Allah berfirman dalam al-Quran:

"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran." Mafhum Surah al-Asr: ayat 1 - 3.
Memaparkan catatan dengan label Sosial. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Sosial. Papar semua catatan

Rabu, 21 Januari 2015

Lagi Berita Penumpang Pesawat Buka Pintu Kecemasan

Seramai 130 penumpang dari Rio de Janeiro ke Sao Paulo terperangkap dalam kapal terbang

Penumpang yang terdesak terpaksa bertindak membuka pintu kecemasan pesawat kerana alat pendingin hawanya rosak

Rio kini mengalami cuaca panas terik mencecah 40 darjah Celsius

Penumpang kemudiannya dipindahkan ke pesawat lain


SAO PAULO - Penumpang yang terperangkap dalam sebuah kapal terbang ketika mengalami gangguan pendingin hawa akibat cuaca terlalu panas bertindak membuka pintu kecemasan, kelmarin.
Stesen televisyen Globo menyiarkan rakaman dalam pesawat itu menunjukkan penumpang yang kepanasan dengan mengipas diri mereka sebelum bertindak membuka pintu kecemasan terbabit.
Pesawat yang membawa 130 penumpang dari Rio de Janeiro ke Sao Paulo terperangkap ketika kapal terbang itu berada di atas landasan selama sejam.
Syarikat penerbangan Brazil, Gol berkata, bahagian pendingin hawa ketika pesawat berada di darat mengalami kerosakan. 
Penumpang kemudiannya dipindahkan ke pesawat lain.
"Kita mengambil segala langkah yang perlu untuk mengurangkan rasa tidak puas hati penumpang," katanya.
Rio sedang mengalami cuaca panas terik dengan suhu mencecah 40 darjah Celsius. - AP/ Berita Harian

Jumaat, 19 Disember 2014

Lagi Penumpang China Berkelakuan Pelik

Seorang penumpang yang pertama kali menaiki pesawat membuka pintu kecemasan untuk mendapatkan udara segar

Petugas kemudian memindahkan lelaki itu ke tempat duduk lain yang jauh dari pintu kecemasan

Sebelum ini seorang penumpang membuka pintu kecemasan sebaik pesawat mendarat kerana hendak cepat keluar


HANGZHOU - Kerana keadaan berkuap di dalam pesawat, seorang penumpang yang pertama kali menaiki pesawat membuka pintu kecemasan untuk mendapatkan udara segar ketika kapal tebang itu bersiap sedia untuk berlepas.
Tindakan lelaki itu memeranjatkan petugas Xiamen Airlines dan juga penumpang lain yang dalam penerbangan dari Hangzhou ke Chengdu kerana mereka belum pernah melihat keadaan itu berlaku.
Ditanya mengenai tindakannya itu oleh kakitangan pesawat, lelaki itu berkata, dia berasa panas dan rimas sementara menunggu pesawat itu berlepas.
Akhbar South China Morning Post berkata, petugas kemudian memindahkan lelaki itu ke tempat duduk lain, jauh dari pintu itu. 
Kejadian berlaku selepas satu kejadian lain menyaksikan seorang penumpang membuka pintu kecemasan sebaik pesawat yang dinaiknya mendarat kerana hendak cepat keluar. Ia menyebabkan syarikat penerbangan itu menanggung kerugian sebanyak 100,000 yuan (RM56,000). - Agensi/ myMetro

Khamis, 18 Disember 2014

Buka Pintu Kecemasan Sebab Tak Sabar Nak Turun

Seorang penumpang bertindak membuka pintu kecemasan kerana mahu keluar cepat dari pesawat China Eastern

Tindakan bodoh lelaki tersebut telah mengaktifkan gelungsur kecemasan

Lelaki itu mendakwa dia tidak pernah mendengar taklimat keselamatan dan dia 'tidak tahu' pintu keluar

Petugas lapangan terbang sedang mengempiskan gelungsur kecemasan dan menyebabkan penerbangan lewat dua jam

