Allah berfirman dalam al-Quran:

"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran." Mafhum Surah al-Asr: ayat 1 - 3.
Memaparkan catatan dengan label Teknologi. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Teknologi. Papar semua catatan

Khamis, 13 November 2014

Mini Cooper S Lima Pintu Baharu

Mini Cooper S model baharu. Foto: Mohd Yusni Ariffin

Mini Cooper S model baharu. Foto: Mohd Yusni Ariffin

Mini Cooper S model baharu. Foto: Mohd Yusni Ariffin

Mini Cooper S model baharu. Foto: Mohd Yusni Ariffin

Mini Cooper S model baharu. Foto: Mohd Yusni Ariffin

Mini Cooper S model baharu. Foto: Mohd Yusni Ariffin

Mini Cooper S model baharu. Foto: Mohd Yusni Ariffin

Mini Cooper S model baharu. Foto: Mohd Yusni Ariffin


KUALA LUMPUR - BMW Group Malaysia yakin model baharu Mini Cooper S lima pintu mampu menjana hasil jualan lebih tinggi.
Pengarah Urusan, Alan Harris, berkata walaupun baharu dilancarkan, kereta itu sudah menarik minat ramai pelanggan.
"Kami menerima beberapa tempahan. Saya tidak dapat memberi butiran terperinci, tetapi yakin kereta ini boleh menguntungkan syarikat," katanya selepas pelancaran model itu di sini hari ini.
Harris berkata, bagi segmen kereta kecil, rakyat Malaysia lebih mengutamakan pilihan kereta lima pintu, justeru menyifatkan Mini Cooper S itu sempurna bagi kegunaan harian keluarga kecil di bandar.
"Kami percaya kereta baharu ini dapat meningkatkan hasil jualan berikutan pasaran Malaysia yang berkembang seiring cita rasa rakyat.
"Ia sesuai baik sebagai kenderaan untuk ke pejabat selepas menghantar anak ke sekolah atau bagi tujuan beriadah bersama rakan atau keluarga pada hujung minggu. Bezanya sekarang, pemanduan mereka tampak lebih bergaya," katanya.
Mini Cooper S lima pintu itu dijual pada harga atas jalan RM238,888 tanpa insurans.
Kereta itu adalah 16 sentimeter lebih panjang berbanding versi asal Mini dengan kelebihan ruang dan pilihan pintu tambahan.
Harris berkata, model baharu itu diimport sepenuhnya dan syarikat dalam proses untuk membuat pemasangan tempatan (CKD).
"Kami sentiasa mencari peluang baharu untuk meningkatkan perniagaan CKD," katanya.
Pengeluar kereta Jerman itu turut mengunjurkan jualan keseluruhan unit kenderaannya meningkat dua digit pada 2014 berikutan permulaan memberangsangkan bagi tempoh tiga bulan pertama tahun ini.
Laporan sebelum ini menyatakan, bagi tempoh sembilan bulan pertama 2014, syarikat itu dapat menjual sebanyak 6,629 unit kereta merangkumi 5,782 BMW, 473 Mini dan 374 BMW Motorrad berbanding 5,616 unit tahun lalu. - BERNAMA/ Berita Harian

Isnin, 10 November 2014

Honda Jazz Generasi Terbaru

Beginilah rupa Honda Jazz generasi terbaru.

Lampu belakang yang dinamik.

Enjin 1.5 liter.

Sistem audio berteknologi terkini.

Tempat duduk belakang boleh diubah posisinya.


