disember 2012, lebih daripada 207,997 orang telah mendapatkan khidmat kaunseling di AKPK. Pada masa sama, 85,994 orang daripada jumlah tersebut telah dibantu melalui Program Pengurusan Kredit,” ujar Pengurus Bahagian Pendidikan Kewangan AKPK, Nor Akmar Yaakub, ketika ditemui di pejabat urusan AKPK. 
Program yang dijalankan bertujuan untuk memupuk tabiat meminjam secara bijak sekali gus menggalakkan budaya pembayaran semula peminjam secara konsisten. Mengikut statistik AKPK, seramai 2,039 belia telah mengikuti program tersebut. - Kosmo!

Ahad, 17 Februari 2013

Berita Ditunggu-tunggu Oleh Pencarum KWSP


Pengerusi KWSP, Tan Sri Samsuddin Osman. Foto: photomalaysia


KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini mengumumkan kadar dividen 6.15 peratus bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2012. 
Pengerusinya, Tan Sri Samsudin Osman dalam satu kenyataan di sini berkata kadar tersebut adalah 15 mata asas lebih tinggi berbanding kadar 6 peratus yang dibayar pada tahun 2011. 
"Ia juga mencatatkan rekod baru berjumlah RM27.45 bilion yang diagihkan kepada anggota KWSP, meningkat 12.20 peratus daripada RM24.47 bilion yang dibayar pada tahun sebelumnya. 
"Pada 2012 juga KWSP mencatatkan pendapatan pelaburan kasar tertinggi sebanyak RM31.02 bilion meningkat 13.91 peratus berbanding 2011," katanya. 
Menurut beliau pembayaran dividen tertinggi ini diperoleh setelah ditolak perbelanjaan pelaburan operasi, caj berkanun serta peruntukan rugi terjejas bersih ke atas aset kewangan. 
Katanya walaupun persekitaran pelaburan semakin kompleks, KWSP mengekalkan momentum kenaikan yang stabil untuk merekodkan keputusan paling kukuh sejak awal milenium, disokong keberkesanan strategi pelaburan jangka panjang serta pendekatan berdisiplin dan berhemah. 
Selain itu, beliau berkata selaras dengan Alokasi Aset Strategik (AAA) yang diamalkan KWSP, sebahagian besar aset pelaburan KWSP terus dilaburkan dalam instrumen berpendapatan tetap berisiko rendah dan stabil. 
Pelaburan ekuiti adalah 38.77 peratus daripada jumlah aset pelaburan pada 2012, manakala baki 3.59 peratus dan 2.42 peratus masing-masing diperuntukkan untuk instrumen pasaran wang dan hartanah dan infrastruktur, tambahnya. 
"Walaupun KWSP melabur dalam pelbagai pelaburan, sebahagian besarnya dilaburkan dalam instrumen berpendapatan tetap berisiko rendah, kadar pulangan pelaburan tahunan (ROI) KWSP melebihi enam peratus bagi tiga tahun berturut-turut. 
"Ekuiti menjana ROI dua digit sebanyak 10.06 peratus manakala pulangan daripada instrumen berpendapatan tetap melebihi 5.50 peratus di sebalik suasana kadar faedah rendah semasa," katanya. - Bernama

Jumaat, 8 Februari 2013

Bonus Jubli Emas Tabung Haji 8 Peratus

Foto: Tabung Haji


KUALA LUMPUR - Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini mengumumkan pemberian bonus jubli emas yang dibuat oleh YB. Mejar Jeneral Dato' Seri Jamil Khir bin Haji Baharom, Menteri di Jabatan Perdana Menteri bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2012. 
Pengumuman bonus jubli emas yang dinamakan sempena sambutan 50 tahun penubuhan TH ini memperlihatkan peningkatan kadar bonus sebanyak 0.5 peratus berbanding pemberian bonus sebanyak 6.0 peratus yang dibayar pada 2011. Sempena perayaan sambutan 50 tahun ini juga, para pendeposit turut menikmati agihan bonus khas sebanyak 1.5 peratus. 
Majlis ini turut dihadiri oleh Pengerusi TH, YBhg. Tan Sri Dato' Sri Abi Musa Asa'ari Mohamed Nor, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Dato' Paduka Ismee Ismail, Ahli-ahli Lembaga Pengarah TH, Ahli-ahli Panel Pelaburan TH serta barisan pengurusan kanan TH. - Tabung Haji

