Allah berfirman dalam al-Quran:

"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran." Mafhum Surah al-Asr: ayat 1 - 3.
Memaparkan catatan dengan label Jenayah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Jenayah. Papar semua catatan

Selasa, 25 November 2014

Wajah Perompak Dalam CCTV

Sebuah hotel di Jalan Raja Haroun, Kajang kena samun. Foto: Panoramio

Wajah suspek yang dirakam CCTV. Foto: myMetro


KAJANG - Pemilik sebuah hotel di Jalan Raja Haroun, di sini, kerugian RM1,200 selepas disamun dua lelaki bersenjatakan pisau yang bertindak nekad menceroboh ruangan lobi hotel itu sebelum melarikan wang.
Dalam kejadian jam 8 malam Sabtu lalu, pekerja wanita terbabit yang berada di kaunter penyambut tetamu terkejut apabila suspek masuk dan terus mengacukan pisau.
Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab berkata, kejadian itu berlaku terlalu pantas dan ketika kejadian itu hanya seorang pekerja berada di lobi hotel sebelum suspek merampas RM1,200.
Menurutnya, sebaik merampas wang itu, mereka terus melarikan diri tanpa mencederakan mangsa.
“Hasil pemeriksaan kamera litar tertutup (CCTV) dapat merakam imej seorang suspek,” katanya.
Ab Rashid berkata, siasatan lanjut dijalankan untuk mengenal pasti suspek dan memburu mereka. - myMetro

Rabu, 19 November 2014

Wajah Suspek Letupan Bom Di Bukit Bintang

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Tajudin Md Isa (kanan) menunjukkan lakaran wajah suspek.

Imej wajah suspek yang dilakar oleh pelukis profesional


KUALA LUMPUR - Polis menggunakan khidmat pelukis profesional bagi melakar gambar wajah salah seorang lelaki yang dipercayai mencampakkan bom tangan dalam insiden letupan di hadapan sebuah kelab malam di Sun Complex, Bukit Bintang di sini, 9 Oktober lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Tajudin Md Isa berkata, berdasarkan empat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian, pihaknya mengenal pasti kewujudan dua lelaki yang berada di lokasi itu sebelum letupan berlaku.
Menurutnya, imej seorang lelaki itu yang melarikan diri sebaik letupan bom itu berlaku berjaya diperoleh.
"Pihak polis merujuk rakaman berkenaan kepada pihak forensik PDRM (Polis Diraja Malaysia) dan mendapatkan pelukis profesional bagi melakar gambaran imej seorang suspek dipercayai terbabit dalam kejadian itu.
"Kita percaya imej lelaki yang dilukis itu berusia 40-an. Ketika kejadian dia memakai baju berbelang putih hitam," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini, semalam. - myMetro

Isnin, 10 November 2014

Dua Wanita Indonesia Dibunuh Kejam Di Hong Kong

Sumarti Ningsih dan Seneng Mujiahsih dibunuh dengan kejam oleh seorang pengurus bank di Hong Kong

Mayat dua wanita tersebut ditemui di pangsapuri mewah ini

Pengurus bank rakyat Britain, Rurik Jutting yang didakwa membunuh dua wanita itu di bawa polis ke Mahkamah Hong Kong

Saudara dan sahabat handai berhimpun di Victoria Park semalam memperingati pembunuhan dua wanita itu. Foto: Reuters


HONG KONG - Kira-kira 200 pekerja Indonesia berjaga sepanjang malam untuk meratapi kematian dua wanita rakyat negara itu yang dibunuh dengan kejam oleh seorang pengurus bank di Hong Kong.
Sumarti Ningsih
Pesanan dari saudara mara dan sahabat kepada dua mangsa itu - Sumarti Ningsih dan Seneng Mujiahsih dibaca pada majlis itu di Victoria Park di sini.
Peserta turut memberi sumbangan kepada keluarga mangsa di Indonesia dan menyanyikan lagu serta berdoa sebagai memperingati kematian mangsa.
Seneng Mujiahsih
"Saya berharap pembunuh itu akan dihukum dan merasakan apa yang sepupu saya alami," kata salah seorang wanita yang mendakwa saudara kepada Ningsih pada majlis itu.
Pengurus bank rakyat Britain, Rurik Jutting didakwa membunuh dua wanita Indonesia itu selepas mayat mereka ditemui dalam pangsapuri mewah.
Salah satu mayat itu ditemui sudah reput dalam sebuah beg pakaian. - AFP/ Berita Harian