Sejak dulu lagi, Honda Jazz menjadi kereta idaman penulis bermulanya daripada generasi pertama hinggalah ketiga yang diperkenalkan pertengahan tahun ini.
Jika dihitung kuantitinya bagi generasi pertama hingga ketiga, ia terjual 5.2 juta unit pada peringkat global serta menjadi model terlaris jenama itu.
Di negara luar, kereta kategori sub kompak ini dikenali sebagai Honda Fit dan ia sebenarnya disasarkan untuk golongan Hawa kerana bentuknya yang kecil, sekali gus mudah dipandu dan bersesuaian dengan cara pemandu di kawasan urban.
Namun situasi itu berbeza sedikit di Malaysia apabila dikatakan Honda Jazz lebih diminati golongan lelaki yang mahu pengendalian mantap dengan dijanakan enjin jenis i-Vtec.
Sebelum diperkenalkan model pemasangan tempatan (CKD), ia diimport sepenuh dari Jepun dengan harga lebih RM100,000 dan ramai menganggap terlalu mahal bagi sebuah kereta kompak.
Bagaimanapun, tanggapan itu boleh dikikis apabila Honda Malaysia Sdn Bhd mula membuka ruang kepada masyarakat tempatan untuk memilikinya bagi model CKD selepas dijual tidak melebihi RM90,000 bagi ketiga-tiga variannya menerusi S, E dan V.
Harga diperkenalkan itu membuatkan ramai terkejut kerana ditawarkan sangat kompetitif bagi kereta kompak popular keluaran negara matahari terbit berkenaan.
Bagi generasi ketiga ini, ia menampilkan identiti rekaan terbaru Honda menerusi 'Exciting H Design!!!' yang membuatkan ia tampak garang dan sporty.
Konsep rekaan luaran dikenali sebagai 'Crossfade Monoform Exterior' itu ternyata dinamik dan pada masa sama terus mewarisi karakteristik unik bagi sebuah Honda Jazz.
Ia menggabungkan kabin sporty dan dinamik dengan bahagian bawah badan yang lebih rendah, sekali gus memberi penekanan terhadap kestabilan.
Jika mahu dibandingkan dengan generasi terdahulu, perbezaan boleh dilihat pada rekaan depan tampak menarik bersama bahagian sisinya yang lebih maskulin dengan adanya garisan pada bahagian pintu.
Ketika menguji jentera ini, penulis diberi peluang memandu varian paling tinggi iaitu V dan ternyata ia dilengkapi pelbagai ciri menarik dengan berteknologi canggih.
Menjengah ke ruang kabinnya, papan pemukanya didatangkan skrin sentuh tujuh inci bagi sistem audio dengan fungsi kawalan pengecaman suara dan telefon bebas tangan pada stering yang memberi kelebihan buat model hatchback ini.
Ia turut ditawarkan paparan meter pelbagai maklumat, sistem pendingin hawa automatik dengan satu panel kawalan sentuh dan sistem Kemasukan Pintar serta Butang Penghidup Enjin.
Faktor lain yang membezakan dengan model sebelum ini adalah ruang dalaman versatil dan penuh pelbagai fungsi apabila tempat duduknya hadir dengan empat mod konfigurasi.
Hasilnya, Honda Jazz serba baru ini memiliki kabin lebih besar dengan peningkatan ketara pada bahagian bahu dan kaki penumpang belakang serta ruang kargo.
Berkongsi sedikit berhubung enjinnya, ia sebenarnya menggunakan 1.5 L SOHC I-Vtec yang mampu menyalurkan 120 PS dengan 145 Nm tork maksimum.
Selain Honda Jazz, enjin ini digunakan pada Honda City terbaru yang diperkenalkan sebelum ini dan kemampuannya tidak perlu sangsi lagi.
Secara jujurnya, penulis tidak terlalu gemar dengan padanan kotak gear Continuos Variable Transmission (CVT), tetapi transmisi kategori sama yang digunakan pada jentera ini memberi satu perasaan sedikit berbeza.
Mungkin kedapan bunyi yang dipertingkatkan pada jentera ini membuatkan penulis tidak begitu merasai kerahan enjin memasuki ke ruang kabin.
Biarpun ia bukan jentera berprestasi, kereta kompak ini tidak 'kedekut' menyalurkan kuasa me­ngagumkan apabila kelajuannya boleh mencecah melebihi 170 kilometer sejam (km/j).
Penulis turut terkejut kerana jentera ini boleh dikatakan masih stabil dan tidak rasa takut untuk memecut pada tempoh lama.
Ketika berada di tempat duduk belakang melalui jalan berliku, tahap kestabilannya tidak perlu dipertikai.
Malah, penulis masih dapat merasakan keselesaan yang menjadi antara kelebihan model hatchback keluaran Honda ini.
Sama seperti semua model Honda yang lain, aspek keselamatan menjadi keutamaan apabila dilengkapi lebih banyak ciri keselamatan seperti enam beg udara dengan tempoh jaminan lima tahun.
SPESIFIKASI
HONDA JAZZ 1.5 L (Grade V)
-Enjin: 1,497 cc, empat silinder, 16 injap, SOHC i-Vtec
-Kuasa maksimum: 120 PS pada 6,600 rpm
-Tork maksimum: 145 Nm pada 4,600 rpm
-Transmisi: CVT
-Ciri keselamatan: Enam beg udara, Isofix, ABS, EBD, BA, ESS dan VSA
-Harga: RM87,800 atas jalan termasuk insurans
Sumber: myMetro