Isnin, 21 Januari 2013

Orang Terkaya Di Malaysia

T. Ananda Krisnan, orang paling kaya di Malaysia tahun 2013

Robert Kuok orang kedua terkaya

Teh Hong Piow orang ketiga terkaya


KUALA LUMPUR – Bilionair telekomunikasi, T. Ananda Krishnan kini bergelar orang terkaya di Malaysia apabila memintas ‘Raja Gula’, Tan Sri Robert Kuok dengan mengumpul kekayaan bernilai RM30.56 bilion. 
Menurut kaji selidik akhbar berbahasa Cina Nanyang Siang Pau, Ananda mendapat lonjakan baharu dari segi kekayaan apabila saham Astro Malaysia Holdings Bhd. disenaraikan di Bursa Malaysia pada tahun lepas. 
Menurut kaji selidik itu, Kuok yang memiliki pelaburan dalam sektor perhotelan dan resort, perladangan serta syarikat perkapalan tercicir daripada kedudukan orang terkaya di Malaysia dengan nilai harta berjumlah RM29.4 bilion. 
Kuok dinobatkan sebagai orang terkaya di Malaysia pada tahun lalu berdasarkan ranking majalah Malaysian Business dengan harta bernilai RM45.7 bilion tetapi kekayaan itu susut sebanyak RM16.3 bilion pada tahun ini. 
Tempat ketiga pula dikuasai tokoh perbankan dari Public Bank, Tan Sri Teh Hong Piow dengan nilai aset berjumlah RM15.1 bilion, meningkat sebanyak RM2.36 bilion berbanding RM12.64 bilion pada tahun lalu. - Kosmo

Isnin, 14 Januari 2013

Akaun Kerajaan Zimbabwe Tinggal RM651

Ramai rakyat Zimbabwe hidup dalam kemiskinan walaupun negara itu telah mencapai kemerdekaan

Menteri Kewangan Zimbabwa, Tendai Biti. Foto: Mail Online

Presiden Mugabe pula menyalahkan Barat dan sekatan ekonomi


HARARE - Sukar untuk dipercayai! Tetapi ini yang dialami oleh Zimbabwe, negara benua Afrika sekarang. 
Akaun awam negara itu hanya tinggal AS$217 (RM651) selepas membayar gaji kakitangan kerajaan minggu lalu, demikian menurut Menteri Kewangan, Tendai Biti. 
"Minggu lalu, apabila kami membayar kakitangan awam, hanya tinggal AS$217 di perbendaharaan," kata Biti di sini semalam. 
"Kewangan kerajaan lumpuh sekarang. Kami gagal mencapai sasaran kami," kata beliau lagi. 
Satu dekad lalu, negara itu berhadapan dengan kenaikan inflasi sehingga 231 juta peratus. 
Biti berkata, pihaknya tiada pilihan kecuali meminta sumbangan tunai negara penderma. 
"Kami akan mendapatkan sumbangan masyarakat antarabangsa," kata beliau lagi. 
Bajet kebangsaan kerajaan Zimbabwe mencecah paras AS$3.8 bilion manakala pertumbuhan ekonomi dijangka lima peratus. - Sinar Harian

Selasa, 4 Disember 2012

Lelaki Malaysia Suka Hutang Tapi Tak Minat Bayar




KUALA LUMPUR – Seramai 169,218 individu lelaki di negara ini telah diisytiharkan bankrap sejak tahun 2005 hingga April tahun ini disebabkan sikap buruk mereka sendiri yang liat untuk membayar balik hutang. 
Jumlah tersebut meliputi 70 peratus daripada jumlah keseluruhan individu yang telah diisytiharkan bankrap dalam tempoh sama iaitu seramai 241,740 orang. 
Ketua Jabatan Korporat dan Komunikasi Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), Mohd. Khalil Jamaldin berkata, fakta tertersebut menunjukkan golongan lelaki di negara ini lebih suka berhutang berbanding golongan wanita. 
Beliau berkata, jumlah golongan wanita yang diisytiharkan bankrap dalam tempoh sama adalah seramai 72,522 orang. 
Katanya, punca utama golongan Adam menjadi liat untuk membayar hutang adalah disebabkan sikap mereka yang gemar melangsaikan hutang sedia ada dengan membuat pinjaman baharu. 
Beliau menegaskan, tindakan tidak berhemah golongan lelaki membuat hutang baharu itu ibarat menutup lubang hutang lama dan kemudian menggali lubang hutang yang baharu. 
“Hutang yang baharu itu tidak akan selesai malah semakin bertambah. 
“Apabila sudah tidak mampu bayar, tanggungjawab untuk membayar hutang itu turut hilang. 
“Jadi akhirnya dia biarkan saja hutang itu macam orang malas nak bayar hutang,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.
_______________________________________________________________________