Rabu, 1 Oktober 2014

Wajah Suspek Anggota Sindiket Godam ATM

Imej suspek penggodam mesin pengeluaran wang automatik (ATM) yang dirakam kamera litar tertutup. Foto: PDRM




Grafik: BH
KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini menyiarkan rakaman imej beberapa individu dipercayai warga asing yang terbabit dalam sindiket penggodam mesin juruwang automatik (ATM) membabitkan kerugian lebih RM3 juta selepas menggodam 17 mesin ATM di Selangor, Melaka dan Johor, sejak Jumaat lalu. 
Rakaman imej berkenaan diambil daripada sistem rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi mesin ATM yang digodam itu. 
"Siasatan awal menunjukkan bahawa terdapat beberapa lelaki yang dipercayai warga asing, telah membuka panel bahagian atas ATM dengan menggunakan 'common key', kemudian satu cakera padat (CD) dimasukkan ke dalam CD-ROM yang terdapat di dalam mesin berkenaan untuk menyuntik Malware yang dikenali sebagai "ulssm.exe". 
"Selepas mengeluarkan CD, panel akan ditutup semula dan ahli sindiket akan mengeluarkan kesemua wang di dalam ATM tersebut menggunakan panel kekunci dengan memasukkan kod tertentu yang diterima melalui panggilan telefon dari rakan sejenayah. 
Slot kad ATM akan disumbat dengan objek berupa kad sim, kertas ataupun punting rokok bagi menyekat akses pengeluaran wang oleh pengguna lain," demikian menurut kenyataan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) PDRM yang dikeluarkan di akaun Facebook rasmi badan itu, hari ini. - Berita Harian

 Berita sebelumnya di sini


Selasa, 30 September 2014

AWAS! Pelancong Amerika Latin Jadi Penyamun

Azisman (tengah) menunjukkan peralatan yang berjaya dirampas. Foto: myMetro

Peralatan yang digunakan penjenayah untuk memecah masuk rumah. Foto: myMetro


SHAH ALAM - Mereka masuk ke negara ini sebagai pelancong sebelum bertindak menjalankan kegiatan pecah rumah di kawasan taman perumahan elit di bandar raya ini sebagai punca pendapatan utama.
Itu dilakukan tujuh warga Amerika Latin apabila mereka berjaya diberkas polis dalam dua serbuan berasingan, Jumaat lalu.  
Kumpulan terbabit yang dikenali sebagai ‘Geng Latino Botak Tatu’ itu terdiri daripada enam lelaki dan seorang wanita berusia antara 24 hingga 43 tahun ditahan di Subang Avenue dan USJ 19 Subang Jaya, kira-kira jam 4.30 pagi.  
Modus operandi kumpulan ini ialah menggunakan rakan wanita mereka untuk meyakinkan pengawal keselamatan bagi membolehkan mereka masuk ke kawasan perumahan elit sebelum bertindak menekan loceng atau membaling batu ke kediaman mangsa untuk memastikan rumah itu berpenghuni atau sebaliknya. 
Hasil tangkapan itu, polis menemui pelbagai barangan dipercayai hasil aktiviti pecah rumah yang belum sempat dijual antaranya TV LCD, kamera digital, jam tangan, telefon bimbit serta dua kenderaan mewah jenis Toyota Estima dan Honda City yang digunakan mereka. - myMetro

Curi Wang Mesin ATM Guna Virus

Imej cctv seorang suspek lelaki sedang mengeluarkan wang di sebuah bank cawangan Kota Damansara. Foto: Ihsan PDRM