Isnin, 25 Ogos 2014

Iran Perkenal Peluru Berpandu Generasi Baru

Presiden Iran, Hassan Rouhani merasmikan persenjataan generasi baharu Iran

Presiden Rouhani (tiga dari kiri) sedang mendengar penerangan tentang dron Mohajer-4


TEHERAN - Iran memperkenalkan generasi baharu peluru berpandu marin jarak pendek dan beberapa pesawat kawalan jauh atau dron semalam. 
Agensi berita rasmi IRNA melaporkan, peluru berpandu tersebut, Ghadir yang memiliki jarak 100 kilometer, direka untuk memusnahkan sasaran marin. 
IRNA tidak melaporkan jarak satu lagi peluru berpandu buatan Iran, Nasr-e Basir tetapi menyatakan peluru 'beroperasi secara senyap'. 
Persenjataan generasi baharu itu dirasmikan oleh Presiden Iran, Hassan Rouhani pada satu majlis di sini. 
Dalam ucapannya yang disiarkan stesen televisyen Iran, Rouhani mengulas pendirian sebelum ini bahawa negara itu tidak merancang untuk membina senjata nuklear. 
"Namun, kami juga tidak akan leka terhadap ancaman dan komplot musuh Iran," katanya. 
Pada majlis itu, Iran turut memperkenalkan dua dron baharu iaitu Karrar-4 dan Mohajer-4. 
Karrar-4 berupaya terbang pada altitud tinggi manakala dron kedua boleh digunakan untuk menghasilkan peta bagi tujuan awam atau ketenteraan. - Agensi/ Kosmo!

Ahad, 24 Ogos 2014

Roket SpaceX AS Meletup Selepas Dilancar

Sebuah roket SpaceX tanpa pemandu meletup selepas dilancarkan

Jurucakap SpaceX berkata, "kejanggalan" dikesan pada roket berkenaan dan pemusnahan dilakukan secara automatik

Roket yang meletup ini ialah Falcon 9 versi tiga enjin yang boleh diguna semula


MCGREGOR, Texas - Sebuah roket SpaceX meletup selepas dilancarkan semasa ujian penerbangan di tapak pembangunan syarikat itu Texas. 
Menurut kenyataan SpaceX, tiada seorang pun yang cedera dalam letupan itu. 
Jurucakap SpaceX, John Taylor, berkata ujian penerbangan itu membabitkan roket Falcon 9 versi tiga enjin yang boleh diguna semula. 
Beliau berkata, "kejanggalan" dikesan pada roket berkenaan dan pemusnahan dilakukan secara automatik. 
Katanya, roket berkenaan kekal dalam kawasan penerbangan yang ditetapkan dan seorang wakil Pentadbiran Udara Persekutuan (FAA) hadir pada masa itu. - AP/ Berita Harian

Jumaat, 15 Ogos 2014

Restoran Guna Robot Sebagai Pekerja

Sebuah restoran di China menarik pelanggan dengan mengguna belasan robot untuk memasak dan menghantar makanan

Dua robot biru dengan mata merah menyala digunakan untuk memasak dan satu lagi ditugaskan untuk membuat kuih

Namun robot ini hanya boleh bergerak pada laluan yang ditetapkan saja


KUNSHAN China - Sebuah restoran di sini menarik pelanggan dengan mengguna belasan robot untuk memasak dan menghantar makanan. 
Pekerja mekanikal itu menyambut pelanggan, menghantar makanan ke meja, malah memasak makanan di restoran yang dibuka secara rasmi minggu lalu. 
“Anak saya meminta saya mencipta robot kerana dia tidak gemar melakukan kerja rumah,” kata pengasas restoran Song Yugang. 
Dua robot ditempatkan di pintu untuk mengala-alukan ketibaan pelanggan, sementara empat digunakan untuk menghantar makanan ke meja. 
Di dapur, dua robot biru dengan mata merah menyala digunakan untuk memasak sementara satu lagi ditugaskan untuk membuat kuih. 
Menurut Song, setiap robot berharga kira-kira 40,000 yuan (RM21,000), hampir sama dengan gaji tahunan pekerja biasa. 
“Robot itu boleh memahami 40 ayat yang biasa digunakan setiap hari. Mereka tidak akan sakit atau memohon cuti. Selepas dicas selama dua jam, mereka boleh bekerja selama lima jam,” kata Song. 
Restoran itu bagaimanapun bukan yang pertama menggunakan khidmat robot. 
Sebuah restoran di Harbin, timur laut China menggunakan khidmat pekerja seperti itu sejak 2012. 
Bagaimanapun, robot yang digunakan untuk memasak mempunyai kepintaran terhad. Mereka perlu dibantu oleh pekerja biasa. 
Namun pelanggan, khususnya kanak-kanak tetap terhibur dengan pelayan berkepala bulat itu walaupun ia hanya boleh bergerak pada laluan yang sudah ditetapkan saja. 
Ia secara ramah akan meminta pelanggan ke tepi sekiranya laluan mereka dihalang. 
Kos pekerja yang semakin meningkat di negara itu menggalakkan syarikat pembuatan beralih kepada robot dan China tahun lalu mengatasi Jepun untuk menjadi negara pengguna robot perindustrian terbesar dunia.- AFP/myMetro