Rasulullah SAW bersabda: Menangguh hutang padahal mampu membayarnya adalah satu kezaliman. Maka halal menghukumnya dan (memburukkan) namanya. (Riwayat Al-Bukhari)
Rasulullah SAW selalu berdoa agar dihindarkan daripada hutang. Siti Aisyah berkata: "Doa yang selalu dibaca Nabi SAW dalam solat adalah: Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu daripada dosa dan hutang." 
Seorang sahabat bertanya: "Wahai Rasulullah, mengapa tuan selalu berlindung daripada hutang?" Baginda menjawab: Sesungguhnya orang berhutang jika ia berkata, ia akan berdusta. Dan jika ia berjanji, ia tidak menepati janjinya. (riwayat al-Bukhari)

Selasa, 20 November 2012

Eropah Boikot Firma Israel





STOCKHOLM - Musim panas 2011 mencatat rekod baru bagi syarikat Israel dan antarabangsa yang terbabit dalam pencabulan hak asasi manusia terhadap penduduk Palestin di Tebing Barat. 
Antara kesan paling ketara berikutan kempen pemulauan produk buatan Israel di Eropah ialah apabila pengekport sayur terbesar negara Yahudi itu, Agrexo, bankrap. 
Satu lagi firma ialah Veolia dari Perancis yang mendapat kontrak Kerajaan Israel untuk memberi khidmat kereta api kepada pendatang Yahudi di Tebing Barat. Veolia mengumumkan kerugian besar berikutan tekanan aktivis di seluruh dunia. 
Terbaru, di Sweden, pengeluar minuman bergas Israel, Sodastream, menerima tamparan hebat selepas pasar raya Coop mengumumkan 19 Julai lalu bahawa ia akan berhenti membeli produk dari penempatan haram Yahudi. 
Ia adalah kemenangan penting bagi pergerakan BDS (boikot, pilih pelaburan dan sekatan) kerana Sweden adalah pasaran terbesar Sodastream dengan seorang setiap lima pemilik rumah memiliki produknya. 
Syarikat Israel itu menjadi sasaran kempen aktivis Sweden sejak dua tahun lalu. Aktivis mendedahkan syarikat itu menjadi tali barut penjajahan di wilayah Palestin. 
Kilang utama Sodasteram terletak di Mishor Adumin, zon industri terletak di penempatan Yahudi iaitu Maaleh Adumin, di tebing Barat. 
Coop Sweden memiliki 21.5 peratus pasaran peruncitan tempatan. Ia membuat keputusan tidak lagi berurusan dengan sodastream selepas televisyen menyiarkan laporan memaparkan operasi Sodastream di Mishor Adumin. 
Menggunakan maklumat wartawan Israel dan pertubuhan hak asasi manusia selain data korporat Sodastream, laporan TV4 menunjukkan, firma itu dan pengedarnya di Sweden, Empire tidak bercakap benar, iaitu produknya yang dijual di Sweden adalah daripada petempatan haram Yahudi. 
Tiga tahun lalu, Empire berjanji bahawa ia tidak lagi akan mengedarkan produk dari penempatan haram Yahudi. 
Agensi.
_______________________________________________________________________

Sebenarnya...
banyak produk...
syarikat Israel atau syarikat pro Israel...
boleh diboikot...
sebab kita memang tidak memerlukannya!
 
Contohnya...
minuman bergas atau berkarbonat...
bukankah minuman ini...
mengandungi gula yang tinggi?
 
Nak boikot macam mana?
kalau tak boleh berhenti terus...
kurangkan pengambilannya...
 
Tapi kalau umur...
dah dekat 40 tahun atau lebih...
boikot terus...
sebab ia membahayakan kesihatan!
Memang rugi besar...
kalau kena diabetis...
lepas tu mati!
  
Lainlah...
kalau mati terbunuh...
kerana berjihad melawan zionis Isreal!