Anggota polis sedang melakukan siasatan terhadap mesin ATM yang digodam di Subang Jaya. Foto: Berita Harian

Anggota forensik membuat pemeriksaan di lokasi kejadian kes godam mesin ATM di Selangor. Foto: Ghazali Kori/ BH


KUALA LUMPUR - Sindiket mengodam Mesin Teler Automatik (ATM) yang dikesan baru-baru ini didapati menggunakan virus dikenali sebagai 'ulssm.exe..' untuk mengeluarkan wang. 
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Mortadza Nazerene berkata, virus tersebut akan memberi arahan untuk membuat pengeluaran wang yang masih terdapat di dalam mesin ATM yang digodam. 
"Suspek didapati membuka panel atas mesin ATM dipercayai tanpa menggunakan kunci, kemudian memasukkan satu cakera padat ke dalam pusat pemprosesan mesin itu yang kemudiannya akan 'reboot' sistem mesin ATM berkenaan," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.
Beliau berkata suspek menggunakan panel kekunci ATM untuk memproses dan mengeluarkan wang daripada mesin ATM. 
Menurutnya, maklumat yang diperoleh daripada jurutera bank mendapati sebanyak 40 keping wang boleh dikeluarkan dalam satu transaksi menggunakan cara tersebut.
Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Azmi Abu Kassim berkata, setakat hari ini sebanyak lima laporan polis telah dibuat berkaitan kes mesin ATM digodam di sekitar Petaling Jaya.
Mesin ATM terbabit terletak di Jalan Yong Shook Lin, Petaling Jaya (kecurian RM303,000); Dataran Sunway (RM285,700); Seksyen 14, Petaling Jaya (RM395,850); Kota Damansara (RM221,160) dan Kelana Jaya yang belum dapat dipastikan jumlahnya.
Sementara itu, sebuah lagi bank di Seksyen 9, Shah Alam digodam menggunakan cara yang sama membabitkan kerugian kira-kira RM116,000.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Azisman Alias berkata, pihaknya menerima laporan mengenai perkara itu kira-kira pukul 7 malam tadi setelah pengurus bank berkenaan membuat semakan dan mendapati sejumlah wang telah hilang.
"Pengurus itu kemudian membuat semakan melalui kamera litar tertutup dan mendapati dua suspek dipercayai warga Amerika Latin mengeluarkan sejumlah wang secara bergilir-gilir pada 12.30 tengah malam semalam (28 September)," katanya ketika dihubungi Bernama.
Azisman berkata modus operandi yang digunakan adalah sama dengan kes-kes godam ATM yang berlaku di Johor, Melaka dan Selangor semalam.
Semalam media melaporkan sejumlah RM530,600 wang tunai di dua buah ATM sebuah bank yang sama di Johor dan Selangor lesap apabila digodam semalam dipercayai menggunakan sim kad telefon dan teknologi canggih. - BERNAMA

Selasa, 26 Ogos 2014

'Along Ceti' 18 Tahun Ditahan Polis Sabah

Ancaman Along (foto hiasan)

Mangsa Along (foto hiasan)

Godaan Along (foto hiasan)

Padah menimpa Along (foto hiasan)