Rabu, 13 Ogos 2014

Dron Mini Berharga RM319

Dron mini ini dikenali dengan nama Rolling Spider dan boleh dikawal dengan menggunakan telefon bimbit.

Dron ini tidak akan rosak sekiranya melantun ke dinding

Dron ini dilengkapi sensor ultrasonik, kamera dan sepasang pelindung tayar

Peranti ini bakal dijual pada bulan ini dengan harga AS$100 (RM319)


TOKYO - Sebuah syarikat teknologi dari Perancis, Parrot memperkenalkan sebuah Dron mini yang boleh dikawal dengan menggunakan telefon pintar. 
Dron mini yang dikenali sebagai Rolling Spider itu mempunyai empat kipas, sebuah kamera dan sepasang pelindung tayar yang boleh ditanggalkan. 
Dron tersebut boleh memanjat dinding serta siling. 
Gajet berkenaan bakal dijual pada bulan ini dengan harga AS$100 (RM319). - AFP/Kosmo!

Jumaat, 25 April 2014

Akhirnya Mata Bionik Jadi Kenyataan

Seorang lelaki yang buta akibat satu penyakit mata kini boleh melihat semula selepas menerima 'mata bionik'

Lelaki ini, Roger Pontz, 55, disahkan menghidap penyakit mata yang dikenali sebagai retinitis pigmentosa sebelum ini

Kejayaan ini dicapai hasil kerjasama syarikat perubatan, Second Sight Medical Products dan Universiti Michigan

Implan tiruan yang dipasang pada mata kiri Pontz adalah sebahagian daripada sistem yang dibangunkan syarikat itu

Dr Thiran Jayasundera, kiri, sedang memeriksa mata kiri Roger Pontz dengan disaksikan isteri Pontz, Terri Pontz, kanan

Dr Naheed Khan sedang memberi penerangan kepada Roger Pontz tentang fungsi mata barunya

Siri tv ini popular pada tahun 1970-an di mana heronya memiliki sepasang mata bionik. Foto: Wikipedia


DETROIT, Amerika Syarikat (AS) - Seorang lelaki yang buta akibat satu penyakit mata kini boleh melihat semula selepas menerima 'mata bionik' yang merupakan satu peralatan berteknologi tinggi yang membantu dia melihat semula. 
Lelaki tersebut, Roger Pontz, 55, disahkan menghidap penyakit mata yang dikenali sebagai retinitis pigmentosa ketika masih muda yang menyebabkan penglihatannya menyusut sehingga buta. 
Bagaimanapun, sebuah syarikat perubatan, Second Sight Medical Products dengan kerjasama Pusat Mata Kellogg di Universiti Michigan, Ann Arbor berjaya menghasilkan satu mata bionik yang mampu membantu Pontz, melihat semula. 
Implan tiruan pada mata kiri Pontz adalah sebahagian daripada sistem yang dibangunkan syarikat itu. 
Ia mengandungi cermin mata yang mempunyai satu kamera kecil dan pemancar. 
Sistem itu berfungsi apabila kamera merakam imej yang kemudiannya ditukar menjadi denyutan elektrik yang dipancarkan secara tanpa wayar kepada beberapa elektrod pada permukaan retina. 
Denyutan itu merangsang sel retina yang masih sihat. 
Ia menyebabkan sel itu menghantar isyarat ke saraf optik. 
Maklumat visual itu kemudiannya dipindahkan ke otak untuk ditukarkan kepada bentuk-bentuk cahaya yang boleh dikenal pasti sekali gus membolehkan pesakit memperoleh sedikit fungsi penglihatan. 
Pontz berkata, selepas memakai sistem itu, dia kini boleh melihat bayang isteri, kucing dan cucunya selepas beberapa tahun hidup dalam kegelapan. 
Dia yang merupakan bekas pekerja kilang merupakan antara empat orang di AS yang menerima retina tiruan. - AP/Kosmo!