Lapangan Terbang Antarabangsa Sanya Fenghaung, tempat berlakunya kejadian


BEIJING - Belum lagi reda mengenai tindakan bodoh dalam pesawat oleh pelancong China, timbul pula satu lagi kisah yang dicetuskan penumpang pesawat dari negara itu.
Minggu lalu, berlaku kejadian melontar mi panas terhadap seorang pramugari AirAsia Thailand dan ancaman mengebom pesawat itu yang dilakukan sepasang kekasih dari negara itu.
Kelmarin, satu lagi kes timbul, membabitkan seorang penumpang yang bertindak mengaktifkan gelungsur kecemasan semata-mata kerana mahu keluar cepat dari pesawat yang dinaikinya.
Penerbangan China Eastern MU2331 yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Phoenix Sanya dari Xi’an mendarat sekitar jam 9 malam kelmarin dan hampir siap untuk berhenti di kawasan yang ditetapkan sebelum seorang penumpang membuka pintu kecemasan.
Penumpang berkenaan sebelum itu memberitahu rakannya, dia tidak sabar untuk keluar dari kapal terbang berkenaan sebaik ia mendarat.
Dia membuka pintu kecemasan itu, menyebabkan gelungsur kecemasan terpasang.
Apabila ditahan kerana tindakannya itu, penumpang berkenaan berkata, dia tidak tahu pintu kecemasan tidak boleh dibuka walaupun perkataan melarangnya jelas terpampang pada pintu itu. - myMetro

Selasa, 16 Disember 2014

Remaja Tak Bersalah Dihukum Mati

Ibu Huugjilt (kiri) gagal mengawal emosi bila mengetahui anaknya, Huugjilt (kanan) diisytiharkan tidak bersalah 

Huugjilt dijatuhi hukuman mati 18 tahun lalu kerana merogol dan membunuh seorang wanita

Tetapi kini mahkamah mendapati Huugjilt tidak bersalah

Ibu bapa Huugjilt telah berkempen selama dua dekad untuk membersihkan nama anak mereka


BEIJING - CHINA. Seorang remaja yang dihukum mati selepas didapati bersalah kerana merogol dan membunuh seorang wanita 18 tahun lalu, diisytiharkan tidak bersalah oleh mahkamah.
Agensi berita Xinhua melaporkan, Huugjilt dijatuhkan hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Mongolia ketika berusia 18 tahun pada 1996.
Namun keraguan wujud dalam keputusan itu apabila seorang perogol bersiri, Zhao Zhihong mengaku atas jenayah tersebut pada 2005.
“Mahkamah Mongolia mendapati keputusan asal Huugjilt bersalah tidak konsisten dengan fakta-fakta dan tidak terdapat bukti yang mencukupi. Oleh itu, mahkamah mendapati Huugjilt tidak bersalah," menurut kenyataan mahkamah Hohhot.
Sebagai tanda kesal dan simpati, timbalan presiden Mahkamah Tinggi, Zhao Jianping menyerahkan 30,000 yuan (RM16,949) kepada keluarga Huugjilt. - SCMP/ Sinar Harian

Sabtu, 13 Disember 2014

Pesawat Thai Air Asia Berpatah Balik

Penerbangan Thai AirAsia ke Nanjing terpaksa berpatah balik ke Lapangan Terbang Antarabangsa Don Mueang, Bangkok.

Seorang penumpang wanita memarahi kru pesawat sebelum menyimbah air panas

Anak kapal yang malang sedang dibantu oleh rakan setugasnya

Anak kapal ini cuba menenangkan keadaan

Anak kapal yang lain

Mi segera bertaburan di atas lantai pesawat

Polis di lapangan terbang telah menahan pasangan terbabit dan dua rakan mereka.