KOTA KINABALU - Polis Sabah menahan seorang remaja lelaki yang disyaki terbabit dengan kegiatan pinjaman wang tanpa lesen atau Along. 
Ketua jabatan itu, Superintendan Saiman Kasran, berkata lelaki berusia 18 tahun dan berasal dari Johor Bahru itu ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, Ibu pejabat Polis Penampang pada Jumaat lalu. 
"Turut dirampas daripada suspek sebuah kereta dan beberapa dokumen yang disyaki digunakan dalam kegiatan tersebut untuk membantu siasatan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini. 
Saiman berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjaman Wang (APPW) 1951 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM250,000 dan tidak lebih RM1,000,000 atau hukuman penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya dan sekiranya kesalahan berulang boleh dikenakan sebatan. 
Beliau berkata, polis menerima aduan daripada seorang kontraktor lelaki berusia 37 tahun yang mendakwa dirinya diganggu oleh 'Along' berhubung pinjaman wang yang dibuatnya sejak Mei lalu. 
"Menurut aduan pada 19 Ogos lalu, pengadu mendakwa meskipun banyak hutang dijelaskan olehnya tetapi 'Along' tersebut masih lagi datang menagih hutang daripadanya," katanya. 
Saiman berkata, polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat tentang kegiatan Along supaya menyalurkannya kepada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah di talian 088-454690 atau mana-mana balai polis. 
Sementara itu, katanya polis sedang mengesan seorang lelaki tempatan yang dikehendaki polis iaitu Amar Izzudin Abdul Majid, 25, yang beralamat di Blok A 18-06, Regalia Residence, Jalan Sultan Ismail, 50400, Kuala Lumpur. 
Beliau berkata, lelaki itu yang memperkenalkan diri sebagai 'Ku Iskandar Ku Fais' disiasat berhubung beberapa kes penipuan pelaburan emas daripada institusi kewangan di Kudat yang membawa pulangan wang lumayan. 
Katanya, setakat ini, terdapat lima kes yang sama dilaporkan di Kudat dengan nilai kerugian sebanyak RM26,400 dan suspek dipercayai masih berada di Kota Kinabalu atau Kudat. 
"Polis memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat tentang suspek supaya menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Haslina Hasan (H/P 0195507373) atau Balai Polis Kudat 088-612222 dengan segera," katanya. - BERNAMA

Ahad, 24 Ogos 2014

Kilang Bayi Di Thailand Disiasat Interpol

Polis menyiarkan gambar beberapa bayi tumpang milik seorang lelaki Jepun di ibu pejabat polis bandar Chonburi, Thailand

"saya belum pernah melihat kes seperti ini di Thailand," kata Apichart Suribunya
Salah seorang ibu tumpang, Pattaramon Chanbua bersama bayinya


BANGKOK - Polis antarabangsa Interpol melancarkan satu siasatan berbilang negara melibatkan kes seorang ahli perniagaan Jepun berusia 24 tahun yang mempunyai 16 bayi menggunakan kaedah ibu tumpang dan berhasrat menjadi bapa kepada beratus-ratus bayi lain. 
Pihak berkuasa Thailand menggelarkan kes tersebut sebagai siasatan 'Kilang bayi'. 
Pada awal bulan ini, polis menggeledah sebuah kondominium awal dan menemui sembilan bayi bersama pengasuh masing-masing tinggal di beberapa buah bilik di kediaman itu. 
Mereka kemudian mengenal pasti ahli perniagaan tersebut, Mitsutoki Shigeta sebagai bapa kepada sembilan bayi itu dan tujuh bayi lain. 
"Apa yang saya boleh dedahkan setakat ini adalah saya belum pernah melihat kes seperti ini di Thailand," kata pengarah Interpol Thailand, Mejar Jeneral Apichart Suribunya kelmarin. 
"Kami masih berusaha untuk memahami mengapa individu ini mahu begitu ramai anak," kata Apichart. 
Menurutnya, pejabat serantau Interpol di Jepun, Kemboja, Hong Kong dan India telah diminta untuk menyiasat latar belakang Shigeta bermula minggu lalu. 
Polis berkata, lelaki tersebut memiliki perniagaan dan apartmen berdaftar di negara-negara berkenaan dan kerap berkunjung ke sana. 
"Kami sedang menyiasat dua motif. Satu adalah pemerdagangan manusia manakala satu lagi ialah eksploitasi kanak-kanak," kata ketua penyiasat kes tersebut di Thailand, Leftenan Jeneral Polis, Kokiat Wongvorachart. 
Menurutnya, Shigeta membuat 41 lawatan ke Thailand sejak tahun 2010. 
Dia juga beberapa kali mengunjungi jiran Thailand, Kemboja untuk membawa keluar empat anaknya. 
"Setakat ini, Shigeta masih belum dikenakan sebarang dakwaan jenayah," ujarnya. 
Lelaki itu kini berusaha untuk mendapatkan semula semua 12 bayinya di Thailand yang kini diletakkan di bawah jagaan beberapa rumah kebajikan. 
Shigeta juga telah membuktikan bahawa dia ialah bapa kandung 12 bayi itu melalui ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang dihantar dari Jepun. - Agensi/ Kosmo!

