Allah berfirman dalam al-Quran:

"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran." Mafhum Surah al-Asr: ayat 1 - 3.
Memaparkan catatan dengan label Kemalangan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Kemalangan. Papar semua catatan

Rabu, 21 Januari 2015

Laporan Awal Nahas QZ8501 Dikeluarkan 28 Januari Ini

Menteri Pengangkutan Indonesia berkata Pesawat QZ8501 didapati menambah kelajuannya lebih tinggi sebelum terhenti

Menteri itu berkata 'hal ini jarang berlaku walaupun untuk jet pejuang'

Sebahagian daripada serpihan pesawat

Pesawat ini terhempas ke dalam Laut Jawa dekat Pulau Belitung, Indonesia selepas menempuh cuaca buruk

Pesawat yang membawa 162 penumpang dan anak kapal ini terhempas ketika dalam perjalanan dari Surabaya ke Singapura

Berdasarkan perakam suara pesawat, penyiasat menolak kemungkinan pengganas menjadi punca kemalangan ini

Minggu lalu, sebuah kapal tentera laut Singapura berjaya mengesan badan utama Pesawat QZ8501

Bagaimanapun para penyelam menghadapi kesukaran untuk menghampiri fiuslaj kerana cuaca buruk


JAKARTA – Para ­penyiasat Indonesia sedang memfokuskan faktor kesilapan manusia atau masalah teknikal pada pesawat yang mungkin menjadi punca nahas pesawat AirAsia QZ8501 yang terhempas di Laut Jawa pada 28 Disember lalu.
Jawatankuasa Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan Indonesia (NTSC) yang sebelum ini menolak ada unsur pengganas dalam nahas itu membe­ritahu bahawa satu laporan awal tragedi tersebut akan dikeluarkan pada 28 Januari ini.
Seorang pegawai penyiasat di NTSC, Nurcahyo Utomo berkata, siasatan kini tertumpu kepada kemungkinan berlakunya kerosakan pada pesawat dan faktor manusia.
Sebelum ini para pegawai agensi meteorologi Indonesia memberitahu, kemungkinan cuaca buruk menjadi punca pesawat berkenaan terhempas.
“Kami akan memfokuskan kepada bagaimana sistem pada pesawat dan ­juruterbang bertindak balas terhadap cuaca berbanding cuaca ketika kejadian,” kata Nurcahyo.
Ujarnya, pasukan ­penyiasat juga sedang ­menganalisa maklumat daripada rakaman data penerbangan pesawat yang memantau semua bahagian utama pesawat dan merakamkan ketinggian serta arah ia bergerak.
Seorang lagi penyiasat, Ertata Lananggalih berkata, pihak berkuasa tidak akan mendedahkan sebarang butir lanjut mengenai kan­dungan rakaman data ­penerbangan dan rakaman suara kokpit QZ8501 sebelum laporan awal dikeluarkan.
Pesawat milik AirAsia Indonesia yang membawa seramai 162 penumpang dan anak kapal itu terhempas ketika dalam perjalanan dari Surabaya menuju ke Singapura.
Sehingga kini, sebanyak 53 mayat penumpang berjaya ditemui dan ramai mangsa dipercayai masih terperangkap di dalam badan pesawat berkenaan.
Usaha pasukan penyelam Indonesia untuk meng­hampiri badan pesawat berkenaan yang ditemui di dasar Laut Jawa sejak beberapa hari lalu masih gagal akibat cuaca buruk.
Pesawat itu terhempas ke dalam Laut Jawa dekat Pulau Belitung, Indonesia selepas menempuh cuaca buruk. – AFP/ Kosmo!

Rabu, 31 Disember 2014

Pesawat AirAsia Zest Terbabas Di Filipina

Wartawan tempatan Jet Damazo-Santos telah memuat naik gambar ini ke Twitter beliau menunjukkan suasana kecoh

Kelihatan dua pramugari ini tidak berkasut selepas berjaya melongsor dari pesawat

Airbus A320-216 membawa 153 penumpang dan anak kapal dari Manila ke bandar Kalibo di selatan Manila