Lapangan Terbang Antarabangsa Don Mueang, Bangkok


BANGKOK - Sepasang kekasih warga China dan beberapa rakan mereka ditahan polis selepas mencurah air panas dan mengasari seorang pramugari penerbangan Thai AirAsia menyebabkan pesawat terpaksa berpatah balik ke Lapangan Terbang Antarabangsa Don Mueang (DMK), Bangkok.
Kesemua mereka dalam perjalanan ke Nanjing, China menaiki pesawat tempahan khas yang dinaiki 174 penumpang dan empat anak kapal.
Saksi berkata lelaki berkenaan turut mengancam untuk meletupkan pesawat manakala kekasihnya pula mengugut untuk membunuh diri.
Kejadian dipercayai berpunca apabila tempat duduk pasangan berkenaan diletakkan berjauhan kerana disusun mengikut abjad.
Sebaik mendarat, polis membawa pasangan terbabit dan dua rakan mereka ke balai polis lapangan terbang.
Difahamkan, insiden berkenaan selesai selepas perbincangan bersama kapten pesawat dan pramugari terbabit.
Thai Airasia dalam satu kenyataan berkata, penerbangan FD9101 dari berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa DMK pada jam 5.43 petang semalam, berpatah balik berikutan tindakan penumpang memarahi kru pesawat sebelum menyimbah air panas.
"Kapten dan anak kapal terpaksa memujuk penumpang warga China itu untuk berbincang di pejabat lapangan terbang DMK selepas perbuatannya boleh mengancam keselamatan pesawat," kata kenyataan itu. - Bangkok Post/ myMetro

Rabu, 10 Disember 2014

Akibat Gagal Bayar Sewa Kubur

Seorang pembersih kubur di Guatemala sedang mengeluarkan tengkorak dari sebuah kubur

Ini ialah satu daripada mayat yang warisnya tidak mampu membayar ‘sewa’ tapak kubur peribadi

Pekerja pembersihan kubur ini mengosongkan kubur untuk disewakan kepada pelanggan baru.


Berbekalkan tukul dan topeng bagi melindungi mukanya, seorang pembersih kubur di Guatemala mula menjalankan tugas memecahkan binaan kubur dan mengeluarkan apa sahaja yang berada di dalamnya.
Tengkorak manusia lengkap dengan rambut ditarik keluar daripada sebuah binaan kubur gelap dan sebuah keranda kecil bayi dihias bunga putih dikeluarkan dari satu lagi kubur. 
Lelaki berkenaan memindahkan mayat yang warisnya tidak mampu membayar ‘sewa’ tapak kubur peribadi dan sebaik sahaja tempoh sewaan tamat, pekerja pembersihan kubur akan datang dan mengosongkan ruangan berkenaan untuk pelanggan baru.
Mayat yang tidak dituntut akan disimpan di dalam beg plastik, dilabel dan dihantar ke tanah perkuburan besar untuk dikebumikan semula.
Kebanyakan mayat yang dikeluarkan sudah reput namun mayat yang dikebumikan di ‘tingkat atas’ yang berkeadaan panas dan kering, akan terawet secara semula jadi, menjadikannya seperti mumia. 
Penampilan petugas pembersihan kubur di Guatemala tidak jauh beza dengan buruh binaan atau pekerja di pusat kitar semula. 
Beg berisi mayat yang reput akan ditimbunkan membuatkannya kelihatan seperti timbunan sampah sebelum dipindahkan menggunakan foklif ke kawasan perkuburan baru. 
Dalam satu gambar yang dirakamkan, mayat berambut panjang yang masih elok dilihat ‘tersepit’ dicelah timbunan beg mayat yang akan dipindahkan. 
Satu lagi ‘mumia’ dengan kaki dimasukkan ke dalam beg plastik diletakkan di tepi dinding yang tertulis ‘jangan buang sampah disini.’ 
Apabila mayat sudah dipindahkan, banyak keranda yang akan dilupus diletakkan di tempat pembuangan sampah dan kayu reput berhampiran kawasan perkuburan. 
Mayat yang dituntut waris akan diletakkan di dalam kotak kecil dan dihantar ke tanah perkuburan awam. 
Jurugambar yang merakamkan proses berkenaan, Jorge Dan Lopez berkata pemandangan itu mengerikan namun sangat menarik. 
“Burung hering beterbangan mengelilingi kawasan perkuburan seolah-olah memerhatikan setiap gerak-geri pekerja yang memindahkan mayat berkenaan. 
“Saya dapat melihat pelbagai keadaan mayat dan ia suatu pemandangan yang tak mampu diungkapkan dengan kata-kata. Semuanya, dari tapak kubur sehingga hujung rambut mayat mengeluarkan bau yang menusuk hidung,” katanya. - myMetro