Ibu Bapa Rantai Anak Nakal Ditahan Polis

Beginilah keadaan kaki Alvar selepas dirantai ibu bapanya.

Polis yang tiba di rumah ibu bapa Alvar mendapati budak itu dirantai secara kejam

Polis menerima maklumat mengenai perkara itu selepas seorang pelanggan Hernandez melihat budak terbabit dirantai di rumahnya


POZA RICA, Mexico - Tindakan sepasang suami isteri merantai anak mereka sepanjang hari bagi mengawal kenakalan budak terbabit menyebabkan mereka ditahan polis atas tuduhan penderaan kanak-kanak. 
Tukang kayu, Alejandro Hernandez, 44, dan Beatriz Enriquez, 34, mengaku merantai kaki Alvar, 10, selepas mendapati anak mereka sukar dikawal.  
Hernandez berkata, tindakan itu bukanlah bermakna mereka kejam atau tidak berperikemanusiaan. 
“Sebaliknya kami terpaksa kerana Alvar sukar dikawal. “Dia menimbulkan masalah di sekolah dan di rumah,” katanya. 
Menurut Hernandez tiada cara lain dapat difikirkan bagi mengawal kenakalan Alvar. 
Katanya, dia dan Beatriz tetap menyayangi Alvar dan tidak mahu budak terbabit menghadapi masalah kerana kenakalannya.  
Beatriz pula berkata, apa yang mereka buat adalah demi kebaikan Alvar. 
Media semalam melaporkan, polis dimaklumkan mengenai perkara itu selepas seorang pelanggan Hernandez melihat budak terbabit dirantai di kediamannya. 
Pegawai kebajikan menempatkan Alvar bersama empat lagi adiknya dalam jagaan pusat kebajikan, manakala dua abangnya tinggal bersama saudara mereka.- Agensi/ myMetro

Jumaat, 22 Ogos 2014

Penganggur Didakwa Tikam Bapa

Ihsham didakwa di Mahkamah Sesyen, Kota Bharu atas tuduhan menikam bapanya

Ihsham didakwa cuba membunuh dengan menilam bapanya, Ibrahim Che Mood, 63, di rumahnya.

Ibu Ihsham, Miyoh Chaiyod, 50,  menunjukkan gambar kenangan bersama Ibrahim.


KOTA BHARU - Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam atas tuduhan menikam bapa kandungnya pada Februari lalu. 
Tertuduh, Ihsham Ibrahim, 30, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan ke atasnya oleh jurubahasa di hadapan Hakim Ahmad Bazli Baharuddin. 
Mengikut kertas pertuduhan, pada 5 Februari 2014 kira-kira pukul 6.30 pagi di sebuah rumah di Kampung Seterpa Banggu di sini, lelaki itu didakwa cuba membunuh dengan menikam bapanya, Ibrahim Che Mood, 63. 
Oleh demikian, tertuduh telah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dikenakan denda. - Kosmo!
Berita sebelumnya di sini

Rabu, 20 Ogos 2014

Pasang Peranti Elektronik Di Leher Ayam Jantan

Isaac Selau dibenar pulang dari penjara dengan dipasang peranti elektronik di tangannya

Bagaimanapun Selau memasangkan peranti elektronik itu di leher ayam jantan untuk membolehkannya pergi menjual kokain