Khamis, 24 April 2014

BMW 420i Coupe Baharu Di Pasaran










BMW Group Malaysia hari ini melancarkan kereta BMW 420i Coupe baharu yang akan menaikkan penanda aras untuk segmen kereta premium jenis sports coupe. 
Dijual pada harga RM299,800 di atas jalan, BMW 420i akan memperkukuh kedudukan syarikat itu sebagai penjual jenama automotif premium nombor satu di negara ini. 
Ketua Pegawai Eksekutif Gerhard Pils yakin BMW 420i itu akan terus menyerlah dengan kemampuan dinamis serta memberi limpahan nikmat pemanduan kepada pembelinya di Malaysia. 
"Kereta BMW 420i Coupe dengan pelbagai pembaharuan ini akan membolehkan pembeli memilih satu rangkaian coupe bagi menikmati keselesaan sebenar sebuah kereta premium dua pintu," kata beliau dalam satu kenyataan. 
Kereta BMW 420i Coupe itu boleh diperoleh dalam warna alpine white, black sapphire, midnight blue, mineral grey dan leather dakota black. - Bernama


Rabu, 2 April 2014

Kemampuan Pesawat P-8 Poseidon Cari MH370 Terbatas?

Pesawat P-8 Poseidon milik tentera Amerika Syarikat (AS) dianggap sebagai pesawat peninjau paling moden di dunia

P-8 Poseidon dilengkapi kamera definisi tinggi dan beberapa alatan pengesan canggih

P-8 Poseidon juga dilengkapi kamera, radar dan pengesan infra merah yang direka khas untuk mengesan objek di dasar lautan

Tetapi akhirnya kru-kru Poseidon lebih banyak melihat dari tingkap pesawat untuk mengesan MH370

Leftenan Komander David Mims berjalan berhampiran pesawat P-8 Poseidon selepas pulang daripada misi mencari pesawat MH370


PERTH - Pesawat P-8 Poseidon milik tentera Amerika Syarikat (AS) yang dilengkapi kamera definisi tinggi dan beberapa alatan pengesan canggih dianggap sebagai pesawat peninjau paling moden di dunia. 
Pada mulanya kehadiran kapal terbang canggih itu dianggap mampu merungkai misteri kehilangan sebuah pesawat milik Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) sejak 8 Mac lalu. 
Namun kemampuan P-8 Poseidon kini dilihat sebagai terbatas. 
Tentera AS menghantar dua pesawat Poseidon yang dilengkapi kamera, radar dan pengesan infra merah yang direka khas untuk mengesan objek di dasar lautan. 
Bagaimanapun, peralatan canggih tersebut tidak banyak membantu dalam misi mencari pesawat MH370. 
Malah kru-kru Poseidon lebih banyak melihat dari tingkap pesawat untuk mengesan sebarang serpihan. 
Seorang juruterbang P-8 Poseidon, Leftenan Komander David Mims berkata, ini adalah kali pertama beliau berada di Lautan Hindi yang dianggap kawasan pencarian paling mencabar untuk dirinya. 
"Sangat ganjil apabila terbang di lautan ini kerana anda tidak melihat sebarang pulau dan juga kapal di laut. 
"Di sini kosong, tiada apa di sini. Ia sangat ganjil," katanya. 
Pesawat MH370 yang membawa seramai 239 penumpang dan anak kapal itu terhempas di selatan Lautan Hindi ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur menuju ke Beijing pada 8 Mac lalu. 
Sehingga kini tiada serpihan pesawat itu dijumpai dan semua objek yang dikesan oleh pesawat peninjau yang menyertai usaha mencari disahkan sebagai sampah selain peralatan menangkap ikan. - Reuters/Kosmo!