Selasa, 9 Disember 2014

Jutawan Britain Bebas Tuduhan Bunuh Isteri

Ahli perniagaan Britain yang didakwa mengupah pembunuh untuk membunuh isterinya dibebaskan

Dewani didakwa membayar AS$1,300 (RM4,542) kepada Zola Tongo dan dua lelaki lain untuk menculik serta membunuh isterinya

Dewani bagaimanapun, menafikan tuduhan terhadapnya.

Hakim Jeanette Traverso yang mempersoalkan kredibiliti saksi-saksi pendakwa raya memutuskan membebaskan Dewani

Selepas hakim membebaskan Dewani, dia dilihat muram

Dewani dituduh mendalangi plot membunuh isterinya, Anni semasa mereka berbulan madu di Afrika Selatan pada tahun 2010

Foto yang dirakamkan semasa pernikahan pasangan ini di Mumbay, India


CAPE TOWN, Afrika Selatan – Sebuah mahkamah tinggi di sini semalam membebaskan seorang ahli perniagaan warga Britain yang didakwa mengupah beberapa lelaki untuk membunuh isterinya semasa mereka berbulan madu empat tahun lalu.
Ahli perniagaan tersebut, Shrien Dewani didakwa membayar AS$1,300 (RM4,542) kepada seorang pemandu teksi, Zola Tongo dan dua lelaki lain untuk menculik serta membunuh isterinya, Anni pada November 2010.
Ketiga-tiga lelaki itu sebelum ini memberi ketera­ngan bahawa mereka telah diupah oleh Dewani untuk membunuh isterinya. Ia merupakan persetujuan dengan pihak pendakwa raya bagi mengurangkan hukuman mereka selepas didapati bersalah membunuh mangsa.
Dewani bagaimanapun, menafikan tuduhan ber­kenaan.
Barisan peguam Dewani pada bulan lalu memohon kepada mahkamah untuk membuang kes tersebut dengan hujah kekurangan bukti kukuh dan terdapat beberapa pencangahan dalam keterangan beberapa saksi utama.
Hakim Jeanette Traverso yang sebelum ini mempersoalkan kredibiliti saksi-saksi pendakwa raya memutuskan untuk membebaskan Dewani.
“Permohonan pihak pembelaan diterima dan tertuduh didapati tidak bersalah atas tuduhan tersebut,” katanya.
Selepas keputusan ber­kenaan, Dewani dilihat muram dan hanya menun­dukkan kepalanya ketika kembali semula ke bilik tahanan.
Dia dijangka dibebaskan pada hari yang sama dan kembali semula ke Britain. – Reuters/ Kosmo!

Isnin, 24 November 2014

Nyaris Lemas Ketika Cari Kerang

Sepanjang Pantai Rusila hingga Pulau Kekabu kurang selamat kerana ombak dan cuaca tidak menentu

Empat remaja nyaris lemas selepas dihanyutkan ombak ketika mencari kerang

Fenomena ribuan kerang terdampar di pantai Jumaat lalu mendorong orang ramai memenuhi kawasan itu. Foto myMetro