MANILA - Pihak berkuasa Filipina berkata, sebuah pesawat AirAsia Zest yang membawa 59 penumpang dan anak kapal terbabas dari landasan ketika mendarat dalam cuaca buruk di Lapangan Terbang Kalibo, tengah Filipina, semalam.
Giovanni Hontomin yang bertanggungjawab terhadap operasi AirAsia Zest berkata, anak kapal melepaskan gelongsor kecemasan bagi membolehkan penumpang turun dengan selamat dari pesawat Airbus A320-200 itu, semalam.
Tiada kecederaan dilapor berlaku dan pesawat dari Manila itu dibiarkan sementara di kawasan rumput di hujung landasan berkenaan.
Bandar Kalibo terletak 350 kilometer ke selatan Manila.
Kejadian itu berlaku selepas sebuah pesawat AirAsia Indonesia terhempas di Laut Jawa Ahad lalu ketika dalam penerbangan dari Surabaya ke Singapura dengan membawa 162 penumpang.
Ia juga berlaku dua hari selepas sebuah lagi pesawat AirAsia Zest menghadapi masalah tayar di bandar Tagbilaran, menyebabkan penerbangan ke Manila itu dibatalkan. - Agensi/ myMetro

Sekitar Penemuan Pesawat QZ8501

Sebahagian objek yang ditemui terapung di lokasi nahas pesawat QZ8501 semalam.

Pesawat QZ8501 hilang dari radar enam minit selepas komunikasi terakhir dengan menara kawalan

Siaran berita televisyen Indonesia semalam menunjukkan sekurang-kurangnya satu mayat terapung di permukaan air


JAKARTA – Sejumlah objek yang ditemukan oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) disahkan merupakan serpihan pesawat Air­Asia Indonesia QZ8801 yang hilang di perairan Laut Jawa sejak tiga hari lalu.
Ketua Badan Mencari dan Menyelamat Nasional (Basarnas) Indonesia, Bambang Soelistyo semalam mengesahkan pihaknya telah membawa keluar tujuh mayat mangsa nahas udara itu yang dijumpai setakat ini.
“Mayat yang ditemui iaitu dua wanita dan seorang lelaki kini berada dalam kapal perang Bung Tomo,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di sini semalam. - Kosmo

Salah seorang ahli keluarga mangsa penerbangan QZ8501 tidak dapat menahan perasaan hiba

Individu ini terpaksa ditenangkan oleh petugas kecemasan di Lapangan Terbang Juanda, Surabaya

Individu ini pula pitam sebaik mendengar penemuan mayat penumpang pesawat QZ8501

Kepiluan jelas terbayang di wajah ahli keluarga mangsa

SURABAYA – Pengsan, pitam, menjerit, sugul dan mena­ngis. Itu reaksi waris dan anggota keluarga penumpang dan kru pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 di Pusat Krisis Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Juanda di sini sebaik sahaja pihak berkuasa Indonesia mengesahkan penemuan beberapa serpihan pesawat itu dan mayat di Laut Jawa petang semalam.
Ada waris dan anggota keluarga terpaksa dibawa keluar dari pusat krisis itu menggunakan pengusung kerana pitam sebaik mendengar pengumuman yang dibuat pihak berkuasa di Jakarta. 
Ada pula yang ditenangkan wakil syarikat penerbangan dengan memeluk dan meme­gang tangan waris dan anggota keluarga yang emosi mereka kelihatan semakin tidak stabil dan tenteram. - Kosmo!

Badan Mencari dan Menyelamat Nasional (Basarnas) Indonesia mengesahkan penemuan serpihan pesawat Air­Asia QZ8801

Suasana sedih dan pilu hanya sempat dirakam beberapa seketika sebelum kesemua cermin ditampal dengan kertas

SURABAYA - Jeritan tangisan ahli keluarga pesawat QZ8501 sebaik disahkan penemuan pesawat itu jelas kedengaran sehingga seorang daripada ratusan waris pengsan sebelum terpaksa diusung keluar dari Pusat Krisis Lapangan Terbang Antarabangsa Juanda Surabaya tadi.
Malah pusat itu yang seawalnya tenang mula bertukar kecoh apabila ahli keluarga dimaklumkan penemuan terbaru itu.
Wartawan yang berada di lokasi mendapati ada keluarga yang saling berpeluk dan menangis selepas menerima berita itu.
Media tempatan dan antarabangsa turut mengambil kesempatan menggerumuni pintu hadapan pusat ini namun dihalang pegawai bertugas.
Detik suasana sedih dan pilu itu hanya sempat dirakam beberapa seketika sebelum kesemua cermin ditampal dengan kertas dan kain bagi menghalang media merakamkannya.
Ambulans juga sudah ditempatkan di luar pusat ini sebagai langkah persediaan. - myMetro/ 30 Disember 2014 @ 5:11 PM