Jumaat, 28 Mac 2014

Lampu LED Mampu Jimatkan Tenaga Elektrik

Lampu diod pemancar cahaya (LED). Foto: Wikipedia

Berbagai bentuk lampu LED yang ada dijual di pasaran pada masa ini. Foto: Wikipedia

Lampu LED yang boleh menggantikan lampu kalimantang. Foto: Energy Wise

Suasana sebuah ruang bilik yang menggunakan lampu LED. Foto: Wikipedia

Perbezaan lapangan yang menggunakan lampu LED dan lampu biasa. Foto: Fremont Universe

Lampu LED turut digunakan pada kenderaan. Foto: University of Tartu


MENGGANTIKAN mentol biasa dan halogen dengan lampu diod pemancar cahaya (LED) di rumah mungkin menjadi antara petua penjimatan elektrik terbaik pada dekad ini. 
Penggunaan LED sebagai lampu di rumah mampu menjimatkan elektrik sehingga 90 peratus kerana ia menggunakan kapasiti tenaga paling minimum. 
Lampu LED yang menggunakan kapasiti elektrik sebanyak 12.5 watt mampu memberi pencahayaan sama terang dengan lampu biasa yang berkadar 80 watt. 
Malah, cahaya dihasilkan LED lebih selamat kerana ia tidak membebaskan sinar ultra ungu yang berbahaya kepada kulit dan memberi keselesaan terhadap mata. 
Selain itu, jangka hayat LED juga lebih lama sehingga 50,000 jam atau bersamaan 15 hingga 20 tahun berbanding lampu halogen dan kalimantang yang mudah rosak akibat kepanasan jika dipasang terlalu lama. 
Pengurus Besar (Bahagian Produk Lampu) Philips Malaysia, Adrine Ong berkata, LED juga tidak menggunakan bahan berbahaya seperti plumbum dan raksa sebagaimana yang terdapat pada mentol lampu. 
“Pengguna hari ini sentiasa mahu kepada produk yang selamat. Mereka juga lebih gemar untuk memilih produk yang mampu memberikan penjimatan. 
“LED menawarkan penjimatan tenaga yang efisien untuk menerangi ruang rumah, pejabat dan tempat awam dengan lebih terang,” kata Adrine. 
Beliau berkata demikian ketika majlis memperkenal produk inovasi lampu Philips LED the Way di Hotel Garden Kuala Lumpur baru-baru ini. 
Dalam majlis itu, lebih 10 model lampu LED untuk kegunaan rumah, ruang pejabat dan tempat awam diperkenal. 
Antara produk LED diperkenal ialah mentol, lampu tiub menggantikan kalimantang, variasi lampu siling, lampu jalan dan lampu hiasan di ruang tamu serta dapur rumah. 
Ujar Adrine lagi, penggunaan LED juga tidak menyebabkan ruang rumah atau pejabat menjadi panas akibat pembebasan haba. 
“Lampu biasa yang kita guna sejak berpuluh tahun dahulu bukan sahaja menggunakan tenaga elektrik yang banyak, tetapi juga membebaskan banyak haba dan menyebabkan pengguna berasa tidak selesa akibat panas. 
“Pembebasan haba daripada lampu juga menyebabkan pendingin hawa menggunakan lebih banyak elektrik untuk menjadikan ruang rumah atau pejabat sentiasa sejuk. 
“Jadi, penggunaan lampu sebenarnya mempunyai fungsi yang tidak kurang penting terhadap langkah awal penjimatan elektrik,” kata Adrine. 
Menurut beliau lagi, meskipun kos untuk membeli dan memasang lampu LED lebih tinggi berbanding mentol biasa, ia sebaliknya menawarkan penjimatan jangka panjang. 
Tambah Adrine, persekitaran di tempat awam yang gelap juga akan lebih selamat daripada bahaya sinaran ultra ungu sekiranya lampu-lampu jalan jenis mentol biasa diganti dengan LED. 
“Di Philips, kita mendapati sebanyak 779 juta tong minyak diguna setiap hari untuk menjana elektrik dan 296 juta tan karbon dioksida dibebas sepanjang tahun disebabkan penggunaan lampu mentol biasa di seluruh dunia. 
“Menyedari semua itu, LED menawarkan pilihan terbaik untuk penjimatan tenaga dan membantu mengawal pencemaran alam sekitar akibat pembebasan gas karbon dioksida,” katanya. 
Adrine menambah, produk lampu LED keluaran Philips menjalani proses inovasi untuk menawarkan penjimatan elektrik secara optimum dan efisien. 
Dalam pada itu, Philips menyasarkan pilihan pengguna terhadap lampu LED di Malaysia melebihi penggunaan mentol biasa di premis pejabat dan rumah kediaman menjelang 2015. 
“Persekitaran akan lebih selamat melalui penggunaan LED. Penggunaan tenaga untuk menjana elektrik seperti minyak dan arang batu juga boleh dijimatkan. 
“Sudah tiba masanya untuk menggantikan lampu-lampu biasa yang banyak menggunakan tenaga kepada LED yang lebih efisien,” kata Adrine. - Kosmo!