MARANG - Orang ramai dilarang menjalankan aktiviti di sepanjang Pantai Rusila hingga Pulau Kekabu, di sini, berikutan keadaan ombak dan cuaca tidak menentu pada musim tengkujuh.
Arahan itu dikeluarkan Ketua Polis Daerah Marang Deputi Superintendan Risikin Satiman berikutan kejadian empat remaja yang dilaporkan hampir lemas selepas dihanyutkan ombak ketika mencari kerang di kawasan pantai berkenaan.
Larangan itu berkuat kuasa serta-merta dan semua pihak diminta memberi kerjasama bagi mengelak kejadian sama berulang.
Dalam kejadian 3.30 petang semalam, dua remaja berusia 15 tahun dari Pasir Panjang, Kuala Terengganu nyaris lemas selepas dihanyutkan ombak ketika mencari kerang yang terdampar di pantai sejak Jumaat lalu. 
Malah, sebelum itu, dua pelajar sebuah pusat pengajian tinggi berusia 19 tahun dari Kampung Merbau Patah, Kuala Terengganu juga hampir lemas di pantai sama kira-kira jam 11.20 pagi kelmarin selepas dihanyutkan ke tengah laut.
Bagaimanapun, semua mangsa itu diselamatkan orang ramai yang kebetulan berada di tempat sama sebelum dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu dan Klinik Kesihatan Marang untuk rawatan.
Risikin berkata, sejak fenomena ribuan kerang terdampar di pantai itu Jumaat lalu, orang ramai memenuhi kawasan itu untuk mengutip hidupan itu tanpa memikirkan keselamatan mereka.
Beliau berkata, keadaan ombak dan cuaca yang tidak menentu ketika ini tidak sesuai untuk sebarang aktiviti pantai seperti mandi, berkelah dan mengutip kerang kerana bimbang kejadian buruk berlaku.
“Dalam tempoh tiga hari, empat remaja nyaris lemas selepas dihanyutkan ombak ketika mengutip kerang dan kita tidak mahu kejadian sama berulang lagi.
“Selain penduduk di kawasan setempat, orang ramai dari kawasan berhampiran ghairah mengutip hidupan itu.
“Malah, ada dalam kalangan mereka mengambil kesempatan berniaga dengan menjual makanan dan minuman serta pakaian di lokasi berkenaan tanpa memikirkan keselamatan mereka,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Menurutnya, beliau akan meminta pihak berkuasa tempatan iaitu Majlis Daerah Marang untuk memasang papan tanda amaran di sepanjang Pantai Rusila hingga Pulau Kekabu sebagai amaran supaya orang ramai tidak menghampiri kawasan itu. - myMetro

Rabu, 19 November 2014

Petrol Hijau Turun Harga

Minyak petrol RON97 (minyak hijau) turun daripada RM2.75 kepada RM2.55 seliter hari ini

Tetapi petrol Ron 95 (minyak kuning) masih kekal RM2.30 seliter


KUALA LUMPUR - Harga runcit petrol RON97 diturunkan sebanyak 20 sen kepada RM2.55 seliter daripada RM2.75 seliter, berkuatkuasa esok (hari ini).
Penetapan harga petrol itu diumumkan Kementerian Kewangan menerusi satu kenyataan malam ini.
Sementara itu, BERNAMA melaporkan, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan mengesahkan perkara itu di laman Twitternya malam tadi.
"RON97 turun 20 sen seliter daripada RM2.75 kepada RM2.55 mulai tengah malam ini, 19 November," katanya.
Beliau turut menyertakan paparan salinan surat daripada Kementerian Kewangan kepada Petronas Dagangan Berhad berhubung penurunan harga bahan api itu dalam laman Twitternya. 
Harga runcit RON97 ditentukan oleh 'apungan terurus', dan harga akan berubah mengikut kuasa pasaran. - Berita Harian

Rabu, 12 November 2014

Kastam Rampas Senjata Tiruan Di KLIA

Datuk Chik Omar Chik Lim (tengah) menunjukkan senjata api tiruan yang dirampas. Foto: Berita Harian

Hasil pemeriksaan Penguatkuasaan KLIA ke atas syarikat penghantaran ekspres FedEx menemui lima bungkusan senjata