Bagaimanapun Selau ditangkap polis semasa menjual kokain di bandar Porto Alegre


PORTO ALEGRE (Brazil) - Seorang pengedar dadah yang dibenar pulang dari penjara dengan peranti elektronik dimasukkan ke penjara semula selepas polis mendapati dia menanggalkan peranti berkenaan dan memasangnya pada seekor ayam jantan untuk keluar menjual kokain. 
Perbuatan Isaac Selau, 29, terbongkar selepas polis menangkapnya menjual dadah di Porto Alegre di negeri Rio Grande Do Sul, Brazil, ketika dia sepatutnya berada di rumah. 
“Apabila kami memeriksa kediamannya, kami mendapati seekor ayam dalam sangkar, bersama-sama peranti elektronik pada lehernya,” kata jurucakap polis, Murilo Araujo. 
“Peranti itu dicabut dari ayam berkenaan dan Selau dimasukkan semula ke penjara,” katanya. 
Araujo juga berkata, polis turut menemui kokain, ganja dan pistol di rumah Selau. 
Menurutnya, pihak berkuasa sudah melancarkan siasatan untuk memastikan bagaimana kejadian itu boleh berlaku. - Agensi/ myMetro

Rabu, 4 Jun 2014

Seludup Burung Dalam Seluar

 Percubaan menyeludup burung dalam seluar digagalkan oleh pihak kastam di Cuba

Spesis burung yang cuba diseludup

Kejadian berlaku di Lapangan Terbang Antarabangsa Ignacio Agramonte di Camahuay di Cuba


HAVANA - Seorang lelaki ditahan kerana cuba menaiki sebuah pesawat ke Amerika Syarikat bersama-sama dengan 66 burung di dalam seluarnya. 
Lelaki itu ditangkap di Lapangan Terbang Antarabangsa Ignacio Agramonte di Camahuay di Cuba selepas ditahan untuk pemeriksaan kerana bonjol besar yang mencurigakan pada seluarnya. 
Apabila ditahan oleh kakitangan kastam, lelaki itu berkata, dia hanya membawa seekor merpati sebagai hadiah untuk cucunya. 
Tetapi, apabila dipaksa menanggalkan seluarnya, pegawai menemui puluhan anak burung cakar dan burung madu sebahagiannya dengan muncung mereka diikat rapat supaya kicauan mereka tidak didengari. 
Polis berkata, semua burung itu dari spesies yang jarang ditemui dan mungkin dicuri. Ia dianggar bernilai ribuan ringgit. 
Penyeludup itu hampir berjaya menaiki pesawat selepas pengesan logam gagal mengesan burung berkenaan. 
Bagaimanapun, kerana bonjol besar dan cara dia berjalan, kakitangan kastam di lapangan terbang berkenaan menahannya untuk diperiksa. 
“Dia cuba menipu dengan berkata, dia hanya membawa seekor merpati di dalam seluarnya,” kata jurucakap kastam, Hermogenes Yonsiver. - Agensi/myMetro

Khamis, 22 Mei 2014

Pad Brek Tiruan 'Buatan Kampung Baru' Dirampas

Pad brek tulen dan berkualiti tinggi perlu untuk keselamatan ketika memandu kenderaan di jalan raya 

Pad brek perlu diganti apabila telah haus atau digunakan dalam tempoh masa yang lama

Pegawai KPDNKK merampas pad brek tiruan jenama terkenal Jepun yang dirampas di Kampung Baru Seksyen U19, Sungai Buloh


SUNGAI BULOH - Sesiapapun mungkin tidak menyangka alat ganti kenderaan `tulen’ buatan Jepun dibeli sebaliknya dihasilkan sebuah syarikat pengeluar alat ganti tiruan terletak di Kampung Baru Seksyen U19 di sini. 
Syarikat milik lelaki tempatan itu dikesan memperdaya ramai pelanggan di seluruh negara dengan taktik meletakkan pelekat jenama produk terkemuka Jepun pada kotak produk alat ganti tiruan diedarkan. 
Taktik ‘menjual’ nama jenama alat ganti Jepun itu secara haram terbongkar apabila sepasukan anggota Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Putrajaya, melakukan serbuan mengejut ke lokasi itu jam 1 petang semalam. 
Dalam serbuan kira-kira jam 1 tengah hari itu, anggota KPDNKK berjaya merampas 8,460 unit pad brek menggunakan jenama terkenal buatan Jepun. 
Pengarah Penguatkuasa KPDNKK Malaysia Mohd Roslan Mahayudin berkata, serbuan dilakukan berdasarkan aduan awam dan risikan dilakukan pihaknya sejak seminggu lalu. 
Katanya, siasatan mendapati syarikat terbabit dikesan menghasilkan alat ganti tiruan dengan jenama Jepun sejak tiga tahun lalu. - myMetro