Presiden Indonesia Joko Widodo meninggalkan Lapangan Terbang Antarabangsa Juanda selepas bertemu keluarga mangsa

Anggota penyelamat memuatkan beg mayat ke dalam pesawat untuk di bawa ke Pangkal Pinang di Kalimantan 

Beg-beg mayat ini akan digunakan selepas mayat-mayat mangsa dibawa keluar

Beg mayat dilihat disediakan untuk pengangkutan ke lokasi kemalangan awal pagi ini

SURABAYA - Fokus utama kini tertumpu kepada operasi mengeluarkan jasad penumpang dan kru serta pesawat QZ8501 yang ditemui di Pangkalan Bun.
Presiden Indonesia Joko Widodo berkata, operasi mengeluarkan mangsa nahas pesawat itu akan diperluaskan supaya dapat dibawa keluar secepat mungkin.
Menurutnya, tiga kapal sudah berada di lokasi penemuan itu dan aset lain turut menuju ke sana untuk melakukan pencarian secara besar-besaran.
"Saya sudah berada di sana sejam tadi untuk melihat sendiri lebih dekat operasi terbabit dan sudah mengarahkan Badan SAR Nasional (BASARNAS ) bergabung dengan semua agensi untuk operasi mencari mangsa dan pesawat.
"Kini fokus terarah kepada proses membawa keluar mangsa dan pesawat itu," katanya kepada pemberita pada sidang media di Lapangan Terbang Antarabangsa Juanda Surabaya tadi.
Joko berkata, ketika melihat lokasi penemuan mendapati keadaan berkabus dan ombak besar sehingga dua ke tiga meter.
"Saya juga berterima kasih kepada BARSANAS, Tentera Nasional Indonesia (TNI), pihak polis, sukarelawan dan nelayan yang memberi kerjasama mencari pesawat ini.
"Tidak dilupakan juga ucapan terima kasih kepada rakan senegara seperti Malaysia, Singapura dan Australia yang turut membantu," katanya.
Beliau turut melahirkan rasa simpati dan kehilangan di atas musibah menimpa seluruh keluarga supaya tabah menghadapi situasi ini. - myMetro/ 30 Disember 2014 @ 9:02 PM

Tony Fernandes berkata, penemuan kotak hitam pesawat QZ8501 nanti mampu mendedahkan kejadian sebenar

Fernandes berkata, beliau tidak akan lari dan meminta maaf atas apa yang berlaku serta akan bertanggungjawab

SURABAYA - Penemuan kotak hitam pesawat QZ8501 nanti mampu mendedahkan kejadian sebenar yang berlaku dan orang ramai diminta tidak membuat sebarang spekulasi selagi siasatan masih belum selesai.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Tan Sri Tony Fernandes berkata, siasatan menyeluruh berkaitan pesawat itu akan mendedahkan perkara sebenar yang berlaku.
"Biarlah kotak hitam menceritakan apa yang berlaku sebenarnya dan jangan membuat sebarang spekulasi selagi hasil siasatan belum selesai.
"Penyiasatan berkaitan pesawat ini akan dijalankan sebaik kotak hitam itu ditemui dan tidak adil membuat spekulasi berhubung punca nahas ini," katanya kepada pemberita pada sidang media di Pusat Krisis di Lapangan Terbang Antarabangsa Juanda Surabaya, tadi.
Tony berkata, buat masa ini keutamaan diberikan kepada keluarga penumpang dan kru dengan memberi sokongan moral serta memberi bantuan.
"Saya tidak akan lari dan meminta maaf atas apa yang berlaku serta akan bertanggungjawab dalam insiden.
"Kami akan cuba melakukan yang terbaik dalam menghadapi insiden ini sejak 13 tahun memimpin syarikat penerbangan ini," katanya.
Beliau berkata, sejak insiden ini hubungannya dengan keluarga mangsa menjadi akrab dan perhubungan itu tidak akan terputus dan sokongan serta bantuan tetap akan diberi.
"Kita akan memberi pampasan kepada keluarga ini namun tunggu terlebih dahulu hasil siasatan.
"AirAsia akan terus bekerjasama dengan Badan SAR Nasional (BARSANAS) untuk melakukan operasi membawa keluar mangsa dan pesawat di lokasi penemuan," katanya.
Menurutnya, proses membawa keluar mangsa akan dapat dijalankan secepat mungkin dan biar mereka yang layak menjalankan kerja-kerja mereka.
"Saya juga akan ke lokasi pencarian esok untuk melihat operasi yang dijalankan dan mendapatkan perkembangan terkini.
"Harap esok operasi membawa keluar mangsa akan selesai jika keadaan cuaca baik," katanya.
Tambahnya, operasi perjalanan syarikat penerbangan ini berjalan seperti biasa dan pihaknya kuat serta tabah menghadapi situasi ini. - myMetro/ 30 Disember 2014 @ 10:26 PM