SEPANG - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) merampas enam pucuk pistol dan empat laras senapang tiruan berserta aksesori kira-kira 11.30 pagi semalam.
Pengarah Kastam KLIA, Datuk Chik Omar Chik Lim, berkata berdasarkan maklumat awam dan risikan, Bahagian Penguatkuasaan KLIA telah membuat pemeriksaan ke atas syarikat penghantaran ekspres FedEx di Zon Bebas Cukai (FCZ) KLIA.
"Hasil pemeriksaan menemui lima bungkusan dan siasatan lanjut mendapati ia mengandungi senjata api tiruan.
"Semua senjata api tiruan ini pada mulanya akan dihantar kepada penerima mengikut alamat yang ditetapkan tetapi penerima membatalkannya dengan memaklumkan melalui emel kepada FedEx.
"Berdasarkan maklumat pengirim, semua barangan itu dihantar oleh pengirim dari Amerika Syarikat," katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 iaitu mengimport barang larangan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum denda maksimum 10 kali ganda nilai barang atau tiga tahun penjara atau kedua-dua sekali. - Berita Harian

Isnin, 10 November 2014

Cedera Kerana Roket Buatan Sendiri

Keadaan salah seorang pelajar Institut Latihan Perindustrian (ILP) yang cedera parah akibat letupan roket buatan sendiri.

Polis menunjukkan bahan bukti digunakan mangsa yang ditemui di tempat kejadian. Foto: myMetro


KUALA TERENGGANU - Tiga pelajar Institut Latihan Perindustrian (ILP) Gong Badak, di sini, yang parah dalam kejadian roket ‘makan tuan’ di Kampung Padang Machang, Manir, di sini, kelmarin, dikatakan ghairah menghasilkan ciptaan baru itu selepas eksperimen pertama mencipta roket air sebelum ini berjaya.
Bagaimanapun, eksperimen menggunakan bahan seperti besi paip, sulfur, arang dan racun rumpai itu memakan diri tiga pelajar berusia 18 hingga 20 tahun terbabit apabila besi paip yang diisi dengan adunan bahan berkenaan meletup ketika melakukan proses memampatkan bahan berkenaan pada jam 4.30 petang.
Kejadian itu bukan saja menggagalkan eksperimen mereka, tetapi meninggalkan kenangan hitam apabila letupan daripada roket berkenaan menyebabkan dua daripada mereka parah termasuk seorang kehilangan kedua-dua pergelangan tangan yang hancur, manakala seorang lagi cedera ringan.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Idris Abd Rafar berkata, ‘saintis’ muda terbabit dikatakan mendapat ilham baru itu secara tiba-tiba sebelum membuat rujukan berhubung bahan yang digunakan menerusi Internet.
“Siasatan mendapati pelajar tahun dua jurusan elektrik itu sebelum ini pernah menghasilkan roket air dan ghairah dengan kejayaan menaikkan hasil ciptaan itu menyebabkan mereka membuat eksperimen baru dengan mencipta roket berkuasa bahan bakar dan letupan lain. - myMetro

Hati-Hati Beli Peranti Di Singapura

Sim Lim Square, hub IT dan Elektronik, terletak di 1 Rochor Canal Road, Singapura. Foto: Panoramio

Beraneka peranti elektronik di jual di sini. Foto: Tripadvisor

Berhati-hati ketika membeli peranti elektronik. Foto: Tripadvisor


SINGAPURA - Pelancong dari negara China diberi peringatan agar berhati-hati apabila membeli barangan elekronik di Singapura berikutan aduan membabitkan peniaga elektronik di negara itu. 
Kementerian Luar China memuat naik notis dalam laman web rasminya Rabu lalu menjelaskan terdapat banyak laporan mengenai penipuan terhadap pelancong yang membeli telefon bimbit dan produk elektronik lain.
Ini berlaku selepas laporan media mengenai penipuan peniaga di Sim Lim Square termasuk insiden seorang rakyat China yang dibayar ganti rugi sebanyak SGD1,000 (RM2583) dalam bentuk duit syiling.
Reputasi negatif peniaga di Sim Lim Square juga mendapat perhatian di laman akhbar Vietnam yang mengingatkan rakyatnya agar berhati-hati dengan taktik licik peniaga di Singapura.
Sebelum ini seorang pelancong Vietnam diperdaya dalam urus niaga pembelian iPhone 6 sehingga terpaksa melutut dan menangis untuk meminta ganti rugi.
Bagaimanapun dia hanya diberi ganti rugi sebanyak SGD400 (RM1032) berbanding harga asal yang dibayarnya iaitu SGD950 (RM2454). - Straits Times/ Berita Harian