Rabu, 30 April 2014

Al Capone Mafia Amerika Syarikat

Al Capone merupakan Gangster Amerika Syarikat (AS) yang terkenal

Al Capone mempunyai pengaruh kuat dan sentiasa dilindungi oleh kuncu-kuncunya

Lelaki menganggur beratur di luar dapur sup yang ​​dibuka oleh Al Capone di Chicago pada tahun 1931


ALPHONES Gabriel Capone lebih popular digelar Al Capone atau Scarface merupakan Gangster Amerika Syarikat (AS) yang mengetuai sindiket penyeludupan dan melakukan pembunuhan pada era 1920-an dan 1930-an. 
Ketika itu poster wajah beliau terpampang di media massa dan semua premis perniagaan bagi tawaran ganjaran kepada mana-mana individu yang dapat menangkapnya dalam keadaan hidup atau mati. 
Al Capone dilahirkan pada 17 Januari dan merupakan anak keempat dari pasangan Gabriele dan Teresina Capone yang berasal dari selatan Itali sebelum berhijrah ke ASpada 1893. 
Di AS keluarga Capone menetap di 95 Navy Street dan ketika usianya mencecah 11 tahun mereka sekali lagi berpindah ke 21 Garfield Place di Park Slope, Brooklyn. 
Selepas tamat persekolahan di Brooklyn, beliau bekerja di pusat permainan bowling dan ketika itu jugalah beliau mengenali ketua kumpulan samseng paling terkenal di AS, Giovanni Torrio Alias John yang lebih terkenal dengan panggilan Papa Johnny Torrio atau The Fox. 
Penglibatan awal dunia jenayah 
Penglibatan jenayahnya bermula apabila dia menyertai kumpulan Five Points Gang sebagai boncer di Coney Island Dance Hall and Saloon. 
Sepanjang kerjaya itu beliau mengalami banyak kecederaan di muka hingga digelar Scarface. 
Albert Francis Sonny Capone
Pada 30 Disember 1918, Al Capone berkahwin dengan Mae Josephine Coughlin seorang warga Ireland dan dikurniakan seorang cahaya mata diberi nama Albert Francis Sonny Capone. 
Kemudian sekitar 1921, Al Capone dan keluarganya berpindah ke Chicago selepas dipelawa Giovanni Torrio dan dari situ dia berjinak dalam jenayah penyeludupan. 
Ketika itu, Giovanni memperoleh kekayaan selepas membunuh ketua penjenayah terbesar Chicago, James Big Jim Colosimo sekali gus mengambil alih jenayah peninggalan James. 
Dalam kes pembunuhan itu, Giovanni terlepas dari hukuman selepas kekurangan bukti dan menurut laporan akhbar Al Capone turut terlibat dalam pembunuhan terbabit. 
Pindah dari Chicago ke Illionis 
Statistik jenayah paling tinggi di AS ketika itu adalah Chicago menyebabkan Gebenor bandar itu meletak jawatan dan digantikan oleh William Emmet Dever. 
Ketika itu juga rakyat melakukan reformasi bagi mendesak kerajaan menurunkan kadar jenayah dan memburu lambakan gangster. Keadaan itu kurang disenangi Al Capone lalu mereka berpindah ke Cicero, Illinois. 
Di sana, kumpulan Capone terpaksa bertarung dengan kumpulan Cicero Myles O’Donnell dan William Klondike O’Donnell untuk mendapatkan kawasan jajahan takhluk. 
Capone akhirnya dapat menawan bandar itu 1924 hingga menyebabkan kematian lebih 200 ahli kumpulan gangster yang selama ini berada di Illinois. 
Saint Valentine’s Day Massacre 
Peristiwa Saint Valentine’s Day Massacre
Selepas bergabung dengan beberapa kumpulan gagster, Al Capone dikatakan mendalangi kes pembunuhan beramai-ramai paling terkenal dalam dunia jenayah pada abad 19, iaitu Saint Valentine’s Day Massacre. 
Pada masa sama, serpihan kumpulan beliau turut melakukan pembunuhan di Chicago, hingga menyebabkan tujuh anggota gangster Mafia Bugs Moran dibunuh secara kejam. 
Meskipun kejadian itu dikaitkan dengan Al Capne namun tiada seorang pun ahli kumpulan beliau didakwa oleh mahkamah. 
Kegiatan Al Capone lumpuh apabila beliau ditangkap oleh ejen FBI, Eliot Ness yang selama itu giat memburu dan menjejaki Al Capone. Tangkapan dilakukan ketika Al Capone melakukan penyeludupan minuman keras di sebuah bandar di Illionis. 
Sel penjara Al Capone
Sejak dari itu, kumpulan pengamal undang-undang menyelar tindakan mahkamah AS yang selama ini banyak membebaskan penjenayah selepas didakwa ramai hakim menerima suapan dari kumpulan penjenayah berpengaruh di negara itu. 
AlCapon akhirnya dijatuhi hukuman penjara dan meninggal dunia ketika berusia 48 tahun. - Sinar Harian