Kerja keras anggota pencari dan penyelamat ini berbaloi pada hari ketiga

Kegigihan pasukan pencari dan penyelamat ini patut dicontohi

Presiden Indonesia turut menyertai pasukan pencari dan penyelamat

Presiden Joko Widodo dalam kokpit sebuah pesawat tentera sebagai memberi sokongan moral

JAKARTA - Usaha Mencari dan Menyelamat (SAR) mangsa nahas pesawat AirAsia Indonesia Penerbangan QZ8501 diteruskan lewat hari ini walaupun cuaca semakin gelap, kata jurucakap Tentera Laut, Manahan Simorangkir.
Pasukan mencari dan menyelamat itu akan menggunakan lampu suluh berkuasa tinggi di kawasan perairan tempat mayat dan serpihan bangkai pesawat itu ditemui, kata Manahan dalam temu bual disiarkan secara langsung oleh stesen televisyen, TVOne.
Sehingga ini, katanya, pihaknya hanya dapat mengesahkan mayat seorang wanita telah dibawa ke sebuah pangkalan berhampiran.
Pihak berkuasa sudahpun mengesahkan penemuan sisa bangkai pesawat itu dan beberapa mayat yang terapung di kawasan perairan berhampiran Pangkalan Bun, Kalimantan Tengah, pada tengah hari ini.
Pesawat Airbus A320-200 itu membawa 162 penumpang dan anak kapal, berlepas dari Surabaya, Indonesia, pada 5.20 pagi Ahad dan dijadual tiba di Lapangan Terbang Changi Singapura pada 8.30 pagi hari sama.
Kali terakhir pesawat itu berhubung dengan Menara Kawalan Trafik Udara pada 6.12 pagi waktu Indonesia (7.12 pagi waktu Malaysia).
Penumpang pesawat itu terdiri daripada 149 warga Indonesia, 3 Korea Selatan, 1 Singapura, 1 Malaysia dan 1 United Kingdom.
Kru terdiri daripada enam Indonesia dan seorang Perancis. - Bernama/ 30 Disember 2014 @ 11:27 PM

Khairunisa Haidar Fauzi, pramugari pesawat QZ8501 yang malang

SURABAYA - “Saya reda dan menerimanya dengan hati terbuka jika benar dakwaan penemuan serpihan pesawat dinaiki anak saya,” kata bapa kepada kru pesawat AirAsia Indonesia QZ8501, Khairunisa Haidar Fauzi dari Palembang.
Kata-kata itu diluahkan lelaki terbabit kepada pegawai bertugas di Pusat Krisis di Lapangan Terbang Antarabangsa Juanda, di sini.
Malah dia turut menyatakan sejak kejadian itu dia tidak berhenti membaca surah Yasin dan al-Quran memohon petunjuk daripada Allah.
Wartawan yang membuat pemerhatian dari tepi pusat itu turut terdengar perbualannya dengan pegawai bertugas terbabit.
Ahli keluarga yang setia menunggu perkembangan terkini di pusat itu masih dalam keadaan tenang, walaupun terdapat laporan penemuan beberapa objek di Pangkalan Bun.
Suasana di pusat itu masih dalam keadaan terkawal dengan ratusan waris dan ahli keluarga terus menunggu maklum balas daripada pihak berkenaan.
Pemerhatian wartawan dari luar pusat mendapati Ketua Badan SAR Nasional (BASARNAS) di Surabaya, M Hernanto memberikan taklimat, manakala pegawai penerbangan AirAsia Indonesia menenangkan perasaan waris keluarga pesawat malang itu.
Malah, jelas kedengaran dari dalam bilik itu suara meminta ahli keluarga bersabar dan meminta mereka bertenang ketika siaran televisyen media tempatan menayangkan gambar serpihan dari kawasan pencarian.
Cubaan untuk menemubual waris keluarga belum berhasil. - myMetro/ 31 Disember 2014 @ 6:51 AM