Khamis, 6 November 2014

Dibogelkan Kerana Cuba Mencuri Motosikal

Seorang pelajar tingkatan tiga dicederakan dan dibogel penduduk kampung kerana dikatakan cuba mencuri motosikal

Pelajar ini kemudiannya diserahkan kepada polis di Masjid Pauh Lima, Binjai

Mufti Kelantan Datuk Muhamad Shukri Muhamad bagaimanapun tidak bersetuju dengan tindakan penduduk kampung


KOTA BHARU - Padah mencuri motosikal, seorang pelajar tingkatan tiga dicederakan dan dibogel penduduk kampung sebelum diserahkan kepada polis di Masjid Pauh Lima, Binjai, di sini, malam tadi.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan Asisten Komisioner Lai Yong Heng berkata, dalam kejadian kira-kira jam 8.15 malam itu, pelajar terbabit dikatakan cuba melarikan sebuah motosikal milik kariah masjid itu berusia 61 tahun yang dikatakan solat Isyak.
"Dia cuba mencuri motosikal jenis Honda EX5 berwarna hitam tetapi tidak berjaya dan ditahan orang ramai yang baru selesai solat sebelum dipukul dan dibogelkan.
"Akibatnya, remaja itu cedera di bahagian atas kepala dan lebam di belakang badan, tangan, bahu selain kaki.
"Dia menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) dan kini ditahan reman," katanya di sini, tadi.
Lai berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 379A/ 511 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, Mufti Kelantan Datuk Muhamad Shukri Muhamad menyelar tindakan kariah Masjid Pauh Lima, Binjai, yang bertindak membogelkan seorang pelajar kerana mencuri.
"Kita tak boleh ambil tindakan sendiri yang menyimpang dari undang-undang negara dan hukuman tidak boleh diambil mengikut pandangan kita semata-mata.
"Islam sendiri menegah kita menelanjangkan keaiban seseorang walaupun orang itu melakukan kesalahan.
"Jadi tindakan diambil itu sangat tidak sesuai dan jauh daripada konsep Islam yang syumul," katanya ketika dihubungi di sini, petang ini.
Muhamad Shukri berkata, seseorang dianggap berdosa jika mengenakan hukuman dengan cara salah.
"Sebagai umat yang patuh, kita berpegang kepada akhlak Islam dan ini perlu sentiasa dipupuk dalam diri termasuk dalam setiap tindakan yang kita ambil.
"Orang mencuri, dia memang salah, tapi kita yang menahannya tidak boleh juga melakukan kesalahan. Telanjangkan dia, itu sudah dikira bersalah," katanya.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa merujuk pihak berkuasa sebelum mengambil tindakan yang boleh memudaratkan diri sendiri. - myMetro

Berita Terkini



BACHOK - Ibu kepada remaja lelaki yang dibogelkan setelah didakwa cuba mencuri sebuah motosikal di Masjid Pauh Lima, kecewa dengan tindakan orang ramai terhadap anaknya.
Menurut ibu yang berusia 38 tahun itu, walaupun anaknya didapati bersalah, orang ramai tidak mempunyai hak untuk memperlakukan sebegitu kepada anaknya. 
"Mereka boleh pukul, saya akan terima hukuman itu tetapi perbuatan bogelkan anak saya memalukan kami sekeluarga,” kata si ibu. 
"Sakit hati seorang ibu melihat anaknya dalam keadaan sebegitu. Walaupun dia bersalah, saya percaya masih ada banyak lagi cara untuk memberi pengajaran."  
Beliau juga menyatakan perbuataan ini bertentangan dengan ajaran Islam.  
"Perkara ini berlaku di masjid, sepatutnya orang ramai harus melarang kejadian sebegini berlaku.  
Dilaporkan, ibu remaja tersebut menyeru orang ramai agar berhenti menyebarkan gambar anakya di laman sosial kerana perkara ini amat memalukan keluarganya. - MyLaunchpad News 07/11/2014