Isnin, 28 April 2014

Lelaki Gagal Letupkan Teman Wanita Hamil

Polis menyelamatkan seorang wanita mengandung daripada diletupkan oleh teman lelakinya

Teman lelaki wanita itu menyalakan kanister dalam kereta yang dinaiki mereka

Li Moulian, 36, mengalami kecederaan lebih serius berbanding teman wanitanya

Sebelum itu Li Moulian menyalakan kanister dibelakang kereta selepas mengheret Xu Fan, 21, yang sedang tidur

Akibatnya pasangan itu terlantar sebelah-menyebelah di hospital

Bayi dalam kandungan Xu terselamat walaupun kecederaan dialami wanita ini begitu teruk


BEIJING - Seorang lelaki menculik kekasihnya berusia 21 tahun yang sarat mengandung sebelum mengikat kanister gas pada belakangnya yang dinyalakan apabila polis datang menyelamatkan wanita berkenaan. 
Li Moulian, 36, mengheret Xu Fan, 21, yang sedang tidur dari katilnya dan disumbat ke belakang keretanya sebelum dia mencederakan wanita berkenaan dengan kejam di Huizhou, wilayah Guangdong di selatan China. 
Akibatnya pasangan itu terlantar sebelah-menyebelah di hospital manakala doktor berusaha menyelamatkan kedua-duanya. Namun ajaibnya, bayi dikandung Xu terselamat walaupun kecederaan dialami wanita terbabit begitu teruk. 
Xu dipercayai mengandung selepas hubungan satu malam dengan Li, namun pasangan itu bersetuju terus menjalin hubungan, malah memilih untuk tinggal bersama. 
Bagaimanapun, Li dipercayai tertekan selepas enam bulan. Dia menyerang Xu ketika tidur, malah mengugut berkali-kali akan membunuhnya. 
Dia memandu di sekitar bandar itu sebelum dijejaki polis yang dihubungi jiran selepas melihat Xu diheret ke dalam kereta teman lelakinya itu, namun ketika itu Li sudah meletupkan kanister gas berkenaan. 
Anggota polis berjaya menarik Xu keluar dari kereta itu sebelum memadamkan api dan membawa kedua-duanya ke hospital untuk rawatan. Kecederaan dialami Li amat serius dan dia tidak dijangka dapat diselamatkan. 
Bapa saudara Xu, Wu Chin, 47, berkata, keluarganya pernah menasihatkan wanita itu supaya berhati-hati dalam hubungannya dengan Li. - Agensi/myMetro