Lokasi di mana pesawat QZ8501 ditemui

Pasukan penyelam TNI bersama peralatan menyelam mereka di Pangkalan Bun sertai pasukan SAR


JAKARTA - Bangkai pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 ditemui oleh pasukan mencari dan menyelamat Indonesia menggunakan peralatan sonar.
Memetik laporan CNN.com, bangkai pesawat itu dipercayai berada di dasar Laut Jawa dan sehingga kini masih tidak dapat dipastikan ia berkecai sepenuhnya atau tidak.
Pengarah SAR, SB Supriyadi berkata, peralatan sonar itu mampu mencapai kedalaman 40 hingga 50 meter di dasar laut dan usaha mengesan kotak hitam pesawat juga giat dijalankan.
Dalam pada itu, seorang pegawai SAR Indonesia , Hernanto berkata, pasukan penyelam, kapal dan juga pesawat dari pasukan SAR sudah ke lokasi bangkai pesawat itu ditemui. - myMetro

Isnin, 22 Disember 2014

Lelaki Cina Selamat Selepas Dilanggar Lori Treler





NINGBO, China – Satu rakaman kamera keselamatan memaparkan detik-detik cemas seorang penunggang basikal dilanggar sebuah lori treler ketika melintas sebatang jalan di bandar ini yang terletak di wilayah Zhejiang.
Rakaman itu yang dipercayai dirakam baru-baru ini menunjukkan seorang lelaki yang menunggang sebuah basikal tidak sedar sebuah lori treler yang membelok ke arahnya ketika melintas jalan.
Lelaki itu kemudiannya terjatuh selepas dilanggar lori treler berkenaan dan terus terperosok ke bawah kenderaan berat tersebut seolah-olah digilis. 
Bagaimanapun, selepas lori itu melepasinya, dia dilihat masih hidup dan terus duduk dalam keadaan terpinga-pinga.
Lebih menakjubkan lagi, lelaki tersebut disahkan tidak mengalami sebarang kecederaan serius dan hanya mengalami luka-luka kecil.
Pihak polis berkata, mereka sedang mengesan pemandu lori yang melanggar lelaki itu kerana terus melarikan diri selepas kejadian tersebut. – Agensi/ Kosmo!

Khamis, 18 Disember 2014

Kemalangan Ngeri Di Bulatan Sigah Penampang

Satu kemalangan ngeri berlaku di Bulatan Sigah, Penampang melibatkan trailer, pacuan empat roda dan motosikal. Foto: BH

Dua mangsa yang meninggal dunia adalah penunggang dan pembonceng motosikal, warga emas lelaki dan wanita

Keadaan mayat pasangan suami isteri warga emas yang maut dalam kemalangan ngeri semalam.


PENAMPANG - Sepasang suami isteri maut selepas motosikal yang mereka naiki dilanggar sebuah treler di Bulatan Sigah, dekat sini pagi tadi.
Pemangku Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Azmir Abdul Razak berkata mangsa kemalangan jam 11.45 pagi itu yang melibatkan empat buah kenderaan, dikenali sebagai Bunsilak@Anastasius,69, dan isterinya Tilis@Bibiana Jikoni,65.
Kedua-dua mangsa, yang merupakan rakyat tempatan dan berasal dari Kg Duvanson, Putatan, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di seluruh badan.
Seorang lagi penunggang motosikal yang dikenali sebagai Wan Mohd Faizal Wan Alias, 33, dari Taman Putrajaya, Telipok dan bekerja sebagai Pembantu Operasi Jabatan Alam Sekitar, cuma cedera ringan.
Siasatan awal mendapati treler, yang membawa muatan jentera 'roller' (jentera meratakan jalan) itu ketika kejadian dalam perjalanan dari Jalan Lintas Putatan ke Jalan Tambunan.
Apabila sampai di tempat kejadian dan selepas hampir melepasi Bulatan Sigah berkenaan, pemandu treler itu memberhentikan kenderaannya selepas mendengar bunyi di bahagian belakang trelernya seolah-olah terlanggar sesuatu. 
Selepas turun dari kenderaannya, dia mendapati trelernya telah melanggar dua buah motosikal dan sebuah kenderaan pacuan empat roda. - Bernama

Khamis, 13 November 2014

Dua Pencuci Tingkap Bergayut Selama Dua Jam

Dua pekerja mencuci tingkap di World Trade Centre (WTC) yang baharu bergayut selama hampir dua jam

Mereka terpaksa bergayut di tingkat 69 pada ketinggian 240 meter

Kira-kira 100 anggota bomba dan penyelamat terbabit dalam operasi menyelamat

Pihak penyelamat memotong lubang di sebuah tingkap di tingkat 68 untuk membawa pekerja itu masuk ke dalam bangunan

Ambulans, kenderaan bomba dan helikopter dihantar ke tempat kejadian

Orang ramai di tempat kejadian mengambil kesempatan merakan video menggunakan telefon bembit masing-masing


NEW YORK - Dua pekerja mencuci tingkap diselamatkan di World Trade Centre (WTC) yang baharu selepas kabel yang mengikat platform mereka terputus, menyebabkan mereka terpaksa bergayut di tingkat 69 selama hampir dua jam.
Pasukan penyelamat terpaksa membuat lubang pada tingkap tingkat 68 untuk menyelamatkan pekerja terbabit yang berpaut pada platform yang tergantung di satu sudut di bahagian selatan bangunan itu, pada ketinggian 240 meter di Menara Satu kompleks berkenaan di Manhattan.
Kira-kira 100 anggota bomba dan penyelamat terbabit dalam operasi menyelamat di kompleks berkenaan setinggi 1,776 kaki itu, iaitu yang tertinggi di Amerika Syarikat.
Pesuruhjaya Bomba New York, Daniel Nigro berkata anggotanya mengambil masa hampir sejam untuk sampai ke tempat kedua-dua pekerja itu tergantung.
"Mereka berdiam diri dan tidak bercakap banyak," kata Nigro.
Pihak penyelamat memotong lubang di sebuah tingkap di tingkat 68 dan membawa pekerja itu masuk ke dalam bangunan.
Sebelum mereka diselamatkan, anggota bomba menggantungkan kabel untuk memastikan platform itu tidak jatuh dan berkomunikasi dengan kedua-dua pekerja terbabit menerusi radio.
Ambulans, kenderaan bomba dan helikopter dihantar ke tempat kejadian dan kawasan di sekitar bangunan berkenaan di New York ditutup.
Pihak berkuasa berkata pekerja berkenaan memakai alat keselamatan menyebabkan mereka tidak berada dalam keadaan merbahaya.
Bangunan itu, yang dibina semula di atas tapak lama WTC yang diserang pada 11 September 2001, dibuka semula minggu lalu. - AFP/ Berita Harian

Rabu, 12 November 2014

Nahas Bas Dahsyat Di Pakistan

Sebuah bas yang sarat dengan penumpang bertembung dengan lori barang di selatan Pakistan

Nahas ini menyebabkan 56 penumpang bas maut

Kemalangan berlaku berhampiran Bandaraya Khairpur, 450 kilometer di utara Karachi

Lebih 9,000 kemalangan jalan raya berlaku setiap tahun menurut Biro Perangkaan Pakistan

Bas yang membawa 70 penumpang bertembung dengan lori menyebabkan tangki bahan api meletup

Seorang lelaki yang cedera dalam kemalangan bas itu menerima rawatan di sebuah hospital di Khairpur


KARACHI - Sekurang-kurangnya 56 orang maut apabila sebuah bas bertembung dengan lori barang di selatan Pakistan.
Kemalangan berlaku berhampiran Bandaraya Khairpur, 450 kilometer di utara Karachi.
"Bas ke Karachi dari bandar Swat masuk ke jalan bertentangan dan bertembung dengan lori barang, mengakibatkan 56 penumpangnya maut," kata pegawai polis tempatan, Nasir Aftab.
Katanya, 18 penumpang cedera dalam kejadian itu dan menambah daripada jumlah yang maut itu, 17 adalah wanita manakala 18 kanak-kanak.
Doktor di hospital awam Khaipur berkata, tiga mangsa yang cedera kini dalam keadaan kritikal. - AFP/ Berita Harian